MetroPolis
Episod 3
Bab
10
Bibit-bibit
Perpecahan (Bah. 3)
Balai MetroPolis, pada hari yang
sama. Selepas sejam kemudian.
Terawez dan Nicol agak terkejut
melihatkan kereta Mercedes Enbi yang diparkir secara tergesa-gesa. Keluarlah
Enbi dalam keadaan gegas menuju ke arah mereka. Wajahnya yang pucat lagi
kelesuan membuatkan mereka agak cemas.
“Apa dah jadi, Enbi? Awak okeykah?”
tanya Nicol.
“Nazrul. Nazrul mana?” tanya Enbi
yang nampaknya tidak mempedulikan pertanyaan Nicol.
“Nazrul pergi bersiar-siar dengan
teman wanitanya. Tapi dia tak beritahu pula di mana.” balas Nicol dengan nada
sedikit tersinggung.
“Baiklah. Dengar sini baik-baik. Aku
mahu pergi ke Dubai semula. Ada hal kecemasan.” maklum Enbi dengan tonasi yang
agak tertekan dan kelam-kabut. Terawez dan Nicol berpandangan sesama sendiri.
Nampaknya Enbi begitu keberatan untuk berkongsi sebab-musababnya dengan mereka
berdua.
*************************************
Keesokan harinya...
“Enbi pergi begitu saja? Tak pernah
pula selama ini dia buat begitu.” omel Catherine. Nicol yang singgah di
restorannya telahpun memaklumkan kepadanya akan tindak-tanduk Enbi semalam. Beliau menghirup sup ayam yang
dihidangkan secara percuma oleh Catherine. Manakala Nazrul yang ikut menemani
Nicol hanya minum segelas teh halia sahaja.
“Jadi awak juga tak tahulah sebab dia
kelam-kabut ke Dubai semula?” tanya Nicol. Catherine menggelengkan kepala.
“Kalau Nazrul adiknya sendiri pun tak
tahu, inikan pula saya.” balas Catherine.
“Oh... Nazrul. Saya tak mahu bercakap
dengan dia. Dia dah sakitkan hati saya.” maklum Nicol pula. Nazrul yang berada
semeja dengan mereka tergamam.
“Haha! Nampaknya Nazrul ada masalah
besar sekarang!” usik Catherine.
“Nicol, kan dah berkali-kali aku meminta
maaf? Janganlah begini. Beritahu apa yang patut aku buat supaya kau dapatkan maafkan
aku dan kita berbaik semula?” pohon Nazrul.
“Pergi mampuslah kau, Nazrul.” balas
Nicol lantas menghirup kembali supnya.
“Haha! Janganlah berkeras sangat,
Nicol. Kan kalian berdua adalah kawan baik? Nanti kalau awak merajuk
panjang-panjang orang tersalah sangka yang kalian berdua ni sepasang kekasih
pula.” usik Catherine lagi. Tergamam seketika Nicol. Beliau merenung ke arah
Catherine yang juga merenungnya untuk membaca perasaan sebenar si jelita
tersebut.
“Yalah, yalah! Pasal Catherine aku
sanggup maafkan kau, bahlul! Tapi kalau kau nak kita berbaik semula, kau mesti
habiskan masa seharian denganku esok. Kita sama-sama bercuti esok, kan?” pinta
Nicol.
“Nanti aku tanyakan dulu pada
Raihanah.” balas Nazrul dengan jawapan diplomatik. Namun ternyata ianya tidak
menyukakan hati Nicol.
“Apahal pula kau mesti meminta
kebenaran dia untuk keluar bersama kawan baikmu? Dulu sebelum kau mempunyai
teman wanita kau tak pula meminta kebenaran daripada Enbi untuk menghabiskan
masa denganku!” bentak Nicol dengan geram.
“Nicol, Raihanah tu kan teman
wanitaku? Aku tak mahu dia tersalah sangka pula nanti.” balas Nazrul yang masih
cuba memujuk. Nicol bingkas bangun. Ternyata alasan yang diberikan oleh Nazrul
itu semakin menaikkan darah Nicol.
“Sudahlah! Anggap saja aku dah
memaafkan kau tapi aku tak ingin berbaik semula dengan orang yang bodoh macam
kau ini!” herdik Nicol sebelum meluru meninggalkan Catherine dan Nazrul. Buat
seketika kedua mereka masih termangu-mangu dengan insiden tersebut.
“Apahal dengan si Nicol tu? Dia itu
memang gila!” omel Nazrul dengan nada tidak berpuas hati.
“Nazrul, sungguhpun Nicol itu sahabat
baik Nazrul tetapi dia tetap seorang perempuan. Hati perempuan sangat sensitif
dan mudah terluka, tau? Nazrul tak patut menghina Nicol dan
membanding-bandingkan dia dengan perempuan lain.” tegur Catherine dengan
lembut.
“Alah, saya melawak saja hari tu.”
balas Nazrul mempertahankan diri.
“Bagi orang lelaki tentu saja boleh
menerimanya. Tapi kami kaum hawa ini tak dapat menerima gurauan sebegitu.
Persahabatan antara seorang lelaki dan perempuan adalah seperti sepasang
kekasih juga. Perasaan cinta tiada di dalamnya tetapi yang lain-lain seperti
kasih-sayang, rasa hormat dan pengorbanan tetap ada. Letakkan diri Nazrul pada
diri Nicol. Kalaulah Nicol mempunyai teman lelaki tetapi Nazrul tidak ada,
bagaimanakah perasaan Nazrul pada masa itu? Bagaimanakah perasaan Nazrul bila
Nicol asyik menghabiskan masa dengan teman lelakinya dan tidak lagi
menghabiskan masa yang berkualiti dengan Nazrul?” Nazrul terdiam mendengarkan
teguran daripada orang yang dianggap sebagai kakaknya sendiri. Kata-kata
tersebut memang tidak dapat dinafikan kebenarannya. Namun pada masa yang sama
ia juga turut mengundang persoalan yang telah lama bersarang di dalam hati
Nazrul.
“Kak Catherine dengan abang ngah
bagaimana pula?” soalan yang diutarakan oleh Nazrul membuatkan Catherine agak
tergamam.
“Apa maksud Nazrul?” tanya Catherine
yang masih cuba berpura-pura sungguhpun hati kecilnya mengetahui bahawa ia
adalah sia-sia.
“Yalah, saya dah lama mengenali kak
Catherine. Saya tahu yang kak Catherine sangat sukakan abang ngah. Tetapi
mengapa menolaknya bila abang ngah sudah bersedia untuk komitmen? Kak Catherine
nak membalas dendamkah?” tanya Nazrul. Berubah air muka Catherine mendengarkan
kemusykilan tersebut.
“Kakak tak mungkin berperangai
kebudak-budakkan seperti itu, Nazrul.” balas Catherine.
“Habis tu, apa masalahnya?” tanya
Nazrul.
“Ianya sangat rumit, Nazrul...” jawab
Catherine. Beliau nampaknya enggan memberitahu alasan yang sebenar.
“Kalau kak Catherine berada di tempat
abang ngah, bagaimanakah pula perasaan kak Catherine?” tanya Nazrul. Catherine
menggelengkan kepala.
“Tak adil Nazrul. Tak patut Nazrul
menggunakan nasihat kakak tadi untuk mengenakan kakak pula.” bantah Catherine
dengan agak geram.
“Saya bukan nak mengenakan kakak.
Tapi apa yang kakak telah lakukan pada abang ngah samalah seperti apa yang saya
lakukan pada Nicol. Abang ngah sudah tak keruan jiwanya sekarang sebab kakak tak
memberikan sebarang alasan yang beliau boleh faham dan terima. Adakah itu adil
dan patut untuk abang ngah?” tanya Nazrul pula. Catherine langsung terdiam.
Giginya mengetap kemarahan. Namun beliau terpaksa menerima hakikat bahawa
beliau telah membuat tindakan yang serupa dengan Nazrul terhadap orang yang
disayanginya walau apa alasan sekalipun.
****************************************
Beberapa jam kemudian di suatu sudut
tersembunyi dekat Taman Ipoh Jaya...
Seperti yang dijanjikan, Ren Fairuz
sudahpun berada di kawasan kolam buatan tatkala Remy tiba di situ. Beliau
dengan santainya duduk di bawah pohon yang rendang sambil membaca buku. Di
sisinya terdapat sebatang joran yang dihalakan tali pancingnya ke dasar kolam
tersebut.
“Assalamu’alaikum.” tegur Remy dengan
sopan.
“Wa’alaikum salam warahmatullah.”
balas Ren seraya mengangkat kepala memandang ke arah si pemberi salam. Senyuman
ceria terlakar di bibirnya. Remy segera melabuhkan punggungnya di atas rumput
bersebelahan dengan Ren Fairuz.
“Berapa ekor ikan yang tuan dah
tangkap?” tanya Remy dengan sopan. Ren Fairuz tidak menjawab. Sebaliknya beliau
mengangkat jorannya tinggi-tinggi untuk menunjukkan kepada Remy. Ternyata tali
pancing itu hanya diikat dengan sebatang skru tumpul yang agak besar.
“Bagaimana nak menangkap ikan kalau
macam ini?” tanya Remy kehairanan. Ren Fairuz ketawa.
