Saturday, July 6, 2013

MetroPolis Episod 3 Bab 18 (Part 3) - Suram



MetroPolis Episod 3
Bab 18 (Part 3)
Suram



“Kalau puak Syiah ini muslim tetapi membunuh orang muslim juga; apakah pandangan tuan?” tempelak Debu Berlian. Langsung bungkam Rofsanni. Mencuka raut wajahnya. Amru senyum kambing. Nampaknya ketuanya ini sudah pandai terikut-ikut dengan gaya Maharaja Naga Petir yang suka mempermainkan orang.

“Nampaknya kami menyambut tuan berdua dengan baik tetapi tuan menghina pula kami di rumah kami sendiri!” ujar Rofsanni dengan agak keras. Debu Berlian tersenyum.

“Tidakkah kalian yang menghina sahabat saya terlebih dahulu tadi hanya semata-mata kerana nama beliau adalah sama dengan salah seorang sahabat Rasulullah yang kalian benci?” balas Debu Berlian. Senyumannya semakin melebar kerana dapat memerangkap Rofsanni dalam hujahnya sendiri.

******************************

Pada masa yang sama di Menara HAMKA, Malaysia...

“Lama tak berjumpa, Nicol. Bagaimana keadaanmu sekarang?” tanya Emissary Mayhem dengan nada teruja. Nicol Hanany tersenyum lebar. Senyuman lelaki di hadapannya ini sememangnya manis dan mesra; namun orang yang benar-benar mengenali Maharaja Naga Petir itu pasti akan sama ada berasa gelisah atau sangat gembira. Nicol sempat mengerling ke arah pendekar berpangkat Eksekutif yang bernama Zaquan. Rupa-rupanya kabus yang amat tebal ini adalah hasil dari kuasa Karamah orang kanan Mayhem itu.

“Saya sihat, bos. Cuma terlalu tertekan dengan kerjaya saya ini.” jawab Nicol. Mayhem ketawa.

“Kau ini seorang yang sangat cantik. Carilah suami untuk menghilangkan stres kamu itu.” saran Mayhem.

“Apa pula saya nak beritahu kepada suami saya bila saya ke serata dunia untuk tugas-tugas pengintipan dan menjadi ejen talam dua muka? Bahkan buat masa ini hanya bos, maharaja-maharaja Emissary dan Zaquan sahaja yang mengetahui identiti saya yang sebenar.” balas Nicol.

“Aku minta maaf kerana banyak menyusahkan kau selama ini. Tapi jangan kata bahawa aku tak pernah melarangmu untuk memilih jalan ini pula.” ujar Mayhem.

“Tak mengapa, bos. Memang saya yang pilih jalan ini. Namun, kalau bos nak membalas budi saya juga, maka jadikanlah saya ini isteri bos!” balas Nicol Hanany dengan nada yang tidak dapat dipastikan keseriusannya. Mayhem bungkam. Seketika kemudian beliau ketawa terbahak-bahak.

“Shh... perlahan sikit, bos!” pinta Nicol. Emissary Mayhem sememangnya seorang yang amat semberono.

“Aku dah ada tiga orang isteri, Nicol. Mereka selalu membuliku. Kalau kau yang banyak akal ini menyertai isteri-isteriku; pasti aku akan mati muda!” balas Mayhem. Nicol tidak dapat menahan tawanya lantas ketawa berdekah-dekah. Beliau tidak peduli sama ada ada orang lain dapat mendengar suara mereka atau tidak.

“Lagipun si Pemancung Angin memberitahuku bahawa kau angaukan seseorang di MetroPolis.” ujar Mayhem lagi.

“Tuan Ren memang bacar mulut.” komen Nicol dengan nada geram.

“Ya, majikanmu si Enbi telah menumbuknya di kubu Daulah Maddani. Padan muka dengannya!” maklum Mayhem.

“Enbi menumbuk tuan Ren? Berani dan gila dia ini!” komen Nicol pula. Mayhem ketawa lagi.

“Adiknya yang kau angaukan itu bagaimana pula orangnya?” tanya beliau untuk memancing emosi anak buahnya itu. Nicol mencebik.

“Dia mencintai orang lain.” jawab Nicol pendek.

“Tapi dia juga menyintaimu, kan?” tanya Mayhem lagi. Nicol mengangguk.

“Saya tak mahu berebut cinta dan kasih sayang dengan perempuan itu. Kasihan dia nanti.” balasnya.

“Kau tak kisah berkongsi kasih dengan isteri-isteriku tapi kau enggan pula berkongsi kasih dengan perempuan itu. Kau ini peliklah!” tempelak Mayhem. Merah padam muka Nicol. Beliau dengan pantas mengacukan pistolnya ke arah Mayhem.

“Bos jangan nak mempermainkan saya macam orang lain! Saya tengah stres sekarang!” bentak Nicol. Mayhem ketawa dengan lebih lantang. Tangan kanannya mengisyaratkan agar Nicol tidak mengacukan senjata ke arahnya.

“Baiklah! Baiklah! Aku minta maaf. Janganlah tembak. Nanti siapa yang menjaga isteri-isteri dan anak-anakku pula?” ujar Mayhem. Nicol kembali menyimpan senjatanya. Beliau tahu bahawa kata-katanya ketuanya tadi adalah gurauan dan mustahil pistol Nicol boleh mengapa-apakan seorang pendekar bertaraf Emissary.

“Cukuplah kita berbasa-basi. Biarlah kita berbicara tentang tujuan aku menghubungimu dan berjumpamu di sini.” ujar Mayhem.

“Ya; tindakan tuan memang agak semberono dan mungkin mendedahkan identiti sebenar saya pada Masonik.” komen Nicol pula.

“Identiti sebenarmu telahpun diketahui oleh Masonik, Nicol. Kau sepatutnya akan ke Prague lagi pada minggu hadapan, bukan? Mereka akan menangkapmu dan menyiksamu untuk mendapatkan maklumat tentang Organisasi.” Pemberitahuan Mayhem itu membuatkan muka Nicol menjadi pucat.



- Tunggu Part 4 nanti -



Friday, July 5, 2013

MetroPolis Episod 3 - Bab 18 (Part 2) Suram



MetroPolis Episod 3
Bab 18 (Part 2)
Suram




“Jangan bimbang, Enbi. Cik Catherine masih menjalani rawatan Kapsul Hydro dan keadaannya adalah sangat baik. Cuma Drakulon mendapati sesuatu yang kurang baik tentang keadaan fizikalnya. Saya tak tahu bagaimana nak memperjelaskan tentang hal ini. Jadi adalah lebih baik kita menunggu sendiri fakta yang sahih daripada beliau sendiri.” maklum Ren. Kata-katanya itu sedikit sebanyak merudumkan kebimbangan Enbi. Namun hatinya masih berasa kurang enak dengan pemberitahuan Ren tentang keadaan fizikal Catherine. Apakah maksudnya itu?

************************************

Pada masa yang sama di kondominium milik Enbi, Nazrul sedang berbaring keletihan di atas katilnya. Menguruskan pendaftaran ahli-ahli baharu MetroPolis bukanlah mudah. Enbi mengingatkannya agar berwaspada. Manalah tahu kalau-kalau Erika dan Monsoon mengambil kesempatan untuk memberontak atau menggunakan MetroPolis untuk melakukan aktiviti jenayah pula. Jadi cara terbaik ialah untuk memecah-belahkan mereka di cawangan-cawangan lain.

Ghanshamdass berpendapat bahawa Erika adalah seorang yang sangat bijak dan perlu diperhatikan setiap masa. Oleh kerana itu, Nazrul telah menugaskan Erika di bawah pengawasan Dass untuk memerhatikan tindak-tanduknya setiap masa. Setakat ini Erika tidak banyak kerenah dan melakukan setiap tugasannya dengan cemerlang. Nazrul benar-benar berharap agar Enbi pulang segera dan kembali memimpin MetroPolis.

Nazrul memandang ke sisi kanannya. Di dinding kamarnya begitu banyak foto-foto yang digantung dengan susunan yang agak caca-merba. Pada zamannya ini untuk memiliki sekeping foto cetakan di atas kertas adalah sangat mahal hatta kekurangan sumber kayu-kayan di dunia. Di antara gambar-gambar tersebut, mata Nazrul benar-benar tertumpu ke arah gambar beliau bersama Nicol Hanany. Riak ekspresi mereka pada foto tersebut adalah benar-benar dalam keadaan gembira. Ingatan Nazrul terus terlontar pada peristiwa ketikamana foto mereka itu dirakamkan. Bibirnya senyum menyenget tatkala teringatkan kenangan tersebut. Namun tidak lama kemudian senyumannya itu berganti pula dengan emosi kesedihan.

“Nicol...” seru Nazrul. Hatinya kini benar-benar bagaikan dihiris sembilu. Beliau tidak tahu mengapa beliau benar-benar terasa akan kehilangan sahabatnya itu. Air matanya tiba-tiba bergenang. Nazrul cepat-cepat memekup mukanya ke bantal. Seolah-olah beliau enggan memperlihatkan tangisannya itu walau di hadapan gambar Nicol sekalipun.  Dalam kecelaruan fikirannya itu, beliau juga juga tertanya-tanya akan keadaan sahabatnya itu.

************************************

Pada masa yang sama di Khurasan, Iran.

“Kami amat berbesar hati untuk menerima kedatangan seorang pendekar Emissary bertaraf maharaja ke tempat kami yang buruk ini.” ucap Rofsanni yang merupakan Menteri Luar bagi kerajaan Iran. Muhammad Dzikrullah alias Maharaja Debu Berlian tersenyum. Beliau sempat mengerling ke arah pembantunya iaitu Amru. Kedatangan beliau dan pembantunya itu disambut dengan suasana kemesraan. Pun begitu, begitu ramai pasukan tentera yang lengkap bersenjata turut mengiringi Rofsanni.

“Oh, ya! Saya perkenalkan pembantu saya. Namanya Amru. Sempena nama sahabat Rasulullah SAW yang pakar dalam politik dan strategi peperangan iaitu Amru Bin ‘Ash.” maklum Debu Berlian. Rofsanni mencebik. Kelihatan salah seorang daripada tentera pengiring beliau membuat aksi meludah tanda membenci akan nama tersebut. Debu Berlian memandang ke arah Amru. Pembantunya itu kelihatan tenang dan masih lagi murah dengan senyuman.

“Baiklah; sesi beramah-tamah dan berbasa-basi sudahpun terlaksana. Sekarang marilah kita ke topik utama iaitu tujuan kami datang ke sini. Saya fikir tuan Rofsanni pun tentu telah dapat mengagak akan tujuan kami. Tapi biarlah saya cakapkan juga agar jelas dan tiada kekeliruan akan berlaku kelak. Kami wakil daripada Organisasi yang memerintah negara bernama Daulah Maddaniyah memohon jasabaik pihak kerajaan tuan agar dapat membenarkan kesemua rakyat Iran yang berfahaman Sunni dipindahkan oleh kami keluar dari Iran.” pinta Debu Berlian dengan kata-kata yang panjang lebar. Rofsanni mengerutkan dahi. Ternyata permintaan Debu Berlian bagaikan suatu beban di atas bahunya.

“Mereka adalah rakyat kami. Mereka adalah tanggungjawab kami. Tidakkah tuan terfikir bahawa permintaan tuan ini agak keterlaluan kerana mencampuri urusan negara kami? Kami tidak pernah sama-sekali mengganggu-gugat mahupun mengkritik Daulah Maddaniyah selama ini. Tergamak pula pihak Organisasi berbuat sebaliknya terhadap negara kami!” pertikai Rofsanni. Debu Berlian tersenyum kelat ditempelak sedemikian rupa. Beliau sempat terfikir kalaulah Emissary Mayhem berada di tempatnya, tentu beliau lebih bijak untuk mengendalikan rundingan ini. Malah mungkin mengambil kesempatan untuk mempermain-mainkan mereka pula.

“Saya bersikap drastik sebegini kerana bimbangkan nasib puak Sunni di Iran yang saban hari dibunuh dan ditindas dengan kejam oleh puak Syiah. Pihak Organisasi juga berpandangan bahawa kerajaan Iran tidak begitu bersungguhan untuk meredakan ketegangan tersebut. Jadi kami terpaksa masuk campur kerana kami memegang kuat pada Sunnah Rasulullah SAW bahawa orang-orang Islam itu adalah bersaudara.” balas Debu Berlian memulangkan paku buah kerasnya pula. Semakin kelat muka Menteri Luar Iran itu dibuatnya.

“Adakah puak Syiah ini bukan muslim?” tanyanya dengan nada yang agak tengang.

“Kalau puak Syiah ini muslim tetapi membunuh orang muslim juga; apakah pandangan tuan?” tempelak Debu Berlian. Langsung bungkam Rofsanni. Mencuka raut wajahnya. Amru senyum kambing. Nampaknya ketuanya ini sudah pandai terikut-ikut dengan gaya Maharaja Naga Petir yang suka mempermainkan orang.


- Tunggu Part 3 nanti -