Monday, August 31, 2009

MetroPolis 2009 - Bab 5

Nazrul



Catherine masih duduk memeluk tubuh di sofa balai polis milik Enbi. Tubuhnya tiada berkesudahan menggeletar sehinggakan Enbi terpaksa membalutnya dengan gebar. Inilah kali pertama Catherine berkeadaan begini. Manakan tidak, inilah julung-julung kali beliau merasai pancaran Qi yang amat dahsyat dari tubuh seseorang.

Enbi bergegas ke dapur. Beliau mengaktifkan butang pembuat kopi di meja kabinet. Beberapa saat kemudian secawan kopi O panas siap dibancuh. Enbi dengan berhati-hati membawanya kepada Catherine. Sahabatnya itu masih menggeletar. Enbi terperasankan air mata yang bergenang di kedua mata bening gadis ayu tersebut. Catherine yang mulai menyedari akan kehadiran Enbi cepat-cepat mengesat kedua belah matanya dengan lengan kanan. Beliau enggan membuat Enbi berasa bimbang. Enbi meletakkan belakang tangan kanannya ke dahi Catherine. Kemudian ke leher gadis itu pula.

“Cat, minumlah kopi panas ini. Suhu badan kau menurun. Muka pun dah menjadi pucat lesi. Risau aku tengok keadaan kau ini.” ujar Enbi yang kini duduk rapat di samping gadis tersebut. Secawan kopi yang masih berasap diunjukkan kepada Catherine. Hati gadis tersebut yang diserabuti emosi ketakutan dan kebimbangan beransur-ansur mulai pulih dan berasa lega.

“Saya sudah okey. Terima kasih, Enbi.” ujar Catherine dengan lembut. Wajahnya mulai dihiasi dengan senyuman manis. Baharulah Enbi boleh tersenyum dan berasa lega bila melihatkan riak ceria di muka sahabatnya itu.

“Aku tahu yang kau ini mahir dalam seni mempertahankan diri dan ilmu Qigong tapi kau benar-benar pastikah ustaz Fairuz tadi orang yang memiliki Qi sedemikian rupa?” tanya Enbi.

“Entahlah; saya tak pasti. Hembusan Qi yang dahsyat itu cuma datang dengan seimbas saja. Tapi ianya benar-benar menakutkan saya,” jawab Catherine. Nada suaranya masih bergetar.

Enbi bungkam. Perlahan-lahan beliau bangkit dari duduknya dan melangkah keluar daripada balai. Sebaik sahaja kakinya memijak di laluan pejalan kaki, Enbi menoleh ke kanan. Ke arah sebuah masjid yang terletak kira-kira 40 meter dari bangunannya. Fikirannya bercelaru. Terlalu banyak yang difikirkannya dalam suatu masa. Namun semuanya menjurus ke arah suatu perasaan : Risau.

*******************************************


Keesokannya...

Enbi menekan loceng sebuah kondominium miliknya di Pandan Jaya, Kuala Lumpur. Menurut pekerjanya, penyewa di kondominium tersebut begitu liat mahu membayar sewa bulanan yang kini telah masuk bulan yang ketujuh. Enbi merengus kerana terpaksa datang ke Kuala Lumpur semata-mata untuk perkara remeh-temeh sebegini. Malah pekerjanya itu juga telah dipecat oleh beliau.

Jenang pintu perlahan-lahan terkuak. Muncul seorang gadis yang begitu seksi penampilannya. Enbi tergamam seketika. Gadis tersebut seperti pernah dilihatnya di mana-mana sebelum ini. Wajahnya tidaklah begitu cantik. Namun tubuhnya memang mampu membuatkan mana-mana lelaki menelan air liur tatkala memandangnya.

”Ya? Awak siapa? Nak apa? Boleh cepat sikit tak bagitau saya sebab saya nak pergi ke kelab liburan sekarang.” Kata-kata gadis tersebut memang menyakitkan hati. Gamam Enbi memulih dengan sendirinya. Perasaan bengang mula menular di hatinya.

”Hah? Nak apa? Cakaplah!” ujar gadis tersebut dengan nada bengang. Ianya semakin menambahkan kemarahan Enbi.

