Sunday, June 21, 2009

Emo Hero Bab 46

Emo Hero Bab 46



Kami bertiga terus pulang sebaik sahaja tamat upacara kenduri tahlil dan doa untuk Allayarham abang sulungku. Wadi yang kononnya tidak lembik dan sangat bersemangat itu langsung tertidur keletihan setelah tak sampai sepuluh minit duduk di dalam kereta. Bukan main berdengkur kuat lagi. Agak mencabar juga bagi bunyi deruman enjin kereta Nizam untuk bersaing dengan bunyi dengkuran enjin F1 Wadi. Akhirnya sepanjang perjalanan ke UNISAS yang terletak lebih kurang 120 kilometer, hanya aku dan Nizam sahaja yang berganti-ganti memandu. Manakala Wadi pula mungkin sedang memadu asmara dengan Puteri Raden Galoh di Mexico.

Apabila sampai ke hostel, Nizam seperti biasa menumpang setinggan di bilik kami untuk tidur. Manakala aku pula gagal untuk memjamkan mata walau sesaat. Bukannya aku tidak dapat tidur kerana perihal kematian abang sulungku. Ini adalah kerana apa yang telah diperkatakan oleh Andrew sebelum beliau pergi. Ianya benar-benar mengganggu fikiranku.

Keesokan harinya tatkala aku menghadirkan diri ke UNISAS, rakan-taulanku sibuk bertanya khabar dan mengucapkan takziah dengan cara tersendiri. Biasanya majoriti rakan lelaki memelukku manakala perempuan pula paling kuat pun hanya menepuk-nepuk bahuku.

“Oh, ya… Arip, ada seorang awek Cina setiap hari datang ke sini mencari kau. Dia kata nama dia…”

“Shaleen! Dia ada datang tak hari ni?” tanyaku yang memangkas kata-kata rakanku yang bernama Yuhairie tadi.

“Aa… selalunya dia tunggu di kafe.” Sebaik sahaja mendapat makluman tersebut, aku bersegera ke kafeteria untuk mencari Shaleen. Sebaik sahaja tiba di sana aku berasa lega bercampur teruja kerana ternampakkan kelibat Shaleen. Beliau juga seperti mengetahui akan kedatanganku terus sahaja memandang ke arahku. Aku tersenyum tetapi Shaleen tidak. Beliau segera bangun dan menuju ke arahku. Sebaik sahaja mendekatiku, Shaleen terus menumbuk bahuku berkali-kali dengan perasaan geram.

“Apa ni Leen?” tanyaku yang berasa terkejut dengan perbuatannya.

“Where the hell are you all this while? After you called me to tell the news about your brother, I can’t get back to you. What’s going on? I was worried shit about you!” bentaknya. Ternyata Shaleen benar-benar marah kali ini. Aku mengeluarkan telefon selularku dari poket dan melihat skrinnya. Kosong. Rupa-rupanya sebaik sahaja tiba di hospital untuk pengecaman mayat abang sulungku, aku terus mematikan telefonku dan langsung terlupa untuk menghidupkannya kembali sehingga sekarang.

“Sorry, Leen. Saya tutup handphone masa kat hospital. Langsung terlupa nak switch on sampai sekarang.” pohonku berserta dengan penjelasan.

“Fuck you, man!” omel gadis Cina di hadapanku dengan nada kesal. Beliau menggeleng-gelengkan kepala tanda masih kesal dengan sikapku. Matanya pula mulai berkaca.

“I’m so sorry. I really am. Saya betul-betul kelam-kabut. Saya tak dapat berfikir apa-apa pun. I’m so sorry, Leen.” pohonku.

“I’m so sorry about your loss.” Sebaik sahaja berkata demikian Shaleen terus memelukku dan menangis tersesak-esak. Aku berasa tergamam dengan sikap sembrono gadis itu namun aku membiarkan sahaja beliau melepaskan rasa sedih dan rajuknya. Aku tahu semua mata di kafeteria sedang memandang ke arah kami. Mereka pasti hilang punca dengan insiden ini. Lebih-lebih lagi mak cik Rodiah atau lebih mesra dikenali sebagai mak cik brutal. Selama yang mereka ketahui, aku dan Adrina adalah bagaikan sepasang kekasih. Jadi mengapa pula seorang gadis Cina sedang memelukku dengan mesra sekarang? Aku biarkan sahaja mereka membuat spekulasi dan ramalan. Mungkin selepas ini ada yang berminat untuk bekerja di bahagian ramalan kajicuaca.

*********************************************

Aku langsung tidak memasuki kelas. Sebaliknya menghabiskan masa berbual-bual dengan Shaleen di kafeteria. Mujurlah Professor Rohatgi adalah seorang pensyarah yang bertimbangrasa dan tidak berkira dengan kedatangan kami ke kuliahnya. Mak cik Rodiah sempat tersenyum menyindir kepadaku semasa menghidangkan minuman.

Setelah habis kuliah, Nizam dan Wadi terus datang ke kafeteria. Di sana kami berempat berbual-bual seketika sebelum aku meminta diri. Nizam segera memberi kunci keretanya kepadaku.

“Arif.” seru Shaleen tatkala aku menghayunkan beberapa langkah meninggalkan mereka. Aku terhenti dan kembali berpaling ke belakang.

“Leen berharap Arif akan bahagia.” ujarnya. Aku tersenyum. Aku telah menceritakan segala-galanya kepada Shaleen tadi tentang apa yang telah berlaku. Beliau berasa gembira namun senyumannya tetap pahit seperti sebelum ini.

“Saya pun harap Leen begitu.” balasku sebelum kembali meneruskan langkah.

********************************************

Ada beberapa hari lagi sebelum Adrina berangkat ke Milan, Itali. Jadi aku tidaklah seperti di dalam cerita filem yang memandu kereta macam babi hutan kehilangan arah demi untuk menemui kekasihnya di lapangan terbang. Malah mungkin Adrina baharu sahaja bangun pagi dan belum menggosok gigi di rumahnya.

Dalam perjalanan, pelbagai perkara yang kufikirkan. Namun yang benar-benar mengganggu benakku sekarang ialah kealpaanku untuk menghidupkan kembali suis telefon bimbit setelah membuat pengecaman mayat abangku di hospital. Aku tak pernah secuai ini. Malah langsung terlupa akan telefon selularku selama berhari-hari. Mujurlah Nizam dan Wadi begitu setia menjawab semua panggilan rakan taulanku termasuk Shaleen untuk memaklumkan keadaan terkini pada masa itu.

Adakah kematian abang sulungku sebenarnya memberikan impak kepada emosiku tanpa kusedari? Aku termangu lama memikirkan perkara itu. Beberapa minit kemudian akhirnya aku tiba ke destinasi yang kutujui. Aku tidak nampak kereta BMW berwarna putih milik bapa tiri Adrina. Yang ada cumalah Toyota RAV-4 sahaja. Gamaknya mereka semua keluar bersarapan pagi dan selepas itu membeli-belah barang-barang keperluan. Namun aku tetap keluar dari kereta yang kupandu dan menekan loceng. Sekonyong-konyongnya kelibat Adrina muncul di balkoni tingkat atas rumah agam tersebut. Tidak kusangka taakulan merepekku adalah benar. Adrina masih memakai pijama.

“Ariiif! Haaaiii!!! Tunggu sekejap. Nanti Rina buka pintu, ya?” teriaknya dengan rasa gembira dan teruja. Aku pula menjadi semakin berdebar-debar dan tidak keruan. Seketika kemudian, akhirnya pintu utama yang kuanggar beratnya mencapai seratus kilogram terkuak perlahan-lahan. Muncullah wajah manis Adrina yang tersenyum ceria menyambutku.

“Masuklah Arip.” pelawanya. Aku memandang sekeliling. Kelihatan agak sunyi.

“Rina seorang saja ke?” tanyaku.

“Ya. Kenapa? Nak ambil kesempatan ke?” sakatnya. Budak ini… Aku buat onar betul-betul nanti baharu dia tau!

“Arip, jomlah masuk. Rina buatkan Nescafe, ya?” ajaknya dengan sulaman pujukan. Aku akhirnya mengalah.

