MetroPolis 2
(Bab 5)
Bunuh atau Dibunuh
"Kita nak buat apa dengan benda-benda ni?"
Red Wigwam yang sedang sibuk mengikat tong oksigen sepanjang 2 kaki lebih ke sebuah troli sekadar menghadiahkan senyuman kepada majikannya. Di dalam troli tersebut juga terdapat empat kotak paku yang diperbuat dari besi sintetik. Enbi mengambil keputusan untuk tidak lagi bertanya. Beliau enggan mengganggu konsentrasi pekerja yang mungkin seumur dengan Allayarham datuknya.
"Tuan Enbi, sekarang boleh tak curahkan minyak api di bahagian buntut tong oksigen ini?" pinta Red Wigwam. Enbi menganggukkan kepala dan menurut sahaja permintaan pekerjanya itu.
*******************************************
"Woi! Kamu berdua buat apa lama-lama di dapur tadi? Kami di sini dah hampir mati, tahu?" pekik Nazrul yang cuba melawan bunyi bingit senjata api. Keadaan di ruang hadapan balai rosak teruk. Beberapa bahagiannya mulai dijilat api.
"Jahanam balai aku! Kalau terus begini, habislah terbakar hangus!" rengus Enbi. Tiba-tiba perhatiannya tertumpu ke arah Red Wigwam yang sedang menyalakan api di bahagian buntut tong oksigen tadi.
"Chief! Kau sudah gilakah?" pekik Enbi. Buruk padahnya jika api tersebut bercampur dengan cecair oksigen asli. Pasti ruang hadapan balai akan hancur berkecai bersama-sama mereka semua. Red Wigwam tidak mempedulikan komen tersebut. Beliau sebaliknya menyorong troli dengan tong oksigen yang diikat tadi menghala ke arah tempat persembunyian kumpulan Zion Bros. Sedikitpun Red Wigwam tidak gentar akan tembakan plasma yang bersimpang-siur menuju ke arahnya kerana tangan kirinya memegang erat penutup tong sampah yang besar. Pun begitu, penutup yang diperbuat dari serat kaca tersebut semakin mencair dimamah peluru plasma yang panas.
Red Wigwam segera menghunuskan sebilah lagi kapak yang tersisip di pinggang. Dengan pantas beliau menghentak bahagian kepala picu tong oksigen tersebut dengan kapaknya sehingga picu tersebut patah. Gas oksigen berderu menyembur keluar seperti jet. Troli yang menampung tong oksigen yang masih terbakar tersebut terus bergerak dengan agak laju ke arah kumpulan Zion Bros. Tenbakan-tembakan daripada para penjahat tersebut kini ditujukan kepada troli tersebut pula.
"Bodoh! Berhenti menembak! Itu tong oksigen!" jerit salah seorang anggota Zion Bros. Simpang-siur peluru plasma tiba-tiba terhenti. Namun troli tadi masih meluru ke arah mereka dan akhirnya melanggari salah sebuah kotak tempat persembunyian geng Zion Bros.
"Sudah terlambat, bodoh!" pekik Red Wigwam. Dengan sepenuh tenaga beliau melemparkan kapaknya ke arah buntut tong oksigen yang masih berapi tadi. Kapak besi waja yang sangat tajam tersebut tepat mengenai sasaran; lantas membocorkan bahagian buntut tong gas tersebut.
"BOOM!" Suatu letupan yang sangat kuat dan dahsyat telah berlaku hasil percampuran gas oksigen asli dengan nyalaan api tadi. Letupan yang sedemikian kuat pasti mampu mencederakan ahli-ahli Zion Bros. Tambahan pula ratusan paku-paku yang diletakkan bersama tong oksigen tersebut kini menjadi hunjaman peluru yang mampu membunuh.
Keadaan bagaikan hening seketika. Hanya asap tebal dan bau karbon memenuhi persekitaran. Nampaknya pertempuran telahpun berakhir. Kemenangan menjadi milik MetroPolis. Semuanya atas jasa Red Wigwam.
"Chief! Hati-hati!" laung Enbi tatkala melihatkan orang tua tersebut mula bergerak merapati tempat geng Zion Bros bersembunyi tadi. Sekiranya masih ada lagi yang berdaya untuk berlawan, tentu nahas bagi Red Wigwam yang hanya bersenjatakan kapak sahaja. Enbi bingkas bangun. Tangannya sempat mencapai sebatang penyapu. Beliau berlari mendapatkan Red Wigwam. Setidak-tidaknya sebagai ketua, Enbi perlu melindungi anak buahnya.
"Bos, nampaknya pertempuran sudah berakhir." ujar Red Wigwam dengan nada perlahan tetapi jelas. Di hadapan mereka bergelimpangan mayat-mayat geng Zion Bros yang ditubuhkan oleh sekumpulan samseng berbangsa Yahudi.
Enbi mengerutkan muka. Beliau masih belum biasa melihatkan mayat-mayat yang mati dalam keadaan mengerikan. Pun begitu beliau juga berasa lega kerana bukannya mayat anggota MetroPolis yang bergelimpangan di situ.
Seketika kemudian Enbi terus termuntah.
*************************************************
Bercham, kawasan pekan. 57 minit kemudian :
Beberapa siri letupan masih berlangsung menandakan pertarungan kini menjadi semakin sengit. Remy, yang telah dicop sebagai pengkhianat; sedang diserang bertubi-tubi oleh Algojo Tiga Elemen. Walaupun kini hanya tinggal mereka berempat sahaja, namun pertempuran menjadi semakin ganas dan menggila.
"Sialan! Dia tentu menggunakan teknologi sulit untuk bergerak selincah itu!" pekik Gema seraya meledakkan aura supersonik di kedua telapak tangannya. Remy melonjak dengan secepat kilat untuk mengelakkan serangan maut tersebut. Serangan Gema mengenai sebuah bangunan kedai 4 tingkat lantas menderaikan kesemua kaca tingkap yang ada. Kilat dan Bara pula bersama-sama menyerbu ke arah Remy.
"Disco Boomba!" pekik Remy seraya mencampakkan 7 butir bola berkilat ke tanah. Bola yang sebesar bola tenis tersebut meletup seperti bom tangan. Namun bola-bola tadi tidak hancur, malah melantun pula ke sana-sini. Setiap tempat yang terkena lantunan bola-bola tersebut pasti akan meletup. Berpuluh-puluh letupan berlaku dengan serta-merta yang menghancurkan kawasan persekitarannya.
"Fuh! Disco Boomba ni bahaya betul! Nasib baik aku cepat jauhkan diri." ujar Remy dalam hati. Rupa-rupanya setiap butir Disco Boomba adalah bom yang mampu meletup sebanyak 5 kali. Keburukannya ialah arah lantunannya tidak dapat ditentukan dan dikawal. Ia mungkin akan membahayakan diri si pengguna juga.
"Abang long! Ngah! Kamu berdua okey?" pekik Gema tatkala melihatkan kedua-dua abangnya terbaring tidak menguit di situ. Seketika kemudian, kedua-dua algojo tersebut perlahan-lahan bangkit. Ternyata sut khas yang dipakai telah menyelamatkan nyawa mereka.
"Aiyo-go-go! Kamu tak mati lagi ke?" ujar Remy dengan nada kecewa. Namun setelah diamat-amati, kedua-dua musuhnya tadi mengalami kecederaan yang agak serius juga. Remy mengorak senyuman gembira. Kawasan persekitaran mereka bagaikan dilanda Garuda. Kebakaran berlaku di sana-sini diiringi oleh beberapa letupan kecil. Asap hitam yang tebal naik ke langit untuk mencemari udara. Bau karbon bercampur bau mayat-mayat manusia yang rentung kini menjadi aroma utama di kawasan tersebut.
"Aku benci-" Tiba-tiba suara Bara menerjah ke telinga Remy.
"Hmm?" tanya Remy dengan perasaan curiga.
"Aku benci betul orang yang berpura-pura menjadi orang lain sedangkan dia tak tahu bagaimana caranya. Aku bencikan orang macam kau. Peminat disko konon. Dari cara pemakaian hinggalah ke cara bertutur. Semuanya tidak betul dan bercampur-aduk dengan zaman-zaman lain. Kau ini hipokrit dan hanya bermuka-muka saja. Kau tak layak langsung digelar Disco Inferno!" cerca Bara dengan perasaan marah. Remy terpaku seketika mendengarkan kata-kata tersebut. Namun kemudian beliau mengorak sebuah senyuman sinis.
"Bodoh! Aku pun tahu perkara tu. Tapi suka hati akulah nak buat apa! Yang pentingnya kamu semua terpedaya dengan karektor aku yang nampak pandir ini. Tak penting pun aku ni hipokrit, asalkan aku berjaya mempermainkan kamu semua! Ahohoho!" balas Remy seraya ketawa. Sakit benar hati Bara mendengarkan hilai tawa tersebut.
"JAHANAM!" pekik Bara seraya menghalakan kedua-dua tapak tangannya ke arah Remy. Kilat cuba menghalang. Namun telah terlewat. Kedua tapak tangan Bara meledak dengan letusan bebola api yang 10 kali ganda lebih besar dari biasa. Kawasan di hadapannya meletup dan hancur sama-sekali. Bara kembali menjadi tenang. Kawasan tersebut kini marak dijilat oleh api yang amat besar. Sayup-sayup kedengaran bunyi irama polifonik di tubuh Bara.
"Tengok! Gel napalm di dalam sut kamu sudah habis dipakai. Kalau musuh kamu berjaya mengelakkan diri, tentu nahas!" leter Kilat. Rupa-rupanya Algojo Tiga Elemen ini menggunakan teknologi canggih untuk menghasilkan serangan elektrik, serangan api dan serangan bunyi. Kuasa serangan mereka ternyata adalah terhad. Serangan tadi telah menghabiskan kesemua bekalan tenaga gel napalm milik Bara.
"Aku tak bimbang kerana kamu berdua masih ada. Lagipun mustahil budak disko palsu itu dapat menyelamatkan diri dari serangan dahsyat tadi." jawab Bara dengan perasaan sedikit angkuh. Sahsiahnya samalah seperti Iblis yang dijadikan daripada api. Mungkin itulah sebabnya beliau sesuai menggunakan medium tersebut sebagai senjata. Kilat menggelengkan kepala. Kemudian beliau menekan butang di helmetnya untuk menghubungi ketua mereka.
"Tuan Don. Ini Kilat bercakap. Kami telah menghapuskan Disco Inferno." maklum Kilat.
"Bagus. Kamu bertiga balik sekarang," Arahan Don bergema di pembesar suara alat komunikasi mereka bertiga.
****************************************
Balai MetroPolis. 2 jam kemudian.
"Kau memang handal betul, Chief! Sahih adalah seorang pendekar Sioux yang sejati." puji Nazrul seraya menepuk-nepuk bahu Red Wigwam dengan mesra. Red Wigwam yang sedang menghisap paip hanya ketawa. Catherine sedang sibuk mengarahkan beberapa orang sukarelawan untuk mengemaskan balai yang rosak teruk. Enbi hanya memerhatikan sahaja dengan riak yang murung.
"Bang ngah! Cerialah sikit. Kan kita menang hari ni?" pujuk Nazrul. Enbi merengus. Kemudian mengeluh panjang.
"Aku tak suka dengan keadaan kita sekarang. Kita terlalu lemah. Pengalaman pun tak ada. Kita cuma bernasib baik sebab adanya Chief. Tapi dia saja tak memadai. Kita perlukan lagi orang-orang yang handal untuk menyokong MetroPolis. Orang seperti Chief. Jenis yang bersedia membunuh atau dibunuh." ujar Enbi. Nazrul terdiam. Kata-kata abangnya memang berasas. Hanya Red Wigwam sahaja yang berupaya menangani situasi cemas tadi.
"Tengoklah berita di televisyen tu. Pertempuran yang sangat hebat telah berlaku di antara geng Don dan Tai-Pan di Bercham. SPMB yang lengkap bersenjata pun habis kesemuanya dibunuh. Kawasan persekitaran seluas 230 meter radius habis musnah. Kalaulah mereka yang menyerang kita tadi, tentu kita akan mati serta-merta." sambung Enbi lagi. Nazrul hanya terpaku melihatkan tahap kemusnahan yang begitu menggerunkan di televisyen.
****************************************
Tasik, kira-kira 3 kilometer dari Bercham.
"Lampu." Persekitaran bilik menjadi terang-benderang. Kelihatan ianya sarat dengan beberapa peralatan mesin, relau pelebur, ratusan wayar yang berselirat, puluhan perkakasan elektronik, kepingan-kepingan besi dan bahan-bahan letupan yang terlarang.
"Aktifkan rangkaian litar keselamatan." Di suatu sudut lantai kelihatan pakaian, but serta rambut palsu tersepuk begitu sahaja. Ternyata ianya milik Remy yang dikenali sebagai Disco Inferno.
"Rangkaian litar keselamatan diaktifkan." suara komputer yang bertonasikan suara gadis memberikan respons kepada arahan tadi.
"Bagus." Ujar Remy dengan perasaan agak tenang. Kini beliau hanya bertuala sahaja dan sedang asyik mengunyah sekeping snek. Melihatkan rambutnya yang basah kuyup, tentu sahaja beliau baharu selesai mandi.
"Celaka punya algojo. Rupa-rupanya Don dah tau aku mengkhianatinya." maki Remy sambil memeriksa kecederaan di lengan kanannya. Kemudian beliau mengambil sekeping kad pengenalan daripada belasan yang ada di dalam sebuah kotak di atas sebuah meja. Kad pengenalan tersebut mempunyai foto dirinya. Nama yang tertera pada kad pengenalan tersebut adalah Fayeed Assalam. Ternyata ianya kad pengenalan palsu.
Remy meletakkan kembali kad pengenalan tadi di atas meja. Beliau mencapai pula topeng penyamarannya. Ianya benar-benar mirip wajah manusia. Topeng tersebut adalah berwajahkan watak Disco Inferno yang dikenali oleh Don. Dicapainya pula sekeping kad pengenalan dengan foto penyamaran Disco Inferno. Pada kad pengenalan tersebut tertera nama palsunya iaitu Abba Humperdink.
"Bye-bye, Disco Inferno!" Itulah ucapannya sebelum beliau melemparkan topeng dan kad pengenalan tersebut ke dalam relau pelebur. Remy hanya memerhatikan sahaja identitinya selama 4 tahun yang mulai lebur dimamah oleh api. Sedikitpun tiada raut kekesalan di wajahnya. Kini matanya merenung ke arah kad pengenalan palsu baharunya.
"Hello, Fayeed Assalam!" ujarnya pula seraya tersenyum.
- bersambung –