Thursday, January 28, 2010

MetroPolis 2010 - Bab 16

Intuisi Seni Bela Diri


“Cik Catherine! Nasi bubur untuk Enbi sudah siap dalam mangkuk tingkat!” laungan salah seorang pekerjanya segera mematikan Catherine yang sedang mengelamun di hadapan cermin solek. Gadis manis tersebut bingkas menceraikan punggungnya dari bangku yang sudah agak usang. Terdapat sebuah bilik yang dikhaskan untuk para pekerja berehat, bersolek dan bersolat. Catherine bergegas keluar dari bilik tersebut untuk mendapatkan mangkuk tingkat tadi.

“Kali ini minta wang daripada Enbi.” laung ibunya pula dari dapur. Catherine tertawa. Beliau tahu bahawa ibunya itu sedang bergurau. Tatkala melangkah menuju ke pintu keluar, seorang warga tua yang baharu selesai makan menahannya.

“Catherine, bila mahu belanja pak cik? Janganlah asyik belanja teman lelaki kamu itu sahaja. Dia itu orang kaya, tau?” ujar warga tua tersebut dalam nada memprotes.

“Tunggulah sampai pak cik menjadi teman lelaki saya pula. Barulah saya belanja!” balas Catherine. Rakan-rakan warga tua tadi tertawa dan mengejek-ngejek beliau yang kini dalam keadaan tersipu-sipu. Catherine turut tertawa. Hatinya begitu senang sekali apabila warga tua tersebut menganggap beliau dan Enbi adalah sepasang kekasih. Hati kecilnya juga turut berharap agar pernyataan tersebut menjadi kenyataan.

***************************************************


“ADOOOHHH!!! ARGHHH!!! Sakitnya mak oiii!!!” Lelaki merangkap kekasih Suraya yang cuba menyerang Nazrul secara curang kini menggelupur kesakitan di atas tanah. Enbi yang menumbuknya sebentar tadi pula menjadi tergamam. Tidak tersangka olehnya lelaki tersebut nampaknya mengalami kecederaan yang agak serius.

“Sabri!” teriak Suraya dalam tonasi cemas. Langkahnya bingkas merapati jejaka tersebut. Ternyata peninju Enbi menyebabkan rahang kekasih Suraya seolah-olah menjadi herot. Mulutnya pula bergelumang dengan darah. Sebatang gigi kelihatan di atas tanah. Seorang lagi rakan Suraya yang bernama Mimi juga bergegas merapati Sabri untuk memastikan keadaannya.

“Gigi aku patah!” jerit jejaka yang bernama Sabri tadi.

“Bukanlah. Itu gigi si Amat. Dia bergaduh minggu lepas.” ujar Jang merangkap tuan punya warung. Kesemua yang berada di situ tercengang seketika. Sabri pula masih ralik meraba-raba mulutnya.

“Oh! Betullah.” ujar Sabri setelah beberapa ketika. Terdengar helaan leganya.

“Kamu berdua dah melampau! Menyerang dan mencederakan orang secara berkumpulan. Aku akan laporkan kepada pihak polis nanti!” herdik Mimi dengan nada mengugut.

“Ceh! Pergilah lapor. Aku peduli apa! Aku pun polis juga, tahu?” herdik Enbi kembali dengan garang. Mimi tergamam.

“Sudahlah tu. Kawan lelaki kamu berdua yang bertindak menyerang dulu. Malah cuba memukul curi pula. Saksi pun begitu ramai sekali. Tentu membazirkan wang kalau membuat laporan yang terang-terangan tak memihak kepada kawan lelaki kamu tu.” Ren Fairuz tiba-tiba menyampuk yang sekaligus meredakan ketegangan di antara kedua-dua pihak.

“Lagipun namamu Sabri; bermakna ‘kesabaranku’. Jadi bersabarlah atas apa yang terjadi ke atasmu. Anggaplah ini salah satu cara Allah untuk kamu bermuhasabah diri.” nasihat Ren Fairuz pula. Sabri tiba-tiba bangun dan lantas mencekak kolar baju imam muda tersebut.

“Bangsat! Kau ingat kau ini siapa? Jangan kau yang lemah ni cuba nak mengajar aku pula!” bentak Sabri dengan bengisnya. Ren Fairuz tidak menunjukkan sebarang reaksi takut atau tersinggung. Sebaliknya beliau memegang bahu kiri Sabri dengan tangan kanannya.