“Saya tak berniat pun mahu menangkap
ikan. Lagipun saya tak sanggup menyakiti ikan dengan menggunakan mata kail yang
bercangkuk lagi tajam. Remy terdiam. Segera dia teringat bahawa Ren adalah juga
seorang ulama yang amat warak. Orang yang alim seperti Ren mana mungkin mahu
membuat sesuatu yang akan menyiksa haiwan hatta seekor nyamuk sekalipun.
“Terawez memberitahu saya bahawa Enbi
telah bertolak ke Dubai semula semalam.” maklum Remy. Ren hanya memandang tepat
ke arah orang bawahan terbaharunya tanpa berkata apa-apa. Kemudian beliau
ketawa kecil.
“Kenapa tuan?” tanya Remy dengan
penuh kemusykilan.
“Nampaknya benarlah seperti ramalan
si Zoei. Memang semuanya ini telah ditakdirkan.” ujar Ren. Remy mengerutkan
dahinya tanda tidak faham.
“Takdir apa, tuan?” tanya Remy.
“Nanti awak akan faham, Remy.” jawab
Ren sambil tersenyum. Benar-benar beliau berniat untuk membiarkan Remy dalam
kusut pertanyaan.
************************************
Pada hari yang sama, di Dubai...
Enbi tidak menyangka begitu senang
sekali beliau dibawa berjumpa dengan Maharaja Ular Bara Merah alias Emissary
Drakulon alias Naar Saif. Pendekar Emissary yang amat hebat tetapi pendiam
tersebut dengan senang hati menerima kedatangan Enbi yang langsung tidak
membuat sebarang janjitemu.
“Assalamu’alaikum! Tuan Enbi
rupa-rupanya!” sapa Emissary Blaze yang merupakan orang kanan Maharaja Ular
Bara Merah. Mereka yang berada di dalam bilik mesyuarat di kediaman rasmi
Emissary saling berjabat tangan. Blaze tersenyum atas sikap Enbi yang masih
berani dan begitu semberono sekali mahu bertemu dengan gurunya. Tidak ramai
orang yang berani untuk bertemu secara terus dengan Naar Saif sungguhpun tiada
sebarang sekatan atau birokrasi untuk berbuat demikian.
“Wa’alakum salam, tuan Blaze.
Assalamu ‘alaikum, apa khabar tuan Drakulon?” sapa Enbi pula yang kini sedang
bersalaman dengan Maharaja Ular Bara Merah. Naar Saif dengan perlahan membalas
ucapan salamnya itu.
“Dapatkah tuan Enbi mencari pasukan
kontraktor yang sesuai untuk projek pembaikan kubu kami?” tanya Emissary Blaze.
Enbi menggelengkan kepala.
“Tuan Drakulon; saya ingin meminta
pertolongan daripada tuan. Saya tahu bahawa saya agak keterlaluan tetapi hanya
tuan sahaja yang boleh menolong saya.” pinta Enbi. Naar Saif dan Blaze bungkam
buat seketika. Tak lama kemudian akhirnya bunyi tawa kecil jelas kedengaran
terpacul dari mulut Naar Saif.
“Awak ini sentiasa membuatkan saya
berasa senang hati, Enbi. Saya masih gagal meramalkan tindak-tanduk awak hingga
kini. Baiklah, apa yang saya boleh bantu awak? Kalau saya mampu, InsyaAllah
saya akan cuba sedaya upaya saya.” balas Naar Saif.
“Saya ingin berjumpa dengan tuan
Emissary Mayhem. Saya ingin berjumpa dengannya segera. Kalau boleh minggu ini
juga!” pinta Enbi dengan suara yang tegas. Tergamam orang-orang yang berada di
situ hatta Emissary Blaze dan Maharaja Ular Bara Merah sekalipun. Sekali lagi
Naar Saif ketawa. Kali ini dengan agak lantang.
“Sekali lagi saya tak menjangkakannya.
Awak memang istimewa, Enbi. Padanlah Windblade dari awal-awal lagi telah
memberikan perhatiannya kepada awak.” ujar Naar. Enbi agak terkejut dengan
pernyataan tersebut.
“Emissary Windblade?” tanyanya. Naar
Saif mengangguk.
“Permintaan awak itu sangat berat,
Enbi. Saya dan Mayhem bukanlah rapat. Malah saya tak berapa sukakan dia. Bahkan
Mayhem bukanlah seorang yang mudah untuk dicari. Beliau lebih suka menyendiri dan
berkelana daripada mentadbir jajahan. Selepas mesyuarat, pihak Organisasi cuba mencarinya.
Tetapi hingga kini gagal menemukannya.” maklum Naar. Enbi bungkam. Air mukanya
berubah serta-merta. Jelas perasaan kecewa terpalit di wajahnya yang tadi
berhias dengan harapan.
