Sunday, January 17, 2010

MetroPolis 2010 - Bab 15

Kesedaran Tentang Diri



Disco Inferno berasakan bahawa beliau tidak seharusnya berada di sini. Pada hari beliau memantau pemberian dadah yang dicuri daripada Don sebagai ufti kemasukan ke kumpulan Tai-Pan, ketuanya itu memanggilnya pula untuk bertemu atas alasan untuk bermesyuarat. Kini beliau berada di hadapan Don yang dari tadi membelakanginya. Kehadiran pengawal elit terkuatnya yang bergelar Serigala Angin dan Kumpulan Tiga Elemen membuatkan Disco Inferno semakin gelisah. Beliau berasakan seolah-olah seperti berada di dalam kandang singa sahaja sekarang.

“Maafkan saya kerana memanggil kamu dalam keadaan tergesa-gesa pada malam ini. Namun saya perlu ke luar negara pada lusanya dan perkhabaran ini perlu dimaklumkan kepada kamu dengan segera.” Akhirnya Tuan Don bersuara setelah agak lama keadaan kekok menjalari suasana di dalam bilik tersebut.

“Tak mengapa, tuan. Untuk tuan Don, saya pasti akan peruntukkan masa sungguhpun sesibuk mana. Lagipun anak-anak buah saya semuanya boleh diharap dan berkeupayaan melaksanakan sebarang tugasan semasa ketiadaan saya.” balas Disco Inferno dalam basa-basinya. Beliau masih ingin menduga apakah tujuan Tuan Don memanggilnya ke sini pada malam yang sangat penting ini. Tidak mungkin ianya suatu kebetulan sahaja.

“Bagusnya begitu. Nampaknya kamu benar-benar menjaga dan mengambil berat akan orang-orang bawahanmu. Hingga mereka menjadi individu yang berkeupayaan dan boleh diharap. Tidak syak lagi kamu mempunyai karisma sebagai pemimpin yang hebat. Tak mustahil kesetiaan orang-orang bawahanmu hanya untukmu sahaja, Disco Inferno!” Kata-kata Tuan Don berjaya menyentakkan hati Remy ataupun dikenali sebagai Disco Inferno. Nampaknya ketuanya ini ingin membaca dan memancing perasaannya pula.

“Mustahil begitu, tuan! Mereka semuanya adalah pilihan tuan sendiri untuk dijadikan sebagai orang-orang bawahan saya. Kesetiaan mereka hanyalah pada tuan sahaja. Malah kesetiaan saya juga hanya pada tuan sahaja.” balas Remy dengan bersungguhan. Lakonannya begitu berkesan sekali. Topeng kepuran-puraannya gagal diserlahkan oleh tuan Don, pada hematnya. Namun beliau dapat merasakan aura kecurigaan daripada pemimpinnya itu sungguhpun tuan Don membelakanginya.

“Baguslah begitu. Mereka memang amat berharga dan aset yang bernilai, kan?” Cara pertanyaan daripada tuan Don itu agak pelik dan menimbulkan perasaan kurang enak di hati Remy.

“Oh ya! Aku mempunyai tugasan untukmu. Tetapi kau perlu bermalam di sini kerana barangan yang kupesan masih belum tiba lagi. Besok awal pagi mungkin akan tiba.” Permintaan tuan Don tersebut semakin menambahkan rasa gusar Remy. Namun beliau hanya mampu menzahirkan senyuman untuk menutup keresahannya itu dan bersetuju dengan permintaan tersebut.

******************************************


“Setiap kali menatap gambarmu;
Aku menjadi haru;
Setiap kali kita bertemu;
Aku menjadi kelu;
Setiap kali teringatkanmu;
Aku menjadi rindu;
Setiap kali-”

“Hello…” Suara Nazrul begitu lemah sekali tatkala menerima panggilan di telefon selularnya. Nada deringan lagu terbaharu artis bernama Raeney gamat memecah kesunyian dikamar tidurnya. Ia juga sekaligus mencelikkan mata Enbi yang tadi nyenyak lena di katil sebelah. Entah siapa pula yang menelefon mereka pada waktu pagi buta sebegini.

“Nazrul! Ren bercakap di sini. Kejutkan Enbi dan cepat bersiap. Kita solat subuh bersama sekejap lagi.” Bait-bait kata yang penuh bersemangat daripada imam muda tersebut bergema di corong penerima suara telefon selular Nazrul.

“Saya sedang menunggu di depan pintu kondominium kamu sekarang. Jadi jangan cuba nak mengelat, tau?” ujar Ren Fairuz lagi.

