Monday, January 16, 2012

MetroPolis 3 - Bab 4

MetroPolis Episod 3

Bab 4

Hakikat Yang Menyedihkan

Enbi berjalan dengan langkah yang amat longlai. Setelah menghantar Catherine pulang, beliau hanya berdaya untuk memandu separuh perjalanan sahaja. Enbi memarkirkan keretanya di tepi jalan dan kemudian mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan pulang dengan kedua kakinya. Jiwanya benar-benar terasa berat dan kosong. Pertanyaan demi pertanyaan mengasak di fikiran. Mangapa Catherine menolak cintanya? Mengapa Catherine sanggup berlaku kejam kepadanya? Catherine adalah seorang gadis yang baik dan lebih memikirkan tentang perasaan orang daripada dirinya sendiri. Jadi mengapa boleh berlaku hal sebegitu rupa tadi?

“Hai bos! Nak kemana malam-malam ni?” Tiba-tiba suatu suara menegurnya dari arah samping kiri. Enbi agak tersentak. Segera beliau mengalihkan pandangan ke punca suara tadi. Kini dari arah kirinya itu muncul kelibat empat orang pemuda dengan senyuman yang membawa makna bencana. Namun Enbi langsung tidak berasa cuak dengan kehadiran mereka. Beliau meneruskan langkah longlainya. Akan tetapi keempat-empat pemuda tadi segera memintas dan menahannya secara berdepan.

“Angin aku tengah tak baik ni. Lebih baik kamu semua pergi mengacau orang lain.” saran Enbi dengan nada serius. Keempat-empat pemuda tersebut berpandangan sesama sendiri. Kemudian mereka ketawa.

“Apa ni, bang! Kami bukannya berniat jahat. Kami risau tengok abang berjalan seorang diri.”

“Jadi kamu nak temankan aku sebagai pengawal peribadi tapi kenalah bayar upah, bukan?” Enbi memangkas kata-kata pemuda yang pada firasatnya adalah ketua kumpulan pengacau tersebut.

“Haa... abang memang pandai meneka! Memang hebatlah abang ni!” puji pemuda tersebut. Rakan-rakannya bertepuk tangan dan menyorak dengan gaya menyindir. Panas hati Enbi dibuatnya. Beliau terus menyelukkan tangan kanan dalam jaket sebelah kirinya.

“Tak payahlah. Aku dah ada pengawal peribadi sendiri. Lagi boleh diharap dan tak bodoh macam kamu berempat.” ujar Enbi seraya mengeluarkan sebatang cota. Cota tersebut berwarna hitam dan mempunyai kepanjangan dalam empat puluh lima sentimeter. Keempat-empat pemuda tersebut berpandangan sesama sendiri dan kemudian ketawa terbahak-bahak seperti tadi juga.

“Tengoklah siapa yang bodoh!” ujar si ketua tadi seraya menghunuskan parang yang disembunyikan dalam jaketnya. Begitu juga dengan ketiga-tiga rakannya. Namun Enbi sedikitpun tidak berasa gentar. Sebaliknya beliau menghalakan hujung cota ke arah mereka dan menekan punat butang rahsia di cota tersebut. Serta-merta menghambur api yang amat marak dari cota dan hinggap ke tubuh keempat-empat pemuda tersebut. Mereka berasa panik dan menjerit-jerit kesakitan. Peluang tersebut digunakan dengan sebaik-baiknya oleh Enbi untuk menyerbu ke arah mereka. Si ketua yang menjadi sasaran pertama cotanya terlebih dahulu. Suatu pukulan yang amat keras hinggap ke rahang pemuda tersebut. Enbi pada masa yang sama memicit punat butang cota yang sama sekali lagi. Letusan api menyembur tepat ke muka lawannya. Si pemuda tadi menjerit-jerit kesakitan sambil berguling-guling di atas jalan.

“Haris!” jerit salah seorang rakannya tatkala melihat ketua mereka telahpun tumbang. Enbi menyerbu pula ke arah seorang pemuda yang mempunyai parut kasar pada wajahnya. Pemuda tersebut sempat meneka tindak-tanduk Enbi lantas menghayun parangnya dengan pantas ke arah lawan. Namun senjatanya itu ditampan oleh cota Enbi. Enbi dengan momentum pergerakan pantasnya tadi segera memutarkan tubuh dan menghentak pipi kiri lawannya dengan lengan kiri beliau. Si pemuda berparut tersebut jatuh tersembam ke jalan. Beliau berguling-guling sambil memegang pipi kirinya dan menjerit-jerit kesakitan. Dua orang rakannya spontan melihat ke arah rakan mereka dan kemudian memandang pula ke arah lengan kiri Enbi. Rupa-rupanya di bahagian sisi lengan kiri Enbi berceracak tiga bilah mata pisau berbentuk sabit yang tebal dan sangat tajam.

“Shing!” Bilah-bilah pisau tadi kembali tersemat ke dalam sarung lengan khas yang dipakai oleh Enbi. Dalam sekelip mata sahaja dua orang lawannya telah rebah dengan kecederaan parah. Namun wajah Enbi sedikitpun tidak menunjukkan riak megah atau teruja. Wajahnya suram dan serius sahaja seolah-olah tidak mempunyai sebarang emosi. Namun sinar pada matanya menunjukkan bahawa beliau seratus-peratus fokus untuk menghapuskan mereka semua.

“Kau... aku kenal kau! Kau ini ‘Raja Suram’ MetroPolis!” teriak salah seorang daripada mereka yang masih belum diapa-apakan lagi setakat ini. Tubuh kurusnya tampak jelas menggigil ketakutan.

“Orang ada menggelarkan aku begitu.” balas Enbi dengan nada dingin. Si pemuda kurus tadi menjadi pucat lesi wajahnya. Beliau kemudian menjerit-jerit ketakutan seraya berpaling dan melarikan diri. Enbi segera menjatuhkan cotanya dan mencapai sesuatu di pinggang kanannya pula. Ianya adalah sekeping besi dengan litar elektronik. Telapak tangan kirinya dihalakan ke arah si kurus tadi yang masih berlari. Di bahagian nadi tangan kiri Enbi muncul pula tiub silinder kecil yang memancarkan cahaya infra-merah ke tubuh si pengecut itu. Tangan kanan Enbi pula melemparkan kepingan besi tadi ke udara dan ia terus terbuka menjadi sebilah bumerang. Senjata tersebut terus meluncur ke arah si pemuda kurus dengan amat laju dan sebaik sahaja mengenai belakangnya yang disinari dengan cahaya infra-merah, bumerang tersebut terus meledak dengan letupan yang kuat. Si kurus tadi jatuh rebah ke jalanraya dan tidak lagi menguit di situ.

“Aku menyerah kalah.” ujar si pemuda yang masih terselamat seraya mencampakkan senjata jauh daripadanya. Enbi merenung tajam ke arah pemuda tersebut. Beliau kemudian mengorakkan senyuman.

“Kau memang bernasib baik.” ujarnya lantas mengorak langkah meninggalkan tempat pertarungan. Pemuda tadi agak kaget sebaik sahaja tubuh Enbi sesaing melaluinya. Enbi langsung tidak mempedulikan beliau. Pemuda tersebut menghela nafas lega. Namun tiba-tiba bahagian tubuhnya belakangnya berasa ngilu dan serentak dengan itu segenap urat saraf dalam tubuhnya terasa seperti seolah-olah terbakar. Pemuda tersebut menjerit-jerit dan menggigil menahan kesakitan. Beliau akhirnya rebah dan kejang di atas jalan. Enbi rupa-rupa telah mengeluarkan alat seperti pistol dan menembak damak yang mengeluarkan puluhan ribu voltan arus elektrik.

“Kheerrghh... Kheerrghh...” rintih pemuda tersebut menahan kesakitan. Tubuhnya telah dilumpuhkan sama-sekali. Enbi kembali berjalan ke arah lawan-lawannya yang tumbang. Beliau dengan agak kasar mencabut damak tersebut. Kemudian mengutip pula cotanya. Ketiga-tiga lawannya masih menggelepar dan merintih kesakitan.

“Kan aku sudah memberikan amaran tadi? Kamu semua sendiri yang mencari penyakit.” omel Enbi tanpa mempedulikan sama ada mereka memberikan perhatian atau tidak pada bait-bait katanya itu. Beliau kemudian mencampakkan sekeping besi yang bersaiz seperti cakera getah untuk permainan hoki ais.

“Hadiah perpisahan daripadaku untuk kamu kenang sampai bila-bila.” ujar Enbi sebelum meneruskan langkah meninggalkan mereka. Cakera besi tersebut mengeluarkan bunyi denyutan elektronik yang agak perlahan. Kemudian menjadi semakin kuat. Akhirnya menjadi bunyi desingan yang agak bingit dan menjengkelkan. Seketika kemudian cakera tersebut meledak dengan letupan sonik yang menyebabkan ketiga-tiga pemuda tadi terhumban jauh dari tempat pembaringan mereka. Enbi yang telahpun berada jauh dari radius letupan terus sahaja melangkah tanpa mempedulikan mangsa-mangsanya.

*************************************

Sementara itu Nicol Hanany baharu sahaja pulang dari berhibur di kelab sosial terus singgah di balai MetroPolis dan masuk dengan gaya yang agak cemerkap. Di kaunter hadapan duduk Red Wigwam yang merenung ke arahnya dengan riak kehairanan.

“Hai pakcik Red. Apa khabar?” sapa Nicol dengan nada ceria. Kemudian beliau dengan tidak tentu pasal ketawa pula.

“Saya khabar baik. Cik Nicol buat apa di sini? Waktu ini bukanlah syif cik Nicol.” persoal Red dengan sopan.

“Saya nak cari Nazrul. Malam ini syif dia, kan? Kan? Kan? Di manakah dia? Mana? Mana?” tanya Nicol dengan gaya tidak tentu arah. Red Wigwam menghalakan wajahnya arah bilik pejabat.

“Dia ada di dalam. Berehat agaknya. Seharian dia menjaga balai.” ujar Red. Nicol tersenyum tanda mengucapkan terima kasih. Beliau terus mempercepatkan langkah lintang-pukangnya ke arah pintu.

*************************************

Nazrul yang sedang menonton filem lama di teleholo berasa agak terkejut apabila daun pintu dibuka dengan agak semberono. Matanya spontan terarah kepada Nicol yang berdiri di jenang.

“Hai si kacak...” tegur Nicol dengan suara seseksi mungkin.

“Kau pergi kemana, Nicol? Terpaksa aku menggantikan syifmu siang tadi. Mujurlah Enbi tak terperasankan hal ini. Kalau tidak mengamuklah dia.” leter Nazrul.

“Maaf. Maaf. Maaf, ya? Aku sekarang dah tiba untuk menggantikan syifmu pula malam ini.” ujar Nicol. Nazrul ketawa kecil.

“Kau dah mabuk. Tengok sekali pun aku dah tahu kau tengah mabuk.” tikai Nazrul. Nicol tiba-tiba melompat dan duduk di sofa sebelah Nazrul. Wajahnya tepat memandang pemuda tersebut.

“Mana ada! Aku tak mabuklaaaah...” balas Nicol. Nazrul segera menekup hidung dengan tangan kiri. Tangan kanannya pula menolak tubuh Nicol jauh daripadanya.

“Busuklah kau ni Nicol! Kuat betul bau arak!” leter Nazrul. Nicol ketawa. Sahsiahnya seperti orang kurang waras sahaja pada ketika ini. Nazrul segera mengambil tas tangan Nicol yang di tangan. Beliau menyelongkar seketika dan kemudian mengeluarkan sebatang tiub aeresol kecil. Nicol membiarkan sahaja perlakuan Nazrul itu.

“Buka mulut.” arah Nazrul.

“Aaa...” Mulut Nicol yang ternganga luas disembur oleh Nazrul dengan tiub aerosol kecil tadi.

“Nyam-nyam-nyam.” ujar Nicol yang masih ingin bermain-main. Kini bau arak yang kuat dari mulutnya telahpun lenyap. Nazrul mencapai pula sekoleh kopi yang telahpun sejuk dan diunjuk kepada Nicol.

“Nah, minum kopiku ini.” pinta Nazrul. Nicol mencapai koleh tersebut dan terus meneguk kopi itu sehingga habis. Koleh yang kosong diunjukkan kembali kepada Nazrul.

“Tak sedap.” komennya. Nazrul ketawa sambil menyambut koleh tadi dari tangan Nicol.

“Arak lagi tak sedap. Tapi kau teguk juga.” leter Nazrul lagi.

“Hmm. Hm.” balas Nicol sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Janganlah minum arak lagi, Nicol. Kau orang Islam. Berdosa, tau? Lagipun setiap kali kau mabuk, kau pasti akan lupa apa sahaja yang berlaku pada masa itu. Macam mana kalau kau dicabul atau dirogol masa tengah mabuk, huh?” nasihat Nazrul.

“Kau kan ada untuk menjagaku?” balas Nicol. Nazrul menggelengkan kepala.

“Aku bukanlah selalu boleh menjagamu, Nicol.” balasnya.

“Okey. Aku berjanji tak akan minum arak dan mabuk lagi.” ujar Nicol sambil mengangkat tangan kanannya seolah-olah sedang berikrar.

“Kepala otak kau! Kau bukannya ingat pun janji kau sekarang! Esok bila kau dah waras, aku nak berleter padamu lagi!” omel Nazrul. Nicol ketawa terbahak-bahak. Beliau mencapai tas tangannya dan menyelongkarnya pula. Nazrul dengan koleh tadi di tangan telahpun bangun untuk membasuhnya.

“Ha! Aku kali ini pasti boleh ingat.” ujar Nicol yang kini memegang telefon selularnya. Beliau mengaktifkan mod rakaman suara.

“Yalah tu.” sindir Nazrul yang tidak terperasankan hal tersebut kerana membelakangi Nicol ketika mencuci koleh. Beliau telahpun mengisi semula kopi panas di kolehnya dan kembali duduk di sebelah Nicol.

“Okey, nasihatkan aku sekali lagi.” pinta Nicol.

“Tak mahulah. Kau tengah mempermain-mainkan aku. Malas aku nak melayan kau.” bantah Nazrul. Nicol tertawa.

“Ei, Nazrul. Terima kasih kerana selalu mengambil berat tentangku.” ucap Nicol. Nazrul memandang ke arah sahabatnya itu.

“Kau kan sahabatku? Lagipun kau ni kadang-kala polos dan semberono. Aku dah tak larat nak melihat lelaki lain cuba mengambil kesempatan bila kau tengah mabuk.” jawab Nazrul.

“Hehee...” Tiba-tiba Nicol ketawa nakal.

“Hah? Kenapa pula?” tanya Nazrul.

“Kau cemburu, ya?” tanya Nicol.

“Kepala otak kau!” balas Nazrul.

“Kau rupa-rupanya ada menyimpan perasaan padaku, kan?” tanya Nicol lagi.

“Pandailah kau!” tingkah Nazrul yang kemudiannya ketawa. Namun nampak benar ianya dalam keadaan berpura-pura.

“Kau tentu sangat sayangkan aku, kan? Kan? Kan?” tanya Nicol pula.

“Tentulah! Kau ini kan sahabat baikku?” jawab Nazrul. Kedua tangan Nicol tiba-tiba memegang erat kedua bahu Nazrul. Matanya tertancap kemas ke mata sahabatnya itu.

“Nazrul, kau cintakan aku?” tanya Nicol. Nazrul bungkam. Beliau tidak tahu bagaimana untuk bereaksi dengan sepatutnya pada ketika ini.

“Jawablah...” pinta Nicol dalam nada separuh merayu. Nazrul menghela keluhan kecil.

“Ya.” jawabnya sambil mengangguk.

“Betul?” tanya Nicol.

“Betul. Aku cintakan kau, Nicol. Tapi aku tak mahu beritahu kerana kita ini bersahabat baik. Lagipun aku tahu aku langsung tidak sepadan denganmu. Macam aku dengan Suraya dulu. Kalau kau tak berperasaan serupa denganku, kita pasti akan berasa kekok nanti. Tambah memburukkan keadaan kerana kita bekerja di bawah satu bumbung.” jawab Nazrul kali ini dengan panjang lebar.

“Cakap kau memang betul. Aku memang tiada perasaan terhadap kau, Nazrul.” ujar Nicol. Nazrul sekali lagi bungkam. Beliau kemudiannya memejamkan mata seraya ketawa.

“Aku memang tahu, Nicol. Tapi kau ini sangat berterus-terang bila mabuk. Kurang ajar betul.” balas Nazrul. Mereka berdua ketawa berderai. Setelah beberapa ketika akhirnya tawa kedua sahabat baik ini surai. Nicol memandang tepat ke arah Nazrul dengan senyuman manis. Beliau kemudian perlahan-lahan turun membaringkan diri dan menekap kepala di riba sahabatnya itu.

“Aku sangat gembira sekarang. Terima kasih, Nazrul.” ucapnya sebelum memejamkan mata dan senyap. Nazrul menghela nafas. Tangan kanannya menepuk-nepuk bahu kanan Nicol dengan lunak. Bibirnya masih mampu melakar senyuman sungguhpun hatinya sedang merasai kepahitan. Nazrul sememangnya telah menyedari akan hakikat hubungan beliau dengan Nicol. Namun emosinya tetap terganggu tatkala mendengarkannya sendiri daripada mulut orang yang dicintainya.

“Tak mengapalah. Esok kau pasti tak akan ingat apa-apapun tentang apa yang aku dah beritahu tadi.” ujar Nazrul dengan perlahan.

- Bersambung -


No comments: