MetroPolis Episod 2
Bab 27
Pengaruh Orang Besar
Dua hari selepas kejadian yang menimpa Catherine…
Donald baharu sahaja balik dari melawat Catherine di hospital Ibnu Sinna. Keadaan gadis tersebut amat parah dan kritikal. Enbi pula kelihatan amat tertekan dan enggan berkata apa-apa walaupun ditanyanya. Ya, Donald ingin mengetahui apakah benar anak buahnya bergelar Algojo Tiga Elemen dengan tanpa kebenarannya serta arahan menyerang mereka. Ketua kumpulan Don yang berselindung di balik jawatan pengarah di Pusat Komuniti Remaja Bermasalah terus duduk di kerusi empuk di pejabatnya. Seketika kemudian muncul Daryll di jenang pintu.
“Aku memerlukan berita baik sekarang, Daryll.” ujar Don. Malangnya Daryll menggelengkan kepala tanda tiada sebarang berita yang menggembirakan untuk ketuanya. Donald mengeluh panjang.
“Baiklah, apa dia?” tanya Donald kemudiannya setalah dilihatnya Daryll berdiri dengan sabar menunggu emosi ketuanya itu menjadi tenang.
“Algojo Tiga Elemen sememangnya bertindak tanpa arahan serta kebenaran tuan. Namun mereka sebenarnya percaya bahawa tuan yang memberikan arahan kepada mereka.” maklum Daryll. Donald memberikan reaksi yang bercampur di antara terkejut dan keliru.
“Macam mana pula tu?” tanya Donald.
“Kecuali saya, setiap algojo diberikan arahan bukan secara langsung tetapi secara emel dengan kod-kod tertentu. Adalah dipercayai bahawa ada seseorang atau kumpulan yang menggodam sistem komputer tuan untuk mendapatkan kod-kod rahsia tersebut dan seterusnya menggodam pula sistem emel Algojo Tiga Elemen. Penggodam misteri tersebut yang sebenarnya memberikan arahan untuk menyerang MetroPolis.” maklum Daryll dengan panjang lebar.
“Ini tentu kerja kumpulan Tai-Pan.” telah Donald. Daryll mengangguk.
“Mereka mungkin
“Kenapa kita tidak mengetahui nasib Bara dan Gema pula?” tanya Donald.
“Si penggodam misteri itu juga telah mengambil alih serta mengubahsuai emel dan kata kod milik kumpulan Don dan Algojo Tiga Elemen. Namun kita telah berjaya mengawal kembali sistem kita. Itu sebabnya kita mengetahui tentang arahan si penggodam tersebut. Malangnya beliau masih berjaya mengawal sistem serta emel milik Algojo Tiga Elemen. Arahan terakhir beliau ialah agar bersembunyi di tempat rahsia lain selepas menyerang MetroPolis dan menunggu arahan selanjutnya. Pakar kita sedang
“Tidak kira apapun sebabnya, kini Kumpulan Don kini telah menjadi musuh ketat nombor satu MetroPolis Enterprise. Mereka pasti akan memburu dan membunuh kita semua. Catherine adalah orang yang amat penting dalam hidup Enbi. Beliau pasti akan membalas dendam dan bertindak dengan kejam terhadap kita. Serangan oleh pihak Organisasi sebelum ini telah kembali melemahkan kekuatan kumpulan kita. Kita sememangnya berada dalam keadaan yang amat merbahaya sekarang.” taakul Donald. Beliau mengeluh panjang buat kesekian kalinya tanpa mempedulikan pandangan Daryll terhadapnya di ketika ini.
**********************************************
“Terima kasih kerana sekali lagi sudi hadir ke mesyuarat tergempar MetroPolis Enterprise. Sebelum itu aku ingin memohon maaf di atas kelakuan tidak professionalku tempohari. Aku terlalu mengikut emosi tanpa berfikir dengan wajar.” Kata-kata Enbi tersebut mengejutkan anggota-anggotanya yang hadir, lebih-lebih lagi Nazrul. Namun mereka seolah-olah sepakat untuk membiarkan Enbi sahaja yang berkata-kata buat masa ini.
Dass, aku minta maaf kerana bercakap kasar denganmu.” pinta Enbi sambil mengalihkan fokusnya ke arah Ganshamdass.
“Perkara kecil sahaja, Enbi. Saya telah lama maafkan dan lupakan.” balas Ganshamdass sambil memberikan isyarat tangan ‘okey’. Pandangan Enbi terarah pula kapada Nicol Hanany.
“Apahal? Nak cari gaduh lagikah?” tanya Nicol dengan sulaman nada bergurau. Buat seketika bilik di balai tersebut dipenuhi dengan riuh gelak tawa anggota MetroPolis.
“Aku minta maaf, Nicol. Aku telah berkata sesuatu yang amat melampau. Aku benar-benar bersalah padamu. Maafkan aku.” pohon Enbi. Nadanya lembut dan benar-benar ikhlas. Nicol bungkam. Beliau tidak menyangka lelaki yang amat ego ini akan berbuat begitu. Tiada apa lagi yang patut dibuat oleh Nicol selain tersenyum dan mengangguk-anggukkan kepala.
“Terima kasih, Nicol. Terima kasih semua. Kalian telah berani mempertikaikan keputusanku yang buruk tempohari. Kalian ini benar-benar anggota polis yang sejati dan bukannya mesin pembunuh yang tidak tahu antara yang betul dan salah. Aku telah mempertimbangkan hujah-hujah kalian dengan rasional dan berpandangan bahawa kalian semua adalah betul. Jadi aku membuat keputusan untuk tidak memohon permit senjata api untuk diriku. Akan tetapi aku mahu kalian semua kecuali Dass, Remy dan Nicol untuk memiliki lesen senjata api. Aku tidak mahu apa yang terjadi pada Cat menimpa kalian. Dengan adanya senjata api, sekurang-kurangnya kita mempunyai peluang yang lebih cerah untuk menjaga nyawa kita jika diserang oleh mana-mana kumpulan samseng yang menggunakan senjata berteknologi canggih.” Kata-kata Enbi itu sekali lagi disambut dengan perasaan bercampur-baur.
“Aku telahpun membuat permohonan secara langsung di Jabatan Perdana Menteri. Ini bermakna kita tidak perlu lagi memohon melalui Syarikat Polis Malaysia Berhad yang sial itu. Aku akan membuat pembayaran untuk melobi bagi membolehkan kita memperolehi janji-temu segera dengan Perdana Menteri.” ujar Enbi menyambung penjelasannya.
“Maksud kau, rasuah?” tanya Nicol. Enbi mengangguk.
“Aku tiada pilihan lain. SPMB sekarang menganggap kita sebagai musuh. Jadi tidak mungkin mereka akan memberikan kelulusan permohonan kita sungguhpun kita bersedia untuk melobi mereka dengan sejumlah wang yang banyak. Ini sahaja caranya.” balas Enbi. Nicol menggelengkan kepala. Begitu juga dengan Terawez.
“Jangan begitu, Enbi. Selama ini kau berjaya di dalam dunia perniagaan tanpa merasuah sesiapa. Bapaku cukup menghormatimu walaupun kau adalah musuh ketatnya. Orang-orang di Jabatan Perdana Menteri itu akan terus-menerus meminta rasuah daripadamu selepas ini. Rasuah untuk mendapat janji-temu segera, rasuah untuk bertemu empat mata dengan Perdana Menteri, rasuah untuk mendapatkan kelulusan permit senjata api dan rasuah untuk macam-macam lagi. Janganlupa, mereka ini mempunyai hubungan yang baik dengan SPMB. Itulah sebabnya SPMB mempunyai kata putus untuk kelulusan permit senjata api. Cuba kau ambil kira tentang perkara tersebut dan risiko bahawa mereka hanya mengambil wangmu dan kemudian mempermain-mainkanmu. Kau seorang usahawan dan tokoh korporat Enbi. Kau tentu telah menyedari akan risiko tersebut.” komen Nicol dengan panjang lebar. Enbi bungkam. Beliau menatap wajah setiap anak buahnya. Air muka mereka mengisyaratkan bahawa mereka juga bersetuju dengan kata-kata Nicol tadi.
“Habis itu, apa yang patut aku lakukan untuk menjaga nyawa dan keselamatan kamu semua?” tanyanya dengan lemah.
“Jangan risau, tuan Enbi. Kami semua tahulah menjaga diri kami sendiri.” balas Terawez.
“Ya! Kami yang mempunyai permit senjata api pula akan berjuang bermati-matian untuk menjaga keselamatan rakan-rakan yang tiada permit.” ujar Ganshamdass pula. Remy menganggukkan kepala.
“Abang ngah jangan bimbang tentang hal kami. Yang perlu difikirkan adalah untuk membayar gaji kami bila cukup bulan.” ujar Nazrul pula. Buat seketika hilai tawa kembali memenuhi bilik mesyuarat tersebut.
“Kami bukan budak kecil lagi Enbi. Usahlah bimbang.” pujuk Nicol dengan lembut.
“Ya, kami bukan budak kecil lagi. Malah ada yang tua bangka pula!” ujar Red Wigwam. Derai tawa kembali bergema.
*******************************************
Pada masa yang sama di Putrajaya...
“Oh! Nampaknya ada perkembangan yang menarik. Nampaknya inilah peluangku untuk menonjolkan diri dan mengenakan si Windblade! Haha!” Zoei Bukhary ketawa dengan senang hati di hadapan komputer telapaknya yang canggih. Beliau menekan-nekan papan kekunci holografik di hadapannya dengan pantas. Seketika kemudian, bibirnya mengorak senyuman gembira. Tiba-tiba alat komunikasi di kolar bajunya berbunyi.
“Assalamu’alaikum warahmatullah.” ucap Zoei.
“Wa’alaikumsalam warahmatullah tuan. Saya kini berada kubu kelima Organisasi di Emiriyah Arab Bersatu untuk membantu Tuan Drakulon seperti yang diarahkan. Pihak Masonik telah beberapa kali berjaya menembusi kubu Organisasi yang masih belum siap itu. Namun kerosakan setakat ini adalah minimum sahaja. Pihak Masonik kini telah mengerahkan tentera-tentera elit versi baru mereka untuk menyerang.” Orang kanan Zoei iaitu Eksekutif Zaquan yang menghubungi beliau untuk melaporkan perkembangan terkini tentang peperangan di kubu kelima Organisasi.
“Versi terbaru? Adakah mereka semua masih bersifat organik?” tanya Zoei.
“Ya, tuan.” balas Zaquan.
“Hm. Bagimu yang mempunyai kuasa elemen air ini tentu mampu melakukan apa yang telah kita rancangkan sebelum ini. Mintalah pertolongan daripada Drakulon. Beliau lebih pantas membuat cecair menjadi kabus daripadamu.” saran Zoei.
“Baik, tuan.” balas Zaquan.
“Laporkan hasil ujian kita nanti, ya?” pinta Zoei.
“Baik, tuan.” jawab Zaquan.
“Zaquan...”
“Ya, tuan.”
“Kau masih takutkan aku lagikah, Zaquan?” Buat seketika alat komunikasi milik Zoei tidak berbunyi.
“Ya, tuan Mayhem.” akhirnya Eksekutif Zaquan membalas.
********************************************
Keesokan harinya di Ibu Pejabat Kontijen SPMB Putrajaya...
Tan Sri Albaeen Othman, Ketua Polis Negara mengerutkan dahi. Sungguh beliau tidak menyangka akan perkara yang dibawakan oleh anak buahnya itu.
“Adakah pihak Kementerian Dalam Negeri mengetahui tentang hal ini?” tanyanya.
“Ya. Malah merekalah yang memaklumkan kepada pihak kita, Tan Sri.” jawab Datuk Seri Rathinathan yang berpangkat SAC-1. Tan Sri Albaeen bungkam seketika.
“Aku tak sangka MetroPolis mempunyai pengaruh yang begitu besar sehinggakan mereka mendapat sokongan arahan daripada Organisasi untuk mempercepatkan pertemuan dengan Perdana Menteri. Apa pula kata Datuk Seri Khamal tentang hal ini?” tanya Tan Sri Albaeen.
“Perdana Menteri juga amat terkejut seperti kita juga, Tan Sri.” maklum Datuk Sri Rathinathan.
“Nampaknya beliau juga tidak mampu berbuat apa-apa kalau begini. Arahan ini bukannya arahan sembarangan. Ia diberikan oleh Maharaja Mayhem sendiri. Walhal beliaulah orang yang pihak kita separuh mati mencari buat masa ini. Ternyata kedatangannya ke Malaysia adalah untuk bertemu dengan orang-orang di MetroPolis.” taakul Tan Sri Albaeen.
“Namun berita baiknya pula ialah kita berjaya mengenalpasti lokasi Maharaja Mayhem, Tan Sri. Beliau rupa-rupanya berada dekat dengan batang hidung kita. Mayhem sebenarnya bersembunyi di Putrajaya.” Pernyataan Datuk Seri Rathinathan benar-benar mengejutkan Tan Sri Albaeen. Beliau mengepal kedua-dua buku limanya.
“Celaka! Beliau rupa-rupanya mempermainkan kita semua!” ujarnya dengan keras.
“Rathi, segera kerahkan orang-orang kita untuk pergi menjemput Maharaja Mayhem untuk pergi ke kediaman Perdana Menteri esok. Kerahkan juga batalion elit kita untuk berkawal di tempat tersebut. Aku juga akan berada di sana esok.” arah Tan Sri Albaeen.
“Eh, bukankah besok juga adalah janji-temu pihak MetroPolis dengan Perdana Menteri juga?” tanya Datuk Seri Rathinathan. Tan Sri Albaeen mengangguk.
“Aku mahu mengetahui dengan jelas apakah pertalian di antara pihak Organisasi dengan MetroPolis!” ujarnya dengan nada penuh kebimbangan.
*****************************************
Pada masa yang sama di balai MetroPolis...
“Woi! Biar benar ini! Perdana Menteri bersetuju untuk bertemu dengan kita!” maklum Enbi dengan nada girang bercampur kehairanan. Kecuali Terawez yang sedang menjaga Catherine di hospital, kesemua yang berada di balai tersebut terlopong mendengarnya.
“Abang ngah merasuah pegawai-pegawainya ke?” tanya Nazrul.
“Kepala otak kau! Aku belum berbuat apa-apa lagi. Tahu-tahu sahaja kita dibenarkan untuk bertemu dengan Perdana Menteri esok.” ujar Enbi.
“Esok? Biar benar! Tuan berguraukah sekarang ini?” tanya Ganshamdass dengan nada tidak percaya. Enbi menayangkan hologram surat penerimaan dengan cop mohor elektronik daripada Jabatan Perdana Menteri.
“Aku pun pada mulanya tidak percaya. Jadi aku segera menelefon Jabatan Perdana Menteri. Pegawai perhubungannya mengesahkan janji-temu tersebut. Jadi ianya memang benar!” jawab Enbi dengan nada separa berteriak. Kesemua ahlinya yang berada di situ turut berasa gembira dan teruja.
“Kau pasti mempunyai pengaruh yang amat besar, Enbi. Perdana Menteri dengan bapamu sahabat baikkah?” tanya Nicol. Enbi menunjukkan isyarat tidak tahu. Namun di hati kecilnya beliau mengagak bahawa peristiwa yang berlaku sekarang ini pasti ada kena-mengena dengan pihak Organisasi yang kini membantu projeknya di Dubai dan London.
- Bersambung -
No comments:
Post a Comment