MetroPolis
Episod 3
Bab
8
Bibit-bibit
Perpecahan (Bah. 1)
Kubu
Utama al-Mahdi pihak Organisasi di Makkah. Beberapa minggu sebelum itu semasa
mesyuarat empat Maharaja Emissary berlangsung...
“Jadi
nampaknya kita perlu menangguhkan perkara berkenaan dengan asal-usul Maharaja
Adaj sehingga kita mendapat pengesahan daripada pakar forensik dan bio-genetik
kita.” saran Maharaja Debu Berlian yang juga merangkap pengerusi bagi mesyuarat
tersebut.
“Kalau
begitu, mari kita membincangkan isu-isu remeh pula.” saran Ren Fairuz yang
nampaknya tidak sabar-sabar mahu memperkatakan sesuatu.
“Apa
yang berada dalam kepala otak licikmu itu, Ren?” tanya Zoei Bukhary.
Pertanyaannya itu ternyata mengundang deraian tawa daripada para hadirin di
dalam mesyuarat tersebut.
“Sebelum
kita membincangkan hal ketua MetroPolis iaitu Nizar Badaruddin, eloklah saya
memperkatakan suatu hal yang menarik tentang anak buahnya.” ujar Ren membuka
bicara setelah surai deraian tawa tadi.
“Siapakah dia yang awak maksudkan itu, Ren?” tanya Debu Berlian dengan
penuh minat.
“Terawez namanya. Beliau seorang yang agak lurus tetapi seni
mempertahankan dirinya adalah sangat hebat. Beliau hampir setaraf dengan
pendekar berpangkat Eksekutif sungguhpun dilatih oleh guru-gurunya yang tidak
berguna.” jawab Ren dengan panjang lebar.
“Agaknya dialah yang mengacukan Seru Tempur kepadaku semasa di Putrajaya
tidak lama dulu.” taakul Zoei. Ren mengangguk.
“Kau memberinya pedang milik si Hujan Suram, Ren?” tanya Naar Saif alias
Emissary Drakulon dengan nada yang agak terkejut. Sekali lagi Ren mengangguk.
“Tentu dia seorang yang istimewa sehingga awak sanggup memberinya pedang
yang amat hebat itu.” taakul Doktor Abdel Quddus pula.
“Ya. Saya nampak akan bakat dan potensinya. Saya percaya Terawez mampu
menjadi seorang pendekar Emissary yang amat hebat jika beliau menyertai kita
nanti.” balas Ren Fairuz tanpa berselindung lagi.
*****************************************************
Pada masa ini di Masjid As-Syakirin...
“Bagaimana Terawez? Awak suka tak dengan tawaran saya ini?” Pertanyaan
Ren semakin mencelarukan jiwa Terawez.
“Awak... awak ini sebenarnya siapa?” tanya Terawez buat kesekian
kalinya. Hatinya berdetak dengan suatu perasaan. Perasaan yang serupa tatkala
berhadapan dengan Maharaja Naga Petir di Putrajaya tidak lama dulu.
“Laa... kan saya dah beritahu tadi yang saya adalah wakil Organisasi?”
jawab Ren dengan gaya yang masih mahu berteka-teki.
“Ya, saya tahu awak ini orang Organisasi. Tapi awak sendiri ini siapa?
Awak ini bukan sembarangan orang dari gaya seni berpedang yang awak tunjukkan
tadi. Awak memberikan saya perasan serupa ketika saya bertemu dengan Maharaja
Naga Petir dulu. Awak ini seorang Emissary, bukan?” Pertanyaan Terawez ternyata
memberikan isyarat bahawa beliau tidak ingin dipermain-mainkan lagi oleh orang
di hadapannya itu. Ren Fairuz yang memahami tuntutan di sebalik kata-kata
tersebut tersenyum.
“Ya. Saya seorang Emissary. Orang mengenali saya sebagai Windblade.”
jawab Ren dengan berterus-terang akhirnya. Maka meloponglah sekali lagi mulut
Terawez jadinya.
“Pemancung Angin. Awak ini Maharaja Pemancung Angin.” teka Terawez
dengan nada terketar-ketar. Ren Fairuz tidak menjawab. Namun senyumannya
menjadi semakin lebar.
*********************************************
Beberapa hari kemudian di balai MetroPolis...
“Terawez! Oi Terawez!” Lamunan Terawez langsung mati tatkala bahu
digoncang dengan agak kuat oleh Nicol Hanany. Seperti baharu terjaga dari
tidur, pemuda tersebut hanya mampu memandang kosong ke arah gadis jelita
tersebut dengan mata yang terkejip-kejip.
“Sekarang kau pun dah pandai mengelamun jauh macam Remy.” omel Nicol.
“Kenapa Nicol?” tanya Terawez yang masih tak ketahuan punca.
“Aku nak ke tandas sekejap. Hal keperempuanan. Boleh jaga di kaunter
balai seorang diri sekejap?” tanya Nicol yang lebih merupakan suatu permintaan
tanpa pilihan. Terawez senyum seraya mengangguk.
“Pergilah. Ambillah masa awak.” balasnya.
“Hei, aku nak hisap rokoklah. Bukannya sembelit, tahu?” tingkah Nicol.
Terawez ketawa kecil. Nicol dilihatnya sempat tersenyum sebelum berpaling dan
melangkah masuk ke dalam. Tidaklah begitu lama untuk Terawez kembali termenung.
Cepu memorinya kembali terlontar pada peristiwa di Masjid As-Syakirin
baharu-baharu ini.
************************************************
Beberapa hari sebelum itu di Masjid As-Syakirin...
“Mengapa? Mengapa Organisasi mahukan orang macam saya?” tanya Terawez
dengan rasa tidak percaya.
“Sama sebabnya mengapa Enbi mahukan awak di dalam pasukan MetroPolis,
Terawez. Awak seorang pendekar yang sangat hebat. Di samping itu juga awak
adalah seorang yang baik dan boleh dipercayai. Enbi mengambil awak bekerja
tanpa menemuduga awak atas kualiti yang awak miliki. Kami juga mahukan awak
atas sebab yang sama Terawez.” jawab Ren Fairuz dengan panjang lebar. Terawez
bungkam. Agak lama juga mereka diam tanpa sebarang bicara.
“Sertailah Organisasi, Terawez. Saya pasti teknik berpedang awak nanti
akan menjadi berkali-kali ganda lebih baik dari sekarang.” Kata-kata Ren Fairuz
kali ini benar-benar memaut hati Terawez. Beliau dapat membayangkan tahap ilmu
seni mempertahankan dirinya jika menerima tawaran daripada Organisasi.
************************************************
Nicol kini hanya duduk termenung di dalam tandas. Bilik yang bersih
tetapi sempit tersebut kini sesak dengan asap rokok yang kini tinggal separuh
di bibir mungilnya. Hatinya mengkal. Fikirannya benar-benar bercelaru. Nicol
tiba-tiba teringatkan sesuatu. Beliau terus menyeluk poket kanan seluar dan
mengeluarkan telefon selularnya. Jari-jemarinya giat memicit-micit butang
telefon.
“Okey,
nasihatkan aku sekali lagi.”
“Tak mahulah.
Kau tengah mempermain-mainkan aku. Malas aku nak melayan kau.”
“Ei, Nazrul.
Terima kasih kerana selalu mengambil berat tentangku.”
“Kau kan
sahabatku? Lagipun kau ni kadang-kala polos dan semberono. Aku dah tak larat
nak melihat lelaki lain cuba mengambil kesempatan bila kau tengah mabuk.”
“Hehee...”
“Hah? Kenapa
pula?”
“Kau cemburu,
ya?”
“Kepala otak
kau!”
“Kau
rupa-rupanya ada menyimpan perasaan padaku, kan?”
“Pandailah
kau!”.
“Kau tentu
sangat sayangkan aku, kan? Kan? Kan?”
“Tentulah! Kau
ini kan sahabat baikku?”
“Nazrul, kau
cintakan aku?”
“........”
“Jawablah...”
“Ya.”
“Betul?”
“Betul. Aku
cintakan kau, Nicol. Tapi aku tak mahu beritahu kerana kita ini bersahabat
baik. Lagipun aku tahu aku langsung tidak sepadan denganmu. Macam aku dengan
Suraya dulu. Kalau kau tak berperasaan serupa denganku, kita pasti akan berasa
kekok nanti. Tambah memburukkan keadaan kerana kita bekerja di bawah satu
bumbung.”
“Cakap kau
memang betul. Aku memang tiada perasaan terhadap kau, Nazrul.”
“Aku memang
tahu, Nicol. Tapi kau ini sangat berterus-terang bila mabuk. Kurang ajar
betul.”
“Hahaha!”
“Aku sangat
gembira sekarang. Terima kasih, Nazrul.”
“.........”
“Tak
mengapalah. Esok kau pasti tak akan ingat apa-apapun tentang apa yang aku dah
beritahu tadi.”
Nicol tersenyum
mendengarkan rakaman yang dimainkan oleh telefon selularnya. Rupa-rupanya
ketika mabuk beliau benar-benar telah mengaktifkan mod rakaman pada telefon
selularnya dan segala percakapan di antara beliau dan Nazrul telah dirakamkan
sepenuhnya. Nicol menyedut rokok sedalam-dalamnya lantas menghembuskan asap
sehingga habis nafas. Beliau kemudiannya tersenyum.
“Nazrul, bodoh
betul kau ini!” teriak Nicol sekuat-kuat hatinya.
************************************************
Sementara itu
di restoran milik Catherine, gadis manis tersebut sedang termenung panjang
tatkala Enbi, Ganshamdass dan Ren Fairuz masuk dalam keadaan riuh-rendah. Langsung
mati lamunan Catherine. Beliau segera bangkit untuk mendapatkan rakan-rakan
seperjuangannya itu.
“Assalamu
‘alaikum.” sapanya. Terpegun Enbi dan Ganshamdass dibuatnya.
“Wa ‘alaika wa
hidayatullah, cik Catherine.” balas Ren Fairuz dengan nada ceria.
“Apa maksud
kata-kata ustaz tadi?” tanya Catherine.
“Cik Catherine
ucap selamat sejahtera ke atas kami semua. Saya balas : dan ke atas awak juga
dan hidayah Allah untuk awak.” jawab Ren.
“Hidayah?”
tanya Catherine.
“Ya, hidayah.
Maksudnya petunjuk yang benar sebenar-benarnya daripada Tuhan.” jawab Ren.
“Bagus sungguh
kata-kata ustaz itu.” ujar Catherine.
“Terima kasih.”
balas Ren seraya ketawa.
“Cik Catherine
dah masuk Islamkah?” tanya Ganshamdass dengan nada agak terkejut. Catherine
ketawa sambil menggelengkan kepala.
“Saja ambil
tahu dengan lebih mendalam lagi tentang agama Islam.” jawabnya.
“Okey. Kalian
nak makan apa hari ini?” tanya gadis manis tersebut pula.
“Saya nak makan
nasi ayam Hainan. Minum teh Oolong.” pesan Ganshamdass.
“Saya pun nak
makan nasi ayam juga. Saya nak minum air kotak sirap ros.” maklum Ren Fairuz
pula.
“Enbi?” tanya
Catherine dengan nada lembut.
“Err... macam
biasa. Minum pun macam biasa.” jawab Enbi dengan nada yang teragak-agak.
Catherine tersenyum lantas menepuk-nepuk lunak bahu kanan Enbi sebelum
melangkah meninggalkan mereka. Agak lama mereka bertiga berdiam diri. Kecuali
Ren, mata Enbi dan Ganshamdass masing-masing mengekori langkah-liuk gadis manis
tersebut ke dapur sehingga hilang.
“Apahal Enbi?”
tanya Ganshamdass tiba-tiba.
“Apa maksudmu?”
tanya Enbi kehairanan.
“Enbi bergaduh
dengan cik Catherinekah?” tanya Ren pula.
“Eh? Mana ada!”
tingkah Enbi.
“Suara Enbi
bunyinya agak tertekan. Adakah oleh sebab Catherine sakit teruk sekarang?”
tanya Ren pula. Enbi ternganga. Air mukanya kini berubah serta-merta.
“Sakit? Sakit
teruk? Ustaz janganlah main-main pula! Kan Catherine masih dalam proses
pemulihan. Tentulah dia belum sihat sepenuhnya. Namun dia kini dah boleh
berdiri dan berjalan tanpa bertongkat. Itu maknanya dia dah semakin pulih,
betul tak?” tikai Enbi dengan agak panjang lebar. Buat seketika Ren terdiam
sambil merenung ketua balai MetroPolis tersebut untuk melihat sejauh mana
keyakinan beliau pada tiap bait perkataannya tadi.
“Baguslah kalau
begitu. Tapi mata saya tak pernah tersilap sebelum ini. Catherine sedang sakit
teruk. Besar kemungkinan dia enggan memberitahu awak kerana tidak mahu awak
berasa bimbang. Atau sedih.” Bungkam Enbi mendengarkan kata-kata Ren tersebut.
Wajahnya semakin merah padam. Sekonyong-konyongnya muncul Catherine dengan tiga
gelas minuman di atas dulang.
“Nah, air
minuman dulu. Makanan kena tunggu sekejap lagi, ya?” maklum Catherine sambil
mengunjukkan minuman rakan-rakannya itu setiap seorang. Enbi tiba-tiba bingkas
bangun lantas memegang erat lengan kanan Catherine. Sahsiahnya itu ternyata
mengudang reaksi kehairanan semua orang.
“Kenapa ni
Enbi?” tanya Catherine dengan lembut tetapi gagal menyembunyikan rasa
terkejutnya.
“Cat, kenapa
kau menolak cintaku?” tanya Enbi. Habis melongo kesemua yang berada di situ
dengan pertanyaan semberono tadi. Muka Catherine terus bertukar menjadi
kemerah-merahan.
“Enbi, apa ni?
Janganlah begini. Fikir perasaan saya sekarang.” balas Catherine dengan nada
agak geram.
“Baiklah, aku
tukar soalanku. Bilakah kau akan mula bertugas kembali di balai MetroPolis?”
tanya Enbi pula.
“Bila saya
sudah sihat, saya akan bertugas kembali.” jawab Catherine.
“Bila kau akan
sihat?” tanya Enbi pula. Pertanyaannya itu kali ini tidak dapat dijawab oleh
Catherine. Gadis tersebut memandang ke sana-sini seolah-olah mencari jawapan
pada soalan mudah tersebut. Enbi terus melepaskan pegangan tangannya dan segera
berlari meninggalkan mereka bertiga.
“Enbi nak
kemana tu?” tanya Ganshamdass dengan penuh tanda-tanya. Ren mengangkat kedua
bahu tanda tidak tahu. Catherine pula hanya mampu tercegat sambil memerhatikan
kereta Enbi yang sedang memecut laju meninggalkan restoran tersebut.
“Enbi...” ujar
Catherine dengan perlahan. Air mata bergenang di kedua mata gadis manis tersebut.
- Bersambung -