Sunday, March 15, 2009

Emo Hero Bab 37

Emo Hero Bab 37


“Eh! Jangan la takut. I meant you no harm. I just nak tanya aje.” Pujukan Andrew si ceti haram merangkap along merangkap bos kongsi gelap gagal menenangkan tubuhku yang kian menggeletar. Malah Adrina juga turut menyelinap di belakangku dan memegang kedua belah lenganku dengan kemas. Time macam ini la aku berharap menjadi sehebat Chang Ho Nam. Pasti diorang menggigil sampai ke bulu ari-ari. Tapi sayangnya aku ni cuma budak law yang biasa. Kurang-kurang kalau jadi lawyer, boleh la aku mengancam diorang dengan perkataan “see you in court.”

“So macam mana? You tau di mana dia?” Andrew mengulangi soalannya tadi. Tak ada jawapan objektif A, B, C, D ke? Aku ada bawak dadu dalam poket nih…

“See you in court!” jawabku. Oro! Sekali lagi mulutku mengaktifkan sahsiah lampiasku. Mata Andrew terbeliak besar. Harapnya jangan la keluar laser. Harapnya jangan la keluar laser…

“Eh! Jangan la begitu! Kan I kata I hanya mau tanya saja? Lagipun famili you setiap bulan dah bayar hutang Adry pada I. Buat apa I nak buat apa-apa pada you pulak?” perjelas Andrew untuk meyakinkanku. Eheh! Tak sangka menjadi ancaman pulak kata-kataku tadi. Mungkin dia fikir aku sebagai law student banyak berkawan dengan polis gamaknya. Shabbash Inspektor Sahaaab!

“Okay. Okay.” balasku. Chewah! Kononnya dapat mengawal keadaan la tu!

“You nama siapa?” tanya Andrew.

“Akmal.” balasku pendek.

“Okey, Akmal. Begini… I dapat tau abang you si Adry mungkin telah join geng untuk buat aktiviti tak baik. I takut polis akan tangkap dia dan relate pulak dengan group I. I cuma jalankan bisnes pinjaman saja. Yang lain I tak campur. So, I tak mau nama group I terlibat sekali. You faham, kan?” ujarnya dengan panjang lebar. Aku mengangguk.

“Tapi aku tak pernah sekalipun jumpa budak jahanam tu. Sorry.” ujarku pula. Aku mengambil keputusan untuk berbohong kerana tidak mempercayai cerita Andrew. Sungguhpun aku membenci abang sulungku itu, namun dia tetap keluargaku dan aku wajib melindunginya dari sebarang marabahaya. Andrew tersenyum. Mungkin beliau dapat membaca isi hatiku itu. Beliau segera menyeluk kocek seluarnya dan mengeluarkan sebuah kotak besi kecil. Beliau membuka kotak tersebut dengan cermat dan mengeluarkan sekeping kad di dalamnya. Kad tersebut dihulurkan kepadaku.

“Tolong call I kalau you jumpa dia, okay? I’m not bluffing. Abang you memang involved dalam perkara tak baik. Chow!” Andrew segera meninggalkan kami berdua.

“Waa… Arip berani betullah!” puji Adrina setelah kelibat Andrew semakin mengecil. Yalah berani. Dia tak tau hampir nak berterabur ‘wee-wee’ aku tadi dek ketakutan.

“Tak adalah.” balasku pendek. Aku segera merenyuk dan membuang kad milik Andrew ke lantai sebaik sahaja kelibat mereka bertiga hilang dari pandangan kami.

“Arip dah habis wee-wee mesti tunggu Rina, tau? Rina takut laa…” pinta Adrina dengan nada separa merayu.

“Okey… Don’t worry… Saya janji. Biarpun Rina berak batu dalam toilet tu sampai dua jam, tetap akan kutunggu!” balasku dengan nada melawak. Adrina mencebik masam. Namun kali ini beliau tidak mencubitku seperti selalu. Perbuatannya itu sedikit sebanyak membuatkanku berasa seolah-olah telah kehilangannya. Ianya cukup membuatkanku tidak selesa dan gelisah.

***********************************************
“Abang sulung saya tu memang sangat memalukan. Dia suka buat bisnes entah apa-apa dan kemudian meminjam pulak dengan along untuk dibuat modal. Dulu dia dah buat sekali. Bila along tu nak kutip hutang, pandai pulak dia menyorok entah ke mana. Along tu cari famili saya dan bini dia pulaklah lepas tu. Jenuh la adik-beradik saya jerah-jerih mencari duit untuk membayar hutangnya.” Aku mula menceritakan kisahku kepada Adrina selepas beliau dalam perjalanan ke kafeteria. Gadis itu tidak memberikan sebarang respons. Mungkin beliau ingin mendengarnya sehingga habis.

“Bila abang sulung saya muncul balik dalam keluarga kami, dia senang-senang aje menceraikan bininya. Walhal Kak Long tu siang malam mencari duit untuk membayar hutangnya itu. Alasannya ialah sebab dia tak mampu nak jadi suami yang baik. Sebenarnya Abang Lang saya dapat tahu yang dia dah berkahwin dengan GRO mana entah kat Siam.” Aku kembali menyambung cerita. Adrina masih berdiam diri.

“Abang Lang punyalah marah. Mula-mula mereka berdua bertengkar. Lepas tu memaki hamun pulak. Akhirnya bergumpal di atas tanah. Nasib baik mak dan abah saya berjaya menghentikannya dengan cepat. Kalau tak mau ada yang cedera parah atau mati. Abang Lang cukup sakit hati bila mak dan abah saya memihak kat abang sulung. Jadi dia terus putuskan hubungan adik-beradiknya dengan abang sulung.” Adrina menggeleng-gelengkan kepala mendengar sambungan ceritaku itu.

“Tak lama lepas tu, abang sulung saya buat balik perangai lamanya. Kali ni hutangnya dah semakin banyak. Dekat seratus ribu. Abah saya terpaksa menjual tanah kelapa sawit dua ekarnya untuk membayar hutang abang sulung. Adik-beradik saya, kecuali saya terpaksa berjerah-jerih sekali lagi membayar hutangnya kepada along.” Aku meloloskan keluhan berat sebaik sahaja selesai bercerita.

“Abang Lang Arip macam mana?” tanya Adrina.

“Dia pun bayar juga. Dia tak sampai hati. Jadi saya aje sebenarnya yang sangat bencikan abang sulung saya tu. Saya memang betul-betul berharap dia mati aje.” perjelasku. Adrina menggelengkan kepala.

“Tak baik Arip cakap begitu.” komen Adrina.

“Rina, dia seorang aje dah buat keluarga saya menderita selama bertahun-tahun. Saya tak sanggup tengok mak, abah dan adik-beradik saya yang lain hidup susah menanggung manusia tak guna macam tu. Jadi kan lebih baik kalau dia mati saja?” ujarku. Adrina sekali lagi menggelengkan kepala.

“Rina tak suka Arip cakap begitu. Arip orang yang baik. Arip tak patut berfikiran begitu. Arip boleh maafkan Rina. Tentu Arip boleh maafkan abang Arip tu juga.” ujar Adrina. Aku terdiam seketika. Kepalaku spontan tertunduk.

“Tengoklah.” balasku akhirnya.

“That’s the spirit! Ah! Itu dia Nizam dan Wadi.” ujar Adrina. Aku mengangkat kepala. Sayup-sayup aku melihat kedua orang sahabatku itu melambai-lambai ke arah kami.

“Jom. Join kami minum.” pelawaku. Adrina mengangguk sambil tersenyum. Tiba-tiba tangan kanannya mencapai tangan kiriku. Kami berpimpin tangan melangkah bersama ke arah kafeteria.

***************************************************
“Arip tak cakap pun!” Wadi menzahirkan perasaan tidak puas hatinya tatkala mengetahui bahawa Adrina akan berhijrah ke Milan tidak lama lagi. Kami berempat begitu santai sekali melepak di kafeteria bagaikan anak ayam yang kehilangan ibunya. Hmm… macam tak betul aje bunyinya!

“Aku nak Adrina sendiri bagitau kat korang.” perjelasku membela diri.

“Wadi dan Nizam pihak kedua yang tau. Lepas ni baru Rina bagitau kat semua orang.” maklum Adrina pula.

“Kenapa kami dapat layanan special pulak?” pertikai Nizam. Hmm… malam ni kalau aku makan nasi goreng ayam special tentu tak mati celik nanti.

“Sebab Wadi dan Nizam pun orang yang istimewa di hati Rina.” jawab Adrina dengan nada bergurau.

“Yalah tu. Mengada-ngada!” balas Nizam. Adrina tertawa. Sedikitpun tidak berkecil hati. Kalau aku, mau batang Nibong terpacak kat kepala budak Sarawak ni.

“Aku fikir lebih baik la korang berdua berdamai.” saranku sambil memandang ke arah Nizam dan Adrina. Nizam bungkam. Adrina masih tersenyum.

“Sebenarnya aku bukannya bergaduh dengan Adrina pun.” maklum Nizam.

“Habis tu, kenapa selalu buat muka tupai kena sula bila setiap kali berjumpa dengan Rina?” tanyaku. Adrina mengangguk tanda menyetujuiku.

“Aku takut… Aku takut Adrina menganiyai kau lagi. Jadi aku tak mahu terlalu rapat sangat dengan Adrina.” jawab Nizam. Aku bangun lalu memeluk kepala Nizam.

“Sayang jugaaak kau kat aku, ya?” komenku. Adrina dan Wadi tertawa.

“Tentulah! Kau ni sahabat aku. Tapi kau tu yang bodoh tak sedar!” balas Nizam dengan agak kasar. Biasalah orang lelaki. Kami mana boleh tunjukkan sangat perasaan ikatan persahabatan dengan serius!

“Rina dah jadi baik dah. Wallahi Rina tak akan menganiayai Arip atau mana-mana lelaki lagi. Rina pun dah tak pergi clubbing, dah tak minum, dah tak pakai seksi-seksi…” ujar Adrina.

“Kau ‘minum’, Rina?” tanya Wadi. Adrina yang baharu tersedar akan kesilapannya segera menoleh ke arahku.

“Arip tak cerita rupa-rupanya!” ujarnya kepadaku. Aku menggelengkan kepala.

“Saya tak mahu membuka aib Rina.” ujarku. Adrina terpaku seketika. Kemudian beliau memberikan senyuman yang sangat manis kepadaku.

“Rina dulu memang minum arak. Sekarang tak dah. Rina dulu solat pun tak tahu. Sekarang Rina dah boleh solat 5 waktu. Rina juga dah masuk kelas membaca Al-Quran.” ujarnya lagi. Jelas pada mataku perasaan kekaguman yang terlakar pada wajah Wadi dan Nizam. Tiba-tiba Nizam menghulurkan tangannya ke arah Adrina.

“Truce.” ujarnya. Maknanya beliau ingin berdamai dengan Adrina. Gadis tersebut segera menyambut salaman Nizam.

“Truce.” ujarnya juga. Kami serentak tertawa. Entah kenapa, aku pun tak tahu. Dah berjangkit dengan penyakit iklan kat tv gamaknya.

“Adrina, kau memang dah banyak berubah. Jadi semakin baik. Tentu bertuah sesiapa saja yang menjadi suami kau nanti.” komen Wadi seraya memandang ke arahku. Pundek ayam! Nak memerli aku la tu!

