Malaysia; 100 tahun akan datang…
Vaskoff begitu ralik membelek-belek sekeping kad yang ditempatkan di dalam bekas plastik khas. Wajahnya tampak berseri-seri dek berasa sangat teruja. Sudah begitu lama beliau mencari kad tersebut. Melalui maklumat supernet (generasi baharu bagi internet) yang diperolehinya, Vaskoff telah berjaya mengesani sebuah kedai koleksi kad-kad eksotik yang menjual kad buruannya. Ianya terletak di Malaysia. Di Perak Darul Ridzuan. Atau lebih tepatnya di Ipoh, Perak Darul Ridzuan, Malaysia Barat.
“Tuan menangis? Tuan tak apa-apa?”
Vaskoff mengalihkan pandangannya ke arah suara tersebut. Ianya milik seorang lelaki dalam lingkungan umur 30-an. Kulit sawo matangnya adalah jenis yang cerah. Tubuhnya agak kurus dan tinggi lampai. Wajahnya sedap-sedap mata memandang namun penampilannya yang tampak mewah dan bergaya menyebabkan mana-mana gadis pun sanggup meluangkan masa untuk menoleh buat kali kedua. Lelaki tersebut yang lebih mesra dipanggil Enbi, adalah pemilik kedai koleksi kad-kad eksotik tersebut.
“Saya sanggup terbang beribu-ribu batu daripada Russia semata-mata untuk kad ini. Kad watak ‘Dark Magician’ edisi pertama versi Amerika Syarikat adalah kad terakhir yang akan melengkapkan koleksi kad dagangan Yu-Gi-Oh! ‘Legend of Blue Eyes White Dragon’ saya. Tentulah saya menangis kegembiraan,” balas Vaskoff sambil menyeka air matanya.
“Memang benar. Kesemua nilai kad-kad koleksi versi Amerika Syarikat telah melambung naik hingga ke tahap 400 peratus semenjak negara tersebut dimusnahkan 60 tahun yang lalu. Malah kad ‘Dark Magician’ pada pertama kali dikeluarkan pun telah menjadi mahal dan sukar didapati. Perkara tersebut berlaku pada 112 tahun yang lalu,” ujar Enbi sambil tersenyum penuh bermakna.
“Saya faham. Harga kad ini tentunya mahal dan tiada kompromi untuk sebarang diskaun. Baiklah; berapakah harga yang tuan kenakan? Jangan kata tuan enggan menjualnya untuk memaksa saya menawarkan harga yang tinggi. Berterus terang sahaja. Berapa pun saya sanggup membayarnya,” ujar Vaskoff dengan tenang dan berkeyakinan.
“Senang hati saya kalau tuan berkata begitu. Okey; saya hanya akan menjualnya pada harga RM700,000.00 sahaja. Tiada kompromi,” balas Enbi dengan nada yang masih sempat bergurau.
“Saya sanggup membelinya dengan harga tersebut,” Vaskoff terus mengeluarkan kad banknya dan menyerahkannya kepada Enbi. Enbi segera memasukkan kad tersebut ke dalam mesin pengimbas dan mula menekan kekunci papan komputernya. Nilai bayaran tersebut siap sedia untuk dipindahkan daripada akaun Vaskoff di Russian VIP Bank ke akaun Enbi di Bank Enbi Sdn. Bhd.
“Oh, tuan pun memiliki sebuah bank perdagangan rupanya,” puji Vaskoff.
“Bank kecil sahaja. Saya dan beberapa orang kawan tidak percayakan bank-bank perdagangan lain yang kerap kehilangan wang pelanggan. Jadi kami menubuhkan bank yang eksklusif untuk menyimpan wang kami. Barulah kami dapat tidur lena. Maklumlah, dunia sekarang ini perompak berkolar putih lebih dahsyat daripada perompak jalanan,” perjelas Enbi seraya ketawa.
“Memang betul. Russian VIP Bank juga diperbadankan atas tujuan yang sama,” sokong Vaskoff seraya turut sama ketawa.
“Oh ya! Minta maaf, tuan. Saya perlu mengimbas cap jari tangan kanan dan kedua-dua belah retina mata tuan bagi tujuan pengesahan,” pinta Enbi dengan sopan.
“Tiada masalah. Tapi saya tak sangka bank sekecil macam itu pun mempunyai protokol yang setaraf seperti bank-bank korporat yang besar,” puji Vaskoff. Setelah selesai melakukan prosedur tersebut, Enbi bersegera meletakkan kad ‘Dark Magician’ tersebut ke dalam sebuah kotak logam anti-karat yang berukir cantik. Kotak tersebut kemudiannya diserahkan ke tangan Vaskoff sebagai isyarat urusan perniagaan mereka telahpun sempurna terlaksana.
“Terima kasih, tuan Vaskoff. Sila datang lagi!” Selesai sahaja Enbi mengungkapkan kata-kata tersebut, Vaskoff terus melangkah pergi ke arah pintu kedai; diiringi oleh empat orang pengawal peribadinya yang lengkap bersenjata. Enbi tersenyum memerhatikan mereka. Jutawan berumur 70 tahun tersebut memang seorang penggila kad-kad eksotik. Nama dan hobinya sering disebut-sebut di dalam majalah dan supernet. Tidak tersangka oleh Enbi bahawa Vaskoff akan menjengah ke kedai kecilnya pada hari ini.
“Kruuuuuutt…”
“Wah! Perut aku dah berbunyi! Rupa-rupanya dah pukul 2.46 petang.” ujar Enbi di dalam hati sambil menggosok-gosok perutnya.
“Kalau selalu terlambat makan macam ini, tentu aku akan kena gastrik. Pasti terpaksa dirawat di hospital. Bilnya pasti tinggi.” rungut hati Enbi lagi sambil berjalan melangkah keluar ke pintu kedai.
Sebaik sahaja melangkah keluar, Enbi disambut oleh bunyi hiruk-pikuk kota metropolitan, seratus tahun akan datang. Kebanyakan bangunannya berbentuk kapal layar dan berwarna hitam. Setiap bangunan diselaputi oleh plet-plet karbon untuk menerima cahaya suria dan menukarkannya kepada tenaga elektrik. Dipuncak setiap bangunan pula dipacakkan sebuah mesin penyah graviti. Kegunaannya adalah untuk mengapungkan ribuan satelit yang mengorbit cuma beberapa ratus kaki dari bumi. Satelit-satelit ini berfungsi sebagai pusat telekomunikasi dan pancaran digital pelbagai bentuk selain tempat untuk memancarkan iklan-iklan hologram.
Kenderaan canggih pelbagai jenama pula berpasuk-pasuk menyusuri setiap jalanraya di bandaraya Ipoh ini. Ianya terapung beberapa sentimeter dari bumi dengan menggunakan teknologi penyah graviti yang sama seperti mesin-mesin pengapung satelit tadi. Bagaimanapun kesemua kenderaan ini adalah separuh kawalan manusia manakala separuh lagi oleh komputer. Jadi apabila Enbi melintasi jalanraya secara automatik kenderaan-kenderaan tersebut berhenti tidak kira berapa kelajuannya. Dengan teknologi pelenyap kuasa momentum dan inertia, para pemandu dan penumpang tidak akan terhumban atau tersembam apabila kenderaan mereka berhenti atau terlanggar sesuatu secara tiba-tiba.
Enbi menghayunkan langkah ke sebuah restoran yang terletak di seberang kedainya. Restoran tersebut dimiliki oleh kawan karibnya, Catherine Zhang. Sungguhpun Catherine berbangsa Cina, restorannya telah mendapat pengiktirafan ‘Halal dan Suci’ oleh PAIM (Perbadanan Agama Islam Malaysia). Lagipun di situ, Enbi boleh mendapat diskaun yang besar ke atas makanannya. Kalau bertuah, beliau mungkin akan dapat makan percuma setiap kali Catherine membuat resepi baharu atau anginnya tengah baik.
Sebaik sahaja melangkah masuk, seorang gadis manis berbangsa Cina menyambutnya dengan senyuman mesra. Wajahnya putih kekuningan kelihatan bersih dan berseri-seri tanpa sebarang bedak asas atau solekan yang tebal. Sepasang mata menawannya pula tidak seperti kebanyakan orang Cina. Ianya bulat dan galak bersama alis yang melentik. Hidungnya juga agak mancung. Bibirnya nipis dan berkilat semakin sedap dipandang kerana asyik disulamkan dengan senyuman. Gadis tersebut tidak lain tidak bukan adalah Catherine Zhang, pemilik Restoran Bubur Hainan yang tersohor di Perak. Beberapa pelanggan lelaki berhenti menyantap seketika untuk menyantap pula keayuan wajah gadis tersebut.