“Siapa tu?” tanya Enbi dalam keadaan yang masih mamai.

“Si Renlah, siapa lagi yang suka membuat kacau? Dia ada di depan pintu kondominium kita.” jawab Nazrul dengan nada bengang. Enbi tiba-tiba bangun dan menuju ke arah meja mentelaah mereka. Tangannya terus mencapai sebatang kayu sofbol yang terletak di situ.

“Budak celaka. Aku nak belasah dia.” ujar Enbi yang kelopak matanya masih separuh buka. Namun tiba-tiba beliau terus duduk bersila berdekatan dengan kaki meja tadi.

“Dia ajak kita bersolatlah!” maklum Nazrul seraya menguap panjang. Tubuhnya mengeliat-liat kecil.

“Hmm-hmm. Solat? Bagus, bagus. Solat dulu. Belasah dia lepas tu.” Suara Enbi antara dengar dan tidak di telinga adiknya. Mata beliau masih terkatup rapat, namun kepalanya masih mengangguk kecil bertalu-talu seolah-olah beratib.

*****************************************


3 jam kemudian :

Enbi menarik nafas sedalam-dalamnya. Udara pagi yang sejuk dan nyaman benar-benar menyegarkan tubuh serta minda. Lagipun kuliah subuh yang disampaikan oleh Ren Fairuz amat menarik sekali. Enbi juga tidak menyangka bahawa suara imam muda tersebut begitu merdu dan sangat menyentuh hati ketika mengalunkan azan subuh tadi.

“Tak sia-sia aku bangun untuk bersolat subuh. Badanku berasa begitu segar sekali.” maklum Enbi tanpa berniat menujukannya kepada individu yang khusus. Ketiga-tiganya telahpun melangkah keluar daripada perkarangan masjid.

“Yakah? Tapi tadi bukan main erat lagi tangan Enbi memegang kayu sofbol ketika menyambut saya di muka pintu.” sindir Ren Fairuz seraya ketawa kecil. Nazrul yang baharu sahaja selesai menguap tersengih. Enbi juga turut mengorak senyuman malu sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

“Jom kita pergi bersarapan di restoran Cat. Bubur nasinya memang sangat sedap,” ajak Enbi. Ren menggelengkan kepala sebagai isyarat tidak bersetuju.

“Tukar seleralah pula. Jom kita makan di nasi lemak di warung Jang. Saya belanja.” pujuk Ren. Mendengarkan perkataan sakti iaitu “belanja”, kepala Enbi spontan mengangguk laju. Nazrul pula membuat isyarat akur sahaja pada suara majoriti.

************************************************


Lebih kurang 10 minit kemudian :

“Nasi lemak di sini memang sedap dan wangi.”

Ren yang sedang laju menyudu nasi lemak ke mulutnya mengangguk-anggukkan kepala tanda bersetuju dengan kata-kata Enbi. Nazrul pula mengunyah makanannya perlahan-lahan.

“Nazrul, awak sejak tadi asyik diam saja. Selalunya ada saja bahan nak mengutuk saya. Kenapa ni? Masih patah hati lagi ke?” Pertanyaan Ren menyentakkan lamunan Nazrul. Enbi juga turut melemparkan pandangan ke arah adiknya.

“Yalah, kenapa bersedih sangat? Kamu baru aje kenal Suraya. Lagipun dia tu harapkan muka cantik saja. Tapi sahsiahnya cukup buruk.” sambung Enbi pula.

“Hoi! Jangan mengutuk dia! Abang ngah bukannya kenal sangat dengannya!” marah Nazrul.

“Ya! Enbi bukan kenal sangat Suraya tu. Hoi! Jangan mengutuk dia!” marah Ren pula. Namun jelas ianya dibuat-buat sahaja.

“Kamu pun bukannya kenal sangat dengan Suraya. Tapi kamu berasa kecewa seolah-olah dah lama bercinta dengannya. Janganlah bermimpi lagi, dik. Ramai lagi perempuan cantik di Ipoh ni. Lupakan Suraya. Carilah gadis lain.” nasihat Enbi. Air muka Nazrul berubah. Perlahan-lahan kesedaran timbul di hatinya. Enbi yang tidak mempedulikan reaksi adiknya itu kembali menyudu nasi lemak ke mulutnya.

“Baguslah Nazrul dah mula sedar. Jadi memang berbaloi saya belanja makan pagi ini. Sebagai bonus, itu dia Suraya!” maklum Ren pula seraya menundingkan jarinya ke arah orang ramai yang sedang berbaris untuk membeli secara bungkus nasi lemak di warung Jang. Enbi dan Nazrul serentak melontarkan pandangan mereka ke arah tersebut yang jaraknya kira-kira 15 meter dari meja makan mereka. Kelihatan Suraya berada dalam barisan tersebut.

“Suraya…” Spontan terpacul perkataan tersebut dari mulut Nazrul. Hatinya berdebar-debar. Perasaannya bercampur-aduk antara gembira dan sedih.

“Patutlah beria-ia kau mengajak kami ke sini. Kau memang tahu bahawa Suraya akan datang ke sini juga, betul tak Ren?” tanya Enbi dengan nada kurang senang. Beliau akhirnya dapat menghidu akan niat sebenar Ren Fairuz.

“Janganlah begitu. Kita berilah peluang kepada Suraya untuk menjelaskan keadaan. Nazrul, pergilah berjumpa dia. Puaskan hati awak.” saran Ren. Nazrul yang termangu seketika perlahan-lahan bangkit dan menuju ke arah Suraya sebagai tanda menyetujui saranan imam muda tersebut.

“Kau ni licik betul, Ren. Betulkah kau ni seorang guru agama?” pertikai Enbi.

“Heh! Jangan berprasangka terhadap seorang imam muda yang baik hati, tau?” tegur Ren.

“Baik hati? Kau asyik minum air kotak aku tanpa kebenaran. Malah mengambil senyap-senyap macam pencuri professional. Asyik minum air kotak. Sekarang pun tengah minum air kotak juga.” rungut Enbi.

“Apa pula kena-mengena kegemaran saya minum air kotak dengan prasangka awak?” tingkah Ren pula. Pertelingkahan sia-sia mereka dimatikan dengan suara Suraya yang agak lantang.

“Sudahlah tu, Nazrul. Janganlah asyik mengganggu saya. Awak fikir awak ni siapa?” Herdikan Suraya singgah ke cuping telinga Enbi. Serta-merta Enbi bangun. Namun lengannya dengan pantas disentap oleh Ren. Beliau memandang ke arah imam muda tersebut dengan pandangan menyinga.

“Sampai bila awak nak pimpin tangan adik awak, Enbi? Dia sudah dewasa. Biarlah dia melalui semua ini sendiri.” ujar Ren. Kata-kata tersebut membuatkan Enbi terpaku. Spontan beliau kembali duduk di bangkunya. Perasaannya beransur-ansur menjadi tenang.


“Maafkan saya kalau Suraya berasa begitu. Saya tiada niat nak mengganggu Suraya. Saya cuma ingin mengenali Suraya dengan lebih rapat. Maafkan saya.” permohonan Nazrul membuatkan Suraya bungkam. Keadaan tidak selesa tersebut berakhir apabila mereka berdua dihampiri oleh seorang jejaka yang tampan dan agak tegap fizikalnya.

“Budak ini mengganggu sayangkah?” tanya jejaka tersebut. Matanya tajam menghunjam ke arah Nazrul.

“Tak mengapa. Hal kecil sahaja.” jawab Suraya. Matanya enggan menatap pandangan Nazrul.

“Hah, nak apa lagi? Pergilah berambus sekarang.” ujar jejaka tersebut dengan senyuman sinis. Nazrul perlahan-lahan memandang ke arahnya pula.

“Muka kacak. Gaya seperti orang berpendidikan. Tetapi rupa-rupanya manusia kelas rendah yang berpakaian cantik sahaja.” Sindiran balas Nazrul membuatkan darah jejaka tersebut menyirap.

“Pergi jahanamlah!” Sebaik sahaja menghabiskan ayatnya, jejaka tersebut terus menghunjamkan peninjunya ke muka Nazrul. Akan tetapi dengan mudah Nazrul mengelit dan mengelakkannya. Jejaka tersebut menjadi semakin berang. Tanpa mempedulikan larangan Suraya, beliau bertubi-tubi melepaskan penumbuknya ke arah Nazrul.

“Mengapa serangannya perlahan? Begitu mudah aku nampak dan mengelakkannya.” ujar Nazrul di dalam hati. Setakat ini tidak satupun serangan jejaka tersebut mengenainya.

‘Bukan. Bukan serangannya yang perlahan. Sebenarnya gerakanku yang lebih pantas daripadanya. Pengamatanku, naluriku, daya penanggapanku dan pertimbanganku lebih pantas dari serangannya. Itu sebabnya aku boleh menjangkakan arah serangannya.” detak Nazrul di dalam hatinya lagi. Penumbuk jejaka tersebut akhirnya ditangkap dengan mudah oleh jari-jemari Nazrul.

“Wow!” ujar Ren dengan perasaan kagum. Perasaan sedemikian turut dirasai oleh Enbi, Suraya dan orang ramai yang menyaksikan pergaduhan tersebut. Jejaka tersebut juga turut terpaku. Perasaan gentar mula menyelinap di hatinya. Akan tetapi Nazrul tiba-tiba melepaskan cengkamannya.

“Maafkanku kerana menyidirmu tadi. Tak usahlah kita bergaduh lagi.” pinta Nazrul. Ternyata beliau enggan bergaduh pada pagi yang indah ini.

“Ceh!” balas jejaka tersebut seraya berpaling untuk pergi. Namun tiba-tiba dengan secepat kilat beliau kembali berpusing lantas melepaskan penumbuknya ke arah Nazrul. Nazrul spontan mengangkat lengan kirinya untuk menangkis. Namun buku lima jejaka tersebut telahpun dicengkam kemas oleh lima batang jari yang kuat. Matlamat serangan tersebut mati serta-merta.

“Abang ngah!” ujar Nazrul dengan nada terperanjat. Rupa-rupanya Enbi dengan pantas menyelinap di belakang adiknya lantas menahan penumbuk jejaka tersebut dengan hanya sebelah tangan kirinya.

“PERGI MAMPUSLAH, CELAKA!!!” pekik Enbi seraya melepaskan penumbuk yang sangat kencang tepat ke muka jejaka tersebut. Suatu bunyi seakan-akan ranting patah kedengaran. Tubuh jejaka tersebut melayang ke belakang dan terhempas kira-kira dua meter jauhnya dari jarak ditumbuk tadi. Darah memercik ke udara.

Keadaan yang sedang berlaku sangat pantas dan menakutkan. Namun Ren Fairuz pula nampaknya hanya memerhatikan insiden tersebut dengan senyuman penuh teruja.

*****************************************


Pada masa yang sama…

Remy terduduk dalam keadaan bungkam. Wajahnya menjadi pucat tatkala pulang ke markas di Bercham. Laporan anak buahnya yang terselamat dalam kejadian serangan pada malam semalam benar-benar membuatkannya terperanjat sehingga kehilangan bicara dan buntu fikiran. Di skrin teleholo, terpapar berita anak-anak buahnya dan orang-orang Tai-Pan yang mati dikerat-kerat oleh sesuatu yang luar biasa. Keadaan bangunan di sekeliling tempat kejadian juga musnah seolah-olah dipancung dengan senjata yang sama.

“Tuan, bagaimana sekarang? Apa yang kita nak buat sekarang?” Pertanyaan anak buahnya itu terbiar sepi tanpa buah jawapan. Anak-anak buah Remy yang masih bersamanya juga kelihatan bingung dengan keadaan ketua mereka. Akhirnya mulut Remy mengeluarkan suara. Namun ianya bukanlah suatu bait bicara. Ianya hanyalah tawanya yang mulanya perlahan dan beransur-ansur menjadi terbahak-bahak.

Anak-anak buah Remy menjadi semakin bingung. Remy pula tiada berkesudahan tawanya. Namun tiada berkesudahan juga mengalirkan air mata.


- Bersambung -


*************************************
Notakaki :

Rasanya tak terlambat untuk saya mengucapkan selamat menyambut tahun 2010 kepada anda semua. Saya tidak mempunyai sebarang azam. Malas nak buat sebab tak pernah dapat dipenuhi sungguhpun yang mudah. Tapi saya tetap menghormati orang yang membuat azam tahun baharu. Semoga azam anda tercapai :)

Bagi sesiapa yang pernah membaca cerita ini, tentu anda perasan akan penambahan ceritanya. Pada masa saya membuat cerita ini, kemahiran saya dalam menggarap cerita masih lemah. Kini walaupun belum boleh dikatakan sempurna, tetapi tampak berkali ganda lebih baik dari dulu. Saya percaya suatu hari nanti pasti berkali ganda lebih baik dari sekarang. Cuma saya bimbang kalau-kalau kekeringan idea nanti :(

Saya juga ada membaca karya-karya saudara dan saudari yang mengikuti blog saya ini. Ada sesetengahnya pada hemat saya adalah lebih baik dari saya sendiri dari segala segi. Teruskan menggarap daya kreativiti anda dan kalau boleh jangan biarkan kesusateraan kita mati akibat terlalu banyak kerenah birokrasi yang mampu memandulkan minda kita. Kita tidak perlu duduk di pentas ternama untuk menjadi orang ternama. Jumpa lagi!

1 comment:

khasyikelvin_ said...

suka dengan bahasa
dari ayat2 yang
tersusun di sini.
buat orang rasa mesra.