“Ye ke? Tapi Arip tak rasa pun macam tu. Tu sebab dia tak mau terima Rina sampai sekarang.” ujar Adrina seraya tertawa. Mereka semua tertawa. Aku saja yang tidak.

“Kau ni memang bodoh la, Arip.” kritik Nizam pula.

“Barua lu, Nizam! Kenapa pulak kau memihak kat Rina?” bentakku. Mereka bertiga tertawa semakin kuat.

“Kan aku dah berdamai dengan Rina? Apa salahnya aku sokong dia?” tempelak Nizam seraya menyambung tawa. Wadi dan Adrina juga masih tertawa. Aii… menyesal aku damaikan diorang bertiga…

- Bersambung -

Sunday, March 1, 2009

Emo Hero Bab 36

Emo Hero Bab 36


Dua hari kemudian...

“Wadiii!!! Bangunlah, mangkuk!” Aii… Setiap pagi pun beginilah bunyinya aku mengejutkan sahabat Jawaku itu dari tempat beradunya. Wadi sedikitpun tidak menguit. Oro? Dah mati ke? Ah! Dadanya yang tak berbaju itu masih berombak. Kalau tak jenuh la aku kena telefon bomba. Aku bukannya ingat pun nombor telefon kecemasan. Kalau nombor telefon Zakiah Anas aku ingat la. Sembilan sembilan sembilan, kan?

Aku segera mencapai tuala kusam Wadi. Kugosokkan dengan seterika yang masih panas sementelah aku baharu sahaja selesai menggunakannya tadi. Siap la kamu Raden Puteri Galoh…

“Aku kira sampai tiga. Kalau kamu tak mau bangun jugak, aku akan tekap seterika kat badan engkau, tau?” ancamku. Tiada respons. Siji loro telu papat punya budak! Aku terus mencampakkan tuala yang hangat dek seterika tadi ke tubuh berpanau Wadi.

“ARRGHHH!!!” pekik Wadi. Terkejut ya amat la tu. Aku tertawa terbahak-bahak kerana berjaya mengenakannya.

“Sial! Babi kau!” pekik Wadi lantas bangun menerkamku. Aku dengan sepantas Gerak-Gerak-Gerak Khas mengelak. Tawaku masih belum surai.

“Haa! Haa! Kalau kau pukul aku, kau menapak la hari ni ke bilik kuliah!” ancamku. Wadi dalam keadaan mata kuyu berhenti. Beliau kemudiannya terus mencapai tuala dan bersegera ke bilik air. Namun mulutnya masih tak berhenti menyeranahku. Berjaya juga aku mengawal keadaan. Kira hebat jugalah aku ni, ya? Orang tengah naik minyak pun boleh kutundukkan.

************************************************

Kami sampai ke Fakulti Undang-Undang lebih kurang dua puluh minit kemudian. Masih terdapat banyak lagi kerusi kosong di kafeteria. Malah nasi lemak hasil air tangan Mak Cik Brutal yang kian sedap juga masih panas berasap dan meruap aromanya di sekitar kawasan tersebut.

“Wadi, kau ambilkan nasi lemak untuk aku sekali. Aku nak pergi kencing sekejap.” maklumku. Wadi hanya mengangguk. Marah lagi le tu. Aku peduli apa (buat gaya Hamid Gurkha bercakap). Kakiku pantas melangkah ke arah sebuah premises yang khas untukku melakukan qodho’ hajat. Tiba-tiba suatu kelibat muncul di di hadapanku secara tiba-tiba. Nasib baik aku berjaya mengelak dari melanggarinya.

“Arip? Sorry… Rina tak perasan.” Rupa-rupanya kelibat tersebut adalah Adrina. Aku tersengih. Perasaan kekok mulai menjalar di tubuhku. Dari gaya senyumannya aku juga mengetahui sahabatku itu juga mempunyai perasaan yang serupa.

“Rina nak ke mana?” tanyaku untuk berbasa-basi.

“Rina nak ke toilet.” jawabnya pendek. Beliau memandang ke tempat lain untuk mengelakkan pandangan mataku.

“Eau de Toilette? Ooo… Saya pun nak ke sana juga. Jom kita pergi kencing sama-sama.” Eh? Alamak! Aku cakap apa tadi? Adrina tertawa terbahak-bahak.

“Aku silap cakap la tadi. Sorry, ya?” pintaku.

“Rina tau dah Arip salah cakap. Itu sebab Rina ketawa ni.” balasnya seraya menyambung tawa.

“Okey. Jom.” ajakku seraya memulakan langkah.

“Okey. Jom wee-wee sama-sama.” balas Adrina pula seraya tertawa. Aku hanya memandang sahaja telatah sahabatku itu. Ketawanya bagai keanak-anakan, namun perasaan cerianya terpancar jelas dan cukup menyenangkan sesiapa sahaja yang melihatnya. Aku pasti akan merindui hilai tawa sahabatku ini kelak. Apabila tawanya mati, buat seketika kami hanya berdiam diri.

“Arip, hari tu bila Arip kata Arip sangat sayangkan Rina… maksud Arip sebagai sahabat aje, kan?” Tiba-tiba Adrina membuka bicara. Bicara yang paling tak hendak kuperbincangkan. Aku berhenti melangkah. Beliau pun begitu. Aku menatap ke dalam mata Adrina. Beliau membalasnya dengan cara yang serupa.

“Sebenarnya aku pun tak tahu. Aku… betul-betul tak tau.” jawabku. Jelas reaksi terkejut pada wajah gadis di hadapanku ini.

“Habis tu, Shaleen?” tanyanya.

“Aku nak terkencing sangat niii! Bye!” ujarku lantas terus berlari meninggalkan Adrina. Aku sebenarnya nak mengelak dari soalan cepu-platinum tersebut. Tapi korang pun bukannya tak tau, ya tak?

“Arip! Hati-hati! Jangan terjatuh lagi!” teriak Adrina. Yalah! Yalah! Aku tau laa… Aku yang tersembam ke simen hari itu! Melayu tak mudah lupa, tau?

**********************************************

Semasa kuliah Dr. Noor Aziah sedang berlangsung, tumpuanku langsung tak dapat mencernakan apa yang diperkatakan olehnya. Aku sesekali memandang ke arah Adrina. Gadis tersebut begitu asyik sekali menumpukan perhatiannya terhadap pengajaran pensyarahku. Aii… Dah dianugerahi dengan memori hebat macam itu pun masih nak bersungguh-sungguh lagi? Kalau aku ada kepala hotak macam tu…

“Awak marahkan siapa, Arif?” Tiba-tiba Dr. Noor Aziah menghunjamkan soalan khusus buatku. Aku menjadi termangu-mangu seketika.

“Marah?” tanyaku pula.

“Yalah. Awak sebut ‘kepala hotak’ dengan agak kuat tadi. Awak marah kat siapa? Saya ke?” tanya pensyarahku. Aku dah agak dah…

“Er… Maaf, puan. Saya thinking out-loud tadi. Saya cemburu sebab Nazirun Nizam dan Adrina ada photographic memory. Saya terfikir kalau saya ada ‘kepala hotak’ macam diorang, kan bagus? Tapi saya tak sengaja sebut di mulut apa yang saya fikirkan tadi.” perjelasku dengan panjang lebar. Satu kelas mentertawakanku. Dr. Noor Aziah tersenyum.

“Sungguhpun awak tak ada memori fotografik, tapi awak tetap cemerlang. Markah ujian awak sekarang dah meningkat dengan mendadak.” komen pensyarahku.

“Itupun Adrina yang ajar saya, puan.” balasku.

“Oh? Your personal tutor? Baguslah kalau macam tu. Memang tepat awak pilih orang macam Adrina sebab dia memang bagus.” puji Dr. Noor Aziah.

“Adrina memang… bagus. Dia memang baik. Cuma sebelum ni saya yang salah sangka. Sekarang ni saya baru tau betapa baiknya dia. Saya harap korang tak sisihkan dia lagi.” Tiba-tiba perkataan tersebut terpacul dari mulutku.

“Woih! Apa kau cakapkan ni?” tegur Nizam yang duduk di sebelahku dengan suara perlahan. Aku yang bagaikan tersedar dari lamunan spontan memandang ke arahnya Baharulah aku perasan bahawa satu kelas telah bungkam dengan kata-kataku tadi. Aku kemudiannya memandang ke arah Adrina pula. Adrina memandangku dengan reaksi terkejut.

“Aa.. puan! Saya nak pergi basuh muka.” ujarku seraya bangun dan meluru keluar ke arah pintu. Sebaik sahaja melangkah keluar, aku terus berlari ke arah tandas. Setibanya ke destinasi yang kutujui, aku segera membasuh muka. Ahh! Sial! Apa benda yang kucakapkan tadi? Kenapa dengan aku ni? Cakap yang bukan-bukan. Entah setan mana yang menyelap ke dalam diriku hari ni. Kenapa aku cakap begitu tadi? Kenapa aku runsing sangat dengan perihal Adrina ni? Kenapa… Kenapa air mata aku tak mahu berhenti mengalir keluar ni? Kenapa dengan aku ni…

****************************************************
Selepas kuliah…

“Arip! Tunggulah Rina!” teriak Adrina. Beliau tergopoh-gapah berlari ke arahku. Sebaik sahaja mendekatiku, tangan kanannya spontan memaut lengan kiriku.

“Ha! Mana mau lari?” bentaknya dengan nada gurauan.

“Saya nak ke kafe aje laa…” ujarku.

“Were that but true! Arip nak mengelakkan Rina, kan?” taakulnya. Aku menggelengkan kepala. Namun memang serkap jarangnya itu mengena.

“Jomlah ke kafe. Wadi dan Nizam ada kat sana sekali.” ajakku setelah mendapati tiada guna lagi mahu mengelakkan diri daripada Adrina.

“Mm!” balas Adrina tanda menyetujui pelawaanku itu.

Baharu sahaja kami nak melangkah ke sana, tiba-tiba di hadapanku telahpun tegak tiga orang lelaki berbangsa Cina. Hanya seorang dari mereka sahaja yang memakai pakaian kemas dan sangat bergaya. Manakala dua orang lagi jelas terpapar identiti mereka sebagai samseng. Lelaki yang bergaya tadi tersenyum kepadaku.

"You memang betul-betul macam abang you!” komennya. Senyuman masih tidak lekang dari bibirnya yang lebam hatta kesan merokok berterusan pada jangka masa yang lama.

“Kamu siapa?” tanyaku. Hatiku berdebar-debar. Lelaki tersebut tiba-tiba menepuk-nepuk dahinya.

“Where are my manners? Sorry… Apa khabar? Nama I Andrew. Abang you berhutang dengan I lebih kurang empat puluh ribu. You tau tak di mana dia sekarang?” tanyanya dengan lembut. Senyumannya masih tidak lekang.

Badanku berasa seram sejuk. Rupa-rupanya di hadapanku ini adalah kumpulan ceti haram yang mencari abangku… atau lebih dikenali sebagai ‘along’.

- Bersambung -


************************************************************************************
Notakaki :

Aku ingin meminta maaf kerana tak dapat menghantar cerita Emo Hero setiap minggu. Dalam keadaan ekonomi yang meleset ini, aku memang setiap masa tergesa-gesa cuba menyelesaikan kes-kes di mahkamah secepat mungkin. Bila selesai, cepatlah firmaku mendapat duit dan pastilah aku akan menerima gaji penuh setiap bulan. Aku mendapat tahu (tapi tidak dapat disahihkan) bahawa beberapa firma guaman terpaksa menutup bisnes mereka kerana tiada kerja dan wang. Aku tidak mahu firma tempatku bekerja menjadi seperti itu. Mujur juga kerja kami sentiasa ada. Namun tak guna juga kalau wangnya tiada!

Aku juga berasa agak risau juga kerana kawan-kawanku yang biasa memberi komen serta kritikan membina di dalam blog ini tiba-tiba menyepikan diri. Adakah mereka semua merajuk denganku? Harapnya tidaklah. Boleh jadi mereka tidak berpuas hati denganku yang membuat karektor Adrina ke Milan secara tergsa-gesa. Mungkin juga.

Sebenarnya aku mempunyai pengakhiran yang berbeza untuk cerita ini. Namun setelah memikirkan sedalam-dalamnya, aku mengambil keputusan untuk membuat klimaks dan pengakhiran yang akan kalian baca tidak lama lagi. Aku pun tak pasti kalian sukakan pengakhiran sedemikian rupa kelak. Harapnya ya. Pun begitu, aku mengucapkan jutaan terima kasih di atas kesudian kalian semua untuk meluangkan masa membaca karya picisan milikku.

Jumpa lagi.

Sunday, February 15, 2009

Emo Hero Bab 35

Emo Hero Bab 35



Telah dua hari berlalu semenjak perihal perpindahan Adrina ke Milan, Itali sampai ke pengetahuanku. Fikiranku benar-benar buntu. Perutku asyik berasa senak, lebih-lebih lagi jika terserempak dengan Adrina. Kalau terserempak dengan Diana Danielle tak apa.

“Morning, Arip!” Alamak! Itu suara Adrina. Serta-merta perutku menjadi senak. Aku berpaling ke belakang. Senyumanku yang kelat terpaksa diberikan kepada sahabatku itu.

“Apa pasal senyum teruk macam tu? Nak terberak ke?” tanya Adrina seraya tertawa.

“Sebenarnya perut aku rasa senak. Tapi tak mau pulak buat sebarang pelaburan.” balasku dalam sulaman jenaka. Namun Adrina tidak tertawa kali ini. Matanya tertancap ke arahku seolah-olah cuba membaca fikiran.

“Eh, are you mentally undressing me?” tanyaku dengan nada melawak. Adrina menjelirkan lidah tanda tidak menyukainya.

“Arip nampak tension la…” komennya.

“Apahal pulak kau cakap aku macam tu?” pertikaiku.

“Arip guna perkataan ‘aku’. Tak ingat?” tanyanya kembali. Aku baharu la teringat bahawa Adrina telah mengetahui jika aku menggunakan perkataan ‘aku’ ketika berbual dengannya, maknanya aku sedang dalam emosi yang tidak baik.

“Aku okey. Jangan fikir yang bukan-bukanlah! Jom kita masuk ke bilik kuliah. Nanti bising pulak Prof Aishah.” Aku segera mematikan topik perbualan yang ingin diketengahkan oleh sahabatku itu. Malah aku segera melangkah pergi ke arah bilik kuliah untuk mengelakkannya secara mutlak.

*************************************************
Dua jam selepas kuliah…


“Ku merenung dan merindu. Jelas untukmu kasih. Hanya untukmu. Yakin aku hampiri dirimu yang semakin jauh. Yakin kamu menanti diriku yang sering keliru. Kan kutuju. Kan kutuju. Dan di situ. Halalkanlah aku.” Aku menyanyikan lagu Nitrus bertajuk Cinta dengan penuh perasaan. Wadi yang duduk setentang denganku hanya menjeling. Beliau ditemani oleh buah hatinya si Wawa. Kami bertiga kini sedang melepak di luar perpustakaan Fakulti Undang-Undang.

“Wei, bro! Dah la dari tadi kau senyap saja. Ni apahal layan emo sangat ni?” tanyanya dengan nada yang agak bimbang.

“Suara Arip best la. Tapi macam bunyi tension aje.” komen Wawa pula. Hmh! Ikut aje la apa yang boyfriend kamu cakapkan. Macam burung kakak tua.

“Lechum! Lechum! Lechum ulalaa! Burung kakak tuaaaa!!!” nyanyiku pula. Wadi menggelengkan kepala. Sekoyong-koyongnya kami dihampiri oleh Nizam pula. Di tangannya tergenggam sekeping coklat. Uii… Cadbury perasa kacang Hazel. Kegemaran aku tu!

“Yo!” tegur Nizam.

“Hai!” balas Wadi.

“Hai Nizam.” sapa Wawa pula. Aku hanya mengangkat tanganku dengan lesu.

“Apahal mangkuk tu?” Nizam mengutarakan soalannya kepada Wadi tetapi ditujukan kepadaku. Pemuda berketurunan Melayu-Jawa tersebut menggelengkan kepala. Macam ala tarian Jaipong pulak! Lagipun berani Nizam kata aku ‘mangkuk’? Aku spontan menunjukkan isyarat tangan lucah ke arahnya. Wawa menggelengkan kepala.

“Waa… Junior perempuan bagi coklat kat awak ke, Nizam?” tanya Wawa. Nizam pula menggelengkan kepala. Apahal semua orang nak menggeleng kepala juga ni? Disampuk hantu Ronda si Macan Betawi ke?

“Coklat ni daripada Adrina.” Nizam menghulurkan coklat tersebut kepadaku. Terbeliak mataku. Pada pembungkus coklat tersebut terlekat sekeping kertas kecil yang berlipat rapi. Sekeping nota. Yang enggan diuar-uarkan kepada sesiapa kecuali pada diriku sahaja dari gaya lipatannya. Aku segera menguraikan lipatan nota tersebut.

“I’m so sorry :( ” Begitulah tulisan tangan Adrina yang tercoret pada kepingan nota tersebut. Heh… rupa-rupanya sahabatku itu lebih memahami keadaanku sekarang berbanding dengan diriku sendiri.

“Kau bergaduh dengan Adrina ke?” tanya Wadi. Aku menggelengkan kepala. Namun seperti juga tadi, aku tak ingin nak memanjangkan topik perbualan tersebut. Jadi aku terus menceraikan punggungku dari kerusi empuk yang disediakan di luar perpustakaan tersebut.

“Aku nak ke toilet.” ujarku dengan pendek. Suka hatilah sama ada mereka nak mempercayainya atau tak. Aku terus melangkah pergi meninggalkan mereka.

**********************************************

Ketika sedang merayau-rayau tak tentu hala di bahagian pentadbiran, langkahku memegun kerana terserempak dengan Adrina. Kenapa dia berada kat sini juga?

“Arip nak ke mana? Puas Rina cari merata tempat.” omelnya dalam keadaan termengah-mengah. Aku menatap wajah gadis manis tersebut dengan agak lama.

“Arip? Kenapa ni? Arip marah kat Rina, ya? Arip marah kat Rina sebab Rina nak tinggalkan Malaysia, ya?” Bertubi-tubi pertanyaan Adrina dihunjamkan kepadaku. Aku bungkam. Tidak tahu bagaimana hendak menjawab soalan-soalan tersebut.

“Arip tak nak Rina pergi ke? Kalau Arip tak nak… Rina… Rina tak akan pergi!” ujarnya yang menyentakkan setiap inci tubuhku.

“Kau cakap apa ni? Jangan mengarutlah Adrina! Takkan kau nak korbankan bapak kau demi untuk aku? Kita ni… kita ni kawan aje, tau? Aku bukannya apa-apa pun dalam hidup kau!” bentakku. Adrina terdiam. Ekspresi wajahnya yang terkejut dan gementar membuatkanku berasa kesal kerana meninggikan suaraku tadi.

“Rina… A… Aku minta maaf.” ujarku dengan nada mengendur. Aku terus berpaling dan berlari meninggalkan Adrina. Namun baharu aje beberapa tapak, tiba-tiba aku tersepak kakiku sendiri lantas jatuh tertiarap ke lantai.

“ARIP!” Aku dapat mendengar jeritan Adrina. Pandanganku berpinar-pinar. Aduuii… Malunya aku! Celaka betul! Kuat betul bunyi dentumanku jatuh tadi. Pasal apa kalau dalam filem komedi perkara macam ini dianggap kelakar? Sakit, tau? Setelah beberapa ketika baharulah aku mampu untuk bangun. Adrina dengan segenap kudratnya berusaha memapahku untuk bangun.

“Ya Allah! Mulut Arip berdarah!” teriak Adrina dengan nada cemas. Oro? Patutlah mulutku terasa masin.

************************************************


Telah hampir setengah jam lamanya aku berada di klinik universiti. Aku telahpun dibawa oleh Adrina pergi ke klinik tersebut. Doktor yang merawatku tadi memberitahuku bahawa kecederaan bibirku tidak berat. Cuma bibirku aje yang pecah. Dahiku pula dah membenjol. Kini kami berdua sedang duduk menunggu pembantu doktor memberikan ubat-ubatan.

“Arip, rasa pening lagi tak? Teruk juga dahi Arip bengkak.” Adrina masih lagi menyuarakan rasa kebimbangannya.

“Teruk? Ada cermin tak?” tanyaku. Adrina membuka beg tangannya lantas mengeluarkan sekotak bedak asas. Baharu la aku terperasan beg tangannya jenis Prada. Kaya-raya, sial… Adrina membuka bedak asasnya. Ah! Aku tak teringat pulak ada cermin disediakan sekali pada bedak asas tu. Sahabatku itu segera menghulurkannya kepadaku.

“Thanks.”ucapku. Perasaan kurang selesa dan bersalah masih kuat bersarang di hati ini. Namun aku segera membelek wajahku pada cermin.

“Alamak! Teruknya benjol kat dahi aku ni! Macam askar Klingon la!” komenku. Namun Adrina tidak ketawa dengan jenakaku kali ini. Aku spontan berpaling ke arah sahabatku itu. Matanya tajam memaku ke mataku. Ternyata beliau berasa marah terhadapku. Aku mengambil keputusan untuk tunduk memandang ke lantai dan mendiamkan diri.

**********************************************


Setelah mengambil ubat, Adrina menghantarku pulang dengan kenderaannya. Aku telahpun menghantar SMS kepada Nizam untuk memaklumkan bahawa aku tak akan menghadiri kuliah Undang-Undang Jenayah Islam dan terus balik ke hostel. Dalam perjalanan kami langsung tidak bercakap. Akhirnya kami tiba ke destinasi yang ditujui. Namun kami berdua masih berdiam diri seribu bahasa.

“Rina… Ingat lagi ke tak lama dulu masa saya gunakan kereta Nizam untuk tumpangkan Rina balik? Masa tu hujan lebat. Ingat tak?” tanyaku seraya memandang ke arah Adrina. Gadis tersebut hanya mendiamkan diri dan memandang ke hadapan. Aku spontan kemudiannya memandang ke hadapan. Manalah tau kot-kot Adrina tengah usha awek cun mana kat hostel aku ni. Nak la tumpang sekaki. Eh! Itu perangai si Shaleen. Silap orang!

“Rina ingat tak kita singgah kat kafe dan Rina belikan saya burger?” tanyaku lagi.

“Arip masa tu sangat-sangat menyakitkan hati Rina. Macam sekarang.” jawab Adrina tiba-tiba. Wah la toi! Masih membara lingkaran api pasifik kemarahannya!

“Hm. Ya. Macam sekarang. Dulu situasinya pun lebih kurang sama macam sekarang juga. Kita dalam kenderaan. Tak berapa mahu bercakap.” ujarku dengan perlahan. Buat seketika kami berdua hanya mendiamkan diri.

“Cuma ada sikit yang berbeza. Sekarang saya pulak di tempat Rina masa dulu tu. Barulah saya tau macam mana perasaan Rina sekarang.” ujarku lagi.

“Tak. Tak berubah. Kedudukan kita tak berubah. Dulu Arip lukakan hati Rina dan buat Rina berasa sangat sedih. Sekarang pun Arip masih lukakan hati Rina dan buat Rina sangat sedih.” Sebaik sahaja mengungkapkan kata-kata tersebut, Adrina terus memekup mukanya dan menangi teresak-esak. Aku bungkam. Tidak tahu apa yang patut terungkap dari mulutku lagi.

“Kenapa Arip buat Rina macam ni? Rina dah beribu-ribu kali minta maaf kat Arip. Tapi kenapa Arip masih buat Rina macam ni?” soalnya pula dalam esakan tangisnya. Hatiku bagaikan luluh mendengarkan pernyataannya yang sayu itu. Memang buat masa ini aku berasakan bahawa akulah manusia yang paling keji dalam dunia ini. Aku melepaskan suatu keluhan berat.

“Saya memang… Saya minta maaf. Saya tak layak jadi sahabat Rina. Saya… Saya tak tau apa nak cakap lagi. Bye, Rina. Goodbye.” jawabku akhirnya seraya membuka pintu kenderaan dan keluar. Setelah menutup pintu kembali, aku terus melangkah ke arah hostelku. Sial betul! Kenapa jadi begini? Kenapa jadi perkara yang membuatkan aku berasa sangat sakit hati sekarang ni? Sial! Sial betul! SIAL BETUL!

Aku kembali berpusing dan berlari ke arah kenderaan Adrina yang masih pegun di kawasan parkir. Ternyata beliau masih memekup mukanya. Masih menangis. Aku segera membuka pintu RAV4 tersebut. Adrina yang tidak menyedari kehadiranku berasa tersentak melihatkan diriku yang tiba-tiba saja muncul di depannya. Buat seketika kami saling berpandangan. Air mata Adrina masih bergenang di kedua matanya. Jangan peduli yang itu. Cakap saja apa yang aku nak cakapkan. Cakap sekarang!

“Adrina… Saya rasa sangat sedih dan marah sebab Rina nak pergi. Tapi saya tetap tak mahu menghalang Rina pergi sebab… sebab saya sangat-sangat sayangkan Rina. Dan kalau kita sayangkan seseorang tu, kita mesti sanggup bekorban demi kepentingannya dan bukan demi kepentingan kita. Itulah yang saya buat sekarang. Tapi saya ni manusia yang lemah. Hati saya tetap sedih dan marah. Saya tak dapat halang perasaan itu sekarang. Maafkan saya, Rina. Saya tak ada niat nak sakitkan hati Rina lagi. Maafkan saya.” perjelasku dengan panjang lebar. Buat seketika kami hanya saling pandang-memandang.

Adrina tiba-tiba memelukku dengan seerat-eratnya. Esak tangisnya semakin lantang di telingaku. Namun ia akhirnya benar-benar melegakan hatiku.


- Bersambung -

Saturday, February 7, 2009

Emo Hero Bab 34

Emo Hero Bab 34



Dalam keadaan yang sangat kekok lagi tegang, sesaat terasa bagaikan begitu lama sekali. Bagi seorang perokok tentu ianya adalah impian mereka. Tapi bagi aku, kini ianya begitu menyiksakan sekali. Apa taknya, aku baharu sahaja menyeranah abang kandungku sendiri dan mendoakan kematiannya.

“Hmm… Begitu rupa-rupanya aku di mata kau selama hari ini, dik. Aku ini macam sampah saja la di mata kamu, ya?” tempelak abang sulungku.

“Kau kecil hati, ya? Kau rasa kau tak patut diperlakukan macam ini, ya? Kenapa kau tak terfikir macam tu bila kau buat kami sekeluarga merana dulu?” tempelakku kembali. Abang sulungku bungkam.

“Arif… Rina tau Rina tak patut masuk campur. Tapi ini bukannya Arif yang Rina kenal. Rina tau tentu ada Arif ada cara yang lebih baik untuk selesaikan hal ini.” suara lunak Adrina singgah menyapa di telingaku dan segera meredakan amarah di dalam hatiku. Aku memandang ke arah sahabatku. Kemudian kembali menatap abang sulungku.

“Aku tak mau cakap apa-apa lagi. Abang long pergi la dari sini. Itulah yang terbaik.” ujarku. Abang sulungku masih lagi terdiam. Namun kemudian beliau melirikkan senyuman.

“Dik, aku nak pinjam seratus boleh tak?” pintanya. Darah baranku kembali meluap. Memang ada yang kena libas dengan pedang Conan karang ni! Sebelum aku membuka mukaddimah carutku, lenganku terasa diramas dengan agak kejap secara tiba-tiba. Aku menoleh. Rupa-rupanya Adrina yang memegang kemas lenganku.

“Ini saja yang kami ada. Abang ambillah dan buatlah apa yang patut sekarang.” pinta Adrina sambil menghulurkan sekeping not lima puluh Ringgit Malaysia. Dengan perasaan tiada malu abang sulungku mencapai wang tersebut. Kemudian tanpa berkata sepatahpun beliau terus berpaling dan melangkah pergi meninggalkan kami berdua. Kini perhatianku terarah ke Adrina pula.

“Kenapa kau buat begitu? Kau seolah-olah menghina keluarga aku, tau tak? Kau ingat aku ni sengkek sangat tak berduit nak bagi abang aku yang sengkek juga tu ke?” persoalku dengan nada keras. Adrina menggelengkan kepala.

“Rina tau Arip ada duit. Tapi persoalannya, Arip nak bagi ke duit kepada abang Arip tadi?” tanyanya.

“Jangan harap! Pergi mampuslah!” ujarku.

“Rina tau Arip tak akan bagi. Itu sebab Rina bagi. Kalau tak, tentu Arip dan bang Arip akan bertengkar dengan lebih lama lagi di sini. Arip nak ke membuka pekung dan aib keluarga Arip sendiri dan bagi semua orang kat sini dengar?” tanya Adrina dengan lembut. Namun bait-bait katanya itu memang masuk akal. Emosiku kembali mengendur.

“Rina… Aku minta maaf sebab cakap kasar kat kau tadi. Sorry, ya?” pintaku. Adrina tidak menjawab. Sebaliknya beliau mencubit lenganku dengan agak kuat sambil tersenyum geram.

“Sampai hati marah kat Rina macam itu! Geramnyaaaa….” omelnya seraya menguatkan cubitan. Aku langsung tertawa dengan telatah sahabatku itu.

“Okey! Okey! Aku akan bayar balik lima puluh tu kat kau. Janganlah piat aku lagi. Sakit, tau?’

*****************************************


Beberapa hari kemudian.

“Sekali lagi pak cik rasa terhutang budi dengan Arip sebab tolong Adrina hari tu.” Pak cik Marlbo… Jeffery memulakan bicara setelah berbasa-basi buat beberapa ketika. Aku memerhatikan tempat yang Adrina bawaku tuju. Sebuah restoran. Namanya Restoran Songket. Bukan main keMelayuan sekali. Tapi rekabentuk dalamannya memang cukup hebat. Tentu tempat ini cukup eksklusif dan mahal. Malah kerusi yang kulabuhkan punggung inipun memang empuk rasanya. Tak berani aku nak kentut, takut kalau-kalau rosak pulak sulaman baldunya!

“Saya kan kawan baik Rina. Takkan saya nak buat tak peduli aje?” balasku. Chewah! Macam iklan tak nak merokok pulak!

“Arip kata kalau nak balas budi, ayah kena bayar dia dua ratus ribu ringgit.” ujar Adrina secara tiba-tiba. Buat seketika kami berdua bungkam.

“Eh, mana ada? Pandai la Adrina buat cerita.” tingkahku. Adrina tertawa mengekek. Samdol kau, minah. Saja nak jatuhkan indeks Nikkei Hang Seng aku di depan Marlboro Man, ya? Pak cik Jeffery akhirnya turut tertawa.

“Ha! Dulu anak ayah ni tak pandai buat lawak yang bukan-bukan macam sekarang. Ni… mana belajar ni?” persoal pak cik Jeffery. Adrina tak menjawab. Sebaliknya matanya menyorot ke arahku dengan senyuman nakal. Ah, sudah! Nak menuduh aku pulak! Walaa Takrabuzzinaak! Pak cik Jeffery tentu akan mengetahui siapakah perosak moral jati diri anaknya. Buat-buat tak tahu! Pandang tempat lain! Uii… lawanya pelayan tu. Pakai baju kebaya bukan main seksi sekali. Memang baju kebaya ni cukup hebat rekaciptanya. Pinggul gadis-gadis Melayu terakhir menjadi semakin seksi dibuatnya. Aku patut ucapkan tahniah kepada Datuk Dahaman Manja Lela sebab merekacipta baju kebaya ni pada zaman kerajaan Kesultanan Melaka. Tentu dia setaraf dengan Gucci kalau mengikut zaman ini. Eh, korang percaya ke apa aku cakapkan ni? Aku sendiri pun tak percaya. Hahaha!

“Pelayan tu memang cantik, kan? Seksi pulak tu. Malah di sini semua pelayannya cantik-cantik. Arif suka yang mana?” Tiba-tiba pak cik Jeffery menghunjamkan soalan yang membuatkan aku bagaikan di saat-saat kematian seorang pencuri wayar elektrik bervoltan tinggi.

“Oro? Eeehh… Tak! tak! Saya tak pandang pun punggung perempuan tu!” tingkahku mempertahankan diri. Tapi nampaknya hujahan bernasku itu tadi langsung tak menolong menegakkan benang basahku. pak cik Jeffery tertawa berdekah-dekah. Begitu juga dengan Adrina.

“Hansapnya betul Arip ni!” perli Adrina seraya mencubit lenganku.

“Biasalah orang lelaki, ya tak Arif?” ujar pak cik Jeffery seraya menepuk-nepuk bahuku. Aku pula tak tahu nak berkata apa-apa. Malunyaaa… Tolong la sesiapa lemaskan aku dengan serkupan kain songket sekarang!

**************************************************


Lebih kurang sejam kemudian…

“Wuu… Rendang Tok ni memang betul-betul sedap!” puji Adrina.

“Rendang Tok ni makanan special orang Perak, kan Arif?” tanya pak cik Jeffery. Aku mengangguk.

“Tapi saya tak berapa suka makan Rendang Tok. Saya suka makan ayam ikan bakar stail Johor.” ujarku seraya menunding ke arah laukku. Memang sedap sungguh ikan pari bakar ni. Apa yang membuatkannya selazat memandang para pelayan yang cantik di restoran ini ialah sos ikan bakarnya yang memang cukup berperisa sekali. Memang padanlah dengan statusnya sebagai sebuah restoran yang mahal. Bila aku dah kaya nanti, aku akan belanja abah, mak dan adik-beradik aku makan kat sini. Err… abang long, aku tak nak bawak. Err… aku tapau aje untuk dia.

“Lepas ni mungkin susah kami nak dapat makan macam ni lagi.” ujar pak cik Jeffery tiba-tiba.

“Eh? Kenapa pulak?” tanyaku. Pak cik Jeffery memberikan reaksi terkejutnya.

“Rina tak beritahu lagi, ayah…” maklum Adrina. Aku menjadi semakin Conficius.

“Tak bagitau apa?” tanyaku.

“Arip, sebenarnya mama Rina akan berkahwin dua minggu lagi. Arip dijemput hadir, tau? Tapi Arip seorang saja sebab ini majlis tertutup sebenarnya.” maklum Adrina.

“Apa?!!” ujarku dengan nada terperanjat.

“Arip seorang saja yang dijemput. Memang bunyinya tak baik tapi-”

“Mak Rina nak kahwin lagi?” tanyaku. Adrina menganggukkan kepala. Aku spontan memandang ke arah pak cik Jeffery.

“Heh! Bukan pak ciklah. Cukuplah sekali. Pak cik dah serik. Haha!” ujar pak cik Jeffery sambil tertawa.

“Bila mama nak kahwin lain, hak penjagaan Rina akan pergi ke ayah pula. Ini untuk mengelakkan berlaku sumbang mahram.” ujar Adrina. Aku menganggukkan kepala. Orang secantik Adrina ni tentu menyelerakan mana-mana bakal bapa tiri sekalipun. Mak Adrina sungguhpun cantik, namun kalau dibandingkan dengan Adrina yang masih muda ranum lagi bergetah… Wei! Wei! Apa hal aku fikirkan hal macam ini pulak?

“Arip? Kenapa ketuk-ketuk kepala sendiri ni?’ tanya Adrina. Alamak! Aku buat perkara bodoh lagi!

“Aaa… Tak… Saya memang rasa pening kepala kalau minum ais cepat-cepat.” ujarku untuk membuat dalih. Adrina merenung ke arah meja di hadapanku. Aku turut memandang ke arah yang sama. Alamak! Aku terlupa yang aku memesan teh O panas tadi!

“Anyways, Rina akan tinggal dengan ayah dan famili ayah mulai dua minggu lagi.” ujar Adrina lagi. Beliau kemudian memandang ke arah ayahnya.

“Wah! Baguslah! Dapatlah korang berdua tebus masa-masa yang korang dah hilang dulu.” ujarku dengan nada teruja. Adrina menganggukkan kepala. Namun tiada senyuman terlakar pada bibirnya. Pak cik Jeffery pula memberikan senyuman serba-salahnya.

“Arip, Rina mungkin hanya tinggal dengan ayah di Malaysia selama lebih kurang dua minggu saja. Lepas tu mungkin kami semua tak akan ada lagi di sini.” maklum Adrina. Aku gagal menyembunyikan rasa terkejutku.

“Apa maksud kau, Rina?” tanyaku dengan suara bergetar.

“Ayah sebenarnya dah dapat tawaran bertugas di Milan, Itali. Dia terima sebelum tahu mama akan berkahwin. Rina tak mau ayah sia-siakan peluang ni. Jadi Rina akan ikut ayah dan famili ayah ke sana. Ke Milan. Ke Itali.” jawab Adrina.

Jantungku seakan-akan terhenti…


- Bersambung -

Sunday, January 18, 2009

Emo Hero Bab 33

Emo Hero Bab 33


“Rina…”

Bibir Adrina masih lagi menjelajahi pipiku. Perlahan-lahan desahan nafasnya terasa di telingaku pula. Geli, siuut! Tapi memang best rasanya. Lebih best dari ditiup oleh angin sepoi-sepoi bahasa Gunung Fujiyama. Ewah! Macam la aku pernah pergi ke sana!

“Rina… Cukup! Cukup tu…” Aku dengan segenap kudratku menjauhkan tubuh gadis itu dariku. Aku agak kalau dalam komik Pendekar Laut, mau 999,999.99 hp kuasa yang kugunakan tadi. Memang betui la kata Rasulullah bahawa manusia paling kuat di dunia ini adalah orang yang mampu mengekang hawa nafsunya. Adrina mempamerkan perasaan tak puas hati melalui raut wajahnya.

“Rina, kita orang Islam. Aku memang bukan orang alim. Tapi bukan juga orang jahil. Kita tak patut buat begini. Ini… ini dah salah.” ujarku.

“Habis, masa Arip cium bibir Shaleen kat parking lot tu tak salah?” tingkah Adrina. Aku bungkam. Rupa-rupanya ada orang nampak. Lagi teruk orang tu ialah Adrina!

“Kau menghendap aku ke, Rina?” tanyaku.

“Ya. Tapi jangan berdalih nak menjawab soalan Rina tadi.” tegas Adrina. Aku terdiam seketika. Kemudian menghela nafas panjang dan melepaskan suatu keluhan berat.

“Memang. Memang salah. Malah berdosa. But two wrongs can never do one right, betul tak? Lagipun kalau kita biarkan perkara tadi terus berlaku, mungkin akan terjadi lebih teruk lagi dari apa yang aku buat kat parking lot dengan Shaleen hari tu.” ujarku mempertahankan diri. Mata Adrina mulai berkaca. Alamak! Ini yang leceh ni! Aku segera memalingkan pandanganku dari menatapnya. Tak sanggup rasanya aku melihat Adrina dalam keadaan terluka sekarang.

“Arip… Betul ke dalam hati Arip tak ada secebis pun rasa cinta kat Rina?” tanyanya dalam nada bergetar. Aku memejamkan mataku. Aku berharap agar semua ini hanya mimpi. Tapi bila aku membuka mata, realiti tersebut tetap mengasakku. Apa yang diperingatkan oleh ibu Adrina sebelum ini kini menjelma di depan mata.

“Rina… Tak adil dalam keadaan sekarang Rina bertanyakan soalan tu kat saya.” ujarku. Wajahku masing berpaling darinya. Namun esakan kecil tangisannya jelas kedengaran di telingaku.

“Arip… Arip tak cintakan Rina sebab Arip masih tak percayakan Rina ke? Arip masih ingat Rina akan buat aniaya kat Arip ke?” tanya gadis itu dalam esakannya. Aku hanya mendiamkan diri.

“It’s true, then. You never trust me. Even from the very beginning. You just… pity me.” taakul Adrina. Aku masih berdiam diri. Mengiyakan pun tidak dan menafikan pun tidak. Tiba-tiba bahuku disentuh dengan lembut. Aku spontan berpaling ke arah Adrina. Pandangan kami bertemu.

“I really love you, Arif Akmal. That’s all I have to say.” ujarnya seraya tersenyum. Senyumannya itu cukup pahit dan dipenuhi rasa kepiluan. Air matanya masih beruraian mengalir di kedua pipi. Hatiku bagaikan tersayat-sayat melihatnya. Adrina bangun. Kemudian beliau terus menuju ke biliknya tanpa berpaling lagi. Aku pula hanya memandangnya dengan perasaan bersalah.

Ya Allah, apa yang patut aku buat sekarang? Aku tahu tindakan aku ini memang betul. Pun begitu taakulan Adrina juga adalah benar. Aku kembali berbaring di atas karpet yang empuk. Namun tubuhku langsung berasa tidak selesa.

***********************************************

“Arip… Bangun… Dah pagi ni.” Perlahan-lahan mataku terbuka tatkala mendengarkan permintaan yang lembut tersebut. Dalam keadaan separa sedar aku memandang si empunya suara.

“Adrina… aku memang teruk, kan? Aku bencikan kau sebab cuba menganiayai aku dulu. Tapi aku pun buat perkara yang sama.” ujarku dengan nada masih mengantuk. Adrina kulihat tersenyum.

“Tak apalah, Arip. Memang patut pun Arip rasa begitu. Rina minta maaf because I’ve put you in a difficult situation.” pohonnya.

“Kau tentu tak mau cakap dengan aku lagi, kan?” telahku.

“Ni, Rina tengah bercakap dengan Arip ni! Jom. Arip pergi mandi dulu. Rina ada T-shirt jenis uniseks untuk Arip pakai. Lepas tu kita makan pagi, okey?” saran Adrina. Senyuman kembali bertaut di bibir mungilnya. Namun aku masih dapat melihat kepahitan di dalam senyuman itu. Aku dengan bersusah-payah bangkit untuk menyiapkan diri.

**********************************************

Lebih kurang setengah jam kemudian…

“Apa macam? Best tak nasi lemaknya?” Pertanyaan Adrina kusambut dengan anggukan kepala. Memang sedap sungguh! Nasi lemak mak cik brutal kira tercicir beratus-ratus tiang la kalau disayembarakan!

“Baru-baru ni Rina ajak ayah makan di sini. Dia pun suka.” maklumnya pula. Aku memandang ke arah papan tanda gerai tersebut. “Gerai Long Fadilah”, begitulah nama premises perniagaan tersebut.

“Rina.”

“Hm.”

“Tentang semalam…”

“Jangan sebut lagi, Arip. Nanti Arip rasa bersalah pulak. Rina mungkin rasa terluka sekarang. Tapi lama-lama nanti okeylah. Rina harap Rina akan berjumpa dengan orang yang sebaik Arip. Kalau lagi baik, LAGI BAIK!” ujarnya seraya tertawa. Aku hanya tersenyum kelat. Tidak tahu apa yang patut diungkapkan.

“Rina tak sepatutnya minta yang bukan-bukan daripada Arip. Arip… Arip dah bagi macam-macam kat Rina. Rina ni aje yang tamak. Rina memang selfish… I’m so sorry…” ujarnya lagi seraya menundukkan kepala. Buat seketika masing-masing mendiamkan diri.

“Arip… Rina ada satu lagi permintaan yang selfish. Tapi Rina betul-betul berharap agar Arip boleh penuhi.” pintanya. Senyuman melirik di bibir. Namun cahaya mengharap dapat kulihat dari wajahnya.

“Emh. Kalau aku mampu, aku akan penuhi.” ujarku.

“Rina harap persahabatan kita tetap takkan berubah. Rina harap Arip takkan menjauhkan diri daripada Rina. Rina harap kita tetap mesra macam sebelumnya.” pintanya. Aku menggigit bibir bawahku. Cuba mencari perkataan yang sesuai untuk diungkapkan.

“Aku sebenarnya masih rasa canggung. Tapi aku juga rasa sayang kalau persahabatan kita dirosakkan sebegitu aje. Jadi… aku akan cuba.” ujarku. Adrina tersenyum.

“Itupun dah cukup bagus. Thank you!” ucapnya.

“Nak kemana kita lepas ni? Dah le ponteng kuliah.” omelku. Adrina tertawa.

“Kita-” Adrina tiba-tiba bungkam. Matanya memandang sesuatu di belakangku. Aku segera menoleh ke belakang. Mataku terbelalak.

“Hai Rip!”

“Kau… kau rupanya!” balasku dengan nada terkejut bercampur bengang. Si empunya suara yang menegurku tadi adalah seorang lelaki dalam lingkungan umur 30’an. Beliau senyum. Tapi ianya amat menyakitkan hati.

“Amboi! Dah ada girlfriend lawa buat sombong pulak, ya?” sindirnya. Adrina kulihat menjadi termangu-mangu.

“Kau nak apa sebenarnya?” tanyaku dengan nada dingin.

“Amboi! Begini cara kau bercakap dengan aku? Eh, aku ni Abang Long kau. Hormatlah sikiiit…” balas lelaki tersebut.

“Ye ke? Kalau begitu cubalah bersikap macam seorang abang sulung. Jangan asyik menyusahkan adik-beradik lain.” tingkahku dengan agak keras.

“Ni abang Arip ke?” tanya Adrina. Baharulah aku tersedar dari emosi marahku. Perasaan segan mulai menjalar di segenap sanubariku.

“Ah.. ya. Ini abang aku. Namanya Adry Abrar.” maklumku dengan nada serba-salah.

“Hai, abang.” tegur Adrina dengan agak gementar.

“Hmm… You ni pakaian macam anak orang kaya. Kalau jadi ipar abang besok, bolehlah you tolong abang, kan?” Kata-kata abang sulungku bagaikan guruh yang berdentum di hati. Aku bingkas bangun.

“Sial kau! Dari dulu sampai sekarang perangai macam setan!” ujarku dengan kasar.

“Wei! Lu apahal? Aku bercakap dengan pompuan ni, bukannya lu! Lagipun aku ni abang kandung kau. Aku harap kau hormat la sikit kat aku, faham?” bentak abang sulungku dengan nada keras.

“AKU PULAK HARAP KAU MAMPUS CEPAT! TAK HABIS-HABIS MENYUSAHKAN KAMI SEMUA TERMASUK MAK DAN ABAH! PERGI MAMPUSLAH KAU!” jerkahku.

Buat seketika keadaan sekelilingku menjadi sunyi-sepi…



- Bersambung -

------------------------------------------------------------------------------------------------
Notakaki :

Setiap kali aku menghabiskan masa dengan anakku Damia, pasti dia meminta aku memasang vcd cerita Pingu. Aku sampai dah hafal jalan ceritanya. Pun begitu, aku tak pula berasa jemu menontonnya bersama Damia (kalau aku tak nak join, dia akan merajuk). Cerita Pingu sungguhpun untuk kanak-kanak, ianya sarat dengan pengajaran dan nilai-nilai yang baik berbanding dengan filem atau drama untuk golongan dewasa. Dan ianya telah mencetuskan minat aku untuk menceburi bidang penulisan buku cerita kanak-kanak pula.

Aku masih teringat pada zaman kecilku, kami dihidangkan dengan buku cerita kanak-kanak berbentuk siri penyiasatan atau cerita sains fiksyen. Namun zaman sekarang selera kanak-kanak telahpun berbeza. Mereka lebih cenderung kepada cerita-cerita seperti Harry Porter, Narnia dan The Golden Compass. Malah kartun-kartun yang kutonton bersama Damia pada masa kini lebih berbentuk kepada perkara-perkara gelap, ganas dan kesyaitanan seperti Danny Phantom, Astro Boy, Ben10, Naruto dan beberapa lagi yang aku tak ingat buat masa ini. Memang ianya sangat mengganggu fikiranku sebagai seorang bapa...

Mungkin aku juga terpaksa mengikut selera zaman sekarang dalam pembuatan cerita kanak-kanak. Namun pada masa yang sama aku juga perlu berhati-hati agar minda kanak-kanak di Malaysia tidak dirosakkan oleh idea di dalam penulisanku. Rupa-rupanya lebih susah nak membuat cerita kanak-kanak, ya? :)

Friday, January 9, 2009

Emo Hero Bab 32

Emo Hero Bab 32


“Rina, kita dah sampai.”

Adrina yang baharu saja dibuai mimpi membuka matanya. Nasib baik la minah ni bukan jenis berdengkur badak air. Tak pun lagi teruk air liur basi menjelejeh keluar dari mulut. Kalau macam itu aku kena ucap takziah la kat laki dia nanti.

“Hai.” tegurnya seraya tersenyum. Ewah… nak buat aksi manja-manja sleeping beauty pulaaak! Entah kenapa tiba-tiba aku terkenangkan bapak aku yang mesti terkentut lima enam kali setiap kali bangun dari tidur. Bunyi gemaannya yang mampu meruntuhkan gunung tu aku anggap jam loceng untukku bangun bersolat subuh.

Aku sempat menjeling jam. Dah pukul 4.12 pagi rupanya. Tadi di hospital terlalu banyak masa terbuang hanya untuk tunggu doktor bertugas datang memeriksa Adrina. Aku pula dah macam batang balak tidur di atas bangku panjang yang disediakan oleh pihak hospital. Sementelah Adrina turut kehilangan telefon selularnya angkara peragut-peragut brengsek itu, aku pinjamkan telefonku kepadanya untuk beliau menghubungi ibu bapanya. Aku malas nak mendengar biji butir perbualannya. Cuma sesekali terdengar esakan tangisnya tatkala beliau sedang bercerita. Aku terus berpura-pura tidur dan enggan bangun untuk menenangkan Adrina. Nanti mesti nak berpeluk lagi. Seronok tu memang la seronok. Tapi… aku takut hatiku semakin keliru nanti. Semenjak akhir-akhir ni aku berasakan bahawa hubungan platonik antara aku dan Adrina dah semakin jauh tersasar dari matlamat asal.

“Kita dah sampai. Jom.” maklumku.

“Dukung.” pinta Adrina. Ewah-ewaaah! Tadi bukan main aktif jalan ke sana-sini macam kuda equestarian alih-alih nak berdukung pulak?

“Jangan nak mengada. Nak dukung-dukung pulaaak. Kau bukannya dugong perlu nak berdukung.” sindirku seraya tertawa. Adrina mencebikkan bibir. Marah le tu.

“Kalau Shaleen tu tentu boleh.” omelnya.

“Tak adanya! Korang berdua ni kalau aku dukung berat sekor-sekor macam tujuh guni beras. Mau terkehel tulang bontot aku, tau?” balasku. Kami sama-sama tertawa.

“Okey. Kalau Arip cakap macam tu baru adil.” ujarnya.

“Adil apa pulak? Bukannya korang berdua bermadu jadi bini aku.” perliku seraya tertawa. Lepas tu baharu la aku menyumpah dalam hati sebab bermulut capui sangat.

“Perasan la abang kita sorang ni… Nak kahwin dua kunuuun. Siapa entah nak kahwin dengan dia! Tak malu…” kutuk Adrina kembali. Kini giliran dia pulak ketawa. Aduss… tepalu hatiku dengan usikannya itu. Entah kenapa aku berasa agak kecewa bila Adrina berkata sedemikian rupa.

“Yalah… kita sedar la siapa diri kita ni. Rupa tiada… harta pun kurang. Bulu hidung pun panjang.” balasku. Berderai tawa Adrina menggemai (ada ke perkataan ni wahai editor?) ruang lingkup SUV. Aku pun turut tertawa. Berjaya juga aku menyembunyikan perasaanku tadi.

Pun begitu aku tetap memapah Adrina masuk ke rumahnya. Nasib baik la tembok rumahnya setinggi Tembok Besar China. Kalau ada jiran yang ternampak kami tentu akan ingat yang bukan-bukan. Rumah orang-orang kaya ni memang selalunya tak ada semangat nak berjiran. Kalau aku jadi billionair nanti aku akan tiap-tiap hari bertandang ke rumah jiran tetangga untuk bagi juadah kek pisang. Tambahan pulak la kalau dia ada anak dara yang lawa macam Maya Karin.

“Masuklah. Jangan malu-malu. Hanya kita berdua saja.” sakat Adrina. Dalam jalan terengkat-rengkat tu berani nak buat provokasi lagi.

“Kalau parents Rina tau, tentu depa marah.” taakulku. Adrina menggelengkan kepala.

“Rina dah bagitau. Ayah tak kisah. Nampak sangat dia percayakan Arip. Mama… Mama tak peduli pun.” maklum Adrina. Aii… moden sungguh pemikiran mak bapak Adrina. Kalau bapak aku sahih berbirat kena batang beluti.

“Kalau geng Majlis Agama Islam datang, mampus kita.” telahku pula.

“Kita kahwin saja la. Apa susahnya?” usik Adrina seraya tertawa.

“Mudahnya cakaaap. Kita ni tak sekufu’ dari segi status, tau? Takkan kau nak pilih orang yang macam aku ni?” balasku merendah diri.

“Habis tu, Shaleen pun anak orang kaya juga. Lagi kaya dari Rina, tau?” tingkah Adrina. Nyatalah nadanya berbunyi kurang senang walaupun dia anak ‘orang senang’. Ewah! Sempat buat lawak!

“Sebenarnya… sebenarnya aku tak nak harap apa-apa di antara aku dengan Shaleen. Memang jurang status kami berdua terlalu besar. Tak… tak mungkin dia akan… Yalah… tak mungkin…” maklumku sambil menelan air liur kepahitan. Adrina mendekatiku. Bahu kananku dipegang lunak olehnya.

“Rina tak tau pendirian Leen dalam cinta. Tapi… Rina hanya akan berkahwin dengan orang yang boleh membahagiakan hidup Rina. Rina tak kira siapa dia dan apa status dia. Okey, Arif Akmal?” maklumnya. Nada tersinggung masih ketara pada bait-bait katanya. Kemudian beliau terus melangkah (mendengkot sebenarnya) meninggalkanku. Aku pula tak terkata apa-apa.

“Arip. Di dapur tu ada macam-macam makanan. Makan la kalau Arip lapar.” teriak Adrina dari biliknya yang berada di tingkat atas beberapa minit kemudian.

“Kalau aku jumpa kucing parsi kau kat dapur, boleh tak aku baham?” tanyaku dengan niat melawak. Senyap. Tiada balasan atau tawa Adrina. Nyatalah beliau masih berasa marah. Aku dah jadi macam ni nak makan pun tak ada selera. Jadi aku mengambil keputusan untuk terus berbaring di atas karpet ruang tamu dan memejamkan mata. Empuknya karpet ni. Kalau di rumah aku, karpet macam ni mau cuma dipakai masa hari raya aje. Itupun tak termasuk Gong Xi Fa Cai dan Deepavali. Ah, hari Gawai pun tak juga.

“Arip… kenapa tidur kat sini? Tidur la elok-elok.” Aku terus membuka mata tatkala mendengarkan suara lunak Adrina bersama sentuhannya. Ish, aku betul-betul dah tertidur rupa-rupanya. Tadi rasanya macam tengah tengok cicak mengawan kat atas siling aje.

“Hari Gawai tak payah la pakai karpet ni.” ujarku.

“Ha? Apa Arip cakap ni? Ariiip… Arip mamai lagi nii… Bangun laa…” Sekali lagi mataku terbuka. Aku berasakan tubuhku digoyang-goyang dengan lembut. Aku memfokuskan pandanganku ke arah Adrina. Beliau kelihatan seperti baharu saja lepas mandi. Beberapa titis air di rambutnya menitik ke mukaku.

“Berapa lama saya tertidur?” tanyaku. Bibir gadis yang duduk di sisiku ini mengorak senyuman manis.

“Rina mandi dekat setengah jam. Lepas bersiap Rina turun ke bawah. Tengok-tengok Arip tengah sedap berdengkur.” jawabnya yang tak seperti menjawab soalanku tadi. Tak pedulilah. Bukannya dapat markah macam ujian lisan SPM pun. Aku perlahan-lahan bangun. Baharulah aku dapat melihat fizikal Adrina secara keseluruhannya. Beliau hanya memakai baju T yang longgar dan seluar pendek. Putih mulus lagi melepak pahanya pada pandanganku. Gamaknya kat situ pun dilumurnya Fair and Lovely.

“Ai? Mata tu tengok ke mana?” tanya Adrina dengan nada menyindir.

“Sorry. Mata aku memang nak pandang wajah cantik kamu dan hanyut dalam mata bening kamu. Tapi paha putih melepak lagi seksi kamu mengatasi segala-galanya.” jawabku dalam melawak juga. Adrina tertawa besar.

“Hmh!” ujarnya seolah-olah marah.

“Sorry…” ucapku lagi.

“Kena bayar penalti sebab miang sangat. Tolong sapu ubat dan balut luka Rina kat siku ni. Rina dapat buat di muka dan lutut tapi kat siku ni tak boleh.” pintanya sambil menunjukkan siku kanannya yang mengalami luka tersagat.

“Okey, boss.” jawabku. Aku segera mengambil peti kecemasan yang diunjukkan oleh Adrina kepadaku.

“Angkat siku tu tinggi sikit. Saya nak sapu ubat ni.” pintaku. Adrina akur. Oleh kerana baju T beliau besar lagi menggelebeh, ternampak jelas di mataku bahagian ketiaknya tatkala tangan kanannya diangkat. Dan sudah tentu sedikit dari bahagian dadanya juga ternampak pada mata kasarku. Jantungku bagaikan terhenti seketika. Namun aku buat selamba dan meneruskan kerjaku. Badan gadis di hadapanku ini masih panas. Nampaknya dedar demamnya belum mahu surut. Akhirnya sempurnalah balutanku ke sikunya. Adrina tersenyum.

“Kenapa?” tanyaku.

“Nampak apa-apa yang menarik tadi?” tanyanya. Senyuman mengusik melirik di bibirnya. Siul! Dia perasan rupa-rupanya!

“Hm. Bulu ketiak kau boleh tahan banyaknya…” komenku. Adrina berteriak kecil dan memukulku.

“Jahat la Arip niii!!!” bentaknya. Aku tertawa terbahak-bahak. Mataku menyorot ke arah balutan lututnya pula.

“Ni macam mana Rina balut lutut ni? Macam burung gagak buat sarang aje! Bak sini biar aku balutkan semula.” saranku. Adrina menghulurkan kaki kanannya kepadaku tanpa banyak soal. Aku perlahan-lahan membuka balutan yang tidak kemas tersebut.

“Ouch…” ujar Adrina. Mungkin berasa sakit kerana kulitnya yang terlekat pada kain kasa balutan tadi tertarik sekali tatkala kutanggalkan balutan tersebut.

“Sorry… sorry…” ujarku seraya meniup dengan lunak ke tempat lukanya.

“Aaa…” ujar Adrina pula.

“Sakit ke?” tanyaku. Adrina menggelengkan kepala. Aku terus membubuh ubat kembali ke tempat lukanya dan kemudian membalut dengan kemas menggunakan kain kasa dan plaster yang baharu.

“Okey, dah siap. Sekarang kat muka pulak. Tak payah la tampal tebal-tebal begitu. Macam buruh Myanmar nak ikat bata aje.” komenku seraya tertawa.

“Emh!” rengek Adrina dengan nada tak puas hati. Aku segera menanggalkan balutan pada bahagian pipi kanannya pula.

“Isk! Sakit…” rengek gadis tersebut. Ish… Mengada-ngada la minah ni! Tadi kakak nurse gemuk kat hospital balut luka-lukanya macam memaku ke dinding elok aje tak mengomel.

“Sorry… sorry…” pohonku.

“Tiup.” pinta Adrina seraya menghulurkan pipi kanannya. Aku tanpa berfikir panjang terus meniupnya.

“Aaa…” ujar Adrina dengan perlahan. Oro? Ini rasa ngilu ke atau terangsang ni?

“Tiup lagi.” pintanya dengan nada separa manja. Entah mengapa aku kali ini akur sahaja melakukannya. Aku meniup perlahan-lahan di luka tersebut.

“Aaarif…” Tanpa kuduga Adrina terus merapatkan wajahnya ke pipi kananku dan menciumnya. Kemudian menciumnya sekali lagi. Kemudian menekan bibirnya lama-lama ke pipiku. Desah nafasnya jelas kedengaran pada telingaku.

Aku pula benar-benar tak tahu apa yang patut kulakukan sekarang!


- Bersambung -

*************************************************************************
Nota kaki :

Buat masa sekarang ni, perkara yang paling menyakitkan hati aku ialah perangai setan Zionis, perangai hipokrit Amerika dan Peranchis, perangai pilih kasih PBB, perangai pengecut negara-negara Arab dan perangai zalim negara Mesir yang menyekat bantuan dari luar. Saban hari ianya keluar dalam berita. Dan kalau anda semua perasan, setiap tahun Zionis akan menyerang negara Palestein. Setiap tahun. Bezanya kali ini ianya secara besar-besaran kerana nak menutup malu dek kalah dalam peperangan 34 hari dengan Lebanon (terima kasih kepada Hizbullah).

Di Malaysia, seperti biasa kita akan buat demonstrasi, hantar surat bantahan (macam la diorang nak baca), buat solat hajat serta berdoa dan menyeru agar barang-barang Amerika serta Yahudi diboikot.

Bagiku, ini sajalah yang mampu kita buat. Namun yang aku kesalkan ialah kita membuatnya setakat setengah masak aje. Sebelum solat Jumaat, imam menyeru agar jemaah menunggu seketika untuk bersolat hajat agar umat Islam di Palestein diselamatkan dan Zionis dihancurkan. Tapi aku berasa kesal kerana lebih dari separuh jemaah terus pulang selepas solat Jumaat. Beginilah lemahnya ukhuwah umat Islam di Malaysia. Kemudian imamnya pula berdoa secara umum sahaja. "Hancurkanlah musuh-musuh Islam di muka bumiMu ini." doanya. Oro? Kenapa tak mahu spesifikkan doanya? Doa ajelah "Ya Allah, turunkan hujan api di negara Zionis seperti mana Engkau menurunkannya di kota Sadum dan Gomorah. Datangkanlah ribut yang dahsyat sepertimana Engkau mendatangkannya terhadap kaum 'Ad. Benamkanlah kesemua rakyat Zionis dengan banjir yang besar sepertimana Engkau membenamkan kaum Nabi Nuh 'Alaihissalam. Telanlah mereka semua ke dalam perut bumi sepertimana Engkau melakukannya terhadap Qarun."

Spesifikkan ajelah doa itu. Kenapa berbentuk umum sahaja? Memanglah sepatutnya solat hajat bukan untuk meminta kecelakaan terhadap seseorang tetapi umat Islam di Gaza sedang dizalimi dengan dahsyatnya. Aku tak faham mengapa imam tersebut berdoa sebegitu umum sekali. Apa, dia takut dituduh sebagai anti-Semitik ke? Bila bab boikot lagilah aku sedih. Seorang ustaz tu berdegar-degar memaki Zionis dan Amerika selepas solat. Sambil tu bukan main sedap lagi dia menikmati rokoknya. Aku bagitau yang kebanyakan rokok adalah dari syarikat Yahudi yang menyumbang hampir 20% pendapatan mereka untuk negara Zionis. Jadi sepatutnya kerajaan Hadhari kita sekarang ni dah menyekat import rokok dari syarikat-syarikat tersebut. Dan kita sebagai umat Islam sepatutnya berhenti membeli dan menghisap rokok sebagai tanda boikot. Juga berhenti pergi ke KFC, Mac Donalds, Pizza Hut, Dunkin Donuts dan semua restoran daripada Amerika. Bukan setakat Starbucks aje.

Tau apa kata ustaz tu? "Aku kalau sehari tak merokok ni susah la pulak nak buat kerja." Itulah ujarannya. Aku tersenyum dan dengan selamba berkata "Ustaz, harga rokok tu 60 sen sebatang, kan? Jadi setiap kali ustaz hisap sebatang rokok, ustaz ingatlah bahawa sebanyak 12 sen akan didermakan oleh ustaz sendiri kepada negara Zionis yang ustaz laknat tadi untuk membeli senjata membunuh orang Islam. Assalamualaikum." Itulah kataku lebih kurang. Aku tau tak sepatutnya aku berkata begitu. Namun aku berasa kesal kerana itulah ukuran iman majoriti umat Islam di Malaysia ni.

Selamat menjamu selera di Mac Dee...

Monday, December 29, 2008

Emo Hero Bab 31

Emo Hero Bab 31



“Rip! Join le aku menyanyi lagu Pari-Pari Dibawa Angin ni.” pelawa Yusman. Dia ni senior aku. Cukup suka layan lagu-lagu macam ni. Pandai bermain gitar pulak tu. Setiap hari ada aje la lagu baharu yang dibuatnya. Aku ingat Yusman ni salah tumpang lori masa nak daftar di universiti la gamaknya. Patutnya dia tumpang lori kicap ke studio Ajai. Tapi tersilap naik lori simen ke UNISAS.

“Aku tengah blues la, bro. Susah sikit la nak masuk lagu Meet Uncle Hussain sekarang ni.” tolakku dengan baik dan penuh merafak sembah hormat. Wadi yang sedang berkecimpung dalam aktiviti membuang masa bersama Yusman merenungku dengan pandangan penuh tanda-tanya. Namun beliau enggan menyuarakan kemusyikilannya itu.

“Nizam mana, Di?” tanyaku. Wadi mengangkat kedua bahunya tanda tidak tahu.

“Aku rasa dia keluar dengan gofren barunya tu laaa…” taakul Wadi. Aku tersengih. Senang betul jadi manusia hati batu macam Nizam ni. Tak pernah rasa bersalah terhadap kaum hawa yang dilayannya macam sampah. Aku pula sekarang bagaikan telah membunuh orang. Selepas berjanji temu dengan Shaleen, aku telah menghantar SMS beberapa kali kepada Adrina. Namun tiada sebarang balasan yang aku terima. Hatiku mula dihurung kerisauan. Agaknya Adrina merajuk dengan aku ke? Atau mungkin ibu jarinya bengkak digigit semut api ke? Celaka punya semut api! Pasal engkau la Adrina tak dapat balas SMS aku sekarang! Aku panggil bomba nanti, baru kau tau tinggi rendah langit!

Dalam masa yang sama aku berasa pelik dengan persetujuan Shaleen untuk aku menjaga nyawanya. Siap melawak kalau aku nak jaga tubuhnya pun dia tak kisah! Minah tu seingat aku memang seganas Mak Cik Brutal kat kafeteria tu. Kalau lelaki lain kacau memang likat taik telinga kena maki seranah daripadanya. Aku risau jugak kadang-kala tu. Takut kalau-kalau jantan-jantan keparat ni naik bengang dan mengapa-apakan gadis yang kucintai itu. Menurut Shaleen, pernah mat-mat rempit mengejarnya dengan tak tentu pasal. Rasanya memang dia yang menacri pasal. Namun manalah kapcai mampu melawan Mitsubishi Evolution 7 di lebuhraya, ya dak?

Oh, ya! Berbalik pada lawaknya tadi... memang aku tak sangka dia cakap begitu. Gamaknya kalau aku kata okey, mau la jadi benda yang finger lickin’ good pulak kang! Namun aku benar-benar sayangkan Shaleen. Jadi aku rasa tak ingin mengambil kesempatan ke atasnya walaupun aku dapat mengagak bahawa dia bukanlah gadis yang suci murni macam sabun Zaitun.

Perasaan yang sama juga aku rasakan terhadap Adrina. Kesenyapannya membuatkan aku tak keruan sekarang. Nak basking bersama-sama rakan tersayang pun dah tiada selera. Tapi kalau diajak tengok cerita blue mungkin aku jeling-jeling jugak kot? Aku teringin nak bermain SMS dengan Shaleen. Namun aku tahu Shaleen pasti akan menelefonku untuk berlabun lama-lama dan aku takut Adrina pada masa itu cuba menghubungiku. Biasa la macam cerita filem. Lepas tu kalau filem Melayu tak semena-mena kena langgar kat tempat parking. Lepas tu mati.... Entah apa pangajaran taufik dan hidayah kita boleh dapat dari cerita bodoh macam itu, aku pun tak tau. Ni tengah bengang mulalah cakap yang bukan-bukan.

**********************************************************

Adrina-Adrina-Adrina.... Mengapa dia tak balas-balas mesej aku ni? Dah hampir sejam berlalu semanjak aku menghatar SMS keenam kepadanya. Hatiku bercampur-antara gelisah, marah serta risau. Emosiku tersentap tatkala mendengarkan bunyi nada penerimaan SMS di dalam telefon selularku. Bingkas kubelek pada skrin telefonku.

Aaaiii... Bukannya daripada Adrina tetapi Shaleen. Amoi tersebut ingin mengetahui sama ada aku masih bersengkang mata atau sedang membuakkan taik mata. Aku berasa teruja menerima SMS tersebut, namun aku mengambil keputusan untuk tidak membalasnya.

”Eh? Itu bukan RAV-4 Adrina ke?” Tiba-tiba sahaja Wadi bersuara. Aku bingkas melompat turun dari kerusi dan terus menjengah kepalaku di jenang tingkap. Sah itu kenderaan Adrina. Ternampak olehku kelibat sahabat baikku itu yang keluar dari kenderaannya. Namun ianya nampak agak kekok dan begitu payah sekali.

”Eh, Wadi! Aku keluar kejap. Nampak macam ada yang tak kena dengan Rina la.” maklumku seraya keluar dari bilik tanpa melihat respons sahabatku itu. Langkahku pantas dihalakan ke arah tempat parkir kenderaan. Selang beberapa saat kemudian, akhirnya aku tiba ke destinasi dalam keadaan termengah-mengah.

”Adrina!” sapaku. Adrina yang rupa-rupanya tidak menyedari kehadiranku hampir berteriak kerana terkejut. Tatkala beliau mengangkat wajahnya memandangku, baharulah aku perasan wajahnya mempunyai kesan lebam dan calar-balar.

”Adrina!” teriakku kali ini dengan nada cemas lantas segera mendapatkannya. Adrina pula terus memelukku dengan erat lantas menangis teresak-esak.

”Kenapa ni? Kenapa ni, Rina?” tanyaku. Perasaan cemas masih belum dapat kunyahkan dari sanubari.

”Rina kena ragut!” adu gadis tersebut dalam esakannya. Tergamam aku mendengarkan perkhabaran tersebut.

******************************************************************

Telah hampir setengah jam berlalu semenjak kami sampai di IPD (ibu pejabat polis daerah). Adrina masih memberikan keterangannya kepada seorang pegawai penyiasat yang bertugas pada malam itu. Aku yang enggan masuk campur hanya duduk di suatu sudut yang disediakan sambil asyik menguap-nguap dek kebosanan. Entah berapa setan togel yang dah masuk ke dalam mulutku ini. Aku menjeling ke arah jam. Dah melepasi pukul satu pagi. Sesekali aku menjeling pula ke arah Adrina yang sedang berbual-bual dengan pegawai penyiasat yang pada anggaranku tua sedikit dari umur kami. Begitu segak sekali perawakannya. Muka kacak ala-ala hero Bangladesh pulak tu.

Oro? Aku berasa cemburu ke? Kenapa perasaan aku rasa kurang enak? Emosi aku sekarang berkecamuk sebab mengantuk ke atau kurang senang melihat kemesraan Adrina dengan pegawai penyiasat tersebut?

Tiba-tiba handset milikku berbunyi. Oh! Ada SMS masuk. Aku segera memeriksa. Rupa-rupanya daripada Wadi. Beliau bertanyakan keadaan Adrina. Aku segera membalas bahawa Adrina okey tetapi masih nampak gementar. Wadi kemudiannya membalas pula mesejku yang memintaku menyampaikan salam takziah kepada Adrina. Tatkala aku mahu membalas SMS tersebut tiba-tiba telefonku berbunyi. Ada seseorang sedang menelefonku. Rupa-rupanya panggilan daripada Nizam.

“Hai Nizam.” sapaku.

“Kau kat mana ni, Rip?” tanya Nizam. Apalah tanya terus perkara penting. Berbasa-basi sikit laa… Tanya la dulu cuaca hari ni macam mana ke… Period dah habis ke belum ke…

“Aku kat IPD. Dengan Adrina.” jawabku dengan agak kuat. Aku dapat mengagak yang Nizam telahpun diberitahu oleh Wadi akan insiden tersebut. Adrina berpaling seketika ke arahku. Beliau kemudiannya menghadiahkanku senyuman manis sungguhpun nampak masih gementar. Pegawai muda yang sedang menyoalnya juga memandang ke arahku. Tapi tak tersenyum pun. Eleh, baharu Adrina bersembang dengan dia dah rasa macam girlfriend sendiri pulak. Pegeraaa… Setakat pangkat kat bahu satu paku… aku tak heran pun. Rumah bapak aku ada banyak paku, tau? Paku untuk batu konkrit pun ada, tau?

“Wadi dah bagitau aku tentang hal Adrina. Macam mana dia?” tanya Nizam yang sekaligus mematikan lamunanku.

“Dia tak berapa okey. Badan luka-luka sebab jatuh atas jalan tar. Muka dia pun lebam dan bercalar. Kesian aku tengok. Celaka betui peragut tu! Aku harap dia mampus kena langgar lori IWK sebab cederakan Rina! Oh, tak! Tak! Aku harap dia lumpuh satu badan sampai umur 70 tahun baru mati lepas kena langgar dengan lori IWK.” seranahku dengan nada bengang.

“Bagi ucapan takziah aku kat dia, okey?” maklum Nizam.

“Eheh! Tak ke kau tak sukakan dia?” sindirku. Nizam tertawa.

“Sampai sekarang pun aku tak sukakan dia. Tapi sebab best friend aku cukup sayangkan dia, aku kena la berbaik-baik dengan dia, ya tak?” sindir Nizam seraya tertawa sekali lagi. Dengan segera juga beliau menamatkan hubungan taliannya.

“Oih! Celaka kau Nizam!” rungutku. Apa pulak si buaya tu repekkan? Memang la aku sayangkan semua kawan baik aku. Apadaa… Seranahku di dalam hati segera kutamatkan tatkala melihatkan Adrina yang kini semakin menghampiriku. Nampak gayanya macam beliau telahpun selesai ‘diayat’ oleh pegawai polis muda tersebut. Aku melemparkan pandanganku ke arah pak pulisi tersebut. Ternyata beliau sedang memandang ke arah kami. Eleh… dengan mata bundar Bangla macam tu nak bagi aku renungan maut pulaaak. Tunjal dengan kacip pinang kang baru tau!

“Rina dah selesai. Jom kita pergi ke hospital pulak..” saran Adrina seraya menghulurkan tangannya kepadaku. Entah mengapa beliau berbuat begitu, aku pun tak tahu. Pun begitu aku segera menyambutnya dan terus bangun dari dudukku.

“Rina okey ke?” tanyaku. Wajah tenang dan lembut gadis di hadapanku ini serta-merta menjadi hiba. Beliau menangis teresak-esak sekali lagi di hadapanku. Nyatalah beliau masih trauma dan berasa takut. Aku biasanya tidak tahu apa yang patut kubuat. Namun kali ini aku spontan mendakap Adrina dengan erat untuk menenangkan hatinya. Jari-jemari Adrina juga kurasakan begitu kemas mencengkam tubuhku. Tubuhnya dapat kurasai gigilannya. Namun pada masa yang sama aku turut merasakan peningkatan suhu yang agak luar biasa.

“Semuanya akan okey. Rina jangan menangis lagi, ya? Badan Rina dah dedar. Mungkin terlalu terkejut sampai nak jadi demam. Saya akan temankan Rina sampai selesai semua urusan ni. Dah, jangan menangis lagi, ya?” ujarku untuk memujuknya. Adrina mengangguk. Aii.. Dah le muka tu lawa jelita. Siap dihiasi dengan air mata. Mengangguk comel pulak tu. Memang betul la kaum hawa ni boleh melemahkan hati batu seorang lelaki. Kecuali si Nizam. Dia tu memang tak ada hati gamaknya! Seketika kemudian aku memimpinnya hingga ke pintu SUV. Sempat kulemparkan pandangan ke arah pegawai polis berpangkat Inspektor Pelatih tadi. Beliau masih memandang ke arah kami.

“Rina bagitau polis tadi yang Rina dah bertunang dengan Arip. Dia bukannya nak siasat sangat kes ni. Sibuk nak ngorat Rina.” maklum Adrina beberapa minit selepas kami meninggalkan IPD. Aku yang sedang memandu SUV tersebut hanya tertawa kecil. Patut la mamat tu pandang aku macam babun yang mendendami pasangannya.

“Arip marah ke?” tanya Adrina pula.

“Kenapa pulak saya mesti marah? Rina nak mengelak dari ‘sales after service’ mamat polis tu, kan?” tanyaku.

“Sales after service?” tanyanya seraya mengorak senyuman lebar.

“Yalah! Lepas tolong ambil statement, sibuk la dia nak buat ‘sales’ untuk mengayat pulak. Kunun nak protect Rina la tu…” perjelasku. Adrina tertawa kecil.

“Rina tau keadaan Rina sangat fragile sekarang. Jadi sesiapa saja boleh ambil kesempatan ke atas Rina.” ujarnya.

“Itu sebab Rina reject mamat polis tu, ya?” taakulku seraya memandangnya. Adrina menganggukkan kepala. Kemudian kami berdua berdiam diri buat beberapa ketika.

“Arip… Sebenarnya ibu Rina tak ada di rumah. Dia ke Los Angeles. Ayah pulak ada kat Brisbane. Jadi malam ni Rina seorang diri aje kat rumah.” maklum Adrina secara tiba-tiba.

“Ooo… jadi Rina nak saya hantar Rina ke rumah kawan malam ni?” tanyaku. Adrina menggelengkan kepala.

“Rina nak balik ke rumah. Tapi Rina harap Arip dapat temankan Rina malam ni.” jawabnya. Aku benar-benar terperanjat hinggakan SUV yang sedang kupandu terbabas sedikit ke tengah jalan.

“A… Apa?” tanyaku dengan gementar. Entah aku tersilap dengar ke tadi? Itulah, mak aku berpesan agar selalu minum susu setiap pagi untuk kesihatan pendengaran. tapi aku ‘tak dengar’. Heh-heh! Dapat faham tak lawak aku tadi?

“Arip tidur saja kat rumah Rina malam ni, ya? Pleaseee… Please, ya Arip?” Adrina sekali lagi merayu dan mengulangi permintaannya itu. Gadis tersebut tahu bahawa beliau berada dalam keadaan yang amat rapuh sekarang. Jadi beliau telah menyekat semua pintu peluang yang ada terhadap pegawai polis muda tadi. Namun beliau telah membuka pintu kesempatan tersebut kepadaku pula kali ini.

Akal dan emosiku begitu giat berfikir sekarang. Adakah ini suatu perkara yang sangat baik… atau suatu perkara yang sangat berbahaya kepadaku?


- bersambung -