MetroPolis Episod 2
Bab 13
Perasaan Suka Yang Tidak Sepatutnya
Dua hari kemudian
“Peperangan Triad kini telahpun merebak keseluruh negara. SPMB bagaimanapun menyatakan bahawa keadaan adalah masih terkawal dan orang ramai tidak perlu berasa bimbang serta panik.” Begitulah seperti apa yang disiarkan oleh berita-berita di seluruh rangkaian media massa di teleholo.
Bagaimanapun realitinya keadaan buat masa ini adalah sangat gawat dan mencemaskan. Pertempuran besar dan kecil berlaku di sana-sini. Sama ada sesama kumpulan samseng atau dengan anggota polis pelbagai syarikat. MetroPolis dalam hal ini juga turut tidak terkecuali. Ketika ini beberapa kumpulan sukarelawan MetroPolis telah terperangkap di dalam serangan hendap beberapa kumpulan samseng. Enbi telahpun mengerahkan anggota-anggotanya yang hanadal untuk membantu para sukarelawan tersebut.
******************************
Pada masa yang sama di Desa Chandan, Simpang Pulai. Di lorong belakang barisan rumah kedai tiga tingkat…
“Kau pasti akan berasa kesal kerana bertemu dengan kami Geng Golok Han Ching.” ujar salah seorang daripada enam belas orang samseng kumpulan tersebut. Kesemua mereka berjantina lelaki dengan riak wajah bengis serta masing-masing bersenjatakan golok dan parang panjang sedang mengepung Catherine dan Red Wigwam. Red Wigwam hanya bersenjatakan dua bilah kapak ringan manakala Catherine pula hanya menggunakan tangan kosong. Sukarelawan yang sebelum ini dikepung oleh kumpulan samseng tersebut kini telahpun berjaya meloloskan diri dan besembunyi dengan selamat.
“Serbu!” jerit salah seorang daripada anggota samseng tersebut dan kesemua mereka mula menyerbu ke arah Catherine dan Red Wigwam. Red Wigwam memilih untuk terlebih dahulu memulakan langkah menyerbu ke arah kumpulan tersebut dan menyerang. Dengan kapak ringannya beliau secara pantas dan berselang-seli menetak dan menahan serangan mereka. Tetakan-tetakan tersebut kesemuanya kepada tangan-tangan penyerang yang memegang senjata. Nyatalah beliau ingin melumpuhkan keupayaan kumpulan tersebut dengan segera dan sebanyak mungkin. Beberapa tangan dan jari mula bercerai dari anggota badan dan terbang ke sana-sini dengan sertaan percikan darah. Jerit-pekik berani kini berganti pula dengan raungan kesakitan.
Catherine juga turut menggunakan taktik yang sama. Beliau juga mara ke hadapan dan berjaya menangkap tangan salah seorang daripada penyerang yang sedang menyerbu ke arahnya. Dengan memperalatkan momentum pergerakan si penyerang tersebut, Catherine memusing-musingkan tubuh lelaki tersebut untuk menjadi perisai serta senjatanya. Beberapa penyerang lain terjatuh akibat dilibas dengan senjata manusia Catherine manakala tetakan-tetakan penyerang yang lain pula kesemuanya tersangkut di tubuh si penyerang pertama tadi. Penyerang yang malang tersebut hanya mampu menjerit kesakitan sehingga menyebabkan rakan-rakannya terlengah daripada menyerang. Kesempatan ini digunakan oleh Catherine untuk menghentikan pergerakan lelaki tersebut dan menyentaknya ke arah beliau. Tangan si penyerang dilepaskan dan serentak dengan itu Catherine menghentak dada ‘senjatanya’ tadi dengan tangan kanannya. Beliau menghela nafas seketika dan kemudian menghembusnya seraya menolak ‘senjatanya’ ke arah tiga orang penyerang lain dengan aura chinya. Si penyerang yang ditolak oleh Catherine tadi melayang deras lantas melanggari rakan-rakannya tadi. Mereka hanya terhenti dengan keras dan serta-merta tatkala bertembung dengan tembok bangunan salah sebuah rumah kedai. Kesemua penyerang tersebut memuntahkan darah lantas terkulai menyembah bumi.
“Betina sial!” jerit salah seorang penyerang yang masih belum ditewaskan dengan pekikan separa yakin. Catherine terus memutarkan tubuhnya sambil kaki kanannya menyauk sebilah golok di atas jalanraya lantas ‘menembak’ senjata tersebut ke arah si bacar mulut tadi. Golok tersebut meluncur deras dan membenam ke dalam paha lelaki tadi. Si pemaki Catherine tersebut melolong kesakitan dan rebah di atas jalanraya. Dua orang penyerang lain pula secara berdepan mengangkat tinggi golok mereka dan menyerbu ke arah Catherine. Gadis ayu yang handal itu hanya tegak berdiri sambil mendakapkan kedua tangannya yang tergenggam kemas ke dada dan menarik nafas dalam-dalam. Sebaik sahaja kedua-dua penyerang tadi tiba di jarak lingkungan menyerang, Catherine dengan pantas memutarkan tubuhnya seraya bergerak merapati mereka. Dalam keadaan membelakangi mereka, Catherine menghentak dada kedua-dua penyerangnya dengan belakang buku lima yang mana sekaligus menghentikan pergerakan mereka. Sebaik sahaja beliau menghembuskan nafas dan membuka kedua belah buku limanya, baju kedua-dua penyerang itu tadi terkoyak-rabak seolah-olah diledakkan oleh sesuatu. Mereka berdua pula jatuh berlutut dan termuntah sebelum tumbang menyembah bumi.
Catherine segera mengatur pernafasan dan aliran chinya. Kelihatan jelas debu-debu dan sampah-sarap kecil terbang mengikut alunan kedua belah tangan beliau. Saki-baki Geng Golok Han Ching mulai berasa gentar dan hilang keyakinan. Dalam masa kurang dari seminit seorang lelaki tua dan seorang gadis muda telah berjaya menumbangkan dua belas ahli kumpulan mereka. Keempat-empat lelaki yang masih ‘selamat’ berpandangan sesama sendiri.
“Lari!” Akhirnya mereka berjaya mencapai kata sepakat untuk menikus dari medan pertempuran. Rakan-rakan seperjuangan yang cedera langsung ditinggalkan begitu sahaja sebagai isyarat rapuhnya semangat setiakawan kumpulan tersebut.
******************************
Sementara itu di istana presiden Uruguay, Romina pula terpaksa menyambut wakil daripada Organisasi yang mahu bertemu dengan bapanya. Wakil tersebut adalah seorang lelaki yang sangat berani kerana hanya datang berseorangan. Wajahnya amat tenang dan sedikitpun tidak meriakkan sebarang emosi kegentaran. Berdasarkan fizikalnya yang tinggi lampai dan agak tegap sungguhpun kurus, Romina mengagak bahawa tentu lelaki ini juga adalah seorang pendekar Organisasi.
“Minta maaf kerana tuan datang sejauh begini. Malangnya Tuan Presiden tiada di istana buat masa ini. Beliau mempunyai urusan rasmi dan saya tidak tahu di manakah beliau berada sekarang.” maklum Romina dengan sopan sungguhpun berasa agak jengkel dengan wakil Organisasi tersebut. Apakan tidak, orang di hadapannya sekarang adalah dari pertubuhan yang akan mencabut nyawa bapanya tidak lama lagi.
“Ah, saya yang patut minta maaf kerana datang tanpa diundang. Sepatutnya saya memaklumkan dan membuat janji temu awal-awal lagi. Malangnya saya ini bersikap agak semberono dan pelupa. Maafkan saya. Tak mengapalah, saya akan pergi. Sampaikan salam saya kepada Tuan Presiden, ya?” pinta lelaki tersebut dengan lembut. Romina memerhatikan atas bawah atas bawah tetamu yang tidak diundang tersebut. Beliau nampak agak kepenatan mungkin kerana telah datang dari jauh. Malah mungkin juga benar bahawa lelaki di hadapannya ini agak semberono orangnya kerana tidak langsung membawa sebarang senjata ketika diperiksa di hadapan pagar istana. Negara Uruguay adalah lebih cenderung kepada hubungan diplomatik dengan pihak Masonik berbanding Organisasi. Orang Islam hidup dalam ketakutan di sini sungguhpun dijamin keselamatan mereka oleh Presiden Maximiliano. Ikrar Emissary Mayhem untuk membunuh pemimpin utama Uruguay tersebut menyebabkan umat Islam secara amnya dan Organisasi secara khususnya dibenci oleh rakyat di situ.
“Tak mengapalah tuan. Tuan berehatlah seketika dan mengisi perut terlebih dahulu sebelum berangkat pulang.” saran Romina. Wakil Organisasi tersebut bungkam dan agak terkejut. Mungkin beliau tidak menyangka akan dilayan dengan sebaik begini.
“Usahlah bimbang dengan kesucian makanan dan minuman yang akan dihidangkan kepada tuan. Kami akan menyuruh tukang masak beragama Islam untuk menyediakannya untuk tuan.” ujar Romina lagi. Wakil Organisasi tersebut membalas budi baik Romina dengan senyuman gembira.
*********************************
Pada masa yang sama di Stesyen 18, Ipoh…
“Wahaha! Woi samseng jahanam! Marilah keluar untuk melihat sama ada jaket kalis plasma kau boleh menahan senjata apiku ini!” jerit Remy sambil mengacu-acukan bazooka mininya. Misi menyelamatkan sukarelawan sebenarnya telahpun terlaksana tatkala saki-baki Kumpulan Naga Merah lari lintang-pukang apabila Remy telah berjaya memusnahkan sebuah kereta perisai dan tiga buah trak pikap mereka. Namun anggota MetroPolis yang agak gila ini belum lagi berpuas hati dan membulatkan tekad untuk menghapuskan mereka semua. Keadaan deretan bangunan pejabat yang kini telah pun dikosongkan di hadapan Remy menjadi senyap-sunyi.
“Serang!” Tiba-tiba sahaja belasan ahli Kumpulan Naga Merah muncul daripada deretan bangunan pejabat tadi. Belum sempat mereka mengacukan senapang dan pistol plasma ke arah Remy, kedengaran berdas-das bunyi letupan yang memekakkan telinga di belakangnya. Kelihatan jelas di mata Remy para penyerangnya yang terhumban ke belakang dengan percikan darah di kepala dan dada. Kesemua mereka telah dibunuh dalam sekelip mata sahaja. Remy berpaling ke belakang. Kelihatan Ghanshamdass begitu bergaya sekali dengan pistol-pistol Glock di kedua belah tangannya yang masih berasap.
“Woi Dass! Tinggalkanlah aku sikit. Janganlah nak memonopoli pula!” teriak Remy dengan nada bengang.
“Pat-pat siku lipat, siapa cepat dia dapat!” Sempat pula Dass berpantun untuk mengusik Remy. Ternyata mereka berdua menganggap medan pertempuran ini sebagai tempat bermain sahaja.
“Jahanam…” maki Remy. Beliau segera menyeluk ke dalam sebuah beg sandang kecil yang terikat di pinggang. Remy mengeluarkan dua butir bola ganjil bersaiz bola ping pong. Tangan kiri dan kanannya memegang setiap satu bola tersebut.
“Dua tiga kucing berlari; giliran aku pula sekarang ni!” teriak Remy seraya melontarkan bola-bola tersebut di bahagian kiri dan kanan ke arah deretan bangunan pejabat tersebut. Seketika kemudian beberapa letupan yang amat dahsyat berlaku di sana sini. Senjata yang digunakan oleh Remy adalah tidak lain tidak bukan Disco Boomba yang pernah digunakan olehnya ketika menentang Algojo Tiga Elemen tidak lama dahulu. Namun ianya telah dinaiktarafkan oleh si genius gila tersebut untuk menjadi bom bersaiz lebih kecil dengan siri letupan yang lebih lama dan lebih hebat. Setelah hampir dua puluh letupan berlaku, akhirnya keadaan kembali menjadi tenteram. Kebanyakan bangunan pejabat tersebut mengalami kemusnahan teruk. Mana-mana ahli Kumpulan Naga Merah yang bersembunyi sama ada telah terbunuh atau cedera parah kerana terkena serpihan kaca dan besi yang melayang ke serata arah.
“Woi! Itu mengelat namanya!” teriak Dass pula. Remy ketawa terbahak-bahak kerana berasakan dirinya telah memenangi ‘permainan’ tersebut.
“Kau ini memang gilalah. Tentu Enbi mengamuk kerana terpaksa membayar gantirugi di atas kerosakan yang berlaku.” omel Dass.
“Jangan bimbanglah! Aku sudahpun menggodam dan merosakkan kesemua kamera video di tempat pertempuran kita. Jadi kita boleh memusnahkan apa sahaja dengan sewenang-wenangnya.” maklum Remy. Ghanshamdass menggelengkan kepala.
“Kau ini memang benar-benar gila!” omelnya lagi. Namun Ghanshamdass berasa amat seronok sekali kerana dapat benar-benar menggunakan kemahiran serta kepakarannya berbanding dengan masa beliau di SPMB dahulu.
*************************************
Beberapa jam kemudian di perkarangan istana presiden, Las Piedras, Uruguay…
Romina kelihatan mengiringi wakil Organisasi tersebut ke pagar istana. Jaraknya agak jauhlah juga iaitu kira-kira dalam tiga ratus meter. Namun entah mengapa Romina begitu berat sekali hendak melepaskan tetamunya pergi. Wakil Organisasi tersebut ternyata seorang yang sangat bijak dan luas pengetahuannya. Tutur katanya cukup sopan dan merendah diri seperti riak air mukanya yang lembut dan tenang itu. Malah beliau juga cukup pandai berjenaka. Ternyata gambaran tentang orang-orang daripada Organisasi di fikiran Romina adalah meleset sama sekali. Beliau selalu menyangkakan bahawa mereka angkuh dan cakap tak serupa bikin sama seperti wakil Masonik. Sepanjang perjalanan mereka masih berbual rancak dan mesra. Namun keseronokan tersebut berakhir tatkala tiba di pintu pagar istana. Wakil Organisasi tersebut kembali mengutip barang-barang kepunyaannya yang disimpan buat sementara waktu di pondok pengawal istana.
“Terima kasih kerana melayani saya dengan begitu baik sekali. Saya sangat gembira dapat berjumpa dengan anak Presiden Maximiliano yang budi bahasanya adalah secantik parasnya. Kirimkan salam saya kepada bapa awak, cik Romina.” ujar wakil Organisasi tersebut. Romina tersenyum melirik menahan malu. Mungkin lelaki di hadapannya ini mempunyai perasaan yang sama dengannya di ketika ini. Romina membuat selayang pandang ke arah wajah lelaki yang mengocakkan kamar hatinya itu. Ingin ditatapnya sepuas mungkin kerana tisdak mustahil inilah kali pertama dan terakhir mereka bertemu. Namun beliau berasa begitu malu.
“Saya juga gembira dapat berkenalan dengan tuan Ahmad. Dan kiranya tidak keberatan, saya juga berharap agar tuan dapat memujuk Organisasi atau Maharaja Mayhem untuk mengubah fikiran. Bapa saya adalah seorang yang baik dan disayangi oleh rakyat. Kami masih memerlukan beliau sebagai pemimpin kami. Saya masih memerlukannya sebagai bapa saya.” rayu Romina dengan lembut. Air matanya mulai bergenang. Wakil Oragnisasi tersebut mendiamkan diri seketika untuk mencari kata-kata yang sesuai.
“Maafkan saya, cik Romina. Saya tidak mahu berjanji kalau saya tidak terdaya untuk melaksanakannya. Tapi InsyaAllah segala-galanya akan berakhir dengan baik, tidak kira sama ada kita suka atau tidak. Itu sahaja yang saya dapat perkatakan.” tutur wakil Organisasi tersebut. Romina mengangguk. Beliau faham bahawa lelaki di hadapannya ini tidak mahu berbohong kepadanya. Tiba-tiba kedua matanya terpejam kerana terkena sesuatu. Apabila Romina membuka mata, jelas pada pandangannya bahawa hujan sudah mula turun menitik-nitik. Semenjak pagi tadi cuaca kelihatan mendung sahaja.
“Tak lama lagi hujan akan menjadi bertambah renyai. Pinjamlah payung saya ini dahulu. Nanti adalah alasan saya untuk datang kemari lagi.” ujar wakil Organisasi tersebut seraya membuka payungnya. Ianya adalah payung berwarna hitam dengan lambang seekor naga berwarna perak. Ternyata lelaki di hadapan Romina ini adalah Emissary Mayhem yang amat ditakuti oleh bapanya.
“Terima kasih.” balas Romina seraya menerima pemberian tersebut. Payung tersebut amat ringan sekali sungguhpun agak besar saiznya. Kata-kata Mayhem ternyata adalah tepat. Titisan hujan mulai menjadi kerap dan bertambah banyak. Romina menyeluk sesuatu dalam koceknya.
“Ini saputangan untuk mengelap muka tuan Ahmad bila dapat berteduh. Nanti adalah alasan untuk saya datang ke tempat tuan pula.” ujar Romina seraya mengunjukkan sehelai saputangan kecil kepada Mayhem. Mayhem tertawa.
“Terima kasih. Kalau betul cik Romina ke sana, beritahu mereka yang cik adalah kawan kepada Ahmad Bukhory. Itu adalah nama betul saya. Di sana mereka mengenali saya sebagai Zoei Bukhory. Kalau cik Romina menyebut nama betul saya, mereka pasti akan memberikan layanan yang baik kepada cik.” maklum Mayhem. Romina menganggukkan kepala sambil tersenyum. Tiba-tiba guruh berdentum dengan begitu kuat dilangit. Romina spontan memejamkan mata dan memekupkan kedua belah tangan ke telinga. Payung tadi langsung terlepas daripada tangannya. Sebaik sahaja membuka mata, tetamunya itu tadi sudahpun lesap daripada pandangan Romina.
“Tuan Ahmad…” seru Romina dengan perlahan. Pandangannya meliar dan tercangak-cangak mencari Mayhem. Begitu juga dengan para pengawalnya yang mulai keluar untuk mencari di serata tempat.
- Bersambung -