Friday, July 22, 2011

MetroPolis Episod 2 - Bab 26

MetroPolis Episod 2

Bab 26

Permainan Emosi


Seminggu kemudian...


“Assalamu’alaikum Warahmatullah. Windblade, kau dengar tak? Hello? Hello?”


Emissary Mayhem alias Maharaja Naga Petir tidak menghiraukan beberapa orang lelaki yang mundar-mandir ke sana-sini seolah-olah mencari sesuatu. Beliau betul-betul berada di atas mereka atau lebih spesifik lagi di atas bumbung sebuah pejabat lima tingkat. Mayhem dari tadi duduk bertenggek di atas bumbung tersebut tetapi tidak begitu mengawasi mereka. Beliau lebih menumpukan perhatian pada alat komunikasi di tangannya.


“Windblade, aku tahu bahawa kau sengaja enggan menjawab panggilanku. Berapa lama lagi kau mahu bermain-main begini?” ujar Mayhem lagi. Air mukanya masih tenang dan ceria seperti tadi. Senyuman masih meniti di bibir. Alat komunikasi tersebut masih membisu.


“Baiklah, apa kata kalau aku bunuh sahaja anggota-anggota polis yang sedang mencariku sekarang? Pasti lokasiku sekarang ini akan menjadi meriah. Beberapa buah kenderaan polis akan datang. Aku akan musnahkan mereka juga untuk menjadi lebih meriah lagi. Bagaimana?” tanya Mayhem. Emissary Windblade masih enggan juga membalas kata-kata tadi. Rupa-rupa sekumpulan lelaki yang mencarinya tadi adalah anggota-anggota polis dari SPMB.


“Tal Kushaini juga nampaknya sedang mencariku. Tentu kau yang menyuruhnya untuk memantauku. Apa kata kalau aku pula pergi mencari dia dan mematahkan kakinya supaya tidak ke hulu ke hilir mencariku lagi? Bagaimana Windblade?” tanya Mayhem. Matanya membulat dengan perasaan teruja. Namun provokasinya itu masih tidak memberikan sebarang kesan drastik. Alat komunikasinya masih membisu.


“Kejamnya kau ini Windblade. Adakah agendamu itu lebih penting daripada nyawa manusia?” tempelak Mayhem. Kemudian beliau tertawa kecil. Gembira hatinya kerana dapat mengenakan Maharaja Pemancung Angin hanya dengan kata-kata sahaja. Tiada sebarang balasan dari alat komunikasi tersebut. Mungkinkah Windblade sebenarnya benar-benar tidak dapat dihubungi? Mayhem tiba-tiba bangun. Beliau kini tegak berdiri dengan mata tajam merenung ke arah anggota-anggota polis yang masih mencarinya.


“Baiklah! Oleh kerana kau suka benar bermain dengan nasib manusia, apa kata kalau aku pula mempermainkan permainanmu itu? Tengoklah sama ada kau boleh tersenyum lagi atau tidak.” ujar Mayhem.


“Krk!” alat komunikasi tersebut akhirnya berbunyi. Mayhem ketawa. Akhirnya beliau berjaya. Salah seorang anggota polis tadi segera mendongak ke atas. Beliau terdengar bunyi orang ketawa tadi. Namun Mayhem telahpun lesap daripada pandangan.


******************************************


Pada masa yang sama di Balai MetroPolis...


“Tujuan aku memanggil kamu semua untuk bermesyuarat ini adalah untuk meminta pandangan kalian semua tentang mendapatkan permit senjata api untuk kita semua.” Kata-kata Enbi itu tadi menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan anggotanya. Lebih-lebih lagi Nazrul.


“Itu adalah cadangan yang beremosi, bang ngah.” tegur Nazrul.


“Itulah sebabnya aku meminta pandangan kalian.” balas Enbi. Gaya suaranya masih seperti tadi. Mendatar dan dingin. Ternyata beliau masih belum pulih daripada insiden diserang oleh Algojo Tiga Elemen lagi.


“Enbi, adakah awak akan membalas dendam bila berjaya mendapatkan permit senjata api kelak?” tanya Ganshamdass.


“Ya.” jawab Enbi. Dass menggelengkan kepala.


“Pistol di tangan seorang yang ingin membalas dendam adalah sangat berbahaya. Ia pasti akan menyebabkan ramai orang yang tak berdosa sengsara. Lebih-lebih lagi orang yang rapat dan penting dalam hidup kita.” nasihat Dass. Enbi menumbuk meja dan bingkas berdiri.


“Habis itu, kau nak kita buat apa, hah? Mendiamkan diri dan membiarkan sahaja kecelakaan ke atas Catherine tanpa sebarang pembelaan? Itukah maksud kau, hah?” jerkah Enbi. Ternyata beliau seratus-peratus dikawal oleh emosi dan bukannya fikiran rasional.


“Enbi, adakah kau fikir Catherine akan bersetuju dengan caramu ini?” tanya Nicol. Kata-kata Nicol membuatkan darah Enbi menyirap. Pantas beliau mencapai penanya dan melemparkannya ke arah Nicol. Nicol hanya mampu melindungi wajah dengan kedua lengannya. Pena tersebut mengenai dadanya.


“Kau anak orang kaya yang hanya suka bermain-main boleh memahamikah apa yang aku lalui selama ini? Kau boleh fahamkah apa yang aku dan Cat lalui selama ini? Kau pernahkah mengalami penderitaan seperti kami? Kalau tak tahu, tutup saja mulut bodoh kau itu!” tengking Enbi. Nicol tidak menjawab pertanyaan-pertanyaan tersebut. Sebaliknya beliau mencapai sebuah alat teleholo dan melemparkannya pula ke arah Enbi. Mujurlah Enbi berjaya mengelakkannya. Alat teleholo tersebut jatuh terhempas ke lantai. Pasti sahaja tidak akan dapat digunakan lagi.


“Nicol...” ujar Nazrul. Beliau benar-benar terperanjat dengan reaksi wanita tersebut. Begitu juga dengan Enbi. Muka Nicol merah padam. Air matanya bergenang.


“Kau ini budak kecilkah? Kau ingat kau seorang sahaja yang melalui penderitaan dalam hidup? Kau ingat dalam dunia ini tak ada orang yang lebih menderita daripada kaukah? Kaulah yang bodoh! Jumud! Fikiran sempit! Kalau beginilah sikapmu, pasti ada di antara kami yang tercedera dan mungkin terbunuh selepas ini. Aku tak ingin hilang nyawa semata-mata nak memenuhi kemahuanmu untuk membalas dendam. Kau boleh pergi mampus!” Setelah meluahkan isi hatinya, Nicol terus bergegas keluar.


“Nicol!” panggil Nazrul. Beliau segera bergegas mengikuti Nicol dari belakang. Ternyata beliau juga tidak bersetuju dengan sikap Enbi tadi. Akhirnya dua orang telah meninggalkan bilik mesyuarat tersebut. Buat seketika baki ahli mesyuarat yang masih ada hanya mendiamkan diri. Remy dari tadi tidak berkata apa-apa. Pemikiran Enbi sekarang adalah serupa dengan pemikirannya ketika anak-anak buahnya mati dibunuh oleh Algojo Tiga Elemen. Manakala kata-kata Ganshamdass dan Nicol pula adalah kebenaran yang menghiris-hiris hatinya.


“Terawez, apa pendapatmu pula?” tanya Enbi dengan nada yang kembali mengendur.


“Ketika saya dapat membalas dendam untuk guru-guru saya, saya berasa sangat puas. Tapi ianya hanya seketika. Tindakan saya itu membuatkan dojo saya ditutup atas perintah mahkamah dan pendaftaran persatuan kami telah dibatalkan. Begitu ramai orang yang telah saya cederakan. Ahli keluarga mereka terpaksa bergolok gadai mencari wang untuk belanja perubatan serta rawatan. Tuan, saya langsung tidak berasa gembira dan berpuas hati. Malah saya berasa sangat menyesal dan bersalah dengan mereka semua. Itu sebabnya saya mengakui kesalahan-kesalahan saya dan menerima hukuman penjara. Namun ianya masih tidak berjaya meredakan perasaan tersebut.” jawab Terawez dengan panjang lebar. Enbi bungkam. Selain daripada Red Wigwam yang kini sedang menjaga Catherine di hospital, Terawez adalah orang yang boleh diharapkan untuk memberikan nasihat serta buah pandangan. Akhirnya Enbi mengalihkan pandangan ke arah satu-satunya manusia yang diyakini akan menyokongnya.


“Remy?” tanya Enbi. Remy yang dari tadi menundukkan wajah berasa tersentak. Beliau mengangkat pandangannya ke arah Enbi.


