Punyalah lama nak menyiapkan sambungan Bab 27. Ini adalah kata hatiku sendiri yang memarahi diri sendiri. Tapi tak boleh marah lama-lama sebab nanti makin kureng pahala puasa. Cerita episod kedua ini makin dekat nak habis tapi aku semakin menjadi malas. Sebenarnya kerajinanku tertumpu pada firma guamanku yang baharu. Dalam keadaan bertungkus-lumus sekarang, aku berasa sangat teruja dan gembira.
Namun bidang guaman adalah suatu kerjaya yang selalu serius dan menegangkan urat dahi. Jadi aku masih memerlukan MetroPolis untuk 'memanusiakan' diriku. Aku berasa semakin matang sekarang. Semakin bagus, aku tak tahu. Tapi aku percaya aku semakin matang sekarang.
Minggu lepas aku melawat anakku Damia di KL. Aku memberitahunya aku tak selalu dapat melawatnya buat masa ini sebab keadaan ekonomiku. Firma baharu banyak menggunakan duit. Aku memberitahu Damia yang aku tak banyak duit sekarang. Aku menyangkakan anakku yang berusia 6 tahun itu tidak memahami apa yang aku perkatakan. Tetapi rupa-rupanya beliau faham. Beliau memberikanku beberapa keping duit syiling dan memberitahuku bahawa duit tersebut untuk membelikannya permainan dan makan minumnya. Aku berasa sangat sebak (malah sekarang pun aku berasa sebak). Aku berjanji dengan diriku sendiri untuk tidak mengabaikan anakku Damia sehingga ke akhir hayatku. Aku banyak kali melukakan perasaannya. Inilah harga yang anakku terpaksa bayar akibat penceraian. Aku berdoa agar kalian tidak menempuhi apa yang aku telah tempuhi.
No comments:
Post a Comment