Monday, August 22, 2011
Nota Kepala 22-08-2011
Aku berasa sangat gembira kerana memberku dalam blog semakin ramai. Dah mencecah 144 orang! Entah macam mana la pulak perasaan blogger yang mempunyai member seramai 2-3 ribu orang.
Entah apa semangatnya aku begitu komited sekali membuat novel bab 28 ini. Dalam masa tiga jam sahaja selesai dengan sempurna. Kalau dah datang mood, memang aku hanyut dalam duniaku sendiri. Jadi kira bab 28 ni duit raya la untuk korang, ya?
Ma'assalaamah.
MetroPolis Episod 2 - Bab 28
MetroPolis Episod 2
Bab 28
Berkumpulnya Orang-Orang Yang Handal
Keesokan harinya jam lebih kurang 8.00 pagi di Putrajaya...
Zoei Bukhory alias Emissary Mayhem sedang duduk bersila sambil membaca kitab al-Quran apabila pintu apartment sewanya diketuk. Beliau yang begitu segak dan bergaya dengan pakaian rasmi Organisasi yang serba-serbi hitam seolah-olah berada dalam dunianya sendiri tatkala begitu asyik mengalunkan bacaan ayat-ayat al-Quran. Akhirnya setelah hampir tiga minit pintu tersebut berbunyi-bunyi, Zoei menamatkan pembacaannya. Matanya melirik ke arah daun pintu itu. Begitu juga dengan senyumannya yang melirik di bibir. Beliau perlahan-lahan bangun dari silanya dan bergerak menuju ke arah pintu. Apabila daun pintu dikuak, di hadapan Zoei adalah SAC-1 Datuk Seri Rathinathan berdiri tegak bersama-sama berbelas anggota Syarikat Polis Malaysia Berhad yang turut mengiringi.
“Hai! Apa khabar? Nama saya Zoei Bukhory.” tegurnya dengan ramah dan mesra. Namun matanya tidak leka dari memerhatikan setiap anggota SPMB yang memegang erat senjata api mereka.
“Ya, saya tahu. Nama saya ialah Datuk Seri Rathinathan. Saya sangat berbesar hati dapat bertemu dengan tuan Mayhem. Kami sudah lama mencari tuan tetapi baru sekarang kita berjumpa. Perdana Menteri Dato’ Seri Khamal Hasyim ingin benar bertemu dengan tuan. Bolehkah kami mengiringi tuan Mayhem ke kediaman rasminya pada hari ini?” tanya Datuk Seri Rathinathan dengan penuh sopan dan bertertib. Zoei tersenyum. Akan tetapi tiada siapa yang dapat meneka maksud di sebalik senyumannya itu.
***********************************
Pada masa yang sama di balai MetroPolis Enterprise...
“Woi! Cepatlah! Kenapa terhegeh-hegeh lagi? Mana si Nicol?” Tak berhenti-henti Enbi mengomel di hadapan anak-anak buahnya. Kecuali Ganshamdass dan Red Wigwam, kesemua anggota rasmi MetroPolis mahu mengiringi Enbi untuk bertemu muka dengan Dato’ Seri Khamal Hasyim di kediaman rasminya di Putrajaya. Mereka sepatutnya berjanji temu dengan pemimpin Malaysia itu pada jam 9.30 pagi. Pada zaman ini untuk bertolak dari Ipoh ke Putrajaya adalah sangat singkat tempohnya melalui pengangkutan awam melalui udara atau dikenali sebagai ‘Keretapi Langit’.
“Jangan bimbang, pak cik Wigwam. Saya akan menemani pak cik di balai ini. Lagipun pasukan sokongan pun turut ada untuk menjaga balai.” ujar Ren Fairuz yang turut sama kecoh-kecoh di situ. Beberapa orang sukarelawan turut berada di situ untuk bertandang ke balai untuk mengucapkan selamat berjaya kepada anggota MetroPolis. Mereka juga dengan senang hati menawarkan diri untuk menjaga balai pada hari tersebut.
“Penipu! Kau sebenarnya nak mengambil kesempatan untuk menghabiskan air kotak di dalam peti sejuk! Tengok! Belumpun kami berangkat pergi kau dah minum air kotak yang kedua!” bentak Nazrul. Beberapa anggota yang berada di situ tertawa. Balai tersebut tidak ubah seperti adanya majilis keraian.
“Kasihan Dass. Beliau pun sebenarnya teringin nak pergi.” ujar Terawez. Kata-kata tersebut tidak ditujukan kepada sesiapa.
“Akan tetapi aku amat memerlukan Dass untuk menjaga Cat di hospital. Beliau sangat handal dan menggerunkan musuh-musuh dengan reputasinya sebagai ‘Si Pembunuh Satu Peluru’. Dengan adanya Dass, barulah aku boleh berlapang dada untuk pergi ke Putrajaya.“ balas Enbi kepada kata-kata Terawez tadi.
“Hai semua! Maaflah saya terlewat!” Akhirnya muncul Nicol Hanany setelah memarkirkan Jaguarnya di depan balai. Penampilan serta pemakaian Nicol benar-benar menyerlahkan kejelitaannya. Kesemua hadirin yang berada di situ terpaku melihatnya. Enbi yang bercadang untuk memarahi Nicol turut terpaku tidak berkata apa-apa.
“Nicoool... wauu...” ujar Nazrul yang kini kehilangan kata-kata. Nicol sempat mengenyitkan mata dan menyiku lengan Nazrul.
“Tiba-tiba pula suara kau berubah macam pondan.” usik Ren Fairuz terhadap Nazrul. Nazrul bingkas meluru ke arah Ren dan cuba menyepaknya. Imam muda tersebut lintang-pukang melarikan diri. Telatah mereka berdua ternyata berjaya mengundang tawa orang-orang lain.
“Abang Remy renung apa tu?” bentak Trini seraya mencubit lengan Remy sekuat-kuat hati kerana kekasihnya itu juga tidak berkelip mata memandang Nicol. Remy mengaduh kesakitan dan kemudian secara bergurau mengacukan penumbuknya ke arah kekasihnya itu.
“Tuan Enbi, jangan bagi peluang abang Remy untuk menggatal dengan gadis-gadis di Putrajaya!” pinta Trini yang sebelum ini berkeras mahu mengiringi Remy ke balai.
“Menyesal aku benarkan kau ikut ke mari!” omel Remy. Sekali lagi deraian tawa memenuhi ruang balai tersebut.
“Aku lagi bimbang kalau Remy tiba-tiba bertindak memusnahkan bangunan-bangunan yang ada di Putrajaya itu.” balas Enbi dengan nada serius. Namun kata-katanya itu turut mengundang deraian tawa lagi.
“Baiklah! Mari kita bertolak sekarang. Keretapi Langit akan bertolak ke Putrajaya pada jam 8.30 pagi. Kita akan tiba di sana pada jam 9.00 pagi.” arah Enbi.
***********************************
Sementara itu di Putrajaya...
Datuk Seri Rathinathan hanya mendiamkan diri sepanjang perjalanan ke kediaman rasmi Perdana Menteri. Beliau begitu terpesona mendengar bacaan al-Quran yang dialunkan oleh Zoei Bukhory. Ia menusuk ke dalam sanubari sehingga berdiri setiap bulu roma Datuk Seri Rathinathan dibuatnya. Akhirnya Zoei berhenti. Selesai sudah surah yang telah dibaca olehnya tadi.
“Tuan, apakah pandangan tuan tentang SPMB?” tanya Zoei secara tiba-tiba. Pertanyaan tersebut adalah ringkas tetapi ianya membuatkan emosi Datuk Seri Rathinatahan tersentak hebat.
“Apa maksud tuan Mayhem bertanya begitu?” tanyanya kembali dalam keadaan gugup.
“Tiada apa-apa maksud tersirat. Jadi, apakah jawapan tuan untuk soalan tadi?” tanya Zoei.
“Oh, SPMB pada pandangan saya adalah satu syarikat keselamatan yang amat cekap serta efisyen dari segala segi. Keamanan negara Malaysia berjaya dikekalkan dengan adanya SPMB.” Datuk Seri Rathinathan tiba-tiba terdiam. Beliau baharu teringat akan campurtangan pihak Organisasi dalam Peperangan Triad setelah SPMB tidak berjaya menanganinya.
“Baguslah kalau begitu. Jadi tidak perlulah kehadiran Organisasi di sini.” ujar Zoei Bukhory. Air muka Datuk Seri Rathinathan berubah. Beliau tahu Emissary Mayhem sebenarnya menyindirnya. Beliau mengambil keputusan untuk tidak berdolak-dalik lagi kerana lawan sembangnya ini bukanlah sembarangan orang.
“Organisasi masih diperlukan kerana SPMB masih banyak kekurangan dan kelemahan.” jawab Datuk Seri Rathinathan. Zoei Bukhory tersenyum.
“Tuan pernah memberitahu wartawan bahawa tuan adalah seorang yang patriotik, kan?” tanya Zoei tiba-tiba pula.
“Ya, saya pernah menyebut begitu.” jawab Datuk Seri Rathinathan.
“Apakah makna patriotik dari sudut pandangan hidup tuan?” tanya Zoei Bukhory pula.
“Patriotik pada saya bermaksud seseorang yang cintakan negara dan sanggup berkorban deminya. Beliau juga berusaha menjaga keselamatan serta kesejahteraan rakyat negara itu mendahului kepentingan peribadinya sendiri.” jawab Datuk Seri Rathinathan dengan penuh bersemangat dan yakin.
“Memang bagus makna patriotik itu dari sudut pandangan hidup tuan.” komen Zoei Bukhory. Datuk Seri Rathinathan tersenyum. Perasaan gugupnya kembali menyurut.
“Saya mendapat tahu bahawa ada seorang pegawai SPMB yang sanggup meletakkan jawatan untuk bekerja di MetroPolis Enterprise dengan pangkat dan gaji yang jauh lebih rendah dari sebelumnya. Beliau memberitahu wartawan bahawa beliau mahu membantu dan menjaga keselamatan orang awam tidak kira taraf dan kedudukannya dalam masyarakat. Beliau juga memberitahu hanya MetroPolis Enterprise satu-satunya syarikat polis yang tidak mengenakan sebarang bayaran terhadap orang awam yang memerlukan bantuan. Bekas pegawai SPMB itu juga berkata bahawa MetroPolis Enterprise adalah sesuai dengan pendirian hidupnya. Pernahkah tuan terbaca akan artikel tersebut?” tanya Zoei Bukhory. Jantung Datuk Seri Rathinathan kembali berdegup keras.
“Ya.” jawabnya perlahan.
“Benarkah MetroPolis Enterprise tidak mengenakan sebarang bayaran untuk membantu orang awam?” tanya Zoei pula.
“Ya, setakat yang saya ketahui.” jawab Datuk Seri Rathinathan. Beliau tidak berani menipu kerana dikhuatiri MetroPolis adalah sekutu kuat pihak Organisasi.
“Jadi adakah tuan bersetuju bahawa bekas pegawai SPMB yang menyertai MetroPolis Enterprise adalah seorang yang patriotik?” tanya Zoei. Datuk Seri Rathinathan bungkam. Ternyata beliau telah termasuk ke dalam perangkap dan kini dipermain-mainkan oleh pendekar terhandal Organisasi. Datuk Seri Rathinathan akhirnya mengangguk lemah. Beliau terpaksa bersetuju dengan pendapat lawan sembangnya tadi. Zoei Bukhory tidak membuka mulutnya lagi selepas itu. Namun senyuman di bibir beliau benar-benar membuatkan Datuk Seri Rathinathan berasa terpukul. Pertanyaan-pertanyaan Zoei Bukhory tadi sebenarnya untuk memperkecilkan kewibawaan SPMB dan Datuk Seri Rathinathan sendiri yang telah mengaku dirinya adalah seorang patriotik. Lelaki yang jauh lebih muda daripadanya itu ternyata memang hebat dan bijak.
“Lagu arab yang tuan kumandangkan tadi sangat merdu. Lagu apakah itu?” tanya Datuk Seri Rathinathan untuk mengubah topik berat kepada perkara-perkara ringan.
“Tuan suka? Alhamdulillah. Ia bukanlah lagu arab tetapi bacaan surah daripada kitab suci orang Islam iaitu al-Quran. Surah yang saya bacakan tadi adalah surah ar-Ra’d.” jawab Zoei Bukhory dengan ceria.
“Apakah maksud surah ‘arok’ itu?” tanya Datuk Seri Rathinathan berbasa-basi.
“Ar-Ra’d. Ia bermakna ‘guruh’ dalam bahasa tuan.” Jawapan Zoei Bukhory sekali lagi membuatkan Datuk Seri Rathinathan bungkam.
***********************************
Sementara itu di dalam Keretapi Langit.
“Ya. Baguslah begitu. Hubungi aku kalau ada apa-apa. Terima kasih Dass.” Nazrul memerhatikan sahaja Enbi yang sedang berbual di talian komunikasi dengan Ganshamdass. Air muka abangnya itu masih nampak sugul.
“Bagaimana kak Catherine?” tanya Nazrul dengan perlahan. Nicol yang duduk di sebelah Nazrul turut memasang telinga. Terawez yang duduk di sebelah Enbi tak sampai dua minit di dalam koc tersebut telahpun lena dibuai mimpi. Manakala Remy pula masih tidak berhenti mengomel kerana terpaksa duduk di sebelah seorang lelaki tua yang kuat bau badannya.
“Dia masih belum sedar daripada koma. Tetapi kecederaan di tubuhnya semuanya telah pulih dengan baik sekali.” jawab Enbi. Senyumannya dipaksa mengukir di bibir.
“Tuan-tuan dan puan-puan. Kita akan sampai di stesyen Putrajaya dalam masa dua belas minit lagi. Sila pastikan anak-anak anda didudukkan kembali di kerusi masing-masing. Terima kasih.” salah seorang krew Keretapi Langit telahpun membuat hebahan makluman melalui pembesar suara untuk melaporkan status terkini.
“Dua belas minit lagi? Mampuslah aku sesak nafas kalau macam ini. Heeiii... busuk betullah orang tua ini! Lain kali kalau nak keluar berjalan, pergilah mandi dulu. Jahanam betul!” bentak Remy kemarahan. Enbi hanya mampu menggelengkan kepala.
“Apa? Apa? APA?” Kini Remy mengambil keputusan untuk mengancam orang tua yang di sebelahnya pula setelah pak cik tersebut menjeling ke arahnya.
***********************************
Sementara itu di Putrajaya...
“Sampai kita akhirnya.” ujar Zoei Bukhory dengan nada teruja. Datuk Seri Rathinathan pula berasa sangat lega. Beliau berasa amat tertekan sepanjang perjalanan ke kediaman rasmi Perdana Menteri tadi. Pasti tekanan darahnya naik sekarang. Zoei yang asyik tersenyum memerhatikan sahaja permandangan di hadapannya.
“Datuk Seri, adakah ini pasukan SPMB?” tanya Zoei tiba-tiba. Datuk Seri Rathinathan sekali lagi berasa tertekan.
“Bu.. Bukan, tuan Mayhem. Ini adalah pasukan pengawal yang menjaga kediaman Perdana Menteri.” jawab Datuk Seri Rathinathan. Di hadapan mereka terdapat puluhan manusia yang berpakaian seragam berwarna hitam dan putih serta lengkap bersenjata. Terdapat juga belasan buah kereta kebal yang amat besar dan mampu menggerunkan sesiapa sahaja yang melihatnya. Datuk Seri Rathinathan juga tidak terkecuali berperasaan sedemikian rupa.
“Dahsyatnya...” ujar Datuk Seri Rathinathan dengan nada gementar.
“Hmm. Saya macam pernah melihat kereta-kereta kebal ini.” ujar Zoei Bukhory. Seketika kemudian seorang lelaki tua datang mendekati mereka.
“Dato’ Seri Khamal Hasyim sedang menunggu. Silakan masuk.” pelawanya. Namun nada suaranya adalah dingin seolah-olah tidak gembira melihat kelibat Zoei Bukhory di situ. Orang tua tersebut adalah Shameer, penasihat kanan kepada Perdana Menteri. Tanpa menunggu, Shameer terus berjalan meninggalkan mereka dan menghala ke arah kediaman rasmi Perdana Menteri.
“Ah...” ujar Datuk Seri Rathinathan. Pandangannya mendongak ke langit.
“Kenapa Datuk Seri?” tanya Zoei Bukhory.
“Tadi cuaca begitu mendung sekali seolah-olah hujan lebat akan berlaku. Tetapi sekarang ini awan hitam tiba-tiba berderai dan langit kembali cerah.” jawab Datuk Seri Rathinathan.
“Yakah? Kalau begitu, ia suatu petanda yang tidak baik.” maklum Zoei Bukhory yang juga mendongak ke langit. Mereka berdua masih belum mengorakkan langkah mengekori Shameer.
“Petanda tidak baik?” tanya Datuk Seri Rathinathan seraya memandang ke wajah Zoei. Emissary Mayhem mengangguk.
“Pasti ada berlaku tragedi pada hari ini.” maklum Zoei Bukhory. Kali ini senyuman tidak lagi terlakar di bibirnya seperti selalu.
Thursday, August 18, 2011
Nota Kepala 18/08/2011
Namun bidang guaman adalah suatu kerjaya yang selalu serius dan menegangkan urat dahi. Jadi aku masih memerlukan MetroPolis untuk 'memanusiakan' diriku. Aku berasa semakin matang sekarang. Semakin bagus, aku tak tahu. Tapi aku percaya aku semakin matang sekarang.
Minggu lepas aku melawat anakku Damia di KL. Aku memberitahunya aku tak selalu dapat melawatnya buat masa ini sebab keadaan ekonomiku. Firma baharu banyak menggunakan duit. Aku memberitahu Damia yang aku tak banyak duit sekarang. Aku menyangkakan anakku yang berusia 6 tahun itu tidak memahami apa yang aku perkatakan. Tetapi rupa-rupanya beliau faham. Beliau memberikanku beberapa keping duit syiling dan memberitahuku bahawa duit tersebut untuk membelikannya permainan dan makan minumnya. Aku berasa sangat sebak (malah sekarang pun aku berasa sebak). Aku berjanji dengan diriku sendiri untuk tidak mengabaikan anakku Damia sehingga ke akhir hayatku. Aku banyak kali melukakan perasaannya. Inilah harga yang anakku terpaksa bayar akibat penceraian. Aku berdoa agar kalian tidak menempuhi apa yang aku telah tempuhi.