MetroPolis Episod 3
Bab 7
Jurang
Di Masjid As-Syakirin...
Akhirnya selesai sudah Remy menunaikan solat sunat menghormati masjid. Pandangannya lekas sahaja menghala ke arah Ren Fairuz. Penjaga masjid tersebut yang sebenarnya adalah salah seorang dari empat pendekar Organisasi terhandal di dunia masih khusyuk membilang tasbih. Pembacaan zikirnya begitu tertib dan merdu sekali. Ternyata beliau amat berakhlak dalam memuji-muji nama Tuhan yang Maha Esa sungguhpun memiliki kedudukan dan kuasa yang amat tinggi. Remy mengesot-ngesot mendekati. Beliau enggan walau sedikitpun mengganggu konsentrasi orang yang amat dihormati dan digeruninya itu.
Tidak sampai sepuluh saat kemudian, akhirnya sempurnalah pembacaan zikir Ren Fairuz. Beliau perlahan-lahan berpaling memandang ke arah Remy. Kedua tangannya terlebih dahulu dihulurkan untuk bersalaman. Remy yang berasa malu dengan keadaan tersebut bersegera menyambut salam si Maharaja Pemancung Angin.
“Mari kita keluar untuk berbual. Saya takut kalau-kalau kita membicarakan hal-hal keduniaan atau perkara yang sia-sia di dalam tempat yang suci ini nanti.” saran Ren. Remy mengangguk tanda setuju. Mereka beriringan keluar menuju ke sebuah bilik mesyuarat yang terpisah dari tempat ibadat tersebut. Bilik tersebut yang terletak di bahagian belakang masjid mampu memuatkan lebih kurang sepuluh orang dewasa untuk mengadakan perbincangan di situ. Remy terus sahaja ingin membuka penghawa dingin namun ditegah oleh Ren Fairuz.
“Penghawa dingin ini adalah untuk urusan masjid. Apa yang kita akan perbualkan nanti tidak ada kena-mengena dengan hal tersebut. Mari kita buka tingkap sahaja.” saran Ren. Remy akur. Begitulah warak serta amanahnya orang yang memiliki Karamah seperti Ren. Mereka kemudiannya duduk menghadap antara satu sama lain.
“Awak sudah lama mengetahui siapa saya, Remy. Namun baru sekarang awak mahu bertemu empat mata dengan saya. Tentu ada sesuatu yang awak mahukan.” ujar Ren membuka bicara. Remy terdiam. Air mukanya berubah. Nampaknya lawan sembangnya itu enggan berbasa-basi dan terus ke topik sebenar. Ren Fairuz pula sabar menunggu bait-bait bicara daripada bekas anggota Guardian tersebut.
“Tuan Windblade... saya telah melakukan kesalahan yang amat besar hingga mengakibatkan orang yang tak bersalah menjadi mangsa. Saya tak fikir saya patut diampuni atas kesalahan saya itu. Saya berasa amat sengsara dan tak mampu hendak menanggung rasa bersalah ini.” maklum Remy dengan suara yang tersekat-sekat.
“Adakah ia ada kena-mengena dengan cik Catherine?” tanya Ren Fairuz. Remy langsung menundukkan kepala.
“Jadi awaklah orangnya yang telah menggodam arahan agar algojo Don menyerang Enbi dan Catherine.” taakul Ren dengan nada kesal.
“Saya sebenarnya merancang untuk memerangkap algojo-algojo itu agar bertempur dengan kumpulan MetroPolis iaitu Catherine, Ganshamdass, Terawez dan saya sendiri. Dengan gabungan kekuatan kami, mustahil ketiga-tiga algojo tersebut akan menang. Tapi saya tak sangka algojo-algojo itu tidak benar-benar mematuhi arahan dan menyerang Enbi serta Catherine di tempat lain. Saya benar-benar tidak berniat membahayakan nyawa Enbi dan Catherine.” perjelas Remy.
“Ini adalah perkara-perkara yang tak terjangka dalam strategi peperangan. Awak adalah seorang tentera Organisasi berpangkat Guardian. Awak tentu lebih memahami akan konsep tersebut lebih daripada orang lain, Remy.” tegur Ren.