“Apa pula katamu?” tanya Enbi. Remy terdiam seketika. Beliau memandang ke sana sini seolah-olah mencari kata-kata yang sesuai untuk diungkapkan. Akhirnya matanya kembali tertancap ke arah Enbi.


“Maafkan aku, Enbi. Aku kali ini terpaksa bersetuju dengan mereka semua. Aku juga telah melalui pengalaman seperti Terawez dan ianya menyebabkan orang-orang yang aku sayangi mengalami penderitaan yang tak terhingga. Maafkan aku, Enbi. Maaf...” ujar Remy dan segera menundukkan wajahnya kembali. Beliau memejamkan matanya rapat-rapat dengan harapan air matanya tidak mengalir keluar.


******************************************

Tiga hari kemudian...


“Cat, adakah aku ini salah kerana ingin menuntut bela untukmu?” tanya Enbi dengan lembut seraya menggosok-gosok jari-jemari Catherine. Gadis tersebut masih terlantar di katil Hospital Ibnu-Sinna dalam keadaan koma. Namun keadaan beliau adalah jauh lebih baik dari sebelum ini. Atas cadangan Ganshamdass, semua anggota MetroPolis bergilir-gilir menjaga bilik wad Catherine demi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini. Telah beratus ribu ringgit Enbi habiskan demi untuk rawatan serta penginapan sahabat baiknya itu. Bukan. Bukan sahabat baik. Catherine adalah orang yang amat dicintai oleh Enbi. Tiba-tiba pintu bilik VIP dikuak. Muncullah Ren Fairuz dengan senyuman.


“Assalamu’alaikum Warahmatullah, Enbi.” sapa Ren Fairuz dengan mesra. Beliau adalah orang yang terakhir datang semasa Catherine mula-mula dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi. Namun Ren Fairuz kemudiannya banyak meluangkan masa untuk merawat Catherine dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Enbi tidak pasti sejauh manakah alunan suara merdu ayat-ayat Al-Quran tersebut boleh membantu Catherine. Apa yang pasti jiwanya yang amat kacau serta bercelaru menjadi amat tenang tatkala mendengarnya.


“Wa’alaikumussalam. Ustaz datang nak membacakan ayat-ayat Syafik, ya?” tanya Enbi dengan nada yang agak ceria. Ren Fairuz telahpun melabuhkan punggung di atas sebuah kerusi empuk di bilik wad tersebut.


“Bukan Syafik. Syifa’. Ianya beberapa potong ayat-ayat Al-Quran yang mempunyai mukjizat untuk menyembuhkan penyakit.” perjelas Ren Fairuz dengan lembut. Beliau berasa amat kasihan melihatkan keadaan Enbi yang kini tidak menentu emosinya.


“Bolehkah orang bukan Islam disembuhkan dengan ayat-ayat Quran?” tanya Enbi lagi.


“Tentulah boleh. Tidak kira apakah anutan agama, kita ini adalah makhluk ciptaan Allah. Tubuh dan roh manusia adalah selaras dengan mukjizat ayat-ayat Al-Quran. Dalam dunia ini, tidak ada satu pun ciptaan Allah itu adalah sia-sia dan tiada satupun yang tidak berkaitan antara satu sama lain. Itulah antara tanda-tanda kebesaran Allah, Enbi.” jawab Ren dengan panjang lebar. Enbi mengangguk tanda faham dan bersetuju. Ren Fairuz tanpa sebarang rujukan bertulis mula membaca ayat-ayat Syifa’. Alunan suaranya cukup merdu dan mengasyikkan. Sungguhpun imam muda tersebut bersikap pandir dan kadang-kala semberono, beliau amat berpengetahuan dalam bidang agama dan itulah sebabnya Enbi begitu menghormatinya. Hati Enbi mula menjadi tenang dan damai apabila ayat-ayat Syifa’ tersebut bergetar di sanubari. Tiba-tiba beliau menjadi sebak pula. Enbi memekup kedua tangan pada muka. Esak tangisnya jelas kedengaran. Ren Fairuz melepaskan keluhan kecil. Beliau bangun dan perlahan-lahan bergerak ke arah Enbi. Telapak kanannya diletakkan di belakang tubuh Enbi dan menggosoknya perlahan-lahan.


“Bersabarlah Enbi. Ini adalah ketentuan Allah. Kita mesti redha dengan apa sahaja ujian yang Dia berikan kepada kita.” pujuk Ren.


******************************************


Pada masa yang sama...


“Cepat betul beliau menghilangkan diri.” rungut Tal Kushaini dalam hati. Baharu sahaja tadi beliau ternampak kelibat Emissary Mayhem dan segera mengekorinya. Namun ternyata pendekar nombor satu di Organisasi adalah jauh lebih pantas. Sebaik sahaja tiba di sebuah bumbung bangunan lima belas tingkat, Tal berhenti. Beliau memandang di sekeliling, kalau-kalau dapat menjejaki kelibat orang yang dipantaunya. Namun harapannya tinggal harapan sahaja.


“Assalamu’alaikum. Mengapa kau memandang ke sana sini, saudara Tal Kushaini?” Tal Kushaini tergamam. Emissary Mayhem kini tegak berdiri betul-betul di hadapannya. Sekalipun secepat kilat, adalah mustahil kehadirannya tadi langsung tidak disedari oleh Tal Kushaini. Jantungnya begitu kuat berdebar. Namun Tal tidak berani membuat apa-apa yang boleh menimbulkan salah faham terhadap Emissary Mayhem.


“Bolehkah beritahu saya di mana lokasi Windblade sekarang?” tanya Mayhem dengan lembut. Senyuman ceria di bibir beliau tidak langsung menggambarkan reputasinya yang menakutkan.


“Mohon maaf, tuan Mayhem. Tuan Windblade telah meminta saya agar merahsiakan tempat tinggalnya sekarang. Beliau tahu bahawa tuan Mayhem pasti akan melakukan sesuatu yang mengganggu agenda rahsianya.” jawab Tal. Mayhem merengus kecil. Beliau kemudiannya bergerak perlahan-lahan ke arah belakang Tal. Tal cuba untuk bergerak, akan tetapi seluruh tubuhnya pegun seperti batu.


“Kenapa ini? Kenapa aku langsung tidak boleh bergerak?” tanya Tal di dalam hati. Manik-manik peluh mulai memancar keluar di dahinya. Beliau dapat merasakan Mayhem sedang merenggut sesuatu di belakangnya. Tal tahu apakah yang dipegang oleh Maharaja Naga Petir itu. Peluhnya semakin banyak keluar. Seketika kemudian Mayhem kembali mengadapnya. Kali ini dengan sebuah kotak berbentuk segiempat tepat di tangan kanannya.


“Ini adalah Hasrat Tragedi, bukan? Mengapa kau pula yang memakai pedang rasmi Windblade?” tanya Mayhem. Baharu sahaja bibir Tal mula bergerak untuk berkata-kata, Mayhem segera membuat isyarat tangan kiri untuk menyuruhnya agar diam.


“Windblade rupa-rupanya memang berada di talian ketika saya menghubunginya. Nampaknya dia risaukan tentang keselamatanmu, Tal. Maklumlah, saya pernah memberitahunya bahawa saya akan mematahkan kakimu.” taakul Mayhem. Kemudian beliau ketawa dengan senang hati. Pada masa ini jugalah tubuh Tal kembali boleh digerakkan. Beliau dengan secepat kilat merampas Hasrat Tragedi dari tangan Mayhem dan bergerak menjauhkan diri. Pada masa yang sama tapak tangan kirinya didepangkan menghala ke arah Mayhem.


“Yamhullahu maa yashaa uwayuth bit. Wa’indahuu ummul kitaab (surah ar-Ra’d ayat 39)” teriaknya. Tiba-tiba sahaja tubuh Mayhem diselubungi oleh pusaran angin puting beliung yang amat hebat. Namun tubuh pendekar Emissary tersebut tidak sedikitpun bergerak dari tempat beliau berpijak.


“Kejamnya kau ini, Eksekutif Tal Kushaini. Namun memang benarlah bahawa kuasa Karamahmu adalah setanding dengan pendekar Emissary. Tentu Zaquan akan berasa cemburu nanti.” komen Mayhem seraya tersenyum. Tubuhnya tiba-tiba bertukar menjadi serbuk halus dan terus terbang ke langit mengikut pusaran puting beliung tersebut.


