Catatan Sir Reginald; 60 tahun yang lalu :
(diterjemah ke dalam Bahasa Melayu)
Rekod serta fakta tentang Pendekar Emissary dan Organisasi yang melatihnya adalah sangat kabur dan dipenuhi dengan kemisterian. Malah pertubuhan yang dikenali sebagai Organisasi juga adalah tidak diketahui nama dan asal-usulnya. Cuma berdasarkan beberapa cerita serta teori daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai; maka saya boleh membuat kesimpulan seperti berikut :
Organisasi ini dipercayai ditubuhkan oleh sekumpulan muliti-bllionair beragama Islam yang mahu melindungi kepentingan agama dan negara mereka. Sekatan-sekatan yang dikenakan oleh dunia Barat terhadap negara Islam untuk memiliki kuasa nuklear serta teknologi persenjataan canggih telah menyebabkan Organisasi bertindak mencipta senjata mereka sendiri berdasarkan sains dan agama. Malah dasar penindasan oleh Amerika terhadap negara-negara Islam juga turut menggiatkan lagi usaha tersebut.
Organisasi tersebut percaya bahawa manusia sebenarnya mampu menjadi senjata yang paling hebat di dunia. Ini adalah berdasarkan kenyataan di dalam agama Islam bahawa tuhan mereka yang digelar Allah telah memilih manusia untuk menjadi pemerintah di dunia berbanding dengan makhluk ciptaannya yang lain menguatkan lagi teori mereka.
Organisasi juga percaya bahawa seseorang Islam pada suatu tahap amalan dan latihan mampu memperolehi suatu anugerah daripada tuhan mereka. Anugerah tersebut dikenali sebagai ‘Karamah’. Karamah membolehkan seseorang itu menjanakan kuasa yang dikurniakan oleh tuhan untuk melakukan perkara-perkara yang dianggap ajaib atau mustahil dilakukan oleh manusia biasa.
Sungguhpun konsep Karamah ini disanggah oleh para saintis dan realis bukan Islam, namun saya telahpun menyaksikannya dengan mata kepala saya sendiri. Seorang Pendekar Emissary yang digelar ‘Black Rain’ telah ‘memanggil’ hujan turun dari langit dengan lebatnya dan menggunakan titisan-titisan hujan tersebut sebagai peluru yang sangat dahsyat. Lima batalion tentera darat yang dihantar untuk menanganinya telah dimusnahkan sama-sekali dalam masa tidak sampai setengah jam. Inilah kali pertama saya menyaksikan kereta kebal kalis nuklear bernama Obelisk ditembusi oleh peluru-peluru titisan air hujan. Ketamadunan kota London telah dilenyapkan oleh Emissary Black Rain dalam masa lima hari sahaja.
Negara Amerika telahpun dimusnahkan lebih kurang 3 bulan yang lalu oleh 5 orang Pendekar Emissary. Kini Peranchis pula menjadi sasaran mereka. Kesemua senjata nuklear milik tentera Peranchis telahpun dilumpuhkan pada hari pertama mereka menyerang. Dijangkakan Peranchis juga akan menerima nasib yang sama seperti Amerika.
- Sir Reginald Hickins (Sarjana berbangsa British yang kini menjadi pelarian)
12 hari lalu :
“ARRRGHHH!!!” Jeritan kesakitan bergema di segenap pelosok ruang sebuah makmal usang yang telah agak lama tidak digunakan. Di suatu sudut bilik yang agak tersembunyi kelihatan seorang doktor dalam lingkungan usia 60an sedang mencuci mata seorang pesakitnya dengan kain kasa yang terlebih dahulu telah disapukan dengan ubat. Setelah diamat-amati, rupa-rupanya pesakit tersebut adalah si pencuri pakaian dalam yang telah dicederakan matanya oleh Nazrul tadi.
“Sabarlah. Mata kau telah dicederakan dengan agak teruk. Mujurlah kau segera berjumpa denganku. Kalaulah terlewat beberapa jam, mungkin kau akan buta selama-lamanya.” leter doktor tersebut. Sungguhpun begitu, si pencuri tersebut tetap mengerang kesakitan.
“Terima kasih.” Begitu payah sekali si pencuri mengungkapkan rasa terhutang budinya.
“Berterima kasihlah kepada Don. Beliaulah yang mengaturkan pertemuan kita.” Kata-kata doktor tua tersebut terus mengingatkan si pencuri akan ketuanya yang bergelar ‘Don’. Don adalah seorang ketua sindiket jenayah yang paling berpengaruh di Malaysia. Desas-desus mengatakan bahawa ahli kumpulannya kini telahpun mencecah seramai 50,000 orang. Sungguhpun begitu; nama, rupa dan latar belakang Don adalah masih misteri. Tidak begitu ramai orang yang pernah melihat atau mengenalinya.