”Ini rumah aku. Kau sudah tak membayar sewa selama tujuh bulan berturut-turut. Pergilah ke kelab liburan malam ini dan mabuklah sepuas-puasnya. Mulai esok aku akan menghantar orang-orang aku untuk memecahkan kunci dan mengeluarkan kesemua barang-barang kau di dalam rumah aku ini. Kau pergilah cari rumah lain. Selamat malam.” maklum Enbi sebelum melangkah pergi. Namun gadis tersebut cepat-cepat menarik tangannya.

“Janganlah begitu. Awak tau tak siapa saya?” tanya gadis tersebut dengan nada cemas. Namun calit keangkuhan masih wujud pada suaranya.

“Aku peduli apa!” bentak Enbi seraya merentap tangannya. Gadis tersebut kembali menangkap tangan Enbi.

”Saya ni artis, tau? Malulah saya kalau orang awam mendapat tahu hal macam ini.” maklum gadis tersebut yang mulai melunakkan suaranya. Baharulah Enbi dapat mengenali gadis tersebut. Beliau rupa-rupanya adalah seorang artis yang baharu berkecimpung dalam industri hiburan.

”Muka kamu kan selalu keluar dalam iklan? Kemana duit yang kamu dapat? Kamu joli sakan ke?” tanya Enbi dengan nada keras. Gadis tersebut mengangguk seraya tertawa segan. Enbi merengus serta menggelengkan kepala.

“Abang ikutlah saya ke kelab malam ini. Lepas itu kita balik dan abang bolehlah bermalam di sini. Saya akan buat apa saja yang abang suruh asalkan abang tak minta saya keluar dari kondominium ini.” saran gadis tersebut dengan nada merayu. Saranannya itu berjaya menarik minat Enbi.

”Kamu sanggup bagi aku mempergunakanmu?” tanya Enbi dengan penuh minat. Gadis yang mengaku artis tersebut menganggukkan kepala. Senyuman menggodanya sengaja ditujukan kepada Enbi.

“Aku mahu membuat promosi untuk perniagaan kad-kad eksotikku. Aku mahu kau menjadi duta dan model iklan untuk barang daganganku itu secara percuma. Sama ada kau bersetuju atau kau keluar dari kondominium ini besok.” maklum Enbi. Gadis tersebut tercengang.

“Bukankah awak mahu... umm... saya?” tanyanya dengan nada teragak-agak. Enbi tersenyum.

“Aku tak minat. Lagipun dengan harta yang aku ada, aku boleh dapat perempuan yang sepuluh kali ganda lebih hebat daripadamu.” balas Enbi seraya meninggalkan gadis tersebut yang masih dalam keadaan termangu-mangu.

************************************************


Kini telah masuk hari yang ketiga Catherine jatuh sakit dan demam. Peluang ini digunakan dengan sebaik-baiknya oleh Enbi untuk menghias balai polis mengikut citarasanya. Jika Catherine ada, pasti mereka akan berbalah. Mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri, warna wajib bagi sesebuah balai polis adalah biru tua. Namun warna serta rekaan pakaian seragam bolehlah mengikut citarasa syarikat masing-masing. Syarikat Polis Malaysia telahpun menggunakan warna biru tua sebagai warna rasmi pakaian seragam mereka. Malah telah mempatenkannya termasuk dengan rekaan fesyennya sekali.

“Aiya! Teruk betul hiasan dalamannya!” Enbi tersentak tatkala mendengarkan suara yang membuat komen di belakangnya. Suara tersebut memang tidak asing lagi. Enbi segera berpaling ke belakang. Rupa-rupanya Catherine telahpun kebah dari demamnya dan kini berdiri di belakang Enbi dengan wajah mencuka.

“Cat! Cepatnya kau sembuh. Berehatlah lama sikit di rumah.” nasihat Enbi. Nadanya tidak ikhlas.

“Bunyi cakap Enbi tak ikhlas langsung. Kenapa pandai-pandai buat hiasan sendiri? Buruk betul rupanya!” tingkah Catherine.

