“Ha! Aku tau tempat ini.” Adrina tersenyum tatkala mendengarkan kata-kataku itu. Rupa-rupanya beliau membawaku ke kawasan rumah agam neneknya. Dulu kami pernah berpiknik di sini pada awal pagi sambil mendengar lagu Bill Withers bertajuk “Lovely Day”. Namun kini kami berada di situ pada waktu petang pula. Keadaan panoramanya masih sama. Amat cantik lagi memukau. Adrina dengan berhati-hati memarkirkan kenderaannya di tempat yang sama ketika kami berkelah dulu.
“Hari ni Rina tak bawa makanan. Yang ada cuma coklat Smarties dalam poket Rina ni.” ujarnya seraya mengunjukkan kotak coklat tersebut kepadaku. Aku menggelengkan kepala tanpa menolak. Kami bersama-sama keluar dari kenderaan. Angin petang yang membelai-belai wajahku terasa begitu nyaman dan bersih sekali. Selalunya waktu petang ni lubang hidungku cuma disesakkan oleh bau kepam seluar dalam Wadi yang tak berbasuh aje. Tapi hari ni perasaan begitu lega sekali. Bagaikan orang beriman menghidu bauan syurga pulak. Ewaah!
“Segar betul udara kat sini. Patutlah nenek Rina sangat suka tinggal di sini.” komenku. Adrina mengangguk sambil tersenyum. Namun seketika kemudian jarinya menunding ke arah lereng bukit yang telah ditarah dan dibersihkan. Buat apa menunding ke situ? Ada orang tengah jemur kain ke?
“Mereka akan buat kondominium kat situ. Tak lama lagi tempat ni akan jadi hutan konkrit. Jadi keindahan yang kita nikmati sekarang ni akan berubah mungkin dalam masa dua-tiga tahun lagi.” maklumnya.
“Ya ke? Sayangnya…” komenku dengan nada kesal. Dua tiga tahun lagi aku akan mencium bau yang sama macam spenda Wadi la gamaknya. Entah-entah lagi dahsyat dan ngeri daripada itu!
“Bila Rina balik ke Malaysia nanti, tentu tempat ni berubah dengan pesat. Tak macam sekarang ni. Mungkin kita tak dapat lagi menikmati tiupan angin yang nyaman ini lagi.” ujar Adrina lagi. Matanya terpejam menikmati hembusan lembut angin yang bagaikan tidak berkesudahan membelai wajah manisnya. Aku seolah-olah terpaku menatap wajah ayu tersebut. Jantungku mulai berdebar-debar. Terasa pula ingin melakukan sesuatu yang nakal pada pipi mulusnya. Namun bayangan lokap Balai Ampang Jaya segera membantutkan niatku itu.
“Bila Rina balik ke Malaysia nanti, segala-galanya akan berubah. Entah Arip pun akan berubah juga.” ujarnya lagi seraya membuka mata dan menatap tepat ke arahku. Aku yang masih memakukan mataku kepada Adrina segera melarikan pandangan.
“Tentulah. Masa tu saya akan jadi orang kaya dan amat hensem menawan.” ujarku pula dalam nada gurauan. Pandai aku mengatasi perasaan kekokku dengan pantas. Jadi wajarlah aku memuji diriku dengan sebegitu dahsyat sekali. Kami sama-sama tertawa.
“Kalau Arip dah jadi macam tu, tentu Arip akan lupakan Rina. Atau mungkin Rina dah jadi manusia yang tak penting dalam hidup Arip lagi.” taakul gadis itu pula. Aku terdiam. Eleh, entah-entah kau yang lupakan aku nanti. Lama aku termenung sambil memerhatikan sinar matahari yang semakin melunak di pandanganku.
“Saya pun tak tau. Mungkin vice-versa. Mungkin Rina juga akan berubah dan melupakan kami di sini bila di Milan nanti. Itu realiti, kan?” tanyaku kembali setelah memberikan balasan pada pernyataan Adrina tadi. Gadis tersebut tersenyum tawar. Nampaknya beliau juga terfikir akan hal yang sama.
“Cakap Arip memang betul. Kalaupun kita bercinta, mungkin ianya akan putus di tengah jalan nanti.” komen Adrina. Kata-kata Adrina tadi benar-benar membuatkan aku bungkam. Adakah beliau cuba memancing isi hatiku? Mungkin beliau ingin mengetahui perasaanku yang sebenar. Aku sedaya-upaya cuba mencari ayat yang sesuai untuk membalas kata-katanya tadi.
“Tapi saya percaya antara kita tak akan berubah walaupun kita dah berjauhan.” ujarku akhirnya.
“Kenapa? Apa yang buat Arip pasti macam itu?” tanya Adrina.
“Sebab pertalian yang ada di antara kita memang sangat istimewa. Ia dah melangkaui batas persahabatan dan cinta. Kita berdua saling memberi tapi tak pernah harapkan apa-apa. Ianya sangat ikhlas. Saya percaya yang pertalian sebegitu pasti akan kekal selama-lamanya.” jawabku dengan panjang lebar. Adrina seolah-olah tergamam dengan peneranganku. Lama gadis jelita tersebut meneliti wajahku untuk membaca maksud sebenar yang tersirat.
“Hm.” ujar Adrina seraya tersenyum. Beliau tiba-tiba merapatkan tubuhnya kepadaku. Hampir-hampir saja kami bersentuhan. Aku mulai berasa gementar. Jantungku mula berdegup keras.
“Kalau begitu, inilah pertalian yang paling indah Rina pernah alami dengan seseorang. Berbaloi rasanya kalau Rina berkorban dan melupakan Milan. “ ujarnya dengan lembut. Malah hampir seperti berbisik. Matanya yang bening menatap tepat ke dalam anak mataku, sedangkan senyuman penuh bermakna masih mengukir di bibir.
“Jangan, Rina. Jangan ke topik itu lagi.” tegurku. Adrina tertawa kecil Ternyata beliau menyakatku tadi. Kepalanya mengangguk kecil tanda menyetujui permintaanku.
“Kalau begitu, Rina akan tinggalkan sesuatu yang istimewa untuk pertalian Rina dan Arip di sini. Rina nak pastikan pertalian tu kekal sampai bila-bila. Rina bersedia untuk melangkaui batasan persahabatan dan cinta macam yang Arip cakapkan tadi.” Kata-kata tersebut bagaikan paluan petir di dalam sanubariku. Dadaku berasa sakit dek degupan jantung yang semakin tidak keruan. Aku tidak dapat menangkap sepenuhnya maksud kata-kata Adrina. Namun aku rasa aku tahu apa yang beliau mahukan dariku sekarang.
“Oro? Kau cakap apa ni?” tanyaku yang masih pura-pura tidak dapat menangkap maksud Adrina. Beliau tersenyum. Matanya merenung tepat ke mataku sebelum beliau mendekatkan bibirnya ke cupingku.
“Tiada sesiapa di rumah nenek Rina. Hanya kita berdua saja.” bisiknya. Jantungku semakin berdegup keras. Rasionalku hampir-hampir sahaja terhumban keluar. Adrina meletakkan kedua telapak tangannya di bahuku. Beliau menjilat bibirnya, Matanya masih tepat memandangku. Mulutnya sedikit terbuka. Taakulanku nampaknya benar belaka.
“Adrina…” ujarku.
“Sekali ni saja…” balas Adrina. Wajahnya semakin mendekatiku. Aku pasti bibir kami akan bertemu akhirnya. Aku tahu ianya adalah salah. Namun aku begitu menginginkannya. Tiba-tiba nada dering telefon Adrina berbunyi. Sekaligus ia mematikan perasaan pelik yang terbit di antara kami berdua tadi. Adrina segera mengeluarkan telefon selularnya dari poket.
“Hai Mama. Rina kat rumah nenek. Hm. Hm. Okey, Rina balik sekarang. Bye.” Nampaknya saat-saat romantik kami berdua berakhir di sini tanpa sebarang unsur-unsur Hollywood seperti yang kuharapkan. Dan yang paling malang ialah aku masih tidak berjaya memberitahunya akan perasaan sebenarku.
“Jom balik.” ajaknya. Senyuman masih terlakar di bibir. Hampir-hampir saja aku dapat membelainya dengan bibirku tadi. Apa nak buat… Malam ni aku cium bantal busukku lagilah gamaknya.
“One too many wasted sunset…” ujarku tiba-tiba.
“Mm?” tanya Adrina.
“Saya suka lagu Wasted Sunset nyanyian kumpulan Deep Purple. Dia nyanyi : one too many wasted sunset. Nizam kata maknanya banyak sangat terlepas peluang yang romantik.” ujarku dengan panjang lebar.
“Oh… ya ke? Hmm… It makes sense.” komen Adrina.
“I had.” ujarku.
“Had what?” tanya Adrina.
“I had one too many wasted sunset.” jawabku. Aku benar-benar berasa bengang dan kecewa dengan diriku sekarang. Tiba-tiba lenganku dipaut oleh Adrina. Apabila aku menoleh, beliau sedang tersenyum padaku.
“It’s okay. There’ll be another sunset.” pujuk Adrina. Beliau melepaskan rangkulan di lenganku dan mula bergerak menuju ke arah kereta.
“Rina…” seruku. Langkah Adrina mati. Tubuhnya kembali berpaling ke arahku.
“Apa yang saya cakap tentang ikatan istimewa yang buat kita tak berubah tadi…” ujarku.
“Hm… Kenapa?” tanya Adrina.
“Semuanya mengarut aje.” jawabku.
“Habis, apa yang buat Arip tak berubah nanti?” tanyanya pula.
“Cinta saya… pada Rina. Itu yang buat saya takkan berubah” jawabku. Adrina terpaku. Lama beliau merenung tepat ke mataku. Setelah beberapa ketika baharulah bibirnya mengorakkan senyuman.
“I’m glad to hear that.” balasnya lantas meneruskan langkah ke SUV beliau.
Aku pula masih tercegat di situ. Tiada apa lagi yang mampu kubuat selain melepaskan keluhan sesal. Aku sudah terlepas peluang dengan Shaleen. Dan kini dengan Adrina pula. Mungkin beginilah agaknya takdir perjalanan cintaku yang indah. Ianya cuma seketika… bagaikan mimpi sahaja. Aku tidak berpuas hati dengan takdir tersebut. Tapi hidupku ini bukanlah sebuah mahakarya cinta yang akan diagungkan hingga ke akhir zaman. Hidupku ini adalah suatu realiti… yang sebelum ini sering kusandarkan pada ilusi. Namun apabila realiti kembali mengetuk di pintu hidupku, tiada apa yang dapat kulakukan melainkan meneruskan kehidupan… dan membawa kesakitan di hati ini bersamaku.