Sunday, August 23, 2009

MetroPolis 2009 - Bab 4

Ren Fairuz





Dua hari kemudian…

“Tak sangka betul!” Teriakan lantang Enbi mengejutkan beberapa anggota polis yang bertugas di Jabatan Pendaftaran Balai Polis, Syarikat Polis Malaysia Berhad.

“Mana boleh suatu balai polis tiada ketua balai? Tambahan pula ketua balai mestilah sekurang-kurangnya berpangkat Sarjan Mejar.” ujar kerani berpangkat Koperal dengan nada tenang. Ternyata beliau lebih bersabar meladeni kerenah Enbi berbanding dengan kerani SPMB sebelum ini.

“Aku tak kisahlah tentang itu. Tetapi nak membeli pangkat Sarjan Mejar pun kena buat pembayaran sebanyak RM30,000 ke?” bentak Enbi. Koperal tadi mengangguk. Senyumannya masih melekat di bibir. Enbi merengus. Beliau kembali merenung buku senarai pembelian pangkat-pangkat yang baharu diberikan kepadanya. Rupa-rupanya untuk mempunyai balai polis secara rasmi, Enbi perlu sekurang-kurangnya membeli satu pangkat Sarjan Mejar, satu pangkat Sarjan dan satu pangkat Koperal. Pangkat Konstabel pula adalah percuma setakat tiga orang sahaja.

“Berapa orang telah menjadi anggota polis secara rasmi di balai tuan?” tanya Koperal tersebut dengan sopan.

“Baru dua. Aku dan seorang lagi. Tapi lepas ini aku bercadang hendak mencari beberapa anggota lagi.” jawab Enbi. Suaranya kembali lunak bila melihatkan kerani di hadapannya ini begitu bersopan sekali melayani sikap kasarnya tadi.

“Itu tak mengapa. Tuan boleh membeli dulu pangkat-pangkat ini dan kemudian mendaftarkan anggota-anggota yang tuan berikan pangkat-pangkat tersebut di pejabat ini.” maklum Koperal tersebut dengan nada memujuk.

“Bolehkah aku membeli pangkat DSP (Timbalan Penguasa Polis) pula?” Pertanyaan Enbi membuatkan mata Koperal tersebut membulat besar.

“Maafkan saya, tuan. Tuan pada peringkat permulaan hanya dibenarkan membeli pangkat setakat ASP (Penolong Penguasa Polis) sahaja. Setelah lima tahun balai beroperasi, barulah tuan dibenarkan membeli pangkat DSP. Itupun setelah melepasi beberapa syarat yang ketat.” jawab Koperal tersebut.

“Untuk membeli ASP pun aku kena mempunyai sekurang-kurangnya lima puluh orang anggota, kan?” tanya Enbi melalui pembacaan ringkas di dalam buku senarai tersebut. Beliau kembali merenung buku itu untuk mengesahkan kata-katanya tadi.
“Tuan boleh juga membeli pangkat ASP dengan anggota yang kurang dari lima puluh orang. Tetapi tuan perlu membuat pembayaran deposit tambahan sebanyak RM50,000 sahaja dengan Kementerian Dalam Negeri. Bila balai tuan sudah mempunyai cukup kouta anggota yang disyaratkan, tuan boleh menuntut kembali wang deposit tersebut.” maklum Koperal tadi. Enbi terdiam. Agak lama juga beliau mempertimbangkan senarai pangkat-pangkat yang mahu dibelinya. Tentu reputasi MetroPolis akan meningkat naik jika beliau sebagai ketua balai memegang suatu pangkat yang agak tinggi.

“Bagaimana tuan? Tuan mahu membuat pembelian sekarang ataupun mahu mengambil masa untuk berfikir? tanya Koperal tadi dengan nada yang amat sopan.

***********************************************


Beberapa jam kemudian…

Enbi memarkirkan Mercedesnya dengan cermat di hadapan balai polisnya. Kelihatan Catherine sedang menunggu dengan senyuman manis. Enbi keluar dari keretanya bersama sebuah beg kulit yang agak besar. Beliau melontarkan pandangan ke arah papan tanda perniagaan yang baharu dipasang semasa ketiadaannya. ‘MetroPolis Enterprise’; begitulah tulisan yang tertera pada papan tanda besar tersebut.

