Sunday, December 6, 2009

MetroPolis 2009 - Bab 11

Bertempur!


Kolej Articulate Sdn. Bhd., pada masa yang sama…

Seorang lelaki yang tampan tetapi agak nakal raut wajahnya kelihatan sedang bersiul-siul kecil dengan riang di tempat menunggu tetamu di kolej tersebut. Tangannya tidak berhenti-henti mencoret dan mencatat beberapa formula yang pelik di buku nota elektroniknya. Lakaran yang sedang dibuat olehnya seolah-olah mirip selaras pelancar roket.

“Sayaang!” Teriakan ceria di belakang lelaki tersebut mematikan perasaan terujanya yang begitu asyik berkarya. Belumpun sempat lelaki tersebut sempurna berpaling ke arah empunya suara, beliau telahpun didakap dengan begitu erat sekali oleh seorang gadis. Lelaki itu yang tampak jauh lebih tua daripada gadis tersebut membalas dakapan tadi dengan rangkulan yang mesra.

“Hei, gadis manis. Gelagat kita sedang diperhatikan oleh orang ramai.” tegur pemuda tersebut dengan lembut. Gadis yang mendakapnya segera melepaskan rangkulan. Pipinya menjadi kemerah-merahan.

“Trini, mari kita pergi makan. Abang laparlah!” sarannya lelaki tersebut. Gadis tersebut tersenyum-senyum.

“Kita nak ke mana, Remy?” tanya gadis yang bernama Trini tersebut dengan manja.

“Ceh! Panggillah dengan gelaran yang betul.” tegurnya seraya tertawa kecil.

“Baiklah, tuan Disco Inferno!” balas Trini seraya tertawa. Lelaki yang rupa-rupanya adalah Disco Inferno tersebut merenungnya dengan pandangan tajam. Tanpa solekan dan pakaian yang hodoh, lelaki yang juga dikenali sebagai Remy tersebut adalah seorang pemuda yang begitu tampan sekali.

“Maaf, bang Remy.” pinta Trini. Wajahnya disulami dengan perasaan cuak. Pandangan tajam Remy beransur-ansur menjadi lunak kembali.

“Ha! Begitulah! Abang jauh lebih tua daripada Trini. Trini baru saja 18. Abang sudahpun berumur 32 tahun sekarang.” ujar Remy. Trini kembali menjadi ceria lantas memaut lengan kanan kekasihnya dengan erat.

“Umur bukan penghalang, kan?” komennya lantas mengucup-ngucup bahu Remy dengan mesra. Penjenayah yang dikenali dengan gelaran Disco Inferno tersenyum bangga.

***************************************


Sebaik sahaja kereta yang dipandu oleh Enbi berhenti di kawasan kediaman Suraya, Nazrul terus bergegas keluar dan menyerbu ke arah pintu hadapan rumah gadis idamannya. Malah pintu kereta pun tidak sempat ditutup olehnya.

“Suraya! Kami sudah tiba! Tolong buka pintu!” teriak Nazrul dengan nada cemas. Enbi pula baharu sahaja tiba ke perkarangan rumah Suraya dalam keadaan sedikit termengah. Selang beberapa saat kemudian, pintu utama yang diperbuat daripada bahan akrilik tersebut berkeriut dibuka. Muncul Suraya di jenang pintu. Rakan-rakannya pula menuruti daripada belakang.

“Syukurlah Nazrul dah sampai. Pencuri tersebut bergegas melompat turun dari bumbung rumah kami sebaik saja dia ternampak kereta Nazrul tadi.” ujar Suraya dalam keadaan hampir menangis. Kedua tangannya memaut erat lengan Nazrul seolah-olah mahu mendakapnya. Nazrul terpaku seketika dengan tindakan spontan gadis idamannya. Ledakan emosinya telah mengkucar-kacirkan pemikiran rasionalnya sekarang. Enbi yang sedar akan keadaan tersebut terus menepuk belakang adiknya dengan agak keras.

“Suraya! Ke manakah arah pencuri itu melarikan diri?” tanya Enbi dengan agak lantang. Setiap saat adalah amat berharga pada masa ini. Sekiranya mereka berjaya menangkap pencuri tersebut sekarang, kes ini akan selesai dengan sendirinya dan tiada teori siasatan lanjut diperlukan. Nazrul yang ditepuk dengan kasar oleh abangnya segera tersedar daripada lamunan. Suraya yang juga agak terkejut dengan terjahan suara keras Enbi spontan menunding jari ke arah barat daya.

“Nazrul! Jom!” ajak Enbi seraya merentap lengan kiri adiknya. Menuju ke arah tundingan jari Suraya tadi. Terpontang-panting Nazrul dibuatnya. Langkah mereka akhirnya membawa mereka ke kawasan blok rumah kedai. Kedua-dua beradik tersebut berhenti seketika untuk menentukan arah pengejaran mereka yang seterusnya.

“Ke mana, bang ngah?” tanya Nazrul dalam keadaan tercungap-cungap. Enbi yang juga turut mencungap tidak menjawab soalan tersebut. Beliau sibuk memerhatikan keadaan persekitaran. Matanya segera menangkap seorang wanita tua berbangsa India yang juga sedang memerhatikan mereka. Enbi bingkas menuju ke arah wanita tua tersebut.

(Dalam bahasa Tamil) “Minta maaf, mak cik. Kami ini polis. Kami sedang mengejar seorang pencuri. Adakah mak cik nampak sesiapa yang tergopoh-gapah lalu ke sini tadi?” Pertanyaan Enbi membuatkan mak cik tersebut berasa terkejut. Namun bibirnya tidak lekang dengan senyuman teruja mendengarkan kefasihan Enbi berbicara Tamil.

(Dalam bahasa Tamil) “Minta maaf, nak. Tiada sesiapa yang berlari macam kena kejar dek hantu kecuali kamu berdua tadi,” jawab wanita tua tersebut seraya ketawa berdekah-dekah; menampakkan gusinya yang hanya dihuni oleh beberapa batang gigi sahaja. Enbi turut ketawa sebagai tanda menghormatinya. Beliau kemudiannya mengucapkan terima kasih kepada wanita tua tersebut dan terus mendapatkan adiknya.

“Terlepas?” Pertanyaan Nazrul dibalas oleh anggukan oleh Enbi. Nazrul berasa hampa. Nampaknya pengejaran mereka hanya sia-sia. Realiti tidak seperti di dalam filem di mana wanita tua tersebut pastinya terserempak dengan penjenayah yang mereka cari.

“Mari kita ke rumah Suraya. Tengok; kalau-kalau dia boleh berikan gambaran tentang pencuri tersebut.” pujuk Enbi sambil menepuk-nepuk bahu Nazrul. Dengan langkah yang longlai mereka bergerak ke arah rumah model jelita tersebut. Namun hati Nazrul sebenarnya masih berbunga-bunga kerana kejadian tadi.

“Bang ngah nampak tak apa Suraya buat kepada saya tadi?” tanya Nazrul. Tersenyum simpul.

“Mestilah. Aku kan di belakang kamu?” tempelak Enbi. Nazrul.ketawa segan.

“Apa maksudnya Suraya berbuat begitu, hah bang ngah?” Nazrul masih berminat untuk ke isu tersebut. Enbi merengus kecil.

“Kau tanya ni sebab kau benar-benar tak tahu ataupun sengaja nak dengar jawapan yang kau telahpun tahu daripada mulut orang lain?” tanya Enbi dengan nada sindiran.

“Apa yang patut saya buat selepas ni?” tanya Nazrul. Ternyata beliau masih mentah dalam hal perhubungan lelaki dan wanita walaupun amat sukakan wanita.

“Ajaklah dia makan tengahari Ahad ni. Kan dia bercuti?” saran Enbi. Nazrul membeliakkan mata.

“Berjanji temu?”

“Taklah, ajaklah dia memancing… Kayu betul kau ni! Tentulah ajak dia berjanji temu!” Enbi mula berasa menyampah dengan soalan-soalan bodoh adiknya.

“Uih! Risiko besar tu! Macam mana kalau dia menolak? Malulah saya!” Ternyata Nazrul sememangnya tidak langsung mempunyai keyakinan diri apabila mula menyukai seseorang perempuan.

“Kalau dia tolak, kau ajaklah pula salah seorang daripada kawan-kawan serumah dia. Mereka pun tak kurang cantiknya. Seksi pula tu!” saran Enbi dengan nada bergurau. Mereka berdua ketawa terbahak-bahak. Perjalanan pulang yang meletihkan kini langsung tidak terasa.

***********************************

Pada masa yang sama…

“Abang Remy, nanti sekejap. Trini nak ke tandas sekejap.” pinta kekasih Remy lantas berlari-lari anak ke arah tandas kolej yang terletak tidak jauh dari laluan mereka. Remy menggelengkan kepala sambil tersenyum kecil. Namun senyumannya itu tidak berkekalan tatkala melihat 5 orang pemuda mendekatinya. Remy hanya merenung ke arah pemuda-pemuda tersebut untuk membaca niat sebenar mereka.

“Awak teman lelaki Trini ke?” tanya salah seorang daripada pemuda tersebut dengan sengihan yang dibuat-buat. Remy tidak menjawab. Beliau sebaliknya hanya merenung pemuda tersebut dari hujung kaki hingga ke rambut dan kemudian melakarkan senyuman sinisnya.

“Pak cik sudah pekakkah?” tanya seorang lagi. Rakan-rakannya menyorak sambil tertawa untuk menyakitkan hati Remy. Remy tidak memberikan sebarang tindak balas terhadap perbuatan mereka. sebaliknya beliau masih meneliti salah seorang daripada mereka.

“Kamukah kawan Trini yang bernama Johannas?” tanyanya tiba-tiba. Pemudanya yang ditenungnya tersentak. Namun beliau segera menyembunyikan rasa terkejutnya dengan senyuman separuh angkuh.

“Kalau ya, kenapa?” tanyanya kembali. Remy tersenyum.

"Kalau ya, janganlah ganggu dia lagi kerana dia telah pilih aku dan bukannya kamu.” pinta Remy dengan nada sopan. Namun pemilihan ayatnya membuatkannya juga tampak angkuh dan mahu mencari pasal.

“Ceh! Kamulah yang jangan mengganggu Trini lagi. Tak malukah sudah tua-tua nak berpacaran dengan gadis mentah, hah?” bentak pemuda tersebut. Remy agak tersentak dengan herdikan tersebut. Namun kemudian beliau tertawa terbahak-bahak.

“Apa yang melucukan?” tanya pemuda tersebut dengan perasaan bengang. Remy berhenti ketawa. Kemudian tersenyum.

“Aku ketawa kerana apa yang akan terjadi kepada kamu sekejap lagi.” ujarnya dengan senyuman yang masih tidak lekang di bibir. Belum sempat pemuda tersebut berbuat apa-apa, satu tendangan yang cukup keras hinggap di pipi kanannya. Belumpun sempat pemuda tersebut jatuh menyembah bumi, Remy telahpun menarik kakinya dan melonjak ke udara lantas melepaskan satu tendangan berputar ke arah dua orang lagi rakan pemuda tersebut. Mereka juga tergolek dan mengerang di atas jalanraya. Sebaik sahaja kedua kakinya menjejak bumi, Remy bingkas menerkam dan menyangga leher kedua orang pemuda lagi dengan lengannya. Mereka juga jatuh terlentang di atas jalanraya dan mengaduh kesakitan.

Perlakuan Remy memang amat pantas dan hampir mustahil untuk dilakukan oleh mana-mana manusia biasa. Ketikamana beberapa orang pensyarah dan kakitangan memekik-mekik untuk menegur perbuatannya, Remy hanya tertawa terbahak-bahak sambil memandang ke arah para pemuda yang sedang mengerang tadi.

***********************************************


“Nazrul, tunggu…”

Langkah Nazrul memegun tatkala mendengarkan arahan abangnya. Beliau berpaling ke arah pandangan Enbi. Matanya tertancap ke arah sebuah kilang yang telah lama ditinggalkan. Sungguhpun telah agak usang dan menyeramkan, struktur kilang tersebut tampak masih utuh dan kuat. Dan tidak mustahil ianya menjadi sarang penjenayah; ataupun tempat untuk bersembunyi. Tanpa berkata sepatah pun, kedua adik-beradik itu terus mempercepatkan langkah ke arah kilang tersebut.

“Jangan berpecah.” pesan Enbi. Mereka berjalan mundar-mandir sambil meliarkan pandangan. Premises yang pernah menjalankan operasi mengeluarkan ribuan cip elektronik sehari kini dipenuhi dengan tumbuhan menjalar yang liar dan aloi-aloi sintetik buruk sahaja. Degup jantung Nazrul serasakan semakin pantas. Perutnya juga berasa senak.

“Itu dia!” Jeritan Enbi hampir membuat jantung Nazrul menjadi kebas. Pandangannya segera mengarah pada telunjuk kanan abangnya. Nazrul terus ternampak kelibat penjenayah yang mereka cari. Buruan mereka juga mulai bergerak melarikan diri setelah mengetahui kehadiran pemburunya.

“Kejar!” pekik Enbi lagi. Drama hambat-menghambat bermula lagi. Penjenayah yang mereka cari-cari kini berada di depan mata. Sungguhpun begitu letih, Enbi berazam untuk menangkapnya. Kalau boleh, mungkin menghadiahkannya barang dua tiga biji penumbuk.

Akhirnya langkah si penjenayah terhenti. Bukan kerana menyerah kalah; tetapi jalan di hadapannya telah tersekat oleh dinding besi yang sangat tinggi. Jalan yang dipilihnya telah membawa beliau ke jalan mati. Si penjenayah berpaling menghadap kedua-dua pengejarnya yang kini telahpun tiba.

“Jalan mati. Matilah kau!” tempelak Enbi dalam mengahnya. Si penjenayah memakai topeng yang biasa dipakai oleh penggusti. Namun berdasarkan susuk tubuhnya, pastilah beliau adalah seorang lelaki.

“Heh! Manusia yang tak sedarkan diri. Kau yang akan mati nanti,” balas si penjenayah dengan suara yang garau. Enbi tahu si penjenayah tersebut cuba menyembunyikan identitinya dengan mengubah tonasi suaranya.

“Cakap besar! Nazrul; serbu!” pekik Enbi. Kedua-dua adik-beradik tersebut menyerbu serentak ke arah si penjenayah seraya melepaskan tumbukan. Namun si penjenayah tangkas melonjak ke udara dengan gaya yang cukup cantik lantas melepaskan tendangan kencang menggunakan kedua-dua kakinya ke kepala Enbi dan Nazrul. Enbi jatuh tertiarap manakala adiknya berguling di atas tanah.

“Sial!” Enbi yang bingkas bangun memekik marah lantas menyerbu sekali lagi ke arah si penjenayah. Kali ini cuba untuk menerajang pula. Dengan mudah si penjenayah mengelitkan tubuhnya untuk mengelak serangan membabi-buta tersebut. Disusuli pula dengan pelempangnya singgah ke pipi kiri Enbi.

Pandangan Enbi menjadi berpinar-pinar. Telinganya berdesing. Belum sempat Enbi menstabilkan diri, satu hentakan keras hinggap di batang hidungnya. Serentak kedengaran bunyi seperti dahan yang sekah di gegendang telinganya. Cecair merah pekat dan hangat membuak keluar dari kedua rongga hidung Enbi. Sungguhpun dalam keadaan separuh pitam, Enbi tahu bahawa batang hidungnya telah patah. Si penjenayah tadi tanpa belas kasihan memaut belakang kolar baju Enbi lantas menarik dan mendorongnya ke tanah. Disusuli pula dengan terjahan keras lutut kanannya ke perut Enbi.

Tubuh Enbi melayang ke udara seperti aksi balik kuang sebelum terhenpas ke tanah. Terjahan si penjenayah tepat mengenai bahagian ulu hatinya. Akibatnya air muntah berhamburan keluar dari mulut dan hidungnya. Kesakitan yang dialami oleh Enbi tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Air matanya spontan beruraian keluar.

“Kan aku kata kau yang akan mati tadi?” tempelak si penjenayah seraya ketawa dengan angkuhnya. Beliau menendang muka dan tubuh Enbi bertubi-tubi. Enbi yang mengerekot di atas tanah tidak mampu berbuat apa-apa kerana seluruh tubuhnya berasa amat sakit dan lemah.

Enbi pasti bahawa beliau akan mati kali ini.

Pasti…


- Bersambung -


No comments: