Terawez yang baharu sahaja membeli-belah di pasar tani hari ini bersiul-siul dengan girang. Upahnya mencuci dua buah tong sampah besar Restoran Minang Menawan pada pukul lima pagi tadi memungkinkan beliau untuk mendapat upah yang lumayan. Maka pada pagi yang cerah ini Terawez dapat membeli sekilogram daging segar. Kedua orang tok gurunya amat menyukai sup daging. Sementelah Terawez pandai memasak, beliau pasti kedua tok guru kesayangannya akan berasa gembira dan berpuas hati. Pasti mereka berdua dapat mengajarnya seni berpedang yang lebih hebat lagi.
Sebaik sahaja tiba di pintu gerbang Dojo Pedang Mangkubumi, langkah Terawez menjadi pegun. Barang-barang yang dibeli di pasar tani tadi terlepas dari kedua tangannya. Di hadapannya kelihatan dojo kesayangannya hangus terbakar menyembah bumi. Terawez meliarkan matanya memandang sekeliling. Tiba-tiba pandangannya terarah kepada dua kujur tubuh di atas tanah di kawasan gelanggang tempat beliau selalu berlatih.
“TOK!!!” jerit Terawez dengan cemas lantas beliau meluru mendapatkan kedua orang tok gurunya. Pemuda tersebut segera memangku tok gurunya yang lebih tua. Tubuh warga tua tersebut kelihatan penuh dengan kesan kecederaan berat. Namun mujurlah beliau masih bernafas. Terawez segera memeriksa tok gurunya yang seorang lagi. Beliau menarik nafas lega. Tok gurunya itu juga masih bernyawa. Namun serta-merta perasaan sebak menguasai dirinya.
“Terawez… Kaukah itu?” Tiba-tiba tok gurunya yang lebih tua bersuara. Nyatalah beliau mulai sedarkan diri. Terawez segera mendapatkan orang tua tersebut.
“Saya, tok guru. Siapakah yang berbuat begini terhadap kita, tok?” tanya Terawez dengan nada sebak.
“Beberapa orang daripada Sekolah Seni Wushu Langit Perkasa tiba-tiba sahaja telah muncul dan menyerang kami berdua. Mereka juga membakar dojo kita. Kami berdua cuba menghalang tetapi kami tak mampu mengalahkan mereka.” maklum tok guru yang lebih tua dengan suara tersekat-sekat. Nama sekolah tersebut serta-merta menyentakkan hati Terawez. Beliau spontan mengetahui mengapa insiden tersebut berlaku.
“Maafkan kami, Terawez. Kami berdua memang lemah dan tak berguna.” ujar tok gurunya lagi dengan linangan air mata. Terawez tidak menjawab. Sebaliknya beliau meraung sekuat-kuat hatinya dengan penuh kesedihan.
“Cat…”
Catherine perlahan-lahan membuka matanya tatkala merasai sentuhan lembut dan hangat pada tangan kanannya. Entah sejak bila beliau telah terlena.
“Enbi!” ujar Catherine separuh memekik. Air matanya mula beruraian keluar. Enbi yang kini terbaring di atas katil hospital menganggukkan kepala sambil tersenyum. Tangannya masih memegang tangan Catherine.
“Awak sedar akhirnya.” ujar Catherine lagi dalam sendunya. Enbi telah tidak sedarkan diri hampir seminggu lamanya. Berdasarkan kecederaannya di zaman kita, pastinya amat kritikal dan belum tentu dapat hidup. Namun teknologi perubatan bio-nano pada zaman Enbi membolehkannya terselamat daripada maut. Itupun sekiranya beliau cepat dihantar ke hospital. Ketulan darah beku di dalam otaknya akibat kecederaan pergaduhan dengan mudahnya dikeluarkan oleh bio-nano.
“Aku sudah terjaga lebih kurang lima minit tadi. Berapa lama aku tidak sedarkan diri?” tanya Enbi. Nada suaranya menunjukkan beliau masih lemah.
“Enbi koma hampir seminggu lamanya. Kami bawa Enbi ke Hospital Ibnu Sina untuk rawatan yang segera dan rapi.” maklum Catherine yang masih berusaha meredakan perasaan sebaknya. Enbi merengus kecil.
“Membazir betul. Bukankah hospital ini adalah yang paling mahal cajnya? Nanti siapa yang nak membayarnya?” Catherine tersenyum kelat mendengarkan kata-kata Enbi. Nampaknya Enbi yang kedekut dan berkira itu sudah kembali. Kini Catherine sedang berangan-angan bahawa alangkah bagusnya kecederaan di kepala Enbi turut mengubah sifat kikirnya.
“Janganlah risaukan sangat tentang hal itu. Nanti sakit pula kepala Enbi. Saya yang akan bayarkan.” maklum Catherine yang disulami kemudiannya dengan tawa kecil.
“Oh, yakah? Terima kasih, Cat. Baiknya hati kau ini.” Catherine mengeluh di dalam hatinya. Entah bila agaknya perangai lelaki kesayangannya ini hendak berubah.
“Abang ngah!” jantung Enbi hampir terhenti berdegup mendengarkan pekikan tersebut. Rupa-rupanya Nazrul yang memekik. Beliau terus menerkam Enbi dan memeluknya dengan erat.
“Syukurlah abang ngah telah terjaga!” Suara Nazrul antara dengar dengan tidak kerana mukanya memekup dada Enbi. Tubuhnya terketar-ketar menahan sebak.
“Betulkah kau tak mahu aku mati? Sudahlah kau bawa aku ke hospital yang termahal di Malaysia, memekik-mekik pula sampai jantungku serasakan hampir meletup tadi!” rungut Enbi. Nazrul kembali mengangkat kepala dan melepaskan pelukannya.
“Ceh! Abang ngah ni memang teruklah! Nyawa dah terancam sebegitu rupa pun masih kedekut dan berkira lagi. Hospital Ibnu Sina ini mempunyai ramai doktor yang handal dan cekap dalam kes-kes kecemasan, tahu? Malah abang ngah telah dirawat dan dijaga oleh pakar dan matron berpengalaman, tahu?” leter Nazrul kembali.
“Aku tahulah; tapi hospital ini tetap sangat mahal cajnya!” bantah Enbi dengan nada yang agak keras.
“Itu pun nak bising. Saya yang akan bayar kos rawatan dan perubatannya, tahu?” maklum Nazrul.
“Eh? Kakak beritahu tadi kakak yang akan bayar feenya.” maklum Catherine pula.
“Tak kisahlah. Yang penting bukan aku yang bayar!” ujar Enbi seraya ketawa kecil. Nazrul dan Catherine saling berpandangan. Kemudian kedua-dua mereka menggelengkan kepala.
“Wah! Bisingnya! Dari luar sudah terdengar suara kamu semua.” Ketiga-tiga mereka memalingkan pandangan ke arah empunya suara. Tegak berdiri di jenang pintu adalah Ren Fairuz. Senyuman manis serta-merta terlakar di bibirnya.
Pada masa yang sama…
“Disco Inferno, Tuan Tai-Pan telahpun bersetuju untuk bertemu denganmu. Aku akan menghantar lokasi pertemuan sehari sebelum itu di emel peribadimu. Kau mesti datang seorang diri sahaja. Kalaulah betul terdapat pengkhianat di kalangan kita, pasti akan berisiko besar kepada tuan kami jika ianya adalah daripada kalangan ahli kumpulanmu. Kau juga dilarang membawa sebarang senjata. Adakah kau bersetuju dengan syarat-syarat yang dikemukakan?” tanya Penguasa Fong yang mana imejnya terpancar di alat komunikasi hologram.
“Baiklah aku bersetuju. Namun aku akan membawa dua buah alat pemancar iklan tiga dimensi sebagai demonstrasi kepada Tuan Tai-Pan. Kalau tidak beliau tidak akan mempercayaiku.” maklum Remy.
“Bukankah ia mampu menjadi senjata laser yang berbahaya?” tanya Penguasa Fong. Remy menggelengkan kepala.
“Ada unsur luar atau alat pemangkin berkuasa tinggi yang menyebabkan alat biasa ini bertukar menjadi senjata. Aku tidak memiliki teknologi secanggih itu. Jadi mustahil ia mampu menjadi senjata yang berbahaya. Kalau tidak sesiapa pun mampu menggunakannya dengan sewenang-wenang.” jawab Remy. Penguasa Fong terdiam seketika.
“Baiklah, kau boleh membawa kedua buah alat tersebut. Pertemuan ini ditetapkan tiga hari dari sekarang. Kau patut berasa bertuah kerana diberikan peluang kedua oleh Tuan Tai-Pan.” ujar Penguasa Fong sebelum imejnya menghilang.
Beberapa puluh minit kemudian :
“Jadi akhirnya Cat yang mengalahkan pencuri pakaian dalam itu?”
“Ya, bang ngah! Kak Catherine memang hebat. Lepas ini saya pasti akan belajar seni tai-chi daripada dia!” ujar Nazrul dengan nada teruja.
“Bagaimana keadaan pencuri itu sekarang?” tanya Enbi.
“Beliau pun dimasukkan ke hospital; tetapi cuma lima hari sahaja. Selepas itu kami menyumbatnya ke dalam lokap mahkamah. Tak sangka cajnya agak mahal. Sekarang kami sedang mencari seorang pendakwaraya untuk mendakwanya. Buat masa ini saya melantik peguam korporat kita untuk melanjutkan tempoh reman.” maklum Nazrul dengan panjang lebar.
“Zuraidah? Dia mana tahu tentang kes jenayah!” komen Enbi.
“Apa nak buat, kita pun tidak bersedia secukupnya ketika menubuhkan MetroPolis. Sepatutnya kita perlu terlebih dahulu mencari seorang atau beberapa orang pendakwaraya untuk menjadi panel kita.” balas Nazrul. Enbi mencebik. Beliau tahu bahawa Nazrul menyalahkannya.
Tiga hari kemudian :
“Minta maaf, puan Zuraidah. Saya tidak boleh melanjutkan tempoh reman lagi. Lagipun hujahan peguam encik Riko ada kebenarannya. Awak gagal membuktikan bahawa encik Riko mempunyai niat untuk membunuh anggota polis yang mana ianya suatu kesalahan yang tidak boleh diikat jamin. Setakat ini, encik Riko hanyalah terbukti sebagai seorang pencuri pakaian dalam. Kes beliau adalah kecil. Malah kemungkinan besar beliau cuma akan diperintahkan untuk berjumpa dengan pakar kaunseling; bukannya dipenjarakan.” Air muka Enbi, Catherine dan Nazrul berubah tatkala mendengarkan bait-bait bicara Majistret di hadapan mereka. Ren Fairuz pula tersengguk-sengguk mengantuk.
“Puan Majistret; encik Riko telah membelasah klien saya dengan begitu teruk sekali sehingga beliau koma hampir seminggu lamanya di hospital. Orang seperti encik Riko amat berbahaya dan tidak patut diberi kebenaran untuk diikat jamin.” protes puan Zuraidah yang kini bertindak sebagai pendakwaraya bagi MetroPolis. Peguam Riko, Thangaraj hanya tersengih sinis.
“Nampaknya puan Zuraidah tidak begitu arif tentang kes jenayah. Mahkamah hanya mendengar kes mengikut apa yang dinyatakan di dalam dokumen repot sahaja. Dokumen repot yang dikemukakan kepada saya adalah laporan cik Suraya iaitu kes kecurian pakaian dalam sahaja. Puan Zuraidah tidak mengemukakan sebarang dokumen repot kes menyerang dan mencederakan anggota polis. Oleh yang demikian saya tidak dapat menerima alasan puan. Encik Riko dibenarkan dengan ikat jamin sebanyak RM3,000.00 sahaja sementara menunggu tarikh perbicaraan pada 2 April nanti.” ujar Majistret yang menamatkan harapan pihak pendakwa untuk menahan Riko di lokap. Riko tersengih. Enbi pula menepuk-nepuk dahinya. Catherine hampir menitiskan air mata. Nazrul memasamkan muka. Ren Fairuz sudahpun terlena.
Di ruang utama mahkamah :
“Enbi, saya minta maaf. Saya-”
“Tak mengapa, Zuraidah. Kes ini bukanlah bidang kepakaran awak. Kami tidak patut memaksa awak. Pun begitu, bagi saya, awak masih merupakan peguam korporat saya yang terbaik.” Kata-kata Enbi berjaya meredakan sedikit perasaan bersalah Zuraidah. Pun begitu keadaan Enbi yang kini terpaksa menggunakan kerusi roda buat masa ini masih mengganggu perasaannya.
“Riko! Riko, berhenti!” Mata Enbi terarah kepada Riko yang kini berjalan mendekati mereka. Catherine telahpun bersiap-sedia berdiri di hadapan Enbi. Nazrul juga begitu. Ren Fairuz tidak berganjak daripada tempat beliau berdiri. Beliau hanya memerhatikan senario yang berlaku dengan wajah tenang.
“Puih! Kau masih menggunakan perempuan untuk melindungi dirimu? Memalukan!” cerca Riko yang kini berdiri lebih kurang tiga kaki daripada Catherine. Kata-kata beliau benar-benar menyakitkan hati. Catherine terus melangkah ke hadapan. Namun lengannya sempat dipaut oleh Enbi.
“Cat…” ujar Enbi seraya menggelengkan kepala tanda jangan bertindak melulu. Riko sempat berundur setapak ke belakang.
“Haha! Kamu semua sekumpulan sampah yang tak berguna!” cerca Riko lagi. Peguamnya, Thangaraj telahpun mendekati beliau.
“Riko, jangan buat kacau di sini!” tegah Thangaraj.
“Kau diamlah!” herdik Riko. Air muka Thangaraj berubah. Namun beliau mengambil keputusan untuk berdiam diri.
“Riko, kalau ada masa lapang datanglah ke balai polis kami.” Tiba-tiba Enbi bersuara. Semua yang berada di situ berasa musykil; termasuklah Riko.
“Aku teringin melihat kau sekali lagi melengking macam anjing dipukul oleh seorang perempuan!” sambung Enbi lagi. Nazrul dan Ren Fairuz ketawa. Catherine tersenyum dengan gaya memperlekehkannya. Zuraidah yang berlindung di belakang Enbi semakin panik.
“Riko, jangan! Mereka memang sengaja membuat provokasi agar kau melakukan sesuatu yang bodoh di sini.” tegahan Thangaraj kembali menenangkan emosi Riko yang memang bersedia untuk bertindak. Beliau tersengih. Kemudian ketawa terbahak-bahak sebelum bergerak melangkah pergi.
“Sudahlah; mari kita balik.” saran Enbi.
“Geram betul saya sebab Riko terlepas daripada tuduhan menyerang dan mencederakan anggota polis.” ujar Catherine.
“Siapa kata beliau terlepas? Kau orang tak dengarkah apa yang Majistret perkatakan tadi? Beliau sebenarnya telah menolong kita. Kes jenayah tiada sebarang tempoh had masa. Sebaik sahaja aku mendokumenkan repot tentang kejadian serangan ke atasku, pasti kita boleh menangkapnya hari ini juga untuk pertuduhan yang lebih serius.” ujar Enbi. Semua yang berada di sekelilingnya tersentak.
“Betulkah, abang ngah?”
“Ya, memang betul cakap Enbi. Malu betul saya sebab tidak menyedarinya. Sebaik sahaja Enbi membuat repot, Riko boleh ditangkap dan dalam masa yang sama saya akan memfailkan repot tersebut di mahkamah.” ujar Zuraidah pula.
“Wah! Ini memang berita bagus! Mari kita segera ke balai.” saran Nazrul. Nadanya begitu gembira sekali. Catherine turut tersenyum riang. Zuraidah berasa lega. Ren Fairuz pula mengerling ke arah Enbi. Nampaknya Enbi tidaklah segembira mereka semua. Sungguhpun Enbi berjaya mengawal emosinya tadi, namun air mukanya yang suram memperlihatkan keinginannya untuk membunuh Riko pada masa itu juga jikalau boleh.
Ren Fairuz tersenyum.
Pada masa yang sama…
“Rupa-rupanya ini hanyalah suatu perangkap. Licik benar kau ini!” ujar Remy dengan nada bengang. Beliau kini dikelilingi oleh puluhan ahli kumpulan Tai-Pan yang bersenjatakan parang panjang.
Penguasa Fong tidak membalas kata-kata tersebut. Sebaliknya beliau hanya menghadiahkan senyuman penghinaan ke atas pengkhianat kumpulan Don tersebut.
No comments:
Post a Comment