“Sabri, kita sebagai manusia perlu mengetahui bahawa di dalam dunia ini masih ramai lagi yang jauh lebih handal dan dahsyat daripada kita. Cukuplah itu.” nasihat Ren Fairuz dengan lembut. Enbi dan Nazrul sudahpun bersiap sedia untuk mengerjakan Sabri. Namun hasrat mereka tidak kesampaian tatkala Sabri melepaskan cengkamannya dan terus dalam keadaan tergesa-gesa pergi.

“Eh? Apa yang sudah terjadi?” tanya Enbi dengan nada kehairanan. Seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena telah berlaku sebentar tadi.

“Sabri akhirnya dapat bersabar.” balas Ren seraya ketawa. Namun tawanya tidak bertahan lama kerana Suraya dan Mimi telahpun menghampirinya.

“Kami tak sangka ustaz sanggup bersekongkol dengan mereka. Malah sanggup menyokong dan mempertahankan mereka pula.” ujar Suraya dengan nada kemarahan.

“Janganlah begitu, Suraya. Kawan lelaki awak yang mencari pasal dulu. Kemudian cuba memukul curi pula tu. Bahkan sanggup mengasari saya selaku imam muda yang baik hati ini. Mata kamu berdua telah nampak segalanya tetapi hati kamu yang enggan menerima hakiki tersebut.” tempelak Ren Fairuz kembali. Kedua-dua orang model tersebut langsung terdiam. Entah sama ada mereka dapat menerima kata-kata tersebut atau kerana mereka masih menghormati guru Al-Quran mereka itu.

Akhirnya Suraya dan Mimi mengambil keputusan untuk menuruti langkah Sabri. Rancangan untuk bersarapan pagi di tempat tersebut langsung tidak kesampaian. Kedua-dua orang gadis tersebut mengorak langkah ke arah kereta yang mana Sabri telahpun sedia menunggu di dalam.

“Melampau sungguh mereka tu! Aku tak ingin lagi belajar Al-Quran dengan ustaz Fairuz.” omel Mimi dengan nada marah. Suraya seolah-olah tidak mendengar bait-bait kata sahabatnya. Matanya asyik tertumpu ke arah Sabri.

“Awak okey, Sabri?” tanya Suraya dengan lunak. Sabri yang seolah-olah tersentak apabila namanya disebut segera memalingkan muka ke arah Suraya.

“A…a… Okey! Okey!” jawab Sabri. Gugup.

“Okey? Sabri kena pergi ke klinik sekarang juga.” ujar Mimi dengan tegas. Sabri menganggukkan kepala. Namun beliau masih berasa amat gementar dan ngeri. Suraya terperasankan keadaan teman lelakinya itu. Akan tetapi beliau seolah-olah terkunci mulut untuk bertanya.

************************************************


“Mujurlah tumbukan awak tadi tak begitu kuat. Kalau tidak, susahlah kita nanti.” ujar Ren Fairuz yang menyambung kembali sarapannya. Keadaan di situ kembali menjadi harmoni.

“Tapi ianya bukanlah perkara yang baik sangat. Aku telah menggunakan sepenuh kuasa untuk menumbuknya tadi. Namun budak itu cuma luka di bahagian gusi sahaja.” balas Enbi kembali dengan nada yang agak kecewa.

“Janganlah begitu. Enbi dan Nazrul belajar seni mempertahankan untuk melindungi diri, harta, maruah, agama, negara dan orang-orang yang disayangi. Bukannya untuk melakukan kemusnahan terhadap orang lain. Lagipun Enbi seolah-olah dapat menjangka Sabri akan menyerang curi. Itu adalah suatu daya intiusi yang sangat hebat. Tak semua pelatih seni beladiri mampu mencapainya walaupun telah berpuluh tahun berlatih.” pujuk Ren yang disulami dengan kata-kata pujian dan ransangan.

“Yalah. Kami seolah-olah telah mahir berlawan. Kenapa boleh jadi begitu, sedangkan kami tak sampai beberapa minggu saja berlatih?” persoal Nazrul. Beliau masih berasa agak teruja dengan persembahannya tadi.

“Itu adalah kerana kamu berlatih sambil menggunakan otak. Seni pertarungan bebas yang kamu pelajari tak memerlukan kamu untuk menghafal gerak-geri yang tetap. Jadi kamu lebih banyak menggunakan akal dan penumpuan terhadap gerakan semulajadi kamu ketika berlatih. Oleh sebab itulah daya intiusi kamu juga diasah untuk menjadi semakin tajam,” terang Ren dengan panjang lebar.

“Mana ustaz tahu semuanya ni?” tanya Enbi dengan nada curiga.

“Ada anak murid yang mengaji dengan saya telah tertinggal buku seni beladiri miliknya di masjid. Sampai sekarang tak bertuntut. Jadi saya berulang-ulang kali membacanya ketika di dalam jamban. Itulah sebabnya saya faham dan hafal tentang konsep seni pertarungan gaya bebas Kalau kamu nak meminjam majalah itu, datanglah ke masjid.” jawab Ren yang disulami dengan perlawaan. Enbi dan Nazrul menolak ajakan ikhlas tersebut dengan gelengan kepala yang agak agresif.

“Pun begitu kita perlu memikirkan suatu strategi yang berkesan untuk meladeni si pencuri pakaian dalam tersebut. Beliau bukanlah calang-calang orang dalam seni pertarungan. Rasanya memang beliau cukup mahir dan terlatih. Namun tak bermakna beliau tiada sebarang kelemahan.” ujar Enbi. Nazrul yang sedang menggigit roti canai menganggukkan kepala.

*******************************************


Gudang terbiar. Lebih kurang 10 km dari tempat mereka.

“Tahniah! Matamu sudah sembuh dengan sepenuhnya. Namun kau masih perlu memakai cermin mata hitam untuk dua minggu berikutnya.”

Si empunya suara tadi adalah milik seorang doktor. Manakala pesakitnya adalah tidak lain tidak bukan si pencuri pakaian dalam yang dicederakan oleh Nazrul beberapa minggu lalu. Si penjenayah tersebut merengus kecil sambil membelek-belek matanya pada cermin muka.

“Esok aku akan pergi membereskan budak-budak lembik dari MetroPolis itu.” ujar si penjenayah tersebut. Doktor yang merawatnya menggelengkan kepala.

“Bukankah Don sudah memberi arahan agar kau jangan mengganggu mereka? Jangan mencari geruh, Riko. Kelak kau yang akan mendapat susah.” nasihat doktornya yang lebih mirip kepada amaran.

“Kau diamlah! Selagi aku tak melampiaskan dendamku, selagi itulah aku takkan dapat tidur lena. Aku tak peduli sama ada Don suka atau tak. Lagipun sekarang beliau seolah-olah telah kehilangan taringnya. Malah baru-baru ini anak buahnya di Jelapang juga telah dibelasah oleh budak-budak hingusan dari kumpulan Terendak Biru. Namun Don langsung tak membalas. Memang tak guna!” Kata-kata si pencuri pakaian dalam yang bergelar Riko membuatkan si doktor menggelengkan kepalanya.

“Jangan kata aku tak memberi amaran kepadamu.” ujar si doktor mengulangi amarannya.

************************************************


Sementara itu di Bank Enbi Sdn. Bhd. (Lebih kurang 5 km dari warung Jang)

“Ini adalah kali ketiga Enbi tidak menghadiri mesyuarat kecil Lembaga Pengarah.”

Kata-kata Tuan Haji Azman membuatkan Dato’ Suffian mencebikkan bibir. Ternyata Enbi tidak menghormati mereka dari dahulu lagi. Tidak kira sebagai ahli lembaga pengarah ataupun sebagai bapa saudaranya.

“Dia sekarang begitu sibuk dan obses dengan syarikat polisnya. Semua arahan diberikan melalui memo sahaja.” ujar Dato’ Syariman.

“Mentang-mentanglah semenjak beliau mengambil-alih syarikat ini dari Allayarham bapanya, beliau telah berjaya membesarkannya dan seterusnya menubuhkan Bank Enbi Sdn. Bhd. Kita semua sebagai bapa saudaranya ni langsung tak dipandangnya.” akhirnya Dato’ Suffian meluahkan perasaan tidak puas hatinya.

“Cadangan kita untuk menubuhkan dana pelaburan amanah saham juga telah ditolak melalui memo sahaja. Tanpa sebarang alasan kukuh pula tu!” omel Tuan Haji Zaharim dengan nada kurang berpuas hati.

“Nampaknya kita perlu bertindak segera sementara beliau sedang teralih perhatian daripada kita. Aku dengar beliau sedang dalam proses untuk membeli hartanah di Kota London. Kononnya untuk menjadikannya sebagai tempat perlancongan dan taman tema hiburan. Kalau anak saudara kita tu berjaya, pasti kita tak berpeluang lagi untuk menguasai Bank Enbi Sdn. Bhd. buat selama-lamanya.” maklum Profesor Dato’ Azhan yang juga merupakan seorang pakar dalam bidang ekonomi.

“Aku akan segera menghubungi pakar tersebut. Dengan bantuannya, aku yakin kita akan dapat menumbangkan Enbi pada mesyuarat agung yang akan datang.” maklum Datuk Razis pula.

“Buat sementara waktu ini, biarlah Enbi dan Nazrul berseronok dengan permainan ‘Polis Sentri’ mereka!” Kata-kata Dato’ Syariman disambut dengan gelak ketawa daripada semua ahli lembaga pengarah.

*************************************************


Pada masa yang sama…

“Aiya… Ke mana mereka berdua pergi?” rungut Catherine dengan nada kehampaan tatkala tiba di MetroPolis Enterprise. Balai polis tersebut masih terkatup rapat pintunya. Catherine yang mempunyai kunci pendua segera membuka balai polis tersebut sebagai memenuhi tanggungjawabnya. Setelah memasang lampu-lampu dan menghidupkan generator elektrik solar, gadis manis tersebut duduk termenung sambil menongkat dagu. Namun kebosanan beliau tidak berlangsung dengan lama tatkala ternampakkan Terawez yang baharu balik dari pasar.

“Hai Terawez! Apa khabar?” sapa Catherine dengan mesra. Terawez yang sedang bersiul-siul riang kelihatan agak tersentak dengan sapaan tersebut.

“Ah, Kak Catherine. Saya khabar baik. Kak Catherine apa khabar?” sapa Terawez kembali.

“Kakak baik. Banyak juga barang basah yang kamu beli hari ini.” tegur Catherine berbasa-basi.

“Semalam saya bekerja lebih masa di kedai runcit 24 jam. Jadi dapat upah harian lebih. Dapatlah saya membeli barangan dapur untuk guru-guru dan saya sendiri. Tapi ini semuanya sayur-sayuran dan ikan lama yang hampir nak dibuang. Itu saja yang mampu saya beli.” maklum Terawez dengan nada merendah diri. Sedikitpun beliau tidak berasa malu dengan kenyataannya itu. Catherine tersenyum kelat. Sudah ramai orang termasuk dirinya telah menasihati Terawez akan muslihat dan niat buruk kedua orang gurunya itu. Namun Terawez tetap enggan percaya dan masih mengagungkan mereka berdua. Malah, beliau sanggup bergaduh dengan sesiapa sahaja yang mengutuk kedua orang gurnya itu. Terawez datang menghampiri setelah digamit oleh gadis manis tersebut.

“Bagaimana dengan ilmu pedangmu sekarang?” tanya Catherine.

“Guru-guru kata masih belum sempurna. Masih banyak kekurangan lagi.” maklum Terawez dengan agak tersipu-sipu. Catherine kembali tersenyum kelat. Ternyata kedua orang gurunya itu masih menipu anak muda ini demi kepentingan mereka.

“Tentu seronok menjadi seorang polis, kan?” Tiba-tiba Terawez mengutarakan pertanyaan.

“Aa?” tanya Catherine dengan agak terkejut. Tidak disangkai olehnya akan pertanyaan sedemikian rupa.

“Tentu seronok dapat menolong orang dengan ikhlas. Nanti bila ilmu pedang saya sudah sempurna, saya pasti akan bekerja dengan MetroPolis untuk membantu orang yang teraniaya dengan ikhlas.” maklum Terawez dengan penuh bersemangat. Namun tiba-tiba air matanya mengalir keluar. Terawez segera mengesat kedua matanya itu dengan lengan kiri.

“Ah, maafkan saya. Saya ini mudah sangat tersentuh hati dan terharu.” maklum Terawez dengan nada tersipu-sipu. Catherine tersenyum mendengarkan kata-kata tersebut. Geli pula hatinya melihatkan sahsiah Terawez tersebut. Tiba-tiba senyumannya mati tatkala teringatkan sesuatu.

“Oh ya! Kakak buatkan sarapan pagi untuk Enbi dan Nazrul. Tetapi mereka pergi entah ke mana. Tentu pergi makan di luar. Jadi ambillah mangkuk tingkat ini untuk Terawez dan guru-guru Terawez. Nanti mangkuk tingkat ini pulangkan balik di restoran kakak, okey?” ujar Catherine. Terawez menerima pemberian itu dengan wajah yang terharu. Sekali lagi air matanya mengalir keluar.

“Terima kasih, kak Catherine!” ujarnya dengan agak lantang lantas berlari meninggalkan gadis tersebut yang masih dalam keadaan termangu-mangu. Catherine tertawa kecil melihatkan telatah Terawez tadi.

“Dengan adanya awak Terawez, pasti MetroPolis akan menjadi sangat hebat.” ujarnya dalam hati seraya tersenyum ceria.


- Bersambung -


1 comment:

reza said...

fuhh....makin seronok baca metropolis nieh...x sabar nak tunggu entri berikutnya (giler skema ayat aku....hahahha)