Dua hari kemudian :
“La-la-la... Sedapnya bubur nasi kau ini, wahai Cat yang cantik manis,”
Catherine yang sedang melayani salah seorang pengunjung di restorannya tersenyum ceria mendengarkan nyanyian Enbi yang begitu sumbang sekali nada dan temponya. Namun kata-kata pujian yang diberikan terhadapnya adalah amat bermakna sekali sungguhpun dizahirkan dalam melodi yang serba pincang.
“Aku ingatkan bunyi kucing nak beranak tadi. Rupa-rupanya kau!” David yang muncul entah dari mana tiba-tiba mengejek Enbi. Ketua balai MetroPolis tersebut membalas kembali dengan renungan tajam.
“La-la-la... David si apek yang malas cukur bulu ketiak. Itu sebabnya bau dia hapak!” Giliran Enbi pula mengejek David dalam nyanyiannya. Catherine ketawa terkekeh. Kali ini David pula menjeling tajam ke arah Enbi yang kembali menyuap bubur nasinya.
“Hoi abang ngah! Berapa jam nak melepak di sini? Kita dapat dua repot hari ini. Saya yang teruk bekerja seorang diri,” Nazrul tiba-tiba memunculkan diri dengan keadaan marah-marah. Enbi hanya merenung adiknya dengan pandangan kosong.
“Habis, siapa yang menjaga balai?” tanya Enbi.
“Saya suruh Ren. Tapi terpaksa upah dia dengan air kotak. Dia nak tiga kotak dengan tiga perisa berlainan. Melampau betul!” rungut Nazrul. Pun begitu matanya tiba-tiba tertumpu ke arah pelanggan yang sedang Catherine layani. Beliau adalah seorang gadis yang sangat jelita. Gadis itu yang kini terperasankan bahawa Nazrul sedang terpegun menatapnya terus memakukan pandangan beliau ke arah pemuda bercermin mata hodoh tersebut. Kemudian si jelita tersebut melirikkan senyumannya yang sekaligus mematikan lamunan pegun Nazrul. Beliau menjadi segan dan tersipu-sipu kembali membalas dengan sengihan serba tidak kena. Beliau segera duduk di sebelah Enbi.
“Abang ngah. Perempuan yang Kak Catherine sedang layani tu lawa betullah!” maklum Nazrul kepada abangnya dengan suara yang agak perlahan. Matanya masih terpaku ke arah gadis jelita yang juga sedang merenungnya. Enbi memusingkan tubuhnya untuk melihat arah pandangan Nazrul.
“Ceh! Itulah anak kepada pemilik Kumpulan Hamka. Musuh kita tu!” maklum Enbi dengan agak kuat. Nampaknya beliau sengaja ingin si gadis tersebut mendengarnya. Si gadis hanya tersenyum melihatkan sikap tidak matang Enbi. Enbi membalasnya dengan jelingan tajam. Tiba-tiba kepalanya diketuk dengan majalah oleh Catherine.
“Jangan mengganggu pelanggan saya!” leternya. Gadis tersebut tertawa kecil.
“Awak yang bermuka masam selalu ini tentu Nizaruddin Bukhary. Yang kacak bercermin mata ini pula tentu adiknya Nazruluddin Bukhary. Rupa-rupanya kamu berdua orang-orang kenamaan dari Kumpulan Bukhary.” ujar gadis tersebut. Senyuman masih tak lekang dari bibir mungilnya tatkala melihatkan perubahan raut wajah Enbi dan Nazrul.
“Wah! Hebatnya cik! Tahu nama penuh kami pula.” puji Nazrul. Enbi masih merenung tajam ke arah gadis tersebut. Catherine pula asyik mengetuk-ngetuk kepalanya dengan majalah.
“Kirim salam kepada bapamu. Beritahu dia aku minta maaf kerana berjaya mendapatkan Kota London terlebih dahulu.” pinta Enbi dengan nada menyindir. Gadis tersebut tertawa kecil.