“Ah?” Tal tiba-tiba bagaikan dikejutkan dari lamunan. Di hadapannya tiada lagi pusaran puting beliung sungguhpun beliau tidak menggunakan kuasa Karamah untuk melupuskannya. Malah tiada sebarang kesan langsung kuasa angin puting beliung di bumbung bangunan tersebut. Emissary Mayhem juga telah tiada di hadapannya. Hasrat Tragedi masih utuh terikat di belakangnya. Tal Kushaini duduk seketika. Beliau benar-benar berasa hairan dan keliru dengan apa yang terjadi ke atasnya sebentar tadi.



- Bersambung -




Tuesday, July 12, 2011

Nota Kepala

Berjaya juga siapkan Bab 25. Susahnya nak bahagikan masa antara keluarga, kerjaya dan hobi. Tapi aku tak ingin hobi aku ini menjadi perkara yang sia-sia. Mungkin ada yang terperasan novelku ini agak Islamik sedikit. Dah umur sebegini banyak gamaknya terfikir pulak untuk sikit-sikit berdakwah kepada kalian sungguhpun aku juga serba kekurangan :)

Terima kasih kerana terus setia membaca novelku

Thursday, June 30, 2011

MetroPolis 2 - Bab 25

MetroPolis Episod 2

Bab 25

Perkara Yang Tak Terjangka

Gema adalah orang yang pertama tiba di tempat kejadian. Persekitaran tempat pertarungan yang ditinggalkan olehnya adalah jauh berbeza sekarang. Ianya sangat mengerikan dan menjadi bukti betapa hebatnya sayembara yang telah berlaku tadi. Gema memandang liar di sekeliling. Matanya segera menangkap sekujur tubuh yang terperosok di dalam remukan motolori. Beliau terus berlari mendekati.

“Abang ngah...” Itu sahaja yang mampu diucapkan oleh Gema tatkala melihatkan Bara yang kini terbujur kaku. Mukanya hancur dihenyak sesuatu. Topi keledar yang sepatutnya melindungi kepala Bara gagal menyelamatkan nyawanya kali ini. Gema mengalihkan pandangan ke arah sekujur tubuh yang terbaring tidak jauh dari tempat ia berdiri. Ia adalah lawan mereka bertiga tadi. Gadis tersebut kelihatan amat teruk sekali keadaannya. Pasti ia telah kehilangan nyawanya pada taksiran Gema. Fokus Gema terarah pada sebuah premises yang terbakar dengan begitu marak.

“Kilat telah ditewaskan oleh perempuan itu. Tubuhnya ada berada dalam bangunan terbakar tersebut. Beliau pasti telahpun terbunuh.” empunya suara yang memaklumkannya benar-benar mengejutkan Gema. Beliau segera berpaling dan bersedia untuk bertarung. Namun perasaan kagetnya kembali reda apabila beliau melihat empunya suara tersebut. Beliau adalah lelaki yang digelarkan sebagai algojo misteri kumpulan Don oleh Remy.

**********************************

Enbi tiba di lokasi yang sama hampir sepuluh minit kemudian. Mulutnya tercungap-cungap untuk meredakan kepenatan. Air mukanya serta-merta berubah tatkala pandangannya terarah ke sekujur tubuh yang terbaring tanpa menguit di atas jalanraya.

“CAT!” teriak Enbi. Beliau bergegas mendapatkan Catherine. Air matanya mencurah bercucuran tatkala melihatkan keadaan gadis tersebut. Hatinya kini dirundung dengan perasaan cemas, kesal, kecewa, sedih, marah dan putus asa.

“Cat...” seru Enbi dengan nada cemas dan penuh mengharap. Tubuh Catherine dipangkunya dengan cermat dan penuh hati-hati. Gadis kesayangannya itu sedikitpun tidak menguit. Malahan tubuh Enbi pula yang menggigil-gigil menahan ledakan emosinya.

“Caat...” seru Enbi dalam nada tangisan. Disusuli pula dengan esakan yang kuat dan tidak terkawal. Hati kecilnya mengetahui bahawa tidak mungkin gadis kesayangannya akan membuka mata. Enbi menangis semahu-mahunya. Tubuh Catherine didakapnya dengan begitu erat sekali.

“WUAAARRRGHH!!!” jerit Enbi sekuat-kuat hati untuk meredakan kesakitan yang tidak dapat ditanggung oleh hatinya. Beliau tidak menyedari bahawa ada seseorang secara senyap-senyap merapatinya dari belakang.

**********************************

Pada masa yang sama di kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia...

Dato’ Seri Khamal Hasyim dengan rasa malas menjawab panggilan teleholo di talian sulit yang dikhaskan untuknya. Tentu ianya panggilan yang mustahak. Mujurlah beliau baharu sahaja meladeni gadis yang ditempah khas untuknya untuk malam ini. Jadi anginnya adalah begitu baik sekarang.

“Ya..” ucapnya dengan nada yang agak lesu.

“Maafkan saya, Dato’ Seri kerana mengganggu. Tapi kami hanya menurut arahan terdahulu daripada Dato Seri’. Kami telahpun berjaya menemui Maharaja Mayhem. Orang-orang kami sedang mengekorinya dari jauh sekarang. Apakah arahan Dato’ Seri yang seterusnya?” tanya empunya suara yang kini sedang mengganggu orang nombor satu di Malaysia.

Dato’ Seri Khamal Hasyim tidak segera menjawab soalan tersebut. Hatinya bercampur-baur dengan rasa teruja dan cemas. Kata-kata Tal Kushaini tentang tingkah-laku ganas dan semberono Mayhem masih terngiang-ngiang di fikiran.

**********************************

Lebih kurang sejam kemudian...

Enbi masih mematungkan diri di sofa menunggu di kawasan Unit Rawatan Kecemasan, Hospital Ibnu-Sinna. Riak mukanya menunjukkan bahawa beliau seolah-olah kehilangan arah dalam hidup. Bersama-sama Enbi adalah Terawez, Ghanshamdass dan Remy yang setia menemani. Mereka tiba di lokasi kejadian setelah hampir sepuluh minit Enbi berada di situ. Air muka di raut wajah mereka ternyata dihurungi dengan seribu pertanyaan. Kecuali Remy. Beliau seolah-olah memahami apa yang telah berlaku. Remy kini sedaya-upaya cuba menyembunyikan perasaan sebenar. Pun begitu beliau tidak pasti sama ada cubaannya itu berhasil di mata rakan-rakan.

Ibu bapa Catherine juga telah berada di situ hampir setengah jam lalu. Puas Enbi memakan sumpah-seranah ibu Catherine, Prudence. Manakala si bapa, Justin hanya merenung tajam sehingga kini ke arahnya.

“ENBI!” Sekonyong-konyong mereka semua terdengar pekikan di pintu lif, lebih kurang 50 meter dari tempat menunggu. Kecuali Enbi, kesemua yang berada di situ memanggung kepala ke arah empunya suara. Ianya milik David, iaitu abang Catherine. Dengan langkah yang tangkas dan keras David mara ke arah Enbi. Ghanshamdass juga bingkas bangun untuk menahannya.

“Tunggu!” arah Dass seraya mendepangkan kedua belah tangan. Namun dengan pantas David menangkap lengan kanan Dass dan menghumbannya ke tepi. Beliau meluru ke arah Enbi seraya melepaskan peninju yang amat kencang. Enbi terhumban dari tempat duduknya dan jatuh tergolek ke lantai. David cuba meluru untuk menyerang lagi. Namun kali ini kolar bajunya dicekak dari belakang dan disentap dengan kasar. Giliran David pula tergolek ke lantai.

“Kalau kau buat hal lagi, aku akan memberkasmu. Aku tak peduli walaupun kau ini abang Catherine.” ancam Dass. Beliaulah yang telah menghalang David daripada terus menyerang Enbi tadi. Justin cuba menenangkan David manakala ibunya kembali menangis teresak-esak.

“BANGSAT!” pekik David seraya menyerbu ke arah Dass yang kini lebih bersedia. Tiba-tiba Terawez pula muncul untuk di hadapan David untuk menghalangnya. David yang menjadi semakin geram melepaskan peninjunya ke arah Terawez pula. Namun pemuda tersebut dengan tangkas dan tenang menepis serangan tersebut. Beberapa tumbukan serta tendangan dilepaskan oleh David ke arah Terawez; akan tetapi kesemuanya telah berjaya ditepis dengan sempurna sekali. David melonjak ke belakang. Perasaan amarahnya mulai mengendur. Beliau menyedari bahawa lawan di hadapannya ini bukanlah calang-calang orang.

“Kak Catherine semenjak kecil bersahabat dengan tuan Enbi. Mereka berdua diserang ketika tidak bertugas dan berpakaian biasa. Tanya dirimu, adakah keadaan akan berubah jika kak Catherine tidak menyertai MetroPolis?” tanya Terawez. David bungkam. Kebenaran dalam kata-kata Terawez tersebut mulai meresap ke sanubari. Beliau menyedari bahawa kalaupun adiknya itu tidak menyertai MetroPolis, keadaan ini pasti akan berlaku. Catherine amat rapat dengan Enbi dan sering menghabiskan masa bersama. Jika Enbi diserang, adiknya itu pasti akan mempertaruhkan nyawa untuk melindungi orang yang amat dicintainya. Jadi takkanlah beliau menyalahkan Enbi kerana bersahabat dengan adiknya semenjak kecil lagi. Takkanlah beliau menyalahkan Enbi kerana menubuhkan MetroPolis yang telah menolong begitu ramai orang awam yang memerlukan bantuan serta pembelaan. David duduk berteleku dengan kedua tapak tangan memekup muka. Enggan nampaknya beliau mempamerkan air mata kesedihan di hadapan orang lain.

*********************************

Pada masa yang sama keadaan balai MetroPolis Enterprise...

“Sudahlah tu, Nazrul. mari kita bertolak ke hospital sekarang.” pujuk Nicol. Nazrul masih tersandar di dinding dengan gaya longlai. Air mata serta esakannya masih berjuraian keluar. Berita tentang keadaan Catherine benar-benar meruntuhkan emosinya. Red Wigwam yang telahpun menutup balai kelihatan begitu sabar menunggu adik kepada ketuanya itu meredakan perasaan.

“Kakak aku sedang nazak, Nicol. Kakak aku akan mati.” ujar Nazrul dalam esak tangisnya. Catherine yang dikenali semenjak kecil telah dianggap sebagai kakak sendiri oleh Nazrul. Nicol terdiam. Tiada apa yang wajar diungkapkan untuk meredakan kesedihan Nazrul buat masa ini. Nicol perlahan-lahan merapatkan tubuhnya ke arah Nazrul dan mendakapnya dengan erat. Gigilan tubuh Nazrul begitu ketara dirasakan. Dakapan Nicol semakin kemas. Beliau berharap agar emosi kesedihan Nazrul dapat disuraikan dengan cara itu.

*********************************

Pada masa yang sama sebuah pesawat udara milik Organisasi kelihatan perlahan-lahan mendarat di lokasi pertempuran di antara Catherine dengan Algojo Tiga Elemen. Dari pesawat tersebut muncul Tal Kushaini bersama beberapa orang berpakaian tentera. Tentera-tentera tersebut segera memeriksa keadaan persekitaran dengan peralatan-peralatan canggih. Tal Kushaini tegak memegun diri memantau anak-anak buahnya bekerja.

“Tuan Kushaini.” seru salah seorang tentera yang berdiri tidak jauh dari restoran pizza yang masih dijilat api marak. Tal segera mendekatkan diri kepada tentera tersebut. Matanya menjenguk ke arah peralatan pengimbas di tangan anak buahnya itu.

“Bagus.” ucapnya. Tal Kushaini menghalakan tapak tangan kanan ke arah bangunan berapi tersebut.

“Yamhullahu maa yashaa uwayuth bit. Wa’indahuu ummul kitaab (surah ar-Ra’d ayat 39)” ucapnya dengan tenang. Tiba-tiba bangunan dengan api marak tersebut dikelubungi pula dengan pusaran angin yang kencang. Habis kesemua api tersebut disedut naik ke langit. Bangunan tersebut kini tidak lagi terbakar.

“Hebatnya tuan!” puji salah seorang anak buahnya yang turut sama memerhatikan kuasa Karamah Tal Kushaini tadi. Tal Kushaini tersenyum.

“Kuasa Karamah ini adalah milik Allah. Ia cuma dipinjamkan kepada kita manusia. Tanpa izin serta rahmatNya, kita tak akan mampu melakukan sesuatu apapun.” perjelas Tal untuk memperingatkan anak-anak buahnya tentang sifat sebenar kuasa Karamah. Beliau tidak ingin mahu anak-anak buahnya yang berpangkat Guardian itu menjadi taksub kepada manusia. Usrahnya itu terganggu dengan kehadiran bunyi siren polis. Ianya milik kenderaan jenis motovan SPMB. Beberapa orang anggota polis yang lengkap memakai pakaian berperang serta bersenjatakan senapang plasma segera menyerbu keluar.

“Kami adalah SPMB. Sila jangan mengganggu tapak kejadian ini. Ia adalah dalam bidangkuasa kami.” ujar salah seorang anggota SPMB dengan alat wave blaster. Kata-kata angkuhnya itu dijawab dengan acuan senapang oleh anak-anak buah Tal Kushaini.

“Minta maaf, saudara-saudara semua. Kami percaya bahawa tempat ini telah dimusnahkan oleh teknologi terlarang. Oleh itu, tempat ini menjadi bidangkuasa Organisasi sekarang atas perintah Emissary Windblade. Jadi kami berharap agar pihak tuan dapat beralah dan membiarkan kami menjalankan siasatan tanpa gangguan.” pinta Tal Kushaini dengan lembut.

“Kami mendapat arahan daripada Ketua Polis Negara. Sila pihak tuan beredar dari sini untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.” balas anggota polis tersebut dengan nada angkuhnya yang tidak surut.

“Sombong betul. Mereka langsung tak beri muka pada kita.” komen salah seorang anak buah Tal Kushaini. Tal Kushaini tidak berkata apa-apa. Beliau terus datang mendekati anggota polis tersebut.

“Adalah jelas ketua kamu cuba menyembunyikan sesuatu di tempat ini sehingga sanggup cuba mencabar pihak Organisasi. Aku minta agar kamu berpatah balik dengan segera dan jangan ganggu kami. Jika kamu semua masih berdegil, aku akan membunuh kamu semua dengan serta-merta. Urusanku ini adalah demi kepentingan Islam. Oleh itu aku tak akan berlembut lagi dengan orang-orang yang cuba memudaratkan agama Islam.” Kali ini nada Tal Kushaini menjadi garang dan berbaur ugutan. Anggota polis yang sombong tadi berundur beberapa langkah ke belakang. Ternyata ancaman daripada seorang Eksekutif tidak boleh dipandang enteng. Lebih-lebih lagi ianya dipaculkan dari mulut orang kanan Maharaja Pemancung Angin yang kononnya setaraf Karamahnya dengan seorang pendekar Emissary.

*********************************

Di hospital Ibnu Sinna. Hampir setengah jam kemudian...

Akhirnya doktor yang merawat Catherine keluar dari bilik trauma. Bajunya terpalit dengan kesan-kesan darah. Pasti ia milik Catherine. Enbi bingkas bangun. Begitu juga dengan orang-orang yang berada di situ. Nazrul, Nicol dan Red Wigwam telahpun tiba beberapa minit lalu.

“Bagaimana dengan Cat, doktor?” tanya Enbi yang sekian lama mendiamkan diri. Wajahnya penuh dengan perasaan cemas dan penuh pengharapan.

“Keadaan cik Catherine adalah stabil. Namun beliau masih koma. Beliau akan dirawat di Bilik Rawatan Unit Rapi sekejap lagi. Maafkan saya, tetapi buat masa ini tiada siapa boleh berjumpa dengannya.” maklum doktor tersebut.

“Alhamdulillah. Kak Catherine dah selamat sekarang.” ujar Nazrul seraya menyeka air mata di kedua belah pipi. Nicol menepuk-nepuk bahunya.

“Mohon maaf, tetapi keadaan cik Catherine sebenarnya masih belum selamat. Dia masih kritikal. Cuma kami telah berjaya menstabilkannya. Namun ada suatu perkara yang amat menghairankan saya. Saya dapati bahawa seluruh sel-sel ditubuhnya dijanakan dengan pesat sekali dengan perkadaran pacuan tiga ratus kali ganda. Ia kini telah berkurangan sebanyak dua ratus dua puluh kali ganda sahaja. Namun fenomena inilah yang telah menyelamatkan nyawa cik Catherine.” maklum si doktor.

“Apakah maksud doktor?” tanya Nazrul dengan seribu pertanyaan di wajah. Si doktor menghela nafas panjang. Beliau cuba mencari perkataan yang sesuai untuk fenomena luarbiasa tersebut agar tidak menjatuh imejnya sebagai seorang yang memegang kuat kepada falsafah sains.

“Tubuh cik Catherine sendiri telah bertindakbalas secara ekstrem untuk menyelamatkan nyawanya. Kecederaan yang dialami olehnya telah berkurangan sebanyak tiga puluh peratus setakat ini. Walaupun tanpa bantuan kami, kadar janaan sel-sel di tubuh cik Catherine mampu menyembuhkan kecederaan beliau sehingga ke tahap lima puluh peratus. Ianya memang sangat ajaib dan tak dapat diperjelaskan dengan sains.” terang si doktor dalam keadaan serba-salah. Kesemua yang berada di situ turut bungkam.

*********************************

Pada masa yang sama di lokasi kejadian pertempuran...

“Tuan Kushaini.” seru salah seorang askar Guardian. Tal Kushaini bersegera melangkah ke arah anak buahnya itu. Di dalam runtuhan restoran pizza tersebut, terdapat suatu mayat yang sudah rentung. Tubuh rentung tersebut diselaputi dengan beberapa keping besi dan dawai serta papan litar yang masih utuh. Si askar tadi menunjukkan pula pengimbas khas di tangannya.

“Tak salah lagi, tuan. Teknologi yang dikesan oleh pengimbas kita adalah milik pihak Masonik. Nampaknya mereka mulai secara senyap-senyap memasuki Malaysia seperti dulu.” lapor Tal Kushaini melalui alat komunikasinya.

“Patutlah Mayhem datang ke Malaysia. Beliau tentu telah mendapati sesuatu yang tidak kena di sini.” alat komunikasi tersebut berbunyi membalas laporan itu tadi. Ianya adalah milik Maharaja Pemancung Angin atau Emissary Windblade. Tal Kushaini memandang ke arah mayat-mayat anggota SPMB yang bergelimpangan. Ternyata nasihat serta amarannya itu tadi tidak diendahkan.

“Saya bimbang dengan kemusnahan yang akan Emissary Mayhem lakukan nanti, tuan.” ujar Tal Kushaini meluahkan kekhuatirannya. Tiada sebarang balasan di alat komunikasi. Ternyata Windblade juga memikirkan perkara yang sama.

- Bersambung -

Friday, June 17, 2011

Nota Kepala 17/06/2011

Akhirnya aku berjaya menyudahkan Bab 24 MetroPolis. Yey! Alhamdulillah firma baharuku semakin berkembang baik. Harapya terus akan menjadi maju dan stabil. Aku perlu bekerja keras lebih lagi demi untuk keluarga.

Oh ya. MetroPolis Episod 2 ini sudah tiba ke kemuncaknya dan akan berakhir dalam beberapa bab lagi. Selepas ini akan disambung pula dengan Episod 3 yang merupakan novel terakhir dalam trilogi MetroPolis. Harap kalian akan terus setia membaca dan meminatinya.

Terima kasih dan wassalam :)

Monday, June 6, 2011

MetroPolis 2 - Bab 24

MetroPolis Episod 2

Bab 24

Adrenalin

Ketika di usia remaja, Enbi telah diserang oleh sekumpulan samseng di sekolahnya. Puncanya tidaklah diketahui, namun Enbi yang lemah dan kedi sahih bukan tandingan mereka yang seramai sepuluh orang. Mujurlah Catherine datang menyelamatkannya. Namun gadis comel itu ternyata masih bukan tandingan kumpulan samseng yang lebih ramai tersebut biarpun telah mahir dalam seni wushu. Enbi dan Catherine telah mengalami kecederaan yang agak berat sungguhpun gadis itu berjaya melanyak teruk enam orang ahli kumpulan samseng tersebut termasuk ketuanya.

Pada ketika itu Catherine berasa amat lemah dan sedar akan kemampuannya yang tidak seberapa. Beliau sedar bahawa apabila meningkat dewasa kelak, tenaganya pasti tidak akan setanding dengan kudrat lelaki dewasa sungguhpun beliau menjadi pakar di dalam seni wushu. Enbi pasti akan menghadapi musuh-musuh yang jauh lebih hebat dengan sikap angkuh dan mulut lancangnya. Jadi Catherine mesti menjadi lebih hebat dari bakal musuh-musuh Enbi demi untuk melindungi orang yang dicintainya. Catherine mulai mempelajari seni tai-chi yang lebih pasif dan banyak memperalatkan tenaga lawan untuk menentang mereka kembali. Catherine juga telah mengubahsuai jurus-jurus tai-chinya agar menjadi lebih ganas dan mampu membunuh dengan pantas. Pertarungannya dengan Riko adalah bukti kepakarannya dalam seni tai-chi.

Pun begitu, apabila Enbi berjaya menempa banyak kejayaan dan menjadi multi-miliionair dalam usia yang amat muda, Catherine sedar bahawa musuh Enbi juga menjadi semakin ramai dan mungkin ada yang menghantar orang-orang yang professional dan sangat handal untuk membereskannya. Catherine juga sedar bahawa bermungkinan ada musuh Enbi yang jauh lebih handal daripada gadis ayu itu sendiri. Jadi Catherine mulai mengkaji dan mempelajari suatu teknik ciptaannya yang amat hebat tetapi amat merbahaya. Seni tai-chi adalah berkait rapat dengan pengawalan aura dan aliran tenaga dalam tubuh badan. Malah ianya juga mampu memperalatkan beberapa fungsi dalam tubuh yang tak mampu digunakan secara sedar atau sengaja oleh orang biasa. Antaranya ialah kuasa adrenalin.

Adrenalin adalah suatu kuasa yang dicapai secara tidak sengaja melalui ledakan emosi yang hebat seperti panik, marah dan gembira. Terdapat berbagai berita yang menghairankan seperti seorang ahli bomba yang memecut lari dua kali lebih pantas daripada rekod dunia larian pecut demi untuk menyelamatkan diri dari letupan besar. Ada juga dilaporkan seorang ibu yang mengangkat sebuah kereta kebal dengan tangannya sahaja demi untuk menyelamatkan anak kecilnya dari dilenyek oleh jentera berat tersebut. Semuanya ini adalah kuasa adrenalin. Ianya berlaku secara tidak sengaja dan tidak dalam jangkawaktu yang lama. Ini adalah kerana kuasa adrenalin amat memudaratkan tubuh jika berlangsung waktu dalam jangka waktu yang agak lama.

Catherine menyedari akan potensi kuasa adrenalin ini dan risikonya. Namun demi untuk Enbi yang amat dicintainya, beliau sanggup mempelajari cara untuk memperalatkan kuasa yang amat merbahaya itu.

*******************************

“BANG!” Kuasa ledakan sonik dilepaskan oleh Gema serta-merta dielakkan oleh Enbi dengan menukar arah lariannya. Kuasa letupan sonik Gema memang hebat. Malah ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar yang mana menjadikannya suatu senjata yang amat merbahaya. Mana-mana musuh yang dilanda dengan tenaga bunyi yang dua kali lebih kuat daripada enjin jet pejuang pasti akan pecah gegndang telinganya. Malah mangsa juga turut mengalami pendarahan di dalam tubuh yang boleh menyebabkan kematian. Bagaimanapun kelemahan senjata sonik tersebut adalah kelajuannya. Ianya amat berkesan bagi serangan jarak dekat dan sederhana kerana kebarangkalian pihak lawan untuk mengelak adalah amat kecil. Namun jarak Gema dan Enbi adalah begitu jauh sekali. Tambahan pula letupan sonik yang amat kuat tersebut mampu didengari oleh Enbi dan sebelum sempat gelombang pembunuh sonik melandainya, Enbi segera menukar arah lariannya. Setakat ini Gema hanya berjaya memecahkan tingkap-tingkap kaca pada puluhan kedai dan merosakkan belasan kereta. Malah orang-orang awam yang tidak bersalah juga turut mengalami kecederaan akibat dihentam gelombang sonik tersebut.

“Jahanam! Alat komunikasiku rosak pula. Pasti sebab kejutan elektrik tadi.” ujar Enbi di dalam hati. Arus elektrik daripada Kilat telah merosakkan kesemua peralatan elektronik di tubuhnya termasuklah kunci kereta. Jadi Enbi terpaksa meneruskan larian ke arah balai MetroPolis yang jaraknya lebih kurang empat kilometer dari panggung wayang. Telinga Enbi segera menangkap bunyi letupan di belakang. Dengan tangkas beliau menukar arah ke kiri pula. Namun sebuah lori yang di parkir di situ meletup dan melayang ke udara. Rupa-rupanya Gema membuat helah dengan menembak ke arah kiri pula dan bukannya ke arah Enbi. Jadi apabila Enbi menukar arah kiri, beliau sebenarnya masuk ke laluan ledakan sonik maut Gema. Mujurlah lori yang diparkir tadi menampan serangan Gema.

“Bodohnya aku! Mujur tak mati.” fikir Enbi. Lori malang tadi terhempas ke bumi dan mengalami kerosakan yang amat teruk. Mata Enbi sempat menangkap sesuatu yang berguna. Beliau bingkas berpatah balik dan mengambil risiko mendekatkan jarak serangan Gema demi mengambil barang tersebut. Bunyi ledakan sekali lagi terhasil dari arah Gema. Enbi tanpa bertangguh terus melompat jauh dari lori tadi. Lori tersebut pula sekali lagi melayang dihentam oleh serangan sonik Gema. Orang ramai telahpun bertempiaran lari menyelamatkan diri.

“Haha! Sudah dapat!” teriak Enbi dengan gembira. Barang yang diambil olehnya tadi adalah sekeping cermin yang sudah pecah. Enbi menggunakan serpihan cermin pandang belakang dari lori malang tadi untuk menjadi mata belakangnya bagi menentukan arah serangan Gema. Satu ledakan kedengaran lagi. Namun Enbi kali ini telah nampak arah tangan Gema. Beliau terus mengekalkan haluan lariannya. Di kanan Enbi kelihatan beberapa buah motorsikal dan orang awam terhumban akibat dilandai oleh gelombang maut sonik tadi.

“Celaka! Dia memang bijak. Lagipun lompatannya tadi amat luar biasa jauhnya. Dia ini bukan sembarangan orang. Tapi mungkin juga oleh sebab adrenalin.” fikir Gema. Perasaan kagum Gema telah menyebabkan jarak di antara Enbi dengannya menjadi semakin jauh.

“Mungkin aku terpaksa menggunakan kuasaku ke tahap maksimum sekarang.” fikirnya lagi.

********************************

Sementara itu keadaan Catherine juga adalah gawat dan mencemaskan. Mana tidaknya; beliau kini diserang secara bertubi-tubi oleh dua orang pendekar bertaraf algojo milik kumpulan Don. Sungguhpun buat masa ini Catherine masih mampu bertahan, namun lambat-laun nyawa beiau pasti akan terancam kerana tenaga serta staminanya semakin merosot. Tambahan pula Enbi ini dikejar oleh algojo Gema yang jauh lebih handal. Catherine perlu segera menamatkan sayembaranya dan menolong Enbi pula.

“Tenagamu semakin merosot. Kau semakin tak mampu untuk menandingi kami berdua. Apakata kau padamkan sahaja semangatmu yang membara itu dan biarkan tubuhmu dihangatkan oleh apiku ini.” sindir Bara dengan senyuman sinis. Kilat juga begitu. Namun mereka masih belum mengambil sebarang tindakan menyerangnya.

“Ahugh!” Catherine tiba-tiba termuntah. Tubuhnya menggeletar. Namun kali ini gadis tersebut tersenyum dengan penuh keyakinan dengan sinar matanya yang tajam tertancap pada musuh-musuhnya.

“Kalau aku tak mampu menandingi kamu berdua, apa yang kamu tunggu lagi?” sindir Catherine pula dengan nada mencabar. Bara termakan dengan provokasi tersebut tatkala airmukanya berubah menjadi merah padam.

“Tunggu Bara!” pekik Kilat. Sudah terlambat tegahannya itu. Bara telahpun menyerbu dengan api yang berkobar-kobar di kedua tangannya. Akan tetapi dengan tidak semena-mena Catherine telahpun berada di hadapannya.

“Ap-“ Belumpun sempat Bara menghabiskan perkataan yang menggambarkan perasaan terperanjatnya, peninju Catherine telahpun singgah di bahagian jantungnya. Tumbukan tersebut tidak menggambarkan langsung teknik seni tai-chi kerana ianya amat keras dan jitu namun penuh dengan kuasa. Bara tercampak jauh ke belakang sebelum tubuhnya dihentikan oleh sebuah motolori yang diparkir hampir 70 meter dari tempat beliau ditumbuk tadi.

“Ngah!” jerit Kilat. Bara tidak sempat mengaktifkan perisai kuasanya. Pasti beliau mengalami kecederaan yang berat sungguhpun tubuhnya telah terbiasa dengan pukulan serta hentaman.

“Aduh!” rintih Bara kesakitan. Namun tiba-tiba sahaja Catherine telahpun berada di depan mata dengan tangan kanan yang menggenggam kejap.

“ADIK!” pekik Kilat sekuat-kuat hati.

“ARGHH!” jerit Catherine seraya menghunjamkan peninjunya di bahagian muka Bara yang dilindungi topi keledar. Motolori tempat Bara bersandar remuk-redam dengan bunyi ledakan yang amat kuat seolah-olah dilanggar oleh sebuah treler. Tubuh Bara terperosok jauh ke dalam remukan motolori tadi. Kilat yang kini diselaputi dengan arus elektrik di sekeliling tubuhnya menyerbu ke arah Catherine. Namun secepat kilat Catherine telahpun menyerbu dan menghampirinya. Naluri pendekar membuatkan Kilat spontan mengangkat kedua belah tangan untuk melindungi mukanya. Tindakannya itu adalah wajar kerana sepakan kanan Catherine yang amat kencang hinggap di kedua lengan Kilat. Kilat yang dianggap terhandal di antara Algojo Tiga Elemen juga turut terhumban jauh ke belakang.

“Mustahil! Perempuan itu sangat pantas dan luar biasa kekuatannya.” fikir Kilat dalam hati tatkala terguling-guling tubuhnya di atas tar jalanraya. Mujurlah perisai elektrik yang meliputi tubuhnya mampu mengelakkan beliau mengalami kecederaan. Kilat bingkas bangun untuk menghadapi serangan seterusnya. Beliau baharu perasan bahawa kedua tangannya berasa kebas dan menggeletar.

“Dahsyat benar kekuatan perempuan ini. Sungguhpun tubuhku dilindungi perisai elektrik, kedua tanganku tetap mengalami kecederaan otot akibat sepakannya.” ujar Kilat di dalam hati. Matanya tajam mengawasi Catherine yang kini berdiri di hadapannya. Sepatu dan kaki seluar di bahagian kanannya telah menjadi cabik-cabik dan hitam. Ternyata perisai elektrik Kilat turut mencederakan gadis tersebut serta membakar pakaiannya.

“Apa yang telah berlaku? Tadi seni mempertahankan dirinya lembut dan sistematik. Sekarang ianya menjadi ganas, keras dan liar.” fikir Kilat. Beliau memerhatikan Catherine. Gadis tersebut ternyata berubah pada riak wajahnya. Urat-urat jelas timbul di dahi. Mukanya merah menyala manakala air liur menjelejeh keluar dari mulutnya yang mencungap-cungap.

“Dia bukannya penat. Tetapi semacam menahan kesakitan. Pasti perempuan ini entah bagaimana berjaya memaksa seluruh tubuhnya mengeluarkan tenaga serta kuasa yang amat luarbiasa. Kalau begitu aku pasti akan nahas nanti.” fikir Kilat. Beliau serta-merta menekan butang pada kepala talipinggangnya. Arus elektrik di tubuh Kilat menjadi semakin ganas dan bergerutup dengan bunyi yang menakutkan. Kawasan persekitaran sayembara mereka menjadi semakin terang-benderang.

“Ini adalah perisai elektrikku pada tahap maksimum. Walau sebuah treler dengan kelajuan seratus kilometer sejam sekalipun tidak akan dapat menembusi dan mengapa-apakanku. Kuasa dan tenaga elektrikku boleh bertahan dalam keadaan sebegini sehingga esok pagi. Namun nampaknya kuasa mendadak tubuhmu hanya dapat bertahan mungkin beberapa saat lagi sahaja. Tubuhmu akan rosak sama-sekali dan aku akan membakarnya untuk menamatkan penderitaanmu.” teriak Kilat untuk mengatasi bunyi perisai elektriknya. Catherine tersenyum. Kemudian tertawa kecil.

“Apa yang lucu?” tanya Kilat dengan suara yang kuat.

“Aku menjadi kuat sebegini kerana cinta. Mungkin kuasa cinta juga akan membuatku mampu bertahan hingga esok petang. Kuasa perisai elektrik kau mungkin akan habis dulu. Maka mungkin kau yang akan mati dulu.” teriak Catherine pula. Namun tiba-tiba beliau jatuh berteleku.

“Ahugh! Ahugh!” Kali ini Catherine memuntahkan darah pula. Berbuku-buku darahnya dimuntahkan di atas jalanraya. Ternyata tubuhnya telah dipaksa melampaui batasan. Kilat ketawa terbahak-bahak.

“Kuasa cinta? Mengarut saja! Kau memang bodoh. Percaya benar dengan kua-“ Belum sempat Kilat menghabiskan bait-bait penghinaannya, peninju Catherine telahpun singgah di mukanya yang dilindungi oleh topi keledar khas. Namun topi keledar tersebut tidak mampu menahan kuasa tumbukan Catherine yang jauh lebih berkuasa dari sebuah treler dengan kelajuan seratus kilometer sejam. Topi keledar tersebut pecah dan buku lima Catherine berjaya menyentuh kulit muka Kilat.

“Gila!” Itu sahaja yang terdetak di fikiran Kilat tatkala tengkorak mukanya dikeronyok oleh peninju lawan. Tubuhnya yang masih diselaputi perisai elektrik berkuasa maksimum melayang ke belakang bagaikan layang-layang yang terputus talinya. Akhirnya tubuh Kilat melanggari sebuah restoran pizza yang semenjak tadi telah dikosongkan. Premises tersebut serta-merta meledak dengan bunyi letupan yang amat kuat hingga menggegarkan bumi.

*********************************

Sementara itu di Restoram Nur Baroqah...

“Apakah itu?” tanya Ghanshamdass dengan nada cemas. Bunyi letupan tersebut turut di rasai di tempat mereka. Air muka Remy berubah serta-merta. Perasaan yang kurang enak terdetak di hatinya.

“Remy, kau bayar dahulu. Aku mahu pergi menyiasat.” pinta Ghanshamdass. Terawez juga turut bingkas bangun mengekorinya. Remy termangu-mangu seketika. Beliau kemudian menyeluk poket dan mengeluarkan dompetnya.

“Adik!” seru Remy kepada salah seorang pelayan restoran tersebut. Apabila pelayan tersebut memandang ke arahnya, Remy melambai-lambaikan wang seratus ringgit dan meletakkannya di atas meja makan. Beliau kemudian bergegas keluar menyertai rakan-rakannya.

************************************

Enbi menghentikan langkah larian. Begitu juga dengan Gema. Kedua-dua mereka menoleh ke belakang. Letupan tadi benar-benar kuat sehingga seluruh kawasan tersebut bergegar.

“Abang long...” Hati Gema tiba-tiba menjadi cemas.

“Cat...” Perasaan bimbang mula menyerbu di sanubari Enbi. Tubuh Gema tiba-tiba meledak dengan dentuman yang memekakkan. Apabila Enbi meleraikan pekupan kedua tangan di telinga dan membuka mata, tubuh Gema tidak lagi kelihatan.

“Apa dah jadi? Teknik apa yang dia pakai tadi?” Bertalu-talu pertanyaan terlakar di otak Enbi. Namun beliau turut berpatah balik ke arah matlamat Gema. Ke arah lokasi pertarungan di antara Catherine dan Kilat serta Bara.

***********************************

Sementara itu Catherine tegak berdiri menghadap restoran pizza yang terletak hampir seratus meter daripadanya. Sayembara di antara beliau dan Kilat serta Bara kini telahpun berakhir. Pemenangnya gagah berdiri di lokasi yang kini hampir menjadi padang jarak padang terkukur. Nasib pihak yang mengalami kekalahan pula tidak ketahui entah hidup atau mati mereka. Namun tidak semestinya si pemenang dapat menikmati kemenangannya dengan sepuas hati. Darah tidak berhenti mengalir turun dari mulut, hidung, telinga dan mata Catherine. Gadis ayu ini telah memanipulasikan kuasa adrenalin pada tahap maksimum dalam jangkamasa yang terlalu lama sehingga mengalami kecederaan yang amat berat di dalam tubuhnya. Tambahan pula renjatan elektrik bervoltan tinggi dari perisai tenaga Kilat semakin membuatkan tubuhnya menjadi parah. Tubuh Catherine berasap. Rambutnya hampir lapan puluh peratus terbakar hangus. Pakaiannya turut terbakar dan melekat di seluruh kulit Catherine. Yang paling teruk adalah tangan kanannya yang menghancurkan muka Kilat tadi. Keseluruhannya rentung dan berasap. Malah ianya turut kudung di takat pergelangan tangan. Peninju Catherine turut hancur dimamah perisai arus elektrik Kilat sebagai galang ganti menghancurkan muka lawan. Namun itu semua tidak penting. Yang penting ialah kedua lawannya tadi tidak akan dapat mengapa-apakan lelaki yang dicintainya. Yang lain terserahlah kepada Enbi sendiri.

“Enbi...” Tiba-tiba air mata Catherine mengalir membasahi kedua pipi. Baharu sahaja tadi mereka keluar menonton wayang bersama. Baharu sahaja tadi mereka bergurau senda dan ketawa mesra bersama. Baharu sahaja tadi Enbi meluahkan isi hatinya kepada Catherine. Sungguhpun tidak sempat diungkapkan, namun Catherine tahu bahawa Enbi kini menyayanginya lebih dari seorang sahabat. Gadis ayu tersebut dapat membayangkan saat-saat manis dan bahagia yang bakal mereka tempuhi bersama selepas ini. Namun nampaknya hanyalah impian yang tidak akan menjadi kenyataan. Beliau berasa amat kesal kerana tidak lagi dapat melindungi serta menjaga makan minum Enbi yang amat dicintainya selepas ini.

“Enbi..” ucap Catherine dengan perlahan sebelum tersungkur menyembah bumi.

- Bersambung -

Sunday, May 29, 2011

Nota Kepala 29/05/2011

Assalamu'alaikum dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu saya memohon maaf kerana lewat menyiapkan bab 23 ini. Saya perlu menyesuaikan diri dan hobi saya dengan kehidupan berumahtangga dan firma baharu. Yalah, keluarga perlu didahulukan termasuklah yang bakal dilahirkan di dunia ini bila ada rezeki kelak (InsyaAllah). Hari ini baharulah saya berjaya menyiapkan bab 23. Jadi saya berharap anda semua masih setia dengan cerita-cerita saya.

Sekali lagi, terima kasih. Jutaan terima kasih :)

Monday, May 16, 2011

MetroPolis 2 - Bab 23

MetroPolis Episod 2

Bab 23

Kilat dan Bara versus Catherine

“Baiknya hatimu, Remy. Membelanja kami di tempat mahal sebegini.” Remy tersenyum bangga mendengarkan pujian daripada Terawez. Dass yang turut sama mengekori pula sedang asyik membelek-belek menu yang baharu sahaja tiba di meja makan mereka. Kini mereka bertiga sedang makan lewat malam di Restoran Nur Baroqah yang mendapat taraf lima bintang pada tahun lalu.

“Alah, biasalah tu demi untuk merapatkan ikatan persahabatan kita. Kita MetroPolis adalah syarikat polis nombor satu sekarang. Ini semuanya atas jasa serta kerjasama kita sebagai pasukan terhandal. Aku sangat gembira.” Merapu-rapu sahaja Remy memberikan nasnya. Sebenarnya beliau mengetahui bahawa Enbi dan Catherine akan datang makan di situ selepas menonton wayang. Agenda tersebut diperolehinya apabila menggodam masuk ke dalam diari perancangan elektronik majikannya itu. Remy kemudian telah memberikan arahan kepada Algojo Tiga Elemen untuk menyerang Enbi dan Catherine di Restoran Nur Baroqah. Mereka bertiga yang amat handal itu ‘kebetulan’ pula berada di tempat yang sama. Jadi mudahlah mereka membereskan pasukan elit milik Don tersebut.

Inilah dia perancangan Remy selama ini. Beliau meminta kekasihnya Trini untuk menggodam masuk ke dalam sistem Don dan kemudian menyamar sebagai Don untuk memberikan arahan menyerang anggota MetroPolis di lokasi yang ditentukan. Dengan adanya Catherine, Terawez, Dass dan beliau sendiri, ketiga-tiga Algojo Tiga Elemen tersebut pasti akan dapat dihapuskan. Kini beliau serta sahabatnya hanya menunggu sahaja kemunculan Tiga Elemen di tempat yang telah ditetapkan.

“Sahabat-sahabatku, malam ini kematian kalian pasti akan terbela.” ujar Remy dalam hati.

*********************************************

Sementara itu di kawasan panggung wayang CGV…

“Argh!” Enbi menjerit kesakitan tatkala tubuhnya terhempas di atas lantai konkrit. Namun beliau bingkas bangun untuk menghadapi serangan seterusnya. Setakat ini Enbi yang semakin mahir telah berjaya mengelakkan dirinya daripada serangan-serangan maut Algojo Tiga Elemen. Namun kebanyakannya telah ditangkis oleh Catherine. Enbi sempat mengerling ke arah Catherine yang kini sedang memutar-mutar kedua tangannya untuk menangkis serangan api Bara.

“Kau tengok mana, bodoh?” jerit Kilat yang kini menghamburkan jaringan arus elektrik dari kedua tapak tangan. Dengan pantas Enbi memecut menjauhkan diri. Ternyata stamina serta daya ketahanan tubuh beliau adalah jauh lebih baik berbanding dahulu. Namun Enbi menyedari bahawa ketiga-tiga lawan mereka adalah sehandal Catherine; dan beliau adalah jauh lebih lemah berbanding dengan mereka. Tambahan pula ketiga-tiganya mempunyai teknologi persenjataan yang canggih dan hebat. Lambat-laun mereka pasti akan tewas.

“CAT!” jerit Enbi. Catherine tidak menoleh ke arah sahabatnya itu. Namun beliau menganggukkan kepala tanda memahami apa yang mahu disampaikan. Enbi tersenyum. Nampaknya memang mereka berdua ini sehati dan sejiwa.

“Ibu kau pelacur busuk!” maki Enbi seraya menunjukkan isyarat lucah kepada Kilat. Beliau telah menaksirkan kekuatan ketiga-tiga Algojo Elemen dan mendapati bahawa Kilat adalah yang terkuat. Itulah sebabnya beliau dari tadi asyik mencerca Kilat, agar Kilat menyerangnya. Bara yang berkuasa api adalah hebat juga tetapi Gema yang mempunyai senjata sonik adalah lemah dan tidak mampu memberikan ancaman sebenar bila berhadapan dengan Catherine yang mampu memesongkan serangan berbentuk getaran dengan Tai-Chinya. Jadi sahabatnya itu tidak terbeban dengan lawannya.

“Celaka! Sial!” carut Kilat seraya bertubi-tubi menembak arus elektrik berkuasa 3,000 volt ke arah Enbi yang melompat ke sana sini. Ada yang mengenai Enbi, namun beliau mempunyai daya ketahanan tubuh sehebat arwah Riko sekarang. Enbi tiba-tiba mendapat ruang untuk melarikan diri. Beliau segera memalingkan tubuh dan terus memecut lari. Lari meninggalkan Catherine berseorangan.

************************************************

Sementara itu...

“Hemph! Tentu ada udang di sebalik batu. Kau ini bukannya boleh dipercayai. Setiap tindak-tanduk dan perbuatanmu pasti ada motif yang tersembunyi.” tempelak Dass. Remy ketawa terbahak-bahak. Beliau sudah menjangka akan reaksi Dass yang tajam tersebut.

“Baiklah. Aku mengaku kalah. Sebenarnya aku mendapat tahu bahawa Enbi dan Catherine sedang berjanji temu sekarang. Enbi telahpun menempah restoran ini untuk makan bersama Catherine.” maklum Remy yang masih menyembunyikan niat yang sebenar.

“Habis itu, biarkanlah. Buat apa kamu hendak menyibuk pula?” tingkah Dass. Remy menggeleng-gelengkan kepala dengan memek muka kecewa terhadap Dass.

“Bos kita sangat berahsia tentang perkara ini. Beliau sangat ego dan tentu mahu menjaga air mukanya. Bayangkanlah kalau Enbi terserempak dengan kita bertiga di sini. Beliau pasti sanggup berbuat apa sahaja asalkan kita tidak membuka mulut.” maklum Remy.

“Kau nak minta naik gaji?” tanya Terawez. Remy menunding ke arah Terawez sambil tersenyum.

“Kau memang pandai.” pujinya.

“Kau pula sangat keji. Minta sahajalah dengan cara biasa.” tempelak Dass.

“Kau ingat dia akan berikah kalau aku minta naik gaji dengan cara biasa?” tanya Remy pula.

“Kenapa kau tak bersendirian sahaja? Kenapa ajak kami berdua pula?” tanya Dass pula.

“Bodohlah kau ini. Kalau aku di sini seorang diri tentulah Enbi mengesyaki bahawa ianya bukan suatu kebetulan. Kalau kau dengan aku sahaja, macam pasangan homoseksual pula bila kita makan di tempat sebegini. Jadi aku ajaklah Terawez sekali. Lagipun Terawez ini lurus bendul dan suci hatinya. Enbi pasti takkan syak apa-apa.” perjelas Remy dengan panjang lebar.

“Mengapa tak bawa kekasihmu Trini?” tanya Terawez tiba-tiba. Bungkam seketika Remy dibuatnya. Namun dengan segera beliau memulihkan emosi dan mendapat akal untuk membalas pertanyaan tersebut.

“Trini ada peperiksaan esok. Jadi beliau enggan pergi bersamaku sungguhpun aku merayu-rayu padanya. Leceh betul!” jawab Remy dengan nada bersungut.

“Kau ini memang liciklah!” omel Dass. Namun Remy berasa lega kerana Dass mempercayai kata-katanya.

**************************************

Sementara itu di kawasan panggung CGV...

“Jangan lari!” teriak Kilat seraya menghamburkan puluhan bebola elektrik ke arah Enbi yang sedang menikus pergi. Namun tiada satu pun menemui sasaran. Kilat mengambil keputusan untuk mengejar Enbi.

“Jangan Kilat! Biar Gema yang menanganinya. Perempuan ini amat handal dan kuat.” teriak Bara pula yang kembali meredakan amarah Kilat. Catherine mengeluh kecil. Beliau menyedari bahawa rancangan Enbi telah diketahui oleh Bara. Nampaknya beliau perlu menghadapi dua orang lawan yang amat kuat. Gema yang akur dengan perancangan Bara tadi terus memecut ke arah Enbi yang semakin mengecil di mata mereka. Kini Kilat dan Bara mengalihkan fokus mereka ke arah Catherine.

“Ada apa-apa yang ingin kau katakan sebelum menjadi arang?” tanya Bara dengan nada angkuh. Catherine senyum. Emosinya cukup tenang untuk melayani provokasi tersebut. Tahu-tahu sahaja Kilat telahpun menyelinap di belakang Catherine. Tangan kanannya yang bersinar-sinar dengan tenaga elektrik bervoltan tinggi cuba mencengkam tengkuk lawan. Namun tenaga elektrik tersebut jualah yang menjadi kelemahan utama Kilat kerana ianya mudah dikesan dari segi visual dan bunyi yang bergerutupan oleh pendekar sehandal Catherine. Gadis tersebut memutarkan dirinya dan bergerak ke belakang Kilat pula. Dengan tangkas Catherine mencengkam lengan kanan Kilat dan melemparkannya ke arah dinding sebuah restoran yang berdekatan.

“Boom!” Dinding restoran tersebut meledak secara tiba-tiba tatkala bertembung dengan tubuh Kilat. Catherine yang berasa agak pelik segera memerhatikan kejadian tersebut. Kelihatan Kilat langsung tidak mengalami sebarang kecederaan. Malah seluruh tubuhnya kini disinari dengan puluhan arus elektrik yang memancar terang-benderang.

“Pakaiannya mampu berfungsi untuk menyerang dan sebagai perisai elektrik.” ujar Catherine di dalam hati. Tiba-tiba beliau berasa ledakan bahang di belakang. Catherine segera memutarkan badan dan mengibas-ngibaskan kedua belah tangannya untuk meleraikan serangan maut daripada bara. Namun pada masa yang sama Kilat telahpun menghentakkan kedua tapak tangannya di belakang Catherine. Arus setinggi 3,000 watt dilepaskan ke dalam tubuh gadis manis itu.

“Wuargh!” jerit Catherine seraya memutarkan tubuhnya ke arah Kilat pula. Kedua tangannya yang masih memutar-mutarkan letusan api tadi dihentak ke kepala Kilat. Kini tubuh Kilat pula dibaham dengan api marak serangan Bara. Catherine segera pula memalingkan tubuhnya dan melepaskan arus 3,000 watt di dalam tubuhnya ke arah Bara. Kilat dan Bara sama-sama menjerit kesakitan dan berguling-guling di atas lantai. Mujurlah baju perisai yang mereka pakai melindungi empunya diri dari kecederaan berat.

“Aduh…” rintih Catherine. Sungguhpun berjaya mengelakkan serangan maut daripada Kilat dan Bara, beliau masih mengalami kecederaan berat. Hidungnya mula mengalirkan darah pekat. Pandangannya berpinar-pinar. Namun derianya masih setajam tadi dalam mengawasi musuh-musuhnya.

“Nampaknya aku terpaksa menggunakan teknik itu.” ujar Catherine dalam hati. Beliau segera menarik nafas dalam-dalam dan kembali menyusun aura qi dalam tubuhnya. Namun kali ini keadaannya nampak berbeza kerana urat-urat darah mulai timbul di dahi Catherine.

- Bersambung -