“Aku mengambil keputusan untuk menggunakan kuasa veto bagi hiasan dalaman ini. Jadi kau jangan pandai-pandai hendak menghias balik, Cat!’ ujar Enbi dengan nada yang dibuat-buat tegas.

“Saya tak peduli! Saya akan panggil ahli keluarga saya untuk membuat hiasan dalaman balai ini nanti.” balas Catherine dengan nada tidak berpuas hati. Baginya, hiasan ala Enbi tersebut tidak ubah seperti sebuah bilik karaoke kos murah. Mendengarkan kata-kata Catherine, Enbi terus menjadi panik. Kalau benar ahli keluarga sahabatnya yang membuat hiasan dalaman, pasti akan menjadi haru-biru nanti.

“Aaa.. Jangan! Jangan! Beginilah, biar aku yang membuat hiasan dalaman. Kau pula untuk rekaan pakaian seragam kita. Bagaimana?” cadang Enbi. Catherine terdiam sejenak. Setelah lama berfikir akhirnya beliau menganggukkan kepala.

“Ini balai polis ke, atau bilik karaoke?”

Enbi menoleh ke arah sisi kirinya. Seorang pemuda dalam lingkungan usia 20an tegak berdiri memerhatikan balai polis Enbi. Beliau berfizikal agak kurus tetapi bertubuh tinggi lampai. Rambutnya pendek seperti gaya budak sekolah. Wajahnya yang bujur sirih dan agak tampan namun dirosakkan oleh bentuk cermin matanya yang hodoh.

“Hai Nazrul!” tegur Catherine dengan ceria.

“Ceh! Kau budak mentah apa tau? Inilah nilai seni estetika aku yang kreatif, tau?” ujar Enbi dengan agar keras. Ternyata beliau kurang senang dengan komentar tadi.

“Hei, janganlah memarahi adik awak. Dia bercakap perkara yang benar, tau?” bantah Catherine. Rupa-rupanya pemuda tersebut yang dikenali sebagai Nazrul ialah adik Enbi. Nazrul hanya tersengih bila dipuji dengan sedemikian rupa..

“Abang Ngah, sebenarnya saya datang ke sini adalah untuk bertanyakan bahawa kenapa abang ngah berani membuat pelaburan di London?” tanya Nazrul. Nampaknya beliau enggan membuang masa berbasa-basi dengan abangnya itu.

“Bertanya? Aku rasa lebih sesuai kalau kau guna perkataan ‘mempersoalkan’.” balas Enbi dengan nada mencemuh. Matanya masih tertancap pada dekorasi yang dibuatnya pada syarikat MetroPolis Enterprise.

“Jangan begitu, abang ngah. Abang ngah membuat pelaburan menggunakan wang Bank Enbi Sdn. Bhd. Bukan duit abang ngah saja yang ada dalam bank tersebut. Ahli lembaga pengarah bimbang…”

“Itulah aku sudah kata yang kau ini masih mentah lagi. Nazrul, syer aku di dalam bank tu adalah syer majoriti. Sekalipun kesemua ahli lembaga pengarah bergabung syer untuk menjatuhkanku, mereka masih belum mampu mengatasi syer majoritiku. Tapi mereka pun bukannya bodoh. Aku tahu bahawa secara senyap-senyap mereka membuat pelaburan di luar negara menggunakan wang peribadi. Pada jangkaanku, dua tahun lagi; di dalam mesyuarat agung, pasti kesemua ahli lembaga pengarah akan mengundi sebulat suara untuk menaikkan nilai syer. Ketika itu syerku tidak lagi menjadi majoriti. Dan mereka boleh berbuat sesuka hati terhadap syarikatku itu.” Enbi memotong kata-kata Nazrul dengan penerangan yang panjang lebar.

“Habis, kenapa abang mahu melabur di London? Apa yang ada di sana? Semenjak kerajaan Britain dibinasakan oleh pendekar Emissary, majoriti rakyat di negara itu bertebaran meninggalkan tanahair mereka. Hanya yang tidak mampu untuk berhijrah saja yang terpaksa tinggal di situ. Kota London adalah tempat orang miskin merempat sekarang. Apa kena-mengenanya dengan misi untuk menyelamatkan syarikat abang ngah? Adakah abang ngah nak menggunakan wang ahli lembaga pengarah yang lain untuk melabur bagi mengurangkan kuasa wang mereka” bantah Nazrul dengan emosional.