“Adakah begitu penting untuk awak
berjumpa dengannya dengan begitu cepat?” tanya Naar Saif yang dapat membaca
dengan jelas perasaan Enbi. Enbi mengangguk lemah.
“Orang yang saya amat sayangi akan
mati kalau saya tidak segera bertemu dengannya.” maklum Enbi dalam nada sebak.
Naar menggelengkan kepala.
“Jangan kata begitu. Hidup dan mati
seseorang itu di tangan Allah; bukannya manusia. Kalaupun awak berjaya bertemu
dengan Mayhem, belum tentu dia dapat menyelamatkan orang yang awak sayangi.”
nasihat Naar.
“Tapi tuan, Mayhem yang sebelum ini telah
berjaya menyelamatkan sahabat saya itu. Tetapi kini kesemua sel-sel dalam tubuh
sahabat saya mati dan mungkin dia akan mati tanpa mayat.” maklum Enbi. Air
matanya jelas berlinangan di pipi.
“Oh...Saya pernah mendengar teknik
ini. Teknik ini memacukan sel-sel dalam tubuh untuk penyembuhan segera demi
untuk menyelamatkan nyawa seseorang. Tetapi sel-sel itu akan mengalami kehausan
yang melampau dan berderai sebelum sempat digantikan oleh sel-sel yang baru.”
ujar Naar Saif.
“Ya! Ya! Doktor juga ada menyebut
tentang sel yang haus melampau. Itu sebabnya sahabat saya akan mati. Tolonglah
tuan Drakulon. Tolonglah saya.” rayu Enbi dengan bersungguh-sungguh. Naar dan
Blaze berpandangan sesama sendiri.
“Janganlah bersedih dan risau lagi,
tuan Enbi. Tanpa tuan Mayhem pun, sahabat awak boleh diselamatkan, InsyaAllah.”
maklum Blaze. Enbi terkedu. Esaknya langsung mati. Bibirnya perlahan-lahan
mengukir senyuman gembira.
“Be.. Betulkah apa yang tuan Blaze
katakan ini?” tanya Enbi dalam nada separa berteriak. Blaze menganggukkan
kepala.
“Tuan Drakulon juga adalah seorang
doktor dan merupakan pakar dalam biogenetik.” maklum Blaze pula. Enbi
mengarahkan pandangannya pada Naar Saif.
“Be... Betul ke?” tanya Enbi.
“Saya bukanlah pandai sangat tetapi
saya pernah menolong orang dalam kes yang sama dengan sahabat awak. InsyaAllah
saya akan cuba.” jawab Naar. Enbi terus memeluk Naar lantas menangis
tersedu-sedan.
“Terima kasih tuan! Terima kasih.”
ucapnya dalam esakan. Kesemua yang berada di situ berasa amat terkejut. Malah
Naar juga. Beliau memandang ke arah anak buahnya. Emissary Blaze tersenyum
sambil cuba menahan tawa.
“Nampaknya tuan Enbi tak takutkan
sesiapa pun.” komen Blaze sebelum ketawa berderai.
************************************
Pada hari yang sama. Di balai
MetroPolis.
Red Wigwam begitu asyik mengemaskan
fail-fail tugasan yang tadinya berlambakan di atas meja. Mulutnya tidak
henti-henti menyanyikan lagu-lagu lama. Hatinya begitu riang sekali.
Ghanshamdass yang sedang bertugas bersamanya hanya tersenyum sahaja sambil
memerhatikan telatah warga tua tersebut.
“Chief nampaknya begitu riang sekali
hari ini.” tegur Ghanshamdass. Red Wigwam berhenti menyanyi. Beliau memalingkan
wajahnya ke arah Ghanshamdass dengan senyuman ceria.
“Saya berasa sangat gembira kerana
kini saya bersama dengan anak menantu serta cucu-cucu saya. Malah anak saya
telahpun mendapatkan pekerjaan di Bank Enbi. Nampaknya mereka akan terus
tinggal di Malaysia. Dan saya tidak bercadang untuk berhijrah ke mana-mana lagi
selepas ini.” maklum Red Wigwam.
“Saya tumpang gembira dengan keadaan
Chief sekarang.” ujar Ghanshamdass. Red Wigwam tersenyum dan menganggukkan
kepala tanda berterima kasih di atas perucapan tersebut. Namun tiba-tiba air
mukanya berubah.
“Eh, Chief? Kenapa Chief?” tanya
Ghanshamdass. Red Wigwam tidak menjawab. Sebaliknya tubuh beliau terus lembik
menyembah ke lantai. Mujurlah Ghanshamdass dengan tangkas melompat dan
merangkul tubuh Red Wigwam.
“Chief! Chief!” teriak Ghanshamdass
dengan lantang. Namun tubuh Red Wigwam tidak menguit walau seinci pun.
- Bersambung -