Sunday, December 27, 2009

MetroPolis 2009 - Bab 13

Konsep Pertarungan Sebenar


5 hari kemudian...

Seorang pemuda yang tinggi lagi tegap tubuhnya kelihatan sedang begitu asyik berlatih seni permainan pedangnya. Gerak-gerinya amat lancar dan lincah tetapi amat mempersonakan. Seolah-olah beliau sedang menari di udara. Ternyata seni permainan pemuda tersebut adalah amat tinggi dan hebat. Sayangnya tiada sesiapa pun yang dapat menyaksikan persembahan yang hebat tersebut sungguhpun ianya dipersembahkan di sebuah sekolah pedang yang dikenali sebagai Dojo Pedang Mangkubumi. Malah sekolah pedang tersebut kelihatan begitu suram lagi kusam seolah-olah tiada berpenghuni. Cuma segala tindak-tanduknya itu diperhatikan oleh dua orang warga tua yang lengkap berpakaian pendekar. Pun begitu pakaian mereka kelihatan lusuh seolah-olah pengemis sahaja layaknya.

Akhirnya pemuda tersebut berhenti. Beliau menarik nafas sedalam-dalamnya dan kemudian melepaskannya secara perlahan-lahan. Kemudian beliau memandang ke sekelilingnya. Kelihatan daun-daun kering di yang gugur di sekeliling pemuda tersebut kesemuanya menjadi cebisan-cebisan kecil. Pemuda tersebut yang berasa agak gembira melihatkan keadaan sedemikian terus berlari mendapatkan kedua-dua orang tua tadi.

“Bagaimana, tok-tok guru? Baikkah seni permainan pedang saya tadi?” tanya pemuda tersebut dengan nada teruja sungguhpun diselang-seli dengan nafas mengahnya. Kedua-dua orang tua tersebut berpandangan sesama sendiri. Kemudian mengalihkan pandangan mereka ke arahnya seraya tersenyum sinis.

“Kau masih belum bersedia lagi, Terawez. Gerakanmu masih belum lancar dan nampak tidak bersungguhan. Nampaknya kemahiran berpedangmu masih tidak berkembang ke tahap kemuncak.” ujar salah seorang yang dipanggil oleh pemuda tadi sebagai ‘tok guru’. Pemuda tersebut kelihatan sedikit kecewa. Namun senyuman manis masih terukir di bibirnya. Beliau mula membongkok lantas memberikan sembah hormat terhadap kedua orang gurunya itu.

“Terima kasih kerana mengambil berat tentang permainan pedang saya, tok-tok guru. Saya memohon maaf di atas sikap sambil lewa saya tadi. Saya berjanji akan lebih bersungguh-sungguh menajamkan kemahiran berpedang saya nanti.” ujar pemuda yang bernama Terawez itu. kedua orang tok gurunya tersenyum.

“Oh ya, saya memohon untuk keluar pergi bekerja sekarang. Saya masih belum cukup wang bagi membayar yuran pembelajaran bagi bulan ini. Izinkan saya pergi, tok-tok guru.” pohon Terawez. Kedua orang gurunya tersenyum lantas menganggukkan kepala. Terawez segera berlari kencang meninggalkan mereka berdua. Setelah beberapa ketika tatkala kelibat pemuda itu tidak lagi dalam pandangan mata mereka, salah seorang warga tua tadi mula memandang ke arah seorang lagi.

“Sampai bila kita nak menipu Terawez, bang? Saya risau lambat-laun dia akan dapat tahu bahawa dia sudah berpuluh kali ganda lebih hebat daripada kita dari segi kemahiran dan teknik berpedang.” ujarnya kepada warga tua yang merupakan abang kandungnya.

“Jangan bimbanglah, dik. Terawez tu memang handal tapi dia itu lurus bendul. Dia takkan perasan punyalah! Lagipun bagaimana kita nak memperolehi wang untuk makan minum kita selain daripada Terawez?” balas abangnya dengan nada yang agak tegang. Si adik bungkam. Sejurus kemudian beliau menjuruskan pandangannya ke arah tempat anak muridnya itu bermain pedang tadi.

“Tapi tengoklah tu, bang! Kesemua daun-daun di gelanggang latihan pecah-pecah menjadi cebisan kecil terkena aura-aura Terawez tadi. Dalam sejarah sekolah pedang kita, belum pernah ada penuntut yang sampai ke tahap menggerunkan macam dia!” ujar si adik dengan air muka kebimbangan.

*****************************************************


“Hai Enbi! Bagaimana keadaan awak sekarang?” tegur Catherine sebaik sahaja ternampak kelibat sahabat baiknya itu memasuki restoran beliau. Enbi yang kini tampak lebih sihat membalas sapaan gadis manis tersebut dengan senyuman ceria.

“Aku berasa sangat sihat sekarang. Ubat ganjil yang Ren Fairuz berikan memang sangat mujarab. Tak sangka dia pandai dalam bidang perubatan tradisional. Aku minum ubat itu 3 kali setiap hari selama 7 hari. Sekarang kecederaanku sudah pulih sepenuhnya.” balas Enbi dengan nada teruja.

“Nazrul telefon semalam. Dia pun sudah segar-bugar sekarang semenjak mengambil ubat buatan Ustaz Ren.” ujar Catherine. Enbi mengangguk.

“Aku benar-benar terhutang budi kepada Ren. Jadi, aku telah memberitahu dia bahawa dia boleh minum seberapa banyak air kotak yang dia mahu dari peti sejuk balai. Bukan main suka lagi dia!” maklum Enbi seraya ketawa terbahak-bahak. Catherine turut tertawa.

“Hoi budak! Aku dengar kau sudah mati. Macam mana pula kamu berada di sini?” Sindiran pedas tersebut mematikan tawa Enbi. Enbi terus mencelang ke arah empunya suara iaitu David, abang kandung Catherine.

(Dalam bahasa Cantonese) “Apek tua bedebah! Dah jemu hidup ke?” cerca Enbi pula. David menjegilkan mata. Catherine dengan pantas meleteri mereka berdua yang pantang bertemu muka. Akhirnya kedua-duanya beralah. Dengan nada merengus David mengorak langkahnya kembali ke dapur.

“Err... David! Tunggu dulu!” Suara panggilan Enbi mematikan derap kaki David. Beliau berpaling seraya memandang Enbi dengan riak kehairanan.

“Aku perlukan bantuan kau,” sambung Enbi lagi, yang memahami ekspresi wajah David. David meneliti air muka seterunya. Terlukis riak sugul pada wajah tersebut. Akhirnya beliau mengambil keputusan untuk kembali ke meja Enbi dan duduk di sebelahnya.

“Bantuan apa?” tanya David.

“Aku mahu kau mengajarku teknik Shinkuai,” pinta Enbi. Teknik Shinkuai adalah juga teknik pertarungan ala jalanan (street fighting). Mata David terbeliak mendengarnya. Begitu juga dengan Catherine.

“Hah?” tanya David yang tidak mempercayai apa yang didengarinya sebentar tadi.

“Kau pakar dalam teknik Shinkuai. Aku sanggup membayar berapa yang kau mahu untuk mengajarku dan Nazrul teknik Shinkuai,” Enbi mengulangi niatnya sekali lagi. David ketawa dengan senang hati.

“Bagaimana? Kau setuju atau tidak?” tanya Enbi. Nadanya kurang sabar.

“Boleh; tapi kau mesti bayar. Nazrul tak perlu bayar sebab aku sukakan dia. Kau… aku benci!” jawab David seraya ketawa. Enbi tersenyum dan mengangguk tanda setuju.

“Kenapa Enbi minta David mengajar teknik berlawan? Kenapa tak minta saya yang ajar?” bentak Catherine dengan nada tersinggung.

“Teknik kau memerlukan komitmen dan disiplin yang tinggi. Malah Enbi perlu menjanakan staminanya ke tahap yang tertinggi sebelum belajar. Ia akan mengambil masa yang sangat lama. Teknik Shinkuai tidak perlukan itu semua. Ia suatu teknik bebas yang memberi keutamaan kepada tahap keupayaan orang yang mempelajarinya.” perjelas David yang memahami niat sebenar Enbi.

“Tapi...”

“Jadi aku dan Nazrul perlu mempelajari teknik yang sesuai dengan keupayaan kami pada masa ini dan mahu menguasainya dengan secepat mungkin. Si pencuri tersebut juga mengalami kecederaan yang agak parah pada kedua matanya. Aku menjangkakan dalam dua tiga minggu lagi dia pasti akan pulih. Perkara pertama yang beliau akan lakukan ialah membalas dendam terhadap aku dan Nazrul. Takkanlah kami berdua mahukan kau sentiasa berada di sisi kami melindungi kami pada setiap masa?” Penjelasan panjang lebar daripada Enbi membuatkan Catherine terdiam. Sungguhpun ianya sangat munasabah namun Catherine tetap berasa kecil hati.

“Saya faham.” Akhirnya Catherine bersuara. Perlahan.

*********************************************

Keesokan harinya...

Sudah hampir sejam Enbi dan Nazrul berlari-lari anak mengelilingi sebuah taman rekreasi yang lebih dikenali sebagai ‘Padang Polo’ oleh masyarakat Ipoh. David juga turut mengekori daripada belakang. Untuk memastikan mereka tidak curi tulang.

“Berhenti! Berhenti!” teriak David yang mengakhiri azab kedua adik-beradik tersebut. Deruan nafas mereka yang tidak henti mencungap jelas kedengaran di telinga David.

“Berjalan-jalan dengan perlahan. Tarik nafas dalam-dalam. Jangan duduk. JANGAN MINUM!” pekik David apabila ternampak Nazrul yang cuba meneguk air botol yang dibawanya bersama tadi.

“Suatu pergaduhan sebenarnya mengambil masa yang singkat saja. Paling lama pun 10 minit. Jika lebih dari itu, berkemungkinan besar ianya berakhir dengan seri. Namun dalam masa 10 minit tersebut, hidup dan mati kamu adalah bergantung padanya. Latihan larian sejam kamu tadi adalah untuk membolehkan kamu bertahan setakat 20 minit sahaja. Sekiranya dalam masa 10 minit keputusan pergaduhan tidak memihak kepada kamu, maka kamu ada masa 10 minit untuk memecut lari dan sekaligus menjauhkan diri daripada lawan kamu. Ingat, tidak ada malunya jika kamu mengalah dan melarikan diri jika ia akan menyelamatkan nyawa kamu.” terang David dengan panjang lebar. Enbi dan Nazrul sama-sama mengangguk bagaikan burung terkukur. Mereka tidak mampu berkata apa-apa buat masa ini kerana masih tercungap-cungap keletihan. Pada masa yang sama Enbi berasa kagum dengan David yang masih bernafas dengan tenang seolah-olah langsung tidak turut berlari sama tadi.

“Baiklah, untuk latihan hari ini kamu pakai dulu alat pelindung di dalam beg ini.” arah David seraya mengunjukkan sebuah beg yang dibawanya berlari bersama. Enbi yang menyambutnya dengan sebelah tangan sahaja hampir terjatuh. Beg tersebut sungguh berat. Enbi tidak menyangka David mampu membawa beg berat tersebut untuk dibawa berlari sama tadi.

********************************************


Lebih kurang 5 minit kemudian...

“Berat betul alat pelindung ni.” sungut Nazrul sambil membetulkan alat pelindung kepala yang dipakai olehnya. Enbi juga berasa begitu sukar untuk bergerak. Beberapa pengunjung di Padang Polo tersebut mulai memerhatikan mereka dengan rasa penuh minat.