“Ya, saya sepatutnya memahaminya. Tapi saya seorang yang sangat mementingkan diri.” balas Remy yang masih menundukkan wajahnya. Tidak lama selepas itu kedengaran bunyi esakan halus daripadanya. Ternyata Remy gagal menahan perasaan sesal serta bersalahnya kali ini. Ren Fairuz menggelengkan kepala seraya mengeluh kecil.
********************************************
Beberapa hari kemudian di balai MetroPolis...
Enbi yang baharu sahaja pulang dari Dubai kini begitu sibuk sekali membahagi-bahagikan barang-barang yang dibelinya di sana. Kebanyakan barang-barang tersebut adalah hasil pertukangan rakyat Dubai sendiri. Negara tersebut yang dahulunya seratus-peratus bergantung pada hasil minyak dan pelancongan telah mengalami kebejatan ekonomi semasa berlaku peperangan Emissary. Jadi rakyatnya kini bergantung pada hasil kraftangan dan makanan kering pula sebagai sumber ekonomi utama. Namun selepas berbai’ah dengan Organisasi, negara Dubai dijangkakan sekali lagi akan menjadi sebuah negara yang kaya-raya dan makmur.
“Sila ambil bungkusan cenderamata itu, tapi seorang satu saja. Hei Nicol! Janganlah membelek-belek pula. Semuanya sama saja. Ambil saja satu.” ujar Enbi bagaikan seorang peniaga ikan basah di pasar.
“Abang ngah! Kenapa Ren menyibuk nak ambil satu? Dia bukannya anggota MetroPolis.” protes Nazrul yang berkali-kali menepis tangan Ren Fairuz.
“Ala, biarlah ustaz ambil satu. Banyak lagi tu.” balas Enbi.
“Terima kasih, Enbi. Haha!” Ren Fairuz sengaja ketawa dengan nada menyindir sambil memandang ke arah Nazrul. Nazrul yang berasa tidak puas hati dengan keputusan abangnya itu hanya mampu mengacukan penumbuk ke arah Ren.
“Hai! Apa khabar semua!” Sekonyong-konyongnya muncul Catherine di pintu utama balai. Beliau kali ini tidak menggunakan kerusi roda namun tangan kanannya memegang kemas sebatang tongkat. Kesemua anggota MetroPolis yang berada di balai segera menyapa Catherine kembali dan dua tiga daripada mereka pergi mendapatkannya.
“Catherine, marilah duduk dulu.” saran Nicol yang kini memimpin tangan gadis itu.
“Ah, terima kasih Nicol. Apa khabar Enbi?” ucap Catherine seraya memandang ke arah Enbi. Enbi tersenyum dengan riak wajah yang agak kekok.
“Aku okey. Ambillah salah satu bungkusan hadiah yang ada di atas meja tu, Cat. Aku belikan untuk semua orang.” pelawa Enbi.
“Saya dah duduk ni Malas nak bangun. Boleh ambilkan untuk saya?” pinta Catherine yang cuba untuk mengusik Enbi. Enbi tanpa berkata apa-apa terus sahaja mengambil sebungkus cenderamata tadi lalu diunjukkan kepada Catherine. Wajah gadis manis tersebut agak berubah tatkala menerimanya.
“Biasanya Enbi akan membebel dan memprotes sebelum membuat sesuatu yang saya pinta.” ujar Catherine.
“Oh, yakah?” balas Enbi dengan gaya yang serba tidak kena.
“Terima kasih, Enbi. Saya akan sangat menghargai pemberian Enbi ini.” ujar Catherine. Enbi tersenyum. Namun senyuman itu bersulam dengan kepahitan perasaannya. Kini di antara mereka ternyata serba kekok dan nampak tidak kena. Seolah-olah persahabatan mereka berdua mempunyai jurang di antaranya yang semakin melebar dan mendalam.
********************************************
Beberapa jam kemudian...
“Hei, seronokkah berjanji temu tempohari?” tanya Nicol dengan nada mengusik setelah dilihatnya Nazrul terlalu asyik bermain mesej teks di telefon selular. Pada waktu ini mereka berdua ditugaskan untuk menjaga balai.
“Tentulah! Kami selepas itu ada dua tiga kali lagi berjanji temu.” balas Nazrul. Agak terkejut Nicol mendengarnya.
“Kau betul-betul serius dengannya Nazrul?” tanyanya. Namun Nazrul yang sedang bermain mesej teks tersebut tidak menjawab. Ternyata soalan yang diutarakan oleh Nicol tadi gagal menyinggah ke otaknya. Nicol merengus.
“Hei!” ujar Nicol seraya cuba merabut telefon selular Nazrul di tangan. Namun tidak berjaya.
“Eh, apa ni Nicol?” tanya Nazrul dengan nada kurang senang.
“Kaulah! Aku tanya tadi tapi kau terlalu sibuk bermain mesej teks. Kurang sopan betul kau tak melayani pertanyaan gadis secantik aku ni.” bentak Nicol dengan nada kurang senang. Nazrul tertawa.
“Kau ni memang anak manjalah! Selalu saja nak orang lain bagi layanan dan perhatian pada kau seorang.” komen Nazrul. Nicol mencebik. Beliau berasa geram dengan sikap acuh tidak acuh Nazrul terhadapnya kebelakangan ini.
“Kau benar-benar serius dengan gadis itukah?” tanya Nicol.
“Ya, aku serius. Aku sangat menyukainya.” balas Nazrul.
“Biar benar! Kau baru saja berkenalan dengannya tidak sampai dua bulan. Takkanlah boleh jatuh cinta pula!” pertikai Nicol.
“Apa salahnya, Nicol? Asalkan dia ada ciri-ciri yang aku sukai. Tak salah untuk aku jatuh hati padanya, kan?” tanya Nazrul untuk mempertahankan keputusannya. Nicol terdiam seketika. Matanya merenung tepat ke arah Nazrul yang kini membaca mesej teks yang baharu diterima.
“Siapa nama gadis itu?” tanyanya. Nazrul tidak menjawab. Tumpuannya seratus-peratus pada mesej teks seperti tadi.
“Nazrul...” seru Nicol dengan lembut. Kali ini Nazrul berpaling ke arahnya.
“Hm? Kau ada cakap sesuatukah tadi?” tanya Nazrul.
“Siapakah nama gadis itu?” tanya Nicol. Nadanya tenang sungguhpun beliau berasa amat tersinggung dengan perlakuan Nazrul tadi.
“Raihanah. Namanya Nur Raihanah. Cantikkan namanya?” Kata-kata terakhir Nazrul tadi tidak langsung menyukakan hati Nicol. Namun beliau enggan menunjukkan perasaan itu di hadapan sahabatnya.
“Boleh aku tahu apakah ciri-ciri dia yang kau suka?” tanya Nicol. Nazrul terdiam seketika. Beliau memandang ke siling seolah-olah memikirkan sesuatu dan kemudian tersenyum.
“Dia lemah-lembut. Tutur katanya lembut dan sopan. Setiap kata-kata yang dia ucapkan penuh dengan perasaan merendah diri. Dia tidak cepat menaksir perilaku seseorang dengan hanya sekali pandang sahaja. Setakat ini dia tidak langsung menampakkan ciri-ciri perempuan yang mengejar kebendaan. Dia pandai memberikan nasihat dan motivasi yang menyukakan hati dan perasaanku. Aku juga nampak ciri-ciri keibuan di dalam dirinya. Dia bagaikan cahaya bulan yang bersinar terang dalam ribuan gugusan bintang di langit.” Kata-kata Nazrul itu membuatkan Nicol terpaku. Tidak tersangka olehnya kata-kata tersebut dipaculkan oleh sahabatnya yang bagi Nicol adalah bodoh-bodoh alang dalam percintaan. Mana-mana wanita pun pasti akan cair dan lemah apabila mendengarkan kata-kata tersebut. Buat seketika mereka hanya berdiam diri.
“Aku pula macam mana? Apakah ciri-ciriku yang kau nampak?” tanya Nicol.
“Hm! Kau ini kasar. Cara bercakap pun kasar. Bila tak dapatkan sesuatu yang kau mahu, kau akan bertempik-tempik marah atau menggunakan kekerasan fizikal. Kau juga anak manja yang kerap menunjukkan perangai mengada-ngada. Kau amat boros dan suka membeli barang-barang yang tak berfaedah yang mana akhirnya kau akan simpan di dalam setor balai.” jawab Nazrul seraya ketawa terbahak-bahak.
“Oh, jadi aku ini bukanlah bulan yang bersinar terang di antara ribuan gugusan bintang?” tanya Nicol.
“Bukan. Kau ini adalah Komet Haley yang merempuh apa saja di laluanmu!” jawab Nazrul yang kembali menyambung dekahan tawanya. Nicol hanya memerhatikan sahaja perlakuan sahabatnya itu. Beliau kemudian bangun lalu meninggalkan Nazrul.
“Hei! Hei! Nicol! Aku bergurau sajalah! Ala, biasanya kau akan menumbuk dan mencekikku. Kemudian barulah aku memujimu. Nicol! Nicol!” Panggilan Nazrul ternyata tidak dipedulikan oleh Nicol yang kini masuk ke dalam Jaguarnya. Sempat juga Nicol merenung tajam ke arah Nazrul sebelum menderukan kereta meninggalkan balai.
“Alamak! Aku dah salah cakap ni. Dia tengah datang bulan, agaknya.” taakul Nazrul dalam hati. Beliau kini bertalu-talu dihurungi dengan rasa bersalah dan kesal.
********************************************
Keesokan hari di Masjid As-Syakirin, Ipoh...
Sebelum syifnya bermula pada pukul 10 pagi, Terawez seperti biasa giat menjalankan latihan seni berpedangnya. Pedang pemberian Ren Fairuz bernama Seru Tempur kini telah berjaya dikuasai olehnya dengan baik sekali. Gerakan libasan bersimpang-siur pedang tersebut yang ditarikan oleh jari-jemari Terawez cukup indah dan amat berseni. Hanya beberapa minit sahaja berlalu semenjak latihan dimulakan oleh beliau namun tubuhnya kuyup bermandikan manik-manik peluh. Tiba-tiba sahaja Terawez berhenti. Nafasnya agak mencungap. Wajahnya kelihatan sugul.
“Assalamu’alaikum warahmatullah.” Sekonyong-konyongnya muncul Ren Fairuz di halaman masjid. Di tangannya tergenggam erat bungkusan makanan dan minuman. Beliau seperti selalu tidak lokek menghadiahkan senyuman riangnya.
“Wa’alaikumsalam warahmatullah, ustaz.” balas Terawez. Beliau sedaya-upaya cuba mengukir senyuman yang ikhlas. Namun riak kehampaan masih jelas terpapar pada wajahnya.
“Marilah kita makan sarapan dulu, Terawez. Selepas itu awak mulakan latihan kembali. Tak bagus kalau berlatih dengan perut kosong.” nasihat Ren. Terawez mengangguk tanda akur.
********************************************
“Awak nampak semacam sedih dan tidak bersemangat saja kebelakangan ini. Mengapa, Terawez?” tanya Ren tatkala mereka sedang bersama-sama bersarapan di beranda masjid tersebut. Agak tersentak Terawez mendengarkan soalan itu tadi. Beliau menundukkan wajah. Nampaknya kegusarannya gagal disembunyikan daripada ustaz yang baik hati tetapi bermulut becok itu.
“Pedang pemberian ustaz...” ujar Terawez sebagai pembuka bicaranya.
“Hah, kenapa dengan pedang itu? Sudah patahkah?” tanya Ren Fairuz. Terawez menggelengkan kepala.
“Pedang tersebut sangat hebat. Tetapi saya yang tidak hebat. Segala teknik dan kepakaran saya dalam seni berpedang seolah-olah tidak memadai bila menggunakan Seru Tempur. Dalam diri saya sekarang wujud dinding penghalang yang sangat besar yang tak dapat saya tembusi. Ustaz faham kan apa yang saya cuba nak sampaikan?” tanya Terawez setelah menceritakan masalahnya. Ren Fairuz mengangguk.
“Guru-guru awak tak cukup bagus sebenarnya. Segala ilmu yang mereka curahkan adalah ilmu separuh masak saja. Itu sebabnya awak menghadapi kesulitan sekarang.” ujar Ren. Terawez langsung berhenti menyantap nasi lemaknya. Matanya tajam mencelang ke arah ustaz muda tersebut.
“Awak marahkah kerana saya memperkecilkan guru-guru awak?” taakul Ren dengan senyuman bersahaja. Terawez enggan menjawab. Namun ianya jelas dilihat pada wajahnya yang merah padam. Ren ketawa kecil. Tiba-tiba beliau bangun dan menuju ke arah pedang Seru Tempur. Dicapainya pedang tersebut dan terus bergerak menuju ke halaman. Terawez memerhatikan sahaja perlakuan iman itu dengan penuh tanda-tanya. Ren Fairuz kini berdiri tegak di halaman tempat Terawez selalu berlatih. Pedang Seru Tempur masih tersisip dalam sarungnya.
“Tengok.” pinta Ren. Beliau tiba-tiba mula bergerak melibas ke sana ke mari dengan Seru Tempur yang masih berada di dalam sarung. Terlongo Terawez melihatnya. Gerak-geri Ren ternyata seratus-peratus dapat meniru teknik bermain pedang Terawez. Malah ianya lebih lancar dan kemas berbanding Terawez yang masih menghadapi masalah dengan jisim serta kuasa pedang tersebut. Puluhan daun-daun kering di sekeliling Ren tiba-tiba naik ke udara dan terapung-apung mengikut aliran libasan pedang Seru Tempur.
“Hah!” teriak Ren dengan gaya bermain-main. Namun kesemua daun-daun kering yang terapung tadi pecah berkecai menjadi kepingan-kepingan halus. Malah bunyi gerutupan hasil letusan daun-daun tersebut adalah lebih kuat dan menggemparkan.
“Bagaimana, Terawez?” tanya Ren. Terawez tidak membalas. Sebenarnya beliau tidak mampu berkata apa-apa buat masa ini kerana mulutnya masih melopong luas. Sudu nasi lemaknya langsung terlepas dari tangan.
“Mus... mustahil...” Akhirnya sepatah perkataan terpacul dari mulut Terawez yang menggambarkan perasaan sebenarnya pada ketika ini. Apa yang dipertontonkan oleh Ren Fairuz tadi adalah benar-benar teknik seni berpedang yang terhebat milik Terawez. Ustaz muda tersebut telah berjaya menguasai teknik itu jauh lebih baik daripada beliau yang selama ini mengambil masa bertahun-tahun untuk mempelajarinya.
“Ini adalah seni pedang kuno dari teknik Wushu yang asal. Teknik yang awak pelajari daripada guru-guru awak adalah tidak sempurna dan telah banyak diubah-suai. Tengok lagi kesinambungannya. Awak tentu belum mempelajarinya lagi.” ujar Ren seraya memutar-mutarkan tubuh bersama libasan-libasan pedang yang amat cantik dan sempurna. Cebisan-cebisan daun tadi kembali melonjak naik dan berputar-putar di udara mengikut gerak-geri tubuh si pengguna Seru Tempur itu.
Tiba-tiba Ren berhenti bergerak dan mencengkam bilah Seru Tempur yang masih bersarung dengan tangan kiri. Dengan pantas tangan kanannya pula menyentak keluar pedang tersebut. Menyembur keluar percikan api hasil penggeseran yang begitu pantas lantas membakar cebisan-cebisan daun kering yang masih berputar-putar di udara. Buat beberapa ketika kelihatan unggunan api besar yang berpusaran mengelilingi tubuh Ren Fairuz.
“Bagaimana?” tanya Ren Fairuz yang sedang perlahan-lahan memasukkan kembali Seru Tempur ke dalam sarungnya. Ustaz muda yang sebenarnya adalah seorang pendekar Emissary telahpun mengetahui akan reaksi yang sewajarnya ditunjukkan oleh Terawez. Pemuda yang dianggap salah seorang anggota MetroPolis terhandal itu tidak mampu berkata apa-apa. Apa yang dipertontonkan di hadapannya kini adalah suatu seni berpedang yang mustahil pada akal manusia untuk menguasainya.
- Bersambung -