Saturday, September 12, 2009

MetroPolis 2009 - Bab 6

Pencuri Pkn Dm



Malaysia, di zaman Peperangan Emissary (Kejadian berlaku kira-kira 60 tahun lalu sebelum zaman Enbi menubuhkan MetroPolis).

“Tuan! Kita telah terputus hubungan dengan Batalion Alpha kira-kira dua minit lepas.” Pemberitahuan daripada Sarjan Trout membuatkan Brigadier Jeneral Worthington Bush mengerutkan kening. Hatinya dilanda kekhuatiran yang menyesakkan dada. Baharu setengah jam lalu Batalion Bravo yang terletak kira-kira 5 kilometer dari kubu kuat mereka yang bernama Gilgamesh telahpun terputus hubungan. Kini giliran Batalion Alpha pula yang terletak kira-kira satu kilometer dari tempat tersebut.

“Apa yang telah berlaku? Benarkah Pendekar Emissary datang menyerang Malaysia pula?” Bertaluan pertanyaan menggema di dalam hati pegawai tentera tertinggi yang amat berpengalaman ini. Malaysia telahpun berjaya ditawan oleh ketumbukan tentera Amerika Syarikat kira-kira 5 tahun lalu. Namun setahun yang lalu sebuah pertubuhan misteri yang hanya dikenali sebagai Organisasi telah mengerahkan beberapa individu yang mempunyai kuasa persenjataan yang amat hebat dan luar biasa untuk menyerang dan menakluki setiap negara yang tersenarai pada peta dunia. Motif serta matlamat Organisasi adalah tidak jelas. Namun setakat ini tiada siapa yang dapat menghalang kemaraan tentera-tentera mereka.

“Tuan, kami baru saja menerima rakaman imej video daripada pesawat pengintip Dark Angel kita.” maklum Leftenan Arielle yang segera mematikan lamunan Brigadier Jeneral Worthington.

“Mainkan di skrin sekarang.” arah ketua tertinggi tersebut. Tidak lama kemudian imej video yang dirakamkan oleh pesawat Dark Angel mula dimainkan di skrin gergasi dalam bilik kebal kubu Gilgamesh tersebut. Kesemua individu yang berada di dalam bilik tersebut membeliakkan biji mata.

“Tuhan! Apa yang telah terjadi? Benarkah ini adalah Batalion Bravo?” ujar Brigadier Jeneral Worthington dengan suara yang tersekat-sekat. Skrin gergasi tersebut menunjukkan peralatan-peralatan serta jentera-jentera ketenteraan yang berkecai-kecai dan bertaburan di merata tempat. Kawasan tersebut dipenuhi dengan asap atau debu yang tebal. Kelihatan juga ribuan bentuk-bentuk yang dipercayai anggota tubuh badan tentera-tentera Batalion Bravo. Mereka dalam keadaan bergelimpangan tidak menguit walau sedikit pun.

“Tuan! Ada seorang lelaki datang menghampiri kubu kita!” Tiba-tiba corong pembesar suara berbunyi.

“Pancarkan imejnya di skrin.” arah Worthington. Tak lama kemudian imej baharu pula dipancarkan ke skrin gergasi di hadapannya. Kelihatan seorang lelaki berpakaian serba hitam dengan langkah yang tegap sedang menghampiri Gilgamesh. Kelihatan juga beberapa orang tentera Amerika Syarikat yang lengkap bersenjata serta mesin-mesin berat bersenjata berat mara ke arah lelaki tersebut. Senjata-senjata berat yang di pasang di dinding-dinding kubu tersebut juga turut di arahkan kepada lelaki tersebut.

“Beri tembakan amaran!” Kedengaran suara arahan bergema di skrin tersebut. Namun sebelum sempat pihak tentera berbuat apa-apa, lelaki tersebut tiba-tiba mengangkat tangan kanannya. Serentak dengan itu seluruh bumi bergegar dan kelihatan di skrin debu-debu tanah menyembur deras naik ke langit lantas menerbangkan tentera-tentera dan mesin-mesin yang berada di situ.