“Hai Cat! Waah… manisnya kau hari ini berbaju kurung. Nak pergi beraya ke mana?” sakat Enbi. Catherine tertawa manja. Semakin manis paras rupanya hingga membuatkan seorang pak cik yang sedang menikmati bubur nasi hampir tercekik sudu.
“Hai Enbi! Kenapa lambat?” tanya Catherine kembali yang nampaknya enggan membalas usikan Enbi tadi.
“Kruuuuttt…” Catherine memekup mulut dengan tangannya tatkala mendengarkan bunyi perut Enbi yang begitu kuat sekali. Enbi pula menjadi segan-silu dan terus sahaja menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
“Minta maaf… Perut saya yang berbunyi tadi. Bukannya saya terkentut,” maklum Enbi kepada para pelanggan yang menjeling ke arahnya.
“Mak, abang tu tipu. Dia terkentut tapi bagitau konon perutnya yang berbunyi,” kedengaran suara halus di belakang Enbi. Ia milik seorang budak kecil. Enbi menjeling tajam ke arah budak tersebut.
“Hei, hei! Jangan kacau pelanggan saya,” tegur Catherine seraya menarik kolar baju Enbi dari belakang. Pun begitu, Enbi sempat memberikan renungan ancamannya sekali lagi ke arah budak kecil tersebut sehingga beliau hampir menangis.
“Enbi; hari ini saya berjaya membuat resepi nasi bubur yang baru. Enbi nak cuba?” saran Catherine.
“Cat; nasi bubur di restoran ini adalah yang paling lazat di Malaysia. Tak putus-putus pengunjung datang ke mari, bagaikan ketagih candu. Buat apa nak buat resepi baru lagi?” tingkah Enbi. Namun pernyataannya itu adalah ikhlas.
“Ala… cubalah, ya? Tak perlu bayar untuk nasi bubur baru ni. Bolehlah, ya?” pujuk Catherine.
“Yalah; yalah… Asalkan percuma” jawab Enbi. Catherine segera berlari anak memasuki dapur. Kedengaran jelas beliau menyanyi dengan perasaan gembira. Beberapa minit kemudian, bubur nasi tersebut siap dihidangkan oleh Catherine untuk Enbi.
“Untuk Enbi. Percuma hari ini.” ujar Catherine seraya tertawa kecil. Ternyata beliau sedang menyakat Enbi. Enbi yang juga sedang bergurau sengaja membuat muka bengis terhadap gadis ayu tersebut hingga beliau tertawa.
“Wah… wanginya…” puji Enbi tatkala menghirup aroma bubur tersebut dengan deria baunya.
“Cubalah rasa. Enbi adalah orang yang pertama mendapat penghormatan merasainya, tau?” ujar Catherine. Enbi mula menjamah bubur nasi tersebut. Catherine pula hanya merenung sahsiah Enbi yang sedang lahap tersebut dengan senyuman berbunga-bunga.
‘Aku namakan bubur nasi ini : Kemanisan Cinta. Selepas Enbi menjamahnya, pasti beliau semakin terpaut hati kepadaku,’ bisik isi hati Catherine.
Angan-angan Catherine :
“Catherine sayang, setelah aku menjamah bubur nasimu ini barulah aku tersedar yang selama ini aku telah terpaut hati padamu,” ujar Enbi dengan renungan teruja.
“Oh, Enbi… Syukurlah Enbi telah sedar akhirnya. Tidak sia-sia saya menamakan masakanku itu : Kemanisan Cinta,” maklum Catherine dengan perasaan terharu.
“Kemanisan Cinta? Patutlah ada rasa kayu manis. Oh, Catherine sayang… Sungguh luhur perasaan hatimu. Izinkanlah aku yang hina ini mencintaimu dengan sepenuh dan setelus hatiku,” rayu Enbi dalam keadaan berteleku.
