Sunday, June 21, 2009

Emo Hero Bab 46

Emo Hero Bab 46



Kami bertiga terus pulang sebaik sahaja tamat upacara kenduri tahlil dan doa untuk Allayarham abang sulungku. Wadi yang kononnya tidak lembik dan sangat bersemangat itu langsung tertidur keletihan setelah tak sampai sepuluh minit duduk di dalam kereta. Bukan main berdengkur kuat lagi. Agak mencabar juga bagi bunyi deruman enjin kereta Nizam untuk bersaing dengan bunyi dengkuran enjin F1 Wadi. Akhirnya sepanjang perjalanan ke UNISAS yang terletak lebih kurang 120 kilometer, hanya aku dan Nizam sahaja yang berganti-ganti memandu. Manakala Wadi pula mungkin sedang memadu asmara dengan Puteri Raden Galoh di Mexico.

Apabila sampai ke hostel, Nizam seperti biasa menumpang setinggan di bilik kami untuk tidur. Manakala aku pula gagal untuk memjamkan mata walau sesaat. Bukannya aku tidak dapat tidur kerana perihal kematian abang sulungku. Ini adalah kerana apa yang telah diperkatakan oleh Andrew sebelum beliau pergi. Ianya benar-benar mengganggu fikiranku.

Keesokan harinya tatkala aku menghadirkan diri ke UNISAS, rakan-taulanku sibuk bertanya khabar dan mengucapkan takziah dengan cara tersendiri. Biasanya majoriti rakan lelaki memelukku manakala perempuan pula paling kuat pun hanya menepuk-nepuk bahuku.

“Oh, ya… Arip, ada seorang awek Cina setiap hari datang ke sini mencari kau. Dia kata nama dia…”

“Shaleen! Dia ada datang tak hari ni?” tanyaku yang memangkas kata-kata rakanku yang bernama Yuhairie tadi.

“Aa… selalunya dia tunggu di kafe.” Sebaik sahaja mendapat makluman tersebut, aku bersegera ke kafeteria untuk mencari Shaleen. Sebaik sahaja tiba di sana aku berasa lega bercampur teruja kerana ternampakkan kelibat Shaleen. Beliau juga seperti mengetahui akan kedatanganku terus sahaja memandang ke arahku. Aku tersenyum tetapi Shaleen tidak. Beliau segera bangun dan menuju ke arahku. Sebaik sahaja mendekatiku, Shaleen terus menumbuk bahuku berkali-kali dengan perasaan geram.

“Apa ni Leen?” tanyaku yang berasa terkejut dengan perbuatannya.

“Where the hell are you all this while? After you called me to tell the news about your brother, I can’t get back to you. What’s going on? I was worried shit about you!” bentaknya. Ternyata Shaleen benar-benar marah kali ini. Aku mengeluarkan telefon selularku dari poket dan melihat skrinnya. Kosong. Rupa-rupanya sebaik sahaja tiba di hospital untuk pengecaman mayat abang sulungku, aku terus mematikan telefonku dan langsung terlupa untuk menghidupkannya kembali sehingga sekarang.

“Sorry, Leen. Saya tutup handphone masa kat hospital. Langsung terlupa nak switch on sampai sekarang.” pohonku berserta dengan penjelasan.

“Fuck you, man!” omel gadis Cina di hadapanku dengan nada kesal. Beliau menggeleng-gelengkan kepala tanda masih kesal dengan sikapku. Matanya pula mulai berkaca.

“I’m so sorry. I really am. Saya betul-betul kelam-kabut. Saya tak dapat berfikir apa-apa pun. I’m so sorry, Leen.” pohonku.

“I’m so sorry about your loss.” Sebaik sahaja berkata demikian Shaleen terus memelukku dan menangis tersesak-esak. Aku berasa tergamam dengan sikap sembrono gadis itu namun aku membiarkan sahaja beliau melepaskan rasa sedih dan rajuknya. Aku tahu semua mata di kafeteria sedang memandang ke arah kami. Mereka pasti hilang punca dengan insiden ini. Lebih-lebih lagi mak cik Rodiah atau lebih mesra dikenali sebagai mak cik brutal. Selama yang mereka ketahui, aku dan Adrina adalah bagaikan sepasang kekasih. Jadi mengapa pula seorang gadis Cina sedang memelukku dengan mesra sekarang? Aku biarkan sahaja mereka membuat spekulasi dan ramalan. Mungkin selepas ini ada yang berminat untuk bekerja di bahagian ramalan kajicuaca.

*********************************************

Aku langsung tidak memasuki kelas. Sebaliknya menghabiskan masa berbual-bual dengan Shaleen di kafeteria. Mujurlah Professor Rohatgi adalah seorang pensyarah yang bertimbangrasa dan tidak berkira dengan kedatangan kami ke kuliahnya. Mak cik Rodiah sempat tersenyum menyindir kepadaku semasa menghidangkan minuman.

Setelah habis kuliah, Nizam dan Wadi terus datang ke kafeteria. Di sana kami berempat berbual-bual seketika sebelum aku meminta diri. Nizam segera memberi kunci keretanya kepadaku.

“Arif.” seru Shaleen tatkala aku menghayunkan beberapa langkah meninggalkan mereka. Aku terhenti dan kembali berpaling ke belakang.

“Leen berharap Arif akan bahagia.” ujarnya. Aku tersenyum. Aku telah menceritakan segala-galanya kepada Shaleen tadi tentang apa yang telah berlaku. Beliau berasa gembira namun senyumannya tetap pahit seperti sebelum ini.

“Saya pun harap Leen begitu.” balasku sebelum kembali meneruskan langkah.

********************************************

Ada beberapa hari lagi sebelum Adrina berangkat ke Milan, Itali. Jadi aku tidaklah seperti di dalam cerita filem yang memandu kereta macam babi hutan kehilangan arah demi untuk menemui kekasihnya di lapangan terbang. Malah mungkin Adrina baharu sahaja bangun pagi dan belum menggosok gigi di rumahnya.

Dalam perjalanan, pelbagai perkara yang kufikirkan. Namun yang benar-benar mengganggu benakku sekarang ialah kealpaanku untuk menghidupkan kembali suis telefon bimbit setelah membuat pengecaman mayat abangku di hospital. Aku tak pernah secuai ini. Malah langsung terlupa akan telefon selularku selama berhari-hari. Mujurlah Nizam dan Wadi begitu setia menjawab semua panggilan rakan taulanku termasuk Shaleen untuk memaklumkan keadaan terkini pada masa itu.

Adakah kematian abang sulungku sebenarnya memberikan impak kepada emosiku tanpa kusedari? Aku termangu lama memikirkan perkara itu. Beberapa minit kemudian akhirnya aku tiba ke destinasi yang kutujui. Aku tidak nampak kereta BMW berwarna putih milik bapa tiri Adrina. Yang ada cumalah Toyota RAV-4 sahaja. Gamaknya mereka semua keluar bersarapan pagi dan selepas itu membeli-belah barang-barang keperluan. Namun aku tetap keluar dari kereta yang kupandu dan menekan loceng. Sekonyong-konyongnya kelibat Adrina muncul di balkoni tingkat atas rumah agam tersebut. Tidak kusangka taakulan merepekku adalah benar. Adrina masih memakai pijama.

“Ariiif! Haaaiii!!! Tunggu sekejap. Nanti Rina buka pintu, ya?” teriaknya dengan rasa gembira dan teruja. Aku pula menjadi semakin berdebar-debar dan tidak keruan. Seketika kemudian, akhirnya pintu utama yang kuanggar beratnya mencapai seratus kilogram terkuak perlahan-lahan. Muncullah wajah manis Adrina yang tersenyum ceria menyambutku.

“Masuklah Arip.” pelawanya. Aku memandang sekeliling. Kelihatan agak sunyi.

“Rina seorang saja ke?” tanyaku.

“Ya. Kenapa? Nak ambil kesempatan ke?” sakatnya. Budak ini… Aku buat onar betul-betul nanti baharu dia tau!

“Arip, jomlah masuk. Rina buatkan Nescafe, ya?” ajaknya dengan sulaman pujukan. Aku akhirnya mengalah.

*********************************************

Aku duduk di sofa yang menghiasi ruang tamu utama sementara menunggu bancuhan Nescafe daripada Adrina. Aku tersenyum sendiri mengingatkan insiden yang berlaku di ruang tamu ini tidak lama dulu. Di sinilah Adrina menzahirkan perasaan sebenarnya kepadaku dan hampir-hampir sahaja kami melakukan perkara yang tidak diingini. Kalaulah aku menerima cintanya pada masa itu, mungkin kami akan terlanjur melakukan maksiat. Mungkin itulah hikmahnya aku tidak menerima cinta Adrina pada masa tersebut. Namun situasi yang hampir semirip sedang berlaku sekarang. Ianya membuatkanku menjadi semakin gelisah. Akhirnya Adrina tiba dengan dua koleh Nescafe. Beliau meletakkan kedua koleh tersebut dengan cermat di atas meja kaca di hadapan kami. Kemudian beliau turut duduk di sofa yang sama denganku. Kepala lutut kanan Adrina telahpun menyentuh paha kiriku. Aku menjadi semakin tidak keruan. Namun aku hanya membiarkannya sahaja tanpa mengalihkan kakiku.

“Jemput minum.” pelawanya. Aku segera berinjak sedikit untuk mendapatkan kolehku. Akhirnya cara sedemikian telah berjaya menjauhkan paha kiriku dari lutut Adrina. Adrina juga turut mendapatkan kolehnya.

“Hm. Boleh tahan rasanya. Pandai juga anak dara depan saya ni membancuh air, ya?” usikku.

“Ala, bukannya susah. Rina pakai paket bancuhan tiga dalam satu saja.” balasnya seraya tertawa.

“Sahih dapat ‘E’ dalam matapelajaran Sains Rumahtangga.” sakatku. Kami sama-sama tertawa.

“Arip jahat! Tak baik kata Rina macam tu, tau?” omelnya dengan nada rajukan. Aku masih tertawa.

“Apa pulak jahat? Inilah kebenaran yang dilandaskan dengan keadilan sejati. Tengok… sampai sekarang tak mandi lagi. Patutlah rumah ni ada banyak lalat.” usikku lagi.

“Jahat la Arip ni! Dah la Rina buatkan air. Arip ejek pulak Rina. Tak nak kawan la kalau macam ini!” bentaknya dengan nada merajuk. Aku tertawa berdekah-dekah.

“Yalah. Yalah. Saya bergurau saja la. Jangan la marah lagi, ya? Nanti lama kita tak dapat bergurau macam ini, tau?” pujukku. Adrina akhirnya kembali menguntum senyuman. Namun sempat pula beliau mengacukan penumbuknya kepadaku. Kami sama-sama tertawa. Seketika kemudian keadaan kembali hening.

“Arip okey?” tanyanya tiba-tiba seraya meletakkan tangan kanannya ke kepala lutut kiriku pula. Aii… Jantungku kembali berdegup kencang sekarang.

“Mm. Hm. Saya okey.” jawabku. Adrina tersenyum seraya menghirup minumannya. Tangan kanannya tadi langsung tidak dialihkan dari lututku.

“Rina minta maaf sebab tak dapat hadir ke kenduri tahlil.” pohonnya.

“Tak mengapa. Tak manis kalau Rina balik lewat malam semata-mata nak pergi ke kenduri.” balasku.

“Rina juga minta maaf sebab tak banyak bersembang dengan Arip hari tu.” pohonnya pula.

“Itu tak jadi hal. Lagipun tentu Rina rasa kekok sebab takut tersalah cakap, kan?” pujukku pula. Adrina menganggukkan kepala. Buat seketika kami terdiam sambil memaksa diri untuk menghirup minuman kami yang masih panas.

“Rina… sebenarnya saya tak okey.” ujarku tiba-tiba.

“Arip tak okey?” tanya Adrina. Aku mengangguk.

“Banyak sangat perkara yang berlaku dalam hidup saya. Mula-mula hal Rina nak berhijrah ke Milan. Kemudian kematian abang sulung saya pulak. Saya sikit pun tak bersedih atau menangis sampai sekarang. Itu mana boleh dikira okey!” ujarku dengan nada suram.

“Arip…” kata Rina seraya meletakkan tangannya ke bahuku pula. Beliau menggosok-gosok dengan perlahan untuk menenangkan perasaanku.

Kemudian…” Aku merenung ke wajah Adrina. Beliau juga sedang tepat memandangku.

“Kemudian Andrew datang… Dia bagitau saya perkara yang buat saya makin keliru.” ujarku lagi. Air muka Adrina jelas berubah tatkala mendengarkan nama tersebut.

“Andrew?” tanyanya dengan nada gementar.

“Rina janganlah berpura-pura lagi. Rina yang tolong bayarkan hutang abang long saya, kan?” desakku. Adrina terdiam. Mukanya menunduk memandang lantai. Beliau melepaskan keluhan kecil dan kemudian kembali memandangku.

“Ya, Rina yang bayarkan. Rina kutip balik kad Andrew yang Arip buangkan hari tu. Kemudian Rina pergi berjumpa dengan Andrew.” akuinya.

“Rina pergi dengan siapa?” tanyaku seraya meletakkan kolehku ke atas meja. Adrina juga berbuat perkara yang sama.

“Rina pergi seorang diri.” jawab Adrina. Hatiku tersentak mendengarnya.

“Rina… Kenapa Rina buat perkara merbahaya macam itu? Abang long saya paksa Rina ke?” tanyaku dengan nada kesal. Kemarahanku kembali membuak-buak terhadap Allayarham abang sulungku.

“Rina tak berjumpa pun dengan abang long Arip semenjak pertama kali berjumpa dulu. Rina pergi dengan kerelaan sendiri. Tak ada sesiapa yang memaksa Rina.” jawabnya.

“Mana Rina dapat duit sebanyak itu untuk membayar hutang abang long?” tanyaku.

“Rina gunakan duit simpanan Rina sendiri. Mana mungkin abah dan mama nak bagi empat puluh ribu begitu saja.” jawabnya. Aku bungkam. Benar-benar terperanjat diriku kali ini. Aku tidak menyangka bahawa Adrina sanggup membuat perkara yang tidak masuk dek akal itu.

“Bodohnya kamu ni, Rina! Mengapa kamu buang duit begitu saja? Abang long aku tu manusia tak berguna! Sia-sia saja kamu menolong dia. Sekarang dia dah mampus pun. Apa pun kamu tak dapat!” leterku dengan nada yang agak meninggi. Adrina terdiam. Beliau tidak membalas kata-kataku. Mukanya hanya tertunduk sahaja.

“Kenapa kamu sanggup buat macam ni untuk abang aku, Rina? Kenapa?” tanyaku.

“Rina buat semuanya ini untuk Arip. Bukan untuk abang long Arip.” Akhirnya Adrina bersuara menjawab pertanyaanku.

“Demi untuk saya?” tanyaku dengan nada terkejut. Emosi marahku mulai mengendur. Adrina mengangguk.

“Rina tau Arip selalu susah hati sebab keluarga Arip berpenat-lelah membayar hutang-piutang abang long. Tapi Arip tak mampu berbuat apa-apa. Jadi Rina tak mahu tengok Arip bersedih lagi.” jawabnya.

“Rina… Takkanlah Rina sanggup berbuat begini untuk membalas budi baik saya selama ni kepada Rina? Saya tak pernah minta sebarang balasan. Saya betul-betul ikhlas. Itu sebabnya saya tak berkecil hati bila Rina tak membalas pengakuan cinta saya hari tu. Saya tak peduli itu semua. Saya cuma nak tengok Rina bahagia. Bila kita cintakan seseorang itu kita mesti sanggup korbankan kebahagiaan kita demi kebahagiaan dia. Dan kita tak perlu minta apa-apa balasan walaupun secebis cinta daripadanya. Itulah yang saya buat.” perjelasku dengan panjang lebar. Kami berdiam diri buat seketika.

“Rina buat semuanya ini bukannya untuk membalas budi baik Arip.” ujar Adrina untuk memecahkan kesenyapan tadi.

“Habis tu… atas sebab apa?” tanyaku.

“Rina buat semua ini sebab Rina cintakan Arip.” Kata-kata Adrina bagaikan petir yang membelah serta mencabik-cabik segala emosiku yang terbuku di sanubari. Mulutku cuba untuk memperkatakan sesuatu. Namun fikiranku seolah-olah menjadi fana sekarang.

“Hari tu masa Arip bagitau Rina isi hati Arip, Rina berasa sangat gembira. Tapi entah macam mana Rina boleh tersalah cakap. Lagipun masa tu Rina juga berasa malu dan segan bila Arip cakap macam itu. Jadi Rina bercadang untuk bagitau yang Rina juga cintakan Arip di majlis resepsi mama hari itu. Tapi sekali lagi tak berpeluang.” perjelasnya dengan panjang lebar.

“R… Rina…” Itu sahaja yang mampu kuungkapkan buat masa ini.

“Arip ada sebut masa di rumah nenek tentang pertalian istimewa kita. Arip kata yang pertalian di antara kita ini dah melangkaui batas persahabatan dan cinta. Kita berdua saling memberi tapi tak pernah mengharapkan apa-apa. Ianya sangat ikhlas. Apa yang Arip pernah buat demi Rina adalah ikhlas dan Rina juga begitu. Rina tak harapkan apa-apa daripada Arip walaupun secebis cinta sebagai balasan.” ujar Adrina lagi. Kali ini beliau tersenyum. Amat luhur dan manis senyumannya itu. Entah mengapa tiba-tiba manik-manik air mataku beruraian keluar tanpa dapat kukawal. Aku terus menangis semahu-mahunya.

“Arip…” ucap Adrina seraya memelukku dengan erat.

“Abang long saya dah tak ada, Rina. Saya dah kehilangan abang saya. Dia memang banyak buat hal tapi dia cuba menjadi abang yang baik. Dia memuji-muji saya di depan Wadi bila saya tak ada masa tu. Dia kata dia rasa sangat bangga mendapat adik macam saya. Dia bagi duit kat saya sebab dia tak mahu saya memandang rendah padanya lagi. Tapi sekarang dia dah mati. Saya tak sempat nak bagitau dia yang saya sayangkan dia. Saya dah kehilangan abang saya. Saya tak mahu kehilangan Rina pula.” ujarku dalam sendu-tangis. Akhirnya segala kesedihan yang terbuku di hati dapat kuluahkan semahu-mahunya.

“Arip…” ujar Adrina. Beliau juga turut menangis bersamaku.


- Bersambung -


Notakaki :

Seperti bab yang lalu, aku telahpun menyiapkan Bab 47. Ingatkan nak kumasukkan sekali ke dalam blog ini. Namun oleh kerana takut merosakkan mood Bab 46, maka aku simpan dulu Bab 47 tersebut. Maknanya kalian kena la menunggu Isnin depan untuk Bab 47, ya? Siman... Siman...

Aku berharap kalian sukakan klimaks Emo Hero dalam Bab 46 ini. Tak perlu ada letupan dahsyat-dahsyat atau watak protagonis mati kena langgar dek basikal posmen. Aku sedaya-upaya cuba membuat secara yang sepatutnya. Kalau kalian perasan aku sekarang sengaja tidak melawakkan cerita Emo Hero dan menggubah bait-bait perkataan yang indah di dalam ceritanya. Aku sedang cuba untuk menukar gaya penulisanku yang asal kerana ujianku sebelum ini bahawa orang Malaysia lebih menghargai plot cerita dari ayat-ayat sastera itu sendiri telahpun berjaya. Ini bermakna selaku pemegang tempat ketiga sayembara mengarang cerpen anjuran DBP sempena ulangtahun ke 50 (Jubli Emas) mereka tidak lama dahlu, aku tak mahu la terlalu lama memperlecehkan kemahiran sebenarku. Takut-takut langsung tak berkembang dan semakin mundur pula nanti. Malah editorku berkata aku mungkin akan mencapai tahap yang dikatakan sempurna dalam bidang penulisan ini 10 tahun lagi. Aku tertawa dan berkata aku akan menganggapnya itu suatu cabaran dan cuba untuk mencapai tahap tersebut dalam masa 2 tahun sahaja.

Aku berharap aku dapat mencapainya. Dan aku juga berharap agar berpeluang untuk melanggar editorku dengan basikal posmen dalam masa terdekat ini. Haha!

Saturday, June 13, 2009

Emo Hero Bab 45

Emo Hero Bab 45



Tiga hari selepas itu…

Akhirnya jenazah abang sulungku selamat dikebumikan setelah bahagian forensik selesai membuat siasatan dan melakukan bedah siasat ke atasnya. Ketika jenazah abang sulungku diturunkan ke liang lahat, ibuku jatuh pengsan buat kesekian kalinya manakala bapaku pula hanya mampu tersandar lemah di sebatang pokok yang berpuluh tahun setia menemani kesuraman kawasan perkuburan ini. Aku tidak dapat merasai penderitaan dan kesakitan yang mereka rasai. Namun aku memahami keadaan kedua orang tuaku. Ketika hidupnya, abang sulungku telah memberi aib kepada mereka kerana berhutang keliling pinggang dan meninggalkan anak isteri dengan begitu sahaja tanpa sebarang berita.

Kini setelah kematiannya, abang sulungku masih mampu mengaibkan kami sekeluarga. Rupa-rupanya bukan sahaja dia menyertai kumpulan samseng, malah abang sulungku juga turut terlibat dalam beberapa kejadian samun dan rompakan bersenjata di beberapa buah stesyen minyak. Pihak polis telah berjaya menghidu modus operandi kumpulan abang sulungku lantas memasang perangkap sebelum membuat serbuan. Telah berlaku kejadian tembak-menembak yang mana akhirnya kesemua kumpulan abang sulungku telah mati ditembak. Abang sulungku turut sama terbunuh dalam kejadian tersebut. Nama serta gambarnya jelas terpampang di akhbar-akhbar tempatan dan tabloid.

Abang sulungku memang seorang yang tak berguna lagi menyusahkan. Kini kami sekeluarga tidak mampu untuk mengangkat muka memandang orang-orang di kampung kami. Aku mengerling ke arah adik-beradikku. Mereka semuanya menangis tersedu-sedan. Malah abang yang kupanggil Alang juga tidak mampu menyeka perasaan hibanya. Walhal setiap kali bertemu dengan Allayarham, pasti peninjunya singgah ke tubuh abang sulungku itu.

Mereka semua menangis. Mereka semua berasa hiba. Mereka semua berasa sengsara. Namun aku sahaja yang tegak berdiri sambil memandang senario ini tanpa sebarang perasaan. Aku tidak nampak keperluanku untuk merasai apa yang mereka rasakan. Abang sulungku adalah sampah masyarakat. Abang sulungku adalah kudis yang membusuk di dalam keluarga. Abang sulungku sehingga ke akhir hayatnya membawa aib kepada kami semua.

Abang sulungku memang patut mati. Kalaupun mempunyai perasaan di kala ini, aku sebenarnya berasa lega kerana beliau sudah tidak wujud lagi di dunia ini. Malah wang yang diberikan kepadaku tidak kuusik sehinggalah kematiannya. Apabila aku mengetahui cara beliau mati, aku spontan mengetahui bahawa wang yang diberikan oleh abang sulungku adalah wang haram. Jadi aku terus sahaja membakar kesemua wang berjumlah seribu ringgit tersebut.

Aku benar-benar membenci abang sulungku…

“Arip, kau okey?” Aku menoleh ke arah Wadi. Beliau dan Nizam turut hadir di majlis pengebumian ini. Malah apabila mendapat tahu perkhabaran tentang kematian abang sulungku di majlis resepsi ibu Adrina, mereka terus membatalkan hasrat untuk terus berada di majlis resepsi tersebut. Jadi kami bertiga terus ke Hospital Kuala Lumpur untuk mengesahkan jenazah abang sulungku. Kemudian kami balik ke hostel untuk membungkus pakaian dan terus pulang ke kampungku. Keesokannya mereka berdua pulang sekejap untuk memaklumkan perkara ini kepada Dekan, para pensyarah dan rakan-taulan kami. Selepas waktu kuliah mereka kembali datang ke kampungku untuk membantu bagi persiapan menguruskan jenazah dan mengemas rumah. Mereka setia menemaniku hingga ke hari ini.

Aku tersenyum ke arah Nizam dan Wadi. Aku benar-benar berasa beruntung mempunyai sahabat seperti mereka berdua. Aku berharap agar persahabatan kami akan kekal walaupun di syurga kelak. Sekonyong-konyongnya aku ternampak kelibat Adrina bersama ayahnya. Turut bersama mereka adalah ibu Adrina dan suami baharunya. Ini adalah kali kedua Adrina dan bapanya datang ke kampung. Kali pertama adalah dua hari sebelum itu iaitu sehari selepas majlis resepsi ibu Adrina. Ternyata mereka juga mengambil berat dan berasa risau akan keadaanku. Ayah Adrina sebaik sahaja merapatiku terus memelukku dengan erat. Aku berasa terkejut. Mungkin beliau sudah menganggapku sebagai sebahagian daripada ahli keluarganya.

Adrina pula terus menangis teresak-esak. Dua hari lepas beliau juga berkeadaan begitu. Mungkin beliau berasa sedih dengan nasib malang yang menimpa diriku. Baik juga begitu. Sekurang-kurang aku tahu bahawa beliau masih mengambil berat terhadap diriku walaupun tidak dapat membalas cintaku. Selepas melepaskan dakapannya, ayah Adrina beralih pula ke arah ahli keluargaku untuk bersalaman dan mengucapkan takziah. Aku pula terus menyambut salaman yang dihulurkan oleh ibu Adrina dan suami baharunya. Mereka mengucapkan takziah kepadaku dan mengungkapkan kata-kata perangsang agar aku menjadi lebih tabah. Aku tersenyum dan mengucapkan terima kasih. Namun aku berasakan kata-kata mereka itu tidak perlu kerana aku tidak berasa apa-apa.

Selepas bertalkin dan membaca doa, akhirnya kerumunan manusia yang datang ke majlis pengebumian abang sulungku bersurai ke halatuju masing-masing. Keluarga Adrina juga meminta izin untuk pulang setelah berbual-bual mesra dengan ahli keluargaku. Tak banyak perkara yang kubualkan dengan Adrina. Mungkin beliau berasa tidak manis berbuat demikian dalam situasi sekarang. Sebelum melangkah masuk ke dalam kenderaan, Adrina sempat menoleh kembali ke arahku yang juga sedang memandangnya. Mata kami bertentang buat seketika. Adrina melontarkan senyuman yang amat manis kepadaku sebelum masuk ke dalam kenderaan. Setelah mereka pergi, aku mengalihkan pandanganku ke arah Nizam dan Wadi pula.

“Wadi, Zam… Kau orang nak tunggu untuk kenduri tahlil malam ni ke?” tanyaku. Nizam dan Wadi mengangguk.

“Kalau begitu lepas tahlil kita bertiga balik ke UNISAS, okay?” saranku.

“Tak mengapa ke, Rip? Nanti siapa nak tolong kemaskan balik rumah kau?” tanya Wadi.

“Yang itu kamu berdua janganlah risau. Jiran-jiran kami akan tolong. Bapak aku kata kita bertiga mesti balik malam ini juga. Dia juga kata adalah lagi baik kalau kita tak payah tunggu sampai tahlil malam ni. Dia takut kita bertiga jadi penat nanti.” maklumku.

“Eeeh.. Tak mengapa. Kita ni orang muda. Takkan buat kerja sikit pun dah jadi lembik. Kalau Nizam tu, mungkin jugak la agaknya!” ujar Wadi yang masih sempat mengusik. Aku tertawa kecil.

“Sial la lu!” maki Nizam. Aku dan Wadi sama-sama tertawa kali ini.

*********************************************************

Setibanya kami di rumah, kulihat ahli keluargaku masih berkumpul di luar. Keadaannya nampak agak tegang. Jadi sebaik sahaja Nizam memarkirkan kereta, aku terus meluru keluar. Perasaan hatiku yang kurang sedap rupa-rupanya bukan setakat mainan emosi sahaja. Kelihatan bapa dan abangku sedang bertekak dengan seseorang. Dan orang tersebut yang dikawal oleh dua orang lelaki yang tegap-tegap belaka. Kelibat mereka membuatkan jantungku tersentap.

“Andrew…” ujarku. Beliaulah ceti haram yang menemuiku tidak lama dahulu di universiti. Andrew yang ternampak akan kelibatku terus sahaja tersenyum.

“Tuan lawyer. Apa khabar?” tegurnya. Langkahku akhirnya terhenti setelah merapati mereka.

“Kau kenal dia?” tanya bapaku. Aku mengangguk.

“Dia pernah datang ke universiti mencari abang long.” maklumku.

“Tuan lawyer. Tolonglah saya. Saya tak mahu gaduh-gaduh di sini.” ujar Andrew.

“Habis tu kau datang ke sini nak mintak apa lagi, hah?” jerkah bapaku. Beberapa orang yang masih berada di rumah ibu bapaku mula mengerumuni kami.

“Andrew, awak nak minta kami langsaikan hutang Adry ke?” tanyaku dengan tenang.

“Tidaaak. I datang ke sini bukan untuk kutip hutang. Lagipun kan I dah bagitau hari itu yang hutang Adry dah selesai? I cuma datang nak bagitau yang I feel sorry for your loss. Itu saja.” maklum Andrew.

“Cina ni cakap apa, Rip?” tanya bapaku. Nadanya masih menyinga.

“Dia kata dia datang cuma nak ucap takziah.” jawabku.

“Aaah! Kami tak perlukan simpati daripada samseng-samseng macam kamu ni!” bentak bapaku.

“Andrew. Biar saya temankan awak ke kereta awak. Mungkin hari ni hari yang tak sesuai untuk awak datang.” saranku. Andrew yang memahami maksud yang tersirat di dalam sarananku itu mengangguk setuju dan mula bergerak pergi bersama para pengawal peribadinya. Aku pula secara berseorangan berjalan seiringan dengannya.

“Sorry la kalau saya buat family you marah tadi.” pinta Andrew.

“Saya pun minta maaf juga.” balasku.

“Andrew, betul ke hutang abang long saya sudah selesai? Bukan ke oleh sebab dia masuk kumpulan gangster, maka awak takut nak minta duit daripada dia?” tanyaku setelah kami terdiam beberapa ketika. Andrew tertawa.

“Ceh! Itu semua gengster bodoh. You tak tak berapa besar kumpulan I? Mana boleh I takut sama mereka! I suruh you nasihat sama Adry hari tu, kan?” tanyanya.

“Saya dah nasihat. Tapi dia tak mau dengar.” jawabku.

“Oh, ye ke? I’m sorry to hear that.” balasnya.

“Jadi abang long saya ke yang bayar semua hutang tu?” tanyaku lagi. Andrew menggelengkan kepala.

“Dia mana tau simpan duit. Rompak duit dari orang pun sudah pergi enjoy sampai duit habis.” komennya.

“Habis tu keluarga saya yang bayar?” tanyaku pula. Andrew tersenyum sambil menggelengkan kepala. Akhirnya kami tiba di Mercedes miliknya.

“Andrew, tolong bagitau saya. Siapa yang selesaikan hutang abang saya tu?” desakku dengan nada merayu tatkala Andrew mula memasuki ke dalam kereta. Andrew membuat isyarat agar pengawalnya tidak menutup pintu.

“Tuan lawyer. I jumpa ramai jenis manusia. Macam-macam perangai mereka. Jadi I memang pandai sikit tengok perangai orang. Dan I tau you ini orang yang baik. Jadi orang yang baik akan selalu ditolong oleh orang yang baik juga.” ujar Andrew yang bagiku masih ingin berteka-teki.

“Orang yang selesaikan hutang Adry tu ada dengan you masa pertama kali kita berjumpa.” sambungnya seraya memberikan isyarat agar pintu kereta ditutup. Seketika kemudian Mercedes miliknya menderu pantas meninggalkanku yang masih bungkam.

“Are you okay, bro?” tanya Nizam. Aku menoleh ke belakang. Rupa-rupanya beliau dan Wadi mengekoriku dari belakang tadi.

“Aku okey.” jawabku sambil tersenyum.

“Jom.” ajak Wadi. Kami bertiga mulai bergerak ke arah rumah yang terletak kira-kira 20 meter dari tempat tersebut.

“Nizam… boleh tak aku pinjam kereta kau besok selepas kuliah?” pintaku setelah beberapa ketika mendiamkan diri. Nizam yang agak terkejut dengan permintaanku spontan merenung ke arahku seolah-olah cuba untuk membaca apa yang terbuku di hatiku sekarang.

“Sure. Kau nak balik ke sini lagi, ke?” tanyanya setelah menyetujui permintaanku. Aku menggelengkan kepala.

“Aku nak pergi berjumpa Adrina.” jawabku.



- Bersambung -



***************************************
Notakaki :

Sebenarnya aku telahpun menyiapkan bab 46 bagi cerita ini. Namun sengaja aku siarkan bab 45 sahaja demi untuk membuatkan korang tension! Nyiahaha! Aku rasa mungkin pengakhiran cerita ini adalah pada bab 48 nanti. Sebenarnya aku nak buat cerita ni menjadi trilogi. Episod seterusnya yang ingin kubuat bertajuk "Neo Hero". Neo adalah bahasa lama yang bermakna NEW atau baharu. Ini bermakna hero dalam cerita ini adalah orang lain dan bukannya Arif Akmal. Yalah, bosan la nak buat cerita mamat tu dengan Adrina aje. Malah kemungkinan besar hero baharu dalam episod seterusnya adalah Nazirun Nizam. Namun aku sebenarnya teringin nak buat cerita lain. Tapi tak tau lagi nak buat apa. Cuma kebelakangan ini aku lebih cenderung untuk membuat cerita Metropolice. Malah aku telah mengubah gaya penceritaannya agar banyak unsur romantik dimasukkan di dalamnya.

Kalian fikir bagaimana?

Friday, June 5, 2009

Emo Hero Bab 44

Emo Hero Bab 44



Selepas beberapa hari bercuti akhirnya Adrina kembali ke UNISAS. Namun hari ini adalah merupakan hari terakhir beliau di universiti. Tentu beliau mahu berjumpa dengan semua kawan-kawan yang satu batch dengan kami untuk mengucapkan selamat tinggal. Jangkaanku tak salah. Bahkan sebelum kuliah bermula, Adrina sudah pun sibuk memberitahu rakan-rakan dan mengucapkan selamat tinggal kepada mereka. Sasaran pertama beliau ialah di kafeteria.

“Semuanya plastik.” Komen Nizam mematikan tumpuanku terhadap Adrina. Aku spontan memandang ke arahnya.

“Plastik?” tanya Wadi sebelum sempat soalan tersebut diutarakan dari mulutku. Badigol punya Wadi. Tanya la soalan lain. Penat aku bertungkus lumus menggosok gigi pagi ni. Malangnya tak berpeluang aku untuk menanyakan soalan yang sebegitu mengghairahkan tersebut.

“Hm. Tengoklah muka bebudak batch kita. Terpaksa pura-pura senyum kat Adrina. Macam la minah tu tak tau.” jawab Nizam. Nadanya jelas melahirkan perasaan kurang senang dengan sikap hipokrit kebanyakan rakan kami. Lebih-lebih lagi kaum hawa.

“Alaa… Itu la namanya berbasa-basi. Adrina bukannya tak tau ‘keplastikan’ diorang tu.” ujar Wadi pula. Aku mengangguk tanda bersetuju. Nampaknya sia-sia aje aku membersihkan gigiku pagi ni. Langsung tiada peluang untuk bersuara hatta untuk mengherdik kuda sekalipun. Kepiluanku tidak bertahan lama kerana Adrina mulai menghalakan langkahnya ke arah meja kami pula.

“Hei guys!” tegurnya dengan nada ceria.

“Hai Rina.” tegur Wadi.

“Yo.” tegur Nizam.

“Hm.” balasku dengan senyuman yang agak tawar sambil menganggukkan kepala. Aku masih lagi berasa kekok setelah meluahkan perasaanku yang sebenar beberapa hari lalu. Tambahan pulak cintaku itu ditolak oleh Adrina. Pada masa itu kalau ada orang sula lubang hidung aku dengan colok tokong pun tak akan sepedih rasa hatiku. Tiba-tiba Adrina terus duduk di sebelahku. Kemudian beliau sengaja menginjakkan bangkunya agar semakin rapat denganku. Aku yang berasa semakin kekok spontan menoleh ke arah gadis jelita tersebut.

“Hai Arif.” tegurnya seraya tersenyum manis bercampur ceria ke arahku. Aku yang berasa agak tergamam hanya merenung ke arah Adrina untuk mencari makna akan perlakuannya sekarang.

“I’m so glad to see you today.” maklumnya. Senyuman yang menghiasi wajah manisnya masih tidak luput. Aku tersenyum. Namun senyumanku itu bergaul dengan kepahitan. Adrina mengungkapkan ayat yang hampir sama seperti hari itu. Entah beliau sengaja untuk mengocakkan emosiku di kala ini, aku pun tak tahu. Yang aku tau petang ni ada rancangan Ultraman Taro kat televisyen.

“Ha! Malam ni jangan lupa, tau? Ada majlis resepsi pernikahan mama. Korang kena datang, tau?” maklum Adrina dengan nada serius. Mungkin sedikit mendesak.

“Yalah. Yalah. Kami ingat laa…” balas Nizam dengan nada sedikit jengkel. Mujur jugak la diorang berdua selalu bertengkar. Kalau cakap berbunga-bunga dengan pipi merah jambu tiba-tiba, alamat tak baik untuk akulah nanti. Tiba-tiba aku tersentak kerana terasa tanganku digenggam dengan erat. Perlahan-lahan aku memakukan pandangan ke arah Adrina. Beliau juga sedang memandang ke arahku kembali.

“Arip pun datang ya? Rina betul-betul harap Arip dapat datang.” pujuknya dengan lembut dan bersungguh-sungguh. Tanganku digenggam semakin erat. Senyuman gementar kali ini terukir di bibirnya. Mungkin beliau bimbang aku enggan pergi dek insiden yang berlaku beberapa hari lalu.

“Tentulah aku akan pergi. Janganlah risau.” balasku. Aku menggunakan perkataan ‘aku’ secara separa sedar kerana mungkin untuk menjarakkan diriku dengan Adrina.

“Keberet lu, minah! Dengan Arip bukan main romantik lagi mengajak. Cair taik kambing, tau? Dengan kami macam panggilan ke PLKN aje.” sindir Nizam. Kami semua tergelak. Adrina mengacukan penumbuknya ke muka Nizam yang masih ketawa. Namun sebelah lagi tangannya masih kejap memegang tanganku.

Aku benar-benar berasa keliru sekarang…

************************************************

Malam itu selepas solat Maghrib, kami segera bersiap untuk ke majlis respsi ibu Adrina. Aku dan Wadi masing-masing mengenakan pakaian yang pernah kami pakai untuk ke majlis sambutan hari lahir Adrina tidak lama dulu.

“Wei! Tak ada baju yang lain ke?” tanya Nizam setelah dilihatnya keadaan kami itu.

“Hotak lu! Ini la baju paling mahal sampai aku sayang nak pakai, tau? Aku bukannya artis yang pakai baju mahal-mahal sekali aje, tau?” ujar Wadi. Aku mengangguk tanda bersetuju dengan pemuda Jawa tersebut. Nizam tergelak. Setelah menghabiskan ekor tawanya, pandangannya terarah kepadaku pula.

“Rip! Kau ni apahal?” Tiba-tiba Nizam menghunjamkan pertanyaan kepadaku.

“Ke.. Kenapa?” tanyaku.

“Aku tengok sejak dua tiga hari ni kau senyaaap aje. Ada apa-apa yang dah terjadi antara kau dengan Rina ke? Korang bergaduh ke?” tanya Nizam. Ceh! Aku ingat diorang dapat tau aku suka tengok Hannah Montana selama ni.

“Mana ada kami bergaduh! Kami okey aje la. Aku pun okey.” balasku. Aku berharap agar Nizam tidak berjaya mengesani pembohonganku. Aku bukannya pakar macam dia. Malah mencarut pun tak sampai ke peringkat tahfiz lagi.

“Kau sedih ke sebab Rina dah nak pergi?” tanya Nizam pula.

“Hm.” jawabku seraya menganggukkan kepala. Lebih baik aku mempasakkan idea sedemikian ke cepu pemikiran kedua orang sahabatku ini daripada memberitahu perkara sebenarnya. Aku risau kalau-kalau mereka mengamuk angkat parang panjang bila mengtahui apa yang telah berlaku. Tiba-tiba Nizam menepuk-nepuk bahuku.

“It’s gonna be okay. Trust me.” pujuknya. Tangannya masih menepuk bahuku. Sudah la tu! Ingat aku ni kucing peliharaan yang comel ke?

“Jom kita pergi. Karang lambat pulak.” saran Wadi.

***************************************************

Kami tiba ke rumah Adrina lebih kurang empat puluh minit kemudian. Majlis resepsinya kelihatan begitu meriah sekali. Menurut Adrina, ibunya telah bernikah semalam di masjid. Yang kelakarnya ayah Adrina turut hadir di upacara pernikahan tersebut. Jadi wali mujbir gamaknya. Nyiahaha! Sebaik sahaja kami tiba, Adrina yang sedang sibuk melayani para tetamu yang baharu tiba terus berlari menuruni tangga untuk mendapatkan kami. Buat seketika aku terpegun melihatnya. Adrina kelihatan begitu cantik sekali. Memanglah sebelum ni pun beliau mampu membuatkan tukang pukul kerantung surau jatuh ke longkang kerana asyik memandangnya. Namun kali ini aku berani bersumpah kerat sideburn Adrina kini bagaikan seorang bidadari yang baharu turun dari syurga.

“Hei guys! Yay! Korang datang jugak akhirnya. Thank you-thank you!” ucapnya dengan girang.

“Terima kasih sebab jemput kami datang.” ucap Wadi pula.

“Oro? Wawa tak datang pun?” tanya Adrina.

“Er… Dia kurang sihat.” jawab Wadi. Begitu jelas perasaan serba-salah yang terpapar pada raut wajahnya.

“Oh… Ye ke… Tak apalah. Nanti kirim salam kat dia, ya?” pinta Adrina. Senyuman kelat jelas terlakar pada bibirnya. Kemudian beliau berpaling memandangku pula.

“Hai Arif.” sapanya. Bibirnya kembali mengukir senyuman manis.

“Hai Rina.” sapaku kembali.

“Jom.” ajak Nizam seraya menarik lengan Wadi. Mereka berdua segera meninggalkan kami. Kini hanya aku dan Adrina sahaja yang masih tercegat di situ. Kami mulai dihurungi oleh suasana yang kekok. Aku membuka mulut dan bersuara untuk meredakan suasana tersebut. Namun pada masa yang sama Adrina juga berbuat demikian. Akhirnya suara kami masing-masing tersekat di kerongkong. Dan kami kemudiannya tertawa kecil dengan perasaan yang masih kekok.

“Arip nak cakap apa tadi?” tanya gadis jelita di hadapanku ini.

“Tak apalah. Rina cakap dulu.” balasku pula.

“Rina nak cakap tadi… Rina sangat happy sebab Arip dapat datang.” maklum Adrina. Beliau tersenyum. Kemudian menundukkan kepala kerana enggan bertentang mata lama denganku. Aku menghela nafas dan melepaskannya perlahan-lahan agar tidak menjadi suatu keluhan.

“I’m glad to hear that.” Tiba-tiba aku mengungkapkan ayat sedemikian. Aku pun tak tahu mengapa. Mungkin kata-kata yang pernah diungkapkan oleh Adrina itu terlalu kerap bermain-main di kotak memoriku hingga ke saat ini.

“Ouch.” balas Adrina yang dapat menangkap maksud di sebalik kata-kataku tadi.

“Sorry, Rina. Saya tak bermaksud nak cakap begitu. Saya tak berniat nak menyindir Rina. Sumpah. Wallahi.” maklumku membela diri.

“It’s okay. Sebenarnya Rina tak patut cakap macam tu. Hari tu Arip cakap suatu perkara yang amat besar dan bermakna. Tapi Rina balas cincai macam tu pulak. Patutnya Rina yang kena minta maaf.” ujarnya.

“Haha… Tak apa. Itu isi hati Rina masa tu. Saya tak ambil hati.” balasku pula.

“Tak, Arip. Itu bukan isi hati Rina masa tu. Rina nak cakap lain. Tapi keluar lain pulak. Sebenarnya… ah…” Kata-kata Adrina mati tatkala mendengarkan bunyi deringan telefon selularku. Kini hanya bunyi deringan tersebut yang menghiasi suasana di antara kami.

“Arip tak nak jawab ke panggilan tu?” tanya Adrina setelah dilihatnya aku masih tercegat memandang ke arahnya.

“Tak mahu. Saya nak dengar Rina habiskan ayat Rina tadi. Kalau saya jawab panggilan ni, Rina tentu tak akan sambung cakap Rina tadi.” jawabku.

“Arip jawablah dulu. Rina janji, Rina akan cakap.” ujarnya. Akhirnya aku mula mengeluarkan telefon selular di dalam poketku dan melihat pada skrin.

“Hello, Kak Ngah. Arip ni.” ujarku setelah menekan butang menjawab panggilan dan meletakkan telefon tersebut di telinga. Panggilan tersebut adalah daripada kakakku.

“Rip! Bang Long dah tak ada! Bang Long dah tak adaa…” Kata-kata kakakku itu diakhiri dengan lolongan tangisnya.

“Arip… Kenapa ni?” Pertanyaan Adrina tidak dapat kujawab. Mukaku menjadi pucat lesi. Raungan sendu kakakku masih berkumandang di corong telefonku.

“Arip… Kenapa ni? Kenapa Arip?”


- Bersambung -


***********************************************************************
Notakaki :

Minggu ni tekanan dalam hidupku agak kurang. Lagipun episod Emo Hero hampir berakhir dah. Mungkin dalam 4 bab lagi. Aku sememangnya begitu. Tak pernah membuat sebarang rangka bagi novel-novelku. Bagiku ianya menghadkan dan memancung keseronokan dan kelancaran ceritaku. Apapun, aku berharap agar cerita ini berakhir dengan baik. Baik dalam konteks ini ialah ianya disukai oleh anda semua. Dan aku juga beraharap agar selepas Emo Hero, cerita-cerita lain yang kubuat juga akan digemari oleh anda semua.