“Apa itu!” Itulah teriakan terakhir Brigadier Jeneral Worthingon sebelum dilanda bunyi dentuman dan terbang bersama-sama dengan peralatan di sekelilingnya…

***************************************************


Malaysia… Di zaman Enbi…

Enbi dan Catherine saling pandang-memandang setelah melihatkan telatah Nazrul yang telahpun melabuhkan punggungnya di atas kerusi bahagian pengaduan. Beliau kini begitu berrsedia untuk mengambil laporan gadis jelita di hadapannya tanpa disuruh. Seketika kemudian Enbi ketawa kecil. Memang adiknya tersebut adalah seorang yang pantang melihat perempuan cantik. Catherine juga cuba menyembunyikan tawanya dengan menundukkan muka. Sambil itu sempat juga beliau mencubit lengan Enbi.

Catherine memandang akan perilaku Nazrul dan kemudian beralih pula ke arah abangnya. Sememangnya perangai mereka sungguh berbeza. Sungguhpun Nazrul amat serius dalam kerjayanya, beliau tidak lupa untuk bersosial dan mencari cinta dalam hidupnya. Enbi pula terlalu gila bekerja sehinggakan tidak pernah bercinta ataupun berfikir untuk berumahtangga.

“Nama cik?” tanya Nazrul sambil membetulkan cermin mata hodohnya. Enbi sekali lagi cuba menahan tawa. Catherine sekali lagi cuba mencubit. Namun dengan pantas Enbi menangkap tangan gadis tersebut dan menggenggamnya dengan kejap. Catherine cuba merentap tetapi dengan separuh hati sahaja. Beliau berasa gembira Enbi memegang tangannya dengan erat.

“Nama saya Suraya Binti Azril,” jawab gadis tersebut dengan lembut. Namun nada suaranya yang bergetar memberikan isyarat bahawa beliau berasa gementar berada di situ. Catherine memandang Suraya dengan senyuman. Namun sebenarnya gadis tersebut kini sedang mengelamun sambil tersenyum.

***************************************************


Angan-angan Catherine :

“Boleh saya tahu nama cik?” Catherine yang sedang termangu-mangu berasa tersentak dengan pertanyaan tersebut. Beliau memandang Enbi yang sedang membetulkan cermin mata hodohnya sambil mencoret-coret pada kertas laporan.

“Catherine.” balas Catherine dengan suara yang lunak dan manja. Matanya melirik ke arah Enbi yang juga sedang memandangnya. Sungguhpun dikaburi dengan cermin mata yang menyakitkan pandangan, Catherine masih dapat melihat akan raut wajah segak yang cuba disembunyikan oleh lelaki pujaan hatinya.

“Cantiknya nama awak. Secantik pemiliknya.” puji Enbi. Sungguhpun kata-kata tersebut adalah cara mengurat yang teruk dan tidak asli, namun hati Catherine cair mendengarnya. Senyuman manis terukir di bibir mungilnya.

“Cik Catherine nak buat laporan tentang apa?” tanya Enbi.

“Saya nak buat laporan tentang kecurian.” jawab Catherine.

“Apakah barang milik cik Catherine yang telah dicuri?” tanya Enbi pula. Air mukanya kembali menjadi serius dan agak bimbang.

“Hati saya telah dicuri.” jawab Catherine dengan senyuman penuh bermakna. Matanya melirik manja ke arah Enbi. Enbi berhenti mencatat. Beliau membalas renungan Catherine sambil tersenyum. Sungguhpun kata-kata tadi mampu membuatkan lembu termuntah, namun bagi Enbi ianya sungguh mengujakan.

“Kalau begitu, saya berharap sayalah pencurinya!” ujar Enbi seraya mengenyitkan mata. Catherine ketawa manja mendengarkan bait-bait kata yang amat memalukan tadi.

***************************************************


Dunia realiti :

“Apakah barang milik cik Suraya yang telah dicuri?” tanya Nazrul. Sungguhpun beliau nampak serius, namun nada suaranya jelas begitu teruja sekali dengan kehadiran gadis ayu di hadapannya.

“Pkn dm,” jawab Suraya dengan perlahan. Seolah-olah menelan kembali kata-katanya.

“Minta maaf; boleh cik Suraya cakap kuat sedikit?” tanya Nazrul lagi.

“Pakaian dalam!” jawab Suraya dengan agak kuat. Mukanya menjadi semakin merah padam. Keadaan hening seketika.

“Ahaha!!” Suara tawa Catherine tiba-tiba memecahkan suasana sepi tadi. Kesemua yang berada di situ langsung tergamam. Enbi segera mengalihkan perhatian ke arah sahabatnya. Suraya pula mencebikkan bibir.

“Maafkan saya. Saya rasa saya dah melakukan suatu kesilapan.” ujar Suraya lantas bangun untuk pergi. Namun lengannya segera ditangkap oleh Enbi.

“Jangan pergi. Maafkan sahabat saya itu. Bukannya dia ketawakan awak. Dia tengah mengelamun tu. Memang dia selalu begitu.” pujuk Enbi. Suraya memandang ke arah Catherine yang masih memejam mata sambil tersengih-sengih. Akhirnya beliau kembali duduk. Nazrul cepat-cepat meleraikan tangan Enbi yang masih memegang lengan Suraya. Mukanya mencuka.

“Berapa banyak pakaian dalam awak yang telah dicuri?” tanya Enbi dengan selamba.

“Entahlah. Tapi sudah banyak kali dicuri. Entah berapa ratus ringgit telah saya habiskan untuk membeli yang baru.” jawab Suraya dengan nada yang agak marah. Perasaan segannya kini telah berkurangan. Nazrul yang semakin mencuka kerana abangnya turut campur tangan menyoal gadis jelita tersebut terpaksa mencatatkan pernyataan Suraya tadi. Namun sempat juga beliau menulis ‘pergi mampus, abang ngah!’ pada kertas laporan tersebut.

“Kenapa tak jemur di dalam?” tanya Enbi lagi.

“Saya sebenarnya menyewa rumah tersebut bersama tujuh orang rakan yang lain. Mereka juga bekerja sebagai model seperti saya. Tentu buruk rupanya kalau pakaian dalam kami semua bergantung sana-sini di dalam rumah. Lagipun, menurut cerita yang saya baca dalam emel, pakaian dalam yang dijemur di dalam rumah kadang-kadang tidak kering sepenuhnya dan boleh mengundang jangkitan kulat pada…” Kata-kata Suraya mati di situ sahaja. Mukanya kembali menjadi merah padam. Beliau tidak sanggup meneruskan pernyataannya.

“Jangan bimbang, saya faham akan maksud cik.” ujar Enbi. Namun Nazrul yang kini berhenti mencatat mulai menunjukkan air muka keliru.

“Kulat tumbuh pada pakaian dalamkah?” tanyanya serius. Suraya menekup mulut dengan tangan kanannya. Wajahnya tunduk menahan malu dan menahan tawa dalam masa yang sama. Enbi segera membisikkan sesuatu kepada adiknya. Beliau memberitahu apa yang mahu dinyatakan oleh Suraya tadi. Catherine yang telahpun kembali ke dunia realiti beberapa minit yang lalu hanya menggelengkan kepala. Pipinya turut menjadi kemerahan.

“Oh! Begitu rupanya!” ujar Nazrul dengan agak kuat. Enbi terus ketawa. Catherine pula spontan menembi lengan sahabatnya. Suraya pula mengulum senyum.

“Wah! Gembiranya kamu semua mendapat pelanggan pertama!” Mereka serentak memandang ke arah suara yang menegur tadi. Rupa-rupanya Ren Fairuz telahpun terpacul di sisi mereka. Beliau adalah imam muda yang dipercayai menakutkan Catherine dengan aura bunuhnya baharu-baharu ini. Di tangannya terpegang erat sekotak air minuman. Kesemua yang berada di situ berasa tergamam.Lebih-lebih lagi Enbi dan Catherine.

“Oh ya! Saya berasa haus tadi. Jadi saya ambil air kotak ini dari peti sejuk balai awak. Jangan ambil hati, ya?” ujar Ren Fairuz lagi. Enbi dan Catherine tergamam. Nazrul pula memandang imam muda tersebut dengan pandangan penuh curiga. Suraya membeliakkan matanya.

“Eh? Awak rupanya?” tegur Suraya dengan agak kuat. Ren Fairuz tersengih. Beliau mengangkat tangan kirinya dengan gaya menegur mereka semua.

“Rupa-rupanya kau yang mencuri pakaian dalam Suraya, ya?” pekik Nazrul dan serentak dengan itu menerkam ke arah Ren Fairuz. Kedua-dua mereka jatuh tergolek mencium lantai. Enbi hanya sempat mendengar suara mengaduh imam muda tersebut dan jeritan Suraya.


- bersambung -