“Baiklah! Sekarang aku mahu kamu berdua bergaduh. Tumbuk, tendang dan pukul dengan sepuas-puas hati.” arah David. Kedua-dua adik-beradik tersebut tersentak dengan arahan daripada jurulatih mereka. Mereka memandang sekeliling. Begitu ramai pengunjung pada pagi ini. Mereka kemudian berpandangan sesama sendiri.

“Tunggu apa lagi?” tanya David dengan keras.

“Kenapa kena buat begitu?” protes Nazrul.

“Kamu buat sajalah dulu! Jangan banyak tanya pula!” jerkah David. Enbi yang dari tadi mendiamkan diri tiba-tiba menerkam Nazrul. Kedua-dua mereka berguling-guling di atas tanah. Enbi bertubi-tubi menumbuk muka Nazrul yang dilindungi oleh kaca fiber yang sangat lasak. Nazrul yang pada mulanya hanya bertahan kembali membalas. Akhirnya kedua-duanya cuma bergelut-gelut seperti orang gila. David menggelengkan kepala. Setelah beberapa ketika akhirnya beliau meleraikan mereka berdua.

“Kamu bergaduh macam perempuan berebut kekasih! Nampaknya kamu memang tak biasa bergaduh.” komen David disambut dengan anggukan oleh Enbi dan Nazrul. Enbi turut terperasan bahawa semakin banyak mata yang bertumpu ke arah mereka sekarang. Allah sahaja yang tahu betapa malunya beliau sekarang.

“Sungguhpun Shinkuai adalah suatu seni pertarungan jalanan yang tidak menetapkan teknik-teknik tertentu, namun kamu juga patut tahu cara menumbuk, menendang, menerajang, menerjah, menyiku dan pelbagai teknik memukul lain dengan berkesan. Kalau boleh dengan hanya satu serangan yang mudah dan ringkas kamu mampu menumbangkan lawan.” perjelas David.

“Alat pelindung yang kamu pakai itu memang sangat berat. Ianya sebagai perintang terhadap kelincahan dan kepantasan pergerakan kamu. Malah, kamu juga akan cepat menjadi penat. Namun, dengan cara ini kelincahan, kepantasan, stamina dan kekuatan kamu akan bertambah sekali atau dua kali ganda. Pergerakan dan serangan kamu kelak akan sukar diramal oleh lawan kamu.” sambung beliau lagi.

“Kamu berdua juga perlu selalu bergaduh untuk membiasakan diri dan tubuh kamu kepada pertarungan sebenar yang sengit dan menyakitkan.” penjelasan David terhenti kerana mereka kini dirapati oleh sekumpulan empat orang lelaki. Sungguhpun hanya seorang daripada kumpulan tersebut berbadan besar, namun yang lain-lain juga nampak tegap dan mantap fizikalnya.

“Kamu badut bertiga ni belajar silatkah?” tanya si berbadan besar. Pasti beliau ketua kumpulan tersebut.

“Kamu berempat poliskah?” tanya David pula.

“Bukan, kami...”

“Kalau begitu, apa yang kami buat sekarang ini bukanlah urusan kamu. Jadi; pergilah berambus!” tingkah Enbi yang akhirnya bersuara setelah sekian lama mendiamkan diri. David tersentak. Kemudian memandang Enbi dengan ekspresi wajah : “Kamu sengaja mencari pasal, ya?”.

“Lancangnya mulut kamu ini. Jamlut ni adalah juara karate peringkat zon Kinta Selatan, tau?” jerkah salah seorang yang cuba membela ketua mereka. David tidak berkata apa-apa selain melangkah ke arah lelaki yang bernama Jamlut tadi. Kini mereka berdua dalam lingkungan pertarungan.

“Buka mata kamu berdua besar-besar. Biar aku tunjukkan seni pertarungan jalanan.” arah David kepada Enbi dan Nazrul. Matanya tajam mengawasi Jamlut. Lawannya segera memperkemaskan kuda-kuda dan membuka Kata-nya.

“Silap besar kamu mencabar aku, apek!” Sebaik sahaja Jamlut selesai berbicara, David terus melangkah merapatinya. Langkahnya begitu tenang namun mantap dan bertenaga. Jamlut yang tersentak dan menjadi panik dengan gaya lawannya dalam keadaan kuda-kudanya segera berundur untuk memperolehi jarak serangan yang sesuai. Namun David terus berjalan cepat merapati beliau.

Jamlut yang berasa marah diperlakukan sedemikian rupa akhirnya menyerang David dengan gaya menyiku yang sangat pantas dan jitu. Namun dengan pantas tangan kanan David menampar lengan lawannya, segera menyelinap ke belakang dan secepat kilat mencekak rambut di bahagian belakang lawannya yang agak panjang. Tangan kirinya pula menepuk kedua-dua belah mata lawannya dengan sekuat-kuat hati.

“ARRGHH!” jerit Jamlut seraya memusing-musingkan tubuhnya untuk membuat serangan membabi-buta. Pun begitu David segera menjauhkan diri kerana serangan tersebut begitu pantas dan ganas. Sebelum sempat lawannya memulihkan penglihatan, David telahpun mencapai sebatang kayu dan dengan sekuat-kuat hati memukul bahagian pelipat lutut kirinya. Jamlut terpaksa berteleku untuk menahan kesakitan. Kesempatan ini digunakan oleh David untuk menerajang belakang lawannya dengan keras hingga tertiarap mencium tanah. Namun David masih enggan berhenti. Beliau memukul sekali lagi bahagian pelipat lutut kiri lawannya tadi dengan sekuat-kuat hati sehingga kayu tadi patah dua.

Salah seorang ahli kumpulan tadi bertindak menyerbu ke arah David. Namun David dengan pantas membaling segenggam tanah ke arah muka lawannya. Dalam keadaan lawannya keliru serta menahan kepedihan mata, David bingkas menendang bahagian anggota sulitnya dengan sekuat-kuat hati. Lawannya jatuh berguling-guling menahan kesakitan. Dua orang lagi segera tampil untuk melindungi mangsa kedua David tadi.

“Celaka! Kau menggunakan taktik kotor! Kau memang hina dan keji!” jerkah salah seorang daripada dua orang pemuda yang masih belum diapa-apakan. Namun mereka berdua tidak berani untuk berbuat apa-apa. Mereka tahu bahawa pemuda berbangsa Cina di hadapan mereka ini bukanlah sembarangan lawan.

“Hina? Keji? Hei, ini bukan pertandingan karate peringkat Zon Kinta. Ini adalah pertarungan sebenar yang menentukan hidup dan mati kamu semua. Segala taktik dan teknik yang digunakan dalam pertarungan ini adalah sah dan boleh digunakan. Matlamat pertarungan ini adalah untuk menentukan siapa kuat dan siapa lemah; siapa hidup dan siapa mati. Bukannya untuk mengutip pingat emas atau pingat perak. Itulah sebabnya mengapa aku, David Zhang tidak dibenarkan menyertai mana-mana pertandingan.” Ayat terakhir daripada David membuatkan kedua pemuda tersebut tergamam. Rupa-rupanya lawan mereka ialah David Zhang, seorang pakar Shinkuai yang dianggap antara pendekar yang terhandal di Malaysia.

Sementara itu Enbi dan Nazrul sama-sama berbalas pandangan. Insiden tadi benar-benar membuatkan mereka berasa kagum dan teruja. Darah mereka bagaikan bergolak ganas di dalam tubuh. Kini mereka benar-benar faham akan konsep pertarungan sebenar.



- Bersambung -


Friday, December 18, 2009

MetroPolis 2009 - Bab 12

Keupayaan Diri


“SIAL!!!”

Sebelum sempat si penjenayah tersebut berbuat apa-apa, leher dan ketiak kanannya telahpun dipaut oleh Nazrul dari belakang. Namun cengkaman tersebut tidaklah begitu kemas kerana Nazrul masih dalam keadaan yang lemah. Pun begitu, sekurang-kurangnya tindakan beliau dapat menghindarkan abangnya daripada terus dibelasah dengan teruk.

Si penjenayah dengan tangan kirinya yang masih lepas bebas spontan menyiku dengan keras ke rusuk kiri Nazrul. Cengkaman Nazrul ke atasnya langsung terungkai. Ketua Audit Bank Enbi Sdn. Bhd. itu melolong kesakitan. Tiba-tiba perutnya terasa seperti diterjah dengan keras. Nazrul jatuh terduduk. Disusuli dengan beberapa tendangan kencang ke bahagian atas tubuhnya. Nazrul segera berbaring di atas tanah dan mengerekotkan diri untuk melindungi diri.

Si penjenayah berhenti seketika dan perlahan-lahan berundur ke belakang. Beliau nampaknya perlu mengambil nafas setelah menyerang kedua-dua anggota MetroPolis tanpa henti tadi. Pun begitu kedua biji matanya terus-menerus dengan tajam mengawasi Nazrul yang masih mengerekot seperti udang dibakar.

“Manusia yang tak sedarkan diri. Keupayaan kamu berdua macam semut jika nak dibandingkan dengan aku. Kamu ingat dengan menjadi anggota polis maka orang akan takutkan kamukah? Ceh! Otak budak kecil saja yang berfikiran begitu!” tempelak si penjenayah dalam mengahnya. Beliau kini bergerak kembali menuju ke arah Nazrul.

“Bangun!” bentaknya dengan kasar seraya mencekak belakang kolar Nazrul untuk membangunkannya. Kali ini beliau bercadang untuk melunyaikan muka pemuda itu pula. Akan tetapi dengan tanpa disangka-sangka Nazrul memusingkan tubuh dengan secepat kilat lantas menyemburkan sejenis cecair ke arah muka si penjenayah tersebut.

“ADUH!!! CELAKA!!! ARRRRGH!!!” Si penjenayah melolong bagaikan orang gila. Kedua biji matanya seakan-akan seperti terbakar akibat terkena semburan cecair tersebut. Tubuhnya terhoyong-hayang menahan kesakitan. Kini keadaan tidak lagi memihak kepadanya.

“Sedap tak?” tanya Nazrul dengan suara lemah. Tubuhnya serasakan begitu payah sekali untuk ditegakkan. Rupa-rupanya Nazrul membawa bersamanya setin alat penyembur deodoran. Tidak seperti Enbi, Nazrul sedar akan keupayaannya sendiri. Jadi beliau bersiap-sedia membawa beberapa barangan untuk dijadikan sebagai senjata sebagai langkah berjaga-jaga. Sikapnya itu telah membawa manafaat kepadanya sekarang.

Si penjenayah sedar lawannya pasti sedang bersiap-sedia untuk membalas. Jadi sebelum Nazrul menstabilkan diri, adalah lebih baik beliau menyerang lawannya terlebih dahulu. Dengan sisa-sisa pandangan yang masih ada, si penjenayah mengenepikan perasaan sakitnya lantas terus menyerbu ke arah Nazrul.

Namun Nazrul yang lebih kini bersedia untuk mempertahankan diri segera melompat ke sebelah kanan untuk mengelakkan serbuan tersebut. Disusuli dengan semburan yang berterusan ke arah si penjenayah tadi. Si penjenayah yang kini diselubungi dengan kabus penyembur deodoran tersebut terpaksa memejamkan matanya. Beliau menghayunkan kedua-dua peninjunya secara membabi buta. Nazrul masih berterusan menyembur ke arah lawannya.

Si penjenayah tersedak tiba-tiba. Lantas terbatuk bertalu-talu. Ternyata kabus penyembur deodoran tadi telah menyekat bekalan oksigen di ruang udara dari memasuki paru-parunya. Ditambah pula bau wangi yang begitu menyengat menyebabkan kepalanya menjadi pening.

“AAARRRGHHH!!!” Si penjenayah akhirnya mengambil keputusan untuk melarikan diri setelah melepaskan teriakan kekecewaan. Dengan pandangan yang masih kabur, beliau terpontang-panting meluru mencari jalan keluar dari kilang tersebut.

“Pengecut…” Sebaik sahaja mengungkapkan perkataan tersebut, tubuh Nazrul kembali menyembah bumi. Kini beliau boleh tidur buat seketika tanpa berasa bimbang lagi akan sebarang mara bahaya.

**************************************************


Seminggu kemudian…

“Hai Nazrul, Ustaz Ren!” Nazrul yang baharu sahaja terjaga daripada tidurnya perlahan-lahan berpaling ke arah suara lunak yang menegurnya. Ren Fairuz yang sedang membilang biji tasbih juga mengangkatkan kepala.

“Selamat datang, cik Catherine!” tegur Ren Fairuz dengan ramah. Beliau telahpun menemani Nazrul selama lebih dari 3 jam pada hari ini. Nazrul enggan menjawab sapaan Catherine. Matanya kembali dipejamkan. Catherine memandang ke arah Ren Fairuz seraya membuat ekspresi wajah bertanyakan mengapa Nazrul bersikap sedemikian.

“Cik Suraya langsung tak datang menjenguknya.” Kata-kata yang bersahaja daripada Ren Fairuz kembali membeliakkan mata Nazrul.

“Sial kau, Ren!” cerca Nazrul dengan suara yang masih lesu. Sudah genap seminggu beliau terlantar di hospital, namun Suraya langsung tidak datang menjengahnya. Telah berulang kali Nazrul berpesan kepada Ren Fairuz dan Catherine untuk memaklumkan kepada Suraya tentang keadaan dirinya dan di wad mana beliau berada sekarang. Namun kelibat gadis jelita idamannya tersebut masih belum kelihatan sehingga kini. Sungguhpun fikirannya enggan berfikir yang bukan-bukan, namun naluri Nazrul begitu kuat memberitahunya akan hakikat sebenar yang sangat pahit iaitu cintanya cuma bertepuk sebelah tangan sahaja.

Catherine terus duduk di sisi Nazrul. Tangannya lunak menepuk-nepuk bahu kiri Nazrul untuk menenangkan perasaan pemuda tersebut. Namun hatinya juga sebengang Nazrul. Sudah begitu lama Nazrul berada di Hospital DiRaja Sultan Azlan Shah, namun Suraya langsung tidak datang melawat. Hendak dikatakan sibuk sangat dengan kerjaya, Suraya hanyalah seorang model sambilan sahaja. Dirinya itu masih belum cukup terkenal untuk mendapat tawaran yang mencurah-curah saban ketika.

“Dalam perjalanan balik nanti kakak akan singgah lagi ke rumah Sura-”

“Tak payahlah kak Catherine susahkan diri lagi. Dia takkan datang.” tingkah Nazrul untuk mencantas kata-kata pujukan Catherine. Ren Fairuz yang sedang berzikir terhenti membilang biji tasbihnya. Matanya tertancap ke arah Nazrul yang merenung kosong ke arah siling bilik wad kelas VVIPnya.

“Angan-angan kosong sahaja memang akhirnya akan menyakitkan hati kita.” komen Ren.

“Yang menyakitkan hati aku ialah KAU!” bentak Nazrul, yang kemudiannya mengerang kesakitan kerana kecederaan perutnya masih belum kebah.

“Cakap Ren itu memang betul. Kerana angan-angan kosonglah kita berada di sini sekarang.” Suara di jenang pintu menyentakkan ketiga-tiga orang di bilik tersebut. Kelihatan Enbi yang masih berbalut di sana-sini di tubuhnya sedang tercegat di jenang pintu wad sambil tersenyum sumbing.

“Eh! Enbi dah boleh berjalan? Kan awak kena lebih teruk daripada Nazrul?” persoal Catherine dengan nada yang sangat terkejut. Beliau pergi melawat Enbi di bilik sebelah tadi. Sementelah pemuda idamannya itu kelihatan sedang tidur dengan nyenyak, Catherine mengambil keputusan untuk tidak mengganggu Enbi dan pergi melawat Nazrul pula.

“Memanglah. Sepatutnya paling cepat pun sebulan aku boleh bangun dari katil hospital.” jawab Enbi dengan senyuman bangga.

“Habis itu, macam mana awak boleh sembuh dengan begitu cepat? Lebih cepat daripada Nazrul?” tanya Catherine dengan nada kehairanan. Nazrul yang sedang memandang ke arah abangnya juga memberikan ekspresi yang sama.

“Ubat minum yang diberikan oleh Ren Fairuz sangat mujarab menyembuhkan kecederaan dalamanku. Walaupun rasanya pahit, malah dibubuhnya di dalam bekas air kotak jus lemon pula tu... aku sangat berterima kasih kepadanya.” jawab Enbi dengan perasaan gembira. Ren Fairuz yang masih membilang biji tasbihnya menganggukkan kepala sambil tersenyum.

“Aku juga berterima kasih kepadamu, Nazrul. Kebijaksanaan dan sikapmu yang menyedari akan keupayaan diri telah menyelamatkan kita berdua.” ujar Enbi yang mula berjalan perlahan-lahan ke arah katil Nazrul dan kemudian duduk di sebelah Catherine. Nazrul tersenyum tawar mendengarkan pujian abangnya.

“Ternyata kita tak membuat persediaan yang secukupnya untuk menjadi anggota polis. Senjata api pun kita tak ada. Malah selain daripada Cat, kita berdua langsung tidak mempelajari seni mempertahankan diri. Kita hampir membayar dengan nyawa kita di atas kesilapan tersebut.” komen Enbi dengan nada kesal.

“Tentang hal Suraya tu, janganlah kau fikirkan sangat. Kalaulah dia tak nampak akan keistimewaan dan kelebihan yang kau ada, maka bagiku dia hanyalah seorang gadis cantik tetapi dungu. Aku pun tak inginkan adik ipar macam itu. Ada ramai lagi gadis-gadis yang lebih cantik dan menggiurkan untuk kau pikat.” sambung Enbi lagi seraya menjentik lunak dahi adiknya. Serta-merta hati Nazrul menjadi tenang. Fikirannya kembali fokus. Perlahan-lahan wajahnya beralih ke arah Ren Fairuz.

“Ren, aku… aku…”

“Saya maafkan dunia akhirat.” ujar Ren Fairuz seraya menepuk-nepuk bahu kanan Nazrul. Nazrul menganggukkan kepala seraya tersenyum gembira.

“Ren, boleh tak kau buatkan ubat mujarab itu untuk aku pula?” pinta Nazrul.

“Siap sedia untuk diminum!” Ren Fairuz terus mengeluarkan air kotak jus bunga kekwa pula dari peti sejuk di sisi katil Nazrul. Enbi menggelengkan kepala. Catherine ketawa besar. Nazrul tersengih.

Stay cool, calm and confident with TRISI sanitary pad!” hebahan iklan di teleholo meredakan suasana ceria mereka. Kesemua mata tertumpu ke arah iklan tersebut. Kelihatan aksi Suraya sedang bergurau-senda dengan dua orang lagi gadis cantik di dalam iklan tersebut.

“Kalau diikutkan, secara teorinya Suraya ada melawat saya tiap-tiap hari di hospital.” komen Nazrul yang merujuk kepada imej Suraya di teleholo yang agak kerap disiarkan.

Keempat-empat sahabat tersebut ketawa serentak.


- Bersambung -

Sunday, December 6, 2009

MetroPolis 2009 - Bab 11

Bertempur!


Kolej Articulate Sdn. Bhd., pada masa yang sama…

Seorang lelaki yang tampan tetapi agak nakal raut wajahnya kelihatan sedang bersiul-siul kecil dengan riang di tempat menunggu tetamu di kolej tersebut. Tangannya tidak berhenti-henti mencoret dan mencatat beberapa formula yang pelik di buku nota elektroniknya. Lakaran yang sedang dibuat olehnya seolah-olah mirip selaras pelancar roket.

“Sayaang!” Teriakan ceria di belakang lelaki tersebut mematikan perasaan terujanya yang begitu asyik berkarya. Belumpun sempat lelaki tersebut sempurna berpaling ke arah empunya suara, beliau telahpun didakap dengan begitu erat sekali oleh seorang gadis. Lelaki itu yang tampak jauh lebih tua daripada gadis tersebut membalas dakapan tadi dengan rangkulan yang mesra.

“Hei, gadis manis. Gelagat kita sedang diperhatikan oleh orang ramai.” tegur pemuda tersebut dengan lembut. Gadis yang mendakapnya segera melepaskan rangkulan. Pipinya menjadi kemerah-merahan.

“Trini, mari kita pergi makan. Abang laparlah!” sarannya lelaki tersebut. Gadis tersebut tersenyum-senyum.

“Kita nak ke mana, Remy?” tanya gadis yang bernama Trini tersebut dengan manja.

“Ceh! Panggillah dengan gelaran yang betul.” tegurnya seraya tertawa kecil.

“Baiklah, tuan Disco Inferno!” balas Trini seraya tertawa. Lelaki yang rupa-rupanya adalah Disco Inferno tersebut merenungnya dengan pandangan tajam. Tanpa solekan dan pakaian yang hodoh, lelaki yang juga dikenali sebagai Remy tersebut adalah seorang pemuda yang begitu tampan sekali.

“Maaf, bang Remy.” pinta Trini. Wajahnya disulami dengan perasaan cuak. Pandangan tajam Remy beransur-ansur menjadi lunak kembali.

“Ha! Begitulah! Abang jauh lebih tua daripada Trini. Trini baru saja 18. Abang sudahpun berumur 32 tahun sekarang.” ujar Remy. Trini kembali menjadi ceria lantas memaut lengan kanan kekasihnya dengan erat.

“Umur bukan penghalang, kan?” komennya lantas mengucup-ngucup bahu Remy dengan mesra. Penjenayah yang dikenali dengan gelaran Disco Inferno tersenyum bangga.

***************************************


Sebaik sahaja kereta yang dipandu oleh Enbi berhenti di kawasan kediaman Suraya, Nazrul terus bergegas keluar dan menyerbu ke arah pintu hadapan rumah gadis idamannya. Malah pintu kereta pun tidak sempat ditutup olehnya.

“Suraya! Kami sudah tiba! Tolong buka pintu!” teriak Nazrul dengan nada cemas. Enbi pula baharu sahaja tiba ke perkarangan rumah Suraya dalam keadaan sedikit termengah. Selang beberapa saat kemudian, pintu utama yang diperbuat daripada bahan akrilik tersebut berkeriut dibuka. Muncul Suraya di jenang pintu. Rakan-rakannya pula menuruti daripada belakang.

“Syukurlah Nazrul dah sampai. Pencuri tersebut bergegas melompat turun dari bumbung rumah kami sebaik saja dia ternampak kereta Nazrul tadi.” ujar Suraya dalam keadaan hampir menangis. Kedua tangannya memaut erat lengan Nazrul seolah-olah mahu mendakapnya. Nazrul terpaku seketika dengan tindakan spontan gadis idamannya. Ledakan emosinya telah mengkucar-kacirkan pemikiran rasionalnya sekarang. Enbi yang sedar akan keadaan tersebut terus menepuk belakang adiknya dengan agak keras.

“Suraya! Ke manakah arah pencuri itu melarikan diri?” tanya Enbi dengan agak lantang. Setiap saat adalah amat berharga pada masa ini. Sekiranya mereka berjaya menangkap pencuri tersebut sekarang, kes ini akan selesai dengan sendirinya dan tiada teori siasatan lanjut diperlukan. Nazrul yang ditepuk dengan kasar oleh abangnya segera tersedar daripada lamunan. Suraya yang juga agak terkejut dengan terjahan suara keras Enbi spontan menunding jari ke arah barat daya.

“Nazrul! Jom!” ajak Enbi seraya merentap lengan kiri adiknya. Menuju ke arah tundingan jari Suraya tadi. Terpontang-panting Nazrul dibuatnya. Langkah mereka akhirnya membawa mereka ke kawasan blok rumah kedai. Kedua-dua beradik tersebut berhenti seketika untuk menentukan arah pengejaran mereka yang seterusnya.

“Ke mana, bang ngah?” tanya Nazrul dalam keadaan tercungap-cungap. Enbi yang juga turut mencungap tidak menjawab soalan tersebut. Beliau sibuk memerhatikan keadaan persekitaran. Matanya segera menangkap seorang wanita tua berbangsa India yang juga sedang memerhatikan mereka. Enbi bingkas menuju ke arah wanita tua tersebut.

(Dalam bahasa Tamil) “Minta maaf, mak cik. Kami ini polis. Kami sedang mengejar seorang pencuri. Adakah mak cik nampak sesiapa yang tergopoh-gapah lalu ke sini tadi?” Pertanyaan Enbi membuatkan mak cik tersebut berasa terkejut. Namun bibirnya tidak lekang dengan senyuman teruja mendengarkan kefasihan Enbi berbicara Tamil.

(Dalam bahasa Tamil) “Minta maaf, nak. Tiada sesiapa yang berlari macam kena kejar dek hantu kecuali kamu berdua tadi,” jawab wanita tua tersebut seraya ketawa berdekah-dekah; menampakkan gusinya yang hanya dihuni oleh beberapa batang gigi sahaja. Enbi turut ketawa sebagai tanda menghormatinya. Beliau kemudiannya mengucapkan terima kasih kepada wanita tua tersebut dan terus mendapatkan adiknya.

“Terlepas?” Pertanyaan Nazrul dibalas oleh anggukan oleh Enbi. Nazrul berasa hampa. Nampaknya pengejaran mereka hanya sia-sia. Realiti tidak seperti di dalam filem di mana wanita tua tersebut pastinya terserempak dengan penjenayah yang mereka cari.

“Mari kita ke rumah Suraya. Tengok; kalau-kalau dia boleh berikan gambaran tentang pencuri tersebut.” pujuk Enbi sambil menepuk-nepuk bahu Nazrul. Dengan langkah yang longlai mereka bergerak ke arah rumah model jelita tersebut. Namun hati Nazrul sebenarnya masih berbunga-bunga kerana kejadian tadi.

“Bang ngah nampak tak apa Suraya buat kepada saya tadi?” tanya Nazrul. Tersenyum simpul.

“Mestilah. Aku kan di belakang kamu?” tempelak Enbi. Nazrul.ketawa segan.

“Apa maksudnya Suraya berbuat begitu, hah bang ngah?” Nazrul masih berminat untuk ke isu tersebut. Enbi merengus kecil.

“Kau tanya ni sebab kau benar-benar tak tahu ataupun sengaja nak dengar jawapan yang kau telahpun tahu daripada mulut orang lain?” tanya Enbi dengan nada sindiran.

“Apa yang patut saya buat selepas ni?” tanya Nazrul. Ternyata beliau masih mentah dalam hal perhubungan lelaki dan wanita walaupun amat sukakan wanita.

“Ajaklah dia makan tengahari Ahad ni. Kan dia bercuti?” saran Enbi. Nazrul membeliakkan mata.

“Berjanji temu?”

“Taklah, ajaklah dia memancing… Kayu betul kau ni! Tentulah ajak dia berjanji temu!” Enbi mula berasa menyampah dengan soalan-soalan bodoh adiknya.

“Uih! Risiko besar tu! Macam mana kalau dia menolak? Malulah saya!” Ternyata Nazrul sememangnya tidak langsung mempunyai keyakinan diri apabila mula menyukai seseorang perempuan.

“Kalau dia tolak, kau ajaklah pula salah seorang daripada kawan-kawan serumah dia. Mereka pun tak kurang cantiknya. Seksi pula tu!” saran Enbi dengan nada bergurau. Mereka berdua ketawa terbahak-bahak. Perjalanan pulang yang meletihkan kini langsung tidak terasa.

***********************************

Pada masa yang sama…

“Abang Remy, nanti sekejap. Trini nak ke tandas sekejap.” pinta kekasih Remy lantas berlari-lari anak ke arah tandas kolej yang terletak tidak jauh dari laluan mereka. Remy menggelengkan kepala sambil tersenyum kecil. Namun senyumannya itu tidak berkekalan tatkala melihat 5 orang pemuda mendekatinya. Remy hanya merenung ke arah pemuda-pemuda tersebut untuk membaca niat sebenar mereka.

“Awak teman lelaki Trini ke?” tanya salah seorang daripada pemuda tersebut dengan sengihan yang dibuat-buat. Remy tidak menjawab. Beliau sebaliknya hanya merenung pemuda tersebut dari hujung kaki hingga ke rambut dan kemudian melakarkan senyuman sinisnya.

“Pak cik sudah pekakkah?” tanya seorang lagi. Rakan-rakannya menyorak sambil tertawa untuk menyakitkan hati Remy. Remy tidak memberikan sebarang tindak balas terhadap perbuatan mereka. sebaliknya beliau masih meneliti salah seorang daripada mereka.

“Kamukah kawan Trini yang bernama Johannas?” tanyanya tiba-tiba. Pemudanya yang ditenungnya tersentak. Namun beliau segera menyembunyikan rasa terkejutnya dengan senyuman separuh angkuh.

“Kalau ya, kenapa?” tanyanya kembali. Remy tersenyum.

"Kalau ya, janganlah ganggu dia lagi kerana dia telah pilih aku dan bukannya kamu.” pinta Remy dengan nada sopan. Namun pemilihan ayatnya membuatkannya juga tampak angkuh dan mahu mencari pasal.

“Ceh! Kamulah yang jangan mengganggu Trini lagi. Tak malukah sudah tua-tua nak berpacaran dengan gadis mentah, hah?” bentak pemuda tersebut. Remy agak tersentak dengan herdikan tersebut. Namun kemudian beliau tertawa terbahak-bahak.

“Apa yang melucukan?” tanya pemuda tersebut dengan perasaan bengang. Remy berhenti ketawa. Kemudian tersenyum.

“Aku ketawa kerana apa yang akan terjadi kepada kamu sekejap lagi.” ujarnya dengan senyuman yang masih tidak lekang di bibir. Belum sempat pemuda tersebut berbuat apa-apa, satu tendangan yang cukup keras hinggap di pipi kanannya. Belumpun sempat pemuda tersebut jatuh menyembah bumi, Remy telahpun menarik kakinya dan melonjak ke udara lantas melepaskan satu tendangan berputar ke arah dua orang lagi rakan pemuda tersebut. Mereka juga tergolek dan mengerang di atas jalanraya. Sebaik sahaja kedua kakinya menjejak bumi, Remy bingkas menerkam dan menyangga leher kedua orang pemuda lagi dengan lengannya. Mereka juga jatuh terlentang di atas jalanraya dan mengaduh kesakitan.

Perlakuan Remy memang amat pantas dan hampir mustahil untuk dilakukan oleh mana-mana manusia biasa. Ketikamana beberapa orang pensyarah dan kakitangan memekik-mekik untuk menegur perbuatannya, Remy hanya tertawa terbahak-bahak sambil memandang ke arah para pemuda yang sedang mengerang tadi.

***********************************************


“Nazrul, tunggu…”

Langkah Nazrul memegun tatkala mendengarkan arahan abangnya. Beliau berpaling ke arah pandangan Enbi. Matanya tertancap ke arah sebuah kilang yang telah lama ditinggalkan. Sungguhpun telah agak usang dan menyeramkan, struktur kilang tersebut tampak masih utuh dan kuat. Dan tidak mustahil ianya menjadi sarang penjenayah; ataupun tempat untuk bersembunyi. Tanpa berkata sepatah pun, kedua adik-beradik itu terus mempercepatkan langkah ke arah kilang tersebut.

“Jangan berpecah.” pesan Enbi. Mereka berjalan mundar-mandir sambil meliarkan pandangan. Premises yang pernah menjalankan operasi mengeluarkan ribuan cip elektronik sehari kini dipenuhi dengan tumbuhan menjalar yang liar dan aloi-aloi sintetik buruk sahaja. Degup jantung Nazrul serasakan semakin pantas. Perutnya juga berasa senak.

“Itu dia!” Jeritan Enbi hampir membuat jantung Nazrul menjadi kebas. Pandangannya segera mengarah pada telunjuk kanan abangnya. Nazrul terus ternampak kelibat penjenayah yang mereka cari. Buruan mereka juga mulai bergerak melarikan diri setelah mengetahui kehadiran pemburunya.

“Kejar!” pekik Enbi lagi. Drama hambat-menghambat bermula lagi. Penjenayah yang mereka cari-cari kini berada di depan mata. Sungguhpun begitu letih, Enbi berazam untuk menangkapnya. Kalau boleh, mungkin menghadiahkannya barang dua tiga biji penumbuk.

Akhirnya langkah si penjenayah terhenti. Bukan kerana menyerah kalah; tetapi jalan di hadapannya telah tersekat oleh dinding besi yang sangat tinggi. Jalan yang dipilihnya telah membawa beliau ke jalan mati. Si penjenayah berpaling menghadap kedua-dua pengejarnya yang kini telahpun tiba.

“Jalan mati. Matilah kau!” tempelak Enbi dalam mengahnya. Si penjenayah memakai topeng yang biasa dipakai oleh penggusti. Namun berdasarkan susuk tubuhnya, pastilah beliau adalah seorang lelaki.

“Heh! Manusia yang tak sedarkan diri. Kau yang akan mati nanti,” balas si penjenayah dengan suara yang garau. Enbi tahu si penjenayah tersebut cuba menyembunyikan identitinya dengan mengubah tonasi suaranya.

“Cakap besar! Nazrul; serbu!” pekik Enbi. Kedua-dua adik-beradik tersebut menyerbu serentak ke arah si penjenayah seraya melepaskan tumbukan. Namun si penjenayah tangkas melonjak ke udara dengan gaya yang cukup cantik lantas melepaskan tendangan kencang menggunakan kedua-dua kakinya ke kepala Enbi dan Nazrul. Enbi jatuh tertiarap manakala adiknya berguling di atas tanah.

“Sial!” Enbi yang bingkas bangun memekik marah lantas menyerbu sekali lagi ke arah si penjenayah. Kali ini cuba untuk menerajang pula. Dengan mudah si penjenayah mengelitkan tubuhnya untuk mengelak serangan membabi-buta tersebut. Disusuli pula dengan pelempangnya singgah ke pipi kiri Enbi.

Pandangan Enbi menjadi berpinar-pinar. Telinganya berdesing. Belum sempat Enbi menstabilkan diri, satu hentakan keras hinggap di batang hidungnya. Serentak kedengaran bunyi seperti dahan yang sekah di gegendang telinganya. Cecair merah pekat dan hangat membuak keluar dari kedua rongga hidung Enbi. Sungguhpun dalam keadaan separuh pitam, Enbi tahu bahawa batang hidungnya telah patah. Si penjenayah tadi tanpa belas kasihan memaut belakang kolar baju Enbi lantas menarik dan mendorongnya ke tanah. Disusuli pula dengan terjahan keras lutut kanannya ke perut Enbi.

Tubuh Enbi melayang ke udara seperti aksi balik kuang sebelum terhenpas ke tanah. Terjahan si penjenayah tepat mengenai bahagian ulu hatinya. Akibatnya air muntah berhamburan keluar dari mulut dan hidungnya. Kesakitan yang dialami oleh Enbi tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Air matanya spontan beruraian keluar.

“Kan aku kata kau yang akan mati tadi?” tempelak si penjenayah seraya ketawa dengan angkuhnya. Beliau menendang muka dan tubuh Enbi bertubi-tubi. Enbi yang mengerekot di atas tanah tidak mampu berbuat apa-apa kerana seluruh tubuhnya berasa amat sakit dan lemah.

Enbi pasti bahawa beliau akan mati kali ini.

Pasti…


- Bersambung -


Monday, November 16, 2009

MetroPolis 2009 - Bab 10

Kesilapan Orang Bijak


“Amaa! Saya dah balik.”

Ghanshamdass yang baharu saja memasuki rumahnya terus meluru kepada ibunya yang kelihatan tertiarap di atas lantai. Beliau segera menekan jari-jemarinya dengan lunak leher si ibu tadi. Hembusan nafas kelegaan jelas kedengaran di bibirnya.

”Ama, kenapa tidur di sini? Bangun, ama.” kejutnya dengan suara lembut. Tiba-tiba ibunya membuka mata dan ketawa terbahak-bahak. Ghanshamdass tersenyum. Tatkala ibunya bergerak, baharulah beliau terperasankan kain ibunya yang kelihatan basah di bahagian punggung.

“Lampin pakai buang ama sudah penuh. Saya minta maaf, ama. Saya agak sibuk di pejabat tadi. Jadi itu sebabnya saya pulang lewat.” pohonnya dengan nada kesal. Kesal kerana penjaga harian ibunya begitu berkira untuk tidak meluangkan sedikit tambahan masa bagi menjaga ibunya itu. Beliau masih tidak mampu untuk mengambil penjaga sepenuh masa untuk ibunya kerana pada zaman ini pekerja sedemikian sudah dianggap sebagai golongan professional berkemahiran tinggi dan gaji mereka pula adalah amat mahal.

“Mari, ama. Ama pergi mandi sekali lagi, ya? Biar saya tolong carikan baju ama. Kita pakai cantik-cantik sebelum makan malam, ya?” pujuk Ghanshamdass.

“Yeaa! Mandi! Yeaa mandi!” teriak ibunya dengan suka seraya tertawa seperti kanak-kanak. Ghanshamdass tersenyum. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja beliau menuruti jejak langkah rakan-rakan yang sepangkat dengannya untuk mencari pendapatan tambahan di pusat-pusat hiburan yang tidak berlesen. Namun Ghanshamdass pasti akan berasa malu kerana menggunakan hasil yang sedemikian untuk ibunya. Ketika masih waras, ibunya dengan seorang diri sahaja membesarkan beliau dan adik-beradiknya dengan cara yang jujur dan halal sehingga kesemua mereka boleh berdikari.

*****************************************


Beberapa jam kemudian…

“Haha! Sudah dapat masuk!”

Teriakan ceria Nazrul segera mengejutkan Enbi yang sedang asyik menonton DDC (Digital Display Chip - generasi baru DVD) di teleholo. Beliau bingkas bangun dan mengorak langkah ke arah adiknya dengan keadaan tergopoh-gapah. Catherine telahpun dihantar pulang setengah jam yang lalu.

“Kenapa ambil masa yang terlalu lama?” sungut Enbi. Nazrul tidak menjawab. Jari-jemarinya masih lincah menari di atas papan kekunci komputer.

“Sistem pertahanannya sangat rumit dan canggih, bang ngah! Ianya adalah kategori Kelas Pertama seperti sistem bank abang ngah juga.” Pernyataan Nazrul membuatkan kening Enbi terangkat tinggi.

“Gila! Sistem sebegitu rupa mencecah ratusan ribu ringgit. Tidak mungkin badan NGO sebegitu mempunyai sistem pertahanan komputer yang sangat canggih?” Enbi menyuarakan kesangsiannya.

“Tidak mustahil juga, bang ngah. Kebanyakan para remaja tersebut pernah dihadapkan di Mahkamah Juvana. Dalam sistem perundangan Malaysia, segala biodata pesalah juvana adalah sulit dan tidak boleh didedahkan sewenang-wenangnya. Mungkin kerajaan yang membiayai sistem tersebut,” telah Nazrul.

“Mungkin juga.” ujar Enbi dengan nada yang kurang yakin. Namun ada perkara yang lebih penting yang perlu diselidiki olehnya.

“Dik, cuba periksa sama ada terdapat juga fail-fail berkenaan para tenaga pengajar dan mentor budak-budak tersebut.” arah Enbi.

*****************************************


Lebih kurang 10 minit kemudian…

BLIP!

“Memang ada profail tentang tenaga pengajar dan mentor di pusat komuniti tersebut!” ujar Nazrul dengan nada teruja. Jari telunjuknya menekan-nekan skrin monitor yang menggunakan sistem sentuhan menggantikan sistem tetikus. Biodata sulit tenaga pengajar mula di muat-turun ke dalam sistem.

“Kenapa abang ngah mahu melihat biodata tenaga pengajar dan mentor dulu?” Nazrul akhirnya menyuarakan kemusykilannya.

“Aku syak bahawa kebanyakan tenaga pengajar dan mentor di situ juga adalah bekas pesalah juvana juga dahulu.” jawab Enbi. Muat-turun fail-fail biodata tenaga pengajar dan mentor telahpun selesai. Satu-persatu biodata sulit yang dikehendaki oleh Enbi kini telah terdedah.

“Wah! Tekaan abang ngah memang tepatlah! Memang betul kebanyakannya bekas pesalah juvana. Macam mana abang ngah tahu?” tanya Nazrul kehairanan.

“Tentulah mereka juga bekas pesalah juvana! Orang-orang sebeginilah yang paling layak membimbing para remaja bermasalah tersebut. Mereka sahaja yang benar-benar faham akan masalah dan penderitaan sebenar budak-budak tersebut.” jawab Enbi.

“Jadi, apa kaitannya kes ini dengan mereka?” tanya Nazrul. Masih keliru dengan motif abangnya.

“Besar kemungkinan penjenayahnya adalah di kalangan tenaga pengajar atau mentor di pusat komuniti tersebut. Jenayah abnormal sebegitu adalah jenis jenayah orang dewasa. Namun tidak dinafikan remaja pun mungkin boleh melakukannya.” terang Enbi. Nazrul menganggukkan kepala tanda faham. Namun matanya masih tertancap pada skrin monitor.

“Bang ngah…”

“Hah, kenapa?”

“Nampaknya kita sudah ada suspek. Beliau pernah ditangkap sebagai pesalah juvana atas kesalahan memasang kemera-kamera pengintip di kondominium seorang aktres terkenal.” maklum Nazrul. Enbi segera meneliti biodata suspek yang tertera di skrin monitor. Bibirnya mengukir senyuman.

Ceh! Donald rupanya!”

*****************************************


Esoknya…

“Ama, saya nak pergi kerja dulu. Pengasuh ama akan datang sedikit masa lagi. Sementara itu ama tunggu sekejap, ya?” Ujaran Ghanshamdass dibalas dengan anggukan ibunya. Namun ianya agak berpanjangan sehinggakan anaknya itu terpaksa memegang kepala ibunya untuk menghentikannya.

“Sudahlah tu. Nanti ama pening.” pujuk Ghanshamdas seraya tertawa kecil. Sekonyong-konyongnya daun pintu rumah terbuka. Ghanshamdass dengan secepat kilat mengacukan pistolnya yang tadi terselit di pinggang ke arah seorang wanita berusia 30’an. Wanita yang kaku di jenang pintu tersebut gagal menyembunyikan perasaan kagetnya.

“Maaflah kerana berbuat begitu. Saya seorang polis di bahagian jenayah berat. Naluri membunuh saya amat tajam. Jadi kalau seseorang masuk ke rumah saya tanpa mengetuk pintu, saya pasti akan menembaknya kalau perlu.” maklumnya dengan nada serius. ternyata Ghanshamdass masih bengang dengan perbuatan pengasuh tersebut yang meninggalkan ibunya semalam. Buat seketika keadaan menjadi sunyi.

“Polis! Polis!” Tiba-tiba ibu Ghanshamdass bersuara dengan nada teruja. Anaknya itu segera menghalakan mata tajamnya ke arah teleholo. Ianya adalah iklan promosi yang dibuat oleh MetroPolis Enterprise.

“Polis! Polis!” ujar ibu Ghanshamdass lagi sambil menunding-nunding jari ke arah teleholo.

“Saya pun seorang polis juga, ama.” ujar Ghanshamdass sambil tersenyum. Namun senyumannya itu mati tatkala melihat ibunya tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala.

*****************************************



Sudah hampir dua jam Enbi dan Nazrul memerhatikan gerak-geri Donald di Pusat Komunit Khidmat Masyarakat tersebut. Pengarah pusat komuniti tersebut kelihatan sedang duduk bersembang bersama beberapa orang tenaga pengajar di kafeteria.

“Masih belum bertindak lagi, bang ngah!” rungut Nazrul. Enbi yang turut mengintip bersama mengeluh kecil. Kereta yang dipinjam daripada rakan Nazrul diparkir agak jauh dari pusat komuniti tersebut. Lebih kurang 80 meter. Namun penglihatan mereka masih jelas. Kini giliran Nazrul pula mengintip gerak-geri Donald dengan menggunakan teropong digital. Enbi pula sedang membelek-belek helaian majalah Fortune yang baru dibelinya tadi. Waktu sekarang telah pun menghampiri jam 12 tengahari. Keadaan sunyi buat seketika.

“Hehe!” tiba-tiba tawa kecil Enbi memecah kesunyian. Nazrul segera mengalihkan pandangan ke arah abangnya dan menghiasi wajahnya dengan ekspresi pertanyaan ‘kenapa’.

“Sebelum ini beria-ia kau menentang akan penubuhan MetroPolis. Kau katakana bahawa tindakan aku adalah tidak masuk akal dan merugikan. Sekarang kau pula yang sedang duduk bersama-sama aku membuat kerja yang tidak masuk akal. Tentu kau tidak menjangka akan perkara sebegini, kan?” sindir Enbi seraya menyambung tawanya kembali. Nazrul tersenyum kelat. Kata-kata abangnya nyata adalah benar. Nazrul begitu komited sekali di dalam menyelesaikan kes kecurian pakaian dalam Suraya dan rakan-rakannya.

“Kau menyertai MetroPolis kerana Suraya. Selepas kes ini selesai, bagaimana pula pendirian kau pada masa itu?” tanya Enbi pula. Beliau ingin tahu akan niat sebenar Nazrul.

“Tentulah masih seorang anggota polis di MetroPolis! Semenjak menyertainya, macam-macam perkara menarik yang berlaku dalam hidup saya. Sungguhpun saya masih berpendirian bahawa prinsip abang adalah tidak masuk akal, namun MetroPolis benar-benar memberikan pengalaman yang menarik kepada saya.” perjelas Nazrul. Enbi menganggukkan kepala sambil tersenyum.

Tiba-tiba telefon bimbit Nazrul berbunyi nyaring. Kelam-kabut beliau mengeluarkannya dari poket seluar. Lagu penyanyi pujaan Enbi berkumandang pada telefon bimbit yang berharga hampir RM3,000 tersebut.

“Wah; lagu Raeney yang baru, ya? Kau muat-turunlah lagu itu ke telefon aku.” pujuk Enbi. Nazrul menunjukkan isyarat ‘okey’ dengan tangannya. Telefon bimbitnya telahpun ditekapkan ke telinga.

“Hai Suraya.” tegur Nazrul dengan suara lunak. Enbi menahan tawa mendengarkan suara Nazrul yang kononnya romantik.

“Nazrul! Tolong Nazrul! Penjenayah itu ada di halaman rumah Suraya!” Kata-kata di corong pembesar suara telefon tersebut spontan membeliakkan mata Nazrul.

“Okey! Kami akan datang segera! Jangan keluar daripada rumah, tahu?” pesan Nazrul dengan agak keras. Sungguhpun tidak mendengar apa yang diperkatakan oleh Suraya, Enbi telahpun sedia maklum bahawa ada sesuatu yang buruk sedang berlaku di rumah gadis idaman adiknya. Kakinya spontan menekan pedal minyak. Kereta buruk kepunyaan kawan Nazrul berdesup meninggalkan lokasi pengintipan mereka.

“Jahanam! Kita sudah salah jangka nampaknya!” Nazrul seolah-olah memarahi diri-sendiri. Enbi hanya mendiamkan diri. Beliau juga berasa marah dengan dirinya kerana terlalu menunjuk-nunjukkan kebijaksanaan. Walhal sepatutnya beliau sedar bahawa bidang perniagaan dan bidang jenayah adalah tidak sama.

Kesilapan Enbi akibat berlagak pandai bermungkinan akan menyebabkan Suraya dan rakan-rakannya berada di dalam keadaan berbahaya. Kekesalan semakin menebal di sanubari. Speedometer telahpun mencapai lebih dari 100 kilometer sejam. Nazrul membisu seribu bahasa. Hatinya benar-benar gelisah. Kini baharu sahaja beberapa minit telah berlalu namun ianya dirasakan amat lama.

“Kita sudah sampai!”


- Bersambung -

Sunday, November 8, 2009

MetroPolis 2009 - Bab 9

Lakonan dan Kepura-puraan


Pada masa yang sama…

Seorang lelaki kelihatan mundar-mandir dengan perasaan cemas. Sesekali matanya meliar memandang ke sana sini seolah-olah menunggukan sesuatu. Akhirnya beliau melepaskan nafas lega. Orang yang beliau tunggu telah tiba. Lelaki tersebut mempunyai perawakan yang amat tegap lagi hebat dan mampu menggetarkan hati sesiapa yang memandangnya. Sungguhpun begitu, lelaki yang sedang menunggunya nampak begitu lega sekarang. Beliau terus memberikan orang yang ditunggu-tunggunya sekeping cip kecil.

“Ini adalah rekod-rekod pelupusan dadah milik tuan Don yang dibuat secara beransur-ansur oleh Disco Inferno. Barang-barang tersebut akan dihantar sebagai ufti kepada kumpulan Tai-Pan dalam beberapa hari lagi.” maklumnya.

“Hm. Tuan Don tentu amat gembira dengan maklumat ini. Kita tengoklah sejauh mana Disco inferno mampu berlakon dan berpura-pura lagi.” balas lelaki tegap tadi. Rupa-rupanya lelaki yang memberikan maklumat tentang Disco Inferno tersebut adalah anak buahnya sendiri. Ternyata si pengkhianat tersebut mempunyai pengkhianat juga sebagai anak buahnya.

******************************************************


“Kamu sebenarnya memerlukan perintah dari mahkamah untuk memeriksa fail-fail peribadi para remaja di sini!”

Pernyataan Donald tadi benar-benar membuatkan Enbi berasa seperti seorang dungu. Rahsia mereka terbocor. MetroPolis adalah sekumpulan polis yang langsung tidak mengetahui selok-belok dan prosedur untuk memulakan penyiasatan.

“Kalau awak enggan bekerjasama, kami akan menceroboh masuk ke dalam sistem fail komputer tempat ini dan...” Belum sempat Nazrul menghabiskan bait-bait ancamannya, mulutnya segera dipekup oleh Catherine. Ren Fairuz pula mengambil kesempatan untuk membalas perbuatan pemuda yang bercitarasa buruk terhadap fesyen tersebut. Telinga kiri Nazrul dijentiknya dengan sekuat hati.

“Awak seorang penggodam rupanya! Betulkah kamu ini sekumpulan polis? Kepakaran kamu semua macam sekumpulan penjenayah sahaja!” tempelak Donald seraya ketawa. Enbi tersenyum kelat.

“Janganlah mencuka begitu. Saya cuma menyatakan perkara yang sepatutnya kalian lakukan. Tidak bermakna saya enggan memberikan akses fail-fail tersebut kepada kalian,” pujuk Donald. Enbi kembali tersenyum. Catherine juga tersenyum seraya menganggukkan kepala tanda berterima kasih kepada pengarah Pusat Komuniti Khidmat Masyarakat tersebut. Nazrul dan Ren Fairuz pula sibuk berbalas tendangan. Ternyata mereka tidak langsung menyedari apa yang baharu sahaja berlaku.

****************************************************


Hampir sejam Nazrul menyemak fail-fail remaja bermasalah atas arahan abangnya. Enbi yang duduk di sebelah adiknya pula sesekali mencatat beberapa nama para remaja yang dirasakannya mempunyai kaitan dan potensi untuk melakukan jenayah bagi kes yang mereka sedang kendalikan. Catherine kelihatan mundar-mandir di dewan latihan melihat beberapa para remaja yang menjalankan latihan seni mempertahankan diri tadi. Ren Fairuz pula sedang meleteri beberapa orang remaja yang melepak di balkoni bangunan tersebut.

“Dahsyatnya. Kebanyakan para remaja yang berlindung di sini pernah melakukan jenayah-jenayah berat seperti membunuh, merogol, merompak menggunakan senjata dan mencederakan orang lain. Nampaknya ramailah yang berpotensi!” komen Nazrul sambil membetulkan cermin matanya yang semakin melurut dari hidungnya. Donald tersenyum melihatkan bentuk dan warna cermin mata pemuda tersebut.

“Awak patut memakai kanta pelekap mata. Jangan sembunyikan wajah awak yang kacak itu.” nasihat Donald. Ia sebenarnya suatu kritikan berlapik terhadap citarasa Nazrul dalam memilih cermin mata.

“Tak mahu. Saya suka memakai cermin mata. Ianya menjadi pelengkap fesyen saya. Malah saya nampak kacak dan bergaya bila memakai cermin mata ni.” ujar Nazrul dengan penuh keyakinan. Donald mengetap bibirnya untuk menahan deraian tawa. Enbi yang sedang menatap skrin komputer turut tersenyum lebar. Nyatalah beliau juga memasang telinganya tadi.

“Tak semestinya pelaku jenayah berat ini yang membuatnya. Orang-orang sebegini mempunyai ego mereka. Mereka tidak akan melakukan jenayah sehina itu. Nampaknya tiada siapa yang berpotensi menjadi penjenayah yang kita cari di sini.” ujar Enbi seraya menghela nafas keluhan.

“Mungkin ada yang menukar profesyen jenayah mereka. Sengaja untuk suka-suka.” serkap Donald. Enbi menggelengkan kepala tanda tidak bersetuju dengan pandangan tersebut.

“Yang datang ke pusat komuniti ini semuanya adalah golongan yang menginsafi diri dan mahukan perubahan yang baik dalam hidup mereka.” perjelas Enbi. Donald tersenyum. Ternyata lelaki di hadapannya ini sangat bijak orangnya sungguhpun nampak agak tidak ramah dan mesra.

****************************************************


Lebih kurang dua jam kemudian…

“Kecewa betul rasanya sebab kita tidak mendapat sebarang petunjuk.” ujar Nazrul dengan kecewa. Ren Fairuz sibuk menyamankan mukanya dengan kipas tangan. Tangan kanannya memegang erat sekotak air minuman perisa laici. Air kotak tersebut dipinta olehnya daripada Donald setelah membuka peti sejuk pusat komuniti tersebut dengan tanpa kebenaran. Catherine pula menyanyi-nyanyi kecil dengan riang sementelah dapat meluangkan masa sekali lagi dengan pemuda idaman hatinya.

“Aku sengaja berpura-pura menemui jalan buntu, dik. Aku hanya mahu kau melihat alamat laman web pusat komuniti tu. Malam ni kau godam masuk ke dalam sistem mereka, okey?” pinta Enbi. Nazrul membeliakkan mata bila mendengarkan strategi abangnya. Kemudian beliau mengorak senyuman lantas menanggukkan kepala.

“Pandai betul Enbi berlakon!” puji Ren Fairuz. Mulutnya kemudian mengatup penyedut minuman kotak buat beberapa ketika. Nazrul menjeling ke arahnya.

“Ini strategi perniagaan. Donald terlalu bermurah hati memberikan akses fail-fail sulit pusat komuniti tersebut. Pasti ada udang di sebalik batu. Aku terpaksa berlakon supaya strategi kita tidak diketahui olehnya.” perjelas Enbi dengan wajah serius.

“Saya suka mi udang.” maklum Ren Fairuz dengan tidak semena-mena. Enbi ketawa kecil dengan perangai pandir imam muda tersebut. Nazrul menggelengkan kepala. Catherine pula sedang hanyut di dalam dunia angannya.

“Besok sebelum waktu tengahari kita akan membuat intipan di rumah Suraya. Pasti pencuri itu akan datang lagi.” maklum Enbi akan rancangan seterusnya.

“Bagaimana kalau betul pencuri tersebut ahli dalam Pusat Komuniti Khidmat Masyarakat? Tentu dia sudah tahu dan enggan datang ke situ lagi.” tingkah Nazrul dengan nada keraguan.

“Nazrul; orang sebegini sebenarnya sakit jiwa. Aku agak beliau hanya mampu mencapai tahap kepuasan seksualnya dengan mencuri pakaian dalam gadis-gadis cantik. Pencuri ini sudah ketagih. Beliau pasti tidak dapat menolak godaan yang sangat kuat sungguhpun mengetahui akan risiko mungkin tertangkap. Apa yang dibuatnya dengan pakaian-pakaian dalam tersebut bergantung pada tahap sakit jiwanya. Mungkin beliau suka menghidu-hidu. Kalau pencuri ini suka menggunting atau mencarik-carikkan pakaian dalam yang dicuri, Suraya dan rakan-rakannya mungkin dalam bahaya. Orang sebegini berpotensi menjadi pembunuh gila.” jawab Enbi dengan panjang lebar. Nazrul mengangguk-anggukan kepala. Ren Fairuz yang antara dengar dengan tidak lebih berminat memerhatikan tindak-tanduk Catherine yang tersengih-sengih tanpa sebab.

*********************************************



Malam itu setelah selesai mengaudit akaun-akaun syarikat Enbi bagi bulan ini, Nazrul mula melayari supernet (generasi baru internet) untuk menggodam masuk ke sistem Pusat Komuniti Khidmat Masyarakat. Enbi pula sedang duduk di balkoni kondominiumnya sambil menikmati udara malam. Beliau memejamkan matanya rapat-rapat. Angin sepoi-sepoi bahasa yang membelai tubuhnya serasakan amat nyaman sekali. Tiba-tiba Enbi terkenangkan laluan hidupnya semasa kecil dulu.

“Hai Enbi! Boleh saya ganggu Enbi?” Suara Catherine tiba-tiba mematikan lamunannya. Enbi menoleh dengan senyuman mesra.

"Marilah duduk sama di balkoni, Cat!” pelawanya. Gaya percakapan Enbi ternyata berubah sekarang. Ungkapannya lembut dan mesra, tidak seperti selalu. Catherine yang turut terperasankan perubahan ketara sahabatnya itu berasa agak hairan. Namun beliau masih belum menyahkan senyuman yang menguntum di bibir. Agak lama mereka mendiamkan diri sambil memandang ke arah kota metropolitan yang masih hidup sungguhpun telah hampir larut malam.

“Mak kau tentu bising sebab datang ke sini pada waktu yang agak larut sekarang.” telah Enbi dengan nada tenang sedangkan matanya masih tertancap menikmati panorama di hadapan mereka.

“Mak saya sudah tau saya hendak ke mari. Dia suruh saya minta Enbi hantar saya pulang.” balas Catherine seraya menoleh ke arah sahabatnya itu. Enbi tetap merenung ke hadapan. Namun riak wajahnya nampak tenang, tidak seperti yang dijangkakan oleh Catherine. Kebiasaannya beliau pasti merengus tanda protes dan Catherine perlu menapak pulang sendiri.

“Bila kau nak aku hantar pulang?” Pertanyaan Enbi membuatkan Catherine benar-benar terkejut.

“Biasanya kita perlu bertengkar dulu sebelum saya balik berjalan kaki. Enbi tak ada apa-apakah?” tanya Catherine dengan nada hairan. Enbi memandang ke arah Catherine kali ini dengan sulaman senyuman.

“Aku terkenangkan bapaku, Cat. Dia seorang yang sangat baik hati. Bila kau melepak di rumah kami, beliau sanggup menghantar kau balik tak kira pukul berapa sekalipun. Mungkin aku sedikit sebanyak patut mengikut perangai baik hati bapaku.” maklum Enbi yang merupakan jawapan kepada kemusykilan sahabatnya itu tadi.

“Dulu Enbi juga yang kata bapa Enbi bodoh kerana terlalu baik hati dan selalu membiarkan orang mengambil kesempatan ke atasnya. Malah akhirnya beliau mati miskin. Enbi yang berjaya keluar dari cengkaman kemiskinan dengan kudrat Enbi sendiri. Enbi sendiri yang kata kekayaan yang Enbi miliki sekarang adalah sebab Enbi seorang yang sanggup memijak sesiapa saja untuk menjadi batu loncatan Enbi menjadi kaya.” tempelak Catherine untuk mengingatkan pendirian tegar sahabatnya itu.

“Haha! Memang benar. Tapi hiduku selama ini tak pernah berasa gembira. Sedangkan bapaku mati dalam wajah yang tenang dan tersenyum sungguhpun dalam kepapaan. Aku rasa aku sudah mulai faham mengapa sekarang.” balas Enbi. Keadaan menjadi hening di antara mereka seketika.

“Saya sangat gembira kalau Enbi dah mulai berpandangan begitu.” maklum Catherine. Enbi kembali memalingkan wajahnya memandang Catherine. Senyuman manisnya terukir di bibir. Catherine juga turut membalas dengan senyuman. Sekonyong-konyongnya kelibat Nazrul muncul di antara mereka.

“Bang ngah,” Nazrul bersuara.

“Hum!” balas Enbi. Wajahnya mulai mencuka

“Suraya ada ramai kawan lelakilah.” maklum Nazrul dengan nada hampa. Topik yang diutarakannya adalah secara mengejut dan tiba-tiba.

“Habis itu?” tanya Enbi. Acuh tidak acuh.

“Kawan-kawan lelakinya semua segak-segak dan hebat-hebat belaka perawakan mereka. Malah pandai mengambil hati pula.” jawab Nazrul. Perasaan merendah diri jelas terpapar pada nada suaranya.

“Mana Nazrul tahu?” tanya Catherine dengan lembut.

“Petang tadi saya singgah sebentar ke rumah Suraya untuk memaklumkan perkembangan kes. Pada masa itu juga beliau ada tetamu. Suraya meminta saya menunggu sebentar. Saya rasa begitu kekok sekali bila bergaul dengan kawan-kawan lelakinya. Mereka nampak begitu canggih dan elit sekali. Suraya pun begitu juga.” jawab Nazrul lagi.

“Jadi?” tanya Enbi. Kini pandangannya teralih ke arah adiknya.

“Jadi saya rasa putus harap untuk memikat ataupun mendekati Suraya. Kami berdua sahih dari dua dunia yang berbeza.” Nazrul menundukkan kepala. Enbi dapat merasakan perasaan rendah diri dan kesedihan adiknya.

“Bodoh,” Itulah komen Enbi yang menyentakkan perasaan Nazrul.

“Abang ngah ini sial betul! Bukannya mahu bersimpati dengan saya. Panggil saya bodoh pula!” bentak Nazrul dengan nada tidak berpuas hati. Enbi ketawa kecil.

“Nazrul, cuba Nazrul fikirkan betul-betul. Pernahkah Suraya tidak menerima baik kedatangan Nazrul ke rumahnya setakat ini?” tanya Catherine sebelum sempat Enbi bersuara. Beliau dapat mengagak mereka berdua pasti akan bertengkar macam anjing dan kucing selepas ini kalau tidak dicegah.

“Tidak,” balas Nazrul ringkas.

“Pernahkah Suraya memandang Nazrul seperti memandang benda yang pelik setakat ini?” tanya Catherine lagi.

“Tidak.” jawab Nazrul lagi.

“Nazrul, Suraya tidak pernah menghina Nazrul. Nazrul yang memandang rendah pada diri sendiri. Nazrul mempunyai peluang sama seperti orang lelaki lain yang mendambakan Suraya juga.” Nazrul tersentak dengan bait-bait kata yang dituturkan oleh Catherine kali ini. Perlahan-lahan kayakinannya bercambah semula.

“Jadi apa yang perlu saya buat sekarang supaya Suraya menyukai saya, kak?” tanya Nazrul. Enbi merengus. Namun segera ditenangkan oleh Catherine.

“Jadilah diri Nazrul sendiri. Tak perlu berlakon dan berpura-pura. Pasti Suraya akan lebih menghargai orang yang macam itu. Tapi kalau tidak, mungkin sudah bukan rezeki Nazrul.” jawab Catherine dengan lembut.

“Terima kasih kak Catherine. Kak Catherine memang baik dengan semua orang dan selalu menolong saya. Bukan macam si bakhil di sebelah itu.” Sempat pula Nazrul memerli abangnya itu. Akhirnya perkara yang ingin dielakkan oleh Catherine berlaku juga. Sebelum Enbi menghantarnya pulang, gadis tersebut terpaksa mendengar jerit-pekik dan maki-hamun daripada kedua beradik tersebut pada malam itu.


- Bersambung -


Monday, October 12, 2009

MetroPolis 2009 - Bab 8

Pandangan Yang Serupa



Beberapa hari kemudian…

Seorang gadis yang amat jelita sedang menonton teleholo (pada zaman dahulu dikenali sebagai televisyen) yang kini menyiarkan berita tentang kehilangan sebuah patung singa purba yang diperbuat sepenuhnya dari batu jed hijau. Patung yang berusia ribuan tahun tersebut dimiliki oleh seorang taikun billionair terkenal bernama Tan Sri Teng Ah Joo. Syarikat Polis Malaysia Berhad yang telah dibayar jutaan Ringgit Malaysia sebagai fee untuk menyiasat kes ini telah menemui jalan buntu kerana pencurinya adalah seorang yang sangat handal dan diberi dengan nama jolokan ‘Swift Shadow’.

Fokus gadis jelita tersebut terhenti tatkala terdengar bunyi di sebelahnya. Beliau menoleh ke arah kanan. Rupa-rupanya pengasuh peribadinya sedang meletakkan secawan kopi di atas meja kecil di sebelahnya.

“Macam mana tugas cik puan kali ini?” tanya pengasuh wanita berumur 50’an tersebut dengan lembut. Gadis jelita tersebut tersenyum mesra.

“Mudah saja. Oh, ya. Mak cik sudah sediakan senarai nama orang-orang miskin tegar di zon utara, Ipoh?” tanya gadis tersebut pula setelah menjawab soalan pengasuhnya.

“Sudah, cik puan. Ada 23 orang kesemuanya.” jawab pengasuh tersebut. Mata beliau tiba-tiba tertumpu ke arah risalah MetroPolis Enterprise di atas meja sisi tadi. Beliau dengan cermat mengambilnya untuk dibaca.

“Syarikat polis yang baru. Tapi pelik sedikit sebab mereka tidak mengenakan apa-apa bayaran perkhidmatan.” maklum gadis tersebut tanpa diminta.

“Mungkin ada muslihat di sebaliknya.” komen si pengasuh tadi.

“Mungkin juga sebab ianya dimiliki oleh Nizaruddin Bukhary atau Enbi. Dia seorang multi jutawan. Tapi mungkin juga beliau jujur dan ikhlas.” balas gadis tersebut. Matanya kini tertancap kembali pada teleholo.

“Cik puan belum pernah mencuba ke atas Enbi lagi, kan?” tanya si pengasuh tiba-tiba. Gadis jelita tersebut kelihatan agak tersentak. Matanya kembali terarah kepada pengasuhnya. Bibir mungilnya kemudian mengorak senyuman.

“Semenjak kes pantai buatan di Jelapang dan rumah anak yatim di Gunung Rapat, saya berasakan bahawa Enbi ini sebenarnya seorang yang baik. Jadi tak sampai hati saya nak lakukannya terhadap dia.” jawab gadis tersebut. Pengasuhnya menganggukkan kepala tanda faham. Gadis tersebut mengalihkan pandangannya pula kepada sebuah patung singa yang diperbuat dari batu jed hijau.

“Tan Sri Teng Ah Joo pula memang benar-benar bakhil. Mungkin saya patut minta beliau memberi setiap orang miskin tersebut RM20,000.00 seorang sebelum memulangkan balik barang yang tak berguna ini. Beliau mampu membayar SPMB sampai jutaan Ringgit Malaysia untuk mendapatkannya balik. Apalah sangat RM460,000 sahaja padanya, betul tak mak cik?” ujar gadis tersebut seraya tersenyum nakal.

*****************************************


“Eh, kau dengar tak cerita tentang sebuah syarikat polis yang memberikan perkhidmatan percuma di Ipoh?”

“Percuma? Takkanlah begitu! Pasti ada muslihat,”

“Mungkin mereka ini syarikat polis jenis skim kredit ansuran bulanan agaknya?”

“Tiada bayaran? Ha! Lawak kau semakin bertambah baik, Ekram!”

Berita tentang MetroPolis kini mulai meniti di bibir orang ramai. Sungguhpun ianya sememangnya suatu berita baik, masih ramai yang berasa curiga dan bersikap skeptis tentangnya. Mereka mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ akan sejauh mana kebenaran berita tersebut.

Inspektor Ghanshamdass yang baharu sahaja menyusun beberapa biji botol plastik kitar semula di atas sebuah pangkin kayu sintetik di lapangan sasar menembak kini kembali bergerak menjauhi botol-botol tersebut. Di tangannya masih tergenggam erat risalah MetroPolis yang diletakkan di peti surat rumahnya. Ghanshamdass kini berdiri tegak di sebelah sebuah robot yang lebih tinggi daripadanya. Dua pucuk pistol yang mendiami sarung di sisi kiri dan kanan pinggangnya membuatkan pegawai polis SPMB tersebut kelihatan amat bergaya sekali.

“Rizzo Tujuh, sila membuat kiraan masa aku menembak kesemua enam biji botol di hadapanku.” arah Ghanshamdass sambil memandang ke arah robot tersebut. Beliau kembali membelek risalah MetroPolis tersebut. Tiba-tiba Ghnshamdass mencampakkan risalah tersebut ke udara dan dengan pantas kedua tangannya mencapai pistol lantas menembak ke arah botol-botol tadi. Sepantas itu juga tangannya menyarung kembali pistol-istol tersebut dan segera menangkap risalah yang dilontarkannya ke atas tadi.

“Tuan telah berjaya menembak kesemua enam biji botol dengan catatan masa 1.89 saat.” maklum robot tersebut dengan suara digital yang garau. Ghanshamdass tersenyum. Risalah MetroPolis tersebut masih digenggam dengan erat.

*****************************************


Enbi baharu sahaja selesai melaksanakan urusan penjualan kad dagangan koleksi Batman cetakan edisi terakhir. Selepas itu siri komik Batman telah ditamatkan atas sebab depresi ekonomi yang sangat teruk di Amerika. Tujuh keping kad edisi kromium telah berjaya dijual dengan harga RM15,000.00 merupakan suatu urusniaga yang sangat lumayan. Namun Enbi bercadang untuk menggunakan keuntungan tersebut bagi menampung kos syarikat MetroPolis Enterprise yang baharu ditubuhkan. Sekurang-kurangnya perbelanjaan selama enam bulan telahpun sedia ada mengikut pengiraan bakhilnya.

Nazrul pula baharu sahaja selesai membuat imbangan duga akaun Bank Enbi Sdn. Bhd. bagi bulan ini. Beliau menguap panjang. Cermin mata yang hodoh itu dileraikan dari wajah kacaknya untuk menggenyeh matanya yang berair. Beliau kemudian mangambil telefon mudah alihnya untuk menghantar pesanan ringkas kepada Suraya, klien pertama MetroPolis. Nazrul kemudiannya melemparkan pandangan ke luar pintu balai. Bibirnya menguntum senyuman. Wajah jelita Suraya kini menghiasi cepu fikiran bersama angan-angannya.

Catherine pula masih berada di restorannya. Sambil menguruskan pesanan pelanggan yang lewat bersarapan, beliau sempat mengerling ke arah jam tangannya. Hampir pukul 10.00 pagi. Pelanggan-pelanggan telah mula menyesakkan ruang restorannya semenjak jam 7.00 pagi tadi. Catherine segera memaklumkan rancangan yang dibuatnya semalam kepada ibunya. Rancangan tersebut ialah beliau mahu turut serta menyertai Enbi membuat siasatan di Pusat Komuniti Khidmat Masyarakat yang mereka nampak semalam. Ibunya pula mulalah berkicau meleteri Catherine. Beliau daripada awal lagi tidak bersetuju dengan keputusan anaknya menyertai MetroPolis. Ibunya sedar bahawa Catherine menyertai MetroPolis semata-mata kerana perasaannya terhadap Enbi. Beliau bimbang anaknya akan terjebak dalam obsesi Enbi.

Enbi telahpun turun dari tingkat dua, iaitu lokasi baru kedai kad dagangannya. Beliau bercadang untuk melawat Pusat Komuniti Khidmat Masyarakat : Jabatan Remaja Bermasalah hari ini. Dari jauh kelihatan Catherine berlari-lari anak ke arah balai.

“Betulkah kau tidak mahu mengikut kami?” Pertanyaan tersebut ditujukan ke atas Nazrul. Adiknya yang sedang duduk di bahagian kaunter aduan menggelengkan kepala.

“Malas. Saya mahu menunggu di sini. Manalah tahu kalau-kalau ada orang lain mahu membuat aduan.” balas Nazrul. Enbi tersengih sinis.

“Kau berharap agar Suraya datang lagilah, ya? Budak ini, tidak padan langsung dengan cermin mata yang hodoh! Boleh tahan juga sikap angaumu!” Kata-kata Enbi kepada adiknya itu lebih berupa sindiran. Nazrul cuma mencebik tetapi enggan membalas sindiran tersebut. Catherine telahpun tegak di hadapan mereka.

“Hai Enbi! Hai Nazrul!” tegurnya dengan ceria.

“Hai kak Catnerine!” ucap Nazrul sebagai membalas teguran tadi.

“Nampaknya kita berdua sahaja yang akan pergi ke Pusat Komuniti Khidmat Masyarakat, Cat!” maklum Enbi tanpa membalas teguran tadi.

“Siapa kata? Saya pun hendak mengikut sama!” Sekonyong-konyongnya suatu suara mencelah di sisi mereka. Semua mata spontan teralih ke arah suara tersebut. Rupa-rupanya Ren Fairuz telahpun muncul di balai tersebut tanpa disedari.

“Bila pula dia ini datang? Senyap-senyap sahaja masuk ke sini macam lipas.” rungut Nazrul. Ren Fairuz tergelak mendengarnya.

“Itulah, berangan lagi! Orang datang pun tidak sedar.” leter imam muda tersebut pula.

“Yang itu, apa?” tanya Enbi seraya menunding ke arah air kotak yang dipegang oleh Ren Fairuz. Imam muda tersebut tunduk merenung tangannya yang memegang kemas air kotak perisa teh bunga kekwa.

“Ini dikira upah untuk menemani kamu berdualah.” hujah Ren Fairuz dengan bernasnya.

“Bila pula kami mengupah ustaz untuk menemani kami?” pertikai Enbi.

“Ala, anggaplah ia sebagai amal jariah untuk imam muda yang baik hati.” hujah Ren Fairuz pula.

“Amal jariah kepala otak kau! Memang dasar lipas yang suka mencuri!” tempelak Nazrul dengan kasar. Enbi menunding jari ke arah Nazrul membuat isyarat supaya tidak berlaku biadap terhadap Ren Fairuz.

“Baiklah, tapi ustaz mesti menemani kami sehingga ke petang hari.” saran Enbi yang lebih berupa kepada arahan. Ren Fairuz mengangguk setuju.

“Abang ngah; aku pun nak ikutlah!” Tiba-tiba Nazrul mengubah fikiran.

“Pulak! Ada-ada saja kau ini.” rungut Enbi. Nampaknya beliau terpaksa mengunci balai polisnya yang baharu sahaja dibuka.

Mercedes Enbi telahpun tiba ke Pusat Komuniti Khidmat Masyarakat: Jabatan Remaja Bermasalah. Kehadiran mereka disambut dengan pandangan curiga oleh beberapa orang remaja yang sedang melepak di luar. Wajah mereka begitu dingin dan bengis; persis samseng jalanan. Enbi dan Catherine berasa agak cuak; namun mereka tetap memberanikan diri melangkah masuk ke perkarangan bangunan tersebut. Nazrul pula sibuk memandang sekeliling bangunan yang agak usang tersebut.

“Kenapa kamu semua tidak ke sekolah? Itulah sebabnya kamu semua gagal di dalam peperiksaan.” Tiba-tiba suara Ren Fairuz memecah suasana tegang tadi. Namun ianya langsung tidak membantu. Enbi segera berpaling dan menekup mulut imam muda tersebut.

“Ustaz; jaga mulut sikit. Tak balik kita nanti.” tegur Enbi. Catherine yang juga sedang memandang Ren Fairuz menganggukkan kepala tanda bersependapat dengan Enbi. Imam muda tersebut segera mengangguk faham.

Seorang remaja yang agak matang wajahnya menjemput mereka untuk duduk di bilik menunggu yang disediakan. Sungguhpun bilik tersebut agak kecil, namun hiasan dalamannya begitu menarik sekali. Malah penghawa dingin yang dipasang disembunyikan dengan begitu baik sekali di sebalik rimbunan pokok buluh Jepun.

Catherine begitu tertarik hati melihatkan dewan latihan seni mempertahankan diri yang boleh ditinjau melalui tingkap besar di bilik tersebut. Darah mudanya turut bergolak melihatkan ketangkasan dan kepantasan para remaja yang sedang berlatih wushu di situ.

Seketika kemudian, beberapa orang dewasa keluar dari bangunan tersebut seolah-olah menyambut kedatangan mereka. Susuk tubuh mereka rata-ratanya tegap dan nampak lasak. Namun air muka mereka tidaklah sebengis dan sedingin remaja-remaja tadi. Salah seorang daripada mereka segera menghulurkan dulu tangannya untuk bersalam.

“Selamat datang. Apa khabar? Saya Donald,” Lelaki tersebut memperkenalkan diri.

“Duck?” Tiba-tiba sahaja Ren Fairuz mencelah. Belum sempat beliau ketawa dengan lawaknya sendiri, belakang Ren Fairuz ditumbuk oleh Catherine dan Nazrul secara serentak. Imam muda yang bacar mulut tadi mengaduh kesakitan. Kartun watak-watak Disney masih kekal dan popular hingga kini. Donald dan para pengiringnya turut ketawa.

“Entah berapa kali saya pernah diusik dengan gurauan sedemikian.” ujarnya dengan sopan; tanda tidak berkecil hati dengan pertanyaan Ren Fairuz tadi. Orang-orang lain yang menemani Donald tadi turut menghulurkan salam mereka seraya memperkenalkan diri. Rupa-rupanya mereka adalah tenaga pengajar dan mentor kepada para remaja yang bermasalah.

“Kami daripada MetroPolis.” maklum Enbi dengan sopan.

“MetroPolis? Ah! Syarikat polis baru yang tidak mengenakan caj perkhidmatan itukah?” tanya seorang daripada tenaga pengajar tersebut. Beliau telah memperkenalkan dirinya sebagai Duali tadi.

“Ya! Itulah kami. Memang benar kami tidak mengenakan sebarang caj perkhidmatan. Tiada apa-apa helah tersembunyi,” jawab Enbi.

“Habis itu; apa yang saudara dapat daripada semua ini?” tanya Donald. Tonasinya jelas menduga Enbi.

“Sama seperti apa yang saudara semua dapat bila berkhidmat di Pusat Khidmat Komuniti Masyarakat ini.” jawab Enbi kembali. Donald ketawa dengan senang hati. Namun matanya tertancap ke mata Enbi yang juga sedang merenung dalam ke matanya.

Mereka memiliki pandangan yang serupa : berilmu dan penuh kecurigaan.



- Bersambung -