“Beritahulah dia sendiri. Saya bukannya orang suruhan awak. Lagipun saya tak berminat langsung dengan dunia korporat dan permusuhan awak dengan bapa saya. Kamu kaum lelaki fikir kamu sudah cukup hebat dan gah untuk perkara-perkara remeh macam itu?” Gadis tersebut tertawa selepas menghabiskan bait-bait sindirannya. Enbi ternyata berasa bengang dengan kata-kata tersebut. Beliau ingin membalasnya, namun niatnya itu mati tatkala melihatkan Nazrul yang bingkas bangun dan duduk di meja gadis itu pula. Si gadis jelita tersebut menjadi tergamam.
“Apa khabar? Saya Nazrul. Nama cik siapa?” tanya Nazrul dengan perasaan teruja. Gadis tersebut masih dalam keadaan bungkam. Tiba-tiba baharulah Nazrul terperasankan bahawa beliau sedang duduk di atas beg gadis tersebut. Beliau segera bangun dan mengambilnya untuk diserahkan kepada gadis tersebut.
“Minta maaf sebab terduduk di atas beg saudari. Maafkan saya, ya?” pintanya. Semasa beg tersebut diunjukkan kepada si gadis tadi, sebuah patung hampir-hampir terkeluar dan terjatuh. Mujurlah Nazrul segera menangkapnya. Beliau kembali menolak patung tersebut ke dalam beg. Gadis tersebut semakin menjadi cemas. Ternyata patung tersebut adalah patung singa milik Tan Sri Teng Ah Joo yang baharu-baharu ini telah dicuri. Si gadis ini tidak lain tidak bukan adalah pencuri terkenal bergelar ‘Swift Shadow’.
“Nasib baik tak terjatuh. Maafkan saya sekali lagi sebab agak cemerkap. Saya jadi begitu bila berjumpa gadis yang cantik macam cik.” Ternyata Nazrul tidak mengecam patung tersebut adalah patung curi. Malah Enbi yang sedang memerhatikan telatah adiknya itu juga tidak ternampak akan patung tersebut kerana terlindung oleh tubuh Nazrul. Gadis tersebut segera mencapai begnya seraya tersenyum manis. Namun ianya gagal melupuskan perasaan cemasnya tadi.
“Terima kasih, Nazrul.” ucapnya seraya bangun dan mula bergerak pergi. Namun tiba-tiba beliau berhenti lantas berpaling kembali ke arah Nazrul.
“Nama saya Nicol. Nicol Hanany.” ujarnya seraya tersenyum manis. Beliau kemudian kembali meneruskan langkahnya. Meninggalkan Nazrul yang masih tergamam dengan perasaan berbunga-bunga. Seketika kemudian beliau berpaling ke arah abangnya dengan wajah ceria.
“Bang Ngah! Nampaknya dia sukakan saya. Cik Nicol sukakan saya!” ujarnya dengan perasaan ceria. Kemurungannya akibat ditolak cinta oleh Suraya nampaknya terlupus sama sekali. Catherine menepuk-nepuk bahu Nzarul dan berkongsi perasaan gembira dengannya. Manakala Enbi pula menggelengkan kepala.
“Alang-alang kau di sini, marilah bersarapan bersama aku. Khadam, sediakan semangkuk lagi bubur nasi.” arah Enbi sambil mengarahkan pandangannya kepada David yang duduk tidak jauh daripadanya. Ternyata beliau ingin mencari gaduh dengan abang Catherine.
“Budak biadap! Ambil ni!” jerkah David seraya menghunjamkan tinjunya ke arah muka Enbi. Namun dengan secepat kilat Enbi menangkap tangan David dan menghentakkannya ke atas meja. Bunyi dentuman natijah dari aksi mereka telah menarik perhatian beberapa orang pelanggan di situ.
“Wah! Kau sudah begitu cekap dan tangkas sekarang.” puji David.