*********************************************

Aku duduk di sofa yang menghiasi ruang tamu utama sementara menunggu bancuhan Nescafe daripada Adrina. Aku tersenyum sendiri mengingatkan insiden yang berlaku di ruang tamu ini tidak lama dulu. Di sinilah Adrina menzahirkan perasaan sebenarnya kepadaku dan hampir-hampir sahaja kami melakukan perkara yang tidak diingini. Kalaulah aku menerima cintanya pada masa itu, mungkin kami akan terlanjur melakukan maksiat. Mungkin itulah hikmahnya aku tidak menerima cinta Adrina pada masa tersebut. Namun situasi yang hampir semirip sedang berlaku sekarang. Ianya membuatkanku menjadi semakin gelisah. Akhirnya Adrina tiba dengan dua koleh Nescafe. Beliau meletakkan kedua koleh tersebut dengan cermat di atas meja kaca di hadapan kami. Kemudian beliau turut duduk di sofa yang sama denganku. Kepala lutut kanan Adrina telahpun menyentuh paha kiriku. Aku menjadi semakin tidak keruan. Namun aku hanya membiarkannya sahaja tanpa mengalihkan kakiku.

“Jemput minum.” pelawanya. Aku segera berinjak sedikit untuk mendapatkan kolehku. Akhirnya cara sedemikian telah berjaya menjauhkan paha kiriku dari lutut Adrina. Adrina juga turut mendapatkan kolehnya.

“Hm. Boleh tahan rasanya. Pandai juga anak dara depan saya ni membancuh air, ya?” usikku.

“Ala, bukannya susah. Rina pakai paket bancuhan tiga dalam satu saja.” balasnya seraya tertawa.

“Sahih dapat ‘E’ dalam matapelajaran Sains Rumahtangga.” sakatku. Kami sama-sama tertawa.

“Arip jahat! Tak baik kata Rina macam tu, tau?” omelnya dengan nada rajukan. Aku masih tertawa.

“Apa pulak jahat? Inilah kebenaran yang dilandaskan dengan keadilan sejati. Tengok… sampai sekarang tak mandi lagi. Patutlah rumah ni ada banyak lalat.” usikku lagi.

“Jahat la Arip ni! Dah la Rina buatkan air. Arip ejek pulak Rina. Tak nak kawan la kalau macam ini!” bentaknya dengan nada merajuk. Aku tertawa berdekah-dekah.

“Yalah. Yalah. Saya bergurau saja la. Jangan la marah lagi, ya? Nanti lama kita tak dapat bergurau macam ini, tau?” pujukku. Adrina akhirnya kembali menguntum senyuman. Namun sempat pula beliau mengacukan penumbuknya kepadaku. Kami sama-sama tertawa. Seketika kemudian keadaan kembali hening.

“Arip okey?” tanyanya tiba-tiba seraya meletakkan tangan kanannya ke kepala lutut kiriku pula. Aii… Jantungku kembali berdegup kencang sekarang.

“Mm. Hm. Saya okey.” jawabku. Adrina tersenyum seraya menghirup minumannya. Tangan kanannya tadi langsung tidak dialihkan dari lututku.

“Rina minta maaf sebab tak dapat hadir ke kenduri tahlil.” pohonnya.

“Tak mengapa. Tak manis kalau Rina balik lewat malam semata-mata nak pergi ke kenduri.” balasku.

“Rina juga minta maaf sebab tak banyak bersembang dengan Arip hari tu.” pohonnya pula.

“Itu tak jadi hal. Lagipun tentu Rina rasa kekok sebab takut tersalah cakap, kan?” pujukku pula. Adrina menganggukkan kepala. Buat seketika kami terdiam sambil memaksa diri untuk menghirup minuman kami yang masih panas.

“Rina… sebenarnya saya tak okey.” ujarku tiba-tiba.

“Arip tak okey?” tanya Adrina. Aku mengangguk.

“Banyak sangat perkara yang berlaku dalam hidup saya. Mula-mula hal Rina nak berhijrah ke Milan. Kemudian kematian abang sulung saya pulak. Saya sikit pun tak bersedih atau menangis sampai sekarang. Itu mana boleh dikira okey!” ujarku dengan nada suram.

“Arip…” kata Rina seraya meletakkan tangannya ke bahuku pula. Beliau menggosok-gosok dengan perlahan untuk menenangkan perasaanku.

Kemudian…” Aku merenung ke wajah Adrina. Beliau juga sedang tepat memandangku.

