“Rina, kita dah sampai.”
Adrina yang baharu saja dibuai mimpi membuka matanya. Nasib baik la minah ni bukan jenis berdengkur badak air. Tak pun lagi teruk air liur basi menjelejeh keluar dari mulut. Kalau macam itu aku kena ucap takziah la kat laki dia nanti.
“Hai.” tegurnya seraya tersenyum. Ewah… nak buat aksi manja-manja sleeping beauty pulaaak! Entah kenapa tiba-tiba aku terkenangkan bapak aku yang mesti terkentut lima enam kali setiap kali bangun dari tidur. Bunyi gemaannya yang mampu meruntuhkan gunung tu aku anggap jam loceng untukku bangun bersolat subuh.
Aku sempat menjeling jam. Dah pukul 4.12 pagi rupanya. Tadi di hospital terlalu banyak masa terbuang hanya untuk tunggu doktor bertugas datang memeriksa Adrina. Aku pula dah macam batang balak tidur di atas bangku panjang yang disediakan oleh pihak hospital. Sementelah Adrina turut kehilangan telefon selularnya angkara peragut-peragut brengsek itu, aku pinjamkan telefonku kepadanya untuk beliau menghubungi ibu bapanya. Aku malas nak mendengar biji butir perbualannya. Cuma sesekali terdengar esakan tangisnya tatkala beliau sedang bercerita. Aku terus berpura-pura tidur dan enggan bangun untuk menenangkan Adrina. Nanti mesti nak berpeluk lagi. Seronok tu memang la seronok. Tapi… aku takut hatiku semakin keliru nanti. Semenjak akhir-akhir ni aku berasakan bahawa hubungan platonik antara aku dan Adrina dah semakin jauh tersasar dari matlamat asal.
“Kita dah sampai. Jom.” maklumku.
“Dukung.” pinta Adrina. Ewah-ewaaah! Tadi bukan main aktif jalan ke sana-sini macam kuda equestarian alih-alih nak berdukung pulak?
“Jangan nak mengada. Nak dukung-dukung pulaaak. Kau bukannya dugong perlu nak berdukung.” sindirku seraya tertawa. Adrina mencebikkan bibir. Marah le tu.
“Kalau Shaleen tu tentu boleh.” omelnya.
“Tak adanya! Korang berdua ni kalau aku dukung berat sekor-sekor macam tujuh guni beras. Mau terkehel tulang bontot aku, tau?” balasku. Kami sama-sama tertawa.
“Okey. Kalau Arip cakap macam tu baru adil.” ujarnya.
“Adil apa pulak? Bukannya korang berdua bermadu jadi bini aku.” perliku seraya tertawa. Lepas tu baharu la aku menyumpah dalam hati sebab bermulut capui sangat.
“Perasan la abang kita sorang ni… Nak kahwin dua kunuuun. Siapa entah nak kahwin dengan dia! Tak malu…” kutuk Adrina kembali. Kini giliran dia pulak ketawa. Aduss… tepalu hatiku dengan usikannya itu. Entah kenapa aku berasa agak kecewa bila Adrina berkata sedemikian rupa.
“Yalah… kita sedar la siapa diri kita ni. Rupa tiada… harta pun kurang. Bulu hidung pun panjang.” balasku. Berderai tawa Adrina menggemai (ada ke perkataan ni wahai editor?) ruang lingkup SUV. Aku pun turut tertawa. Berjaya juga aku menyembunyikan perasaanku tadi.
Pun begitu aku tetap memapah Adrina masuk ke rumahnya. Nasib baik la tembok rumahnya setinggi Tembok Besar China. Kalau ada jiran yang ternampak kami tentu akan ingat yang bukan-bukan. Rumah orang-orang kaya ni memang selalunya tak ada semangat nak berjiran. Kalau aku jadi billionair nanti aku akan tiap-tiap hari bertandang ke rumah jiran tetangga untuk bagi juadah kek pisang. Tambahan pulak la kalau dia ada anak dara yang lawa macam Maya Karin.
“Masuklah. Jangan malu-malu. Hanya kita berdua saja.” sakat Adrina. Dalam jalan terengkat-rengkat tu berani nak buat provokasi lagi.
“Kalau parents Rina tau, tentu depa marah.” taakulku. Adrina menggelengkan kepala.
“Rina dah bagitau. Ayah tak kisah. Nampak sangat dia percayakan Arip. Mama… Mama tak peduli pun.” maklum Adrina. Aii… moden sungguh pemikiran mak bapak Adrina. Kalau bapak aku sahih berbirat kena batang beluti.
“Kalau geng Majlis Agama Islam datang, mampus kita.” telahku pula.
“Kita kahwin saja la. Apa susahnya?” usik Adrina seraya tertawa.
“Mudahnya cakaaap. Kita ni tak sekufu’ dari segi status, tau? Takkan kau nak pilih orang yang macam aku ni?” balasku merendah diri.
“Habis tu, Shaleen pun anak orang kaya juga. Lagi kaya dari Rina, tau?” tingkah Adrina. Nyatalah nadanya berbunyi kurang senang walaupun dia anak ‘orang senang’. Ewah! Sempat buat lawak!
“Sebenarnya… sebenarnya aku tak nak harap apa-apa di antara aku dengan Shaleen. Memang jurang status kami berdua terlalu besar. Tak… tak mungkin dia akan… Yalah… tak mungkin…” maklumku sambil menelan air liur kepahitan. Adrina mendekatiku. Bahu kananku dipegang lunak olehnya.
“Rina tak tau pendirian Leen dalam cinta. Tapi… Rina hanya akan berkahwin dengan orang yang boleh membahagiakan hidup Rina. Rina tak kira siapa dia dan apa status dia. Okey, Arif Akmal?” maklumnya. Nada tersinggung masih ketara pada bait-bait katanya. Kemudian beliau terus melangkah (mendengkot sebenarnya) meninggalkanku. Aku pula tak terkata apa-apa.
“Arip. Di dapur tu ada macam-macam makanan. Makan la kalau Arip lapar.” teriak Adrina dari biliknya yang berada di tingkat atas beberapa minit kemudian.
“Kalau aku jumpa kucing parsi kau kat dapur, boleh tak aku baham?” tanyaku dengan niat melawak. Senyap. Tiada balasan atau tawa Adrina. Nyatalah beliau masih berasa marah. Aku dah jadi macam ni nak makan pun tak ada selera. Jadi aku mengambil keputusan untuk terus berbaring di atas karpet ruang tamu dan memejamkan mata. Empuknya karpet ni. Kalau di rumah aku, karpet macam ni mau cuma dipakai masa hari raya aje. Itupun tak termasuk Gong Xi Fa Cai dan Deepavali. Ah, hari Gawai pun tak juga.
“Arip… kenapa tidur kat sini? Tidur la elok-elok.” Aku terus membuka mata tatkala mendengarkan suara lunak Adrina bersama sentuhannya. Ish, aku betul-betul dah tertidur rupa-rupanya. Tadi rasanya macam tengah tengok cicak mengawan kat atas siling aje.
“Hari Gawai tak payah la pakai karpet ni.” ujarku.
“Ha? Apa Arip cakap ni? Ariiip… Arip mamai lagi nii… Bangun laa…” Sekali lagi mataku terbuka. Aku berasakan tubuhku digoyang-goyang dengan lembut. Aku memfokuskan pandanganku ke arah Adrina. Beliau kelihatan seperti baharu saja lepas mandi. Beberapa titis air di rambutnya menitik ke mukaku.
“Berapa lama saya tertidur?” tanyaku. Bibir gadis yang duduk di sisiku ini mengorak senyuman manis.
“Rina mandi dekat setengah jam. Lepas bersiap Rina turun ke bawah. Tengok-tengok Arip tengah sedap berdengkur.” jawabnya yang tak seperti menjawab soalanku tadi. Tak pedulilah. Bukannya dapat markah macam ujian lisan SPM pun. Aku perlahan-lahan bangun. Baharulah aku dapat melihat fizikal Adrina secara keseluruhannya. Beliau hanya memakai baju T yang longgar dan seluar pendek. Putih mulus lagi melepak pahanya pada pandanganku. Gamaknya kat situ pun dilumurnya Fair and Lovely.
“Ai? Mata tu tengok ke mana?” tanya Adrina dengan nada menyindir.
“Sorry. Mata aku memang nak pandang wajah cantik kamu dan hanyut dalam mata bening kamu. Tapi paha putih melepak lagi seksi kamu mengatasi segala-galanya.” jawabku dalam melawak juga. Adrina tertawa besar.
“Hmh!” ujarnya seolah-olah marah.
“Sorry…” ucapku lagi.
“Kena bayar penalti sebab miang sangat. Tolong sapu ubat dan balut luka Rina kat siku ni. Rina dapat buat di muka dan lutut tapi kat siku ni tak boleh.” pintanya sambil menunjukkan siku kanannya yang mengalami luka tersagat.
“Okey, boss.” jawabku. Aku segera mengambil peti kecemasan yang diunjukkan oleh Adrina kepadaku.
“Angkat siku tu tinggi sikit. Saya nak sapu ubat ni.” pintaku. Adrina akur. Oleh kerana baju T beliau besar lagi menggelebeh, ternampak jelas di mataku bahagian ketiaknya tatkala tangan kanannya diangkat. Dan sudah tentu sedikit dari bahagian dadanya juga ternampak pada mata kasarku. Jantungku bagaikan terhenti seketika. Namun aku buat selamba dan meneruskan kerjaku. Badan gadis di hadapanku ini masih panas. Nampaknya dedar demamnya belum mahu surut. Akhirnya sempurnalah balutanku ke sikunya. Adrina tersenyum.
“Kenapa?” tanyaku.
“Nampak apa-apa yang menarik tadi?” tanyanya. Senyuman mengusik melirik di bibirnya. Siul! Dia perasan rupa-rupanya!
“Hm. Bulu ketiak kau boleh tahan banyaknya…” komenku. Adrina berteriak kecil dan memukulku.
“Jahat la Arip niii!!!” bentaknya. Aku tertawa terbahak-bahak. Mataku menyorot ke arah balutan lututnya pula.
“Ni macam mana Rina balut lutut ni? Macam burung gagak buat sarang aje! Bak sini biar aku balutkan semula.” saranku. Adrina menghulurkan kaki kanannya kepadaku tanpa banyak soal. Aku perlahan-lahan membuka balutan yang tidak kemas tersebut.
“Ouch…” ujar Adrina. Mungkin berasa sakit kerana kulitnya yang terlekat pada kain kasa balutan tadi tertarik sekali tatkala kutanggalkan balutan tersebut.
“Sorry… sorry…” ujarku seraya meniup dengan lunak ke tempat lukanya.
“Aaa…” ujar Adrina pula.
“Sakit ke?” tanyaku. Adrina menggelengkan kepala. Aku terus membubuh ubat kembali ke tempat lukanya dan kemudian membalut dengan kemas menggunakan kain kasa dan plaster yang baharu.
“Okey, dah siap. Sekarang kat muka pulak. Tak payah la tampal tebal-tebal begitu. Macam buruh Myanmar nak ikat bata aje.” komenku seraya tertawa.
“Emh!” rengek Adrina dengan nada tak puas hati. Aku segera menanggalkan balutan pada bahagian pipi kanannya pula.
“Isk! Sakit…” rengek gadis tersebut. Ish… Mengada-ngada la minah ni! Tadi kakak nurse gemuk kat hospital balut luka-lukanya macam memaku ke dinding elok aje tak mengomel.
“Sorry… sorry…” pohonku.
“Tiup.” pinta Adrina seraya menghulurkan pipi kanannya. Aku tanpa berfikir panjang terus meniupnya.
“Aaa…” ujar Adrina dengan perlahan. Oro? Ini rasa ngilu ke atau terangsang ni?
“Tiup lagi.” pintanya dengan nada separa manja. Entah mengapa aku kali ini akur sahaja melakukannya. Aku meniup perlahan-lahan di luka tersebut.
“Aaarif…” Tanpa kuduga Adrina terus merapatkan wajahnya ke pipi kananku dan menciumnya. Kemudian menciumnya sekali lagi. Kemudian menekan bibirnya lama-lama ke pipiku. Desah nafasnya jelas kedengaran pada telingaku.
Aku pula benar-benar tak tahu apa yang patut kulakukan sekarang!
Buat masa sekarang ni, perkara yang paling menyakitkan hati aku ialah perangai setan Zionis, perangai hipokrit Amerika dan Peranchis, perangai pilih kasih PBB, perangai pengecut negara-negara Arab dan perangai zalim negara Mesir yang menyekat bantuan dari luar. Saban hari ianya keluar dalam berita. Dan kalau anda semua perasan, setiap tahun Zionis akan menyerang negara Palestein. Setiap tahun. Bezanya kali ini ianya secara besar-besaran kerana nak menutup malu dek kalah dalam peperangan 34 hari dengan Lebanon (terima kasih kepada Hizbullah).
Di Malaysia, seperti biasa kita akan buat demonstrasi, hantar surat bantahan (macam la diorang nak baca), buat solat hajat serta berdoa dan menyeru agar barang-barang Amerika serta Yahudi diboikot.
Bagiku, ini sajalah yang mampu kita buat. Namun yang aku kesalkan ialah kita membuatnya setakat setengah masak aje. Sebelum solat Jumaat, imam menyeru agar jemaah menunggu seketika untuk bersolat hajat agar umat Islam di Palestein diselamatkan dan Zionis dihancurkan. Tapi aku berasa kesal kerana lebih dari separuh jemaah terus pulang selepas solat Jumaat. Beginilah lemahnya ukhuwah umat Islam di Malaysia. Kemudian imamnya pula berdoa secara umum sahaja. "Hancurkanlah musuh-musuh Islam di muka bumiMu ini." doanya. Oro? Kenapa tak mahu spesifikkan doanya? Doa ajelah "Ya Allah, turunkan hujan api di negara Zionis seperti mana Engkau menurunkannya di kota Sadum dan Gomorah. Datangkanlah ribut yang dahsyat sepertimana Engkau mendatangkannya terhadap kaum 'Ad. Benamkanlah kesemua rakyat Zionis dengan banjir yang besar sepertimana Engkau membenamkan kaum Nabi Nuh 'Alaihissalam. Telanlah mereka semua ke dalam perut bumi sepertimana Engkau melakukannya terhadap Qarun."
Spesifikkan ajelah doa itu. Kenapa berbentuk umum sahaja? Memanglah sepatutnya solat hajat bukan untuk meminta kecelakaan terhadap seseorang tetapi umat Islam di Gaza sedang dizalimi dengan dahsyatnya. Aku tak faham mengapa imam tersebut berdoa sebegitu umum sekali. Apa, dia takut dituduh sebagai anti-Semitik ke? Bila bab boikot lagilah aku sedih. Seorang ustaz tu berdegar-degar memaki Zionis dan Amerika selepas solat. Sambil tu bukan main sedap lagi dia menikmati rokoknya. Aku bagitau yang kebanyakan rokok adalah dari syarikat Yahudi yang menyumbang hampir 20% pendapatan mereka untuk negara Zionis. Jadi sepatutnya kerajaan Hadhari kita sekarang ni dah menyekat import rokok dari syarikat-syarikat tersebut. Dan kita sebagai umat Islam sepatutnya berhenti membeli dan menghisap rokok sebagai tanda boikot. Juga berhenti pergi ke KFC, Mac Donalds, Pizza Hut, Dunkin Donuts dan semua restoran daripada Amerika. Bukan setakat Starbucks aje.
Tau apa kata ustaz tu? "Aku kalau sehari tak merokok ni susah la pulak nak buat kerja." Itulah ujarannya. Aku tersenyum dan dengan selamba berkata "Ustaz, harga rokok tu 60 sen sebatang, kan? Jadi setiap kali ustaz hisap sebatang rokok, ustaz ingatlah bahawa sebanyak 12 sen akan didermakan oleh ustaz sendiri kepada negara Zionis yang ustaz laknat tadi untuk membeli senjata membunuh orang Islam. Assalamualaikum." Itulah kataku lebih kurang. Aku tau tak sepatutnya aku berkata begitu. Namun aku berasa kesal kerana itulah ukuran iman majoriti umat Islam di Malaysia ni.
Selamat menjamu selera di Mac Dee...
5 comments:
wahh...org pertama komen..hmm...episod kali ni mmg suasananya dpt dirasakan..sakit ek..n betul kata bro nami ttg apa yg berlaku kat Palestin n ttg kita umat islam di Malaysia...semoga iman kita kepadaNYA semakin teguh dan bersih dalam mengharungi hari2 yg mendatang dan bukan sekadar ckp saje...
kenapa skarang ni cite ni kuar ayat yang merapu je banyak..
Gua rasa dari dulu lg penulis nie suka pakai ayat merapu banyak2. Wakakakak! jangan maree...
Ayat merapu banyak? Tak kot? Cuma aku banyak guna perkataan yang tak biasa dipakai. Contohnya :
Menjelejeh : Meleleh
Platonik : Hubungan antara lelaki dengan perempuan tanpa sebarang perasaan cinta
Equestarian : Pertandingan elit yang membabitkan gaya menunggang kuda
Capui : Ni slanga orang Perak. Maknanya lancang.
Terengkat-rengkat : terdengkot-dengkot, pincang
Sekufu' : setara
Mamai : Mengigau
Kalau ayat merapu tu, memang betul la merapu. Itu sebab aku ni tak anggap diri aku sebagai penulis dalam cerita ni tetapi sebagai pencerita.
Bagaimanapun, terima kasih untuk komen kamu. :)
hmm..ade ayat-ayat merapu ke??i dont think so..sbb kadang2 those words ada gak digunakan dlm novel..
Post a Comment