Saturday, June 13, 2009

Emo Hero Bab 45

Emo Hero Bab 45



Tiga hari selepas itu…

Akhirnya jenazah abang sulungku selamat dikebumikan setelah bahagian forensik selesai membuat siasatan dan melakukan bedah siasat ke atasnya. Ketika jenazah abang sulungku diturunkan ke liang lahat, ibuku jatuh pengsan buat kesekian kalinya manakala bapaku pula hanya mampu tersandar lemah di sebatang pokok yang berpuluh tahun setia menemani kesuraman kawasan perkuburan ini. Aku tidak dapat merasai penderitaan dan kesakitan yang mereka rasai. Namun aku memahami keadaan kedua orang tuaku. Ketika hidupnya, abang sulungku telah memberi aib kepada mereka kerana berhutang keliling pinggang dan meninggalkan anak isteri dengan begitu sahaja tanpa sebarang berita.

Kini setelah kematiannya, abang sulungku masih mampu mengaibkan kami sekeluarga. Rupa-rupanya bukan sahaja dia menyertai kumpulan samseng, malah abang sulungku juga turut terlibat dalam beberapa kejadian samun dan rompakan bersenjata di beberapa buah stesyen minyak. Pihak polis telah berjaya menghidu modus operandi kumpulan abang sulungku lantas memasang perangkap sebelum membuat serbuan. Telah berlaku kejadian tembak-menembak yang mana akhirnya kesemua kumpulan abang sulungku telah mati ditembak. Abang sulungku turut sama terbunuh dalam kejadian tersebut. Nama serta gambarnya jelas terpampang di akhbar-akhbar tempatan dan tabloid.

Abang sulungku memang seorang yang tak berguna lagi menyusahkan. Kini kami sekeluarga tidak mampu untuk mengangkat muka memandang orang-orang di kampung kami. Aku mengerling ke arah adik-beradikku. Mereka semuanya menangis tersedu-sedan. Malah abang yang kupanggil Alang juga tidak mampu menyeka perasaan hibanya. Walhal setiap kali bertemu dengan Allayarham, pasti peninjunya singgah ke tubuh abang sulungku itu.

Mereka semua menangis. Mereka semua berasa hiba. Mereka semua berasa sengsara. Namun aku sahaja yang tegak berdiri sambil memandang senario ini tanpa sebarang perasaan. Aku tidak nampak keperluanku untuk merasai apa yang mereka rasakan. Abang sulungku adalah sampah masyarakat. Abang sulungku adalah kudis yang membusuk di dalam keluarga. Abang sulungku sehingga ke akhir hayatnya membawa aib kepada kami semua.

Abang sulungku memang patut mati. Kalaupun mempunyai perasaan di kala ini, aku sebenarnya berasa lega kerana beliau sudah tidak wujud lagi di dunia ini. Malah wang yang diberikan kepadaku tidak kuusik sehinggalah kematiannya. Apabila aku mengetahui cara beliau mati, aku spontan mengetahui bahawa wang yang diberikan oleh abang sulungku adalah wang haram. Jadi aku terus sahaja membakar kesemua wang berjumlah seribu ringgit tersebut.

Aku benar-benar membenci abang sulungku…

“Arip, kau okey?” Aku menoleh ke arah Wadi. Beliau dan Nizam turut hadir di majlis pengebumian ini. Malah apabila mendapat tahu perkhabaran tentang kematian abang sulungku di majlis resepsi ibu Adrina, mereka terus membatalkan hasrat untuk terus berada di majlis resepsi tersebut. Jadi kami bertiga terus ke Hospital Kuala Lumpur untuk mengesahkan jenazah abang sulungku. Kemudian kami balik ke hostel untuk membungkus pakaian dan terus pulang ke kampungku. Keesokannya mereka berdua pulang sekejap untuk memaklumkan perkara ini kepada Dekan, para pensyarah dan rakan-taulan kami. Selepas waktu kuliah mereka kembali datang ke kampungku untuk membantu bagi persiapan menguruskan jenazah dan mengemas rumah. Mereka setia menemaniku hingga ke hari ini.

Aku tersenyum ke arah Nizam dan Wadi. Aku benar-benar berasa beruntung mempunyai sahabat seperti mereka berdua. Aku berharap agar persahabatan kami akan kekal walaupun di syurga kelak. Sekonyong-konyongnya aku ternampak kelibat Adrina bersama ayahnya. Turut bersama mereka adalah ibu Adrina dan suami baharunya. Ini adalah kali kedua Adrina dan bapanya datang ke kampung. Kali pertama adalah dua hari sebelum itu iaitu sehari selepas majlis resepsi ibu Adrina. Ternyata mereka juga mengambil berat dan berasa risau akan keadaanku. Ayah Adrina sebaik sahaja merapatiku terus memelukku dengan erat. Aku berasa terkejut. Mungkin beliau sudah menganggapku sebagai sebahagian daripada ahli keluarganya.

Adrina pula terus menangis teresak-esak. Dua hari lepas beliau juga berkeadaan begitu. Mungkin beliau berasa sedih dengan nasib malang yang menimpa diriku. Baik juga begitu. Sekurang-kurang aku tahu bahawa beliau masih mengambil berat terhadap diriku walaupun tidak dapat membalas cintaku. Selepas melepaskan dakapannya, ayah Adrina beralih pula ke arah ahli keluargaku untuk bersalaman dan mengucapkan takziah. Aku pula terus menyambut salaman yang dihulurkan oleh ibu Adrina dan suami baharunya. Mereka mengucapkan takziah kepadaku dan mengungkapkan kata-kata perangsang agar aku menjadi lebih tabah. Aku tersenyum dan mengucapkan terima kasih. Namun aku berasakan kata-kata mereka itu tidak perlu kerana aku tidak berasa apa-apa.

Selepas bertalkin dan membaca doa, akhirnya kerumunan manusia yang datang ke majlis pengebumian abang sulungku bersurai ke halatuju masing-masing. Keluarga Adrina juga meminta izin untuk pulang setelah berbual-bual mesra dengan ahli keluargaku. Tak banyak perkara yang kubualkan dengan Adrina. Mungkin beliau berasa tidak manis berbuat demikian dalam situasi sekarang. Sebelum melangkah masuk ke dalam kenderaan, Adrina sempat menoleh kembali ke arahku yang juga sedang memandangnya. Mata kami bertentang buat seketika. Adrina melontarkan senyuman yang amat manis kepadaku sebelum masuk ke dalam kenderaan. Setelah mereka pergi, aku mengalihkan pandanganku ke arah Nizam dan Wadi pula.

“Wadi, Zam… Kau orang nak tunggu untuk kenduri tahlil malam ni ke?” tanyaku. Nizam dan Wadi mengangguk.

“Kalau begitu lepas tahlil kita bertiga balik ke UNISAS, okay?” saranku.

“Tak mengapa ke, Rip? Nanti siapa nak tolong kemaskan balik rumah kau?” tanya Wadi.

“Yang itu kamu berdua janganlah risau. Jiran-jiran kami akan tolong. Bapak aku kata kita bertiga mesti balik malam ini juga. Dia juga kata adalah lagi baik kalau kita tak payah tunggu sampai tahlil malam ni. Dia takut kita bertiga jadi penat nanti.” maklumku.

“Eeeh.. Tak mengapa. Kita ni orang muda. Takkan buat kerja sikit pun dah jadi lembik. Kalau Nizam tu, mungkin jugak la agaknya!” ujar Wadi yang masih sempat mengusik. Aku tertawa kecil.

“Sial la lu!” maki Nizam. Aku dan Wadi sama-sama tertawa kali ini.

*********************************************************

Setibanya kami di rumah, kulihat ahli keluargaku masih berkumpul di luar. Keadaannya nampak agak tegang. Jadi sebaik sahaja Nizam memarkirkan kereta, aku terus meluru keluar. Perasaan hatiku yang kurang sedap rupa-rupanya bukan setakat mainan emosi sahaja. Kelihatan bapa dan abangku sedang bertekak dengan seseorang. Dan orang tersebut yang dikawal oleh dua orang lelaki yang tegap-tegap belaka. Kelibat mereka membuatkan jantungku tersentap.

“Andrew…” ujarku. Beliaulah ceti haram yang menemuiku tidak lama dahulu di universiti. Andrew yang ternampak akan kelibatku terus sahaja tersenyum.

“Tuan lawyer. Apa khabar?” tegurnya. Langkahku akhirnya terhenti setelah merapati mereka.

“Kau kenal dia?” tanya bapaku. Aku mengangguk.

“Dia pernah datang ke universiti mencari abang long.” maklumku.

“Tuan lawyer. Tolonglah saya. Saya tak mahu gaduh-gaduh di sini.” ujar Andrew.

“Habis tu kau datang ke sini nak mintak apa lagi, hah?” jerkah bapaku. Beberapa orang yang masih berada di rumah ibu bapaku mula mengerumuni kami.

“Andrew, awak nak minta kami langsaikan hutang Adry ke?” tanyaku dengan tenang.

“Tidaaak. I datang ke sini bukan untuk kutip hutang. Lagipun kan I dah bagitau hari itu yang hutang Adry dah selesai? I cuma datang nak bagitau yang I feel sorry for your loss. Itu saja.” maklum Andrew.

“Cina ni cakap apa, Rip?” tanya bapaku. Nadanya masih menyinga.

“Dia kata dia datang cuma nak ucap takziah.” jawabku.

“Aaah! Kami tak perlukan simpati daripada samseng-samseng macam kamu ni!” bentak bapaku.

“Andrew. Biar saya temankan awak ke kereta awak. Mungkin hari ni hari yang tak sesuai untuk awak datang.” saranku. Andrew yang memahami maksud yang tersirat di dalam sarananku itu mengangguk setuju dan mula bergerak pergi bersama para pengawal peribadinya. Aku pula secara berseorangan berjalan seiringan dengannya.

“Sorry la kalau saya buat family you marah tadi.” pinta Andrew.

“Saya pun minta maaf juga.” balasku.

“Andrew, betul ke hutang abang long saya sudah selesai? Bukan ke oleh sebab dia masuk kumpulan gangster, maka awak takut nak minta duit daripada dia?” tanyaku setelah kami terdiam beberapa ketika. Andrew tertawa.

“Ceh! Itu semua gengster bodoh. You tak tak berapa besar kumpulan I? Mana boleh I takut sama mereka! I suruh you nasihat sama Adry hari tu, kan?” tanyanya.

“Saya dah nasihat. Tapi dia tak mau dengar.” jawabku.

“Oh, ye ke? I’m sorry to hear that.” balasnya.

“Jadi abang long saya ke yang bayar semua hutang tu?” tanyaku lagi. Andrew menggelengkan kepala.

“Dia mana tau simpan duit. Rompak duit dari orang pun sudah pergi enjoy sampai duit habis.” komennya.

“Habis tu keluarga saya yang bayar?” tanyaku pula. Andrew tersenyum sambil menggelengkan kepala. Akhirnya kami tiba di Mercedes miliknya.

“Andrew, tolong bagitau saya. Siapa yang selesaikan hutang abang saya tu?” desakku dengan nada merayu tatkala Andrew mula memasuki ke dalam kereta. Andrew membuat isyarat agar pengawalnya tidak menutup pintu.

“Tuan lawyer. I jumpa ramai jenis manusia. Macam-macam perangai mereka. Jadi I memang pandai sikit tengok perangai orang. Dan I tau you ini orang yang baik. Jadi orang yang baik akan selalu ditolong oleh orang yang baik juga.” ujar Andrew yang bagiku masih ingin berteka-teki.

“Orang yang selesaikan hutang Adry tu ada dengan you masa pertama kali kita berjumpa.” sambungnya seraya memberikan isyarat agar pintu kereta ditutup. Seketika kemudian Mercedes miliknya menderu pantas meninggalkanku yang masih bungkam.

“Are you okay, bro?” tanya Nizam. Aku menoleh ke belakang. Rupa-rupanya beliau dan Wadi mengekoriku dari belakang tadi.

“Aku okey.” jawabku sambil tersenyum.

“Jom.” ajak Wadi. Kami bertiga mulai bergerak ke arah rumah yang terletak kira-kira 20 meter dari tempat tersebut.

“Nizam… boleh tak aku pinjam kereta kau besok selepas kuliah?” pintaku setelah beberapa ketika mendiamkan diri. Nizam yang agak terkejut dengan permintaanku spontan merenung ke arahku seolah-olah cuba untuk membaca apa yang terbuku di hatiku sekarang.

“Sure. Kau nak balik ke sini lagi, ke?” tanyanya setelah menyetujui permintaanku. Aku menggelengkan kepala.

“Aku nak pergi berjumpa Adrina.” jawabku.



- Bersambung -



***************************************
Notakaki :

Sebenarnya aku telahpun menyiapkan bab 46 bagi cerita ini. Namun sengaja aku siarkan bab 45 sahaja demi untuk membuatkan korang tension! Nyiahaha! Aku rasa mungkin pengakhiran cerita ini adalah pada bab 48 nanti. Sebenarnya aku nak buat cerita ni menjadi trilogi. Episod seterusnya yang ingin kubuat bertajuk "Neo Hero". Neo adalah bahasa lama yang bermakna NEW atau baharu. Ini bermakna hero dalam cerita ini adalah orang lain dan bukannya Arif Akmal. Yalah, bosan la nak buat cerita mamat tu dengan Adrina aje. Malah kemungkinan besar hero baharu dalam episod seterusnya adalah Nazirun Nizam. Namun aku sebenarnya teringin nak buat cerita lain. Tapi tak tau lagi nak buat apa. Cuma kebelakangan ini aku lebih cenderung untuk membuat cerita Metropolice. Malah aku telah mengubah gaya penceritaannya agar banyak unsur romantik dimasukkan di dalamnya.

Kalian fikir bagaimana?

3 comments:

reza said...

cesss dengki...post je laa....bikin saspender jek bro nie...culik damia kang...wahhahaha...ermmm pe kata sambung metropolice dulu....mcm tergantung laa yg dulu tu....neo hero tu buat lepas metropolice ek ek...:D

eddie said...

baik buat neo hero tu generasi kedua citer emo hero ni...macam ala ala pendekar laut....pendekar laut generasi kedua...so mgkin neo hero ni citer pasal cucu si arif ke...anak si adrina ke....anak Shaleen ke...hm....kisah pengembaraan diorang ni ke sebuah kawasan teluk lepas menemui harta pusaka si arif ngan adriana...ha, amacam? macam national treasure skit...hehehe

Eddie said...

oh lupe nak komen....aku perasan brader senior kat opis aku namekan anak die arif akmal... aku tak tau la ade kaitan ngan citer ni ke dak...
cume arif akmal tu anak sulung and takde abg...hehehe