Tajuk : Ibnu Hibban
(Part 2)
“Baiklah, tuan pendakwaraya. Apa yang tuan ingin
cakapkan tadi?” tanya Tuan Qadhi tersebut bersama senyuman yang penuh dengan
teka-teki. Si pendakwaraya hanya merenung tajam Tuan Qadhi Ibnu Hibban yang
sekali lagi mencetuskan kontroversi dengan hukumannya tadi.
“Mengapa Tuan Qadhi melepaskan kedua pasangan
berkhalwat tetapi menghukum orang-orang baik yang telah melakukan kerja amal
ma’aruf dan nahi mungkar?” pertikai pendakwaraya tersebut yang cuba sedaya-upaya
mengawal kemarahannya. Namun getaran tidak sekata pada tonasi suara beliau
jelas memberitahu Ibnu Hibban tentang perasaannya yang sebenar.
“Baik? Kerja amal ma’aruf dan nahi mungkar?” tanya
Qadhi tersebut kembali.
“Ya! Itulah saya perkatakan tadi!” ujar tuan
pendakwaraya dengan nada hampir membentak. Ibnu Hibban ketawa kecil. Beliau
kemudian menyebut surah al-Hujurat ayat ke dua belas dalam al-Quran. Buat
seketika tuan pendakwaraya tersebut terpegun mendengar pembacaan yang begitu
elok dan merdu sekali.
“Wahai orang-orang yang beriman. Jauhi kebanyakan
buruk sangka yakni kecurigaan, kerana sebahagian dari buruk sangka itu adalah
suatu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang lain dan janganlah kamu
mengumpat antara satu sama lain...” terjemah Ibnu Hibban sambil merenung tepat
ke arah tuan pendakwaraya.
“Tuan pendakwaraya; nahi mungkar itu bermakna
mencegah kemungkaran. Bukannya menyediakan perangkap untuk saudara seagama kita
agar kita berasa gembira melihat mereka dihukum. Para petugas dari Jabatan Amal
Ma’aruf dan Nahi Mungkar mempunyai segala peluang untuk mencegah kedua pasangan
berkhalwat tersebut dari menyewa bilik hotel dan melakukan maksiat di dalamnya.
Namun mereka nampaknya menunggu dan memasang perangkap untuk memastikan kedua
pasangan tersebut dihukum. Adakah ini merupakan ruh Islam yang Allah mahukan?”
Kali ini tuan pendakwaraya benar-benar kehilangan kata-kata. Beliau menundukkan
kepala. Hukuman ke atas para petugas Jabatan Amal Ma’aruf dan Nahi Mungkar
tersebut dikekalkan.
********************************
Beberapa hari kemudian baharulah Ibnu Hibban
menjengah masuk ke bilik ketuanya yang dikenali sebagai Maulana Syaukanee.
Ketuanya itu mengerutkan dahi sebaik sahaja melihat kelibat Ibnu Hibban yang
tersengih-sengih. Pun begitu Syaukanee tetap mempersilakan Qadhi muda tersebut
duduk.
“Sudahkah kau menjatuhkan hukuman ke atas pemilik
hotel tersebut?” tanyanya dengan nada serius. Ibnu Hibban mengangguk.
“Tahu tak betapa marahnya Jabatan Amal Ma’aruf dan
Nahi Mungkar kerana mereka didenda sebanyak dua ribu Dinar?” tanya Syaukanee
pula.
“Itu salah mereka kerana tak mengikut peraturan dan
tak mengajar anak-anak buah mereka tentang peraturan yang betul.” tingkah Ibnu
Hibban mempertahankan diri.
“Kau tahu tak bahawa kau boleh hanya memberikan
amaran kepada jabatan itu dan tak perlu mendenda?” tanya Syaukanee.
“Sejak bila pula Jabatan Kehakiman perlu berasa
takut kepada Jabatan Amal Ma’aruf dan Nahi Mungkar?” tanya Ibnu Hibban pula yang
lebih merupakan suatu tempelakan. Syaukanee yang kini berumur genap 75 tahun minggu
lepas merenungnya dengan tajam. Namun pemuda di hadapan beliau begitu berani
membalas pandangan tajam Ketua Qadhi Jabatan Kehakiman tersebut.
“Kau ini memang sungguh berani.” omel lelaki tua
itu.
“Berani terhadap Jabatan Amal Ma’aruf dan Nahi
Mungkar atau berani menentang pandangan tajam tuan?” tanya Ibnu Hibban.
Syaukanee menggelengkan kepala.
“Dalam sekejap masa kau sudah mencetuskan kemarahan
beberapa jabatan dan kementerian. Malah kau kini mendapat perhatian Amirul
Mukminin kita.” maklum Syaukanee yang kini memberikan jawapan pada
pernyataannya tadi.
“Jadi benarlah mereka sedang mencari jalan untuk
memecat saya?” tanya Ibnu Hibban.
“Aku sebenarnya tak pasti. Namun desas-desus
tersebut begitu kerap sekali singgah ke telingaku.” jawab Syaukanee.
“Tuan, ingat tak surah ali-‘Imraan ayat 173 tentang
kata-kata seorang yang beriman apabila dia dikepung dan diancam oleh
orang-orang musyrik?” tanya Ibnu Hibban.
“Hasbunallahi wani’mal wakeel (cukuplah Allah untuk
kami dan Dia adalah sebaik-baik Pengurus).” jawab Syaukanee. Ibnu Hibban
tersenyum dan bangun untuk meninggalkan ketuanya. Beliau tanpa berkata apa-apa
terus bergerak menuju ke arah pintu. Syaukanee hanya merenung pemuda yang keras
kepala itu di hadapannya. Namun beliau memang menyedari siapa Ibnu Hibban
sebenarnya. Pemuda tersebut pernah terlibat dalam konflik peperangan di Syria
sebelum mendapatkan kewarganegaraan di Daulah Maddaniyah. Manusia yang entah
berapa ratus kali merenung kematian di depan matanya itu sudah tentu tidak
gentar dengan permainan politik orang-orang yang hanya duduk bersenang-lenang
di rumah mewah mereka sambil membaca kitab-kitab. Ibnu Hibban yang setiap masa
mempelajari al-Quran dan hadis-hadis beberapa minit sebelum menyerang sasaran
musuh tentulah tidak sama penghayatannya dengan mereka.
Sesungguhnya Allah telah mengurniakan ingatan yang
ajaib untuk Ibnu Hibban kerana beliau dengan mudah menghafal dan mampu berdebat
dan mentarjih hukum-hakam syarak dengan begitu baik sekali. Beliau difaqihkan
oleh Allah dalam agama serupa dengan seorang tokoh yang alim dalam bidang hadis
iaitu Ibnu Hibban yang meninggal dunia pada tahun 354 Hijrah. Kerana itu Amirul
Mukminin telah berkenan untuk melantiknya sebagai seorang Qadhi, iaitu jawatan
hakim dalam usia sebegitu muda.
Namun dek kerana darah mudanya itu jugalah Ibnu
Hibban kini telah bergesel dengan hampir kesemua ‘orang-orang besar’ dalam
jabatan kerajaan. Beliau sedikitpun tidak berasa gentar dengan tekanan dan
ancaman yang bakal dihadapi. Syaukanee sebenarnya memang mengkagumi sikap hitam
dan putih Ibnu Hibban. Beliau yakin pemuda tersebut akan menjadi salah seorang
tokoh yang membawa kepada perubahan besar dalam negara tersebut. Namun kini
beliau bimbangkan nasib Ibnu Hibban yang mungkin akan dianiaya oleh orang-orang
yang memusuhinya.
Syaukanee mendail nombor pada telefon tangan. Beliau
menunggu seketika sebelum panggilannya itu bersambut.
“Assalamu ‘alaikum. Apa khabar tuan guru Syaukanee?”
sapa orang yang menerima panggilan dengan mesra.
“Wa’alaikum salam warahmatullah, Amirul Mukminin.”
balas Syaukanee dengan nada hormat.
“Sudahkah tuan guru berjumpa dan bercakap dengan
Ibnu Hibban?” tanya Amirul Mukminin.
“Ya. Baharu sekejap tadi. Nampaknya dia tetap dengan
pendiriannya dan enggan berganjak. Saya bimbang beliau akan dianiaya oleh
musuh-musuh ciptaannya kelak.” jawab Syaukanee. Amirul Mukimini tertawa.
“Ingat tak surah ali-‘Imraan ayat 170?” tanya Amirul
Mukminin. Syaukanee pula ketawa kecil kali ini.
“Bukan 170. Ayat 173. Baharu tadi Ibnu Hibban
menyebutnya.” balas Syaukanee. Amirul Mukminin ketawa besar. Mungkin untuk
menutup malunya kerana tersilap tadi.
“Kalau begitu, tidak perlu kita bimbangkan akan
nasibnya. Dia sendiri telahpun menyerahkan bulat-bulat nasibnya kepada Allah.
Tentu Allah akan menjaga dan melindungi hamba yang bertaqwa seperti Ibnu
Hibban.” ujar Amirul Mukminin.
“Ya.” balas Syaukanee.
“Saya melantiknya kerana saya berasakan bahawa
terlalu ramai manusia berperangai munafik dalam sektor pemerintahan Daulah
Maddaniah. Saya sendiri tak berdaya untuk mengekang nafsu mereka pada kuasa dan
harta. Saya berharap... saya benar-benar mahu Ibnu Hibban memerangi mereka
dengan ketaqwaannya dan membersihkan kepimpinan Daulah Maddaniah daripada
manusia-manusia korup ini.” perjelas Amirul Mukminin dengan panjang lebar.
“Kata-kata Amirul Mukminin tadi jelas memaklumkan
kepada saya bahawa Ibnu Hibban adalah buah catur yang akan dikorbankan pada
bila-bila masa sahaja demi untuk memenangi permainan ini.” Terdiam Amirul
Mukminin mendengarkan kata-kata Syaukanee.
- Bersambung di Part 3 -