“Kalau aku berbuat begitu, tentulah mereka tidak setuju. Aku akan menggunakan wangku sendirilah dari sumber perniagaan-perniagaan yang lain.” jawab Enbi.

“Kalau duit abang ngah hangus, tahun ini juga abang ngah akan jatuh.” sanggah Nazrul. Enbi hanya tersengih. Kemudian dijentiknya dahi Nazrul.

“Memang sahih budak mentah. Itulah natijahnya memakai cermin mata yang hodoh,” komen Enbi seraya tertawa. Air muka Nazrul merah padam.

“Nazrul, aku sudah melihat dan mengkaji potensi kota London. Kelebihan tempat itu ialah ia dipenuhi dengan bangunan antik dan bersejarah. Aku akan menjadikan kota London sebagai sebuah destinasi pelancongan yang romantik, yang bertemakan pendidikan, yang bertemakan hiburan dan yang bertemakan tempat bersejarah. Ianya akan dilakukan dalam beberapa fasa. Namun aku menjangkakan bahawa apabila fasa pertama disiapkan, ia sudah boleh dibuka kepada para pelancong dan mampu membuat keuntungan. Dengan keuntungan tersebut, aku akan mampu mengatasi para pelabur lain di Bank Enbi Sdn. Bhd.. Seterusnya beberapa fasa lagi yang akan disiapkan selepas itu pasti akan menjamin kedudukanku sebagai pengerusi di syarikat tersebut. Kau ini akauntan yang asyik merujuk buku teks. Memanglah kau nampak perkara yang negatif sahaja.” terang Enbi dengan panjang lebar sambil menepuk-nepuk bahu adiknya. Nazrul terdiam panjang. Otaknya cuba mencernakan kata-kata Enbi tadi.

“Ada satu lagi masalah.” ujar Nazrul pula. Enbi memandang adiknya dan membuat isyarat agar Nazrul memberitahunya tentang masalah tersebut.

“Balai polis ini akan menelan keuntungan peniagaan abang ngah dalam anggaran sebanyak 17 peratus. Jadi besar kemungkinan mereka akan berjaya untuk menjatuhkan abang ngah pada tahun ini juga.” perjelas Nazrul. Enbi menganggukkan kepala. Catherine yang mengikuti perbualan mereka berubah air mukanya. Cetusan kerisauan mulai berputik di hatinya.

“Membuat balai polis yang tidak mengenakan sebarang bayaran adalah perkara yang tak masuk akal dan merugikan.” komen Nazrul dengan nada protes. Tangan kanannya menayangkan sekeping risalah yang Enbi dan Catherine telah sebarkan ke segenap pelusuk premises di Ipoh.

“Tumpang tanya…” Suara gemersik yang menegur dari belakang serta-merta menamatkan perbualan serius adik-beradik tersebut. Ketiga-tiga mereka menoleh ke belakang. Seorang gadis tegak berdiri di hadapan mereka dengan pandangan yang agak gementar. Nazrul terlongo. Gadis tersebut adalah seorang yang amat cantik dan menawan sekali.

“Tumpang tanya; di sinikah tempatnya balai polis MetroPolis Enterprise? Syarikat polis yang tidak mengenakan sebarang bayaran perkhidmatan?” tanya gadis tersebut dengan nada ragu-ragu.

“Ya,” jawab Enbi. Terselit nada yang agak curiga pada jawapannya.

“Err.. Aaa…. Saya sebenarnya datang ke sini untuk membuat aduan kes jenayah.” maklum gadis tersebut dengan nada perlahan. Mukanya menjadi kemerah-merahan. Belum sempat Enbi menjawab, tiba-tiba Nazrul terus melangkah merapati gadis tersebut seraya menghulurkan salam.

“Saya Nazrul, anggota polis MetroPolis. Saya yang bertanggungjawab di bahagian pengaduan. Selamat datang, cik. Sila masuk,”


- bersambung -

No comments: