Monday, January 16, 2012

Glossari 16-01-2012

Glossari MetroPolis 3 Bab 3 :

Naar Saif : Nama samaran bagi Emissary Drakulon. ‘Naar’ dalam bahasa Arab bermaksud ‘api yang marak’ manakala ‘Saif’ pula bermaksud ‘pedang’. Dalam al-Quran, ‘Naar’ bermaksud ‘api neraka’.

Rutherford : Nama Noble Grandmaster Rutherford diambil dari nama Rutherford B. Hayes yang merupakan Presiden Amerika Syarikat ke 19 dari tahun 1877 hingga 1881. Beliau telah mengakui menjadi ahli Freemason.

Knight of The Sun : Ia adalah pangkat dalam struktur pertubuhan Freemason. Knight of the Sun adalah pangkat 28 Darjah dalam persatuan rahsia tersebut dan merupakan antara pangkat yang tertinggi.

Surah al-Humazah (Surah ke 104) dari ayat 5 hingga 9 : (5) Tahukah engkau, apa bahaya yang menghancurkan itu? (6) Api yang dinyalakan oleh Allah (7) Yang naik ke hati (8) Sesungguhnya (api) itu ditutup di atas mereka (9) Dalam tiang yang panjang.

MetroPolis 3 - Bab 4

MetroPolis Episod 3

Bab 4

Hakikat Yang Menyedihkan

Enbi berjalan dengan langkah yang amat longlai. Setelah menghantar Catherine pulang, beliau hanya berdaya untuk memandu separuh perjalanan sahaja. Enbi memarkirkan keretanya di tepi jalan dan kemudian mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan pulang dengan kedua kakinya. Jiwanya benar-benar terasa berat dan kosong. Pertanyaan demi pertanyaan mengasak di fikiran. Mangapa Catherine menolak cintanya? Mengapa Catherine sanggup berlaku kejam kepadanya? Catherine adalah seorang gadis yang baik dan lebih memikirkan tentang perasaan orang daripada dirinya sendiri. Jadi mengapa boleh berlaku hal sebegitu rupa tadi?

“Hai bos! Nak kemana malam-malam ni?” Tiba-tiba suatu suara menegurnya dari arah samping kiri. Enbi agak tersentak. Segera beliau mengalihkan pandangan ke punca suara tadi. Kini dari arah kirinya itu muncul kelibat empat orang pemuda dengan senyuman yang membawa makna bencana. Namun Enbi langsung tidak berasa cuak dengan kehadiran mereka. Beliau meneruskan langkah longlainya. Akan tetapi keempat-empat pemuda tadi segera memintas dan menahannya secara berdepan.

“Angin aku tengah tak baik ni. Lebih baik kamu semua pergi mengacau orang lain.” saran Enbi dengan nada serius. Keempat-empat pemuda tersebut berpandangan sesama sendiri. Kemudian mereka ketawa.

“Apa ni, bang! Kami bukannya berniat jahat. Kami risau tengok abang berjalan seorang diri.”

“Jadi kamu nak temankan aku sebagai pengawal peribadi tapi kenalah bayar upah, bukan?” Enbi memangkas kata-kata pemuda yang pada firasatnya adalah ketua kumpulan pengacau tersebut.

“Haa... abang memang pandai meneka! Memang hebatlah abang ni!” puji pemuda tersebut. Rakan-rakannya bertepuk tangan dan menyorak dengan gaya menyindir. Panas hati Enbi dibuatnya. Beliau terus menyelukkan tangan kanan dalam jaket sebelah kirinya.

“Tak payahlah. Aku dah ada pengawal peribadi sendiri. Lagi boleh diharap dan tak bodoh macam kamu berempat.” ujar Enbi seraya mengeluarkan sebatang cota. Cota tersebut berwarna hitam dan mempunyai kepanjangan dalam empat puluh lima sentimeter. Keempat-empat pemuda tersebut berpandangan sesama sendiri dan kemudian ketawa terbahak-bahak seperti tadi juga.

“Tengoklah siapa yang bodoh!” ujar si ketua tadi seraya menghunuskan parang yang disembunyikan dalam jaketnya. Begitu juga dengan ketiga-tiga rakannya. Namun Enbi sedikitpun tidak berasa gentar. Sebaliknya beliau menghalakan hujung cota ke arah mereka dan menekan punat butang rahsia di cota tersebut. Serta-merta menghambur api yang amat marak dari cota dan hinggap ke tubuh keempat-empat pemuda tersebut. Mereka berasa panik dan menjerit-jerit kesakitan. Peluang tersebut digunakan dengan sebaik-baiknya oleh Enbi untuk menyerbu ke arah mereka. Si ketua yang menjadi sasaran pertama cotanya terlebih dahulu. Suatu pukulan yang amat keras hinggap ke rahang pemuda tersebut. Enbi pada masa yang sama memicit punat butang cota yang sama sekali lagi. Letusan api menyembur tepat ke muka lawannya. Si pemuda tadi menjerit-jerit kesakitan sambil berguling-guling di atas jalan.

“Haris!” jerit salah seorang rakannya tatkala melihat ketua mereka telahpun tumbang. Enbi menyerbu pula ke arah seorang pemuda yang mempunyai parut kasar pada wajahnya. Pemuda tersebut sempat meneka tindak-tanduk Enbi lantas menghayun parangnya dengan pantas ke arah lawan. Namun senjatanya itu ditampan oleh cota Enbi. Enbi dengan momentum pergerakan pantasnya tadi segera memutarkan tubuh dan menghentak pipi kiri lawannya dengan lengan kiri beliau. Si pemuda berparut tersebut jatuh tersembam ke jalan. Beliau berguling-guling sambil memegang pipi kirinya dan menjerit-jerit kesakitan. Dua orang rakannya spontan melihat ke arah rakan mereka dan kemudian memandang pula ke arah lengan kiri Enbi. Rupa-rupanya di bahagian sisi lengan kiri Enbi berceracak tiga bilah mata pisau berbentuk sabit yang tebal dan sangat tajam.

“Shing!” Bilah-bilah pisau tadi kembali tersemat ke dalam sarung lengan khas yang dipakai oleh Enbi. Dalam sekelip mata sahaja dua orang lawannya telah rebah dengan kecederaan parah. Namun wajah Enbi sedikitpun tidak menunjukkan riak megah atau teruja. Wajahnya suram dan serius sahaja seolah-olah tidak mempunyai sebarang emosi. Namun sinar pada matanya menunjukkan bahawa beliau seratus-peratus fokus untuk menghapuskan mereka semua.

“Kau... aku kenal kau! Kau ini ‘Raja Suram’ MetroPolis!” teriak salah seorang daripada mereka yang masih belum diapa-apakan lagi setakat ini. Tubuh kurusnya tampak jelas menggigil ketakutan.

“Orang ada menggelarkan aku begitu.” balas Enbi dengan nada dingin. Si pemuda kurus tadi menjadi pucat lesi wajahnya. Beliau kemudian menjerit-jerit ketakutan seraya berpaling dan melarikan diri. Enbi segera menjatuhkan cotanya dan mencapai sesuatu di pinggang kanannya pula. Ianya adalah sekeping besi dengan litar elektronik. Telapak tangan kirinya dihalakan ke arah si kurus tadi yang masih berlari. Di bahagian nadi tangan kiri Enbi muncul pula tiub silinder kecil yang memancarkan cahaya infra-merah ke tubuh si pengecut itu. Tangan kanan Enbi pula melemparkan kepingan besi tadi ke udara dan ia terus terbuka menjadi sebilah bumerang. Senjata tersebut terus meluncur ke arah si pemuda kurus dengan amat laju dan sebaik sahaja mengenai belakangnya yang disinari dengan cahaya infra-merah, bumerang tersebut terus meledak dengan letupan yang kuat. Si kurus tadi jatuh rebah ke jalanraya dan tidak lagi menguit di situ.

“Aku menyerah kalah.” ujar si pemuda yang masih terselamat seraya mencampakkan senjata jauh daripadanya. Enbi merenung tajam ke arah pemuda tersebut. Beliau kemudian mengorakkan senyuman.

“Kau memang bernasib baik.” ujarnya lantas mengorak langkah meninggalkan tempat pertarungan. Pemuda tadi agak kaget sebaik sahaja tubuh Enbi sesaing melaluinya. Enbi langsung tidak mempedulikan beliau. Pemuda tersebut menghela nafas lega. Namun tiba-tiba bahagian tubuhnya belakangnya berasa ngilu dan serentak dengan itu segenap urat saraf dalam tubuhnya terasa seperti seolah-olah terbakar. Pemuda tersebut menjerit-jerit dan menggigil menahan kesakitan. Beliau akhirnya rebah dan kejang di atas jalan. Enbi rupa-rupa telah mengeluarkan alat seperti pistol dan menembak damak yang mengeluarkan puluhan ribu voltan arus elektrik.

“Kheerrghh... Kheerrghh...” rintih pemuda tersebut menahan kesakitan. Tubuhnya telah dilumpuhkan sama-sekali. Enbi kembali berjalan ke arah lawan-lawannya yang tumbang. Beliau dengan agak kasar mencabut damak tersebut. Kemudian mengutip pula cotanya. Ketiga-tiga lawannya masih menggelepar dan merintih kesakitan.

“Kan aku sudah memberikan amaran tadi? Kamu semua sendiri yang mencari penyakit.” omel Enbi tanpa mempedulikan sama ada mereka memberikan perhatian atau tidak pada bait-bait katanya itu. Beliau kemudian mencampakkan sekeping besi yang bersaiz seperti cakera getah untuk permainan hoki ais.

“Hadiah perpisahan daripadaku untuk kamu kenang sampai bila-bila.” ujar Enbi sebelum meneruskan langkah meninggalkan mereka. Cakera besi tersebut mengeluarkan bunyi denyutan elektronik yang agak perlahan. Kemudian menjadi semakin kuat. Akhirnya menjadi bunyi desingan yang agak bingit dan menjengkelkan. Seketika kemudian cakera tersebut meledak dengan letupan sonik yang menyebabkan ketiga-tiga pemuda tadi terhumban jauh dari tempat pembaringan mereka. Enbi yang telahpun berada jauh dari radius letupan terus sahaja melangkah tanpa mempedulikan mangsa-mangsanya.

*************************************

Sementara itu Nicol Hanany baharu sahaja pulang dari berhibur di kelab sosial terus singgah di balai MetroPolis dan masuk dengan gaya yang agak cemerkap. Di kaunter hadapan duduk Red Wigwam yang merenung ke arahnya dengan riak kehairanan.

“Hai pakcik Red. Apa khabar?” sapa Nicol dengan nada ceria. Kemudian beliau dengan tidak tentu pasal ketawa pula.

“Saya khabar baik. Cik Nicol buat apa di sini? Waktu ini bukanlah syif cik Nicol.” persoal Red dengan sopan.

“Saya nak cari Nazrul. Malam ini syif dia, kan? Kan? Kan? Di manakah dia? Mana? Mana?” tanya Nicol dengan gaya tidak tentu arah. Red Wigwam menghalakan wajahnya arah bilik pejabat.

“Dia ada di dalam. Berehat agaknya. Seharian dia menjaga balai.” ujar Red. Nicol tersenyum tanda mengucapkan terima kasih. Beliau terus mempercepatkan langkah lintang-pukangnya ke arah pintu.

*************************************

Nazrul yang sedang menonton filem lama di teleholo berasa agak terkejut apabila daun pintu dibuka dengan agak semberono. Matanya spontan terarah kepada Nicol yang berdiri di jenang.

“Hai si kacak...” tegur Nicol dengan suara seseksi mungkin.

“Kau pergi kemana, Nicol? Terpaksa aku menggantikan syifmu siang tadi. Mujurlah Enbi tak terperasankan hal ini. Kalau tidak mengamuklah dia.” leter Nazrul.

“Maaf. Maaf. Maaf, ya? Aku sekarang dah tiba untuk menggantikan syifmu pula malam ini.” ujar Nicol. Nazrul ketawa kecil.

“Kau dah mabuk. Tengok sekali pun aku dah tahu kau tengah mabuk.” tikai Nazrul. Nicol tiba-tiba melompat dan duduk di sofa sebelah Nazrul. Wajahnya tepat memandang pemuda tersebut.

“Mana ada! Aku tak mabuklaaaah...” balas Nicol. Nazrul segera menekup hidung dengan tangan kiri. Tangan kanannya pula menolak tubuh Nicol jauh daripadanya.

“Busuklah kau ni Nicol! Kuat betul bau arak!” leter Nazrul. Nicol ketawa. Sahsiahnya seperti orang kurang waras sahaja pada ketika ini. Nazrul segera mengambil tas tangan Nicol yang di tangan. Beliau menyelongkar seketika dan kemudian mengeluarkan sebatang tiub aeresol kecil. Nicol membiarkan sahaja perlakuan Nazrul itu.

“Buka mulut.” arah Nazrul.

“Aaa...” Mulut Nicol yang ternganga luas disembur oleh Nazrul dengan tiub aerosol kecil tadi.

“Nyam-nyam-nyam.” ujar Nicol yang masih ingin bermain-main. Kini bau arak yang kuat dari mulutnya telahpun lenyap. Nazrul mencapai pula sekoleh kopi yang telahpun sejuk dan diunjuk kepada Nicol.

“Nah, minum kopiku ini.” pinta Nazrul. Nicol mencapai koleh tersebut dan terus meneguk kopi itu sehingga habis. Koleh yang kosong diunjukkan kembali kepada Nazrul.

“Tak sedap.” komennya. Nazrul ketawa sambil menyambut koleh tadi dari tangan Nicol.

“Arak lagi tak sedap. Tapi kau teguk juga.” leter Nazrul lagi.

“Hmm. Hm.” balas Nicol sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Janganlah minum arak lagi, Nicol. Kau orang Islam. Berdosa, tau? Lagipun setiap kali kau mabuk, kau pasti akan lupa apa sahaja yang berlaku pada masa itu. Macam mana kalau kau dicabul atau dirogol masa tengah mabuk, huh?” nasihat Nazrul.

“Kau kan ada untuk menjagaku?” balas Nicol. Nazrul menggelengkan kepala.

“Aku bukanlah selalu boleh menjagamu, Nicol.” balasnya.

“Okey. Aku berjanji tak akan minum arak dan mabuk lagi.” ujar Nicol sambil mengangkat tangan kanannya seolah-olah sedang berikrar.

“Kepala otak kau! Kau bukannya ingat pun janji kau sekarang! Esok bila kau dah waras, aku nak berleter padamu lagi!” omel Nazrul. Nicol ketawa terbahak-bahak. Beliau mencapai tas tangannya dan menyelongkarnya pula. Nazrul dengan koleh tadi di tangan telahpun bangun untuk membasuhnya.

“Ha! Aku kali ini pasti boleh ingat.” ujar Nicol yang kini memegang telefon selularnya. Beliau mengaktifkan mod rakaman suara.

“Yalah tu.” sindir Nazrul yang tidak terperasankan hal tersebut kerana membelakangi Nicol ketika mencuci koleh. Beliau telahpun mengisi semula kopi panas di kolehnya dan kembali duduk di sebelah Nicol.

“Okey, nasihatkan aku sekali lagi.” pinta Nicol.

“Tak mahulah. Kau tengah mempermain-mainkan aku. Malas aku nak melayan kau.” bantah Nazrul. Nicol tertawa.

“Ei, Nazrul. Terima kasih kerana selalu mengambil berat tentangku.” ucap Nicol. Nazrul memandang ke arah sahabatnya itu.

“Kau kan sahabatku? Lagipun kau ni kadang-kala polos dan semberono. Aku dah tak larat nak melihat lelaki lain cuba mengambil kesempatan bila kau tengah mabuk.” jawab Nazrul.

“Hehee...” Tiba-tiba Nicol ketawa nakal.

“Hah? Kenapa pula?” tanya Nazrul.

“Kau cemburu, ya?” tanya Nicol.

“Kepala otak kau!” balas Nazrul.

“Kau rupa-rupanya ada menyimpan perasaan padaku, kan?” tanya Nicol lagi.

“Pandailah kau!” tingkah Nazrul yang kemudiannya ketawa. Namun nampak benar ianya dalam keadaan berpura-pura.

“Kau tentu sangat sayangkan aku, kan? Kan? Kan?” tanya Nicol pula.

“Tentulah! Kau ini kan sahabat baikku?” jawab Nazrul. Kedua tangan Nicol tiba-tiba memegang erat kedua bahu Nazrul. Matanya tertancap kemas ke mata sahabatnya itu.

“Nazrul, kau cintakan aku?” tanya Nicol. Nazrul bungkam. Beliau tidak tahu bagaimana untuk bereaksi dengan sepatutnya pada ketika ini.

“Jawablah...” pinta Nicol dalam nada separuh merayu. Nazrul menghela keluhan kecil.

“Ya.” jawabnya sambil mengangguk.

“Betul?” tanya Nicol.

“Betul. Aku cintakan kau, Nicol. Tapi aku tak mahu beritahu kerana kita ini bersahabat baik. Lagipun aku tahu aku langsung tidak sepadan denganmu. Macam aku dengan Suraya dulu. Kalau kau tak berperasaan serupa denganku, kita pasti akan berasa kekok nanti. Tambah memburukkan keadaan kerana kita bekerja di bawah satu bumbung.” jawab Nazrul kali ini dengan panjang lebar.

“Cakap kau memang betul. Aku memang tiada perasaan terhadap kau, Nazrul.” ujar Nicol. Nazrul sekali lagi bungkam. Beliau kemudiannya memejamkan mata seraya ketawa.

“Aku memang tahu, Nicol. Tapi kau ini sangat berterus-terang bila mabuk. Kurang ajar betul.” balas Nazrul. Mereka berdua ketawa berderai. Setelah beberapa ketika akhirnya tawa kedua sahabat baik ini surai. Nicol memandang tepat ke arah Nazrul dengan senyuman manis. Beliau kemudian perlahan-lahan turun membaringkan diri dan menekap kepala di riba sahabatnya itu.

“Aku sangat gembira sekarang. Terima kasih, Nazrul.” ucapnya sebelum memejamkan mata dan senyap. Nazrul menghela nafas. Tangan kanannya menepuk-nepuk bahu kanan Nicol dengan lunak. Bibirnya masih mampu melakar senyuman sungguhpun hatinya sedang merasai kepahitan. Nazrul sememangnya telah menyedari akan hakikat hubungan beliau dengan Nicol. Namun emosinya tetap terganggu tatkala mendengarkannya sendiri daripada mulut orang yang dicintainya.

“Tak mengapalah. Esok kau pasti tak akan ingat apa-apapun tentang apa yang aku dah beritahu tadi.” ujar Nazrul dengan perlahan.

- Bersambung -


Monday, January 9, 2012

MetroPolis Episod 3 - Bab 03

MetroPolis Episod 3

Bab 3

Keputusan Tak Terjangka

Emiriyah Arab Bersatu, 360 kilometer dari Dubai. Sebulan sebelum pertemuan di Kubu Utama al-Mahdi pihak Organisasi di Makkah...

Keadaan pihak Organisasi di kubu Emiriyah Arab Bersatu ternyata agak gawat sekarang. Serangan bertali arus dan tiada hentinya daripada pihak Masonik telah berjaya melumpuhkan hampir lapan puluh peratus kekuatan persenjataan di kubu yang masih dalam proses pembinaan tersebut. Kehadiran Emissary Drakulon atau Maharaja Ular Bara Merah bersama tiga orang pendekar Emissary dan Eksekutif Zaqwan ternyata tidak dapat mempertahankan kestabilan kubu tersebut. Pun begitu, jutaan kepingan besi sekerap pelbagai saiz berselerakan di hadapan kubu yang merupakan bangkai kenderaan perang pihak Masonik telah membuktikan betapa banyaknya pengorbanan yang terpaksa dilakukan oleh pihak Masonik untuk sampai ke tahap ini.

“Tuan Naar, keadaan kita tidak begitu baik sekarang. Mungkin kita boleh bertahan dalam seminggu sahaja sebelum dikalahkan sepenuhnya oleh pihak Masonik. Kita perlu meminta bantuan ketenteraan seberapa segera.” saran Eksekutif Zaqwan yang merupakan orang kanan kepada Emissary Mayhem atau Maharaja Naga Petir. Kesemua pendekar utama pihak Organisasi sedang berdiri meninjau keadaan peperangan di atas tembok hadapan kubu tersebut. Tembok yang setinggi hampir dua ratus meter itu kini mengalami kemusnahan yang amat teruk dan boleh ditembusi dengan mudah oleh pihak musuh. Naar Saif tidak berkata apa-apa. Beliau hanya mencegat diri memerhatikan ketumbukan tentera Oraganisasi yang bermati-matian mempertahankan kubu mereka. Bangkai-bangkai kenderaan perang yang berselerakan di hadapan kubu kini digunakan sebagai tempat berlindung dan menyerang tentera Masonik. Taktik tersebut telah berjaya memperlahankan serangan agresif musuh mereka.

“Zaqwan, kalau Tuan Mayhem berada di sini, apa pendapatmu?” tanya Emissary Blaze yang merupakan orang kanan kepada Drakulon. Beliau nampaknya mahu menjawab bagi pihak gurunya.

“Beliau akan sewenang-wenangnya menggunakan kuasa pemusnah maksimum untuk menghancurkan pihak musuh. Kemenangan mungkin berada di pihak Organisasi pula.” jawab Zaqwan dengan sedikit megah. Emissary Blaze atau Ary Aqis tersenyum.

“Guruku juga adalah seorang pendekar Emissary berpangkat Maharaja seperti gurumu, bukan?” tanya Ary. Langsung bungkam si Zaqwan. Beliau baharu tersedar bahawa saranannya tadi seolah-olah memperkecilkan kehebatan Naar Saif.

“Mereka telah mula berundur, guru.” maklum Ary. Ratusan tentera Organisasi yang berada di barisan hadapan tadi kini dengan serentak dan tergesa-gesa berundur masuk ke dalam kubu. Zaqwan yang berasa agak malu dengan perbuatannya tadi kini memerhatikan sahaja senario tersebut dengan penuh minat tanpa membuka mulut.

“Baguslah. Aku pun sudah bersedia. Kawasan pertempuran juga sudah cukup sesuai sekarang.” Terpacul juga akhirnya ungkapan daripada mulut Maharaja Emissary yang amat pendiam itu.

************************************

“Tuan Jeneral, mereka semua berundur kembali ke dalam kubu.” lapor salah seorang pegawai bahagian strategik.

“Mereka mahu memerangi kita di dalam kawasan kubu pula.” taakul Noble Grandmaster Rutherford. Jeneral Richard Kennedy mengangguk tanda bersetuju dengan kata-kata tersebut.

“Jeneral, mereka tidak berupaya lagi. Arahkan semua jentera perang untuk mara sambil menyerang. Kita rempuh masuk ke dalam kubu. Saya pula akan arahkan pasukan tentera Wampyr dan Lycan kita untuk menghapuskan serangan gerila. Enam puluh orang pendekar Grandmaster dan tiga ratus orang Knight of the Sun sudah lebih dari mencukupi untuk menyekat Drakulon dan anak-anak buahnya. Mereka pasti akan terselamat, tetapi itu tidak penting. Yang penting ialah kubu Organisasi tersebut dimusnahkan sepenuhnya.” ujar Rutherford. Jeneral Richard segera memberikan arahan kepada pegawainya untuk disampaikan kepada kesemua bala tentera Masonik. Tidak lama kemudian puluhan ribu tentera dan kenderaan perang pelbagai jenis serta saiz mula bergerak seiring mendekati kubu musuh sambil menembak bertalu-talu. Keadaan di tembok barisan kubu menjadi semakin gempar dan kacau-bilau dengan ribuan ledakan di sana-sini. Ratusan bedilan juga dihalakan ke arah kedudukan Drakulon dan anak-anak buahnya. Namun para pendekar Emissary yang mengiringi Drakulon segera bertindak menahan serangan-serangan tersebut.

“Zaqwan, kau akan tahu sekejap lagi mengapa Tuan Naar digelar Maharaja Ular Bara Merah.” teriak Ary dengan perasaan teruja. Zaqwan yang agak kaget dengan keributan serangan musuh hanya memakukan pandangan tanpa berkelip ke arah Drakulon. Pendekar Emissary bertaraf Maharaja tersebut menghalakan telapak tangan kanannya ke arah musuh. Mulutnya terkumat-kamit membacakan sesuatu. Dalam kegemparan tersebut, Zaqwan dapat menangkap bahawa Drakulon telah membacakan surah al-Humazah bermula dari ayat kelima hingga kesembilan. Orang kanan Zoei Bukhory itu memandang pula ke arah bala tentera Masonik yang sedang mara. Matanya tertarik ke arah sesuatu. Dan apabila menyedari akan apa yang dilihat olehnya, maka terlongolah mulut Zaqwan.

*********************************

“Tuan Jeneral! Lihat itu!” teriak salah seorang pegawai bahagian strategik pasukan utama pihak Masonik. Jeneral Richard melihat skrin gergasi yang ditayangkan di hadapannya. Mulutnya ternganga luas. Jutaan besi sekerap di hadapan mereka tiba-tiba menjadi merah menyala dan kemudian cair menitis ke bumi. Akhirnya kesemuanya cair dan menyerap masuk ke dalam tanah.

“Apa yang telah terjadi tadi?” tanya Noble Grandmaster Rutherford dengan perasaan kurang enak. Tiba-tiba ratusan kenderaan perang dan askar terbakar dan meledak di sana-sini. Setelah diamat-amati, rupa-rupanya dari tanah telah muncul ribuan objek seperti rumpunan daun lidah buaya yang amat besar dan tinggi sehingga mencecah hampir lima puluh kaki. Daun-daun tersebut berwarna merah membara setiap satunya. Kawasan persekitaran tempat kemunculan daun-daun gergasi tersebut berasap dan terbakar.

“Pokok apakah itu?” tanya Jeneral Richard dengan seribu kemusykilan.

“Itu bukan pokok! Itu ialah bilah-bilah pedang!” teriak Rutherford dengan nada panik. Namun sudah terlambat untuk mengundurkan pasukan tentera pihak Masonik yang semakin merapati kubu musuh.

“Allah Maha Besar.” ujar Naar Saif. Ribuan bilah pedang yang merah membara lagi amat panas tersebut kini berputar-putar ke serata arah memancung serta membakar apa sahaja yang disentuhnya. Serta-merta di hadapan Emissary Drakulon muncul lautan api yang amat marak lagi menakutkan. Jerit-pekik musuh-musuh sebelum dijemput oleh kematian benar-benar menyeramkan di telinga sesiapa yang mendengar. Lidah-lidah pedang api masih melibas-libas di sana-sini untuk menghapuskan saki-baki mangsanya yang masih bernyawa. Ianya bagaikan ribuan ekor ular gergasi dengan tubuh merah membara di dalam lautan api tersebut. Mustahil untuk sesiapa juga walau pendekar Grandmaster sekalipun menahan kuasa Karamah sebegini rupa.

“Kau kata gurumu Tuan Mayhem mungkin akan menang jika dia berada di sini. Jadi apa pula pandanganmu tentang guruku sekarang?” Pertanyaan Ary langsung tidak dijawab oleh Zaqwan. Wajahnya pucat lesi. Begitu juga dengan pendekar-pendekar Emissary yang berada di situ.

*********************************

Tiga puluh tiga hari kemudian, di balai MetroPolis...

“Pertemuan empat Maharaja Emissary tersebut dijangkakan berakhir pada hari ini kerana terdapat laporan bahawa Maharaja Pemancung Angin telahpun bergerak meninggalkan Kubu Al-Mahdi dengan kenderaan rasmi. Pertemuan tersebut setakat ini tidak diketahui motif mahupun agendanya. Namun penganalisis meramalkan bahawa besar kemungkinan ianya berkaitan dengan kemenangan pihak Organisasi mempertahankan kubu mereka dalam peperangan di Emiriyah Arab Bersatu...” Remy begitu fokus dengan laporan terkini yang disiarkan dalam teleholo. Duduk disampingnya ialah Enbi yang kelihatan agak lega. Pembinaan silo-silo makanan di Dubai kini dapat berjalan dengan lancar tanpa perlu merisaukan tentang serangan pertubuhan Masonik pada masa akan datang.

“Hebat benar pendekar-pendekar Emissary Organisasi. Aku terbaca dalam berita tidak rasmi bahawa beratus ribu mayat askar Masonik dipancang setiap satu di tiang besi di hadapan kubu Organisasi. Ianya adalah suatu amaran amat keras kepada pihak Masonik agar jangan cuba menyerang lagi.” maklum Nazrul yang juga sedang menonton bersama.

“Walaupun nampak zalim tetapi ianya suatu tekanan psikologi yang amat berkesan. Kesemua bala tentera yang digerakkan ke kubu-kubu primer pihak Organisasi kini telahpun diundurkan dan serangan ke atas kubu di Algeria juga telah dihentikan serta-merta. Penindasan dan pembunuhan umat Islam di Amerika Sakit juga telah dihentikan serta-merta setelah terdengar khabar angin mengatakan bahawa Maharaja Debu Berlian akan ke sana setelah selesai bermesyuarat.” maklum Remy.

“Mana kau tahu semua ini?” tanya Nicol dengan nada agak curiga. Remy memandang ke arah Nicol dengan senyuman yang agak angkuh.

“Aku masih ada kawan di Organisasi, tau?” jawab Remy.

“Maharaja Debu Berlian tentu sangat hebat, bukan?” taakul Terawez.

“Aku tidak tahu sejauh mana kehebatannya. Tapi beliau pernah digelar ‘Pendekar Abadi’ sebelum menyepikan diri di Daulah Maddaniah. Malah ada yang mendakwa bahawa jika Maharaja Debu Berlian masih aktif menyertai peperangan, mungkin gelaran pendekar nombor satu Organisasi akan disandang olehnya dan bukannya Maharaja Mayhem.” jawab Remy.

**************************************

Tiga hari kemudian...

Permandangan di Pantai Buatan Jelapang di Ipoh, Perak benar-benar indah dan mendamaikan perasaan. Sungguhpun belum tiba jam untuk dibuka kepada orang ramai namun bagi Enbi, ianya bukanlah suatu masalah untuk berada di dalamnya bersama Catherine. Itulah salah satu kelebihan menjadi pemilik pantai buatan tersebut. Ketika ini, hanya mereka berdua sahaja yang berpeluang menatap gulungan serta deruan ombak yang dijanakan dengan mesin yang mahal lagi canggih. Malah mesin penjana tipuan angin juga terpaksa dibeli memandangkan angin asli yang datang dari laut membawa bersama bau busuk dan hancing air laut. Enbi sanggup berbelanja sebegitu mahal untuk membina dewan tertutup sebesar tiga buah stadium demi untuk memberikan tempat beriadah secara percuma kepada orang ramai.

“Sepatutnya air laut adalah masin. Tapi kalau aku menggunakan air laut yang telah ditapis, mesin serta peralatan elektronik akan cepat rosak. Jadi terpaksalah gunakan air tawar. Mungkin aku patut campurkan perasa markisa untuk lebih menyeronokkan pengunjung.” gurau Enbi. Catherine tertawa.

“Merepeklah tu. Tapi tentu kos penyelenggaraannya mahal, kan?” tanya sahabatnya itu. Enbi mengangguk.

“Semenjak MetroPolis ditubuhkan, aku terpaksa membuat tabung untuk meminta ihsan orang ramai bagi menderma secara ikhlas untuk kos penyelenggaran. Aku tak sangka begitu ramai yang bermurah hari menderma dengan ikhlas. Setiap hari kutipan derma adalah melebihi jangkaanku. Jadi aku gunakan sebahagiannya untuk menaiktaraf pantaiku ini.” maklum Enbi.

“Bertahun-tahun Enbi menggembirakan mereka dengan pantai percuma ini. Tak hairanlah kalau mereka membalas kembali budi baik Enbi dengan senang hati.” ujar Catherine. Enbi mengangguk tanda setuju.

“Saya sangat sukakan tempat ini. Saya selalu berangan-angan hanya kita berdua di sini menikmati suasana matahari terbenam. Tentu sangat seronok.” ujar Catherine. Enbi hanya mendiamkan diri. Namun bibirnya maih mengorakkan senyuman semenjak mereka mula memasuki kawasan tersebut.

“Tapi melampaulah kalau saya minta Enbi tutup pantai ini seharian hanya semata-mata untuk membuat angan-angan saya menjadi nyata.” ujar Catherine lagi.

“Aku boleh buat perkara tersebut. Tapi aku tahu kau pasti tak suka dan tak bersetuju.” balas Enbi. Catherine mengangguk tanda bersetuju.

“Saya dengar cerita yang Enbi berjaya menguasai hampir kesemua syer di dalam Bank Enbi Sdn. Bhd. Betulkah?” tanya gadis ayu tersebut untuk mengubah topik bualan mereka. Enbi mengangguk.

“Si Nazrul memang bacar mulut!” omel Enbi. Catherine tertawa kecil. Enbi kemudiannya mengiringi tawa tersebut dengan perbuatan yang serupa juga.

“Bapa awak sememangnya orang yang sangat baik, Enbi. Dia selalu memanjakan saya dan selalu dudukkan saya di ribanya. Kalau apapun saya minta, tentu dia akan bagi.” puji Catherine dalam mengenangkan Allayarham bapa Enbi.

“Bapaku memang mahukan anak perempuan. Tapi nasibnya tak baik sebab dapat tiga orang lelaki kesemuanya. Jahat-jahat pula tu!” ujar Enbi seraya tertawa.

“Oh ya! Apa abang awak buat sekarang? Awak panggil dia ‘Balong’, kan?” tanya Catherine. Enbi sedikit merengus tatkala disebut nama tersebut.

“Dia masih macam itu jugalah! Sibuk berjuang untuk alam sekitar yang sememangnya dah nak melungkup ni. Sekejap-sekejap ditangkap Organisasi. Tak lama kemudian ditangkap oleh Masonik pula. Tak habis-habis membuat kacau!” maklum Enbi dalam nada merungut.

“Dia pun macam Enbi juga. Berpendirian tegar pada prinsip dan kepercayaannya.” ujar Catherine.

“Tapi aku ada duit. Pandai cari duit. Balong tu tak guna. Semedang minta duit daripadaku. Aku suruh dia bekerja di bawahku macam Nazrul, dia tak mahu. Dasar pemalas.” omel Enbi. Catherine ketawa.

“Dia tu berjiwa bebas. Tak suka dikongkong dalam pejabat dari sembilan pagi ke lima petang. Dia suka mengembara ke negara-negara orang menimba ilmu dan pengalaman.” Catherine beriya-iya mempertahankan abang Enbi. Enbi tersengih. Abangnya itu memang suka melayan dan memanjakan sahabatnya itu seperti Allayarham bapanya juga. Perbezaan umur di antara Balong dan Enbi adalah sejauh lapan tahun. Catherine lebih muda daripada Enbi. Jadi tidak hairanlah Balong begitu dihormati oleh gadis itu. Buat seketika mereka berdua mendiamkan diri melayani perasaan masing-masing sambil dihiburkan dengan deruan ombak dan desiran angin buatan tersebut. Tiba-tiba terdengar keluhan kecil Catherine di telinga Enbi.

“Kau masih teringin melihat matahari terbenam di sini bersamaku sahajakah, Cat?” tanya Enbi. Bumbung dewan pantai buatan tersebut diperbuat daripada campuran kristal dan serat kaca. Jadi cahaya dan cuaca yang diterima oleh pengunjung pantai buatan tersebut adalah yang asli dari langit. Catherine memandang Enbi sambil mengangguk.

“Tadi kata tak mementingkan diri...” usik Enbi. Gadis ayu itu berasa geram lantas menyiku lengan Enbi. Mereka berdua ketawa kemudiannya. Enbi sambil itu menyeluk dan mengeluarkan sesuatu dari kocek seluar. Ianya adalah sebuah alat kawalan jauh.

“Apa tu?” tanya Catherine.

“Tengok di atas.” pinta Enbi. Catherine akur mendongak ke arah bumbung.

“Blip!” Tiba-tiba suasana langit yang cerah menjadi senja dan matahari kelihatan hampir terbenam. Catherine berteriak dengan perasaan keterujaan. Beliau ketawa sambil tangan kirinya menepuk-nepuk bahu Enbi dengan agak kuat. Kelakuannya itu bagaikan seorang budak, namun Enbi hanya membiarkan sahaja.

“Wah! Wah! Wah Enbi! Cantiknya! Cantiknya! Ini teknologi plasma holografik, kan? Bila awak buat macam ini, Enbi?” tanya Catherine. Enbi ketawa.

“Kan aku dah kata aku gunakan sebahagian wang sumbangan untuk menaiktaraf pantaiku ini. Masa kau koma, aku telah mengupah kontraktor pakar untuk memasang selaput plasma di bumbung dewan ini. Sebenarnya aku terpaksa menggunakan duitku sendiri juga. Tapi ianya berbaloi. Kau selalu memberitahuku angan-anganmu itu setiap kali datang ke mari. Aku memasang plasma holografik ini untuk memenuhi impianmu. Aku pada masa itu berasa yakin kau akan terjaga dari komamu, Cat. Aku yakin aku akan membawamu ke sini untuk menjadikan angan-anganmu suatu kenyataan. Tengok, impianmu kini dah jadi nyata.” perjelas Enbi. Catherine terdiam. Bibirnya mengorak senyuman namun pipinya basah dengan air mata. Suasana di pantai buatan tersebut begitu romantik dan mengharukan. Enbi perlahan-lahan bergerak ke hadapan. Kemudian berpusing menghadap sahabatnya itu. Kedua-dua tangannya memegang kemas bahu Catherine.

“Ingat tak ketika di panggung wayang sebelum insiden itu? Aku mahu memberitahumu sesuatu. Tapi tak sempat kerana kita diserang.” ujar Enbi. Catherine terdiam. Matanya tepat merenung ke mata Enbi. Wajahnya begitu serius sekali.

“Jadi aku ingin memberitahumu sekarang perkara yang aku ingin sangat beritahu sebelum ini.” ujar Enbi.

“Enbi...” Bergetar suara Catherine mengungkapkannya. Badannya sedikit menggigil namun bukan kerana kedinginan belaian bayu yang menyapa tubuh.

“Cat, kita begitu rapat dan mesra semenjak kecil lagi. Hanya kau saja yang benar-benar memahami perangaiku. Benar-benar memahami diriku.” Enbi tidak dapat menghabiskan bait-bait katanya kerana mulutnya telahpun dipekup oleh jari-jemari Catherine.

“Enbi... cukup. Jangan...” pinta Catherine dengan lembut. Namun ianya bagaikan petir yang meledak di sanubari Enbi. Langsung berubah air mukanya. Setelah beberapa ketika baharulah Catherine menarik kembali tangannya.

“Cat, aku... Aku rasa mungkin kau salah faham akan apa yang aku ingin nyatakan kepadamu.” ujar Enbi dengan nada yang agak cemas. Sahabatnya itu memejamkan mata sambil mengeluh kecil.

“Saya tahu apa yang Enbi akan kata. Saya yakin saya tak silap faham.” balas Catherine. Semakin merah padam muka Enbi dibuatnya.

“Kau salah faham. Aku yakin kau salah faham.” ujar Enbi dengan nada bergetar. Catherine menggelengkan kepala.

“Saya tidak silap faham Enbi. Itu sebabnya saya tak mahu awak menyebutkannya.” balas gadis ayu tersebut. Tubuhnya spontan mengundur ke belakang untuk melepaskan pegangan Enbi. Menyirap darah Enbi dengan perlakuan tersebut.

“Kau dah salah faham...” Nada Enbi bergetar seakan-akan menahan perasaan marah dan kecewa.

“Saya yakin saya tak...”

“DENGAR DULU, CAT!” Teriakan Enbi mematikan kata-kata Catherine. Gadis itu bungkam. Wajahnya jelas menunjukkan perasaan terkejut dan rasa kurang senang.

“Maaf... Aku minta maaf. Aku tak berniat menengkingmu. Maafkan aku.” pinta Enbi dengan nada kesal. Catherine mengangguk tanda menerima permohonan maaf sahabatnya.

“Sudahlah. Enbi sudah letih agaknya. Marilah kita pulang.” ajak Catherine. Beliau terus memalingkan tubuh untuk bergerak pergi. Namun langkahnya tersekat tatkala lengan kirinya dicengkam oleh Enbi. Catherine berpaling kembali ke arah Enbi. Wajahnya ternyata menampakkan riak kemarahan.

“Lepaskan saya, Enbi.” pinta gadis itu dengan nada yang amat serius. Enbi menggelengkan kepala.

“Kau mesti mendengar kata-kataku ini dulu, Cat. Aku sangat menyayangimu. Aku sangat cin..”

“CUKUP!” jerkah Catherine seraya meliukkan tubuh. Serta-merta pasir di tempat Enbi berdiri meledak. Ternyata kuasa tai-chi Catherine masih di tahap optimum seperti dahulu. Enbi terhumban ke belakang dalam keadaan berputar-putar. Namun beliau berjaya mendarat dengan stabil dan segera menekapkan kedua tapak tangannya di atas pasir seraya memutarkan tubuh. Seluruh pasir di sekeliling tubuh Enbi berterbangan naik ke atas sebelum kembali terikat pada hukum graviti. Tercengang Catherine melihatkan perkara tersebut.

“Awak tahu cara meleraikan kuasa tai-chi saya?” tanya gadis itu dengan nada kekaguman. Enbi tidak menjawab. Matanya tepat memaku ke arah Catherine. Ianya adalah renungan tidak percaya bahawa gadis itu sanggup mencederakannya. Catherine yang menyedari maksud di sebalik renungan tersebut terdiam dan mula dihurungi dengan rasa bersalah.

“Maafkan saya, Enbi. Saya tidak mahu awak tersalah sangka akan hubungan kita. Saya menganggap Enbi tidak lebih dari seorang sahabat akrab sahaja. Janganlah Enbi berharapan lebih daripada itu. Maafkan saya kerana menggunakan tai-chi ke atas Enbi. Saya tidak berniat mencederakan Enbi. Saya dah lama tak berlatih. Saya tak pandai mengawal kuasa qi saya.” ujar Catherine dengan panjang lebar. Enbi masih berteleku di atas pasir. Matanya masih tertancap ke arah Catherine.

“Saya berharap agar kita terus berkawan dengan baik seperti dulu selepas ini. Saya sudah letih. Tolong hantarkan saya pulang.” pinta Catherine. Beliau kembali memalingkan tubuhnya dan bergerak pergi meninggalkan Enbi. Enbi pula masih berteleku memandang kelibat gadis yang dicintainya itu yang semakin menjauh. Seluruh badannya berasa lemah. Tidak mampu beliau untuk bangkit mengejar. Mulutnya bergerak-gerak cuba memperkatakan sesuatu. Namun suaranya kini hanya kedengaran di hatinya yang telah retak sahaja.

- Bersambung -