MetroPolis Episod 3
Bab 5
Rahsia
Red Wigwam baharulah boleh tersenyum tatkala ternamak kelibat anaknya bersama famili beliau. Air matanya berlinangan. Suasana hiruk-pikuk di balai ketibaan Lapangan Terbang Tok Kenali langsung tidak diendahkan olehnya. Beliau tergopoh-gapah meluru ke arah mereka.
“Ox! Ox!” serunya dengan selantang mungkin. Usahanya itu berhasil. Anaknya yang tercangak-cangak semenjak tadi terus memalingkan muka ke arahnya. Perasaan gementar yang terzahir jelas pada wajah lelaki itu kini bertukar menjadi gembira dan teruja.
“Ayah!” teriaknya kembali. Red Wigwam tak lama kemudian berjaya mendekatkan dirinya kepada mereka. Anak-beranak itu akhirnya saling berpelukan.
“Ayah ingat ayah telah kehilanganmu, nak.” maklum Red. Air matanya berlinangan dengan perasaan sebak bercampur gembira.
“Syukurlah kami semua terselamat.” balas anaknya yang juga gagal menyeka tangisan. Red kemudiannya memeluk menantu serta cucu-cucunya. Pada masa yang sama seorang gadis datang merapati mereka dengan agak cermat. Red Wigwam baharu terperasankan hal tersebut.
“Ah! Ayah lupa nak memperkenalkan kawan ayah. Ini ialah Catherine. Beliau adalah rakan sekerja ayah. Cik Catherine; inilah ahli keluarga saya.” Red Wigwam memaklumkan secara ringkas perihal mereka masing-masing. Anak lelaki Red segera menghulurkan tangan untuk bersalam. Catherine segera menjabat tangannya.
“Apa khabar? Saya Silent Ox. Ini isteri saya, Rachel. Dua orang anak saya lagi ialah Cunning Wolf dan Peter.” maklum Ox memperkenalkan diri. Isterinya Rachel kemudian bersalaman dengan Catherine pula.
“Khabar baik. Saya Catherine Zhang.” maklum gadis tersebut. Cunning Wolf dan Peter yang bersembunyi di belakang ibu mereka sesekali menjengahkan kepala untuk melihat wajah manis Catherine.
“Maafkan kami sebab anak-anak kami ini amat pemalu dan takutkan orang yang belum mereka kenal.” maklum Rachel dengan sopan. Catherine ketawa kecil.
“Tak mengapa. Saya masa kecil pun begitu juga.” maklumnya.
“Terima kasih kerana menjaga bapa saya selama dia berada di Malaysia. Saya amat terhutang budi kepada cik.” ujar Ox. Catherine tersenyum sambil menggelengkan kepala.
“Saya tak buat apa-apapun. Cuma sekali-sekala membelanja pak cik Red bubur nasi saja.” balasnya merendah diri.
“Yang menjaga kami semua ialah Enbi.”
*****************************************
Pada masa yang sama di kubu Emiriyah Arab Bersatu; 360 kilometer dari Dubai.
“Tuan, ini ialah encik Nizar atau Enbi.” maklum salah seorang pegawai tentera Organisasi kepada seorang lelaki yang dari jauh lagi Enbi nampak seperti termenung panjang. Lelaki tersebut amat tegap dan tinggi lampai. Pakaiannya serba-serbi hitam. Wajahnya begitu jernih dan kacak namun dinodai dengan perasaan suram dan dingin. Enbi melontarkan selayang pandang pada permandangan di hadapannya. Kubu yang dikatakan masih dalam pembinaan kini mengalami kerosakan yang amat teruk sekali. Namun permandangan di sekitar tembok penghadang adalah benar-benar luarbiasa dan menakutkan. Kawasan tersebut dipenuhi dengan ribuan pancang besi dalam pelbagai saiz yang tajam dan berselirat di sana-sini. Ratusan jentera perang dan ribuan besi sekerap juga bertaburan di situ. Tidak jauh dari situ terdapat ribuan barisan tiang besi yang tinggi terpancang utuh di dalam tanah. Di setiap tiang tersebut diikatkan dengan mayat-mayat tentera pihak Masonik. Ternyata khabar-khabar angin tersebut adalah benar belaka.
“Assalamu ‘alaikum.” tegur lelaki berwajah dingin tadi. Kedua tangannya dihulurkan ke arah Enbi. Enbi segera menyambut tangan lelaki tersebut dengan jabat salam yang kemas.
“Wa’alaikum salam.” balasnya dengan sopan.
“Nama saya Naar Saif.” maklum lelaki tersebut. Rupa-rupanya beliau adalah Emissary Drakulon atau lebih terkenal dengan panggilan Maharaja Ular Bara Merah.
“Saya Nizar atau Enbi.” balas Enbi pula sebagai tanda beradab sungguhpun Naar Saif telahpun mengetahui akan namanya.
“Saudara ini tentu seorang Emissary, bukan? Emissary apa, ya?” Pertanyaan Enbi kali ini membuatkan kesemua pengiring beliau tadi berubah air muka. Lebih-lebih lagi orang yang ditaakulnya sebagai pegawai tentera tadi. Pertanyaan Enbi itu tidak dijawab oleh Naar Saif. Beliau sebaliknya mengulum senyum menahan perasaan geli hati. Pegawai tentera tersebut segera menepuk bahu Enbi dan merapatkan mulut ke telinganya.
“Encik Enbi, itu adalah Emissary Drakulon atau Maharaja Ular Bara Merah.” bisik pegawai tersebut. Terbeliak mata Enbi mendengarkan perkhabaran tersebut.
“Tuan ini ialah Emissary Drakulon? Tuan kenal tak dengan pemerintah saya, Emissary Windblade?” tanya Enbi yang sedikitpun tidak berasa cuak dengan perbuatannya tadi. Naar Saif yang ternyata berasa tertarik dengan sikap Enbi itu kini mampu mengukir senyuman sambil menganggukkan kepala.
“Tuan, saya nak tuan hukum dia!” pinta Enbi. Permintaan tersebut mengundang perasaan terkejut kesemua yang berada di situ. Naar Saif juga ternyata gagal menyembunyikan perasaan terperanjatnya.
“Mengapa pula awak mahu saya menghukum Windblade?” tanyanya dengan perasaan yang kini agak teruja. Pegawai yang kini berdiri di sebelah Enbi pula ternyata berasa agak gelisah.
“Dia itu memang melampau! Sebelum insiden peperangan Triad, Emissary Widblade langsung tak berbuat apa-apa untuk menjaga keamanan Malaysia dan melindungi rakyatnya. Negara saya kini dipimpin oleh para menteri yang korup dan zalim. Kalau diikutkan hati, mahu saja saya menerajangnya sebab dia pemalas. Memang dasar pemalas!” maklum Enbi dengan agak keras kerana berasa terlalu marah. Naar Saif tercengang. Malah askar-askar pengiring Enbi juga turut bungkam dan berasa seolah-olah sesak nafas dengan kata-kata Enbi tadi. Naar Saif kemudian mengukir senyuman. Dia akhirnya gagal menahan diri lantas ketawa semahu-mahunya. Enbi yang kini tercengang pula dengan sikap Naar tersebut mangambil keputusan untuk mendiamkan diri. Akhirnya tawa Naar berakhir.
“Selain dari Mayhem, hanya awak sahaja secara terang-terangan berani mengatakan yang Windblade itu seorang pemalas. Malah gaya dan sikap awak juga begitu banyak mengingatkan saya kepada Mayhem. Patutlah dia sangat sukakan awak. Awak telah berjaya buat saya ketawa. Saya juga sukakan sikap awak ini, Enbi.” maklum Naar. Senyuman masih terukir di bibirnya. Enbi pula bungkam. Beliau tidak tahu bagaimana untuk memberikan reaksi yang sewajarnya.
**********************************
Sementara itu dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Tok Kenali, Rawang ke Ipoh...
Catherine tersenyum tatkala melihatkan telatah Cunning Wolf yang asyik berbisik-bisik ke telinga ibunya sambil memandang ke arah gadis itu.
“Ha! Mengumpat mak cik, ya? Tak baik, tau?” usiknya. Anak kecil tersebut terus menyondolkan muka ke celah ketiak ibunya. Rachel ketawa.
“Wolf tadi kata muka cik Catherine cantik tapi nampak sedih saja.” maklum Rachel. Catherine bungkam seketika. Kemudian beliau memaksa senyuman di bibirnya.
“Mak cik bukannya sedih. Mak cik sakit sebenarnya.” maklum gadis tersebut sambil menepuk-nepuk lengan Wolf dengan perasaan kasih.
“Cik Catherine sakit?” tanya Rachel dengan agak terkejut. Catherine mengangguk.
“Saya sebelum ini mengalami cedera parah dan koma beberapa bulan di hospital. Syukurlah saya terjaga akhirnya. Tapi saya masih belum pulih sepenuhnya.” maklum Catherine. Red Wigwam yang sedang memasang telinga sambil memandu berubah air mukanya. Agak terkesima beliau mendengarkan kata-kata tersebut. Sementara itu Wolf sekali lagi membisikkan sesuatu ke telinga ibunya. Rachel tersenyum.
“Apa pula katanya kali ini?” tanya Catherine yang berasa geli hati dengan tingkah-laku anak kecil tersebut.
“Dia baritahu saya bila dia dah besar nanti dia mahu menjadi seorang doktor untuk pastikan cik Catherine sihat. Nampaknya dia sudah terpikat dengan cik Catherine.” usik Rachel. Kesemua yang berada di dalam kenderaan tersebut ketawa besar. Wolf yang berasa malu dengan perkara tersebut kembali menyondol muka ke ketiak Rachel sambil kali ini memukul-mukul perut ibunya itu.
“Hei, mak cik dah tua dan tak lawa lagi bila Wolf dah besar, tau? Lagipun mungkin tak sempat pun untuk itu.” Catherine terus mendiamkan diri sebaik sahaja mengungkapkan kata-kata tersebut.
“Cik Catherine, kenapa dengan awak sebenarnya?” tanya Red Wigwam yang dengan segera dapat menangkap makna di sebalik kata-kata tersebut. Catherine tidak menjawab. Sebaliknya beliau lebih sibuk melayani kerenah Peter yang dari tadi ingin bermain dengannya.
*********************************
Sementara itu di Pusat Komuniti Remaja Bermasalah, Donald tidak menjangka akan menerima kunjungan seseorang yang paling tidak diingininya untuk berjumpa. Beliau terus meminta Duali dan Daryll yang merupakan pengikut setia merangkap pengawal peribadinya untuk beredar meninggalkan bilik pejabat. Daryll yang tidak berapa berpuas hati dengan permintaan tersebut terpaksa melangkah keluar dengan berat hati.
“Apa khabar, tuan Ren?” ucap Donald dalam nada gementar. Rupa-rupanya tetamu tersebut adalah Ren Fairuz alias Emissary Windblade. Ren tidak menjawab pertanyaan tersebut. Sebaliknya beliau merenung tajam ke mata Donald.
“Saya memberikan laluan kepada sindiket awak supaya awak boleh menyeimbangi kuasa Syarikat Polis Malaysia Berhad dan sekaligus menindas kuasa kumpulan penjenayah yang lain. Tapi sebaliknya terjadi. SPMB semakin berleluasa korupnya dan kumpulan penjenayah yang lain menjadi semakin ganas pula sehingga terjadinya Perang Triad. Apa penjelasan awak tentang hal ini, Donald?” tanya Ren. Rupa-rupanya Donald mengetahui akan identiti sebenar Ren Fairuz selama ini. Patutlah beliau tidak berani mengapa-apakan ahli MetroPolis. Donald tunduk. Tidak sanggup beliau menatap wajah Ren buat masa ini.
“Saya memang seorang yang lemah. Saya tiada sebarang alasan untuk diberikan kepada tuan. Maafkan saya.” pohon Donald dalam nada gugup.
“Jadi bagaimana pula dengan algojo-algojo awak itu? Adakah awak yang memberikan arahan kepadanya untuk menyerang Enbi dan Catherine?” tanya Ren Fairuz. Nadanya cukup tenang tetapi ia tetap menggentarkan Donald yang merupakan ketua sindiket jenayah terbesar di Malaysia.
“Tidak. Bukan saya. Mana mungkin saya bertindak sebodoh itu. Ada seseorang yang telah menggodam sistem arahan pusat saya dan memberikan arahan palsu kepada Algojo Tiga Elemen. Saya percaya bahawa ianya adalah perbuatan algojo saya yang digelar Algojo Mecha. Beliau dan Tiga Elemen telah menghilangkan diri dan tidak dapat dikesani sehingga kini.” jawab Donald dengan panjang lebar.
“Menurut Catherine, beliau telah berjaya membunuh algojo yang menggunakan kuasa api dan elektrik. Pembantuku Tal Kushaini mengesahkan tentang kematian algojo yang menggunakan kuasa elektrik. Ini bermakna hanya tinggal seorang sahaja iaitu yang menggunakan kuasa sonik. Dan awak setakat ini gagal menemui dia?” tanya Ren. Donald menganggukkan kepala.
“Saya sudah menjangkakan awak akhirnya akan menjadi korup juga tetapi saya tidak sangka awak begitu lemah. Awak terlalu mementingkan bab mengumpulkan kekayaan sehingga lupa akan tujuan asal awak. Sekarang Enbi dan MetroPolis adalah kuasa baru yang telah berjaya mencapai apa yang awak cuba capai selama ini. Tahukah awak kenapa?” tanya Ren yang kini nampaknya gagal menyembunyikan kekecewaannya.
“Enbi adalah seorang pemimpin yang berpendirian kuat dengan prinsipnya.” jawab Donald yang mula berasa malu dengan diri sendiri.
“Bukan. Bukan itu sebabnya. Enbi adalah seorang yang sangat kuat nalurinya untuk membela yang lemah dan tertindas. Beliau pernah merasai kepahitan ditindas oleh golongan yang berkuasa. Beliau tidak menjadi seperti mereka bila mempunyai kuasa dan kekayaan. Beliau tidak menjadi seperti awak, Donald. Enbi menggunakan kuasa dan kekayaannya untuk membela orang yang lemah dan tertindas. Itu sebabnya orang-orang yang hebat mahu menjadi pengikutnya. Beribu sukarelawan sanggup berbakti kepadanya. Rakyat Malaysia kagum dan memuji-mujinya lebih daripada Perdana Menteri sendiri. Maharaja Naga Petir juga memandang tinggi pada Enbi.” perjelas Ren. Buat seketika suasana di dalam bilik tersebut menjadi hening.
“Tuan pula bagaimana?” tanya Donald. Ren Fairuz tersenyum.
“Saya telahpun menyukai dan mengormati Enbi sebaik sahaja dia memberitahu saya bahawa MetroPolis tidak mengenakan sebarang caj bayaran ke atas orang-orang yang memerlukan khidmatnya.” jawab Ren.
************************************
Sementara itu di kubu Emiriyah Arab Bersatu; 360 kilometer dari Dubai.
“Baiklah, Enbi. Pihak Organisasi kini mempunyai satu lagi tawaran projek untuk awak. Kami mahu awak membaikpulih serta memperkuatkan kubu ini. Namun awak mungkin dimusuhi oleh pihak Masonik kelak kerana tidak seperti projek hab makanan di Dubai, projek ini adalah sangat terang dan menonjol. Terpulanglah sama ada awak mahu menerima tawaran ini atau tidak. Saya percaya peruntukan tiga ratus billion ringgit tersebut masih mencukupi untuk projek ini. Pun begitu, kami bersedia menambahkan lagi dua ratus billion sebagai sokongan. Kami sangat berpuas hati dengan projek hab makanan di Dubai. Kami percaya awak boleh membantu kami di sini pula.” Tawaran Naar tersebut benar-benar membuatkan Enbi terkedu.
“Bagaimana? Awak suka untuk menerima tawaran kami?” tanya Naar. Enbi kali ini tersenyum. Namun nampak lebih ketara perasaan gugupnya.
“Tanggungjawab dan amanah yang ditawarkan kepada saya ini amat besar. Saya dan pasukan saya tidak pernah membuat kubu perang sebelum ini. Jadi saya terpaksa menolak. Bagaimanapun, saya mempunyai dua orang yang berpengalaman dalam merekabentuk pesawat perang dalam pasukan saya. Mereka ini sangat amanah dan boleh dipercayai.” jawab Enbi membalas tawaran Naar Saif. Emissary Drakulon mengangguk tanda faham.
“Baguslah sebab awak berterus-terang begini. Dan saya akan pegang kata-kata awak bahawa anak buah awak sangat amanah dan boleh dipercayai. Kontraktor yang telah merekabentuk dan membina kubu ini telah memberikan pelan cetakan biru untuk kubu-kubu di Amerika Sakit, di Algeria dan di sini kepada pihak Masonik. Pengkhianat itu telah ditangkap dan dihukum bunuh. Saya sendiri yang memancung lehernya. Hukuman pancung itu disiarkan secara langsung dan diulang tayang hingga sekarang untuk memberi amaran kepada yang lain agar tidak mengkhianati umat Islam atas sebab apapun.” maklum Naar dengan serius sekali. Enbi terdiam. Tubuhnya tiba-tiba berasa seram sejuk sekali.
**********************************************
Sementara itu Pusat Komuniti Remaja Bermasalah. Lebih kurang sejam kemudian...
“Lamanya tuan Don bersama dengan ustaz Ren Fairuz. Seperti ada masalah besar saja.” rungut Duali yang kian resah menunggu di luar bilik pejabat. Daryll yang juga setia menunggu menangguk kepala tanda turut bersetuju dengan taakulan tersebut.
“Ren Fairuz itu siapa sebenarnya? Saya perasan kali pertama dia datang ke sini pun sudah seperti tidak menghormati kita. Tadi dia bersikap acuh tak acuh sahaja dengan tuan Don.” omel Daryll.
“Aku juga terperasankan perkara itu, Daryll. Tuan nampaknya begitu hormatkan ustaz Ren tapi dia pula seolah-olah tak pandang walau sebelah mata pun akan ketua kita.” pendapat Duali mati begitu sahaja tatkala ternampakkan Ren Fairuz yang kini keluar daripada bilik tersebut dengan iringan Donald. Daryll yang masih tidak berpuas hati terus sahaja meninggalkan Duali dan berjalan menuju keluar dari bangunan komuniti tersebut.
“Saya berharap agar ustaz Ren mempertimbangkan cadangan saya ini.” pinta Donald dengan tertib dan bersopan. Ren Fairuz tidak menjawab. Sebaliknya beliau hanya senyum tawar dan terus meninggalkan Donald.
**************************************
Beberapa minit sahaja selepas Ren Fairuz meninggalkan pusat komuniti tersebut, beliau telah dihalang oleh seorang remaja di tengah jalan. Ren Fairuz segera mengecamnya. Remaja tersebut tidak lain tidak bukan adalah Daryll.
“Ada apa yang saya boleh tolong, adik?” tanya Ren dengan sopan. Daryll tidak menjawab. Matanya merenung tajam pada Ren yang masih senyum dengan tenang.
“Awak kurang ajar. Awak tak menghormati encik Donald.” balas Daryll dengan agak keras. Ren Fairuz mengangkat kening tanda terkejut. Kemudian bibirnya kembali melakarkan senyuman.
“Yakah? Kalau begitu, beritahu dia saya memohon maaf kerana sikap buruk saya itu.” balas Ren pula dengan lembut.
“Sungguhpun awak ikhlas, saya tetap akan mengajar awak!” ujar Daryll yang semakin meninggikan suara. Ren Fairuz tetap senyum. Beliau seboleh-bolehnya enggan mencari sengketa dengan nak muda tersebut.
“Nampaknya adik sangat menghormati encik Donald.” taakul Ren. Daryll tidak lagi mahu meneruskan perbualan yang dianggapnya sia-sia. Beliau sebaliknya menghunuskan dua batang rod besi yang sama saiz dengan senjata tekpinya. Ren mengeluh kecil. Beliau mengeluarkan kipas lipat kecil di saku lantas mengipas-ngipas wajahnya untuk melawan bahang petang ‘Asar.
“Adik, pancaran aura pada tubuh adik sangat hebat. Rupa-rupanya adik seorang pakar seni bertarung.” taakul Ren. Daryll agak terkejut mendengarkan kata-kata Ren. Langkahnya semakin diperkemaskan. Ternyata Ren Fairuz ini bukan sembarangan orang.
“Bolehkah adik mengesan aura atau qi pada tubuh orang lain?” tanya Ren tiba-tiba. Daryll yang berasa agak pelik dengan pertanyaan tersebut menganggukkan kepala. Namun matanya kemas mengawasi gerak-geri Ren yang masih mengipas-ngipas tubuhnya. Tiba-tiba Ren berhenti mengipas.
“Kalau begitu, tengoklah aura pada abang, ya?” pinta Ren. Senyuman beliau semakin melebar.
“Ptashh!” Kipas lipas kecil di tangan Ren tiba-tiba meledak dan berkecai. Serentak dengan itu sekeliling mereka tiba-tiba bergegar seperti dilanda gempa bumi berskala empat Richter. Jalan bertar dalam lingkungan 20 meter radius di sekeliling Ren dengan tidak semena-mena merekah dan meledak di sana-sini. Cermin beberapa bangunan yang berada tidak jauh dari situ pecah berkecai. Orang ramai yang berada di dalamnya menjerit-jerit sambil berlari merata hala mencari jalan keluar. Beberapa pod holografik yang memancarkan iklan-iklan turut meletup. Tiang papan tanda jalan berdekatan dengan Ren dengan pantas menjadi bengkok dan tembok bangunan pula tumbang menyembah bumi. Setelah hampir sepuluh saat dalam keadaan begitu akhirnya ianya berhenti serta-merta.
“Baiklah, nampaknya perselisihan faham kita telahpun selesai.” ujar Ren Fairuz. Beliau mencampakkan kipas lipatnya yang telah rosak dan kemudian meneruskan langkah meninggalkan Daryll yang kini dalam keadaan berteleku. Wajah anak muda tersebut pucat lesi bermandikan peluh ketakutan. Keadaan beliau samalah seperti Catherine pada kali pertama bertemu dengan Ren. Bezanya pada kali ini ialah qi yang dipancarkan ditubuh Ren bukanlah nafsu ingin membunuhnya tetapi kuasa sebenar yang berada dalam tubuhnya. Mana mungkin Daryll dapat menandingi kuasa yang amat dahsyat tersebut. Anak muda tersebut tiba-tiba berasa lemah seluruh badan dan pandangannya terus menjadi kelam.
- Bersambung -
No comments:
Post a Comment