Bercham; 14 kilometer dari balai MetroPolis Enterprise…
“Bos Disco! Di mana patut kita patut letakkan peti-peti ini?”
Seorang lelaki yang begitu kelakar fesyen pakaiannya segera mengalihkan perhatian terhadap empunya suara yang bertanya tadi. Gaya rambut afronya yang begitu besar juga membuatkan penampilannya begitu pelik dan jelik sekali. Pun begitu nampaknya belasan lelaki yang berwajah bengis dan tegap-tegap belaka ternyata begitu menghormatinya.
“Simpan segera di dalam stor bawah tanah. A-go-go! Jangan tunggu lagi. Juruaudit Don akan datang pada bila-bila masa saja.” arahnya dengan tonasi yang agak pelik dan mengada-ngada.
“Bos Disco. Saya agak risau kalau-kalau tuan Don dapat menghidu kegiatan kita ini nanti.” maklum salah seorang konco ‘bos Disco’ dengan nada khuatir. Lelaki berpakaian lucu tersebut melontarkan pandangannya ke arah peti-peti besi yang mampu memuatkan seorang lelaki dewasa itu. Beliau tersenyum.
“Don sudah kehilangan taringnya sekarang. Kumpulan terbesar yang menguasai Malaysia pada masa kini adalah kumpulan Tai-Pan. Peti-peti itu adalah ufti kita untuk menyertai kumpulan Tai-Pan. Kita mesti pandai merebut peluang, Yaman. Untuk terus hidup, kita mesti menyertai kumpulan terkuat. Aku sebagai ketua kamu akan pastikan kita semua akan terus hidup dan menjadi kaya-raya. Boleh?” Pertanyaan ‘bos Disco’ tadi disambut dengan teriakan dan sorakan bersemangat anak-nak buahnya.
“Disco Inferno! Disco Inferno! Disco Inferno!” Bersemangat sekali sorakan mereka. Namun lelaki yang kini kita kenali sebagai Disco Inferno ini begitu asyik sekali menatap risalah MetroPolis Enterprise yang disebarkan oleh Enbi dan Catherine baharu-baharu ini.
Disco Inferno kemudiannya mengorak senyuman. Nampaknya ada sesuatu yang dirancang di dalam mindanya tanpa ingin dikongsi bersama anak-anak buahnya.
Beberapa minit selepas itu :
“Awak sudah gilakah menyerang seorang imam muda yang baik hati?”
Nazrul hanya mendiamkan diri sambil mengusap-usap dahinya yang membenjol akibat tertumus ke lantai semasa menyerang Ren Fairuz tadi. Imam muda itu pula tidak berkesudahan leterannya.
Enbi pula memandang ke arah Catherine dengan riak pertanyaan : “Betulkah dia ini sangat handal dan menakutkan?”. Sahabat baiknya itu mengangkat kedua-dua bahunya tanda tidak tahu. Namun jelas kini pada tanggapannya bahawa Ren Fairuz langsung tidak memiliki sebarang kebolehan yang luar biasa; kecuali berleter tidak henti-henti.
“Ustaz Ren ini adalah guru Quran saya dan rakan-rakan saya.” perjelas Suraya.
“Oh! Rupa-rupanya beliau berpura-pura mengajar al-Quran untuk mengetahui lokasi pakaian dalam cik Suraya dan rakan-rakannya. Kemudian barulah membuat perancangan rapi untuk mencurinya. Keji…” Belum sempat Nazrul menyambung taakulannya lagi, kepalanya telahpun diketuk dengan senaskhah majalah oleh Enbi.
“Sudahlah tu. Kau ni paranoid betul! Takkanlah Uztaz Fairuz menjadi pencuri seluar dalam pula?” Pertanyaan Enbi lebih berbentuk kepada suatu tempelak terhadap taakulan adiknya.
“Yalah; saya ini seorang imam muda bujang yang baik lagi berdedikasi, tahu? Tidak pernah walau sekalipun saya memasuki rumah mereka. Mereka yang datang ke masjid untuk belajar mengaji. Oh ya! Kamu berdua pun datanglah belajar mengaji, ya? Percuma, tahu?” Sempat pula Ren Fairuz menyindir mereka berdua.
“Kalau ustaz ini baik sangat, mengapa mengambil air kotak kami tanpa izin?” tempelak Enbi pula. Ren Fairuz merenung air kotak di tangannya. Kemudian memandang Enbi dengan sambil tersengih-sengih.
“Alah, janganlah begitu kejam. Meraikan seorang imam muda yang baik hati dengan minuman adalah suatu kebajikan dan mendapat pahala, tahu?” Begitu pandai sekali Ren Fairuz membuat penghujahannya. Enbi memandang ke arah Catherine. Sahabat baiknya memandang kembali dengan riak pernyataan : “Saya rasa bukan aura membunuh dia.”. Enbi memandang kembali Ren Fairuz dan kemudian beralih pula ke arah Catherine sambil menganggukan kepalanya dengan riak pernyataan : “Aku setuju.Ustaz badut ini mustahil seorang yang hebat”.
Ren Fairuz pula memandang ke arah mereka berdua dengan riak taakulan : “Mereka berdua tentu merancang untuk memaksa aku membayar bagi air kotak ini”.
Pada masa yang sama…
Seorang anggota polis dari Syarikat Polis Malaysia Berhad kelihatan masuk ke balai polis SPMB cawangan Medan Gopeng, Ipoh dengan wajah yang tidak bermaya.
“Tuan Gun! Kenapa muka kurang bermaya hari ini?” tegur salah seorang Sarjan dengan ramah. Lelaki bernama Ganshamdass atau dipanggil sebagai ‘Gun’ tadi tersenyum tawar.
“Bosan betul aku asyik membuat kerja-kerja yang tak berfaedah. Kucing hilanglah… jiran bergaduhlah…” sungutnya seraya melepaskan keluhan berat.
“Janganlah begitu, tuan. Mereka semua mampu membayar fee yang mahal kepada kita. Biasalah perangai orang-orang kaya ini. Masalah kecil pun nak panggil polis. Tapi kita juga yang mendapat faedahnya!” ujar si Sarjan tadi dengan gaya memujuk.
“Aku mahu mengejar penjahat. Menembak penjahat. Barulah seronok!” maklum Gun meluahkan perasaannya. Sarjan dan beberapa anggota polis di situ tertawa. Gun turut tertawa. Namun tawanya tidak begitu panjang tatkala matanya ternampak risalah MetroPolis yang terpampang di papan kenyataan balai.
“MetroPolis?” ujarnya sambil meneliti isi kandung risalah tersebut.
“Ah, janganlah tuan Gun pedulikan risalah itu! Kami sengaja tampalkan di situ untuk dijadikan bahan ketawa.” Maklum Sarjan tadi seraya tertawa. Namun Gun kali ini tidak lagi tertawa. Sebaliknya perhatiannya tertumpu seratus-peratus kepada rislaha tersebut.
Sementara itu anggota MetroPolis telahpun tiba ke kawasan rumah Suraya. Ren Fairuz turut sama mengekori mereka. Suraya sibuk bercerita kepada Catherine tentang kepandaian pencuri tersebut membuka kunci pintu rumahnya tanpa sebarang kekerasan. Enbi pula memandang ke arah adiknya. Nazrul begitu sibuk bertanyakan soalan kepada rakan-rakan Suraya yang tidak kurang cantiknya. Tentu beliau akan cuba mendapatkan nombor telefon digital mereka dengan alasan untuk siasatan lanjut. Ren Fairuz pula sekejap-sekejap melebarkan kipas tangannya untuk menyejukkan muka beliau yang mula ditumbuhi oleh keringat. Cuaca pada petang ini agak panas sungguhpun telah mencecah pukul enam.
“Kenapa Enbi menggunakan nama ‘MetroPolis’. Ejaan dalam Bahasa Malaysia tetapi sebutan seperti bahasa Inggeris. Tidak eloklah sebuah syarikat Melayu menggunakan nama sebegitu rupa. Kita kan patut mendaulatkan bahasa kita?” Tanya Ren Fairuz yang nampaknya sudah mulai berleter.
“Saya sebenarnya ingin mendaftarkan syarikat saya sebagai ‘Polis Metro’. Rupa-rupanya nama tersebut telahpun digunakan oleh sebuah syarikat polis di Kuantan. Jadi terpaksalah menggunakan nama MetroPolis kerana ianya senang diingat dan disebut.” jawab Enbi dengan agak panjang lebar.
“MetroPolis… bunyinya macam sebuah bandaraya ciptaan DC Comics.” komen Ren Fairuz.
“Ya; untuk komik Superman.” balas Enbi kembali.
“Oh! Koleksi komik itu sangat mahal!” komen Ren Fairuz. Enbi memandang wajah imam muda tadi dengan agak teruja. Nampaknya imam muda tersebut tidaklah sepandir yang disangka. Malah mempunyai minat yang sama dengannya.
“Ya! Walaupun tidak lagi diterbitkan, ia telah menjadi suatu barang antik yang sangat berharga.” maklum Enbi.
“Betul. Ada yang mencapai ratusan ribu ringgit.” ujar Ren Fairuz pula.
“Wah! Ustaz ni hebatlah!” puji Enbi seraya ketawa.
“Taklah sangat. Tapi boleh dikatakan begitulah!” Sebaik sahaja Ren Fairuz habis mengungkapkan kata-kata tadi, kedua-dua mereka ketawa terbahak-bahak. Suraya dan Catherine spontan berpaling ke arah mereka. Nazrul dan rakan-rakan Suraya juga berbuat perkara yang sama.
“Apa yang mereka ketawakan itu?” tanya Suraya dengan nada curiga.
“Biasalah orang lelaki. Tentulah hal-hal lucah tentang kes kecurian pakaian dalam ini!” ujar Catherine memberikan taakulannya. Nazrul pula kembali menyambung soalannya. Kali ini meminta nombor telefon digital rakan-rakan Suraya atas alasan sekiranya beliau mempunyai sebarang pertanyaan lanjut kelak.
Lebih kurang 40 minit kemudian :
“Kan abang Ngah mempunyai sebuah kereta? Kenapa kena berjalan kaki pula. Jauhlah!” sambat Nazrul. Catherine tidak berkata apa-apa. Baginya petang ini amat menyeronokkan sekali kerana dapat menghabiskan banyak masanya bersama Enbi. Ren Fairuz pula masih mengekori mereka. Beliau nampaknya begitu berminat sekali untuk mengikuti perkembangan siasatan anggota MetroPolis ini.
“Aku akan mendapat lebih maklumat tentang persekitaran kawasan jenayah bila berjalan kaki. Kereta bergerak pantas. Jadi mungkin kita akan terlepas pandang perkara-perkara kecil yang sebenarnya sangat penting.” balas Enbi. Ren Fairuz berasa agak teruja dengan kebijaksanaan Enbi.
“Mengapa pula Enbi berkata begitu?” soalnya.
“Penjenayah ini sama dengan seorang ahli perniagaan. Mereka hanya akan melakukan jenayah yang mereka mahir dan di kawasan yang mereka cukup berpengetahuan tentangnya. Samalah seperti seorang peniaga yang hanya akan menceburi perniagaan yang beliau ketahui atau mahir serta menjalankan perniagaan di kawasan yang beliau ketahui dan fahami akan pasarannya.” jawab Enbi.
“Awak memang hebat Enbi!” puji Catherine dengan bangga. Kedua belah pipinya menjadi sedikit kemerahan tatkala memandang wajah Enbi yang serius. Baginya sikap ketika Enbi serius dan menonjolkan kebijaksanaannya adalah amat seksi sekali.
“Masuk akal juga.” ujar Ren Fairuz. bibirnya mengorak senyuman tanda memuji kebijaksanaan Enbi. Nazrul pula mencebik tanda iri hati. Tiba-tiba langkah Enbi terhenti.
“Kamu semua…” panggil Enbi. Rakan-rakannya juga turut mematikan langkah.
“Tengok sini.” ujarnya lagi. Di hadapan Enbi tersergam sebuah bangunan yang rapat berkunci kerana telah selesai waktu beroperasi. Papan tanda banguna tersebut terpampang jelas : Pusat Komuniti Khidmat Masyarakat : Jabatan Remaja Bermasalah.
“Kan aku sudah kata berjalan kaki adalah lebih baik?” tanya Enbi seraya tersenyum bangga. Ren Fairuz menganggukkan kepala tanda faham. Catherine tersenyum bangga. Nazrul pula masih menggaru-garu kepala.
Nampaknya mereka telah menemui petunjuk pertama.
Selepas beberapa puluh minit kemudian...
Ren Fairuz telahpun tiba ke masjid. Ada lebih kurang 20 minit lagi sebelum masuk waktu solat Maghrib. Namun masjid tersebut masih hening. Imam muda tersebut bersegera membasuh mukanya dan kemudian berwuduk.
“Aah, segarnya!” ujar Ren Fairuz kepada dirinya sendiri. Tubuhnya mengeliat-liat dengan perlahan untuk meregangkan otot-ototnya.
“Takkan kau mahu duduk di situ sepanjang malam? Marilah turun bersolat sekali!” tegur Ren Fairuz seraya tersenyum. Agak menghairankan apabila beliau berbicara sedemikian rupa sedangkan tiada sesiapa di masjid tersebut kecuali beliau seorang.
“Minta maaf, saya perlu balik segera. Agak lama saya menunggu tuan di sini. Tuan ke mana?” Tiba-tiba suatu suara menjawab dari bumbung masjid tersebut. Rupa-rupanya ada seorang pemuda yang kelihatan amat segak berpakaian serba-serbi hijau tua bertinggung di atas masjid tersebut. Dari gayanya yang bertenggek di atas bumbung masjid, ternyata pemuda tersebut bukan sembarangan orang.
“Aku bersiar-siar mengambil angin tadi sambil meluaskan pandangan.” jawab Ren Fairuz dengan lembut. Sikap pandirnya telah hilang sama sekali.
“Kami agak bimbang kerana tuan telah lama tidak menghantar khabar berita.” balas pemuda tersebut. Ren Fairuz ketawa kecil.
“Beritahu mereka agar jangan bimbang. Aku tidak apa-apa. Malah aku baru sahaja bertemu dengan seorang yang hebat.” maklum Ren Fairuz.
“Sehebat tuan?” tanya pemuda tersebut dengan nada ingin tahu.
“Lebih hebat lagi. Tetapi dari segi pendirianlah!” balas Ren Fairuz seraya ketawa kecil sungguhpun ianya tidak melucukan.
“Pendirian?” tanya pemuda tersebut.
“Ya, beliau menubuhkan syarikat polisnya demi untuk memberikan perkhidmatan percuma kepada orang ramai. Tidak seperti kita, beliau sanggup berseorangan menentang arus kelaziman yang telah ditetapkan. Memang menarik.” komen Ren Fairuz.
“Pun begitu prinsip perjuangannya sama seperti kita. Cuma bezanya, tuan diberi kuasa untuk bertindak sebagai hakim, penguatkuasa dan penghukum.” Pemuda yang berbicara dengan imam muda tersebut memberikan pula pandangannya.
“Dengan keupayaannya yang terhad, beliau masih mahu membela orang-orang di sekelilingnya. Memang seorang yang hebat, bukan?” komen Ren Fairuz seraya tersenyum.
“Jarang saya mendengar tuan memuji seseorang.” komen pemuda itu pula. Ren Fairuz menganggukkan kepala.
“Namun orang yang bernama Enbi ini memang istimewa!” komen ustaz muda itu lagi.
- Bersambung -
2 comments:
istimewa pula imam nie...
hmmm..nie yang makin tak sabar nak tunggu sambungan..heeheee...
uiks...menarik..ada penambahan jalan cerita...x macam yg mula2 dulu...caiyok lah.....
Post a Comment