“Kemudian Andrew datang… Dia bagitau saya perkara yang buat saya makin keliru.” ujarku lagi. Air muka Adrina jelas berubah tatkala mendengarkan nama tersebut.

“Andrew?” tanyanya dengan nada gementar.

“Rina janganlah berpura-pura lagi. Rina yang tolong bayarkan hutang abang long saya, kan?” desakku. Adrina terdiam. Mukanya menunduk memandang lantai. Beliau melepaskan keluhan kecil dan kemudian kembali memandangku.

“Ya, Rina yang bayarkan. Rina kutip balik kad Andrew yang Arip buangkan hari tu. Kemudian Rina pergi berjumpa dengan Andrew.” akuinya.

“Rina pergi dengan siapa?” tanyaku seraya meletakkan kolehku ke atas meja. Adrina juga berbuat perkara yang sama.

“Rina pergi seorang diri.” jawab Adrina. Hatiku tersentak mendengarnya.

“Rina… Kenapa Rina buat perkara merbahaya macam itu? Abang long saya paksa Rina ke?” tanyaku dengan nada kesal. Kemarahanku kembali membuak-buak terhadap Allayarham abang sulungku.

“Rina tak berjumpa pun dengan abang long Arip semenjak pertama kali berjumpa dulu. Rina pergi dengan kerelaan sendiri. Tak ada sesiapa yang memaksa Rina.” jawabnya.

“Mana Rina dapat duit sebanyak itu untuk membayar hutang abang long?” tanyaku.

“Rina gunakan duit simpanan Rina sendiri. Mana mungkin abah dan mama nak bagi empat puluh ribu begitu saja.” jawabnya. Aku bungkam. Benar-benar terperanjat diriku kali ini. Aku tidak menyangka bahawa Adrina sanggup membuat perkara yang tidak masuk dek akal itu.

“Bodohnya kamu ni, Rina! Mengapa kamu buang duit begitu saja? Abang long aku tu manusia tak berguna! Sia-sia saja kamu menolong dia. Sekarang dia dah mampus pun. Apa pun kamu tak dapat!” leterku dengan nada yang agak meninggi. Adrina terdiam. Beliau tidak membalas kata-kataku. Mukanya hanya tertunduk sahaja.

“Kenapa kamu sanggup buat macam ni untuk abang aku, Rina? Kenapa?” tanyaku.

“Rina buat semuanya ini untuk Arip. Bukan untuk abang long Arip.” Akhirnya Adrina bersuara menjawab pertanyaanku.

“Demi untuk saya?” tanyaku dengan nada terkejut. Emosi marahku mulai mengendur. Adrina mengangguk.

“Rina tau Arip selalu susah hati sebab keluarga Arip berpenat-lelah membayar hutang-piutang abang long. Tapi Arip tak mampu berbuat apa-apa. Jadi Rina tak mahu tengok Arip bersedih lagi.” jawabnya.

“Rina… Takkanlah Rina sanggup berbuat begini untuk membalas budi baik saya selama ni kepada Rina? Saya tak pernah minta sebarang balasan. Saya betul-betul ikhlas. Itu sebabnya saya tak berkecil hati bila Rina tak membalas pengakuan cinta saya hari tu. Saya tak peduli itu semua. Saya cuma nak tengok Rina bahagia. Bila kita cintakan seseorang itu kita mesti sanggup korbankan kebahagiaan kita demi kebahagiaan dia. Dan kita tak perlu minta apa-apa balasan walaupun secebis cinta daripadanya. Itulah yang saya buat.” perjelasku dengan panjang lebar. Kami berdiam diri buat seketika.

“Rina buat semuanya ini bukannya untuk membalas budi baik Arip.” ujar Adrina untuk memecahkan kesenyapan tadi.

“Habis tu… atas sebab apa?” tanyaku.

“Rina buat semua ini sebab Rina cintakan Arip.” Kata-kata Adrina bagaikan petir yang membelah serta mencabik-cabik segala emosiku yang terbuku di sanubari. Mulutku cuba untuk memperkatakan sesuatu. Namun fikiranku seolah-olah menjadi fana sekarang.

“Hari tu masa Arip bagitau Rina isi hati Arip, Rina berasa sangat gembira. Tapi entah macam mana Rina boleh tersalah cakap. Lagipun masa tu Rina juga berasa malu dan segan bila Arip cakap macam itu. Jadi Rina bercadang untuk bagitau yang Rina juga cintakan Arip di majlis resepsi mama hari itu. Tapi sekali lagi tak berpeluang.” perjelasnya dengan panjang lebar.

“R… Rina…” Itu sahaja yang mampu kuungkapkan buat masa ini.

“Arip ada sebut masa di rumah nenek tentang pertalian istimewa kita. Arip kata yang pertalian di antara kita ini dah melangkaui batas persahabatan dan cinta. Kita berdua saling memberi tapi tak pernah mengharapkan apa-apa. Ianya sangat ikhlas. Apa yang Arip pernah buat demi Rina adalah ikhlas dan Rina juga begitu. Rina tak harapkan apa-apa daripada Arip walaupun secebis cinta sebagai balasan.” ujar Adrina lagi. Kali ini beliau tersenyum. Amat luhur dan manis senyumannya itu. Entah mengapa tiba-tiba manik-manik air mataku beruraian keluar tanpa dapat kukawal. Aku terus menangis semahu-mahunya.

“Arip…” ucap Adrina seraya memelukku dengan erat.

“Abang long saya dah tak ada, Rina. Saya dah kehilangan abang saya. Dia memang banyak buat hal tapi dia cuba menjadi abang yang baik. Dia memuji-muji saya di depan Wadi bila saya tak ada masa tu. Dia kata dia rasa sangat bangga mendapat adik macam saya. Dia bagi duit kat saya sebab dia tak mahu saya memandang rendah padanya lagi. Tapi sekarang dia dah mati. Saya tak sempat nak bagitau dia yang saya sayangkan dia. Saya dah kehilangan abang saya. Saya tak mahu kehilangan Rina pula.” ujarku dalam sendu-tangis. Akhirnya segala kesedihan yang terbuku di hati dapat kuluahkan semahu-mahunya.

“Arip…” ujar Adrina. Beliau juga turut menangis bersamaku.


- Bersambung -


Notakaki :

Seperti bab yang lalu, aku telahpun menyiapkan Bab 47. Ingatkan nak kumasukkan sekali ke dalam blog ini. Namun oleh kerana takut merosakkan mood Bab 46, maka aku simpan dulu Bab 47 tersebut. Maknanya kalian kena la menunggu Isnin depan untuk Bab 47, ya? Siman... Siman...

Aku berharap kalian sukakan klimaks Emo Hero dalam Bab 46 ini. Tak perlu ada letupan dahsyat-dahsyat atau watak protagonis mati kena langgar dek basikal posmen. Aku sedaya-upaya cuba membuat secara yang sepatutnya. Kalau kalian perasan aku sekarang sengaja tidak melawakkan cerita Emo Hero dan menggubah bait-bait perkataan yang indah di dalam ceritanya. Aku sedang cuba untuk menukar gaya penulisanku yang asal kerana ujianku sebelum ini bahawa orang Malaysia lebih menghargai plot cerita dari ayat-ayat sastera itu sendiri telahpun berjaya. Ini bermakna selaku pemegang tempat ketiga sayembara mengarang cerpen anjuran DBP sempena ulangtahun ke 50 (Jubli Emas) mereka tidak lama dahlu, aku tak mahu la terlalu lama memperlecehkan kemahiran sebenarku. Takut-takut langsung tak berkembang dan semakin mundur pula nanti. Malah editorku berkata aku mungkin akan mencapai tahap yang dikatakan sempurna dalam bidang penulisan ini 10 tahun lagi. Aku tertawa dan berkata aku akan menganggapnya itu suatu cabaran dan cuba untuk mencapai tahap tersebut dalam masa 2 tahun sahaja.

Aku berharap aku dapat mencapainya. Dan aku juga berharap agar berpeluang untuk melanggar editorku dengan basikal posmen dalam masa terdekat ini. Haha!

2 comments:

jejaka kacak said...

mantap dan bergaya..tahniah bro nami..abes tu bila nak blanja kami makan2 dh menang anugerahh..haha..(jadi along lak aki)

reza said...

go go caiyok bro nami...langgar jgn x langgar...hehehehe