“Mestilah! Berkat guru yang menyampah dan sial macam kau ini, tentulah aku cepat belajar.” balas Enbi. Kedua-duanya ketawa berdekah-dekah.
“Mampuslah kamu berdua…” Pernyataan Nazrul mematikan derai tawa mereka. Baharulah Enbi dan David menyedari bahawa mangkuk bubur nasi telah pecah akibat dihentak oleh tangan mereka. Sisa-sisa bubur nasi terpalit di sana-sini. Perlahan-lahan kedua-dua lelaki yang bersikap kebudak-budakan tadi berpaling ke arah Catherine. Hampir setiap inci tubuh gadis manis tersebut dipaliti oleh bubur nasi angkara mereka berdua.
“Maaf Cat,” ujar Enbi dengan suara gementar.
“Abang tak sengaja, dik!” ujar David pula dengan nada cemas.
“JAHANAM!!!” pekik Catherine.
Beberapa jam kemudian :
“Adik kau memang ganaslah.”
David menjeling ke arah Enbi yang masih mengusap-usap dahinya yang benjol. Spontan beliau meraba-raba pipi kanannya yang masih berasa kebas. Ternyata mereka berdua telah teruk dikerjakan oleh Catherine natijah daripada tindak-tanduk yang kurang matang tadi. Nazrul ketawa kecil. Catherine pula entah ke mana perginya. Mungkin merajuk.
“Itulah akibat orang yang suka melampau di dalam perbalahan.” Suara yang berbentuk komen tiba-tiba berkumandang dari belakang mereka bertiga. Rupa-rupanya ia milik Ren Fairuz. Memandangkan keadaan mangkuk bubur nasi di atas mejanya yang habis tidak bersisa, ternyata beliau sudah lama melepak di situ.
“Hoi! Siapa yang menjaga balai?” tanya Nazrul dengan nada cemas.
“Ada seorang pak cik memohon kerja tadi. Saya minta dia jaga balai.” jawab Ren Fairuz dengan senang hati. Serentak dengan itu Enbi dan Nazrul bingkas bangun dan berlari ke arah balai polis.
“Ustaz, awak ini semberono sahaja. Begitu mudah mempercayai orang yang awak tidak kenal?” tanya David dengan nada kurang senang.
“Alah, janganlah asyik berprasangka terhadap orang lain. Lagipun beliau nampak seperti orang baik.” jawab Ren lantas kembali menyedut air kotaknya. David cuma mampu menggelengkan kepala.
“Dia tidur?”
Enbi yang juga sedang memandang ke arah seorang warga tua dalam lingkungan usia 70’an turut mengangukkan kepala tanda bersetuju. Orang tua yang baru sahaja diupah oleh Ren Fairuz tadi langsung tidak layak digelar pak cik. ‘Atuk’ mungkin lebih padan dengannya. Orang tua tersebut mempunyai fizikal yang tinggi tetapi gemuk-gedempol. Rambutnya yang seratus-peratus dimamah uban begitu panjang sekali; namun nampak kemas kerana disimpul menjadi tocang. Jaket berwarna perang lusuh yang dipakai olehnya diperbuat dari kulit tulen. Orang tua tersebut juga memakai perhiasan cantik yang digantung pada lehernya. Enbi merapati orang tua tersebut untuk meneliti perhiasan tersebut.
“Memang cantik perhiasan ni. Ia dianyam dengan ranting kecil, tulang-temulang haiwan kecil dan manik-manik. Ternyata orang tuaa ini adalah kaum peribumi di Amerika. Dari gaya pemakaiannya, mungkin beliau berbangsa Sioux.” komen Enbi. Matanya masih meneliti perhiasan orang tua tadi. Jari-jemarinya yang gatal cuba menyentuh perhiasan tersebut.
“Shingg!!!” Tahu-tahu mata sebilah kapak telahpun ditekan ke batang leher Enbi. Perkara tersebut berlaku dengan terlalu pantas sehinggakan Enbi tidak dapat berbuat apa-apa untuk menghindarinya.
