“SIAL!!!”
Sebelum sempat si penjenayah tersebut berbuat apa-apa, leher dan ketiak kanannya telahpun dipaut oleh Nazrul dari belakang. Namun cengkaman tersebut tidaklah begitu kemas kerana Nazrul masih dalam keadaan yang lemah. Pun begitu, sekurang-kurangnya tindakan beliau dapat menghindarkan abangnya daripada terus dibelasah dengan teruk.
Si penjenayah dengan tangan kirinya yang masih lepas bebas spontan menyiku dengan keras ke rusuk kiri Nazrul. Cengkaman Nazrul ke atasnya langsung terungkai. Ketua Audit Bank Enbi Sdn. Bhd. itu melolong kesakitan. Tiba-tiba perutnya terasa seperti diterjah dengan keras. Nazrul jatuh terduduk. Disusuli dengan beberapa tendangan kencang ke bahagian atas tubuhnya. Nazrul segera berbaring di atas tanah dan mengerekotkan diri untuk melindungi diri.
Si penjenayah berhenti seketika dan perlahan-lahan berundur ke belakang. Beliau nampaknya perlu mengambil nafas setelah menyerang kedua-dua anggota MetroPolis tanpa henti tadi. Pun begitu kedua biji matanya terus-menerus dengan tajam mengawasi Nazrul yang masih mengerekot seperti udang dibakar.
“Manusia yang tak sedarkan diri. Keupayaan kamu berdua macam semut jika nak dibandingkan dengan aku. Kamu ingat dengan menjadi anggota polis maka orang akan takutkan kamukah? Ceh! Otak budak kecil saja yang berfikiran begitu!” tempelak si penjenayah dalam mengahnya. Beliau kini bergerak kembali menuju ke arah Nazrul.
“Bangun!” bentaknya dengan kasar seraya mencekak belakang kolar Nazrul untuk membangunkannya. Kali ini beliau bercadang untuk melunyaikan muka pemuda itu pula. Akan tetapi dengan tanpa disangka-sangka Nazrul memusingkan tubuh dengan secepat kilat lantas menyemburkan sejenis cecair ke arah muka si penjenayah tersebut.
“ADUH!!! CELAKA!!! ARRRRGH!!!” Si penjenayah melolong bagaikan orang gila. Kedua biji matanya seakan-akan seperti terbakar akibat terkena semburan cecair tersebut. Tubuhnya terhoyong-hayang menahan kesakitan. Kini keadaan tidak lagi memihak kepadanya.
“Sedap tak?” tanya Nazrul dengan suara lemah. Tubuhnya serasakan begitu payah sekali untuk ditegakkan. Rupa-rupanya Nazrul membawa bersamanya setin alat penyembur deodoran. Tidak seperti Enbi, Nazrul sedar akan keupayaannya sendiri. Jadi beliau bersiap-sedia membawa beberapa barangan untuk dijadikan sebagai senjata sebagai langkah berjaga-jaga. Sikapnya itu telah membawa manafaat kepadanya sekarang.
Si penjenayah sedar lawannya pasti sedang bersiap-sedia untuk membalas. Jadi sebelum Nazrul menstabilkan diri, adalah lebih baik beliau menyerang lawannya terlebih dahulu. Dengan sisa-sisa pandangan yang masih ada, si penjenayah mengenepikan perasaan sakitnya lantas terus menyerbu ke arah Nazrul.
Namun Nazrul yang lebih kini bersedia untuk mempertahankan diri segera melompat ke sebelah kanan untuk mengelakkan serbuan tersebut. Disusuli dengan semburan yang berterusan ke arah si penjenayah tadi. Si penjenayah yang kini diselubungi dengan kabus penyembur deodoran tersebut terpaksa memejamkan matanya. Beliau menghayunkan kedua-dua peninjunya secara membabi buta. Nazrul masih berterusan menyembur ke arah lawannya.
Si penjenayah tersedak tiba-tiba. Lantas terbatuk bertalu-talu. Ternyata kabus penyembur deodoran tadi telah menyekat bekalan oksigen di ruang udara dari memasuki paru-parunya. Ditambah pula bau wangi yang begitu menyengat menyebabkan kepalanya menjadi pening.
“AAARRRGHHH!!!” Si penjenayah akhirnya mengambil keputusan untuk melarikan diri setelah melepaskan teriakan kekecewaan. Dengan pandangan yang masih kabur, beliau terpontang-panting meluru mencari jalan keluar dari kilang tersebut.
“Pengecut…” Sebaik sahaja mengungkapkan perkataan tersebut, tubuh Nazrul kembali menyembah bumi. Kini beliau boleh tidur buat seketika tanpa berasa bimbang lagi akan sebarang mara bahaya.
Seminggu kemudian…
“Hai Nazrul, Ustaz Ren!” Nazrul yang baharu sahaja terjaga daripada tidurnya perlahan-lahan berpaling ke arah suara lunak yang menegurnya. Ren Fairuz yang sedang membilang biji tasbih juga mengangkatkan kepala.
“Selamat datang, cik Catherine!” tegur Ren Fairuz dengan ramah. Beliau telahpun menemani Nazrul selama lebih dari 3 jam pada hari ini. Nazrul enggan menjawab sapaan Catherine. Matanya kembali dipejamkan. Catherine memandang ke arah Ren Fairuz seraya membuat ekspresi wajah bertanyakan mengapa Nazrul bersikap sedemikian.
“Cik Suraya langsung tak datang menjenguknya.” Kata-kata yang bersahaja daripada Ren Fairuz kembali membeliakkan mata Nazrul.
“Sial kau, Ren!” cerca Nazrul dengan suara yang masih lesu. Sudah genap seminggu beliau terlantar di hospital, namun Suraya langsung tidak datang menjengahnya. Telah berulang kali Nazrul berpesan kepada Ren Fairuz dan Catherine untuk memaklumkan kepada Suraya tentang keadaan dirinya dan di wad mana beliau berada sekarang. Namun kelibat gadis jelita idamannya tersebut masih belum kelihatan sehingga kini. Sungguhpun fikirannya enggan berfikir yang bukan-bukan, namun naluri Nazrul begitu kuat memberitahunya akan hakikat sebenar yang sangat pahit iaitu cintanya cuma bertepuk sebelah tangan sahaja.
Catherine terus duduk di sisi Nazrul. Tangannya lunak menepuk-nepuk bahu kiri Nazrul untuk menenangkan perasaan pemuda tersebut. Namun hatinya juga sebengang Nazrul. Sudah begitu lama Nazrul berada di Hospital DiRaja Sultan Azlan Shah, namun Suraya langsung tidak datang melawat. Hendak dikatakan sibuk sangat dengan kerjaya, Suraya hanyalah seorang model sambilan sahaja. Dirinya itu masih belum cukup terkenal untuk mendapat tawaran yang mencurah-curah saban ketika.
“Dalam perjalanan balik nanti kakak akan singgah lagi ke rumah Sura-”
“Tak payahlah kak Catherine susahkan diri lagi. Dia takkan datang.” tingkah Nazrul untuk mencantas kata-kata pujukan Catherine. Ren Fairuz yang sedang berzikir terhenti membilang biji tasbihnya. Matanya tertancap ke arah Nazrul yang merenung kosong ke arah siling bilik wad kelas VVIPnya.
“Angan-angan kosong sahaja memang akhirnya akan menyakitkan hati kita.” komen Ren.
“Yang menyakitkan hati aku ialah KAU!” bentak Nazrul, yang kemudiannya mengerang kesakitan kerana kecederaan perutnya masih belum kebah.
“Cakap Ren itu memang betul. Kerana angan-angan kosonglah kita berada di sini sekarang.” Suara di jenang pintu menyentakkan ketiga-tiga orang di bilik tersebut. Kelihatan Enbi yang masih berbalut di sana-sini di tubuhnya sedang tercegat di jenang pintu wad sambil tersenyum sumbing.
“Eh! Enbi dah boleh berjalan? Kan awak kena lebih teruk daripada Nazrul?” persoal Catherine dengan nada yang sangat terkejut. Beliau pergi melawat Enbi di bilik sebelah tadi. Sementelah pemuda idamannya itu kelihatan sedang tidur dengan nyenyak, Catherine mengambil keputusan untuk tidak mengganggu Enbi dan pergi melawat Nazrul pula.
“Memanglah. Sepatutnya paling cepat pun sebulan aku boleh bangun dari katil hospital.” jawab Enbi dengan senyuman bangga.
“Habis itu, macam mana awak boleh sembuh dengan begitu cepat? Lebih cepat daripada Nazrul?” tanya Catherine dengan nada kehairanan. Nazrul yang sedang memandang ke arah abangnya juga memberikan ekspresi yang sama.
“Ubat minum yang diberikan oleh Ren Fairuz sangat mujarab menyembuhkan kecederaan dalamanku. Walaupun rasanya pahit, malah dibubuhnya di dalam bekas air kotak jus lemon pula tu... aku sangat berterima kasih kepadanya.” jawab Enbi dengan perasaan gembira. Ren Fairuz yang masih membilang biji tasbihnya menganggukkan kepala sambil tersenyum.
“Aku juga berterima kasih kepadamu, Nazrul. Kebijaksanaan dan sikapmu yang menyedari akan keupayaan diri telah menyelamatkan kita berdua.” ujar Enbi yang mula berjalan perlahan-lahan ke arah katil Nazrul dan kemudian duduk di sebelah Catherine. Nazrul tersenyum tawar mendengarkan pujian abangnya.
“Ternyata kita tak membuat persediaan yang secukupnya untuk menjadi anggota polis. Senjata api pun kita tak ada. Malah selain daripada Cat, kita berdua langsung tidak mempelajari seni mempertahankan diri. Kita hampir membayar dengan nyawa kita di atas kesilapan tersebut.” komen Enbi dengan nada kesal.
“Tentang hal Suraya tu, janganlah kau fikirkan sangat. Kalaulah dia tak nampak akan keistimewaan dan kelebihan yang kau ada, maka bagiku dia hanyalah seorang gadis cantik tetapi dungu. Aku pun tak inginkan adik ipar macam itu. Ada ramai lagi gadis-gadis yang lebih cantik dan menggiurkan untuk kau pikat.” sambung Enbi lagi seraya menjentik lunak dahi adiknya. Serta-merta hati Nazrul menjadi tenang. Fikirannya kembali fokus. Perlahan-lahan wajahnya beralih ke arah Ren Fairuz.
“Ren, aku… aku…”
“Saya maafkan dunia akhirat.” ujar Ren Fairuz seraya menepuk-nepuk bahu kanan Nazrul. Nazrul menganggukkan kepala seraya tersenyum gembira.
“Ren, boleh tak kau buatkan ubat mujarab itu untuk aku pula?” pinta Nazrul.
“Siap sedia untuk diminum!” Ren Fairuz terus mengeluarkan air kotak jus bunga kekwa pula dari peti sejuk di sisi katil Nazrul. Enbi menggelengkan kepala. Catherine ketawa besar. Nazrul tersengih.
“Stay cool, calm and confident with TRISI sanitary pad!” hebahan iklan di teleholo meredakan suasana ceria mereka. Kesemua mata tertumpu ke arah iklan tersebut. Kelihatan aksi Suraya sedang bergurau-senda dengan dua orang lagi gadis cantik di dalam iklan tersebut.
“Kalau diikutkan, secara teorinya Suraya ada melawat saya tiap-tiap hari di hospital.” komen Nazrul yang merujuk kepada imej Suraya di teleholo yang agak kerap disiarkan.
Keempat-empat sahabat tersebut ketawa serentak.
No comments:
Post a Comment