Saturday, February 18, 2012

MetroPolis Episod 3 - Bab 06

MetroPolis Episod 3

Bab 6

Perasaan Halus Insan

Lima hari kemudian di balai MetroPolis, Ipoh Perak...

“Enbi masih berada di Dubai?” tanya Nicol yang sedang mengipas-ngipas tubuhnya dengan buku nota elektronik. Pertanyaan tersebut ditujukan kepada Nazrul yang kini bersamanya menjaga kaunter perkhidmatan. Namun Catherine turut berada di situ menemani mereka. Air mukanya berubah tatkala mendengarkan pertanyaan tersebut.

“Ya. Dia masih di sana.” jawab Nazrul dengan ringkas. Beliau kemudian merenggut nota elektronik tersebut dari tangan Nicol.

“Rosaklah nanti.” leter Nazrul.

“Sibuk betul ketua kita sekarang.” omel Catherine.

“Abang ngah perlu memastikan projeknya di Dubai berjalan dengan lancar. Dia perlukan keuntungan besar untuk memastikan MetroPolis Enterprise terus berkembang pesat dan berjalan lancar. Dalam masa yang sama dia juga telah berjaya memegang majoriti syer di Bank Enbi dan dalam proses mereformasikan struktur dan sistem yang baru. Tambah-tambah lagi sekarang pembukaan tigabelas lagi cawangan MetroPolis di seluruh Malaysia memasuki fasa terakhir. Kita sekarang telah mempunyai hampir limapuluh orang calon yang layak untuk ditempatkan di setiap cawangan. Majoriti daripada mereka adalah ahli SPMB yang sehati sejiwa macam Dass.” perjelas Nazrul.

“Sememangnya Enbi. Dalam masa tiga bulan masa kakak tengah tidur, macam-macam yang dia buat. Dia tu lebih rajin dari bangsa Cina.” komen Catherine. Mereka bertiga ketawa. Pun begitu Catherine dapat mengagak bahawa Enbi sebenarnya sedang mengelak daripada bertemu dengannya selepas insiden di Pantai Buatan Jelapang. Sekonyong-konyongnya muncul Terawez dan Ghanshamdass di hadapan mereka.

“Hah! Giliran syif kamu berdua pula. Nasib baik menepati masa. Bukan macam si Remy dan perempuan di sebelah aku ni.” usik Nazrul. Nicol menembi bahu kanan sahabatnya itu dengan agak kasar. Nazrul tidak membalas. Sebaliknya beliau hanya ketawa.

“Kamu berdua bolehlah pulang berehat sekarang. Cik Catherine pun eloklah pulang untuk berehat. Pak cik Red memberitahu saya yang cik Catherine masih belum pulih sepenuhnya.” saran Ghanshamdass. Catherine mengangguk tanda setuju. Nazrul dan Nicol telahpun menceraikan punggung masing-masing dari kerusi kaunter tersebut. Nazrul mengangkat kedua tangannya dan menggeliat. Sambil itu punggungnya digoyang-goyangkan ala-ala penari dangdut.

“Hodoh betul rupanya. Hilang seleraku nak makan nanti.” usik Nicol. Semua yang berada di situ ketawa termasuk Nazrul.

“Nazrul, kau nak kemana sekarang?” tanya Nicol.

“Aku nak ke Pantai Buatan Jelapang.” jawab Nazrul.

“Ikut! Ikut!” pinta Nicol dengan nada manja. Nazrul tersenyum. Namun beliau kemudiannya menggelengkan kepala.

“Minta maaf, Nicol. Aku ada janjitemu dengan seorang gadis di sana.” maklum Nazrul. Nicol terdiam seketika. Wajah cerianya menjadi agak terperanjat dan suram seketika. Namun Nicol kembali senyum dan segera mencubit lengan kiri Nazrul.

“Wah! Ada kekasih rupa-rupanya!” usik Nicol.

“Bukanlah! Aku baru saja kenal dengan gadis ni. Tapi aku suka nak berkenalan dengan lebih mendalam lagi.” perjelas Nazrul dengan agak malu-malu.

“Bagilah aku ikut. Aku nak tengok juga. Tentu dia sangat cantik, kan?” pinta Nicol.

“Kau ni menyibuklah! Kawan aku tu biasa saja. Kalau kau ikut nanti tentu dia akan berasa rendah diri sebab kau cantik sangat. Jadi tak usahlah ikut.” balas Nazrul. Pujian Nazrul kali ini tidak berjaya melegakan hati Nicol. Bibirnya memuncung tanda merajuk.

“Yalah, yalah! Biarlah aku pergi berhibur seorang diri saja. Biarlah kubawa hati yang lara ini ke tempat yang sudi orang terima. Aku ini wanita yang lemah dan pasrah dalam permainan lelaki.” ujar Nicol dengan nada bergurau.

“Mengada-ngadalah engkau ni. Nicol.” tempelak Nazrul. Namun Nicol telahpun meninggalkan balai tersebut dengan langkah gegas. Catherine hanya memerhatikan sahaja telatah Nicol seolah-olah memahami apa yang bergolak di dalam hatinya.

************************************

Pada masa yang sama di Masjid As-Syakirin, Ipoh...

Dengan agak cermat Remy datang merapati Ren Fairuz yang ralik berzikir di atas sejadah. Beliau duduk di belakang bahagian kanan Ren seolah-olah mahu berjemaah dengannya. Beliau tahu bahawa Ren menyedari akan kehadirannya. Agak lama juga Ren melakukan ibadah tersebut tetapi Remy sabar menunggunya. Akhirnya Maharaja Pemancung Angin tersebut berhenti berzikir seketika.

“Ini rumah Allah. Eloklah awak pergi mensucikan diri dan bersolat Tahiyyatul Masjid terlebih dulu.” tegur Ren. Tergamam Remy mendengarkan teguran tersebut.

“Yi.. ya. Minta maaf.” pintanya. Remy terus bangun dan berjalan dengan tenang ke arah tempat berwudhuk. Berlari atau berjalan cepat-cepat di dalam masjid adalah suatu perbuatan yang tidak sopan. Seketika kemudian terdengar bunyi cebur-cebur di situ. Ren memejamkan mata seolah-olah memasang telinga. Sesekali beliau menggelengkan kepala. Tidak lama kemudian Remy kembali muncul dan bersedia untuk melakukan solat menghormati masjid.

“Air wudhuk awak tak sempurna di bahagian pelipat lengan dan siku. Juga di bahagian pergelangan kaki.” tegur Ren. Remy kembali berpatah balik ke bilik berwudhuk untuk menyempurnakan proses bersucinya. Beliau sedia maklum bahawa pendekar Emissary seperti Ren memang mempunyai banyak kelebihan yang tak terjangkau dek manusia biasa. Beliau pasti solatnya juga akan ditegur selepas ini.

********************************************

Sementara itu di kediaman Red Wigwam, Gunung Rapat, Ipoh.

“Ayah, pihak Organisasi telah bersetuju untuk menempatkan saya di Malaysia. Kami sekeluarga telah diberikan kewarganegaraan sementara. Jadi saya bercadang untuk mencari kerja untuk menyara keluarga saya dan membantu ayah.” ujar Silent Ox. Red Wigwam yang sedang menghisap paip tersenyum. Kedua beranak tersebut kini sedang berehat-rehat di luar sambil berbual-bual kosong. Rachel pula sedang sibuk menyediakan makan tengahari. Anak-anak Ox sedang asyik menonton rancangan kartun di teleholo.

“Nanti ayah tanyakan majikan ayah kalau-kalau ada kekosongan untukmu.” ujar Red. Ox menggelengkan kepala.

“Tak perlulah, ayah. Nanti ketua ayah itu malu alah pula untuk menolak permintaan ayah. Kan ayah banyak bercerita tentang kebaikan hatinya? Saya tak mahu begitu. Tak mengapa saya mencari kerja yang berat-berat. Lagipun saya ini masih muda.” Dengan sopan Ox menolak saranan ayahnya itu.

“Kalau kerja seperti itu sememangnya banyak di sini. Buatlah kerja dengan rajin dan bersungguh-sungguh. Jagalah maruah bangsa kita. Kau dan keluargamu tinggallah bersama ayah. Ayah sunyi seorang diri di rumah ni. Sekarang lebih meriah dan ceria.” pinta Red. Ox mengangguk tanda bersetuju.

“Saya tetap akan berkongsi membayar sewa dan perbelanjaan rumah. Kami sekeluarga akan menjaga ayah dengan baik sekali.” ujar Ox yang menyedut-nyedut pula paip pemberian ayahnya. Kemudian menghembuskannya ke udara.

*******************************************

Sementara itu di balai MetroPolis. Beberapa minit kemudian...