“Cantikkan papan tanda itu?” tanya Catherine tatkala derap kaki Enbi memasuki balai polisnya. Enbi mencebik. Beliau terpaksa mengeluarkan belanja yang agak besar untuk papan tanda perniagaan tersebut. Semuanya gara-gara Catherine yang memaksanya berbuat demikian. Enbi meletakkan beg tersebut atas meja sementara yang dipinjam dari restoran Catherine.

“Apa itu?” tanya Catherine dengan penuh minat. Enbi tidak menjawab. Sebaliknya beliau mengeluarkan sebuah kotak yang cantik di dalam beg tersebut dan mengunjukkannya kepada gadis manis tersebut. Catherine segera membukanya. Di dalam kotak tersebut terdapat beberapa kepingan logam yang amat cantik.

“Itu pangkatmu, Cat. Kau adalah Inspektor Catherine sekarang.” maklum Enbi.

Catherine ternganga.

*********************************************


Keesokan harinya…

Mata Catherine mencelang dengan perasaan geram terhadap Enbi. Sahabatnya itu juga tidak mahu mengalah turut membalas kembali dengan renungan tajam. Tuan punya kedai perabot terpakai yang berasa cuak dengan sikap mereka berpura-pura menekan papan kekunci mesin kira-kiranya seolah-olah sedang mengira sesuatu.

“Teruk sangat rupa meja ini, Enbi. Malulah kita jika orang melihat meja yang sudah bercendawan ini bila mereka masuk ke dalam balai.” rungut Catherine. Rupa-rupanya itulah punca perselisihan mereka.

“Ala, nanti kita kikislah cedawan-cendawan itu. Lepas itu kita sapukan dengan bahan pengilat kayu. Pasti akan nampak cantik dan seolah-olah baru. Silap gaya, ada pula orang yang berminat nak membelinya dengan harga yang mahal sebab kelihatan macam barang antik.” Enbi mempertahankan tindakannya memilih meja yang keadaannya seperti hidup segan mati tak mahu itu. Walhal sebenarnya untuk menutup perangai lokeknya itu.

“Enbi; kalau awak tambah RM5 lagi pun sudah boleh mendapat meja yang cantik dan berkali ganda baiknya seperti meja itu.” hujah Catherine sambil menunding jari lentiknya ke arah sebuah meja lama yang masih dalam keadaan baik fizikalnya.

“Heh, RM5 itu bukan kecil jumlahnya, tau? Aku dapat makan bubur nasi selama dua hari dengan duit sebanyak itu.” pertahan Enbi lagi.

“Itu adalah kerana saya memberi diskaun yang besar kepada awak. Tempat lain manalah ada menjual nasi bubur dengan harga RM1 saja?” omel Catherine dengan nada geram. Ternyata beliau sudah tidak betah dengan sikap kedekut Enbi.

“Kau katalah apa yang kau suka, Cat. Aku tetap akan membeli meja itu sebab harganya cuma RM5 saja. Meja yang kau tergila-gilakan sangat itu RM10 harganya, tau? Aku mahu yang terbaik dan termurah. Itu keputusan muktamad aku. Surat-menyurat tak akan dilayan,” Begitulah gayanya Enbi berhujah. Tidak rasional dan kebudak-budakan.

Catherine mengeluh kecewa. Perangai kikir Enbi kadang-kadang lebih teruk daripada peniaga Yahudi. Tidak sanggup menambah RM5 lagi untuk mendapat meja yang lebih baik. Walhal pendapatan beliau menjual kad-kad eksotik secara purata adalah RM40,000.00 sebulan. Itu tidak termasuk lagi pendapatan dari bank kepunyaannya, pendapatan dari 276 apartmen yang disewakannya, pendapatan dari jualan ayam daging di ladang ternakan seluas 5 ekar miliknya dan berpuluh-puluh portfolio syer sahamnya.

“Beginilah; saya akan tambah RM5 lagi kalau awak bersetuju membeli meja pilihan saya. Awak tak akan rugi apa-apa sebab memang awak bercadang nak membeli dengan harga RM5 saja. Bagaimana? Setuju?” saran Catherine sebagai langkah terakhir untuk memujuk Enbi.

“Kalau begitu, lebih baik kau saja yang bayar untuk meja itu, Cat. Aku lagi tak rugi apa-apa.” saran Enbi pula. Saranan yang amat bodoh.

“Kalau begitu, lebih baik saya caj awak bubur nasi mengikut harga asal lain kali.” balas Catherine dengan nada geram. Sungguhpun beliau menyimpan perasaan terhadap Enbi, gadis tersebut tidak akan membiarkan Enbi membulinya sesuka hati.

“Okey! Okey! Aku bergurau saja tadi. Aku setuju kita berkongsi membayar meja pilihan kau.” Dengan cepat Enbi mengalah. Ternyata sikap kedekutnya mengatasi egonya kali ini. Enbi cukup masak dengan perangai sahabatnya yang dikenalinya semenjak dari kecil lagi itu. Sungguhpun nampak lemah-lembut dan bersopan, Catherine adalah seorang yang keras hati apabila menegakkan pendiriannya dan pasti akan mengotakan apa yang dituturkannya. Tentu nahas jika Enbi terpaksa membayar RM5 bagi semangkuk bubur nasi nanti.

*******************************************


Beberapa jam kemudian…

“Memang cantiklah meja yang kita telah pilih, Cat!”

Catherine memandang Enbi dengan ekspresi mencebik. Entahnya bila pula Enbi turut bersama memilih meja tersebut. Padahal bukan main membangkang tadi. Kedua-dua mereka tegak berdiri di luar bangunan perniagaan yang bakal menjadi balai polis sedikit masa lagi.

“Aku sudah membeli cat untuk hiasan dalaman.” maklum Enbi pula seraya menunding ke arah beberapa tong cat dan beberapa peralatan mengecat. Catherine meneliti jenama yang tertera pada tong cat tersebut.

“Hah, mampu pula awak membeli cat yang mahal, Enbi!” komen Catherine. Sinis.

“Uih, cat jenama ini boleh bertahan selama 20 tahun, tau? Jadi tak perlulah kita kerap mengecat dinding bangunan ini. Jimat duit.” balas Enbi dengan selamba. Beliau langsung tidak terperasankan sindiran sahabatnya tadi. Catherine ketawa kecil. Rupa-rupanya Enbi membeli cat-cat tersebut dalam keadaan masih berkira akan kos yang dapat dijimatkannya kelak. Memang dasar manusia yang kikir.

Enbi membuat beberapa lakaran conteng pada buku sketsa yang dipegangnya semenjak tadi. Beliau enggan mengupah seorang juruhias dalaman untuk melakukannya. Matanya asyik tertancap ke arah balai polis miliknya. Sekejap-sekejap beliau bergerak ke depan dan mundur belakang seolah-olah meneliti sebuah lukisan abstrak. Ketika sekali lagi Enbi berundur ke belakang, tubuhnya tiba-tiba berlaga dengan sesuatu. Enbi tersentak. Buku sketsanya terlepas daripada pegangan. Beliau segera berpaling ke belakang. Catherine yang bersamanya turut memanggung kepala ke arah Enbi.

Enbi terpegun. Objek yang dilanggarinya adalah seorang lelaki dalam usia sepertinya juga. Lelaki tersebut berjubah serba putih. Malah ketayapnya juga berwarna putih. Di tangannya tergenggam kemas sebuah kipas tangan lipat. Penampilan sedemikian menunjukkan beliau seorang yang alim. Namun matanya begitu tajam menghunjam ke arah Enbi. Seketika kemudian pandangan tersebut menjadi lunak dan lelaki tersebut segera bertinggung untuk mengutip buku sketsa yang jatuh tadi.

“Assalamualaikum. Maafkan saya kerana menjatuhkan buku tuan.” pohon lelaki tersebut dengan senyuman mesra. Enbi terus menyambut buku sketsa yang diunjukkan kepadanya.

“’Alaikumsalam. Ah, tak mengapa. Salah saya juga kerana tak memandang sekeliling.” balas Enbi dengan sopan. Lelaki tersebut melemparkan pandangan ke arah balai Enbi.

“Ini balai polis, ya?” tanya lelaki tersebut. Enbi menganggukkan kepala.

“Tentu ia mendatangkan keuntungan yang lumayan kelak kepada tuan.” komen lelaki tersebut. Wajahnya yang bersih bertambah berseri dengan senyuman manisnya.

“Jangan salah sangka. Saya membina balai polis ini untuk berkhidmat dan berbakti kepada masyarakat. Tiada sebarang bayaran yang dikenakan. Ianya percuma!” maklum Enbi dengan penuh bersemangat. Lelaki tersebut menghadiahkan ekspresi terkejutnya kepada Enbi. Namun senyuman beliau masih tidak lekang dari bibir.

“Begitu rupanya… Nampaknya saya patut sekali lagi memohon kemaafan daripada tuan. Maafkanlah kejahilan saya ini.” pohon lelaki tersebut dengan bersungguhan. Tindak-tanduknya membuatkan Enbi berasa pelik.

“Apa maksud awak?” tanya Enbi dengan nada curiga. Lelaki tersebut tidak menjawab. Sebaliknya beliau membentangkan kipas tangannya dan memberi salam kepada Enbi. Kemudian beliau melangkah pergi. Namun beliau tiba-tiba berhenti pula dan berpaling ke arah Enbi.

“Oh, ya! Nama saya ialah Ren Fairuz. Saya adalah imam dan guru agama di masjid berdekatan. Sesekali tuan Enbi datanglah menjengah ke sana, ya?” pesan lelaki tersebut sebelum kembali memulakan langkah. Enbi menggaru kepalanya yang tidak gatal. Beliau hairan bagaimana lelaki tersebut boleh mengetahui namanya. Terselit juga perasaan malu kerana disindir sedemikian rupa.

Enbi berpaling pula ke arah Catherine. Baharulah dia perasan bahawa sahabatnya itu bungkam tanpa sebarang reaksi. Hati Enbi tersentak bila melihatkan wajah comel Catherine dibasahi peluh. Wajahnya itu juga berkerut-kerut seolah-olah mengalami ketakutan yang bukan kepalang.

“Kenapa ni Cat? Apa yang tak kena? Sakit perut ke? Pakailah tandas di kedai aku ini.” saran Enbi setelah bertanya bertalu-talu. Saranan yang amat bodoh.

“Enbi, lelaki tadi…” jawab Catherine dengan nada bergetar. Beliau enggan mengulas jenaka bodoh sahabatnya itu tadi. Ternyata sesuatu yang baharu sahaja dialami oleh Catherine mengatasi jenaka Enbi tadi.

“Kenapa dengan lelaki tadi?” tanya Enbi lagi. Kali ini tonasinya berubah.

“Qi lelaki tadi… Qi yang menyebarkan aura pembunuhan yang sangat dahsyat!”



- bersambung -


***************************************
Notakaki :

Assalamu'alaikum. Apa khabar semua? Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan kepada seluruh umat Islam. Semoga kita semua dilindungi dari penyakit H1N1 dan demam denggi di bulan yang penuh dengan rahmat dan keberkatan ini.

Kini blog saya menghidangkan cerita MetroPolis pula untuk anda semua. Bagi sesiapa yang pernah membaca cerita ini, tentu anda terperasankan beberapa penambahan yang saya lakukan terhadap cerita ini. Cerita ini masih mempunyai elemen romantik. Namun ianya lebih berkisar tentang kisah masyarakat di masa akan datang. Watak protagonis dalam cerita ini adalah Enbi, yang mana saya harap adalah berbeza dari watak Arif Akmal. Saya berasa agak bimbang untuk mengulang kembali cerita ini kerana mungkin rakan-rakan saya yang sudah membaca cerita ini berasa jemu dan enggan membacanya. Namun saya percaya ianya adalah seperti Fullmetal Alchemist : Brotherhood yang sungguhpun dibuat semula, ianya tetap diminati. Saya juga berharap begitu. Terima kasih di atas kesudian anda semua meluangkan masa untuk blog saya selama ini :)

No comments: