MetroPolis Episod 2
Bab 18
Tenang Sebelum Ribut Melanda (Bah 1)
3 hari selepas itu…
Remy kelihatan mundar-mandir menunggukan seseorang di hadapan apartment beliau. Beliau nampak begitu gelisah. Namun terpalit juga perasaan teruja pada air mukanya. Akhirnya orang yang ditunggu oleh Remy tiba. Beliau ialah Trini, kekasih Remy.
“Kau lewat Trini.” tegur Remy. Kali ini emosinya kelihatan tertekan dan tersinggung pula. Trini hanya tersenyum. Beliau mengeluarkan sesuatu daripada koceknya.
“Ini dia yang abang Remy pinta.” maklum Trini seraya menghulurkan barang tersebut kepada Remy. Ianya sekeping cip yang canggih yang bertujuan untuk menyimpan data-data komputer.
“Kamu pastikah program ini mampu menggodam komputer Don?” tanya Remy dengan agak ragu-ragu. Trini tertawa kecil.
“Pernahkah program ciptaan saya gagal, hm?” tanya Trini dengan senyuman manja. Beliau terus merangkul pinggang Remy. Remy mengucup dahi kekasihnya itu.
“Ini semuanya untuk rakan-rakan seperjuanganku, Trini.” ujar Remy dengan lembut.
******************************************
Sementara itu di balai MetroPolis…
“Hai Nazrul.” tegur Nicol Hanany. Suaranya lembut. Senyumannya begitu manis sekali. Nazrul yang sedang membancuh air di dapur agak terperanjat dengan kehadiran wanita jelita tersebut. Beliau hanya mampu melemparkan senyuman tawar sebagai balasan. Motif wanita tersebut amatlah diragui. Buat beberapa ketika mereka hanya berdiam diri dan melakukan hal masing-masing di dapur.
”Nazrul.” Akhirnya Nicol memecah bicara. Bunyi berdetang-detang hasil lagaan sudu dan koleh porcelain yang dibuat oleh Nazrul terhenti. Beliau mencanggung kepala untuk kembali melihat ke arah Nicol.
“Saya minta maaf. Saya tak sepatutnya menghina awak dengan cara begitu. Maafkan saya. Saya betul-betul berasa kesal. Maafkan saya, ya Nazrul?” pinta Nicol dengan lembut. Nada merayunya turut kedengaran. Nazrul terlongo. Beliau yang sedang duduk di bangku dapur hanya bungkam tanpa bereaksi. Nicol merapati Nazrul dan duduk di bangku sebelahnya. Matanya merenung tepat ke dalam mata Nazrul.
“Maafkan saya, Nazrul.” pintanya lagi. Nazrul berhenti melongo. Beliau perlahan-lahan meneguk air liurnya. Perbuatan wanita jelita tersebut membuatkannya agak canggung.
“Nazrul, saya minta maaf.” pinta Nicol. Kali ini tangan kanannya diletakkan di atas bahu kiri Nazrul pula. Perlahan-lahan pegangan tersebut menjadi semakin erat.
“Nazrul, saya minta maaf ni…” ujar Nicol. Kali ini kedua matanya mulai berkaca.
“O.. Okey! Okey! Saya maafkan awak. Saya maafkan awak. Janganlah menangis. Tolonglah jangan menangis, ya?” pinta Nazrul pula. Nicol tersenyum. Tangan kanan beliau bercerai daripada bahu kiri Nazrul dan kini digunakan untuk menyeka air matanya pula.
“Okey. Saya tak jadi menangis. Saya sudah tahu kelemahan awak, Nazrul.” ujar Nicol sambil menarik esaknya. Kemudian beliau tertawa untuk menutup esakannya itu. Nazrul juga ketawa.
“Saya harap kita boleh menjadi kawan selepas ini.” ujar Nicol pula. Nazrul tiba-tiba menghulurkan tangan kanannya untuk bersalam.
“Kita akan menjadi kawan yang baik selepas ini. Tapi eloklah kita bermula sekali lagi. Nama saya Nazrul. Apa khabar?” ujar Nazrul. Nicol ketawa. Tangan Nazrul dijabatnya.
“Nama saya Nicol. Khabar baik.” ujar Nicol pula. Tangan kedua mereka berpisah akhirnya. Namun pandangan mata mereka berdua masih belum terlerai.
*************************************************
Sementara itu di rumah Ghanshamdass…
“Ama, saya sudah balik tetapi sekejap saja. Majikan baru saya amat baik sebab beri kebenaran saya balik pada waktu tengahari sehingga pukul tiga petang. Jadi sempatlah saya membeli makanan dan memberi ama makan.” cerita Dass sambil menyuapkan makanan kepada ibunya. Ibunya yang nyanyuk itu antara dengar dengan tidak sahaja akan cerita anaknya.
“Cakap ama memang betul. MetroPolis adalah polis sebenar; bukannya majikan saya yang dahulu. Kini saya berasa sangat gembira kerana dapat berbakti kepada masyarakat tanpa mengira pangkat dan taraf kehidupan mereka. Sungguhpun gajinya jauh lebih kurang daripada yang pernah saya dapat, namun ianya masih memadai untuk kita berdua.” ujar Dass lagi. Senyuman tidak surut terlakar di bibirnya.
“Tuan Enbi juga sangat baik orangnya. Dia sanggup membiayai kos perubatan untuk merawat penyakit Alzheimer ama sungguhpun tersangat mahal. Namun dia pandai berlakon kononnya untuk memastikan saya berhutang dengannya agar saya tidak lari ke syarikat polis lain. Kelakarlah dia itu, ama.” maklum Dass lagi. Ibu Dass akhirnya tertawa. Entah sama ada beliau memahami apa yang anaknya itu telah perkatakan atau tidak.
***************************************
Sementara itu di masjid tempat kediaman Ren Fairuz…
“Ah, patah lagi…”
“Terawez, awak nak hancurkan laman masjid inikah?” seru Ren Fairuz daripada jauh. Ternyata beliau enggan mendekati Terawez yang sedang berlatih dengan teknik pedangnya. Teknik tersebut amat ganas sehingga telah menghancurkan batu-batan yang menjadi lantai halaman mashid. Malah pedang yang baharu sahaja dibeli oleh Terawez dengan duit gajinya telahpun patah berkecai.
“Maafkan saya, saudara Ren. Pedang saya gagal menahan tekanan kuasa saya lantas pecah berkecai. Serpihan-serpihannya yang memusnahkan batu-batan lantai masjid ini. Nanti saya gantikan dengan yang baru.” ujar Terawez.
“Pedang awak patah lagi. Janganlah membuang gaji dengan membeli pedang lagi. Pasti Enbi akan meleteri awak.” nasihat Ren.
“Tapi kalau saya tak mempunyai pedang yang baik, saya akan gagal mencapai tahap tertinggi dalam seni berlawan pedang saya.” balas Terawez untuk memprotes saranan Ren Fairuz. Ren terdiam seketika.
“Ah, tunggu sekejap.” pinta Ren. Beliau kemudiannya terus berlari masuk ke dalam masjid. Beberapa minit kemudian beliau muncul semula di halaman rumah dengan sesuatu yang dibungkus kemas dengan kain yang agak kasar.
“Nah.” ujar Ren seraya menghulurkan barang tersebut kepada Terawez. Sebaik sahaja Terawez menyambutnya, beliau hampir-hampir sahaja terlepaskan barang tersebut.
“Beratnya. Tapi mengapa Ren Fairuz nampak seperti membawanya dengan begitu mudah?” fikir Terawez.
“Bukalah.” pinta Ren. Terawez akur. Sebaik sahaja membuka ikatan kemas kain tersebut, kedua matanya terbeliak besar.
“Ini…” ujarnya. Di tangan Terawez kini adalah sebilah pedang yang tersisip dengan sarung yang amat cantik.
“Ya. Ini kepunyaan salah seorang rakan saya. Beliau enggan menyimpannya dan menghadiahkan kepada saya. Tapi saya tak suka. Jadi awak perlukan pedang, pinjamlah saya punya terlebih dulu.” saran Ren.
“Tapi kalau pedang ini patah juga, tentu saya akan berasa malu kepada saudara Ren.” protes Terawez.
“Tak mengapalah kalau patah pun. Namun saya yakin ianya pasti sesuai dengan latihan pedang awak.” ujar Ren seraya tersenyum. Terawez perlahan-lahan menghunuskan pedang pemberian Ren. Namun baharu separuh jalan beliau segera menyisipkannya kembali masuk ke sarung. Mukanya berkerut.
“Kenapa Terawez?” tanya Ren.
“Pedang ini… kuat benar bau darah pada pedang ini. Malah seolah-olah ia juga mempunyai nafsu membunuh yang amat hebat.” maklum Terawez.
“Oh, pedang ini kalau tak silap saya dinamakan Seru Tempur. Padan benarlah dengan namanya.” maklum Ren pula. Pandangannya tertancap ke arah Terawez yang begitu asyik meneliti pedang tersebut. Ren tersenyum.
*****************************************
Sementara itu di Balai MetroPolis di kaunter pertanyaan…
Red Wigwam begitu asyik mengemaskini laporan-laporan pengadu di komputer tatkala tiba-tiba diganggu oleh bunyi telefon selularnya. Wigwam jarang benar menggunakan telefon peribadinya itu, Tentu ianya suatu panggilan yang penting.
“Hello? Oh, apa khabar anakku?” Rupa-rupanya panggilan tersebut adalah daripada ahli keluarga Wigwam sendiri. Ketika beliau sedang asyik berbicara dengan anaknya, Nazrul dan Nicol muncul dan duduk di sebelah Wigwam. Masing-masing dengan sekoleh kopi panas di tangan.
“Begitukah? Kalau begitu, bawalah ahli keluarga kita segera keluar dari situ. Jangan terus datang ke sini. Pergi dahulu ke zon neutral seperti di Dubai. Ya, jaga dirimu baik-baik, nak. Selamat sejahtera juga untukmu.” Red Wigwam akhirnya mengakhiri perbualan dengan anaknya. Beliau kemudian memandang ke arah Nazrul dan Nicol yang masing-masing wajah mereka diselaputi dengan seribu tanda-tanya. Manakan tidak, Wigwam tadi telah berbicara dengan menggunakan bahasa peribuminya iaitu Siouan.
“Itu adalah anak saya tadi.” maklum Wigwam untuk meredakan kerut pertanyaan pada wajah kedua orang yang layak dianggap seperti anaknya juga.
“Oh, anak Chief. Dia okeykah?” tanya Nazrul. Wigwam menggelengkan kepala.
“Beberapa tahun lalu pihak Organisasi telah datang untuk membina penempatan semula di Amerika Sakit dan sekaligus membina kubu pertahanan. Kini kubu tersebut diserang dengan hebat oleh pihak Masonik. Mungkin tiga atau empat bulan lagi pihak Organisasi akan mengalami kekalahan.” maklum Wigwam.
“Ya, saya ada mendengarnya di berita.” maklum Nicol. Nazrul juga mengangguk.
“Menurut anak saya keadaan menjadi semakin parah dan berbahaya. Tentera Masonik turut membunuh rakyat Amerika Sakit kerana dituduh bersekongkol dan menyokong pihak Organisasi. Jadi saya meminta agar anak saya bersama keluarganya segera keluar melarikan diri dari Amerika Sakit.” maklum Wigwam. Nicol menggelengkan kepala.
“Kejamnya mereka...” komen Nazrul.
******************************************
Pada masa yang sama di Bank Enbi Sendirian Berhad...
Enbi mengeluh lagi. Entah berapa kali beliau berbuat demikian setiap kali selesai membuat kiraan di buku lejernya. Enbi termenung. Kata-kata Nazrul ternyata menepati jangkaan. Aset Enbi menyusut dengan banyak sekali kerana MetroPolis Enterprise. Pasti tidak lama lagi pak cik-pak cik beliau akan berjaya merampas kuasa sebagai peneraju utama di bank tersebut.
“Sial kau Nazrul sebab bermulut masin.” maki Enbi. Kemudian dia tertawa kerana beliau tahu bahawa perkara tersebut adalah tidak benar. Kiraan dan taakulan Nazrul adalah berdasarkan perkara realiti dan rasional. Namun Ren Fairuz pernah menyatakan bahawa elemen takdir dan rezeki juga memainkan peranan yang sangat penting.
“Adakah qadha dan qadar mampu mengubah nasibku yang tak dapat dielakkan ini?” fikirnya dalam hati. Enbi sekali lagi mengeluh. Namun lamunannya itu tidak lama kerana diganggu oleh setiausaha sulitnya, Jasmeen.
“Minta maaf kerana mengganggu tuan, tetapi ada dua orang tetamu penting ingin bertemu dengan tuan. Saya telahpun mengaturkan janji temu mereka dengan tuan pada hari ini.” maklum Jasmeen dengan sopan. Enbi menatap wajah manis gadis berbangsa Sikh itu dengan penuh tanda tanya. Beliau segera memeriksa diari elektroniknya. Ternyata beliau memang mempunyai janji temu pada masa ini.
”Tetamu penting? Siapakah mereka itu, Jasmeen?” tanya Enbi.
”Mereka adalah daripada Organisasi. Mereka datang bagi pihak Maharaja Windblade.” maklum Jasmeen yang membuatkan mata Enbi membulat besar.
- Bersambung –
***********************************
Notakaki :Assalamu’alaikum dan salam sejahtera.
Terlebih dahulu saya memohon maaf kerana sudah lama tidak menyambung cerita MetroPolis. Sebenarnya saya dalam proses untuk berhenti kerja dengan firma tepat saya makan gaji sekarang dan akan bekerja di firma yang baharu. Jadi saya begitu sibuk mengemaskini fail-fail di bawah seliaan saya dan dalam masa yang sama bersedia dengan kes-kes perbicaraan hampir setiap hari. Memang mood dan ilham nak menjalin cerita MetroPolis terbantut habis akibat stres.
Saya harap saudara dan saudari semua masih boleh bersabar dengan saya. Jutaan terima kasih saya ucapkan kerana masih setia mengikuti cerita saya ini. Dan terima kasih juga untuk komen, pujian serta kritikan anda semua.
Bye :)