Sebuah kereta jenis Proton Wirama baharu memarkir di hadapan balai MetroPolis. Muncul ibu Ghanshamdass bersama seorang lelaki muda. Ghanshamdass bingkas bangun dan bergegas mendapatkan ibunya. Beliau menyentuh kaki ibunya terlebih dahulu sebelum memeluk ibunya dengan penuh kasih sayang.

“Ama mahu lihat tempat kerja barumu, nak.” ujar ibunya. Ghanshamdass tersenyum gembira bercampur bangga. Beliau kemudian bersalaman dengan lelaki muda tersebut. Terawez telahpun kini menghampiri mereka.

“Terawez, inilah ibu saya yang sangat mulia. Ini pula adik saya, Nanthashamdass.” Ghanshamdass memperkenalkan ahli keluarganya kepada Terawez. Terawez segera bersalaman dengan ibu Ghanshamdass. Tubuhnya dibongkokkan sedikit tanda memberikan penghormatan kepada orang yang lebih tua daripadanya.

“Ama, ini kawan saya Terawez.” maklum Ghanshamdass kepada ibunya pula.

“Apa khabar, mak cik?” Terawez bertanya khabar. Ibu Ghanshamdass mengusap-usap kepala pemuda tersebut.

“Mak cik sihat.” jawab ibu Ghanshamdass. Terawez bersalaman dengan Nanthashamdass pula.

“Apa khabar?” sapa Nanshatamdass.

“Saya baik-baik sahaja. Awak apa khabar?” tanya Terawez pula.

“Okey.” jawab Nanshatamdass seraya menunjukkan isyarat bagus dengan kedua tangannya.

“Tarwis, mak cik ada bawa tosai. Banyak tosai yang mak cik buat. Mari kita makan sama-sama, okey?” pelawa ibu Ghanshamdass yang tidak berapa fasih menyebut nama Terawez. Laju sahaja Terawez mengangguk apabila dipelawa makan.

“Bos kamu ada, Dass?” tanya ibu Ghanshamdass. Ghanshamdass menggeleng.

“Dia di Dubai, ama.” jawab si anak kemudiannya.

“Sayangnya. Ama memang teringin nak berjumpa dengan tuan Enbi. Dia banyak berjasa kepada kita. Kamu mesti balas budinya walau dengan nyawa sekalipun, faham Dass?” pinta ibunya. Ghanshamdass tersenyum.

“Itulah pendirian saya, ama.” jawabnya kemudian.

*************************************************

Pada masa yang sama di kediaman Red Wigwam, Gunung Rapat, Ipoh...

“Tuan Enbi!” ujar Red Wigwam yang hampir sahaja berteriak kegembiraan. Enbi yang baharu sahaja keluar dari Mercedesnya bergegas mendapatkan orang tua tersebut. Mereka bersalaman dengan erat sekali.

“Apa khabar, Chief?” tanya Enbi. Red menganggukkan kepala. Silent Ox yang turut bangun mendapatkan Enbi kini berdiri di sisi kanan bapanya.

“Saya baik sekali, tuan. Tuan macam mana?” tanya Red pula.

“Alhamdulillah, saya sihat. Inikah anak lelaki Chief?” tanya Enbi yang mengalihkan pandangan pula ke arah Ox. Ox segera menghulurkan tangan untuk bersalaman.

“Saya Silent Ox. Saya anak Red Wigwam. Tuan baru sampai ke Malaysiakah” tanya Ox dengan sopan dan penuh hormat. Enbi tersenyum sambil menyambut tangan Ox.

“Ya, saya baru saja sampai. Tadi saya menelefon adik saya untuk bertanyakan tentang bapa awak. Adik saya beritahu Chief tak bertugas pada hari ini. Jadi saya terus singgah ke sini dulu untuk berjumpa dengan keluarga awak dan mengucapkan selamat datang ke Malaysia.” ujar Enbi.

“Terima kasih, tuan. Saya dapat tahu di Malaysia begitu mudah untuk mancari rezeki. Asalkan kita berusaha dengan rajin dan bersungguh-sungguh, pasti kita akan berjaya.” ujar Ox pula.

“Oh, awak belum mendapat kerja lagi? Kalau begitu, mari bekerja dengan saya.” Kata-kata Enbi membuatkan Ox dan Red tergamam. Baharu sekejap tadi mereka membicarakan tentang perkara tersebut. Rasa terperanjat Red Wigwam perlahan-lahan bertukar menjadi senyuman gembira. Akan tetapi Silent Ox kelihatan serba-salah pula.

“Tuan, saya memang gembira dengan tawaran tuan itu. Tetapi saya bimbang kalau-kalau tuan memberikan saya kerja kerana malu alah dengan bapa saya.” beritahu Ox dengan jujur. Enbi tertawa.

“Malu alah apa? Bapa awak sebenarnya diambil bekerja oleh orang lain yang langsung tiada kena-mengena dengan MetroPolis. Malah begitu berani mengacukan kapak ke leher saya pula!” maklum Enbi. Beliau dan Red ketawa berdekah-dekah tatkala mengenangkan peristiwa tersebut. Ox hanya tersenyum.

“Saya sedang membesarkan operasi Bank Enbi Sendirian Berhad. Saya memerlukan ramai kakitangan pelbagai peringkat tugas dan jawatan. Apakah pekerjaan awak di Amerika Sakit?” tanya Enbi.

“Saya pernah menjadi pengaturcara sistem komputer untuk syarikat lantikan Organisasi.” jawab Ox dengan nada merendah diri.

“Bagus! Nanti datang berjumpa dengan adik saya, Nazrul untuk ditemuduga. Jangan lupa membawa sijil-sijil yang berkaitan. Tapi ingat, kalau awak layak sahaja barulah awak ditawarkan bekerja dengan saya. Kalau tidak, minta maaflah, ya?” maklum Enbi. Ox mengangguk dengan gembira.

“Itu memang tawaran yang adil dan munasabah. Terima kasih, tuan!” ucap Ox. Red Wigwam tersenyum lebar sambil menepuk-nepuk bahu anaknya.

************************************

Beberapa jam kemudian di Pantai Buatan Jelapang, Ipoh...

“Pantai ni memang benar-benar indah. Kalau tak silap, pemiliknya adalah majikan awak di Bank Enbi, kan?” tanya Raihanah, kenalan yang telah berjanjitemu dengan Nazrul. Nazrul mengangguk. Seperti selalunya, pantai tersebut dikunjungi ribuan orang setiap hari. Pada hari ini juga tidak terkecuali. Namun Nazrul dan Raihanah yang tidak bercadang untuk mandi-manda di situ berpakaian lengkap dan sopan.

“Bos saya tu memang baik. Saya memang memandang tinggi padanya. Tapi kadang-kala cemburu juga dengan pencapainnya.” maklum Nazrul. Ternyata beliau merahsiakan status Enbi sebagai abang kandungnya kepada gadis tersebut. Raihanah ketawa.

“Berbanggalah dengan apa yang awak dah capai selama ini, Nazrul. Kalau asyik melihat kejayaan orang lain yang lebih daripada awak, sampai bilapun awak tak akan berpuas hati.” nasihat Raihanah.

“Memang betul kata-kata awak tu, Raihanah. Tetapi saya ni hanya seorang pekerja makan gaji kecil saja. Malah saya tinggal menumpang di rumah abang saya. Macam manalah nak berpuas hati?” tingkah Nazrul dengan sopan. Beliau nampaknya ingin menguji keperibadian gadis di hadapannya ini.

“Saya pun makan gaji juga, Nazrul. Malah mungkin lebih rendah daripada awak. Maklumlah saya cuma seorang promoter barangan bayi di pasaraya Falah saja. Tapi saya bersyukur dengan apa yang saya ada. Awak pun mesti bersyukur dengan rezeki yang Tuhan beri kepada awak, Nazrul. Ia rezeki yang halal, tau?” nasihat Raihanah lagi. Nazrul tersenyum lebar.

“Awak ni memang baguslah. Sejuuuk perut ibu awak masa mengandung agaknya dulu, agaknya ya?” usik Nazrul dalam sulaman pujiannya. Raihanah ketawa dan mengacu penumbuknya. Nampaknya Nazrul bertemu dengan seorang gadis yang baik budi pekertinya.

Tidak jauh dari situ kelihatan seorang perempuan yang duduk agak terselindung daripada pandangan mereka. Beliau tidak lain tidak bukan adalah Nicol Hanany. Nicol rupa-rupanya mengingkari permintaan Nazrul untuk tidak mengekorinya ke situ. Nicol telah nampak segala-galanya dengan jelas termasuk bahasa tubuh mereka. Lebih-lebih lagi Nazrul. Nazrul nampaknya menyukai gadis tersebut lebih dari yang sepatutnya. Wajah Nicol kelihatan sangat muram. Bibirnya mencebik seolah-olah akan menangis. Ternyata permandangan di hadapannya itu membuatkan Nicol berasa amat sedih.

- Bersambung -

No comments: