Sunday, April 26, 2009

Emo Hero Bab 41

Emo Hero Bab 41



“Nah.” Aku terpaku merenung air teh O ais limau yang diunjukkan oleh mak cik brutal. Wanita yang pada agakanku dalam lingkungan 50’an kemudiannya duduk menghadapku. Akal rasionalku cuba membuat puluhan taakul tentang niat dan tindak-tanduknya yang tiba-tiba mahu berbual denganku. Tapi yang lebihnya ialah aku terfikir mengapa tak dihidangkan kuih sekali? Sebagai bonus friends and family, aku juga terfikir bahawa mak cik brutal ni mahukan apa dariku. Aku ni warga kebanyakan yang santai aje, bukannya anak menteri. Entah-entah bapakku dapat darjah kebesaran yang membawa gelaran Tan Sri semalam, tak? Oh… sampai hati bapak tak bagitau aku tentang hal gilang-gemilang ini. Eh! Fokus! Fokus!

“Mana mak cik tau saya suka teh O ais limau?” tanyaku. Selain ice lemon tea, itulah minuman yang aku kerap teguk.

“Kamu selalu order, tentulah mak cik tau.” jawabnya.

“Tak sangka mak cik ingat.” komenku. Entah-entah mak cik brutal sebenarnya menyimpan perasaan terhadapku juga, tak? Tak pun aku ni anaknya yang hilang semasa rusuhan penunjuk perasaan kumpulan baju kuning di Thailand.

“Mak cik ingat setiap makanan dan minuman kegemaran student-student yang datang ke sini. Mana mungkin mak cik tak tau?” jawabnya. Biar benar… Mak cik brutal ni pun ada memori fotografik juga ke? Namun aku mengambil keputusan untuk tidak memanjangkan isu tersebut ke parlimen. Terus saja kusedut minuman pemberian mak cik brutal tadi.

“Kenapa dengan kamu, Arif?” Tiba-tiba mak cik brutal menyuarakan pertanyaan yang pelik pada telingaku. Lagipun makin pelik bila dia tau nama aku. Tapi mungkin juga tak pelik sebab aku, Nizam, Wadi dan Adrina kerap sangat menghabiskan masa kami berbuat bising di kafeterianya setiap hari.

“Apa maksud mak cik?” tanyaku kembali.

“Mak cik selalu perhatikan kamu dan Adrina. Sejak kebelakangan ni mak cik tengok kamu macam bersedih saja. Dan kerap sangat kamu duduk menyendiri kat sini walaupun kawan-kawan kamu dah balik. Kamu ada masalah ke?” tanyanya. Buat seketika aku bungkam. Mak cik brutal pula begitu setia menunggu jawapan dari mulutku. Baik aku cepat jawab. Kang buatnya dia hilang sabar, mau terbakar wajah ayuku terkena sinaran laser ungu pembakar dunia dari kedua biji matanya. Aku menghela nafas dalam-dalam dan kemudian melepaskan satu keluhan berat.

“Sebenarnya saya baru aje sedar yang saya jatuh hati kat Adrina.” ujarku sebagai mukaddimah.

“Dia tak terima kamu?” tanya mak cik brutal. Aku menggelengkan kepala tanda menidakkan taakulan tersebut.

“Dia tak tahu pun.” jawabku.

“Kenapa kamu tak bagitahu dia? Kamu takut?” tanya mak cik brutal lagi. Memang la tak salah kami panggil makcik ni sebagai mak cik brutal. Bertanya pun punya la terus terang macam samseng pecahkan botol nak ajak gaduh. Entah-entah kat belakang kafe ni ada motorsikal Harley dia dengan rantai besi terpalit darah yang terlilit kat handle-bar.

“Kamu tengok apa tu?” tanya mak cik brutal tiba-tiba setelah dilihatnya aku tercangak-cangak memandang ke arah belakang kafeteria. Aku segera menggelengkan kepala.

“Adrina sebenarnya nak berhenti belajar kat sini. Dia nak ikut bapak dia ke Itali. Mungkin tiga empat tahun duduk di sana. Kalau saya bagitau yang saya jatuh hati kat dia, mungkin dia tak mau ikut bapak dia.” jawabku pada pertanyaannya sebelum ini.

“Dia sukakan kamu juga ke?” tanyanya lagi.

“Rasanya ya. Dia pernah bagitau dulu.” jawabku.

“Tapi kamu tetap mahu dia pergi?” tanyanya. Aku menganggukkan kepala.

“Walaupun saya sangat sayangkan dia dan tak sanggup tengok dia pergi, tapi saya tetap mahu dia pergi demi kebaikan dia.” jawabku. Entah kenapa tiba-tiba terasa air mataku mulai bergenang.

“Bertuah Adrina dapat orang macam kamu ni. Bodoh tapi sangat baik.” komen mak cik brutal. Aduss… bisa betul pernyataannya itu. Kalau tak kerana teh O ais limau, mau aku karate budokan tujuh belas Dan kat dahi kedut berlapis mak cik brutal ni.

“Arif, mak cik faham apa yang kamu inginkan. Tapi pernah tak kamu fikir apa yang Adrina inginkan?” tanyanya pula. Soalannya itu membuatku tergamam seketika.

“Apa yang Adrina inginkan?” tanyaku kembali. Mak cik brutal mengangguk.

“Adrina tentu mahukan kepastian tentang perasaan kamu pada dia. Dia tentu sangat sedih kalau dia pergi tanpa tahu sama ada kamu cintakan dia atau tak. Dia tak akan tahu sama ada untuk terus setia kepada kamu atau teruskan hidupnya di sisi orang lain. Kamu sepatutnya bagitahu dia perasaan kamu tu. Kemudian biar dia yang buat keputusan sama ada mahu ikut bapa dia atau terus tinggal di sini. Jangan memandai nak tentukan apa yang dia mahu dalam hidup dia.” Terpaku aku mendengarkan teguran dan nasihat mak cik brutal. Agak lama kami mendiamkan diri. Aku menyedut minumanku sehingga selesai.

“Hari ni mak cik belanja kamu minum. Lain kali kena bayar.” maklum mak cik brutal seraya mengambil gelas kosongku dan bangun meninggalkanku dalam keadaan terpinga-pinga. Aku hanya memerhatikan sahaja mak cik brutal yang kini mencuci gelasku tadi. Seketika kemudian aku pula bangun dan mendekatinya.

“Mak cik…”

“Hm? Nak minum lagi?” tanya mak cik brutal. Aku menggelengkan kepala.

“Saya cuma nak tau nama mak cik.” jawabku. Mak cik brutal terpaku seketika. Kemudian beliau tersenyum.

“Rodiah. Nama mak cik Rodiah.” maklumnya.

“Terima kasih, mak cik Rodiah. Saya jugak nak minta maaf sebab selama ni kami panggil mak cik dengan nama mak cik brutal.” ujarku.

“Beru… berutal tu apa?” tanyanya.

“Aaa… lebih kurang maknanya ialah ganas. Sebab mak cik-” Belum sempat aku menghabiskan kata-kataku, mak cik Rodiah tertawa besar. Inilah pertama kali aku melihatnya tertawa. Aku mahu membiarkan mak cik Rodiah menghabiskan tawanya, namun akhirnya aku juga turut tertawa sama.

“Muka mak cik ni memang nampak garang dan ganas, kan?” tanyanya setelah tiba ke ekor tawanya. Aku mengangguk. Sekali lagi mak cik Rodiah tertawa. Aku juga turut tertawa. Dalam hatiku sebenarnya bersyukur ke hadhrat Illahi sebab tak dihentak dengan kepala cangkul olehnya. Tidak… sebenarnya hatiku bersyukur kerana mendapat pedoman dari Illahi melalui mak cik Rodiah.

**************************************************

Beberapa hari kemudian, aku mulai dapat berbual secara normal dengan Adrina. Namun sesekali apabila beliau menyentuhku jantungku pasti akan berdetak keras. Aku mencuri-curi peluang untuk berbual secara serius dengannya dan mencurahkan isi hatiku mengikut apa yang dicadangkan oleh mak cik Rodiah. Namun ada saja la halangan pagar trek balapan untukku berbuat demikian.

“Apabila pihak pendakwaraya telah mengemukakan semua saksinya, maka kedua-dua pihak pendakwaraya dan peguambela tertuduh akan membuat penghujahan. Sekiranya pihak pendakwaraya berjaya membuktikan kesnya, maka hakim akan memutuskan wujudnya prima facie di dalam kes pendakwaraya. Hakim tersebut akan mengarahkan pihak tertuduh untuk membela diri dan mengemukakan kesemua saksinya. Namun jika pihak pendakwaraya gagal membuktikan kesnya, hakim akan terus membuang kes tersebut dan melepaskan si tertuduh tadi.” Ketika aku sedang begitu khusyuk mendengar pengajaran Puan Faridah, tiba-tiba bahuku dicuit. Siapa pulak la yang nak jadikan aku imam pulak ni? Aku bukannya tengah solat, bodoooh… Ha! Cuit lagi. Ooo… agaknya nak suruh aku pandang ke belakang kot! Aku menoleh untuk memastikan siapakah yang ingin malaaaikatul mauuut menjemputnya pergi di awal pagi ini. Rupa-rupanya si Wadi. Nasib baik la sahabat baik aku dunia akhirat yang mencuit.

“Nah.” ujar Wadi dengan perlahan sambil mengunjukkan secebis kertas kepadaku. Aku dapat mengagak pasti ianya daripada Adrina. Aku segera membaca tulisan yang tercatat pada kertas tersebut.

‘Rina nak jumpa Arip. Tunggu Rina di kafe, ok?’ Begitulah isi kandungannya lebih kurang. Hatiku berasa teruja. Namun resah pada masa yang sama. Tak payah tulis nota atau batu bersurat Terengganu pun kami pasti akan melepak di kafeteria. Kenapa mesti beria-ia nak berpesan-pesan dengan kesabaran pulak? Aku menoleh ke arah Adrina. Beliau kelihatan ralik mencatat syarahan Puan Faridah. Namun senyuman melirik lebar di bibirnya.

***********************************************

“Mana Rina?” tanya Nizam setelah melihat hanya aku seorang melenggang. Ketika ini hanya kami berdua yang berjalan beringingan. Wadi masih besembang mesra dengan Norazwa. Adrina pula lesap entah ke mana selepas habis kuliah tadi.

“Aku pun tak tau. Dia mintak kita tunggu di kafe.” maklumku.

“Wadi! Kami nak ke kafe! Kau nak ikut tak?” teriak Nizam ke arah Wadi.

“Kejap lagi!” teriak Wadi pula. Bertempik-tempik sahabat-sahabatku ini macam Tarzan nak pinjam cawat. Malu betul! Tiba-tiba Puan Faridah keluar dari bilik kuliah. Terkedu Nizam dan Wadi.

“Saya ingat Tarzan ada di luar tadi.” sindirnya. Ha! Kan aku dah kata! Para penuntut yang masih berada di perkarangan bilik kuliah terus mentertawakan Wadi dan Nizam. Aku la lebih-lebih lagi. Sampai nampak halkum jantan keberetku sekali. Namun hidup ini perlu diteruskan. Jadi aku dan Nizam tetap bepergian ke kafeteria sungguhpun sekali-sekala kami bertembi sesama sendiri.

*************************************************

“Mana Rina ni?” sungut Nizam setelah hampir setengah jam kami menunggu di kafeteria. Wadi baharu sahaja menyertai kami tanpa buah hatinya di sisi. Jadi beliau tidaklah berasa jemu sangat seperti kami.

“Kamu nak minum lagi, Arip?” Tiba-tiba mak cik brutal… eh! Rodiah berteriak kepadaku.

“Mak cik Rodiah; buatkan saya teh O ais limau satu, ya?” pintaku. Nizam dan Wadi berpandangan.

“Ro… Rodiah? Mak cik brutal tu namanya Rodiah? Bila pulak kamu jadi anak angkatnya, Rip?” tanya Nizam. Ha! Bangganya aku! Walaupun Nizam yang selalu bersembang dengan mak cik Rodiah selama hari ni, namun aku juga yang tau siapa nama sebenarnya.

“Haha! Apa macam? Kagum tak-” Keangkuhanku nampaknya tidak bertahan lama kerana akhirnya aku ternampak kelibat tubuh Adrina yang menuju ke arah kami…. bersama Shaleen!



- Bersambung -


Monday, April 20, 2009

Emo Hero Bab 40

Emo Hero Bab 40


Beberapa hari kemudian…

“Hai sayaaang!”

‘Hai sayang’ la pulaaak. Perasaan gemuruh untuk berdepan dengan Adrina semakin menebal dalam diriku. Pompuan ni macam sengaja aje nak menyakat aku. Mati esok jadi penunggu perhentian bas baharu tau! Aku membalas sapaan manja lemak berkrimnya itu dengan senyuman sekangkang kera. Kira ipar duai senyuman gementar la tu.

“Ha… Hai Adrina.” balasku kembali setelah beliau datang mendekati. Segenap liang di dalam rongga hidungku dapat menghidu bau semerbak wangian yang terpancar dari tubuh langsingnya. Entah mengapa hatiku begitu meruntun untuk mendakap Adrina ketika ini. Walhal sebelum ini aku lebih rela mendakap pokok pisang Rastali. Yalah tu! Tentulah lebih baik tubuh awek dari batang pisang, kan? Cuma perasaanku sahaja yang berlainan dari sebelum ini.

“Eh? Mana Nizam dan Wadi?” tanyanya. Setiap patah tutur bicara yang kudengar bagaikan aliran elektrik yang menjalar di segenap tubuhku. Suwey betui perasaan yang kurasakan di kala ini. Aku dengar ada seorang bomoh yang pandai mengalihkan penyakit manusia kepada kambing. Boleh kot gamaknya dia alihkan perasaan membuakku ini kepada kambing? Mau gamaknya kambing tu pulak yang angaukan gadis jelita di hadapanku ini.

“Aaa..diorang ada kat kafeteria.” jawabku dengan nada yang agak kalut. Aku tadi sebenarnya kelam-kabut pergi ke jamban untuk melakukan tanggungjawab sebagai insan kerdil di bumi Allah ini. Sebaik sahaja keluar dari premises terunggul tersebut, mau pulak terserempak dengan gadis manis ini. Tiba-tiba lengan kanan Adrina merangkul lengan kiriku sebelum sempat aku berbuat apa-apa.

“Jomlah kita ke sana.” sarannya dengan nada separa merengek. Aku yang bagaikan terkena pukau Abu Bakar Juah dalam Puaka Niyang Rapik menurut sahaja daya tarikannya itu. Kami beriringan berjalan ke arah kafeteria yang dalam jarak 12 batu nautika bot nelayan.

“Arip.” Tiba-tiba Adrina bersuara setelah agak lama kami berdiam diri. Aku langsung memandang ke arahnya. Kulihat Adrina hanya menatap wajahku dengan senyuman yang amat manis tapi penuh dengan teka-teki. Harapnya janganlah dia bagi teka-teki macam dalam akhbar Kosmo! tu. Aku lepas berak ni memang jadi bengap sikit untuk beberapa puluh minit.

“Kenapa Rina?” tanyaku setelah Adrina tidak mengungkapkan sebarang bicara selepas itu.

“Tak ada apa-apa.” jawab Adrina sambil menggelengkan kepala. Beliau kemudian memandang ke depan untuk mengelakkan renunganku. Namun senyuman manis tadi masih tetap utuh di bibir mungilnya. Setelah beberapa ketika, akhirnya kami sampai ke kafeteria.

*********************************************

“Rina, nanti bila kau dah ke Milan, semua nota kau hadiahkan la kat aku, ek?” pinta Wadi. Dah hampir 20 minit kami melepak dan berlabun di kafeteria selepas habis kuliah. Begitulah trend bebudak bangsa aku menghabiskan masa yang berharga. Kat kampung mak bapak bersembur-sembur taik gigi bercerita kat orang yang anaknya setiap masa belajar untuk lulus peperiksaan. Kalaulah diorang tau…

“Eh! Mana boleh! Rina cadang nak hadiahkan kat Arip.” tingkah Adrina.

“Kau mintak dulu ke?” tanya Wadi. Aku menggelengkan kepala.

“Ha! Arip tak mintak puuun! Kenapa nak bagi kat dia jugak? Tak acilah macam ni.” ujar Wadi.

“Arip kan pernah tolong Rina berbaik dengan ayah Rina? Sampai sekarang Rina tak dapat balas budi baiknya tu. Jadi Rina cadang nak hadiahkan la nota-nota Rina kat Arip.” jawab Adrina dengan panjang lebar.

“Ala, Rina. Janganlah sebut hal tu lagi. Malulah.” ujarku pula.

“Apalah lu, mamaaat. Kau mintak ajelah kat si Wawa kau tu. Apa, tulisan dia buruk sangat ke?” tempelak Nizam yang baharu selesai menghabiskan burgernya. Wadi tidak membalas. Sekadar mencebikkan bibirnya cuma.

Setelah hampir setengah jam kemudian, kami akhirnya membawa haluan masing-masing. Nizam perlu ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan bapanya. Beliau baharu sahaja tiba dari Sarawak semalam. Nizam mengajak aku menemaninya tapi aku laju aje menggelengkan kepala. Bapak Nizam memang mafia gila. Pertama kali aku jumpa dulu, aku rasa macam nak tercirit keluar ikut pusat. Punyalah seriau kat bapaknya masa itu. Wadi pulak sampai demam empat hari. Tapi memang masa tu dia kena hujan panas pun. Pun begitu kami berteori bahawa andai kata tak berjumpa dengan bapak Nizam masa tu, pasti Wadi cuma demam sehari aje. Atau mungkin senggugut yang minor.

Wadi pulak sebaik sahaja si Wawa datang, terus la jadi suara jadi macam apek jemur colok. Lembut romatik tak tentu pasal. Gitu le agaknya resam orang bercinta. Hingus pun terasa manis bergula sungguhpun hijau kalernya. Aku nak aje mengejeknya tadi tatkala Wadi berbual-bual ala manja kucing Whiskas dengan Wawa. Namun hikmat sepit ketam Adrina terlebih dahulu singgah bertanya khabar di lengan kiriku yang sekaligus membatalkan niatku yang patriotik itu. Jadi aku cuma mampu melambai bye-bye aje kepada capati dua sejoli itu (saja sebut salah ikut macam Shaleen).

“Ha! Sekarang tinggal kita berdua aje. Habis la awak!” usik Adrina setelah hanya kami berdua sahaja yang tinggal di kafeteria tersebut. Hatiku kembali menjadi tidak keruan. Patutnya aku ikut aje si Nizam tadi. Sekurang-kurangnya boleh aku terjun keluar dari kereta dalam perjalanan nanti. Harapnya aku jatuh dekat-dekat rumah urut Ah Mei masa tu.

“Arip marah kat Rina ke?” tanyanya tiba-tiba. Aku menggelengkan kepala.

“Betul? betul tak marah?” tanyanya lagi.

“Betullah.” jawabku dengan iringan senyuman. Namun nyata ianya kaku dan seperti dipaksa.

“Arip nampak lain la sejak kebelakangan ni.” komennya. Isk! Cepat saja dia dah dapat menghidu tingkah-laku pelikku. Gamaknya masa kecik dulu Adrina ni berkawan baik dengan Lassie, kot?

“Ma.. Masalah famili. Abang long saya…” balasku untuk segera mematikan sebarang taakulan daripadanya. Ianya suatu pembohongan. Namun aku berharap agar ianya boleh dipercayai oleh Adrina.

“Oh… I’m sorry. Rina tak akan tanya lagi. Maafkan Rina, ya? Please…” pintanya dalam nada merayu. Aii… cair hatiku jadinya. Mujur la dia tak merayu minta aku terima dia sebagai isteri.

“Rina isterimewa dalam hati saya. tentu la saya maafkan.” ujarku dalam nada melawak. Namun perasaanku berasa ada sesuatu yang tak kena pada kata-kataku tadi. Ianya terzahir pada wajah Adrina.

“Hm? Arip kata apa tadi? Isteri-mewa?” tanyanya. Ih! Memang sah aku dah tersebut benda yang sepatutnya terpendam dalam kepala otakku aje. Belum aku membuka mulut untuk membela diri, Adrina telahpun menderaikan tawa.

“Aku silap cakap la…” ujarku. Kantoi… kantoooiii…

“Hm. Okay… Rina pun nak balik ke rumah. Banyak lagi persiapan mama yang tak selesai. Arip nak ikut ke sana?” pelawanya. Aku menggelengkan kepala. Biasanya ada aje jawapan lawak yang boleh kuutarakan dan membuat gadis jelita ini tertawa. Namun kali ini otakku tak mampu berfikir apa-apa. Sebenarnya ada. Tapi yang lucah punyalah! Adrina tiba-tiba bangun dan mengesat-ngesat bahagian punggung dengan kedua tangannya. Beliau kemudian memandang ke arahku dan menghadiahkan satu senyuman manis.

“Bye Arip. Take care.” ucap Adrina.

“Babai.” Itu aje yang dapat kuucapkan. Takut rasanya untuk mengucapkan ‘take care too’ kepadanya. Mungkin aku takut isi hatiku yang sebenar sampai kepada Adrina bersama ungkapan itu nanti. Adrina terus berpaling dan melangkah pergi. Tinggallah aku termangu-mangu seorang diri di situ. Agak lama aku memerhatikan kelibat tubuh Adrina sehingga ianya menghilang dari pandangan.

“Kamu tak balik ke?” Pertanyaan tersebut benar-benar membuatkanku terperanjat. Hampir saja aku menjerit hingga menanggalkan seluar dan kemudian menjemurnya di ampaian. Namun rasionalku segera menenangkan emosiku. Aku segera mengangkat muka untuk memandang si empunya suara yang pada firasatku mampu menarik perhatian kerbau-kerbau betina untuk mengawan.

“Mak cik?” ujarku dengan nada kehairanan. Mataku masih tak berkelip-kelip memandang ke arah mak cik Brutal; tokeh kafeteria Fakulti Undang-Undang UNISAS ini.


- Bersambung -

Tuesday, April 7, 2009

Emo Hero Bab 39

Emo Hero Bab 39


“Arif, Leen nak cerita sesuatu rahsia besar pada Arif. Tapi Arif musti janji untuk simpan ketat-ketat dalam hati, okay?”

Alaa… Ini yang leceh nii… Aku tak paham apasal ompompuan suka sangat bagitau rahsia besar kat lelaki? Kununnya lelaki ni lebih bagus menyimpan rahsia daripada pompuan. Hello… yang tersembul gambar-gambar lucah atau aksi-aksi panas klip 3gp korang tu idak ke hasil air tangan lelaki? Baik cerita kat ulat gonggok rahsia kamu tu. Tapi aku tetap mengangguk. Kang kalau aku kata aku tak mau dengar, ompompuan bukannya bukannya nak dengar cakap aku tu. Tetap jugalah bibir mungil korang tu meluahkan ayat-ayat yang membebankan sanubari aku untuk menyimpannya. Yalah, aku ni bukannya penyimpan mohor besar raja-raja. Cuma bocor rahsia bila nak raya puasa dan raya haji aje.

“Arif tentu dapat suspek Leen benci bapa Leen, kan?” tanyanya sebagai mukaddimah pembuka bicara. Tak de piak daun sirih nak buat kunyah-kunyah kambing ke? Aku masih mengangguk. Tiba-tiba mataku terpandang ke arah meja. Bukan ada taik cicaklah! Korang ni asyik ingat benda lawak aje. Ingat kisah hidup aku cerita lawak ke? Aku baharulah perasan bahawa kedua tangan kami masih bertaut kemas. Mm… tangan orang perempuan memang hangatlah! Entah mengapa tiba-tiba aku teringatkan nasihat naqibku bahawa bahang kehangatan tangan perempuan bukan muhrim yang lelaki pegang akan mendekatkan tangan lelaki itu ke bahang api neraka. Alamaaak… Nak lepaskan tangannya itu rasa tak sampai hati pulak. Bukan apa, kang belum tentu dapat peluang nak pegang lagi!

“Dulu bapa Leen berniaga kecil-kecil. Lepas itu dia dapat pinjam bank dan buat bisnes besar-besar pulak. Tapi lepas itu ekonomi Malaysia jatuh teruk. Jadi bisnes bapa Leen pun jatuh teruk. Bapa Leen tak mau hidup susah. Dia takut bangkrap. Jadi bapa Leen pinjam dengan along pulak. Memang dia buat silap besar.” cerita Shaleen dengan panjang lebar. Aku semakin berasa kurang selesa.

“Bisnes bapa Leen tetap rugi. Bapa Leen tak dapat bayar duit along yang dia pinjam. Jadi… Jadi…” Shaleen gagal menghabiskan bait-bait ceritanya. Mukanya tunduk memandang meja. Aku dapat merasakan tubuhnya menggeletar sementelah masih memegang tangannya.

“Bapa Leen jual Leen pada along tu untuk seminggu…” sebaik sahaja mengungkapkan kata-kata tersebut dalam keadaan tersekat-sekat, Shaleen memekup muka dengan kedua telapak tangannya dan menangis teresak-esak. Aku segera bangun dari bangku dan duduk di sebelahnya.

“Saya tak sangka, Leen… I’m… I’m so sorry…” ucapku. Tangan kiriku spontan memaut bahu kirinya. Dan Shaleen seperti tahu-tahu sahaja untuk memekup wajahnya ke bahu kananku.

“They raped me… they all raped me… I hate them… I hate my father… I hate men… I really hate men. Leen harap semua lelaki dalam dunia ni mampus!” ujarnya dengan suara teresak-esak. Sungguhpun nadanya perlahan, namun bait-bait ungkapannya itu bagaikan ribuan sembilu yang menusuk dan menyiat sanubariku.

“Leen…” Aku mengambil keputusan untuk tidak berkata apa-apa lagi dan membiarkan keadaan tersebut dalam status quo buat beberapa ketika.

*****************************************************

Beberapa hari kemudian menyaksikan aku tidak membuat sebarang aktiviti romantik kecuali melepak-lepak bersama-sama geng-geng jantanku. Namun kali ini aku sedang melepak di bilik milik Kudom.

“Wei Rip! Apasal aku tengok ko ni layan blues aje dua tiga hari ni?” tanya Nazmi. Sedap sungguh beliau mengunyah biskut marie milik Kudom secara bertalu-talu macam mesingan askar Nazi yang berbudi pekerti. Kudom yang tidak mempedulikan perbuatan rakan-rakan sebaya menjarah biskut Marie pemberian girlfriend beliau sedang begitu asyik mengemaskini ruangan facebook di komputer ribanya.

“Kepala aku memang tengah semak ni. Macam-macam tengah aku fikirkan. Tapi paling buat aku tension ialah kenapa Liyana Jasmin tak balas SMS aku.” jawabku dalam nada melawak.

“Pegeraa…” kutuk Kudom. Aku tertawa. Malas aku nak kongsi cerita apa yang aku dengar dari mulut Shaleen tadi. Ini yang leceh bila simpan rahsia ni. Kang aku nak cari ulat gonggoklah!

“Amin, lebih baik kau tengok bebudak ni melantak biskut yang Hanie bagi kat kau. Dah nak habis dah.” ujarku mengadu domba.

“Lantaklah! Nanti aku suruh Hanie belikan aku biskut lagi.” balas Kudom. Badigol punya budak! Ada ke patut buat macam tu kat awek dia? Aii… memang cinta perlukan pengorbanan… hatta nak menghabiskan duit poket untuk membelikan biskut sekalipun.

“Eh, kau dengan Adrina macam mana?” tanya Atoi tiba-tiba. Budak gemuk ni pun cukup pandai menyelit masuk bila ada perhimpunan makan-makan macam ni.

“Macam itu je la. Nak macam mana pulak?” jawabku yang disusulkan kembali dengan pertanyaan.

“Ya la… dia kan nak berhenti belajar dan berhijrah ke Milan? Kau sebagai boyfriend dia tak ke frust?” tanya Atoi kembali sebagai menjawab pertanyaanku tadi.

“Hello? Bila pulak aku declare dengan dia nak jadi couple?” pertikaiku.

“Alaa Rip! Semua orang pun dah kata begitu. Kau dengan Adrina memang couple. Nizam dan Wadi pun kata begitu.” balas Jamal, junior kami.

“Ceh! Kamu budak-budak lagi mana boleh masuk hal orang-orang tua, tau?” usikku. Nazmi tertawa.

“Butoh la lu, Arip!” balas Jamal. Hii… Nasib baik la adik pompuan kau lawa. Kalau tak dah lama aku sula dengan gitar si Nucky.

“Aku tak pernah declare dengan Adrina. Kami bukan couple. Cuma best buddies aje.” perjelasku.

“Ooo… ini kira teman tapi mesra ah-ah-ah-oh yeah-harder-harder-I’m comiiing!” usik Atoi. Kesemua yang berada di dalam bilik tertawa terbahak-bahak.

“Celaka kau, gemuk! Aku terajang kang, mau tercabut perut boroi kau tu!” ancamku. Bengang jugak walaupun aku turut ketawa tadi. Rakan-rakanku kembali menyambung tawa mereka.

“Serius, Rip. Betul ke kau tak rasa frust?” tanya Kudom setelah kami semua sampai ke penghujung tawa. Aku terdiam sejenak. Kemudian melepaskan keluhan.

“Tentulah aku rasa tak seronok.” jawabku.

****************************************************

Keesokannya aku menawarkan diri untuk menghantar Adrina pulang ke rumahnya kerana beliau demam. Kuliah kami selesai pada waktu petang. Jadi selepas solat Maghrib, baharulah kami bertolak ke rumah Adrina. Menjelang pukul 9.00 malam baharulah kami tiba ke destinasi tersebut. Namun Adrina nampaknya agak keberatan hendak keluar dari kereta.

“Thanks Arip. Rina susahkan Arip aje.” ujarnya. Beliau tiba-tiba menghulurkan not lima puluh kepadaku.

“Ini duit minyak dan tol untuk kereta Nizam.” ujarnya lagi. Aku meminta Nizam meminjamkan keretanya untuk menghantar Adrina pulang. Dengan besar hati beliau memberikan kunci dan alat smart tag kepadaku.

“Nizam dah pesan kat saya bahawa dia belanja. Jadi saya tak boleh terima.” maklumku. Adrina tersenyum.

“Cakap thanks kat dia, okey?” ujarnya dengan suara demamnya itu. Bunyi manja dan lemak-lemak macam durian D24 aje. Hahaha!

“Waah… Boleh tahan jugak decoration untuk majlis perkahwinan mak Rina, ya?” komenku untuk membawa ke topik baharu. Sudahlah halaman rumahnya besar ya Rabbi. Bila dihias dengan pelbagai jenis flora dan fauna (ewah!) makin bertambah seri jadinya. Ni belum mengambil kira lampu lip-lap yang memenuhi hampir segenap ruang luar rumah agam tersebut.

“Itulah! Mama Rina ni mengalahkan artis bila nak kahwin. Dah la tua… hmh!” kutuk Adrina. Kami sama-sama tertawa.

“Itu bunyi macam cakap orang yang dengki la tu!” sindirku.

“Yalah! Patutnya Rina la yang kahwin. Tapi Arip tak mau pinang Rina lagi. Sampai Rina merajuk nak ke Milan.” gurau Adrina seraya tertawa. Namun tawa itu hanya miliknya seorang sahaja kali ini. Kemudian baharulah beliau menyedari bahawa aku tidak ketawa bersama.

“I’m so sorry. Rina tak berniat nak sakitkan hati Arip.” pohonnya. Aku tersenyum sambil menggelengkan kepala tanda tidak kisah.

“Rina…”

“Iya, Arip…”

“Rina bukan ke Milan sebab saya, kan? Bukan la sebab saya ni perasan best sangat. Cuma nak tau aje.” Akhirnya aku menyuarakan kemusykilan yang telah lama membuku di hati.

“Kalau Rina kata ‘ya’ macam mana?” tanyanya.

“Saya akan rasa bersalah sampai bila-bila.” jawabku. Adrina tersenyum.

“Bukan sebab Arip. Rina memang nak pergi demi Ayah Rina. Jadi janganlah risau, ya?” jawabnya.

“Tapi sebenarnya saya rasa sangat sedih sebab Rina nak pergi.” ujarku. Buat seketika kami mendiamkan diri.

“Arip…”

“Iya, Rina…”

“Kalaulah Arip sukakan Rina… Mmm… Arip akan tunggu tak Rina sampai Rina balik ke Malaysia?” tanya Adrina.

“Suka? Maksud Rina, ‘cinta’?” tanyaku kembali. Adrina mengangguk.

“Tentulah. Walaupun sepuluh tahun, saya tetap akan tunggu.” jawabku. Adrina tersenyum. Aku turut tersenyum.

“Rina pun begitu juga. Walaupun sepuluh tahun, Rina tetap milik Arip.” ujarnya.

“Yalah tu! Nanti bila Rina jumpa mamat-mamat Europian yang hensem lagi macho kat sana, cinta entah ke mana setia entah ke mana!” usikku. Kami tertawa.

“Percayalah, Rina tak mau kat diorang. Diorang tak mandi. Busuk. Arip mandi. Wangiii…” balas Adrina dengan jawapan yang tak dapat diterima dek akal sebagai teori terulung di abad ini. Kami sekali lagi tertawa. Kemudian suasana menjadi hening buat seketika.

“Okay. I got to go. Bye Arif. Thanks again. Bye.” ucap Adrina seraya mengalih tubuhnya untuk keluar.

“Bye Rina.” balasku. Adrina tersenyum manis sambil menutup pintu kereta. Beliau kemudian melangkah pergi ke arah pintu rumahnya. Aku pula perlahan-lahan merasakan sesuatu yang kurang menyenangkan pada diriku. Ianya semakin ketara hingga membuatkanku seolah-olah sesak nafas. Aku spontan memegang dada sebelah kiri.

“Oro?” Jantungku berdegup dengan kencang sekali? Dan rasa teruja yang amat sangat melimpah ruah membanjiri ruang emosiku.

“Adrina…” Tatkala aku menyebut nama tersebut jantungku kembali berdegup keras. Dan perasaan teruja tadi kembali meluap.

Tak mungkin… Aku… cintakan Adrina?

Jantungku kembali berdegup keras.



- Bersambung -