“Bang ngah!!!” jerit Nazrul dengan nada cemas.
“Awak siapa?” tanya orang tua tersebut dengan pandangan yang penuh curiga. Mata kapak yang dipegang olehnya ditekan sedikit lagi ke batang leher Enbi untuk memberitahu bahawa beliau bukanlah bergurau.
“Saya pemilik balai polis ini. Awak pula siapa?” tanya Enbi dengan nada sinis. Pernyataan beliau membeliakkan mata orang tua tersebut. Beliau segera menarik balik kapaknya.
“Maafkan saya, tuan! Saya sangkakan tuan berniat tidak baik terhadap saya tadi.” ujar orang tua tersebut dengan nada kesal. Cara percakapannya agak kekok sungguhpun beliau menggunakan nahu yang betul. Enbi yang seolah-olah tidak mempedulikannya asyik memerhatikan keadaan sekeliling.
“Pak cik ni memang gila! Nasib baik abang saya tak mati!” herdik Nazrul.
“Saya minta maaf, tuan!” rayu pak cik tua tersebut dengan bersungguh-sungguh.
“Siapa awak sebenarnya?” tanya Enbi sekali lagi.
“Nama saya Red Wigwam. Saya berketurunan Sioux yang berasal dari Amerika Sakit (gelaran yang diberikan setelah negara tersebut musnah diserang oleh pendekar Emissary). Saya sudahpun bersara dari jawatan saya sebagai ketua puak dan kini mengembara ke seluruh pelosok dunia. Saya memohon kerja di sini buat sementara waktu untuk mengumpul wang sebelum kembali mengembara.” Orang tua yang bernama Red Wigwam akhirnya memperjelaskan niatnya secara terang-terangan.
“Jujur betul awak ini, Chief!” komen Enbi dengan senyuman yang tidak ketahuan maknanya.
“Saya lebih pentingkan maruah bangsa saya daripada diri sendiri.” balas Red Wigwam dengan serius.
“Baiklah! Aku benarkan kau bekerja di sini.” Mudah benar Enbi membuat keputusannya kali ini. Terperanjat Nazrul mendengarnya.
“Hei! Abang ngah! Begitu semberono sekali tindakan abang ngah kali ini. Macam Ren Fairuz pula. Mengapa senang-senang sahaja mengambil pak cik ini bekerja?” pertikai Nazrul. Enbi tidak menjawab. Namun jari telunjuknya mengarah ke beberapa tempat di dalam balai polis.
“Orang tua ini memang bagus. Beliau telah mengatur kembali susunan fail-fail rekod kewangan kita dengan cara yang paling baik sekali. Malah beliau telah mengambil buku log yang terpakai untuk membuat rekod laporan. Ternyata Chief ini memang berpengalaman dalam bidang pengurusan. Jadi mudahlah kita pergi menyiasat ke sana-sini tanpa bimbangkan perihal pejabat.” Jawapan Enbi membuatkan Nazrul berubah air mukanya. Fikirannya kembali rasional. Beliau meneliti keadaan sekeliling. Memang benar balai polis mereka kini menjadi lebih baik susun aturnya daripada dahulu; yang persis bilik karaoke murahan.
“Baiklah! Selamat datang ke MetroPolis, Chief Red Wigwam!” ucap Nazrul seraya menghulurkan salamnya. Red Wigwam kembali menjabat salam tersebut dengan senyuman gembira.
Di suatu sudut yang agak tersembunyi, segala gerak-geri mereka sedang diperhatikan oleh seorang lelaki. Lelaki tersebut merengus dan mencebikkan bibir.
“Bursuka-rialah kamu berdua sementara tempoh hayat kamu masih ada. Selepas ini aku akan siat-siatkan kulit kamu berdua sebelum nyawa melayang.” ujar lelaki tersebut dengan dengan perlahan; seolah-olah bercakap dengan mereka.
Lelaki tersebut adalah Riko : si pencuri pakaian dalam yang dicederakan oleh Nazrul.