“Oh, Enbi… saya rela menerima cinta Enbi; kerana saya juga mencintai Enbi,” balas Catherine dengan renungan mata yang redup. Enbi bingkas bangun dan terus mendakapnya. Kedua-dua pasangan kekasih tersebut ketawa dengan gembira kerana cinta mereka akhirnya bersemi.
Dunia realiti :
“Aaa… hahahahahahaaa!!!”
“Apa kena pula kau ini, Cat? Hoi! Hoi Cat! Apahal ketawa berdekah-dekah ni? Cat! CAT!!!” seru Enbi dengan lantang sambil menggoncang-goncang bahu kawan karibnya. Baharulah Catherine kembali ke alam realiti dan fokus akan keadaan sekelilingnya.
“Kenapa ni?” tanya Enbi.
“Err… Tak ada apa-apa,” balas Catherine seraya menggaru-garu kepalanya yang tak gatal. Senyuman malu mulai berputik di bibir mungilnya. Rupa-rupanya gadis manis ini telah lama mencintai sahabat karibnya sendiri. Namun hingga kini tidak berani langsung untuk diungkapkan oleh bibir mungilnya.
“Apalah kau ni? Suka sangat mengelamun!” leter Enbi. Catherine hanya tersenyum dengan penuh makna ke arah Enbi. Namun sahabatnya hanya menghiasi wajahnya dengan riak yang selamba. Enbi kemudian melayangkan pandangan ke arah para pelanggan yang sedang menumpukan perhatian ke arah mereka berdua.
“Hei, tak baik merenung kawan baik saya macam itu, faham?” tegur Enbi kepada mereka.
“Bukan begitu… Kami ada terbau sesuatu…”
“JAHANAM!!! BUKAN AKU YANG KENTUT, FAHAM?!!!” bentak Enbi.
Jam tangan Enbi tepat menunjukkan pukul 3.00 petang. Beliau telahpun selesai makan percuma tadi dan kembali membuka kedainya. Memang perangainya dari dahulu tidak mahu melepak di suatu tempat dengan lama yang sekaligus akan membazirkan masa. Masa itu emas. Enbi bukan sahaja kedekut untuk membazirkan wangnya dengan tidak tentu hala; malah beliau juga amat kedekut untuk membazirkan masanya dengan perkara-perkara yang baginya tidak penting untuk diluangkan dengan begitu lama.
Enbi merenung keadaan kedainya yang kecil dan agak berserabut tersebut. Segala perabot untuk peragaan kad-kad eksotiknya adalah barangan terpakai. Jadi hiasan dalamannya adalah cacamerba langsung tidak bergaya. Namun ada kebaikannya juga. Setakat ini tiada siapa menyangka Enbi menyimpan koleksi barangan yang sangat berharga; hinggakan ada yang mencecah ratusan ribu Ringgit Malaysia. Oleh itu, setakat ini tiada penjahat yang ingin merompak kedainya.
“Ting! Ting!” Bunyi loceng di pintu kedai Enbi menandakan ada pelanggan yang datang.
“Selamat datang…” Sapaan Enbi mati serta-merta. Di hadapannya tegak berdiri lima orang lelaki yang memakai pakaian wanita. Bukan main seksi lagi fesyen mereka; namun tubuh para pemakainya yang agak kekar dan tegap menyebabkan ia nampak begitu hodoh sekali. Mereka merenung Enbi dengan pandangan bengis.
“Aaaa… boleh saya bantu anda semua?” tanya Enbi dengan nada yang agak gementar. Beliau tidak tahu sama ada mahu menggunakan perkataan ‘Cik’ atau ‘Encik’.
“Boleh, sayaaaang. Kami ni daripada geng ‘Neon Melambai’. Hajat hatiii… nak la merompak kedai niii… Boleh, kan baaaang?…” ujar salah seorang daripada mak nyah tersebut lantas disambut dengan hilai tawa rakan-rakannya.
Enbi terkaku. Mungkin kerana geli-geleman mendengarkan kata-kata mak nyah tadi. Mungkin juga kerana hilai tawa mereka yang persis langsuir tua. Atau mungkin juga kerana mereka ini adalah kumpulan ‘Neon Melambai’, iaitu salah satu kumpulan perompak yang paling ganas dan dahsyat di Ipoh, Perak Darul Ridzuan.