MetroPolis Episod 2
(Bab 6)
Gun (pistol)
Tiga hari kemudian, di Jabatan Perdana Menteri…
“Tal Kushaini, benarkah Emissary Mayhem akan datang ke Malaysia?” Anggota berpangkat Eksekutif dalam pertubuhan bernama Organisasi terdiam seketika demi mencari ayat yang sesuai untuk diungkapkan. Orang yang bertanya kepadanya soalan tersebut bukanlah calang-calang orang. Beliau adalah Dato’ Seri Khamal Hasyim; Perdana Menteri Malaysia.
“Benarkah telahanku ini?” tanya Khamal lagi yang lebih mirip kepada mendesak.
“Sebenarnya kami sendiri pun tak pasti, Dato’ Seri.” Akhirnya Tal menjawab.
“Menurut sumber yang dipercayai, penjaga Malaysia iaitu Emissary Windblade telah menyimpan pedang kesayangan milik Mayhem yang bernama Petaka Dunia. Kini Mayhem akan datang ke sini untuk menuntut Petaka Dunia kembali.” sampuk salah seorang penasihat yang jauh lebih tua daripada Khamal. Beliau yang duduk di sebelah kiri Khamal ternyata nampak lebih angkuh daripada Perdana Menteri itu sendiri. Tal mengenalinya sebagai Shameer.
“Tuan Windblade telah menyimpan Petaka Dunia selama hampir lima tahun lamanya. Kalau Tuan Mayhem benar-benar mahu datang ke Malaysia semata-mata kerana hal itu, pasti beliau akan datang lebih awal.” balas Tal dengan tenang.
“Yakah? Sumber kami mengatakan bahawa Mayhem telah kalah di tangan Windblade dan terpaksa menyerahkan pedangnya kepada Windblade bagi tempoh waktu tertentu. Sekarang tempoh tersebut telahpun tamat dan Mayhem mahukan pedangnya kembali.” maklum seorang lagi lelaki yang duduk di sebelah kanan Khamal. Beliau adalah seorang pendekar yang mengawal keselamatan Khamal. Kononnya beliau yang bernama Rabbin ini adalah setanding dengan kehandalan seorang pendekar Eksekutif.
“Ada banyak versi tentang perkara tersebut. Namun hanya Tuan Mayhem dan Tuan Windblade sahaja yang mengetahuinya. Apapun, kalaulah betul Tuan Mayhem akan datang ke sini, Dato’ Seri patut mempertimbangkan beberapa perkara.” ujar Tal dalam bahasa berkias.
“Maksud kau, tindakan aku yang melantik penasihat dan pengawal peribadi berbangsa Yahudi? Tal, aku telahpun mengutus permintaan bertulis kepada Windblade untuk melantik Shameer sebagai penasihatku dan Rabinn sebagai pengawal peribadi utamaku. Beliau tidak membantah. Jadi apa yang aku perlu risaukan? Namun aku akan berasa kurang senang jika Mayhem datang ke sini dan mencampuri urusan pemerintahanku. Oleh itu aku memanggil kau kemari untuk memaklumkan kepada Organisasi agar memberikan peringatan kepada Mayhem untuk tidak datang ke sini.” ujar Khamal dengan panjang lebar. Nampaknya beliau kurang senang dengan kata-kata Tal tadi. Tal terdiam. Beliau juga nampaknya agak bengang dengan sikap Khamal yang menyangka bahawa beliau boleh mengarahkan anggota Organisasi sesuka hatinya.
“Agaknya Dato’ Seri kurang faham dengan sistem di dalam Organisasi. Organisasi hanya berkuasa ke atas anggotanya termasuk Guardian dan Eksekutif sahaja. Namun bagi anggota yang bertaraf Emissary pula, Organisasi tiada berkuasa. Emissary pula bertindak sebagai pelaksana undang-undang dan penghukum tanpa perlukan seliaan. Jadi Organisasi tiada kuasa yang mutlak dan lembaga pengarahnya boleh dihukum oleh Emissary, termasuk hukuman mati.” perjelas Tal. Khamal bungkam seketika.
“Habis, siapa yang yang akan mengawal dan menghukum Emissary jika beliau melakukan kesalahan?” tanya Khamal. Nada suara bongkaknya tadi kini telah berubah.
“Emissary akan dikawal dan dihukum oleh Emissary sendiri. Jadi walaupun Tuan Windblade memberikan kebenarannya, jika Tuan Mayhem tidak berkenan, beliau boleh pada bila-bila masa mengubahnya dan menghukum sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan. Walaupun Dato’ Seri adalah Perdana Menteri Malaysia, namun tetap juga tidak terlepas daripada hukuman.” jawab Tal bersulamkan peringatan kepada Khamal. Dengan secepat kilat Rabinn menyerbu ke arah Tal dan menekan bilah pedangnya ke leher pendekar Eksekutif tersebut.
“Kau jangan kurang ajar!” bentaknya. Tal hanya memegunkan badannya dengan sikap tenang. Beliau enggan melayani provokasi Rabinn tersebut.
“Terpulanglah kepada Dato’ Seri. Saya hanya memberikan peringatan sahaja. Tapi biarlah saya memberitahu sesuatu. Seorang pendekar Emissary adalah seratus kali lebih handal daripada pendekar bertaraf Eksekutif seperti saya. Namun Emissary bertaraf maharaja seperti Tuan Mayhem adalah sepuluh kali ganda lebih hebat daripada pendekar Emissary biasa. Saya minta diri dulu. Ma’assalamah.” maklum Tal seraya berpaling dan melangkah meninggalkan bilik mesyuarat yang lebih mirip kepada singgahsana tersebut. Ternyata beliau juga diruntun dengan amarah yang teramat sangat dan perlu meninggalkan tempat tersebut sebelum perkara yang buruk terjadi.
**************************************************
Balai MetroPolis, 3 hari kemudian…
"Tujuan aku mengadakan mesyuarat tergempar ini adalah sebab aku bercadang untuk membuat pengambilan ahli baru." Begitulah mukaddimah Enbi sambil matanya menatap seorang demi seorang anggota MetroPolis. Tidak ramai pun. Cuma tiga orang sahaja.
"Ya, Nazrul. Nak tanya apa?" tanya Enbi tatkala matanya terpaku pada adiknya yang tengah mengangkat tangan sebagai isyarat mahu mencelah.
"Kenapa si Fairuz ni ada sekali?" pertikai Nazrul, yang merujuk kepada imam muda yang suka menyibuk dan berperangai pandir. Ren Fairuz yang sedang ralik menyedut air kotak berperisa tembikai tersentak apabila namanya disebut. Catherine dan Red Wigwam turut menjuruskan pandangan mereka ke arahnya.
"Kan ustaz membacakan doa sebagai pembuka majlis mesyuarat tadi? Sebagai upahnya dia tak mahu air kotak tapi nak menyertai sama dalam mesyuarat tergempar kita ni." jawab Enbi dengan nada yang perlahan tetapi jelas. Ternyata beliau tampak keletihan.
"Tak mahu air kotak? Habis, yang dia ralik menyedut macam gajah Afrika tu apa?" persoal Nazrul dengan nada tidak berpuas hati. Pandangannya dihunjamkan ke arah Ren Fairuz yang hanya selamba memandangnya sambil menyedut minuman.
"Kan air kotak tu terhidang di atas meja untuk ahli majlis mesyuarat? Lagipun kan saya ini juga ahli majlis mesyuarat sekarang?" balas Ren dengan selamba.
"Jahanam! Kau bukan ustaz tapi penipu yang licik! Aku lepuk kepala kau yang berketayap tu!" bentak Nazrul sambil menepuk meja sekuat-kuat hati. Entah kenapa beliau berasa menyampah setiap kali imam muda tersebut berada di depan mata.
"Inilah golongan yang akan ke neraka kerana menganiayai ulama." ujar Ren dengan tonasi yang masih selamba.
"Bang-"
"DIAMLAH!!! Aku lempang kamu berdua nanti baru tau!" tengkingan Enbi mematikan kata-kata Nazrul. Ternyata semenjak peristiwa serangan di balai mereka, abangnya selalu muram dan mudah sahaja naik angin. Keadaan sunyi seketika.
"Baiklah, kita teruskan saja agenda kita. Surat pemberitahuan tentang agenda ini dan arahan untuk memberikan komen serta cadangan dah pun diberikan dua hari yang lepas. Aku yakin pasti kamu semua sudah bersedia." sambung Enbi dengan tonasi yang kembali mengendur.
*******************************************
Syarikat Polis Malaysia Berhad; Cawangan Medan Gopeng Ipoh Perak :
Ghanshamdass melangkah lesu masuk ke dalam balai. Semenjak insiden tiga hari lepas, kadar jenayah naik mendadak ke tahap 48 peratus, ramai penjenayah kecil-kecilan mengambil kesempatan untuk melakukan jenayah merompak, menyamun, mencuri, merogol, memeras ugut, memecah masuk ke rumah dan kedai serta mencopet. Namun statistik tersebut adalah tidak tepat kerana yang datang mengadu hanyalah golongan yang berkemampuan sahaja. Pasti lebih dari itu angkanya.
"Gun! Dah pergi ke rumah Tan Sri Sahun? Nanti dia bising pula!" tegur Inspektor Aswadi tatkala ternampakkan kelibat rakan setugasnya. Ghanshamdass hanya mengangguk lesu. Tugas beliau bukanlah sesukar mana. Cuma perlu mengambil laporan dan menangkap gambar-gambar sebagai bukti berlaku kejadian pecah rumah sahaja. Namun skopnya yang membosankan itu membuatkan Ghanshamdass berasa lesu. Sekumpulan polis yang mengerumuni teleholo menarik perhatian beliau. Ghanshamdass segera merapati kumpulan tersebut.
"Di Bercham, Syarikat Polis Malaysia Berhad telah berjaya menghentikan rusuhan dan pertempuran di antara kumpulan organisasi jenayah yang dikenali Don dan Tai-Pan. Kejayaan tersebut adalah hasil daripada strategi dan kerjasama yang baik daripada setiap ahli." Begitulah antara bait-bait kata pembaca berita di teleholo tersebut.
"Berjaya? Ceh! Kita telah kalah teruk dan kehilangan semua anggota polis SPMB dalam kejadian tersebut." tempelak Ghanshamdass. Entah mengapa SPMB perlu berbohong sedemikian rupa.
"Ini politik, Gun. Kalau kekalahan SPMB yang sangat terlatih dan lengkap bersenjata ini telah diketahui oleh orang ramai, sahih seluruh negara menjadi akan panik nanti." perjelas Aswadi.
"Betul tu, tuan Dass. Semenjak Organisasi memansuhkan kuasa tentera di setiap negara jajahannya, SPMB adalah satu-satunya barisan pertahanan utama negara selain dari tentera dan para pndekar Organisasi. Seluruh harapan rakyat Malaysia tergantung pada kita. Kalau kita kalah…" Sarjan Raziq sengaja menggantung kata-katanya untuk menunjukkan natijah buruk yang tidak tergambar sekiranya berlakunya panik seluruh negara.
"Hmh! Aku bukannya pandai politik-politik ini. Tapi kalau aku yang pergi dan bukannya si mentah Noralee tu, tentu tak jadi macam itu!" rengus Ghanshamdass dengan nada geram. Namun matanya masih terpaku di teleholo.
"Di Medan Gopeng, MetroPolis telah berjaya menewaskan kumpulan samseng Yahudi yang bersenjata api dikenali sebagai "Zion Bros" dengan hanya menggunakan akal dan kebijaksanaan." Laporan pemberita wanita tadi berkisar pula ke cerita lain dalam insiden yang sama.
"Wartawan sekarang ni asyik membuat liputan ke atas MetroPolis murahan itu. Mentang-mentanglah mereka tawarkan perkhidmatan percuma. Itu semuanya hipokrit. Entah-entah cuma gimik saja. Nanti mereka pasti akan mengenakan bayaran juga.” komen salah seorang anggota polis SPMB yang turut menonton berita tersebut.
"Bodoh betul mereka ambil kes orang-orang miskin. Kalau aku laporkan pada mereka aku ternampak kes rogol tadi, pasti mereka akan bergegas ke sana." ujar Konstabel Jeri disambut dengan gelak tawa yang lain.
"Apa kau kata? Kau nampak kes rogol?" tanya Ghanshamdass dengan nada yang amat terperanjat.
"Ya, semasa dalam perjalanan ke sini tadi. Alah, tuan janganlah ambil kisah sangat. Jenayah rogol tu berlaku di kawasan Gunung Rapat. Tempat orang miskin tu!" jawab Jeri dengan bersahaja.
"BANGSAT!!!" pekik Ghanshamdass seraya meninju muka Jeri dengan sekuat tenaga. Orang bawahannya itu jatuh berguling di atas permaidani dengan erangan kesakitan.
"Tuan…" Itulah yang hanya mampu diungkapkan oleh Sarjan Raziq. Beliau benar-benar terperanjat dengan perilaku pegawainya tadi.
"Gun! Kau dah gila ke?" tegur Inspektor Aswadi dengan suara yang lantang. Namun Ghanshamdass telahpun bergegas keluar daripada balai.
************************************************
Di sebuah lorong yang kotor, di Gunung Rapat. Lebih kurang 3 minit kemudian…
Wendy terkapar di atas jalan bertar kotor di lorong tersebut. Seluruh tubuhnya yang kini tiada diselaputi walau seurat benang pun terasa begitu ngilu sekali. Calar-balar serta lebam kesan pukulan dan hentakan berselirat hampir di segenap inci tubuhnya. Bahagian sulitnya yang bersememeh dengan air nafsu para penyerangnya jelas mengalami kecederaan yang paling teruk. Wendy adalah mangsa rogol yang disebutkan oleh Konstabel Jeri tadi.
Perogol gadis malang tersebut terdiri daripada 5 orang pemuda. Dua orang Melayu, dua orang Cina dan seorang India. Mereka berdiri mengelilingi Wendy dengan pandangan yang puas. Tiada walau secalit pun perasaan kemanusiaan di mata mereka.
"Memang makan besar kita hari ni." komen salah seorang perogol tersebut. Kata-kata beliau disambut dengan gelak-tawa rakan-rakan subahatnya. Tiba-tiba si perogol berbangsa Cina tersebut mengeluarkan sepucuk pistol dan menghalakannya ke arah Wendy.
"Tolong… Jangan… Saya tak akan lapor. Saya tak mampu…" rayu Wendy dengan nada tersekat-sekat.
"Aku tahu. Tapi aku suka kalau dapat tengok otak kau berderai di atas jalan. Maaf, ya?" jawab si perogol Cina tadi. Rakan-rakannya pula ketawa berdekah-dekah mendengarkan ungkapan yang zalim tersebut. Kini jari telunjuknya mula bergerak menarik picu. Dalam jarak yang sebegitu dekat, peluru plasma pasti mampu meledakkan kepala Wendy. Si gadis malang tersebut hanya mampu tersesak-esak menantikan ajalnya.
"BANG!!!" Begitu lantang sekali bunyi yang bergema di segenap lorong yang sempit tersebut. Seketika kemudian tubuh si perogol Cina tadi tertiarap di atas Wendy. Hampir separuh bahagian kepalanya telah hilang. Palitan-palitan seperti kuah sos bersememeh di serata tubuh Wendy dan jalanraya. Itulah otaknya. Rakan-rakan si mati tersebut tergamam melihatkan keadaan yang mengerikan di hadapan mereka.
"Aku di sini," Ungkapan tersebut kembali menyentakkan pegun para perogol tadi. Mereka segera berpaling ke belakang seraya mengeluarkan senjata api masing-masing. Orang yang bertanggungjawab membunuh rakan mereka adalah Ghanshamdass.
"Apa SPMB buat di sini?" pertikai salah seorang perogol tersebut. Getaran suaranya menunjukkan ketakutannya masih belum hilang.
"Aku kan polis? Tentulah untuk mencegah jenayah, bodoh!" tempelak Ghanshamdass.
"Jangan takut. Dia hanya seorang. Kita berempat. Lagipun kita semua pakai jaket kalis peluru. Bunuh dia!" arah salah seorang perogol tadi. Tentu beliau adalah ketua mereka. Mereka terus menembak secara serentak ke arah Ghanshamdass. Namun dengan begitu mudah Ghanshamdass mengelitkan tubuhnya sambil dengan secepat kilat melepaskan tiga tembakan.
"BANG! BANG! BANG!" Bunyi letupan yang begitu memekakkan telinga sekali lagi bergema di udara.
"Mustahil!" ujar ketua perogol tadi tatkala melihatkan tiga lagi rakannya tumbang menyembah bumi. Dada mereka berasap. Ketiga-tiga mereka telah ditembak dengan tepat ke bahagian jantung.
"Jaket kamu cuma kalis peluru plasma saja tapi tidak dengan Desert Eagle aku." komen Ghanshamdass sambil menayangkan pistolnya.
"Celaka!!!" pekik si ketua perogol sambil melepaskan tembakan ke arah Ghanshamdass. Sekali lagi pegawai polis tersebut dengan mudah dapat mengelakkannya.
"BANG! BANG!" Pistol Ghanshamdass meledak. Tahu-tahu sahaja tangan kanan ketua perogol yang memegang senjata api tadi terputus di aras bahu. Darah memercik dengan banyaknya ke jalanraya. Ketua perogol tadi menjerit kesakitan.
"Aku dapat mengelakkan tembakan kamu sebab aku tahu halatuju sasaranmu. Aku cuma perlu memerhatikan sahaja muncung pistol kamu dan jari yang menekan pemicu pistol kamu. Jadi aku tahu bila saatnya kamu akan menembak. Nampak mudah, kan? Tapi hanya orang yang biasa bertaruh nyawa di medan pertempuran saja yang dapat menguasai teknik ini. Kamu semua hanyalah pembuli amatur yang mampu membeli senjata api saja. Kamu semua hanya berani bila berhadapan dengan orang lemah yang tidak bersenjata. Kalau ada orang yang menembak balik ke arah kamu semua, kamu akan jadi penakut dan terkencing di dalam seluar. Kamu semua memang tak guna!" ujar Ghanshamdass dengan panjang lebar tanpa mempedulikan sama ada ketua perogol yang sedang meraung kesakitan tersebut mendengar akan kata-katanya atau tidak.
"Tolong jangan bunuh aku. Aku menyerah diri. Kau polis. Kau kena mematuhi prosedur, bukan?" rayu si ketua perogol dalam erangan kesakitan. Ghanshamdass terdiam sejenak. Namun tiba-tiba beliau kembali mengacukan pistolnya ke arah si ketua perogol tersebut.
"Aku hanya berbuat begitu kepada manusia sahaja. Kau bukan!" balasnya. Sinar matanya yang dingin dan ganas memaku tepat ke anak mata mangsanya.
"Nanti! NANTI! NA-" jeritan si ketua perogol terhenti tatkala dentuman pistol Ghanshamdass sekali lagi bergema di ruang lorong tersebut. Dahi si ketua perogol tadi berlubang dan berasap. Bahagian belakang kepalanya pula berlubang besar. Penjenayah terakhir tersebut rebah menyembah bumi seperti rakan-rakannya. Inilah balasan setimpal yang mereka telah dapat di atas perbuatan zalim mereka. Ghanshamdass segera mendekati Wendy, mangsa rogol tadi.
"Maafkan saya sebab menakutkan cik." ujar Ghanshamdass dengan lembut. Tangannya mencapai perca-perca pakaian Wendy untuk membersihkan sisa-sisa otak si perogol Cina tadi di tubuh gadis tersebut. Mata Ghanshamdass memandang ke arah lain sebagai tanda tidak mengambil kesempatan untuk sengaja menjamah tubuh Wendy. Beliau kemudian memakaikan jaketnya ke tubuh gadis tersebut.
"Maafkan saya. Saya tak mampu nak bayar sekarang. Nanti saya akan cari duit untuk bayar." nyata Wendy dengan nada tersekat-sekat.
"Jangan pedulikan hal itu. Saya buat ini dengan percuma sahaja. Yang pentingnya cik selamat sekarang." ujar Ghanshamdass.
Tatkala mendengarkan kata-kata pegawai polis tersebut, Wendy terus memeluk Ghanshamdass dengan erat dan menangis semahu-mahunya.
- bersambung -