“Celaka punya MetroPolis! Aku akan bunuh mereka bila aku sembuh kelak!” pekik si pencuri sebaik sahaja kain kasa berubat yang baru menyentuh kulit kelopak matanya. Kemudian disusuli dengan beberapa pekikan lantang.
18 hari selepas kejadian tersebut…
Seorang wanita yang agak berumur mengetuk daun pintu yang diperbuat dari Nyatoh dengan penuh tertib dan rasa hormat. Setelah beberapa ketika baharulah beliau mempunyai keberanian untuk memusingkan tombol pintu tersebut dan berdehem kecil sebelum masuk. Setelah daun pintu dikuak dengan agak luas, baharulah beliau ternampak akan orang yang ingin diketemuinya. Namun individu tersebut kelihatan telahpun memusingkan kerusi empuknya untuk membelakangi wanita tersebut. Nyatalah beliau tidak ingin wanita tersebut melihat wajahnya.
“Tuan Don, Riko telahpun diberikan bantuan perubatan yang sewajarnya atas arahan tuan. Tapi nampaknya beliau kurang berpuas hati…” lapor wanita tersebut dalam keadaan takut-takut.
“Kurang berpuas hati dengan ‘klinik’ yang beliau pergi, bukan?” tanya orang yang dipanggilnya sebagai Tuan Don dengan suara yang tenang. Wanita tersebut menganggukkan kepala. Namun baharulah beliau sedar bahawa Don sedang membelakanginya.
“Er... Ya tuan. Beliau kata bahawa beliau patut dirawat di tempat yang lebih cantik daripada itu.” jawab wanita tersebut dengan agak gugup.
“Riko itu memang tak kenang dek untung. Beliau nampaknya langsung tidak menghormati tuan. Mungkin tuan patut hapuskannya dengan segera.” Tiba-tiba seseorang bersuara dari suatu sudut yang gelap dan tersembunyi dalam bilik tersebut. Wanita itu terkejut hingga hampir berteriak. Namun lelaki yang dipanggil Don tadi hanya tertawa kecil.
“Janganlah begitu. Aku bukannnya suka membunuh dengan tentu pasal. Lagipun aku sudah menyediakan satu permainan yang menarik untuk MetroPolis. Aku nak lihat sejauh mana mereka mampu menangani orang seperti Riko.” balas Don dengan tenang. Perasaan teruja jelas dirasakan melalui suaranya.
Malam itu…
Nazrul berasa hampir pitam. Latihan tambahannya dengan Enbi benar-benar memenatkan. Setelah menjalani latihan selama tiga jam dengan David, Enbi menyarankan agar mereka meneruskan latihan tambahan di sebelah malam pula. Malah Enbi sanggup menggunakan salah satu dari rumah kedai kosong miliknya untuk dijadikan tempat latihan. Nazrul pula menyanggupi sahaja cadangan abangnya kerana tidak mahu terlalu teringatkan tentang Suraya.
“Kamu berdua memang hebatlah! Kata-kata pujian tersebut mengejutkan kedua-dua adik-beradik itu. Fokus mereka terganggu. Api semangat pertarungan yang berkobar-kobar tadi langsung terpadam. Ren Fairuz rupa-rupanya yang datang menjengah. Tangan kanannya kemas menjinjing sebuah bekas yang agak berat rupanya. Enbi segera dapat mengecam empunya bekas tersebut.
“Cat tidak dapat datang, ya?” tanya Enbi dalam cungapnya. Ren mengangguk. Kemudian beliau menayangkan bekas tersebut kepada Enbi.
“Dia mengirimkan minuman herba dan ginseng kepada kamu berdua. Untuk memulihkan tenaga.” jawab Ren. Namun Enbi telahpun mengetahui apa yang disediakan oleh Catherine untuk mereka berdua. Semenjak menjalankan latihan tambahan pada 5 hari lepas, setiap malam Catherine akan menghantar minuman berkhasiat tersebut kepada mereka. Enbi memberi isyarat kepada adiknya untuk menamatkan latihan pada malam ini. Kedua-dua mereka terus menghampiri Ren yang telahpun duduk di sebuah bangku panjang yang disediakan oleh Enbi. Ternyata abang Nazrul telah melengkapkan ruang kosong rumah kedai tersebut dengan beberapa peralatan canggih untuk melakukan senaman bagi meningkatkan stamina dan kekuatan. Peti kecemasan juga disediakan; kalau-kalau berlaku kecederaan semasa mereka sedang berlatih.
“Minuman yang Cat sediakan memang berkesan untuk menghilangkan kelesuan tubuh. Tapi sakit-sakit dan lebam-lebam di badan kami ini masih ada.” rungut Enbi. Nazrul juga turut menganggukkan kepala.
“Itulah sebab saya datang. Cik Catherine yang minta saya sediakan minuman herba penghilang sakit dan lebam untuk kamu berdua.” balas Ren seraya mengunjukkan sebuah bekas silinder besi yang dijinjitnya bersama bekas Catherine. Ianya juga adalah milik gadis molek tersebut. Namun Enbi tahu bahawa isi di dalamnya adalah ubat yang dibuat oleh Ren.
“Bagus! Terima kasih Ren!” ujar Enbi dengan perasaan gembira. Nazrul yang sedang meneguk minuman herba Catherine turut terhenti berbuat demikian. Matanya membulat dengan riak teruja. Ubat yang dibuat oleh Ren memang sangat mujarab. Kecederaan berat yang dialami oleh Nazrul sembuh seratus-peratus dalam masa empat hari sahaja.
“Ren, aku sebenarnya berasa takut,” tiba-tiba suara lirih Enbi menerjah ke gegendang Ren Fairuz. Ren yang sedang menghidu-hidu kipas tangannya tersentak. Matanya tepat memandang ke arah rakan barunya. Imam muda itu kemudian menghiasi wajahnya dengan senyuman.
“Takutkan apa?” tanya Ren.
“Aku takutkan mati.” jawab Enbi.
“Hum! Saya pula takutkan labah-labah.” komen Ren seraya ketawa. Enbi mencebikkan bibir. Nyata perasaannya tersinggung. Pun begitu, perasaan gelisah dan tidak tenteram jelas terpapar pada wajahnya yang selalunya serius. Nazrul hanya berdiam diri. Beliau begitu memahami keadaan abangnya sekarang. Trauma natijah dari kecederaan pertarungan tempohari masih menebal di ruang emosi Enbi.
“Dalam hidup kita, satu perkara yang kita pasti tentang masa depan kita ialah kita akan mati. Jadi kenapa perlu takut?” ujar Ren kemudiannya. Kata-kata tersebut menyentakkan perasaan Enbi. Begitu juga Nazrul.
“Pahlawan Islam di zaman Nabi Muhammad S.A.W. adalah sangat handal dan ditakuti oleh para musuh kerana mereka tidak takutkan mati. Malah mereka berharap untuk mati ketika berjuang. Tahukah kenapa begitu keadaannya?” tanya Ren pula. Kedua adik-beradik tersebut menggelengkan kepala.
“Jawapannya ialah kerana mereka berjuang di jalan yang betul. Mereka percaya apa yang mereka buat akan membawa manafaat kepada seluruh manusia kelak. Atas kepercayaan dan keyakinan inilah maka mereka tidak perlu takutkan mati, kerana mereka tidak akan berasa kesal dengan keputusan mereka. Sama ada perjuangan mereka berjaya atau tidak, ianya tidak lagi menjadi faktor utama. Apa yang penting ialah ianya adalah suatu perjuangan yang benar. Jika mereka mati kerananya, balasannya adalah tetap syurga. Jadi tiada apa yang perlu mereka kesal atau takutkan.” jawab imam muda itu dengan panjang lebar.
“Kamu berdua memperjuangkan sesuatu yang kamu percaya adalah benar dan membawa kebaikan kepada semua orang. Jadi perjuangan kamu adalah mengikut kehendak Allah, tuhan kita. Jika kamu kehilangan nyawa kerananya, tidak mengapa. Balasan yang baik tetap akan menanti kamu berdua. Jadi kenapa mesti takut akan mati?” tanya Ren lebih berbentuk kepada sindiran. Enbi dan Nazrul bungkam di situ.
“Jasmaniah kamu sudah cukup terlatih sekarang. Apa yang kamu perlu lakukan sekarang ialah untuk melatih dan menstabilkan rohaniah dan emosi kamu pula. Lawan kamu cukup terlatih dalam kedua-dua bidang ini. Sekarang adalah masa untuk kamu berdua memikirkan strategi pula.” nasihat Ren Fairuz.
“Amboi! Banyaknya yang kamu tahu Ren. Kamu pun pakar seni pertarungan jugakah?” tanya Nazrul dengan nada sinis.
“Saya ambil ayat tadi dari filem aksi Jaguh Sepi.” jawab Ren Fairuz seraya ketawa ceria.
“Patutlah macam pernah dengar!” komen Enbi pula. Mereka bertiga tertawa. Tawa mereka bergema memenuhi ruang kedai kosong tersebut. Namun bunyi yang mencerminkan perasaan mesra dan persahabatan tersebut ditenggelamkan oleh hiruk-pikuk ratusan kenderaan yang sama ada menjalar di atas jalanraya ataupun bersimpang-siur di udara. Ribuan cahaya dari lampu nitro neon pelbagai warna menerangi Bandaraya Ipoh bagaikan menyambut pesta secara besar-besaran. Ratusan iklan berbentuk holografik (yang disiarkan di ruang udara secara tiga dimensi) memeriahkan lagi suasana. Malam dan siang tiada bezanya.
Begitu juga dengan aktiviti jenayah. Malam dan siang. Tiada bezanya.
Pada masa yang sama…
“Berhati-hati dengan barang-barang yang kita angkut ini. Ianya lebih berharga dari nyawa kamu semua, faham? Tuan Disco Inferno pasti akan menghukum kita jika ada sesuatu yang berlaku pada barang-barang ini.” teriak salah seorang selaku mandur pada sekumpulan pemuda yang sedang mengangkut kota-kotak yang besar lagi berat. Barang-barang tersebut pastilah dadah yang telah dicuri oleh Disco Inferno atau Remy daripada Don untuk dihadiahkan kepada ketua kumpulan Tai-Pan. Ternyata Remy ingin mengkhianati kumpulan Don dan menyertai kumpulan Tai-Pan. Hadiah yang berupa lima kotak dadah tersebut adalah jaminan beliau untuk mendapat kedudukan yang tinggi dalam kumpulan Tai-Pan kelak. Aktiviti ini dilakukan di kawasan perindustrian yang telah lama ditinggalkan. Tempatnya sungguh gelap lagi suram, namun ianya sangat cocok dengan aktiviti tersebut.
“Betulkah dadah ini lebih berharga daripada nyawa kami?” Tiba-tiba salah seorang dari ahli kumpulan tersebut bersuara tatkala kerja-kerja memunggah kotak-kotak dadah itu sedang dilakukan dari kenderaan mereka.
“Tentulah. Kita semua terhutang budi kepada tuan Disco Inferno kerana melindungi kita selama ini.” balas si mandur dengan nada kurang senang.
“Yakah? Aku rasa tuan Disco Inferno sedang memperalatkan kita. Dan sekarang dia sedang mengkhianati tuan Don pula. Dia bukannya melindungi kita. Disco Inferno sekarang sedang membahayakan nyawa kita semua. Malah dia langsung tidak ada bersama kita sekarang. Memang dasar pengecut.” tingkah suara tadi.
“Kurang ajar! Siapa yang berkata-kata sedemikain tadi? Keluar tunjukkan muka sekarang juga!” bentak si mandur dengan nada bengang. Keadaan hening seketika. Sekonyong-konyongnya muncul kelibat seorang lelaki yang tegap lagi tinggi. Wajahnya amat dingin seolah-olah dilahirkan ke dunia ini tanpa sebarang perasaan. Si mandur tadi agak gugup tatkala bertentang mata dengan lelaki tadi.
“Ka.. Kamu ini siapa? Aku… tak pernah melihat kamu sebelum ini.” tanya si mandur itu dengan agak tergagap. Lelaki tadi tidak menjawab soalannya. Sebaliknya beliau menghalakan telunjuk kanannya ke arah si mandur tersebut. Tiba-tiba kelihatan beberapa garis cahaya putih menembusi tubuh si mandur tadi. Si mandur hanya mampu menjerit kesakitan tatkala tubuhnya terbelah menjadi beberapa bahagian. Sungguhpun begitu, tiada setitik darahpun tumpah ke tanah. Anak-anak buahnya menjadi tergamam dan hanya terpaku melihatkan kejadian ngeri tersebut. Malah ada yang terkencing kerana ketakutan.
“Kan aku sudah katakan yang Disco Inferno membahayakan nyawa para pengikutnya? Sekarang kamu semua bolehlah mati dengan sia-sia.” ujar lelaki tersebut seraya menghalakan telunjuknya kepada ahli kumpulan Disco Inferno pula.
1 comment:
bagus2! karya yg bgus! jemput ke blog saya, http://elsipenulis.blogspot.com/
Post a Comment